Pagi Selasa 21 Mac 2017. Kami bersarapan di hotel sebelum memulakan penjelajahan hari...
Saya keluar lewat sedikit. Anak-anak, isteri dan kawan sudah menunggu untuk masuk kereta.
Hotel tempat kami menginap ada nama Al-Atas. satu marga atau kabilah keluarga Arab berketurunan Nabi Muhammad SAW. Teringat bapa angkat saya Syed Hussien al-Attas di Janda Baik. Dekat-dekat kawasan hotel ini memang ada keluarga Al-Attas dan saya pernah menziarahi mereka tahun 2009 atau 2010 gitu.
Hotel itu terletak di kota Idi, kira-kira setengah jam sebelum Perlak. Kami menginap di situ kerana takut tiada penginapan di Perlak. Sampai ke Idi malam sebelumnya pun sudah jam 10. Semua orang terutama pemandu sudah penat.
Isteri yang ikut sama masuk teruja melihat perkembangan masjid lalu ingin mempromosi usaha wakaf tanah seperti yang kelihatan pada papan maklumat.
Kota Perlak juga kelihatan ada perubahan, tidak begitu 'cowboy' seperti dilihat dalam lawatan-lawatan terdahulu.
Kali terakhir saya ke Perlak tahun 2014 lalu masuk ke satu kawasan pendalaman masih terdapat banyak rumah atap rumbia. Kini sudah ada bangunan-bangunan moden dan banyak rumah batu. Tak nampak pun lagi atap rumbia kecuali pada sebuah bangsal...
Jalan pendalaman yang pernah saya lalui 5 kali sebelum lawatan ini juga dah cantik, elok...
Teringat dahulu orang luar begitu takut hendak masuk kerana masih terdapat ramai pemberontak bersenjata atas nama GAM (Gerakan Aceh Merdeka).
Teringat kali pertama masuk bersama satu rombongan diiringi dua trak polis bersenjata mesingan tahun 2009. Sampai satu bahagian ada pokok buluh tumbang melintang. Seorang pun tak berani mengalihkan pokok, takut ada serangan hendap. Bila dah lama sangat tunggu saya pun nekad seorang diri alihkan pokok. Baru rombongan dapat menyambung perjalanan.
Tujuan kami masuk ke kawasan pendalaman ini malah tujuan kami setiap kali sampai ke Perlak adalah untuk menziarahi makam Sultan Sayyid Maulana Abdul Aziz Syah, sultan pertama kerajaan Perlak.
Baginda yang menaiki takhta pada tahun 840 Masihi adalah pemerintah pertama di Alam Melayu diketahui memiliki darah Ahlul Bait iaitu keturunan Nabi Muhammad SAW.
Seperti di bandar Perlak juga jalan menuju ke sini, kompleks makam juga sudah banyak berubah. Sudah ada rumah-rumah untuk orang menjaga makam tinggal. Lihat
Rupa baru kompleks makam Sultan Sayyid Maulana (New look of the Sultan Sayyid Maulana tomb complex). Sebetulnya saya teringin untuk bermalam di makam... atau pondok sebelah makam. Tetapi pemandu risau hendak masuk malam-malam. Takut ada ancaman kerana baru sebulan dua sebelum itu ada kes tembak menembak di Perlak. Kalau terpulang pada saya tanpa memikirkan kerisauan orang lain tentu akan nekad masuk ke dalam. Kalau tahu sudah ada rumah cantik sebegitu rupa tentu pemandu pun yakin menurut kehendak.
Di sekitar kompleks itu juga saya mengambil masa bertafakur melihat bahagian Sungai Perlak yang katanya dahulukala sering dimasuki kapal-kapal besar termasuk dari Tanah Arab dan Parsi. Lihat
Perlak river from Sultan Sayyid Maulana complex.
Seorang ustaz yang menjaga kompleks pula memberitahu tentang kewujudan sebuah makam panjang. Rasanya dahulu, ketika pertama kali datang menziarahi makam Sultan Sayyid Maulana kami ada diberitahu tentang kewujudan makam tersebut. Cuma ketika itu saya tak ambil tahu. Baru kini tergerak hendak menziarahi. Lihat
Makam panjang dekat Sayyid Maulana (The long tomb close to Sayyid Maulana).
Selesai urusan di Perlak kami menuju kembali ke utara iaitu ke arah Bandar Aceh.
Ingat. Banda Aceh terletak lebih 8 jam perjalanan sedangkan kami meninggalkan Perlak pun sudah hampir tengah hari. Sampai di kota Panton Labu, singgah bersolat Zuhur dan jamak Asar di masjid besar sana. Lihat artikel
Masjid raya (Main mosque of) Pase, Panton Labu.
Sampai di kota Lhoksukon pula kami mengambil jalan pendalaman ke Matangkuli.
Ada satu tempat ceruk dalam kampung mahu dituju.
Setelah bertanya kepada beberapa orang baru kami mendapat arah ke tempat tersebut. Sebelum itu kami setakat meneka-neka dekat kawasan mana. Perlu lalu jalan yang teruk ini...
Subhanallah. Rasa suka tak terkira apabila terlihat papan tanda menunjukkan kami sudah sampai ke tempat yang dituju iaitu kompleks makam Ratu Al-Aqla. Beliau atau lebih tepat baginda (kerana pernah menjadi raja perempuan Pasai) juga dikenali sebagai Ratu Nurul Aqla. Papan kenyataan menyebut nama sebenar baginda adalah Dannir binti Sultan al-Malik azZahir bin Raja Khan bin Raja Kedah. Dinyatakan juga baginda meninggal dunia tahun 1389 Masihi.
Ketika mencari makam inilah baru saya dapat tahu tidak seorang pun kawan kami di Banda Aceh pernah sampai. Nasib baik saya teringat, seorang pengkaji dari CISAH (Central Information for Samudra Pasai Heritage), Ustaz Taqiyuddin pernah meneliti batu nesan di makam itu lalu meminta kawan di Banda Aceh menghubungi beliau.
Taqiyuddin tidak dapat dihubungi tetapi ada ahli lain CISAH dapat kami jejaki untuk mendapatkan arah. Nampaknya makam ini jarang dikunjungi orang kecuali oleh pengkaji tegar terutama daripada wilayah sekitar yang terkait dengan pusat pemerintahan lama kerajaan Samudera-Pasai, kawasan kajian CISAH.
Saya sendiri sudah bertahun menyimpan hajat untuk menjejakkan kaki. Timbul rasa gembira amat. Dan entah kenapa terasa sayu amat juga apabila akhirnya sampai. Perasaan gembira dan sayu amat ini rupa-rupanya turut dirasai seorang anak muda tempatan berambut panjang yang ditemui ketika mula-mula sampai. Rupa-rupanya beliau daripada keluarga yang menjaga makam. Namanya ada gelaran bangsawan Aceh iaitu Teuku. Kata beliau kalau dilihatnya orang lain macam, misalnya hendak meminta nombor ekor atau memuja makam tentu dihalaunya keluar dan ini pernah berlaku. Ketika mula ditemui pun beliau sedang memegang pisau sabit panjang kerana sedang berkebun. Tetapi dengan kami beliau terus jadi mesra tanpa banyak penerangan.
Sebetulnya makam ini sangat terkenal dalam kajian kerajaan-kerajaan Islam lama di Alam Melayu/Nusantara. Cuma ternyata tak ramai orang pernah sampai. Sebab itu susah hendak mencari kedudukan melalui Google. Bukan kami tak cuba cari melalui cara moden yang sangat diagung-agungkan oleh para pengkaji atas talian tak berani turun padang merangkap pahlawan papan kunci (keyboard warriors) itu. Tapi memang tak dapat jumpa kerana tiada orang berkongsi cerita tentang pencarian makam
Yang kami jumpa berulang-ulang dalam Internet adalah gambar-gambar serupa seperti di atas, gambar batu nesan kaki Ratu Nurul Aqla. Inilah yang dikenali pengkaji sebagai "Batu bersurat Minye Tujoh" atau "Prasasti Minye Tujoh" itu. Tulisan yang ditafsirkan pengkaji pada batu inilah yang selalu dijumpa terpapar di mana-mana lalu diulas dan ditafsir orang sehingga berulang-ulang. Sehingga ada pula membuat tafsiran memandai-mandai kerana merasakan diri begitu pandai tanpa perlu menjejakkan kaki ke lapangan, cuma perlu menciplak hasil kajian orang kemudian mengulas dan mengolah kembali penulisan seolah-olah semuanya hasil kajian sendiri... seolah-olah merekalah yang paling ke hadapan mengkaji sambil mencelikkan orang.
Beginilah bunyi salah satu tulisan dan tafsiran yang saya temui. Sekurang-kurangnya ia adalah daripada sumber akademik yang boleh dipercayai walaupun dah lupa jumpa dalam buku mana. Cuma saya ada paparkan dalam buku kedua saya "Berpetualang ke Aceh : Membela Syiar yang Asal" yang terbit Mei 2007)..
Hijrah Nabi mungstapa yang prasaddha
Tujuh ratus asta puluh savarasaa
Haji catur dan dasa vara sukra
Raja iman varda rahmat Allah.
Gutra bharu bhasa (ng) hak Kadah Pase.
Matarukk tasih tanah samuha
Ilahi ya rabbi tuhan samuha
Taruh dalam svarga tuhan tutuha.
Terjemahannya (menurut buku tersebut) :
Pada hari Jumaat 14 Zulhijjah 781 Hijrah (1380 Masihi), seorang puteri yang beriman kembali ke rahmatullah. Puteri daripada keturunan “Gutra Bharu Bhasa” atau “Kaum Bahasa Baharu”, penganut-penganut budaya baru iaitu agama Islam serta mempunyai hak dan kuasa ke atas Kedah dan Pasai, dan atas segala laut dan darat. Ilahi ya Rabbi, Tuhan semesta ‘alam, letakkanlah beliau di dalam syurga.
Keadaan makam dan kompleks boleh dilihat melalui artikel
Makam (Tomb of) Ratu Nurul Aqla. Bila dah sampai baru saya tahu beberapa perkara yang tidak dinyatakan dalam buku :-
1) Menurut papan tanda dekat kompleks makam tahun kemangkatan ratu adalah 791 Hijrah bersamaan 1389 Masihi, bukan 781 H bersamaan 1380.
2) Nama kampung di mana terdapatnya makam adalah Meunje Tujoh bukan Minye Tujoh. Patutlah bila tanya orang kampung sekeliling tak seorang pun tahu. Kena sebut ada makam ratu, itu pun seorang dua sahaja yang tahu.
3) Maklumat tentang makam yang ditemui di Internet rata-rata menyebut ia sebagai "Batu Bersurat Minye Tujoh" atau "Prasasti Tujoh". Saya pun tak ingat entah tulisan mana yang ada menyebut ia sebenarnya merujuk pada batu nesan dengan maklumat, bukan sekadar batu bersurat sahaja seperti disangkakan ramai orang. Dah sampai sini baru pasti ia memang maklumat pada batu nesan.
4) Dan rupa-rupanya tulisan dan terjemahan yang terkenal seperti terpapar di atas gambar tadi cuma merujuk pada batu nesan di bahagian kaki sahaja. Ada banyak lagi tertulis pada bahagian lain batu nesan kaki juga pada batu nesan kepala.
5) Ada banyak makam dengan batu nesan Aceh. Tetapi cuma makam Ratu Nurul Aqla sahaja ada terukir tulisan dan hiasan. Entah kenapa batu nesan lain saya lihat semuanya kosong tidak bertulis mahupun terukir hiasan...
Tetapi paling hebat bagi saya adalah aura kuat yang dirasakan di sekitar makam seolah-olah membenarkan telahan saya tentang Ratu Nurul Aqla ini menjadi tali penyambung cerita antara keberadaan kerajaan Samudera dan Pasai dengan kerajaan Kedah dan Kelantan malah empayar lama Chermin dan Langkasuka. Terasa ziarah ke makam ini sebagai penutup sebenar pada gerak perjalanan awal tahun 2017 yang membawa saya pertama kali masuk ke Patani dan beberapa tempat di selatan Thailand atas asbab mahu hadir pada satu forum tentang batu nesan Aceh. Lihat
Misi jejak Aceh-Langkasuka - The compilation.
Sesungguhnya saya merasakan ziarah ke makam Ratu Nurul Aqla merupakan kemuncak pada perjalanan saya ke Aceh kali ini. Sekadar mengingatkan, ini adalah perjalanan ke-8 sejak saya mula mengenali susur galur nenek moyang yang berkaitan. Susur galur itulah yang membawa saya berani menyabung nyawa apabila pertama kali masuk ke bumi Serambi Mekah ketika ia masih darurat dilanda perang awal tahun 2004.
Ketika itu misi utama saya ke Aceh adalah untuk menziarahi makam Sultan Malikussaleh, pengasas kerajaan Samudera dan Pasai, moyang kepada Ratu Nurul Aqla itu. Saya tidak berjaya sampai tahun 2004 kerana dihalang oleh keadaan dan ini sudah pun diceritakan panjang lebar melalui siri trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" yang terbit 2006-2007. Pertengahan tahun 2009 baru dapat menjejakkan kaki, bersama isteri yang ketika itu sedang 6 bulan mengandungkan anak lelaki sulung kami. Lihat artikel lama
Ke makam Sultan Malikus Salih - Akhirnya... kembali ke makam nenda!.
Sejak itu kami sudah beberapa kali sampai ke makam moyang sebelah bapa saya ini, raja yang kisahnya dicari rombongan dari Mekah, atas pesan dan wasiat Nabi Muhammad SAW yang tersohor dalam kitab Hikayat Raja-raja Pasai juga kitab Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu. Tentunya kedudukan sultan bertaraf wali ini lebih utama daripada cicitnya Ratu Nurul Aqla. Tetapi disebabkan sudah beberapa kali sampai ke makam Sultan Malikussaleh saya merasakan ziarah ke makam Nurul Aqla adalah kemuncak perjalanan kali ini.
Kami pun mengambil kesempatan untuk bergambar anak beranak. Beginilah kami berpakaian sepanjang perjalanan hari itu. Lihat
2017 visit to the tomb of Sultan Malikussaleh. Isteri saya berpesan nanti gunakan gambar baru untuk menggantikan gambar paling atas pada
blogspot ini ya. Ia adalah gambar yang ada tertulis dengan perkataan besar "Catatan si Merah Silu".
Atas saranan isteri boleh kata hampir setiap hari saya berbusana tradisional Melayu dalam perjalanan 16-23 Mac ini. Dari makam Sultan Malikussaleh kami mengorak langkah kembali ke Banda Aceh. Tidak ada lagi singgah-singgah di mana-mana kecuali untuk bersolat Maghrib dan menjamakkan Isyaq di masjid yang kelihatan lalu makan malam satay enak di kedai berdekatan. Lihat
Masjid besar (Big mosque of) Peusangan, Matang.