Hmm... Apa punya tajuk pulak ini? Sebelum saya menyambung cerita, eloklah dibaca sebuah artikel yang baru muncul di dalam Berita Harian edisi 13 Januari 2008... Opps, Berita Minggu sebab hari itu hari Ahad minggu lepas. Untuk cerita
on-linenya boleh klik
sini . Biar saya
copy and
paste di bawah...
PANDUAN Pelayaran berusia 300 tahun dipercayai digunakan Daeng Parani ketika menjelajah ke Tanah Melayu
MAKAM Daeng Parani yang terletak di Kampung Lubuk Ekor dekat Sidam Kiri, Sungai Petani.
ARTIFAK lama dipercayai milik Daeng Parani.
Daeng Parani maut dibedil meriam
Oleh Johari Ibrahim
Raja Kechil tolak cadangan damai menyebabkan berlaku peperangan selama setahun dengan Raja Kedah
PENEMUAN makam Daeng Parani, tokoh yang terbabit secara langsung dalam percaturan politik Kedah lama pada kurun ke-18 di Kampung Ekor Lubuk, Sidam Kiri dekat Sungai Petani, menambah satu lagi produk pelancongan bersejarah negeri itu. Usaha menjejaki peninggalan Daeng Parani dikatakan dilakukan sejak lebih 30 tahun lalu oleh keturunannya yang ramai tinggal di kampung berkenaan.
Usaha lebih terancang dan agresif dengan kajian ilmiah berpandukan buku Sejarah Melayu yang ditulis oleh Raja Ali Haji, Tuhfat al-Nafis, hanya dilakukan oleh Persatuan Keturunan Opu Dahing Parani sejak kira-kira dua tahun lalu. Selain itu, cerita mengenai Daeng Parani juga disebut dalam buku sejarah lama lain seperti Salasilah Melayu dan Hikayat Siak.
Setiausaha persatuan itu, Roshaliza Abdul Razak, berkata kajian agresif dan ilmiah dimulakan pada 6 Ogos 2006 dengan tujuan untuk mengeratkan hubungan silaturahim sesama ahli keturunan tokoh berkenaan. Kemuncak kepada usaha menjejaki peninggalan Daeng Parani apabila forum yang dianjurkan oleh Persatuan Sejarah Negeri Kedah (PSNK) pada 13 Mei 2007 bersetuju dan menegaskan makam Daeng Parani terletak di kampung berkenaan.
Forum berkenaan yang khusus untuk membincangkan lokasi makam tokoh itu dipengerusikan oleh pensyarah sejarah Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Madya Mohd Isa Othman dan panel dianggotai oleh Pensyarah Sejarah Universiti Malaya (UM), Prof Abdullah Zakaria Ghazali dan Pengerusi PSNK, Datuk Wan Samsuddin Mohd Yusof. Pembabitan Daeng Parani serta empat saudaranya, Daeng Marewah, Daeng Menambun, Daeng Celak dan Daeng Kemasi, dalam politik Kedah lama bermula apabila dia dipanggil oleh Raja Kedah pada 1720-an untuk membantu dalam isu perebutan takhta.
Misi Opu Bugis Lima Bersaudara itu ialah membantu mengambil alih takhta daripada adinda Raja Kedah ketika itu dengan sokongan kuat orang Bugis dan Mengkasar. Abdullah Zakaria dalam kertas kerjanya pada forum berkenaan menyatakan pembabitan Daeng Parani dan saudaranya dalam politik Kedah apabila dia mengutus surat kepada Raja Kechil mengenai cadangan pembahagian kuasa dan tugas bagi mengelak sengketa.
Bagaimanapun, Raja Kechil menolak cadangan itu dan berlaku peperangan yang berlarutan selama setahun antara gerombolan Raja Kedah dan Raja Kechil. Daeang Parani terkorban dalam pertempuran kali kedua walaupun angkatan Raja Kechil tewas, yang dikatakan berlaku dekat Kampung Ekor Lubuk dan dikebumikan secara adat raja-raja di situ oleh saudaranya.
Dia dikatakan meninggal dunia apabila dibedil dengan meriam oleh Raja Kechil ketika mahu melabuhkan perahunya dekat Sungai Muda untuk berdepan dengan Raja Kechil. Selain Kedah, Daeng Parani lima bersaudara itu yang dikatakan tinggi ilmu agama dan pelayaran juga terbabit secara langsung dalam politik Johor, Selangor, Negeri Sembilan yang disebut Linggi dan Perak ketika itu.
Roshaliza berkata, sehingga ini PSNK mengiktiraf bahawa makam itu adalah pusara Daeng Parani manakala Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan dikatakan dalam proses untuk membaikpulih kawasan pusara supaya menjadi tapak lawatan orang ramai.
"Sehingga ini, kami berjaya mengumpulkan kira-kira 5,000 ahli keturunan Daeang Parani di beberapa negeri seperti Kedah, Perlis dan Pulau Pinang," katanya. Pahlawan Melayu gunakan baju, topi besi ketika berperang
DAENG Parani disifatkan sebagai pahlawan yang mempunyai ilmu agama dan pelayaran yang tinggi sehingga membolehkan dia dan empat saudaranya mengembara dengan kapal kecil dari Kepulauan Sulawesi ke Tanah Melayu. Setiausaha Persatuan Keturunan Opu Dahing Parani, Roshaliza Abdul Razak, berkata perkara itu terbukti dengan kewujudan sekeping jadual pelayaran yang mempunyai gambar haiwan tertentu, kapal dan simbol tertentu dan bertulisan Jawi tetapi amat sukar difahami yang dipercayai ada kaitan dengan jadual pelayaran Opu Bugis Lima Bersaudara itu.
Malah, lima bersaudara itu juga dikatakan mula menggunakan baju dan topi besi ketika berperang, peralatan yang dianggap maju ketika itu dan menggerunkan lawan.
"Mereka juga adalah keturunan Raja di kepulauan itu dan kecuali Daeng Parani, semua empat adik-beradiknya pernah menduduki takhta di beberapa kawasan di Indonesia," katanya.
Berdasarkan catatan dalam Tuhfat al-Nafis, lima bersaudara itu amat rapat antara satu sama lain dan keempat-empat beradik, Daeng Chelak, Daeng Marewah, Daeng Menanbung dan Daeng Kemasi amat patuh kepada arahan Daeng Parani. Bukti kepada kesepakatan itu apabila Daeang Parani berangkat ke Siak untuk berbincang dengan empat saudaranya itu mengenai strategi apabila dia menerima surat daripada Raja Kedah memohon bantuan berkaitan perselisihan takhta.
Lima bersaudara itu adalah anak kepada Raja Bugis, Opu Tendriburang Daeng Rilaga, putera kepada La Maddusalat, yang memerintah Luwuk, Indonesia ketika itu. Roshaliza berkata, jadual pelayaran itu disimpan oleh keluarganya sehingga turun temurun selain beberapa artifak lain seperti tempayan dan pedang.
Lima bersaudara itu dikatakan datang ke Kedah pada 1724 sekali gus terbabit dengan politik negeri itu ketika itu. Selepas mangkat, makam Daeng Parani di Kampung Ekor Lubuk dekat Sungai Petani dikatakan disembunyikan manakala ahli keluarganya di situ tidak dinamakan dengan Daeng bagi mengelakkan daripada dijadikan mangsa dendam oleh angkatan Raja Kechil yang ditewaskan.
Info Daeng Parani Lima Bersaudara
- Mereka adalah anak kepada Raja Bugis, Daeng Rilaka (Opu Tanderi Burung)
- Jalan utama di Kuala Lumpur seperti Raja Bot dan Raja Mahdi mengambil sempena keturunan lima bersaudara itu.
- Kecuali Daeng Parani yang meninggal dunia di Kedah, empat lagi saudaranya meninggal dunia di Riau, Indonesia.
- Buku Sejarah Tanah Melayu dan Sekitarnya mencatatkan takhta kerajaan Johor sekarang adalah waris langsung daripada perkahwinan Daeng Parani dengan Tengku Tengah, anakanda kepada Sultan Abdul Jalil IV (1699-1718)
- Buku yang sama mencatatkan takhta Selangor sekarang adalah daripada keturunan Daeng Celak yang mangkat pada 1745.
---------------------------
OK. Sekarang barulah saya boleh menyambung cerita, tentang apa yang berlaku kepada saya baru-baru ini.
Adapun seperti yang ramai pembaca blogspot ini sedia maklum, saya baru sahaja kembali daripada satu pengembaraan mengelilingi Johor meliputi daerah-daerah utama di negeri selatan ini iaitu Muar, Batu Pahat, Pontian, Johor Bahru, Kota Tinggi, Mersing, Kluang dan Segamat. Kemudian sempat bersantai di lereng Gunung Ledang sebelum bermalam di Tangkak seterusnya singgah di Pengkalan Kempas, Linggi, Negeri Sembilan.
Selepas beberapa hari kembali ke Kuala Lumpur, saya telah bertemu seorang rakan dari Ipoh. Rakan ini menyatakan mahu ke Kedah tidak lama lagi dan mengajak saya turut serta. Walaupun saya sebenarnya masih kepenatan, gerak hati ini menyuruh agar turut ke sana. Dipendekkan cerita, pada hari Sabtu saya telah bergegas menaiki keretapi ke Ipoh dan keesokannya baru mengikut rakan ini ke Kampung Ruat, Yan, Kedah.
Rakan ini sebenarnya mempunyai tugasan di beberapa lokasi di utara. Sementara dia bekerja, bolehlah saya berjalan ke mana-mana saya suka dan dirasakan perlu. Apabila mendapat tahu saya ingin berjalan-jalan, seorang rakan lain yang lebih tua, pemilik rumah tempat kami bermalam di Kampung Ruat menghubungi rakannya di Sungai Petani memintanya tolong membawa ke mana-mana yang saya kehendaki.
Biasanya saya lebih selesa berjalan sendiri, samada menaiki bas, berjalan kaki ataupun hitchiking menumpang kenderaan orang. Tetapi apabila rakan di Ruat ini beriya-iya mahu menyuruh rakan di Sungai Petani menolong, saya anggap ia sebagai sebahagian "arahan" dan gerak daripada Allah Ta'ala akan arah perjalanan saya untuk hari seterusnya iaitu hari Isnin.
Memandangkan rakan dari Ipoh perlu membuat tugasan di Seberang Perai dan Pulau Pinang, saya pun menumpang sampai ke Sungai Petani untuk bertemu rakan baru (baru bagi saya, lama bagi rakan-rakan lain ini) di sana. Hmm... Susah juga kalau tak disebut nama... Perlu dipanggil sebagai rakan daripada Kampung Ruat, rakan daripada Ipoh dan rakan daripada Sungai Petani pula... Panjang...
Baiklah. Biar disebut nama. Yang di Kampung Ruat dipanggil Pak Chak, orangnya berumur penghujung 50an. Yang dari Ipoh berumur sekitar 35 tahun, di Sungai Petani 40 tahun. Yang menarik, kedua-duanya bernama Badrul. Kita panggil Badrul Ipoh dan Badrul Sungai Petani ya... Atau lebih ringkas, Bad Ipoh dan Bad SP.
Bad Ipoh menghantar saya sampai ke rumah Bad SP lalu mengenalkan kami sebelum pergi. Setelah selesai mandi dan bersiap-sedia, Bad SP bertanya ke mana saya mahu pergi... Saya sudah memikirkan hendak menziarahi Makam Daeng Parani seperti yang tertera dalam artikel Berita Harian di atas ini. Lagipun saya sudah lama ingin hendak ke sana, sejak beberapa bulan lalu apabila mendapat tahu tentang kewujudannya.
Saya juga teringin untuk menziarahi sebuah makam lama yang dikenali sebagai Makam Tok Soh. Kedua-duanya saya belum pernah sampai, begitu juga Badrul belum pernah ke sana. Nasib baik dia tidak pelik mendengar hasrat saya ke makam-makam kerana sudah mengenali ramai orang yang kecenderungannya hampir serupa... Dipendekkan cerita setelah bertanyakan arah kepada beberapa orang rakan lain selain membuat rujukan di Internet, baru kami dapat tahu kedua-dua makam ini terletak dalam satu perjalanan daripada Sungai Petani menghala ke Kulim. Lalu pergilah kami ke sana, mula-mula ke Makam Tok Soh yang lebih dekat kemudian baru ke Makam Daeng Parani. Ketika hendak ke Makam Daeng Parani, kami terlajak beberapa kilometer lalu terjumpa sebuah masjid dengan rekabentuk yang agak unik. Insyaallah akan saya paparkan di
blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) suatu hari nanti...
Apapun, sepertimana di Makam Tok Soh, masjid unik tadi malah di mana-mana tempat dan pemandangan yang menarik perhatian, saya pun mula sibuk mengambil gambar di Makam Daeng Parani. Tetapi di sana, saya menghadapi masalah kamera... Entah kenapa, gambar yang diambil tidak lekat. Atau lekat sekejap kemudian tidak dapat dibaca. Ah! Apa ini? Pening kepala saya memikirkannya. Sehinggakan saya tidak senang duduk sepanjang perjalanan kembali sekitar 20km ke Sungai Petani kerana mahu mencari akal menyelesaikan masalah ini... Selain risau kamera rosak dan tidak boleh dipakai, saya takut kehilangan banyak juga gambar yang telah diambil kebelakangan itu...
Ketika berehat makan tengahari di pinggir SP, baru saya sedar yang memory card saya sudah rosak, sudah short-circuit. Baru teringat, hari sebelumnya, kamera digital murah itu sudah terkena titisan air di dalam bilik air tetapi saya lupa hendak memeriksa dengan lebih teliti kerana ia kelihatan masih berfungsi dengan baik. Rupa-rupanya kesannya baru kelihatan setelah beberapa waktu kamera itu digunakan. Patutlah kelihatan seperti habuk-habuk dan karat pada bahagian tembaga di memory card sedangkan sebelum ini tidak pernah terjadi begitu.
Itupun nasib baik kamera itu sendiri tidak rosak. Kalau tidak lagilah susah. Apapun, saya perlu membelanjakan sejumlah wang untuk membeli memory card baru. Apa yang membuat saya terkilan adalah kehilangan segala gambar-gambar yang diambil beberapa hari kebelakangan termasuk di Makam Diraja Perak di Bukit Chandan dan Makam Sultan Muzaffar Shah Kedah pada hari Ahad. Dan tentu juga turut hilang gambar-gambar yang diambil di Makam Tok Soh, masjid unik tadi dan Makam Daeng Parani.
Saya cuba menyedapkan hati... Sekurang-kurang perkara ini berlaku sekarang, tidak selepas sudah lebih lama berjalan dalam pengembaraan terbaru ini atau berlaku lebih awal. Bayangkan jika kerosakan ini berlaku sejurus selepas selesai pengembaraan di Johor dan gambar belum sempat diletakkan ke dalam komputer. Tentu saya kehilangan lebih 500 gambar yang diambil sepanjang perjalanan mengembara penuh penat-lelah.
Apapun, saya teruskan perjalanan yang rasanya patut dibuat untuk hari itu... Dan ia harus dibuat bersendirian kerana Bad SP ada urusan. Saya anggap tidak ada rezeki mendapatkan gambar Makam Toh Soh dan Makam Daeng Parani. Oh... Turut hilang adalah gambar terbaru makam moyang saya Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di Bukit Chandan... Setelah lebih kurang 16 bulan dibawa kembali daripada buangan di Singapura. Untuk mengetahui apa ceritanya, sila baca cerita
Pengembalian jenazah Laksamana Muhammad Amin ke Makam diraja Bukit Chandan... dan cerita-cerita berkaitan... Dalam gambar terbaru ini baru kelihatan makam laksamana dibina cantik dengan batu mar-mar berbanding dengan ditanda kepingan papan ringkas sahaja sebelum ini...
OK... Kembali kepada rancangan perjalanan hari itu... Sekitar setahun lepas, dalam lawatan kali pertama saya ke daerah Yan yang terletak di kaki barat Gunung Jerai, saya sempat melawat pekan Tanjung Dawai yang terletak di sebelah utara muara Sungai Merbok yang agak luas. Ceritanya ada di
Incursion to Tanjung Dawai... Daripada sana, saya dapat melihat perkhidmatan bot menyeberang sungai ke Pantai Merdeka, maka saya ada menyimpan hajat untuk ke sana, seeloknya dengan menaiki bot.
Dalam pengembaraan dahulu yang turut meliputi Pulau Pinang, Pulau Langkawi dan Perlis selain mendaki Gunung Jerai seorang diri pada malam Jumaat, saya juga sempat singgah ke Kuala Muda atau Kuala Sungai Muda. Cuma ketika itulah baru saya tersedar bahawa Kuala Muda yang saya pergi adalah yang di dalam Seberang Perai, bukan di dalam Kedah. Maka kalau boleh saya teringin untuk ke Kuala Muda yang di Kedah juga.
Lalu dalam fikiran saya ada memikirkan ingin pergi ke Kuala Muda di Seberang Perai lalu menyeberang ke Kuala Muda di Kedah menaiki bot. Kemudian pergi ke Kota Kuala Muda (yang ini saya sempat pergi tahun lepas) sebelum melalui Bukit Meriam menghala ke Pantai Merdeka lalu menaiki bot ke Tanjung Dawai. Kemudian baru akan mendapatkan apa-apa pengangkutan untuk kembali ke tempat menginap di rumah Pak Chak di Kampung Ruat, Yan. Tetapi rancangan itu sudah sedikit kacau dan masa menjadi suntuk akibat masalah kerosakan kamera tadi. Selain mengganggu mood dan tumpuan, saya terpaksa meluangkan banyak masa untuk mencari ganti memory card yang sesuai (murah tapi cukup berkesan)...
Saya melangkah dalam keadaan sedikit serba salah. Ketika selesai hal berkenaan kamera, jam sudah hampir 2 petang. Kalau mahu berjalan ke mana pun saya harus ingat, ada tempat yang tidak ada pengangkutan awam lagi selepas jam 5 sedangkan saya harus memastikan dapat kembali ke Kampung Ruat hampir 40km daripada SP. Lalu bagaimana ini? Haruskah saya menangguh perjalanan ini dahulu? Kebetulan bateri handphone saya hampir kehabisan cas, menunggu masa sahaja untuk mati sedangkan bateri spare tertinggal di rumah Pak Chak. Allah! Macam-macam...
Apapun saya pergi ke stesyen bas SP. Kalau perlu kembali ke Ruat pun memang harus mengambil bas di sana. Ternyata Allah telah menyediakan jawaban kepada dilema saya... Sebaik sahaja sampai, kelihatan bas ke Kota Kuala Muda baru hendak meninggalkan stesyen. Saya terfikir boleh juga ke Kuala Muda Kedah. Pedulikan Kuala Muda di Seberang Perai kerana saya sudah sampai malah pernah bermalam di sana.
Di dalam bas itu baru saya tahu tidak terdapat apa-apa perkhidmatan bas ke Kuala Muda Kedah. Kalau mahu ke sana juga perlu menaiki teksi atau menumpang kenderaan orang... Menumpang kenderaan orang tidak jadi masalah jika tidak kesuntukan masa sedangkan saya ada destinasi-destinasi lain yang ingin dituju, menaiki teksi pula memerlukan belanja yang agak besar... Rupa-rupanya selepas pergi ke Kota Kuala Muda, bas itu terus pergi ke Pantai Merdeka melalui Bukit Meriam. Lalu saya membuat keputusan untuk terus ke Pantai Merdeka.
Sampai di sana, maka tertunailah hajat lama yang disimpan ketika sampai di Tanjung Dawai tahun lepas. Maka saya berkira pula hendak menaiki bot penambang menyeberangi Kuala Sungai Merbok daripada Pantai Merdeka ke Tanjung Dawai. Ternyata saya salah perkiraan... Bot penambang yang ada cuma akan bergerak jika terdapat 6 penumpang atau lebih sedangkan semasa itu hari minggu, tidak ramai orang... Kalau adapun mereka semua berkenderaan sendiri dan tidak perlu menggunakan bot. Kalau saya mahu menyeberang juga, maka perlu menyewa sebuah bot seorang diri... Mahal dan rugi!
Saya pun menukar rancangan. Nampaknya saya perlu mengambil bas kembali ke Sungai Petani. Saya pun menghubungi Bad Ipoh yang juga perlu kembali ke Kampung Ruat nanti. Janjinya, selesai urusan di Seberang Prai dan Pulau Pinang, kami akan berjumpa di SP sekitar jam 4.30 petang tapi tak confirm lagi, nanti baru diberitahu dan dipastikan tempat dan waktu... Ketika itu sudah sekitar jam 3...
Adapun perkhidmatan bas SP-Kota Kuala Muda-Pantai Merdeka ini cuma berjalan sejam sekali, Saya pun menghabiskan masa dengan berjalan-jalan di sekitar Pantai Merdeka lalu pergi makan rojak buah... Kemudian datang sakit perut pula... Sudah... Lama mencangkung di dalam tandas. Kemudian baru menyelesaikan solat wajib yang boleh diqasarkan dan dijamak.
Keluar daripada surau pula timbul rasa untuk berjalan-jalan lagi di tepi pantai. Tidak lama kemudian baru saya ternampak bas baru meninggalkan Pantai Merdeka sedangkan saya berada 200 meter daripada hentian! Memang tak sempat kejar... Jam pula hampir 4 petang sedangkan bateri handphone saya sudah kong langsung ketika itu! Allah! Bagaimana mahu bertemu dengan Bad di SP jam 4.30 petang sedangkan bas seterusnya cuma akan muncul sejam kemudian? Bagaimana pula mahu menghubunginya atau dia menghubungi saya sedangkan handphone saya sudah mati? Allah!
Ah... Daripada duduk termangu, baik berjalan kaki menghala ke SP. Insyaallah, boleh cuba tahan dan tumpang sesiapa dalam perjalanan. Lalu saya mula meninggalkan kawasan peranginan Pantai Merdeka. Dengan kuasa Allah, tidak lama kemudian muncul seorang lelaki dewasa menaiki motosikal lalu saya tahan. Kebetulan dia memang hendak ke Sungai Petani. Masalahnya cuma dia tidak membawa topi keledar lebih.
Apapun dia sudi menumpangkan sejauh mana yang boleh, Sekali lagi dengan kuasa Allah, sekitar 2km sebelum sampai pekan Kota Kuala Muda, dia dapat melihat bas merah ke SP sedang bergerak, bas yang baru sekitar 5 minit meninggalkan Pantai Merdeka ketika saya bertembung dengan orang ini di Pantai Merdeka tadi... Dipendekkan cerita, kami dapat mengejar dan memotong bas ini lalu saya dapat menaikinya di Kota Kuala Muda dan selamat sampai di SP sekitar jam 4.30 petang.
Masalahnya bagaimana hendak berjumpa dengan Bad Ipoh sedangkan semasa meninggalkan pesanan tadi, saya setakat sempat memberitahu jumpa di sekitar stesyen bas 4.30 petang, itupun tak pasti kerana saya ada memberitahu cuma akan membuat confirmation nanti. Sekarang, nak confirm macamana sedangkan handphone saya tidak dapat dipakai dan dihubungi. Sampai di stesyen bas pula semua public phone tak boleh dipakai? Apa-apa pulak masalah ini?
Allah... Ternyata segala-galanya telah dirancang dalam Qada' dan Qadar Nya. Setelah terbukti tidak terdapat talipon awam yang boleh digunakan di stesyen saya mula berjalan di luar untuk mencari talipon. Ketika itulah Bad yang sedang meletakkan kereta dan menunggu di luar stesyen dapat melihat saya lalu menegur. Alhamdulillah! Selesai lagi satu masalah...
Setelah selamat berjumpa Bad, timbul rasa untuk mengajaknya pergi ke Makam Tok Soh dan Makam Daeng Parani. Lagipun sekarang saya sudah tahu jalan untuk ke sana dan Alhamdulillah Bad bersetuju... Saya pula senang hati kerana dapat peluang kedua mengambil gambar setelah gambar-gambar yang diambil pagi tadi langsung hilang.
Agaknya inilah hikmah berlakunya kamera short-circut di Makam Daeng Parani tadi diikuti masalah tidak dapat bot mahu menyeberangi Sungai Merbuk. Lalu saya perlu kembali ke SP seterusnya berjumpa dengan Bad. Maka hari itu saya 2 kali pergi ke Makam Tok Soh, Makam Daeng Parani juga masjid unik tadi, dua-dua kali dengan orang bernama Bad... Jika pagi saya ke sana dengan Badrul daripada Sungai Petani, di sebelah petang pula saya pergi bersama Badrul Ipoh!
p/s: Hmm... Lega dapat keluarkan cerita ini walaupun macam-macam hal le mengganggu termasuk connection komputer slow yang merosakkan mood penceritaan dan menyebabkan sakit-sakit kepala. Buat makluman, cerita ini siap ditulis hampir jam 3.30 pagi... Tengok ni, saya tunaikan request pembaca yang nak tahu sangat cerita tentang perjalanan terbaru ke Kedah ni... Lepas ni kena sambung balik cerita Johor yek. Take care...