Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Jumaat, April 15, 2011

Menjejak kegemilangan lama Pantai Timur : Laluan Cameron Highlands ke Gua Musang

Assalamualaikum semua. Merujuk pada artikel Perjalanan 2,367 km dan 4,743 gambar yang dibuat lebih 3 bulan lalu, setelah beberapa lama sibuk dengan hal-hal dan artikel-artikel lain, hari ini 15 April 2011 Masihi bersamaan 11 Jamadil Awal 1432 Hijrah biar dimulakan siri tentang perjalanan ke Pantai Timur penghujung 2010, perjalanan yang dibuat antara lain untuk melihat keadaan wilayah Patani di selatan Thailand. Mari.

Sekitar pertengahan 2010 saya telah mendapat panggilan telefon daripada seseorang yang memperkenalkan diri sebagai Cikgu Najib. Dia mendapat tahu dari beberapa orang kenalan juga melalui Internet bahawa saya ada pengetahuan tertentu berkenaan Sharif Muhammad Baghdadi yang dikatakan menulis Batu Bersurat Terengganu juga tentang seorang keturunan Sharif iaitu Waliyullah Tok Pulau Manis yang hidup semasa Sultan Zainal Abdidin I memerintah Terengganu abad ke 18 Masihi. Kata Cikgu Najib yang bekerja dengan Istana Kelantan, beliau adalah dari keturunan Tok Pulau Manis yang berhijrah ke Kota Bahru. Beliau ingin berbincang dengan saya lalu meminta agar dapat datang ke sana.

Kata Cikgu Najib lagi beliau biasa dengan institusi pondok di Patani, selatan Thailand lalu membuat tawaran untuk membawa saya berjalan-jalan berjumpa guru-guru naik hingga ke Kresik dan sekitarnya. Ah. Saya memang sudah lama menyimpan hajat untuk ke sana. Cuma kata saya tunggulah sehingga hujung tahun kerana kami sekeluarga memang sudah merancang mahu ke Pantai Timur melihat anak-anak yang menetap bersama bapa saudaranya di Kota Bahru. Dan kami sememangnya sudah memikirkan hendak masuk ke selatan Thailand melalui Takbai naik ke Patani hingga ke Singgora kemudian turun melalui Hatyai terus ke samada Kedah ataupun Perlis...


Hari yang ditunggu pun sampai. Mengambil kesempatan atas cuti Krismas 25 Disember 2010 yang jatuh hari Sabtu lalu digantikan dengan cuti hari Isnin digabungkan dengan cuti hujung minggu berserta cuti tahun baru 1 Januari 2011 yang turut jatuh hari Sabtu (maka digantikan dengan cuti Isnin seterusnya) isteri saya memohon cuti panjang. Sebelum jam 10 pagi Krismas bergeraklah kami. Oh... kena kosongkan meter kereta terlebih dahulu.


Seperti diberitahu tadi, kami memang sudah lama mahu ke Pantai Timur untuk melihat anak-anak. Kali terakhir saya membawa isteri ke sana adalah bulan Ramadhan 2009, sekembalinya kami dari satu perjalanan ke Aceh. Ketika itu isteri sedang sarat mengandungkan anak kecil kami Muhammad Al-Aminul Rasyid. Lihat Koleksi artikel "Perjalanan ke Pantai Timur bulan Ramadhan".


Pertengaham tahun 2010 pula saya ada ke Pantai Timur untuk satu kerja lalu tidak membawa isteri. Lihat Projek buku keretapi.

Kiranya inilah kali pertama saya dapat membawa isteri berserta anak kecil kami Al-Rasyid ke Pantai Timur. Ketika itu dia berumur setahun dua bulan setengah. Sampai di satu bahagian Lebuhraya Utara Selatan kelihatan papan iklan ini. Inilah harinya untuk apa ya? Yang pasti ia hari Krismas. Dan Insyaallah ia hari pertama Al-Rasyid akan menjejakkan kaki di negeri Kelantan...

Hujan rintik turun.

Masuk ke negeri Perak.


Kami berhenti makan di perhentian Tapah.

Tidak lama kemudian kelihatan papan tanda arah untuk naik ke Cameron Highlands. Kami memang bercadang mahu ke sana tetapi melalui jalan lain.


Selepas Tapah kelihatan air terjun Lata Kinjang. Walaupun sudah banyak kali melihat dari Lebuhraya Utara Selatan inilah kali pertama saya mengambil gambar dari sebelah sini. Untuk gambar-gambar lebih dekat lihat artikel A visit to the high waterfalls at Lata Kinjang yang dibuat di blogspot BERPETUALANG KE ACEH setahun lepas.


Kali pertama saya menjejakkan kaki di air terjun itu adalah sekembalinya dari perjalanan ke Pantai Timur bulan Ramadhan 2009. Kami telah bermalam di Cameron Highlands lalu pergi ke sana apabila turun dari kawasan gunung. Oh. Sedar tak sedar dah sampai Ipoh...


Kelihatan arah untuk satu lagi simpang naik ke Cameron Highlands.


Al-Rasyid keriangan di belakang.


Kami keluar tol Ipoh untuk ke Simpang Pulai di mana jalan naik ke Cameron Highlands itu bermula. Itulah kali pertama saya mengambil laluan ini. Lihat artikel baru The road from Simpang Pulai to Cameron Highlands.



Sampai satu bahagian atas gunung kami berhenti.

Ada tempat untuk rehat dan makan minum. Kelihatan 'tengkorak' ini dipaku pada dinding. Agaknya beginilah nasib hantu jembalang yang ditangkap oleh orang paranormal. Ataupun beginilah keadaan orang yang terlalu banyak minum Kopi Jantan?


Sedikit masa diluangkan untuk menikmati pemandangan. Lihat gambar-gambar dan klip video pada artikel The highland stop 17km from Kampung Raja. Perjalanan diteruskan masuk ke Cameron Highlands. Tapi kami sekadar lalu sahaja. Lihat Passing through the tip of Cameron Highlands.



Al-Rasyid seronok ketika kereta turun laju dari pergunungan. Lihat Downhill Kelantan from Banjaran Titiwangsa.



Tidak lama kemudian sampailah kami di pinggiran bandar (ke kira pekan?) Gua Musang. Lihat On to Gua Musang.


Sampai di satu tempat meter kereta menunjukkan kami sudah berjalan 333.3 km.


Menariknya, ia berlaku sebaik sahaja sampai di masjid utama Gua Musang. Lihat Masjid (Mosque of) Tengku Muhammad Faiz Petra, Gua Musang.



Kami pun masuk untuk berehat dan bersolat. Kelihatan Al-Rasyid melakukan gaya orang melaungkan azan. Entah kenapa sebaik sahaja melihat masjid ini dia mengangkat tangan sambil melaungkan "Ta... ta... ta..." dengan gaya seperti orang azan. Ternyata sejak itu, dia akan berbuat begitu setiap kali terlihat masjid dan surau terutama dalam perjalanan ini... :]


Selasa, April 12, 2011

Dari Putrajaya ke Semenyih dan Hulu Langat : Akhirnya bertemu batu nesan Aceh di Kuala Lumpur!

Ini kiranya wrap-up aktiviti hujung minggu baru ini sebelum siri baru tentang perjalanan ke Pantai Timur penghujung 2010 dimulakan.


Petang Sabtu 9 April 2011 kami mengambil lebuhraya Maju menghala ke Putrajaya.


Singgah sebentar di perhentian rehat.


Tak lama kemudian sampailah di Putrajaya.


Hmm. Dah lupa pula, gambar ini diambil samada ketika menuju ataupun meninggalkan Presint 4 di mana terdapat bahagian bukit dan potongan yang dikatakan pusat sebuah kerajaan lama takpun kerajaan ghaib. Lihat artikel lama Artikel ke 535 di sini, jalan di Putrajaya dan kaitan kerajaan lama dengan kerajaan akhir zaman?.


Lalu di hadapan bangunan ini pula saya mesti teringat sebuah mimpi lama.

Biar disalin semula bahagian berkaitan daripada artikel Petunjuk baru tentang kerajaan lama di Putrajaya?.

Bangunan Istana Kehakiman yang ada 3 buah kubah terserlah mengingatkan pada satu mimpi lebih 10 tahun lalu. Dalam mimpi itu saya berdiri seorang diri dalam kegelapan lalu timbul rasa untuk bertakbir. Entah kenapa saya terasa nikmat yang amat sangat semasa bertakbir lalu jasad saya mula terapung naik ke udara. Kelihatanlah sebuah bandar terbentang di bawah dengan bangunannya banyak berkubah. Bangunan paling dekat betul-betul bawah saya rupanya saling tak tumpah seperti Istana Kehakiman!


Dari hadapan Istana Kehakiman kita boleh melihat terus ke Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin @ Masjid Besi.

Seperti disebut pada penghujung artikel Jalan-jalan Putrajaya dan majlis maulud/hol yang akan datang kami ke Putrajaya untuk menghadiri majlis Maulidur Rasul dan Hol almarhum Sheikh Abdul Qadir al-Jilani di Masjid Besi.


Tapi sebelum itu saya mahu menunaikan satu hajat di Menara Millenium.

Saya mahu mengambil gambar setiap panel gelas yang ada di bangunan ini. Untuk pengetahuan pada panel-panel itu tercatat sejarah Malaysia dari zaman kemunculan kerajaan Melayu Melaka hingga ke tahun 2000. Saya telah mengambil gambar setiap panel dan kiraan manual menunjukkan ada 143 ke semuanya. Separuh atau satu pertiga gitu sudah dipaparkan di blogspot BERPETUALANG KE ACEH. Lihat artikel History of Malaysia at Millenium Tower.


Entah kenapa ada satu panel retak. Tahun 1887 terus membawa saya kembali mengimbas sejarah Perak. Pada awal tahun itu Sultan Abdullah Muhammad Shah II yang dibuang ke Pulau Seychelles 1877 akibat dituduh terlibat dengan pembunuhan Residen pertama Inggeris ke Perak, J.W.W. Birch 1875 masih lagi bergelar Sultan Perak. Tetapi hakikatnya Perak diperintah Inggeris dengan Raja Muda iaitu Raja Yusuf yang menjadi pemangku raja harus akur sahaja kepada setiap kata-kata mereka.
Raja Yusuf cuma dapat menaiki takhta Mei 1887. Tetapi atas sebab tertentu, kalau tak salah kerana diserang barah otak baginda mangkat bulan Julai lalu digantikan menantunya yang menaiki takhta sebagai Sultan Idris. Sultan Idris inilah yang sering disebut Inggeris sebagai Sultan Melayu yang paling progresif. Agak-agak kenapa penjajah begitu memuji ya? Yang pasti baginda melanggar tradisi lama apabila membuka istana dan bersemayam di mudik kiri Sungai Perak. Rujuk perjanjian lama antara Tok Temong dengan Sultan pertama Perak di artikel lama Tok Temong (Selingan terakhir, He! He!...).



Apapun kami anak-beranak seronok berjalan-jalan di sini.

Al-Rasyid cuba meniru gaya saya mengambil gambar tadi...


Masuk waktu Maghrib baru kami ke Masjid Besi.

Posing sebentar di pintu masuk kawasan di mana tertera Asmaul Husna, nama-nama Allah yang indah. Nampak tak Asmaul Husna Al-Rasyid yang bermakna Yang Bijaksana? Teringat ada orang menegur tidak boleh memanggil anak sebagai Al-Rasyid kerana serupa dengan Asmaul Husna, kalau nak juga mesti disebut Abdul di hadapan untuk menandakan diri kita sebagai hamba. Namun ada juga menyebut tidak menjadi kesalahan untuk perkataan-perkataan tertentu kerana Al-Rasyid dari segi bahasa cuma bermakna yang bijaksana. Cuma apabila merujuk pada Allah kita tambah terjemahannya jadi Yang Maha Bijaksana untuk menunjukkan kebesaran yang tidak mungkin dijangkau kita, pada manusia pula ia cuma yang bijaksana dengan tulisan kecil sahaja. Begitulah lebih kurang...


Selepas solat Maghrib acara Maulud pun dimulakan. Sebenarnya selepas Asar tadi pun dah ada Maulud diikuti syarahan boleh didengar hingga ke Menara Millenium tetapi saya lebih suka acara sebelah malam. Lihat gambar-gambar dan cerita di Maulidur Rasul dan Hol almarhum Sheikh Abdul Qadir al-Jilani di Masjid Besi. Klip-klip video pula boleh ditonton di The Maulud and Hol of Sheikh Abdul Qadir al-Jilani at the Steel Mosque in Putrajaya.



Esoknya tengahari Ahad kami menghala ke Semenyih.

Oh. Selepas tamat majlis Maulud di Masjid Besi kami ada berehat di rumah seorang kenalan baru di Presint 9 sebelum bermalam di rumah milik keluarga di Kajang. Di Semenyih kami bersolat di masjid jameknya lalu mengambil gambar. Lihat artikel Masjid (Mosque of) Raja Muda Musa, Semenyih di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).



Kemudian kami mengambil jalan pendalaman ke Hulu Langat.

Keadaan selepas hujan terasa begitu menyegarkan.

Pintu masuk ke air terjun Sungai Tekala. Meriah juga keadaan (tak kelihatan dalam gambar) walaupun sebelum itu hujan lebat.

Seperti biasa saya tidak dapat menahan diri daripada menikmati keindahan tasik di Empangan Semenyih. Al-Rasyid pun suka. Lihat Semenyih dam... again....



Hampir ke pekan Batu 18 kami singgah di masjid ini. Lihat Masjid (Mosque of) Kampung Jawa, Hulu Langat.


Ini pula gambar di tepian Sungai Langat berhadapan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) di Dusun Tua. Dahulu ia merupakan satu-satunya IKBN yang ada di Malaysia. Teringat suatu masa beberapa kali bertandang untuk melawat seorang bapa saudara yang menjadi pengetuanya. Semasa itu saya masih tercari-cari lagi salasilah keluarga dan sering berkongsi dengannya perkembangan pencarian sendiri.


Kelihatan di hadapan orang menjual durian. Saya dapat melihat lebih 5 buah gerai di sekitar ini sahaja. Semasa di pekan Batu 18 tadi kami ada berhenti menikmati sebiji durian segar di satu-satunya gerai yang ada. Kata tuan punya gerai duriannya dibawa dari Tanjung Malim. Kalau ada orang mendakwa menjual durian dari Hulu Langat maka dia itu pembohong kerana di sini belum lagi musim. Dia ada memberi petua bagaimana hendak menghilangkan bau durian dari badan. Ia dipraktikkan sejurus selepas menghabiskan hidangan dan ternyata amat berkesan. Menariknya dia sendiri baru mendapat petua itu dari seseorang hari sebelumnya.. :]


Ke hadapan lagi menghala ke pekan Batu 14 kelihatan sebuah simpang. Jalannya kelihatan begitu elok dan lebih lebar dari jalan utama sekitar Hulu Langat. Sebelum ini saya tidak pernah sedar kewujudan jalan ini. Apakah ia baru dilebarkan? Saya pun masuk ke dalam hingga ke penghujung semata-mata untuk melihat apa yang ada.


Pada satu bahagian tidak jauh dari simpang ke jalan utama kelihatan sebuah rumah moden tetapi dengan atap memakai ukiran cara lama yang saya sering panggil sebagai lidah terjulur.



Masuk ke pekan 14 saya singgah lagi di masjid. Lihat Masjid (Mosque of) Sultan Hisamuddin, Batu 14, Hulu Langat.



Kemudian kami mengambil jalan potong bukit ke Ampang. Teringat dahulu saya mesti singgah di kawasan ini yang terletak di puncak bukit. Di atasnya ada restoran dengan menara pemerhati (observation tower) di mana kita boleh melihat hampir seluruh Lembah Kelang. Tetapi sejak beberapa tahun bayaran dikenakan untuk masuk ke kawasan, saya tidak pernah singgah lagi.

Cukuplah melihat bandar raya Kuala Lumpur dari bahagian lereng menurun ke bawah.



Perjalanan diteruskan ke Jalan Tun Razak. Isteri saya mahu kami mencari sebuah makam berdekatan pusat bandar raya yang baru diberitahu oleh seorang kenalan beberapa hari lalu.


Alhamdulillah kami dapat mencarinya dengan sekali lalu. Saya pula sangat teruja apabila mendapati batu nesan yang ada. Lihat Makam (Tomb of) Harun Al-Rasyid, Kuala Lumpur. Saya kenal sangat dengan bentuknya yang merupakan salah satu jenis batu nesan Aceh. Untuk makluman inilah kali pertama saya terjumpa batu nesan Aceh di dalam lingkungan 70 km di sekitar bandar raya Kuala Lumpur. Paling dekat pernah ditemui sebelum ini adalah di Kuala Selangor, tak sangka ada satu begitu dekat dengan pusat bandar raya!



Untuk faedah pembaca biar buku yang dibeli di Labuan tahun lepas ini dirujuk. Lihat artikel Lawatan tak dijangka ke Brunei - Pusing satu pulau... kaitan Labuan dengan Dinasti Al-Kamil?.


Boleh nampak tak persamaan dengan batu nesan yang mana?

Ya, buku itu meletakkannya sebagai batu nesan Aceh jenis (k), dipercayai dibuat antara 1700 hingga 1800 Masihi. Ada kemungkinan makam telah wujud lebih lama sebelum didirikan batu nesan Aceh kemudian. Apapun batu nesan jenis ini cuma dipakai untuk orang-orang penting sahaja seperti ulamak besar, ketua masyarakat, pembesar istana, kerabat diraja dan raja. Ini bermakna sudah ada orang penting duduk di satu bahagian Kuala Lumpur sebelum bandar raya ini diteroka untuk perlombongan bijih timah tahun 1850an. Sudah ada orang penting sebelum Kuala Lumpur secara rasmi berdiri tahun 1880an dan orang penting sebegini biasanya melambangkan sudah ada penempatan besar orang Melayu dan Islam.

Menariknya makam ini dikatakan milik seseorang bernama Harun Al-Rasyid dan isterinya bernama Zubaidah, sama dengan nama Khalifah Harun Al-Rasyid dan isterinya yang hidup di Baghdad lebih 1,200 tahun lalu. Sambil itu teringat persoalan penggunaan perkataan Al-Rasyid untuk memanggil anak. Penjaga makam pula menyebut Harun Al-Rasyid ini datang ke Tanah Melayu seiring dengan kemunculan Sheikh Ismail di Pulau Besar. Tapi saya tak pasti kerana ada kaum yang biasa mengaitkan segala yang dianggap keramat dengan Sheikh Ismail walaupun sebenarnya dari zaman lain.

Apapun kalau betul ia sezaman dengan Sheikh Ismail, maka ia harus datang pada zaman kegemilangan Melaka (dikatakan sekitar 1450an gitu) atau mengikut pendapat lain pula pada zaman Sultan Malikus Salih memerintah kerajaan Samudera Pasai 200 tahun lebih awal. Yang pasti seorang personaliti besar telah wujud di Kuala Lumpur sebelum tempat ini disebut dalam sejarah rasmi dan ini sendiri sudah cukup untuk menunjukkan sejarah rasmi yang menyebut Kuala Lumpur dibuka oleh puak Yap Ah Loy dan kroni-kroninya sudah harus ditolak tepi.