Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Jumaat, Mei 01, 2015

Akhirnya, ulasan buku Sejarah Melayu dari Batam

Salam Jumaat. Daripada majlis ilmu kita beralih ke ulasan buku...


Pertengahan bulan Mac saya telah menyajikan artikel bertajuk Pelancaran buku "Sejarah Melayu" dari Batam di DBP - Mengingatkan Raja Isa Nongsa untuk berkongsi cerita tentang pelancaran buku tersebut. Sepuluh hari selepas itu iaitu pada 24 Mac artikel Buku "Sejarah Melayu" dari Batam - Membuka langkah menelaahnya pula dipaparkan untuk memberitahu bahawa saya telah memulakan pembacaan dan penelitian. Buku ini memiliki lebih 600 muka surat sedangkan saya sibuk dengan pelbagai kerja dan komitmen. Setelah beberapa lama membaca apabila timbul kelapangan sahaja dan tidak begitu kepenatam, keseluruhan buku pun berjaya diselesaikan jam 8.30 pagi tadi.

Dalam artikel Buku "Sejarah Melayu" dari Batam - Membuka langkah menelaahnya telah dikongsikan daftar isi yang mengandungi 30 bab selain satu bab pembuka pembuka dan satu bab penutup. Setiap bab ada 2 hingga 23 sub-topik atau tajuk kecil. Kecuali daftar pustaka dan indeks pada muka surat 597-621 saya telah membaca setiap muka surat dan setiap patah perkataan tanpa melompat-lompat atau meninggalkan mana-mana bahagian. Sekarang biar dimulakan ulasan.


Selepas beberapa muka surat memberikan pengenalan dan meletakkan latar belakang buku Bab 1 pun bercerita tentang apa itu Melayu. Hal ini dilanjutkan pada Bab 2 yang cuba membawa pengertian Melayu daripada sudut antropologi membawa ke peradaban Melayu-Polinesia (Polynesia). Masuk Bab 3 tentang kerajaan-kerajaan Melayu awal seperti Funan dan Champa juga Bab 4 tentang empayar Sriwijaya dan Majapahit, saya merasakan buku ini biasa-biasa sahaja. Ini kerana sudah melihat apa yang ditulis lebih pada pengumpulan isi daripada pelbagai buku dan sumber, isi-isi yang sudah saya baca dan lihat banyak kali. Pun begitu, pada peringkat ini buku bertajuk Sejarah Melayu ini telah meletakkan landasan untuk merakamkan sebanyak mungkin perkara yang relevan dengan konsep buku. Landasan inilah yang membuktikan nanti buku ini layak disimpan sebagai rujukan akan datang.


Landasan yang dimaksudkan adalah untuk merakamkan perjalanan kerajaan atau dalam buku dipanggil 'kemaharajaan' Melayu yang dikatakan berasal usul daripada penakluk terkenal Raja Iskandar Zulkarnain di Makaduniah (Macedonia), Eropah Timur... bagaimana daripada baginda terbit keturunan yang memerintah di benua Hindi seterusnya muncul di Bukit Siguntang, Palembang kemudian membawa ke Bintan (Bentan) diikuti Singapura, Melaka dan seterusnya. Secara rata apa yang diceritakan adalah sama seperti dinukilkan dalam kitab Sulalatus Salatin karangan atau susunan Bendahara Johor, Tun Sri Lanang 400 tahun lalu. Kitab itulah yang mendapat jolokan nama "Sejarah Melayu", satu nama yang kemudian menjadi sinonim dengan kitab. Sebab itu untuk membezakan buku ini dengan kitab tersebut saya menyebutnya sebagai buku Sejarah Melayu dari Batam.


Saya mula melihat kekuatan buku ini apabila ia mula bercerita tentang Bentan. Dah Batam itu termasuk di dalam lingkungan kepulauan yang sama dan penulis buku ini pula orang Batam, maka haruslah ada cerita-cerita pihak sana yang kurang masyhur pada pihak lain. Masuk hal ini baru saya berjumpa cerita yang belum pernah saya dengar daripada buku atau sumber lain, misalnya tentang raja bernama Azhar Aya yang pernah memerintah Bentan selepas runtuhnya kerajaan Srivijaya. Yang saya tahu cuma Permaisuri Iskandar Syah yang disebut Sulalatus Salatin memerintah Bentan ketika Sang Sapurba dari Bukit Siguntang datang bersama anaknya Sang Nila Utama. Daripada buku ini baru saya tahu Permaisuri Iskandar Syah adalah permaisuri kepada raja bernama Iskandar Syah yang memerintah sebelum itu sedangkan Iskandar Syah pula anakanda Azhar Aya...


Oh. Semua gambar muka surat yang dikongsikan ini boleh dibaca dengan cukup terang setelah dibesarkan. Caranya, buka dalam windows lain. Daripada Bentan cerita membawa kepada pembukaan Singapura oleh Sang Nila Utama, pemerintahan di sana oleh raja-raja keturunan baginda kemudian pembukaan Melaka dan bagaimana pemerintahannya. Ini sama sahaja dengan apa yang dipaparkan dalam Sulalatus Salatin. Namun apa yang dikongsikan dalam buku tetap berguna apa lagi bila ditambah dengan rujukan silang daripada pelbagai sumber termasuk catatan pengembara Barat.


Masuk Bab 9 cerita pahlawan terkenal Melayu iaitu Hang Tuah dan 4 orang sahabatnya pun dimulakan. Umum maklum bahawa terdapat pelbagai dakwaan tentang asal usul Hang Tuah, ada kata dari Kampung Duyung, Melaka ada kata dari Tanah Bugis di Sulawesi Selatan. Ada pula mendakwa dari Kelantan. Buku ini pula menegaskan beliau lahir di Sungai Duyung, Singkep yang kini terletak di dalam kabupaten (daerah) Lingga, kepulauan Riau sebelum dibawa orang tuanya ke Pulau Bentan. Ini nampaknya lebih sesuai dengan penceritaaan asal usul pahlawan itu seperti disebut dalam kitab Hikayat Hang Tuah.

Saya tertarik apabila buku ini menyebut Hang Tuah terkenal dengan semboyannya : "Esa hilang dua terbilang, Tuah Sakti hamba negeri, tak Melayu hilang di bumi". Yang biasa kita dengar adalah Hang Tuah dikatakan menyebut "Takkan Melayu hilang di dunia". Ada pula orang menambah "Takkan Melayu hilang di dunia jika berpegang pada Islam" lalu mendakwa itulah kata-kata penuh Hang Tuah. Saya pernah diberitahu perkataan "Takkan Melayu hilang di dunia" itu sebenarnya mula disebut dalam pementasan cerita Hang Tuah pada zaman moden, tidak disebut beliau sendiri dalam mana-mana kitab mahupun hikayat. Dan seingat saya tidak ada pun ungkapan tersebut dalam kitab Hikayat Hang Tuah. Setelah melihat semboyan "Esa hilang dua terbilang" yang disebut dalam buku baru saya dapat merasakan inilah ungkapan yang tepat dan ia memang pernah keluar daripada mulut pahlawan besar ini.


Bab 10 pula menceritakan peranan Laksamana Hang Nadim yang dinyatakan sebagai penerus Hang Tuah. Ketika ini latar belakang penceritaan buku sudah masuk zaman selepas kejatuhan kota Melaka ke tangan Portugis 1511 dan selepasnya. Hang Nadim disebut sebagai orang paling giat memimpin peperangan demi peperangan untuk menawan kembali kota Melaka. Walaupun tidak berjaya beliau terus berusaha dan berusaha sambil kita masuk pada zaman waris kerajaan Melaka memusatkan pemerintahan di Johor. Saya dapat melihat banyak cerita yang menyerlahkan ketokohan dan kepahlawanan Hang Nadim yang tiada disebut dalam kitab Sulalatus Salatin. Apapun kitab tersebut cuma dapat menceritakan keadaan kerajaan-kerajaan Melayu sampai ke awal abad ke-17 sahaja, ketika penulisnya Tun Sri Lanang masih hidup dan ada kelapangan untuk menjalin cerita. Selepas itu kita harus bergantung pada sumber-sumber lain.


Masuk zaman pemerintahan Johor selepas itulah saya lihat buku Sejarah Melayu dari Batam ini betul-betul terserlah lalu boleh dikatakan meneruskan kalau tidak mengambil-alih pun peranan Sulalatus Salatin dalam merakamkan keadaan zaman. Contohnya penceritaan di atas iaitu pada muka surat 176 yang menyentuh apa yang berlaku di Johor dan sekitar 1614 hingga 1641. Setahu saya Tun Sri Lang masih hidup ketika itu tetapi beliau tidak menyebut keadaan zaman itu dalam Sulalatus Salatin. Mungkin kerana sudah mula berkhidmat di Aceh sebagai seorang raja bawahan yang memerintah di wilayah Samarlanga, satu fakta yang setahu saya mula didedahkan di Malaysia pun melalui seminar sedekad dua yang lalu.


Bab 12 masuk kisah Sultan Mahmud Mangkat di Julang lalu takhta Johor mula dipegang keturunan Bendahara. Masuk sekali bab Raja Kecil (Kecik) dari Siak yang mengaku anak kepada Sultan Mahmud datang menuntut takhta lalu anak beranak Bendahara meminta pertolongan 5 anak Opu Bugis - Daeng Parani, Daeng Merewah, Daeng Chelak, Daeng Menambon dan Daeng Kemasi untuk mendapatkan kembali takhta.


Bab 13, pemerintahan mula berpusat di Riau di mana anak-anak raja Bugis dan keturunan menjadi begitu berkuasa dalam menentukan hala tuju empayar.


Dari Riau pusat pemerintahan beralih ke Daik-Lingga disebabkab bahana perang dengan Belanda yang menyaksikan Yamtuan Muda Riau ke-4, Raja Haji mati syahid di Melaka tahun 1784. Kelihatan muka surat 244, Bab 16.


Sejarah disorot lagi membawa ke zaman Perjanjian Inggeris-Belanda 1824 yang menyaksikan empayar Johor-Riau-Lingga-Pahang, pewaris jajahan takluk Melaka berpecah dua menjadi bahagian yang bakal membentuk negara moden Malaysia dan Indonesia. Perjanjian juga menyaksikan Singapura mula dipegang Inggeris, waktu itu masih dikira bawah Johor tetapi kemudian akan berdiri menjadi negara yang tersendiri.


Selepas itu buku banyak memfokuskan pada bahagian terpecah yang termasuk dalam Indonesia, sesuai dengan asal usul penulis dari Batam.





Pun begitu, apa yang berlaku pada bahagian yang bakal membentuk Malaysia disentuh pada Bab 25. 


Pada Bab 26 penulis menceritakan secara ringkas kerajaan-kerajaan Melayu selain apa yang boleh disebut sebagai legasi Bukit Siguntang (perkataan saya ini, merujuk pada kesinambungan Palembang ke Bentan ke Singapura ke Melaka ke Johor dan sekitarnya). Masa pun diputar kembali ke belakang untuk merangkumi kerajaan seperti Samudera Pasai yang dimulakan pertengahan abad ke-13 Masihi...

Bab selepas itu bercerita tentang perkembangan bahasa Melayu dan tokoh-tokoh yang terlibat.


Buku ini turut menyertakan lampiran merangkumkan tokoh-tokoh utama yang disebut dalam cerita. Secara rata, walaupun saya mendapati ada sedikit kesalahan fakta antaranya akibat typo error (misalnya tahun sepatutnya 1784 tapi jadi 1984) buku ini amat bagus untuk dijadikan rujukan sepanjang zaman kerana telah merangkumkan isi banyak bahan bacaan selain menyertakan pandangan aktif penulis melalui perspektif anak tempatan Batan yang termasuk di dalam kepulauan Riau. Sekian.


Khamis, April 30, 2015

Seminar Panglima Awang di UPSI - Pengesahan daripada Melaka



Sebelum sesi pertama pembentangan tamat diadakan dahulu pembentangan sampingan daripada pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).


Satu rombongan telah pergi ke Kuala Sungai Baru, Melaka untuk melawat rumah yang dikatakan tempat Panglima Awang menetap 500 tahun lalu.


Rumah yang dipanggil Teratak Enrique Malacca ini diselenggarakan oleh seorang yang dikenali sebagai Dato' Paduka Zainal Johan. Disebut pada risalah kecil atur cara majlis bahawa antara objektif seminar adalah mempromosi teratak tersebut di Lot 214, Batu 27, Jalan Kg Tengah, Kuala Sungai Baru, Melaka. Zainal tersenarai sebagai salah seorang pembentang seminar malah menurut atur cara di FB (atur cara yang diterima pagi itu tidak menyebut ini) akan mempamerkan contoh alat pelayaran yang digunakan oleh Panglima Awang. Tetapi sekitar jam 9.30 hadirin diberitahu beliau tidak dapat datang kerana ada masalah.


Saya tersenyum sahaja mendengar itu.  Saya tersenyum lagi melihat cerita yang dikongsikan kepada rombongan pelajar yang datang ke tempat beliau. 


Nasib baik yang datang itu pelajar sastera, kalau pelajar sejarah mungkin mereka terus tak layan lagi cerita Zainal. Bagaimana mahu dilayan? Ketika Panglima Awang selesai mengelilingi dunia tahun 1520an, dia sudah berumur sekitar 30an kerana ditawan Portugis 1511 ketika berumur antara 18 hingga 20 tahun. Belanda masuk bertapak di Melaka pada tahun 1641, selepas bersama kerajaan Johor mengalahkan Portugis. Tahun itu, kalau Panglima Awang masih hidup umurnya harus sekitar 150 tahun. Tak mustahil tetapi tak pernah lagi saya mendengar cerita orang bernama Panglima Awang yang dikatakan pernah mengelilingi dunia bersama armada kapal Ferdinand Magellan itu menyerang kapal Belanda. Malah saya tidak pernah mendengar apa-apa pasukan Melayu pernah menyerang Belanda pun hinggalah tahun 1784 apabila Raja Haji ibni Daeng Chelak begaduh dengan kuasa Barat itu. Ini kerana kerajaan Johor yang mewarisi jajahan takluk Melaka pernah berpuluh tahun bekerjasama dengan Belanda untuk mengalahkan Portugis. Selepas itumereka terus bekerjasama sampailah ternyata kaum kafir itu bukanlah kawan yang setia.. Ke Zainal nak kata ini adalah sejarah yang disembunyikan? Mungkin pembaca boleh membuat kajian lanjut... 


Hal sejarah versi Zainal yang tidak konsisten dengan fakta sejarah yang diketahui pengkaji bertauliah itu malah disentuh pembentang seterusnya, tuan Mohd Zamberi Abdul Malek, mantan karyawan UM (Universiti Malaya) dan UKM (Universiti Kebangsaan Malaysia). Beliau mengingatkan pelajar yang hadir agar menyemak dahulu fakta sejarah, tempoh masa berlaku suatu peristiwa dan sebagainya, jangan percaya bulat-bulat apa-apa cerita orang. Membawa tajuk “Penelitian Semula Susur Galur Perjuangan Panglima Awang Selaku Orang Melayu Pertama Mengelilingi Dunia” beliau sebelum itu mengajak hadirin cuba menyaring yang manakah fakta yang manakah pendapat juga imaginasi apabila bercakap tentang Panglima Awang. Ini kerana banyak dakwaan telah dibuat termasuk tentang asal usul beliau, ada kata dari Melaka, ada kata dari Rembau sedangkan apa yang boleh disebut sebagai fakta cuma sedikit sahaja. selain daripada itu boleh kata semua cerita berkenaan Panglima Awang yang masyarakat umum dengar adalah interpretasi kreatif para penulis novel terhadap keadaan walaupun bersandar pada fakta.


Zamberi bercakap terus tanpa menggunakan slaid. Apa yang saya nampak beliau menyelak nota-nota dalam tangan. Turut disebut keadaan selepas kejatuhan kota Melaka ke tangan Portugis tahun 1511, bagaimana keadaan Sultan Mahmud dan para pengikut selepas itu yang cuba melanjutkan perang melawan Portugis dan cuba memerdekakan kota Melaka daripada beberapa tempat, antaranya Pagoh di Muar membawa ke kepulauan Bintan di selatan Singapura sebelum baginda mangkat di Kampar 1528.


Saya agak terpegun dengan fakta-fakta yang dikemukakan Zamberi tentang Panglima Awang.Rupa-rupanya beliau mengambil rujukan daripada buku mahal terbitan kerajaan Melaka ini, kalau tak salah buku tahun 2009. Zamberi pun rupa-rupanya meminjam daripada Dt Talib Samat. Saya meminjamnya sebentar untuk mengambil beberapa gambar.


Nah. Saya pilih beberapa muka surat yang dirasakan paling relevan selepas buku diimbas pantas. Pembaca boleh membuka dalam windows lain agar kelihatan lebih terang...





Berbanding novel-novel yang membenarkan imaginasi penulis melencongkan fakta, satu perkara yang diterima dengan senang hati dalam dunia sastera tetapi menjadi kesalahan besar dalam dunia pengkajian sejarah, apa yang terpapar dalam buku mewah berharga RM350 senaskah ini cukup ilmiah dan boleh dipertanggungjawabkan. Untuk menerbitkan buku kerajaan Melaka telah mengeluarkan perbelanjaan yang besar. Panel penulis telah cuba menjejak sebaik mungkin semua tempat yang pernah disinggahi watak pengembara yang dipanggil Panglima Awang itu dalam perjalanannya mengelilingi dunia. Ini dibuat merujuk kepada catatan perjalanan rombongan armada Magellan seperti yang tersimpan di Sepanyol malah diketahui ramai sejak beberapa lama...





Sudah disebut dalam artikel Seminar Panglima Awang di UPSI - Membedah karya tentang sosok sang pengembara bahawa tiada siapa yang tahu nama sebenar pengembara tersebut. Panglima Awang sebenarnya adalah nama yang diberi oleh penulis Harun Aminurrashid, orang Singapura yang pernah belajar dan mengajar di Maktab Perguruan Sultan Idris (yang kemudian menjadi UPSI atau Universiti Perguruan Sultan Idris itu) merujuk pada watak yang disebut Barat sebagai Enrique atau Henry. Beliaulah yang menyebabkan nama itu mula disebut ramai, Ini adalah susulan terbitnya novel beliau yang bertajuk "Panglima Awang" 1983.


Saya paling tertarik dengan kenyataan Zamberi bahawa Harun Aminurrashid menulis berdasarkan 3 sumber yang tak sepanjang mana pun cerita, namun amat berpotensi untuk dikembangkan lebih lanjut. Ia merupakan tulisan akhbar dan majalah tahun 1944-1956 seperti  diulisan di atas. Tulisan itu sendiri bersumberkan daripada 3 perkara. Ini merupakan wasiat Magellan tentang bagaimana Enrique harus diperlakukan jika beliau mati, catatan pengganti Magellan iaitu Duarte Barbosa diikuti catatan sarjana Itali,  Antonio Pigafetta yang ikut sama belayar.


Pembentang ketika dan terakhir, saudara Rosli Mohd. Sah adalah kawan lama saya yang dikenali sejak saya rajin masuk ke satu forum Internet untuk mempromosi siri trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" iaitu selepas buku pertama siri terbit Jun 2006. Beliau yang diperkenalkan sebagai editor syarikat penerbitan buku Yamani Angel telah menulis novel "Panglima Awang Penguasa Lima Lautan" tahun 2014.


Membawa tajuk "“Proses Kreatif dan Pengalaman Menulis Novel Panglima Awang Penguasa Lima Lautan” beliau menegaskan bahawa tidak banyak catatn sejarah boleh ditemui tentang Panglima Awang. Maka itu rata-rata penulis mengambil sikap membuat interpretasi sendiri terhadap keadaan lalu tiada siapa pun boleh mengaku memiliki fakta yang lengkap atau lebih bagus. Beliau ada menyebut bahawa nama Enrique yang diberikan oleh Barat itu sebenarnya adalah nama kucing belaan Magellan. Saya terlupa hendak bertanya daripada manakah beliau dapat kenyataan ini. Yang saya ingat beliau ada menunjukkan rujukan berupa rekod perjalanan salah seorang pelayar yang pernah bersama (saya terlupa pula Pigefetta ke Barbosa) yang diperolehi melalui Internet.


Tamat pembentangan seorang hadirin mengambil peluang untuk berkongsi pandangan tentang Panglima Awang. Kata beliau ada usaha pihak tertentu agar nama anak Melayu yang hebat ini tidak lagi disebut orang. Kata beliau ada pihak tertentu telah membeli hak cipta daripada novel Harun Aminurrashid (kalau tak salah dengar dan ingatan le) dengan janji mahu menerbitkan filem tentang manusia hebat yang berjaya mengelilingi dunia itu. Tetapi sudah beberapa lama masih tak terbit malah tidak pernah kelihatan pun usaha untuk menerbitkan, seolah-olah ia sengaja diperam dan disenyapkan.

Selepas itu aworang pelajar UPSI membacakan sajak berkenaan Panglima Awang.


Seorang lagi membaca sajak. Sambil itu saya membelek lagi buku.



Nah, Peta pelayaran Panglima Awang yang tertera pada bahagian akhir buku. Memang patut kisah ini diangkat agar dapat dikenali dan dicontohi lebih ramai anak Melayu.



Rabu, April 29, 2015

Seminar Panglima Awang di UPSI - Membedah karya tentang sosok sang pengembara

Keluar daripada mood pesta buku seperti dipaparkan pada 2 artikel sebelum ini. Masuk satu majlis ilmu di luar Kuala Lumpur.


Pagi tadi saya bertolak ke Tanjung Malim, Perak.


Ada Seminar Mengantarabangsakan Kepahlawan Panglima Awang Orang Melayu Pertama Mengeliling Dunia di bangunan yang kelihatan di Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI).


Saya sampai sekitar jam 9.20 pagi sedangkan menurut pengumuman yang dilihat di Facebook ia bermula jam 8. Menurut atur cara yang diterima pagi itu pula saya telah terlepas satu pembentangan sampingan oleh pelajar. Sesi pembentangan sebenar dimulakan selepas itu iaitu pada jam 8.30 dengan tajuk " “Ilmu Pelayaran Dalam Novel Panglima Awang Karya Harun Aminurrashid” oleh Hasrina Baharum daripada Fakulti Bahasa dan Komunikasi UPSI. Ketika saya sampai pembentangan ini baru sahaja selesai dan nama Hasrina masih terpampang pada skrin di hadapan dewan.


Pembentang kedua Prof Madya Dr Talib daripada fakulti yang sama pula membawa tajuk “Biografi dan Sumbangan Harun Aminurashid dan Penulis Lain Yang Menulis Tentang Panglima Awang dan Keturunannya”. Saya tak tahu kenapa seperti tidak mendengar sangat cerita tentang Harun Aminurrashid, orang yang boleh dikatakan manusia pertama menulis panjang lebar tentang sosok pahlawan atau lebih tepat, pengembara yang dipanggil Panglima Awang itu. Yang saya ingat adalah beliau menyebut latar belakang 3 orang penulis lain yang telah menulis novel tentang sosok yang sama, tarikh lahir, pelajaran, pekerajaan dan pengalaman mereka.


Sekitar jam 9.45, pembentang ketiga tuan Zabidin Haji Ismail, presiden Persatuan Karyawan Perak membawa tajuk "Kupasan dan Kritikan Empat Buah Novel Berkaitan Panglima Awang".


Tajuk yang disebut tadi adalah menurut senarai pembentangan yang saya lihat di FB. Semasa pembentangan kelihatan beliau memakai tajuk lain tetapi membawa maksud yang sama. Melihat slaid ini kelihatan perkataan Litt D di belakang nama pembentang. Bukankah ia adalah singkatan untuk Doctor of Letter, sama dengan PhD tetapi dalam bidang persuratan? Sebetulnya saya sedikit keliru melihat ini. Apakah beliau patut dipanggil sebagai Dr Zabidin? Saya lihat tiada gelaran Dr tertera baik pada atur cara yang diterima pagi itu mahupun di FB.

Apapun, kalau tak salah ingatan saya, semasa masih bertugas sebagai wartawan di The New Straits Times 1995-2001 gelaran Dr untuk mana-mana orang kalau memang ada dan layak harus digunakan ketika nama orang itu pertama kali disebut atau first mention dalam penulisan/laporan akhbar. Selepas itu cuma mereka yang memiliki Dr dalam bidang perubatan sahaja disebut lagi dengan gelaran, lain-lain Dr termasuk pemegang PhD juga honorary (gelaran terhormat) setakat sebut nama. Maka biar beliau disebut sebagai Zabidin sahaja sekarang menurut kebiasaan dalam dunia kewartawanan. Bukan kurang ajar panggil orang tua dengan nama sahaja tetapi itulah cara dalam dunia penulisan menurut sedikit formaliti.


Zabidin memulakan dengan menyebut 4 buah novel yang ditulis 4 orang berlainan tentang Panglima Awang. Untuk butiran lihat sahaja slaid. Kalau tak cukup terang, sila buka dalam windows lain. Cukuplah saya menyatakan usaha pertama dilakukan oleh Harun Aminurrashid lalu diterbitkan 1983, yang lain-lain dibuat 20 tahun dan lebih selepas itu. Nampaknya itulah sahaja novel yang pernah ditulis tentang Panglima Awang.


Daripada pemerhatian beliau keempat-empat novel digarap berdasarkan sumber-sumber Barat yang tersenarai di atas. Untuk mereka yang masih belum jelas, Panglima Awang adalah nama yang diberikan terhadap seorang anak muda Melayu yang ditangkap oleh Portugis kemudian dibawa ke Goa seterusnya Lisbon diikuti Sepanyol. Nama sebenar beliau tidak diketahui. Barat menyebutnya sebagai Enrique juga Henry...


Latar belakang pelayaran Panglima Awang bermula apabila dibawa menyertai ekspedisi pelayar terkenal Sepanyol, Ferdinand Magellan, orang yang dicatat dalam sejarah rasmi tulisan Barat sebagai manusia pertama mengelilingi dunia walhal tidak. Mereka belayar ke arah Barat dari Sepanyol menyeberangi Lautan Atlantik seterusnya Pasifik sebelum sampai ke Asia Tenggara. Magellan sebenarnya terbunuh di Filipina lalu tidak dapat melengkapkan pusingan. Cuma sejumlah orangnya sahaja dapat kembali ke tempat pelayaran bermula...


Sedikit fakta sokongan. Walaupun ada menyebut Panglima Awang tidak ikut kembali ke Sepanyol tetapi lari ke Melaka beliau tetap telah mengeliling dunia. Ini kerana hakikatnya pelayaran beliau bermula setelah dibawa dari Melaka ke Sepanyol. Jadi dengan kembalinya beliau ke Melaka itu sudah cukup satu pusingan, tidak perlu pun mengikut rombongan kembali ke Sepanyol.


Sebetulnya pelayaran ini mengalami banyak masalah. Cuma 18 orang sahaja tersenarai selamat kembali ke tempat bermula...


Sekarang baru dimulakan analisis Zabidin terhadap 4 buah novel yang bercakap tentang Panglima Awang setakat ini...





Sebagai novel tentunya banyak perkara telah diolah menurut imaginasi penulis. Maka jangan hairanlah jika ada yang lari daripada fakta juga bercanggah cerita antara satu sama lain.


Watak atau sosok Panglima Awang itu sendiri dikenali dengan beberapa nama/panggilan.


Meneliti 4 novel satu demi satu, Zabidin pun menyenaraikan apa yang boleh disebut sebagai maklumat penting daripada setiap karya...




















Gambar ini saya snap ketika slaid sedang bertukar. Cukuplah dikongsikan apa yang ada ini ya. Tak perlu lagi saya mengulas panjang. Untuk pengetahuan ini adalah artikel ke 1,319 di blogspot ini.