Kebetulan ketika itu, jumlah
posting di
blogspot saya yang lagi satu iaitu
SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) adalah 74, 3 sahaja lagi untuk mencapai nombor 77 yang ada kecantikannya yang tersendiri. Selain itu, saya cuma perlu menambah 1 sahaja lagi
posting untuk
blogspot BERPETUALANG KE ACEH untuk menjadikan jumlahnya kepada 131, satu nombor yang sangat bermakna untuk saya dan boleh menambah 1
posting juga untuk
blogspot ini untuk mencukupkan jadi 202, satu lagi nombor yang simetrikal (kiri dan kanan sama). Cuma tak pasti bilakah masa yang sesuai...
Di sini, biar saya bercerita sedikit tentang nombor 131.
Adapun dahulu semasa mula-mula berkahwin 7 tahun lepas, saya pernah membuat tempahan sebuah rumah semi-D dan kebetulan kedudukan cantik yang masih ada adalah di lot 131. Rumah itu sepatutnya siap tahun 2002 tetapi sebaliknya projek itu terbengkalai sementara tahun itu menyaksikan beberapa ahli keluarga rapat kembali menyambut panggilan Ilahi. Saya pula sedang sibuk mengembara merata tempat demi mencari jawaban kepada beberapa persoalan yang mengganggu fikiran sehingga hubungan keluarga terabai dan akhirnya bercerai. Apapun sejak itu nombor 131 menjadi begitu bermakna, satu nombor yang saya kaitkan dengan idaman diri sendiri untuk mendapatkan home sweet home atau rumahku syurga pada suatu hari nanti.
Adapun pagi tadi, setelah sekian lama tergendala, baki buku 3 saya, "Berpetualang ke Aceh: Sirih Pulang ke Gagang?" telah selamat dihantar daripada kilang ke tempat simpanan milik seorang kawan. Buku yang lain-lain pula telah dihantar ke kedai-kedai dan pengedar, bermakna pada pagi ini selesailah segala urusan berkaitan penerbitan buku... Sekarang saya cuma perlu memantau penjualan dan mewar-warkan isinya ke seantero jagat raya sahaja.
Semasa mengambil
bill yang menyatakan penerimaan buku-buku tadi, baru saya perasan tarikh hari ini 13 November yang tertulis pada
bill itu terdapat nombor 131 iaitu dalam bentuk 13/11. Terus timbul rasa, hari inilah hari yang sesuai untuk saya membuat
posting ke 131 untuk blogspot
BERPETUALANG KE ACEH... Maka biar dibuat sekali beberapa
posting untuk blogspot
SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) supaya cukup jumlah jadi 77 dan kemudian bercerita di
blogspot ini supaya jadilah ia
posting ke 202.
Hari ini juga ternyata amat istimewa kerana saya dapat berjumpa satu-satunya anak yang saya ada setelah lebih sebulan tidak dapat berjumpa disebabkan keadaan. Tak payahlah saya sebut apakah keadaan itu ya... Cukuplah saya meluahkan hari ini, tarikh ini dan kaitannya dengan 131 sebagai sesuatu yang begitu istimewa.
Oh... Satu lagi perkara yang istimewa tentang tarikh hari ini, 13 Nov... Adapun siri buku "Berpetualang ke Aceh" mengandungi jumlah 13 bab bernombor, bab-bab yang diberi tajuk seperti "Bab 1", "Bab 8" dan sebagainya. Kebetulan, saya dalam proses membaca kembali semua siri buku ini dan telah selesai buku 1 dan buku 2... Sekarang sudah sampai pada buku 3 dan kebetulan pula berada pada pengakhiran Bab 13! Setelah selesai urusan penghantaran buku tadi, baru saya sedar, saya sudah sampai pada mukasurat terakhir Bab 13. Lalu menghabiskannya ketika menaiki keretapi komuter untuk sampai ke tempat di mana Alhamdulillah, saya dapat berjumpa anak...
Lagi satu, tarikh hari ini bersamaan 3 Zulkaedah 1428 Tahun Hijrah... Kebetulan urusan penerbitan buku 3 selesai dengan tersimpannya baki buku di tempat sepatutnya. Allah! Adakah ini bermakna akan selesai juga satu fasa besar dalam hidup saya lalu sudah sampai masanya untuk menggapai rasa home sweet home yang tersirat dalam nombor 131, satu rasa ketenangan apabila berada dalam rumah bersama keluarga yang sudah lama hilang... Sejak kecil lagi, ketika meninggalkan rumah untuk memasuki sekolah asrama 25 tahun dahulu?
Apapun, itu cuma harapan seorang pemuda 'gila' seperti saya, harapan yang entah betul-betul akan kunjung tiba, mungkin juga tidak... Di bawah ini biar disertakan beberapa gambar serta link-link postings yang baru dibuat sehingga tercapailah jumlah-jumlah yang tersebut itu. Maka dengan ini, saya mungkin tidak akan menambah apa-apa cerita baru buat satu jangka masa. Sekian! Terima kasih kerana selalu mengikuti tulisan-tulisan saya. Wassalam! :]
Makam (tomb of) Baginda Ali
Sedikit citarasa Itali di Pulau Besar? (A bit of Italian taste in Pulau Besar?)
Batu Belah (split stone) of Pulau Besar, Melaka
Cerita (the story of) Tun Teja...
p/s: Baru teringat. Adapun blogspot BERPETUALANG KE ACEH adalah blogspot pertama tempat saya menulis di Internet. Beberapa bulan kemudian barulah terbit blogspot ini dan sebulan dua seterusnya blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) . Maka dengan itu, jumlah postings 131 untuk BERPETUALANG KE ACEH jadi lebih lagi bermakna. Alhamdulillah!