Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Jumaat, November 23, 2007

Kaitan para Daeng anak-anak Raja Bugis dengan Aceh, bumi Serambi Mekah...

Demi melengkapkan gerak bercerita hari ini, elok juga ditambah lagi sedutan daripada buku "Berpetualang ke Aceh: Sirih Pulang ke Gagang?" atau BKA III. Tadi saya tak tahu apakah yang patut dimuatkan untuk artikel ini tetapi setelah membaca balik posting bertajuk Khabar daripada Muar, bandar tempatku lahir dan membesar... yang baru dibuat tadi, rasanya elok diceritakan sesuatu yang melibatkan cerita pejuang Bugis terutama para Daeng yang ada kaitan dengan Aceh.
Maka ini dia, daripada bab bertajuk "Dari Aceh ke Perak: Nakhoda Hitam Laksamana Tok Kuala Bidor". Semoga semua pejuang sejati agama, bangsa dan negara yang tidak boleh dibeli dengan wang atau rasuah malah lebih rela mati daripada bersekongkol dengan para penipu masyarakat yang pandai berlakun sebagai pemimpin yang kononnya berhati mulia kembali bersatu untuk menangani cabaran ummah yang semakin genting akibat fitnah Dajjal yang berleluasa kini seluruh dunia. Allahuakbar!

-------------------------

Salasilah kajian Barat yang digunakan Rasyid untuk memahami sejarah keSultanan Aceh turut menyatakan Sultan Alauddin Ahmad Shah mangkat 1735 tanpa meninggalkan anak laki-laki gahara iaitu anak lelaki daripada isteri berdarah raja. Sebaliknya, seorang anak dari sebelah gundik bernama Potu Uk pula menaiki takhta Aceh dengan memakai nama Sultan Alauddin Jahan Shah. Adik-beradiknya Potu Sandang, Potu Keling dan Potu Muhammad Zainal Abidin pula mendapat jawatan-jawatan istana.
Apapun Sultan Ahmad mempunyai isteri gahara baginda diketahui mempunyai seorang puteri gahara bernama Raja Putri Shahribanun. Soalnya, betulkah baginda tidak meninggalkan anak lelaki gahara atau ada cerita lama yang telah digelapkan pihak berkepentingan...
Tersebutlah kisah, selepas Potu Uk menaiki takhta, muncul seorang panglima handal dikenali sebagai Nakhoda Hitam,dikatakan lari dari Pasai ke Perak, entahlah kenapa. Ada pula cerita menyebut beliau datang dari Haru di selatan Pasai... Mungkin selepas meninggalkan Pasai yang terletak dalam wilayah Aceh, panglima ini telah membawa diri ke Teluk Aru terlebih dahulu? Yang pasti, di Teluk Aru yang letaknya setentang dengan Sungai Perak terdapat sebuah pulau bernama Pulau Sembilan, sama namanya dengan gugusan pulau-pulau yang terletak di kuala Sungai Perak!
Menurut sebuah buku yang ditemui Rasyid secara tidak sengaja di Perpustakaan Negara lebih dua tahun lalu (tak ingat tajuknya), Perak mula kecoh dengan lanun bermaharajalela di Pulau Sembilan kuala Sungai Perak menyerang kapal dagangan yang lalu-lalang. Mengikut ceritanya, mereka diketuai seorang penjahat bernama Nakhoda Hitam. Ahli sejarah Barat pula menyatakannya sebagai panglima Bugis bernama Latata Ambralla,
Perak ketika itu sedang diperintah oleh Sultan ke 13, Sultan Muzaffar Shah III (1728-1754). Baginda mempunyai seorang pahlawan yang gagah berani lagi alim dan warak, seorang bangsawan Bugis bernama Daeng Selili yang juga merupakan adik ipar dan pengawal peribadi Sultan.
Daeng Selili juga berperanan sebagai Mufti Besar Perak yang bergelar "Haji Besar" selain bertanggungjawab menjaga keamanan negeri dengan memakai gelaran Orang Kaya Kaya Sri Maharajalela Pancung Tak Bertanya kerana mempunyai lesen besar ataupun kuasa untuk membunuh dan menjatuhkan hukuman bunuh tanpa perlu bertanya terlebih dahulu kepada Sultan. Tidak lama kemudian iaitu pada tahun 1743 Daeng Selili pun ditugaskan untuk mengembalikan keamanan di kuala Sungai Perak.
Daeng Selili yang amat handal berpencak silat berjaya mengalahkan ramai lanun dengan mudah. Maka sampailah masanya untuk Sri Maharaja Lela Pancung Tak Bertanya ini bertembung dengan Nakhoda Hitam...
Menurut buku tersebut yang ditulis seorang anak cucu keturunan Daeng Selili, Nakhoda Hitam yang tidak kurang handal telah menyusup ke belakang untuk menyerangi. Tetapi beliau membatalkan niatnya itu apabila terlihat keris (Ataupun sundang?) yang tersisip di pinggang Daeng Selili. Rupa-rupanya Nakhoda Hitam kenal senjata itu yang menandakan pemiliknya berasal daripada keturunan anak Raja Bugis. Maka Nakhoda Hitam yang sendiri mempunyai darah bangsawan Bugis tidak jadi menyerang malah mereka berbaik-baik lalu bersalaman dan berpelukan!
Apa yang menarik, ketua lanun ini kemudian diangkat menjadi Laksamana yang menjaga perairan Perak. Kalau betullah beliau seorang penjahat kenapa pula boleh dijadikan pembesar negeri? Sultan Muzaffar Shah III yang memerintah Perak bukannya bodoh. Mesti ada sebab baginda boleh menerima seorang ‘ketua lanun’ menjadi orang penting Perak.
Sebenarnya cuma penjajah Barat seperti Portugis dan Belanda sahaja yang menganggap orang ini dan pengikutnya sebagai lanun. Ini kerana kapal-kapal mereka selalu diserang dan dirompak apabila melalui perairan kuala Sungai Perak sedangkan Nakhoda Hitam berbuat begitu kerana benci dengan kehadiran penjajah. Seperti juga anak-anak Raja Bugis yang ramai berkeliaran d perairan Tanah Melayu abad ke 18 terutama lima-beradik terkenal yang menyokong kerajaan Johor-Riau, Daeng Parani, Daeng Menambun, Daeng Merewah, Daeng Kemasi dan Daeng Chelak dituduh sebagai lanun... Hakikatnya mereka jadi begitu kerana tanah tumpah darah mereka di Pulau Sulawesi telah habis diranapkan penjajah Barat. Maka terbitlah dakyah mengatakan Raja-raja Melayu kononnya berasal daripada lanun. Kononnya mereka berjaya menjadi raja kerana mereka kuat, bukan kerana darah keturunan mulia yang dimiliki, itu sahaja!
Rasyid percaya Sultan Muzaffar Shah III tahu Nakhoda Hitam bukan penjahat, malah orang yang berdarjat. Sepertimana Daeng Selili yang berketurunan Raja Bugis boleh diterima di Perak dan dikahwinkan dengan adinda baginda yang bernama Raja Tengah malah turut dijadikan pengawal peribadi Sultan, Mufti Besar dan Orang Kaya kaya Sri Maharajalela Pancung Tak Bertanya, begitu juga Nakhoda Hitam diangkat. Yang pasti, beliau bukan orang sembarangan yang boleh diperlekehkan...
Kebetulan semasa menulis bab ini, Rasyid sedang bermalam di rumah seorang ibu saudara yang telah berkahwin dengan seorang anak cucu Daeng Selili, di sebuah bungalow mewah di Ampang yang mempunyai ciri-ciri rekabentuk istana lama. Ibu saudara ini juga mempunyai darah Bugis kerana bapanya berketurunan Bugis malah berasal daripada keturunan Raji Haji, anak kepada Daeng Chelak bin Opu Tenri Bureng Daeng Rilaga yang turut datang ke Semenanjung Malaysia bersama Daeng lima bersaudara.
Cerita-cerita lama Melayu ada menyebut Raja-raja Bugis berasal daripada keturunan Nabi Sulaiman AS dengan Puteri Balqis, puteri cantik lagi bijaksana yang memerintah kerajaan Saba’ yang kisahnya ada disebut dalam Al-Quran. Sejarah rasmi mencatatkan Raja Haji sebagai seorang pahlawan Bugis yang paling dihormati dan digeruni di Tanah Melayu, amat ditakuti penjajah Belanda... Baginda selalu berperang lalu mengalahkan ramai lawan dari Johor, kepulauan Riau, Sumatera sebelah Kampar hingga ke Selangor, Perak dan Kedah tetapi sempat menjadi orang kedua paling berkuasa dalam kerajaan Johor-Riau-Lingga apabila mewarisi takhta Yam Tuan Riau atau Yang di Pertuan Muda Johor 1777. Saudaranya Raja Lumu pula diangkat menjadi Sultan pertama Selangor, Sultan Salehuddin Shah yang ditabalkan 1766 dengan pengiktirafan serta nobat Sultan Perak.
Raji Haji akhirnya mati syahid di Teluk Ketapang 1784, ketika cuba memerdekakan Melaka daripada cengkaman Belanda. Tetapi pihak British yang menjajah Tanah Melayu kemudian cuba memadamkan ingatan bangsa terhadap pejuang besar Melayu ini dengan mendirikan Sekolah Henry Gurney di situ, satu-satunya sekolah untuk budak-budak jahat di Malaysia, budak-budak bermasalah yang telah melakukan pelbagai jenis jenayah termasuk membunuh orang sebelum cukup umur 18 tahun.
Pemerintahan Riau menjadi hak milik turun-temurun anak-anak Raja Bugis semenjak 1722, selepas mereka menolong mengembalikan takhta kerajaan Johor-Riau-Lingga kepada raja-raja berketurunan Bendahara yang pernah diturunkan Raja Kechil dari Siak. Raja Kechil mengaku sebagai waris sebenar kerajaan dengan mendakwa dirinya adalah anak Sultan Mahmud Mangkat Di Julang, Sultan Johor terakhir dari keturunan Sultan-sultan Melaka. Sejarah rasmi pula mencatatkan Sultan Mahmud tidak meninggalkan waris, maka sebab itu Bendahara diangkat menjadi Raja.

——————————

Rasyid cuba mencari kaitan Daeng Selili dengan anak-anak Raja Bugis lima bersaudara yang datang ke Tanah Melayu dalam tempoh masa yang sama. Dia menelaah beberapa sumber sejarah termasuk kitab Tuhfat Al-Nafis karangan Raja Ali Haji yang mengaitkan Raja-Raja Melayu dengan Raja-raja Bugis, sumber rujukan utama berkenaan Raja-raja Bugis tetapi tidak berjaya... Tidak terdapat apa-apa kaitan ditemui kecuali mereka semua berketurunan bangsawan Bugis. Dan setakat yang dapat dilihat, nama Daeng Selili tidak pernah muncul dalam mana-mana kitab mahupun cerita kecuali di Perak. Tetapi dia pernah terbaca sebuah cerita mengatakan Daeng Parani, Daeng Menambun, Daeng Merewah, Daeng Kemasi dan Daeng Chelak serta kaum kerabat mereka termasuk Raja Haji yang mempunyai pengaruh yang sangat besar dalam mencorakkan arah tuju pemerintahan kerajaan-kerajaan di Tanah Melayu segan untuk campurtangan di dalam hal ehwal negeri Perak selagi Daeng Selili masih ada. Lagipun Perak ketika itu juga disokong seorang lagi panglima berketurunan bangsawan Bugis iaitu Nakhoda Hitam, juga dikenali sebagai Laksamana Tok Kuala Bidor yang bermastautin di Kuala Bidor berdekatan Teluk Intan.
Maka terbitlah satu persoalan… Jika kitab Tuhfat Al-Nafis yang sarat dengan nama setiap bangsawan Bugis yang pernah memainkan peranan di Tanah Melayu tidak pernah menyebut nama Daeng Selili, siapakah beliau sebenarnya dan apakah asal-usulnya? Apakah mungkin seperti Nakhoda Hitam, beliau sebenarnya berasal daripada keluarga bangsawan Bugis yang telah ratusan tahun bermastautin di Aceh? Apakah gelaran Orang Kaya kaya Maharajalela yang dipakainya adalah warisan bumi Serambi Mekah? Bukankah Sultan Aceh berketurunan bangsawan Bugis, Sultan Alauddin Ahmad Shah yang memerintah Aceh 1727 hingga 1735 sendiri pernah memakai gelaran Orang Kaya kaya Maharajalela sebelum menaiki takhta?. Bukankah bapa dan datuknya juga memakai gelaran serupa selain memakai gelaran Laksamana di Aceh? Apakah ada hubungan kekeluargaan yang sangat rapat antara Nakhoda Hitam dengan Daeng Selili?
Semasa menulis bab ini, semasa menceritakan pertembungan di Pulau Sembilan di mana Nakhoda Hitam tidak jadi menyerang kerana kenal dengan senjata yang tersisip di pinggang Daeng Selili, hati kecil Rasyid tiba-tiba berbisik, mereka sebenarnya adik-beradik! Yang pasti, mereka memang saling mengenali kerana selepas Nakhoda Hitam membatalkan niat untuk menyerang mereka terus bersalaman lalu berpelukan...

Khabar daripada Muar, bandar tempatku lahir dan membesar...

Ini adalah gambar poster lama promosi siri buku "Berpetualang ke Aceh", poster yang digunakan sebelum terbit buku ketiga yang melengkapkan cerita dengan tajuk kecil "Sirih Pulang ke Gagang?" atau BKA III. Adapun poster ini pernah "mengikuti" saya mengembara hampir separuh Semenanjung Malaysia. Ceritanya dan cerita-cerita berkaitan boleh dibaca melalui link-link ini: Mengenang kembali pengembaraan 2 bulan Disember 2006-Februari 2007 dan Mengenang BKA tour run pula... .
Untuk makluman, poster ini kini telah "bersara" lalu direhatkan di Pulau Besar, Melaka. Gambar di atas ialah tempatnya duduk berehat menikmati hari-hari tua (hehe! :]) di tiang bendera berhadapan kompleks makan Sultanul Ariffin Sheikh Ismail. Ia direhatkan setelah muncul poster baru yang lebih terkini kerana menyertakan cerita mengenai BKA III. Cerita mengenai kemunculan poster baru ini pula ada di Promosi baru siri buku "Berpetualang ke Aceh" sudah bermula! .
OK... Alang-alang sudah tersebut tentang Pulau Besar, sila juga jengok posting-posting terbaru yang dibuat mengenai pulau misteri ini di blogspot-blogspot saya yang lain iaitu BERPETUALANG KE ACEH dan SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) . Hmm... Elok juga disertakan satu dua gambar berkenaan untuk membuka selera. Ini dia...


Pemandangan sekitar kelab golf tinggal di Pulau Besar (views around the abandoned golf club at Pulau Besar)


The mystery of Gua Yunus (the cave of Yunus)

OK... Sekarang baru kita boleh bercerita tentang Muar seperti yang dinyatakan pada tajuk posting ini. Apapun, memang cerita-cerita yang dibuat hari ini disediakan di sebuah Internet Cafe di Muar.

Adapun hujung minggu lepas saya telah mengikut ibu bapa saya pergi ke Teluk Intan, Perak untuk menghadiri majlis perkahwinan seorang saudara... Kemudian menemani mereka di sebuah rumah kami di Kajang sebelum ikut kembali ke rumah di Muar pula.

Pada awalnya saya bercadang untuk berada di Muar 2-3 hari sahaja sebelum pergi ke Sungai Petani, Kedah... Mungkin dengan menaiki keretapi di Segamat. Seorang pembaca blogspot saya telah memberitahu bahawa pada 24 November iaitu esok akan diadakan majlis perjumpaan keluarga Bugis anak cucu Daeng lima bersaudara - Daeng Parani, Daeng Menambun, Daeng Merewah, Daeng Kemasi dan Daeng Chelak - dan mereka yang ada sangkut-paut.

Katanya ini sempena pengiktirafan akan kewujudan makam Daeng Parani di Sungai Petani. Kebetulan sedikit cerita mengenai kaitan Daeng-Daeng ini dengan keluarga saya turut dimuatkan dalam BKA III... Dalam bab bertajuk "Dari Acek ke Perak: Nakhoda Hitam Laksamana Tok Kuala Bidor". Dan kebetulan juga kulit buku itu memaparkan baju perang Bugis!

Tetapi beberapa hari lepas di Kajang, ketika sedang menonton TV bersama keluarga, saya ternampak iklan menyatakan bahawa program Gempar (seperti Jom Heboh TV3) akan diadakan di Muar pada hari yang sama. Ini mungkin peluang baik untuk mempromosikan siri buku "Berpetualang ke Aceh".... Lagipun acara ini akan dibuat di kampung halaman tempat saya lahir dan dibesarkan.

Sebenarnya saya dilanda dilemma juga. Panggilan dalaman untuk menghadiri majlis keluarga Daeng boleh tahan hebat dan memang saya teringin untuk bertemu mereka yang ada kena-mengena di sana. Tetapi setelah difikirkan beberapa faktor termasuk peluang untuk kembali akrab dengan ayahanda setelah berlaku sesuatu di Kajang, saya rasa elok juga berkampung di Muar buat beberapa hari lagi lalu hadir ke acara Gempar itu. Lagipun harijadi saya akan berlangsung Isnin 26 November ini walaupun tanpa majlis apa-apa... Sekurang-kurangnya elok juga duduk bersama keluarga ketika ia berlaku.

Oh... Saya tergerak membuat postings dalam blogspot-blogspot saya hari ini setelah duduk senyap 10 hari kebelakangan kerana hari ini 23 November adalah bersamaan 13 Zulkaedah 1428 Hijriah yang boleh ditulis sebagai 13/11/1428... Ada nombor 131 iaitu satu nombor yang saya kaitkan dengan home sweet home atau rumahku syurgaku... Inilah salah satu sebab saya terasa wajib berada di Muar pada tarikh ini. Kegilaan saya tentang nombor 131 sudah dihuraikan serba sedikit dalam posting bertajuk 13 haribulan 11 dan 131... Sesuatu yang istimewa... pada Selasa lepas 13 November.

Malah saya sanggup berkejar kembali ke kampung malam semalam daripada Kuala Lumpur semata-mata kerana gerak suruh kembali yang muncul... Walaupun saya ikut ayah dan ibu kembali ke Muar daripada Kajang pada hari Selasa, saya terpaksa kembali ke KL pada hari Rabu kerana perlu mengambil suatu barang daripada rumah makcik di Ampang.

Apapun, saya akan berada di Muar buat beberapa hari lagi dan Insyaallah akan pergi berjalan-jalan (ikut style saya le... Buat promosi jalanan) di pesta Gempar yang akan diadakan di Tanjung Emas hari Sabtu dan Ahad. Maka sesiapa yang ingin bertemu dengan saya boleh le mencuba cari saya esok di mana-mana yang patut ya...

Oh... Lagi satu benda. Demi menurut gerak berkenaan nombor 131, saya perlu membuat satu lagi posting di blogspot ini (1 di SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) , 3 di sini dan 1 di BERPETUALANG KE ACEH ). Sat ya...

p/s: Baru teringat satu pengumuman yang ingin dibuat di sini...

Saya telah pergi merayap-rayap melihat beberapa kedai buku di Muar kerana ada orang memberitahu siri buku "Berpetualang ke Aceh" tidak dijual di Muar sedangkan di sinilah tempat saya lahir dan membesar... Banyak juga cerita dalam BKA mengimbas kembali zaman kanak-kanak, persekolahan dan remaja saya di Muar.

Pengedar buku-buku saya kata ia sudah ada di 2-3 buah kedai di Muar tetapi bila saya check sendiri tak da pula. Apapun masalah ini telah diselesaikan. Insyaallah kedai buku Popular dan Tanjung Mas akan menempah siri BKA daripada pengedar sementara kedai buku City Star di sebelah Maybank telahpun mempunyai ketiga-tiga buku yang diserahkan secara peribadi siang tadi. Sekian...



Perkhabaran ghaib melalui mimpi dalam kisah Nabi Yusuf AS

Assalamualaikum semua. Hari ini saya tergerak membuka kata-kata dengan sedikit cerita Nabi Yusuf AS seperti yang terpapar di dalam buku "Berpetualang ke Aceh: Sirih Pulang ke Gagang?" atau BKA III... Daripada bab bertajuk "Mukadimah: Sedikit catatan mengenai tarikh dan peristiwa yang bercanggah". Ini dia...

-------------------------

Sebagai seorang Islam, kita harus yakin akan kewujudan perkara-perkara ghaib termasuk perkhabaran melalui mimpi. Maka itu Surah Yusuf, Surah ke 12 Al-Quran memulakan kisah Nabi paling tampan itu dengan bercerita mengenai mimpi. Surah yang mengandungi 111 ayat yang diwahyukan di Mekah itu menyatakan, Al-Quran diturunkan dalam bahasa Arab supaya kita memikirkannya... Kemudian menyebut kisah Nabi Yusuf sebagai sebaik-baik kisah lalu menceritakan perbualan baginda dengan bapanya Nabi Ya’aqub berkenaan sebuah mimpi. Ayat 4-6 menyatakan:

Ketika Yusuf berkata kepada bapanya: Hai bapaku! Sesungguhnya aku bermimpi melihat sebelas bintang dan matahari serta bulan semuanya kulihat sujud kepadaku.
Berkata bapanya: Hai anakku! Janganlah engkau ceritakan mimpimu itu kepada saudara-saudaramu, nanti mereka akan memperdayakanmu dengan segala tipu-daya. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagi manusia.
Demikianlah Tuhanmu memilihmu dan mengajarkan takwil mimpi kepadamu dan kepada keluarga Ya’aqub, sebagaimana Dia telah menyempurnakan nikmatNya kepada dua orang bapamu sebelumnya, Ibrahim dan Ishaq…

Kemudian baru ia menceritakan bagaimana 10 orang abang Nabi Yusuf yang cemburu terhadap perhatian lebih yang diberikan terhadap si adik telah merancang untuk menghapuskannya supaya Nabi Ya’aqub lebih sayang kepada mereka pula. Terjadilah peristiwa baginda dibuang ke dalam telaga lalu ditemui sebuah kabilah yang menjualnya sebagai hamba abdi kepada seorang pembesar negara Mesir. Maka Ayat 21 menyebut:

Berkata orang yang membelinya di Mesir kepada perempuannya (isterinya Zulaikha): Muliakanlah kedudukannya, mudah-mudahan dia bermanfaat kepada kita atau kita ambil dia menjadi anak angkat. Demikianlah Kami tempat Yusuf di bumi (Mesir) dan supaya kami ajarkan kepadanya takwil mimpi…

Ayat 22 menyatakan: "Setelah Yusuf sampai dewasa, Kami berikan kepadanya hikmah dan ilmu" Ini diikuti kisah baginda digoda majikannya Zulaikha, peristiwa yang menyebabkannya disumbat ke dalam penjara. Baginda sempat memberikan takwil mimpi yang ternyata menjadi kenyataan kepada dua orang pekerja istana yang telah dipenjarakan. Beberapa tahun kemudian Nabi Yusuf dipanggil untuk menafsirkan mimpi Raja Mesir pula!
Tafsiran Nabi Yusuf berjaya menyelesaikan masalah negara. Zulaikha pula mengaku Nabi Yusuf sebenarnya difitnahnya. Raja Mesir menjadi semakin yakin akan kelebihan Nabi Yusuf. Pesuruh Allah itupun diberi kedudukan tinggi dalam kerajaan... Lalu Ayat 54 menyebut raja berkata:

Bawalah Yusuf itu ke mari supaya kujadikan dia khusus bagi diriku. Seterusnya Raja Mesir mengumumkan "Sesungguhnya engkau pada hari ini mempunyai kedudukan dan kepercayaan di sisi kami".

Nabi Yusuf dijadikan penjaga perbendaharaan negara. Kedudukan inilah yang digunakan nanti untuk menarik 10 orang abang-abangnya datang ke Mesir bersama adik bongsunya Benjamin, juga bapanya Nabi Ya’aqub dan ibunya. Dipendekkan cerita, mereka dapat tahu bagindalah Yusuf yang pernah dianiaya lalu dikhuatiri mati dahulu. Lalu Ayat 100 menyebut:

Kemudian Yusuf mendudukkan ibu-bapanya di atas singgahsana lalu mereka sujud kepada Yusuf. Berkata Yusuf: Ya ayahanda! Inilah takwil mimpiku dahulu…

Rupa-rupanya 11 bintang dan matahari serta bulan yang dilihat sujud kepadanya dalam mimpi pada awal cerita dahulu adalah 11 orang adik-beradik bersama bapa dan ibunya… Ini diikuti Ayat 101 yang menyatakan:

Ya Tuhanku! Sungguh Engkau telah menganugerahkan kerajaan kepadaku dan Engkau telah mengajarkan kepadaku dari hal takwil mimpi… Ayat 102 menyebut: Demikian itu perkhabaran ghaib, Kami wahyukan kepada engkau (hai Muhammad) padahal engkau tidak ada di sisi mereka…

Kesahihan kisah ini dan mimpi-mimpi yang terkandung di dalamnya diperkuatkan dengan Ayat 111, ayat terakhir surah yang bermaksud:

Sesungguhnya dalam kisah mereka ada ibarat (pengajaran) bagi orang-orang yang berakal. Bukanlah Quran ini perkhabaran yang diada-adakan sahaja bahkan ia membenarkan yang di hadapannya dan menerangkan tiap-tiap sesuatu, lagi petunjuk dan rahmat bagi kaum yang beriman.

Nah! Bukankah ini bukti akan peri-pentingnya perkhabaran ghaib?