Salam petang Isnin 7 Zulkaedah. Merujuk pada
posting bertajuk
Artikel-artikel lama warna-warni kehidupan daripada BERPETUALANG KE ACEH yang dipersembahkan 4 hari lalu juga artikel-artikel berkaitan dalam tempoh 3 bulan kebelakangan. Umumnya rakyat Malaysia tahu bagaimana PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) yang mula dikuatkuasakan pada 18 Mac lalu demi menangani penularan wabak virus COVID-19 telah menghadkan pergerakan semua orang. Pada 10 Jun baru orang ramai dibenarkan bergerak merentas negeri lalu boleh balik kampung beraya dan sebagainya. Disebabkan itu setelah beberapa lama baru saya dan keluarga dapat berjalan-jalan seperti kebiasaan. Menariknya cerita kali ini sebenarnya bersambung daripada cerita suatu perjalanan jauh yang secara fizikalnya telah selesai lebih 6 bulan lalu. Tetapi secara semangat atau batinnya ia belum lagi selesai sampailah baru-baru ini. Kenapa dikatakan begitu? Hah. Baca betul-betul.
Merujuk pada artikel
Perjalanan Krabi dan selatan Thailand Disember 2019 - Menutup gerak di Terengganu yang dipersembahkan pada 31 Januari 2020. Adapun ia merujuk pada perjalanan saya dan keluarga di Terengganu 25 Disember 2019 setelah beberapa hari berjalan di selatan Thailand sebelum masuk kembali ke Malaysia daripada arah Takbai kemudian Pengkalan Kubor di Kelantan. Walaupun pada malam itu kami kembali ke rumah di Selangor tetapi disebut pada penghujung artikel bahawa pada saya cerita belum betul-betul selesai. Kenapa dikatakan begitu? Lihat kereta Proton lama dalam gambar.
Gambar ini diambil pada jam 2.30 petang Ahad 14 Jun iaitu setengah bulan lalu. Ketika itu saya, isteri dan dua anak kecil kami sedang bersedia untuk membuat satu perjalanan rentas negeri mengambil kesempatan atas kelonggaran PKP yang bermula Rabu 10 Jun.
Walaupun masuk sahaja hari Rabu selepas jam 12 tengah malam dah boleh keluar berjalan jauh kami harus menunggu hujung minggu kerana isteri bekerja setiap hari minggu. Sebagai seorang kakitangan teknikal TM (Telekom Malaysia) isteri saya termasuk salah seorang frontliner atau pekerja barisan hadapan dalam menghadapi wabak COVID-19 ini. Ketika ramai orang bercuti atau bekerja dari rumah dia terus ke tempat kerja setiap hari minggu kerana khidmatnya diperlukan untuk memastikan kelancaran sistem telekomunikasi sekurang-kurangnya dalam kawasan liputan dari Rawang. Kalau tiada orang seperti beliau meneruskan kerja bagaimana orang lain dapat melakukan kerja dari rumah kerana ini semua memerlukan sistem telekomunikasi yang lancar?
Saya pula memang selalu berada di rumah bersama dua orang anak yang tidak dapat pergi ke sekolah sejak PKP mula dikuatkuasakan 18 Mac. Kalau kami nak keluar berjalan jauh 10 Jun itu boleh sahaja tapi tak seronoklah kalau isteri tak ikut sama. Sebetulnya kami anak beranak dah bergerak jauh Jumaat malam Sabtu 12 Jun untuk kembali ke kampung ibu saya di Muar. Sempatlah beraya 21 Syawal sebelum bergerak kembali ke rumah Sabtu malam Ahad.
Kami harus kembali ke rumah untuk membuat perjalanan jauh seterusnya melawan arah. Jika sebelumnya kami bergerak 240 km ke selatan untuk sampai ke Muar kali ini kami harus bergerak kurang sedikit jarak menghala ke arah utara pula. Kelihatan kereta buruk yang dinaiki ketika singgah di tempat rehat atau RnR Tapah jam 4 petang Ahad. Untuk makluman ia adalah kereta pinjam pomen.
Adapun artikel
Perjalanan Krabi dan selatan Thailand Disember 2019 - Menutup gerak di Terengganu merupakan yang ke-11 dalam siri. Ia merujuk pada hari ke-10 pengembaraan pusing selatan Thailand (dan utara Semenanjung Malaysia sekali) yang memakan jarak keseluruhan sekitar 2,000 km. Namun pada awal perjalanan lagi kami menghadapi dugaan apabila kereta sendiri yang dibawa menghadapi masalah. Walhal ia baru sahaja diselenggara dan ditukar timing belt kurang seminggu sebelum itu.
Hal ini ada diceritakan panjang lebar dalam artikel ke-2 siri,
Perjalanan Krabi dan selatan Thailand Disember 2019 - Manusia merancang Allah SWT jua menentukan hampir 6 bulan lalu. Kami memulakan perjalanan dengan bertolak dari rumah di Sungai Buaya, Rawang sekitar jam 9.16 Isnin malam Selasa 16 Disember 2019 lalu masuk ke Lebuh Raya PLUS . Masalah mula terasa sebelum sampai ke RnR Tapah. Sampai ke lokasi yang kelihatan enjin kereta mati. Nasib baik sempat mengalihkan kereta ke tepi.
Artikel tersebut telah memperincikan apa yang berlaku malam itu hingga hampir waktu Subuh. Kelihatan adalah lokasi tepat tempat kereta mati. Saya ingat kerana ada mengambil gambar papan tanda kilometer 305.5 ini pada jam 12.35 awal pagi Selasa 17 Disember. Sejak itu saya berazam akan singgah lagi lalu mengambil gambar pada waktu siang hari.
Pada waktu itu saya telah mengenal pasti bahawa kereta rosak sebelum sampai ke kawasan bukit batu kapur yang membentuk Gua Tempurung di Ipoh. Itulah bukit yang kelihatan dalam gambar ini. Fikir saya ketika itu hal kereta rosak lalu mati di lokasi ini mungkin ada kaitan dengan cerita-cerita pelik bersifat mistik tentang Gua Tempurung dan hutan di sekitarnya. Untuk pengetahun beberapa bulan sebelum itu negara kecoh dengan kehilangan seorang anak muda di situ, dipercayai telah dibawa masuk ke alam bunian. Biar dikongsikan laporan berkenaan daripada Berita Harian On-line 6 April 2019...
-------------
Oleh Shaarani Ismail
GOPENG: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) peserta larian Gopeng Ultra Trail (GUT) 2019, Muhammad Ashraf Hassan atau lebih dikenali sebagai Acap, yang hilang sejak 23 Mac lalu, kini tertumpu semula di kawasan sekitar Gua Tempurung.
Operasi yang memasuki hari ke-14 hari ini, membabitkan 22 anggota termasuk empat pegawai dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Perak.
Ketua Zon 1, JPBM Perak yang juga Komander Operasi JPBM bagi pencarian itu, Mohd Khairul Jamil, berkata operasi ditumpukan di kawasan berkenaan kerana pihaknya mendapat makluman ada ramai sukarelawan mengambil inisiatif sendiri melakukan pencarian di kawasan berkenaan meskipun tidak dibenarkan.
Katanya, kawasan pencarian tertumpu di bahagian belakang dan keseluruhan kawasan gua berkenaan dan pencarian itu adalah yang kelima dijalankan di kawasan Gua Tempurung berdasarkan beberapa maklumat baharu yang diterima.
“Penumpuan diberikan di kawasan Gua Tempurung pada hari ini dan kita akan terus berusaha untuk melakukan pencarian serta berharap mangsa dapat ditemui.
“Kami juga mendapat bantuan daripada polis, APM (Angkatan Pertahanan Awam) dan Jabatan Hutan. Bagaimanapun, apa yang merunsingkan kami sehingga kini belum ada petunjuk tepat lagi,” katanya.
Mohd Khairul turut menasihatkan sukarelawan yang mendapatkan kebenaran polis untuk membantu melakukan pencarian supaya berhati-hati dan mengutamakan keselamatan.
Katanya, selepas mendapat kebenaran polis, semua sukarelawan perlu mengutamakan keselamatan kerana di dalam hutan terutama di pinggir hutan ada pelbagai binatang berbisa seperti ular.
“Anggota bomba pernah menemui haiwan berbisa itu dan mengingatkan sukarelawan supaya sentiasa berhati-hati ketika berada di hutan,” katanya.
Mohammad Ashraf, 29, dari Muar, Johor bersama 485 peserta lelaki dan perempuan yang lain memulakan larian dari Gua Tempurung bagi kategori 25 kilometer pada pagi 23 Mac lalu dan sepatutnya berakhir pada hari berkenaan di lokasi sama.
Kehilangan mangsa disedari kawannya, Mohd Farid Md Kamal, 32, apabila mendapati Mohammad Ashraf masih tidak sampai selepas selesai perlumbaan sebelum membuat laporan polis kira-kira 1 pagi, hari berikutnya.
Lihat artikel asal di
sini.
Ini pula gambar apabila memandang ke sisi terus ke arah kaki langit sana. Sejak berlaku kerosakan kereta lebih 6 bulan lalu itu saya telah menyimpan hajat mahu menyiasat apakah yang ada di sekitar ini.
Namun kena selesaikan dahulu hal berkenaan kereta. Dengan itu artikel-artikel berikut pun dirujuk :-
Di sini tidaklah perlu diulang lagi apa yang sudah diceritakan panjang lebar dalam artikel-artikel tersebut. Cukuplah disebut kerosakan didapati agak teruk lalu kereta perlu ditinggalkan di sebuah bengkel di utara Ipoh. Sambil itu kami anak beranak meneruskan perjalanan ke selatan Thailand dengan naik pengangkutan awam. Apa yang tidak diceritakan atau belum dikongsikan selepas itu adalah kami telah membuat keputusan untuk mengikut nasihat pomen agar menukar terus enjin kereta. Kata beliau insyaallah siap sekembalinya kami dari selatan Thailand sekitar hari Krismas 25 Disember.
Tapi tu le. Manusia boleh berjanji dan/atau merancang, Allah jua menentukan. Ketika kami masuk kembali ke Malaysia dari arah Pengkalan Kubor, Kelantan petang 23 Disember jangankan kata pasang enjin nak siap, mula pun belum. Tapi ketika itu kami boleh fahamlah sebab baru bagi RM300 tunai sebagai wang pendahuluan bagi keseluruhan kos tukar enjin RM4,000. Nak bagi lebih-lebih kami tak cukup tunai kerana banyak belanja diperlukan untuk meneruskan perjalanan. Rujuk balik artikel
Perjalanan Krabi dan selatan Thailand Disember 2019 - Patah sayap bertongkat paruh tetap kami melangkah ke sasaran.
Kami ada berjanji mahu memasukkan lagi RM1,700 secara atas talian dalam perjalanan ke selatan Thailand sebagai mencukupkan separuh kos, harus boleh cover harga beli enjin. Tetapi disebabkan talian Internet tidak lancar ketika menaiki pengangkutan awam kami tidak dapat melakukannya. Bila dah sampai Thailand baru dapat talian lancar menggunakan nombor telefon sana. Tapi tak dapat juga melengkapkan transaksi perbankan kerana nombor TAC yang diperlukan cuma boleh sampai pada nombor telefon Malaysia.
Apapun kami selesaikan juga bayaran tersebut sebaik sahaja sampai kembali ke Malaysia petang 23 Disember. Dengan itu kami mengharapkan agar proses pemasangan enjin dapat selesai sebelum masuk tahun baru 2020. Tengok-tengok tak selesai selesai juga. Rupa-rupanya enjin tukar cadangan yang ada pada tangan pomen tak kena tempat dengan kedudukan alatan-alatan lain dalam kereta. Terpaksalah mencari enjin lain yang lebih sesuai dan kena. Ini sendiri mengambil masa kerana pomen bertempat di Chemor, utara Ipoh sedangkan enjin perlu didapati daripada pembekal di Lembah Klang...
Masuk 4 Januari saya dimaklumkan enjin akan sampai. Tiga hari kemudian saya diberitahu ia dah 50% siap pasang. Sambil itu saya diberitahu ada 2-3 benda lain perlu dibaiki atau digantikan dengan kos lain. Masuk 14 Januari saya masukkan lagi RM1,000 secara atas talian.
Masuk 26 Januari saya diberitahu semua sudah siap dipasang termasuk alatan-alatan lain yang berkenaan. Tapi enjin pula backfire apabila dihidupkan. Nak hubungi tokeh yang jual enjin di Lembah Klang pula tak dapat kerana sedang bercuti Tahun Baru Cina. Motosikal besar saya pula asyik bermasalah sedangkan saya memerlukan pengangkutan untuk menghantar anak-anak ke sekolah sementara kereta satu lagi digunakan oleh isteri untuk ke tempat kerja.
Maka diaturlah satu pertemuan di Tanjung Malim pada 1 Februari supaya saya boleh meminjam kereta pomen sementara menunggu kereta sendiri betul-betul siap. Ini ada diceritakan dalam artikel
Small trip to Tanjung Malim with the youngest son di
blogspot BERPETUALANG KE ACEH lebih 4 bulan lalu. Itulah kereta Proton buruk yang ditunjukkan pada awal artikel ini. Ia memang kereta lasak pomen. Cukuplah untuk memenuhi keperluan pengangkutan saya walaupun didapati ia kemudian beberapa kali menimbulkan masalah juga.
Masuk 9 April baru saya diberitahu bahawa kereta sudah betul-betul siap. Masuk 18 April saya membayar lagi RM1,000 lalu menjadikan jumlah sudah dibayar adalah RM4,000. Kira cukup untuk meliputi kos penuh tukar enjin seperti telah dijanjikan awal. Tapi ketika itu sudah berlangsung PKP yang menghadkan pergerakan semua orang. Selain itu kereta perlu melalui pemeriksaan dan pengesahan PUSPAKOM. Nak masuk PUSPAKOM mesti pula tukar cermin hadapan kereta yang ada retak sepanjang lebih 2 inci. Dan kena ada surat kastam impot enjin dari luar. Yang ni pun kata pomen belum dapat.
Pada 6 Jun saya mendapat berita bahawa surat kastam dah sampai. Tinggal nak tukar cermin sahaja kemudian hantar masuk PUSPAKOM. Petang itu juga saya masukkan lagi RM1,000 jadi RM5,000 ke semuanya. Malam itu atau malam seterusnya terus keluar berita bahawa PKP akan dilonggarkan untuk membenarkan perjalanan rentas negeri. Terus saya merancang mahu ke Ipoh hujung minggu menghantar kereta pomen lalu mengambil balik kereta sendiri. Tetapi apabila dapat tahu adik bongsu saya yang susah hendak mendapat cuti kerana bertugas sebagai doktor di Johor Bahru mahu balik kampung beraya di Muar saya dahulukan balik kampung. Itu yang baru petang Ahad 14 Jun bertolak ke Ipoh.
Dipendekkan cerita bertemulah kami dengan pomen di utara Ipoh lalu bertukar kereta. Kami pun diberitahu jumlah keseluruhan kos termasuk tukar cermin, bayar runner bawa kereta ke PUSPAKOM dan memperbaiki/menukar beberapa alatan adalah RM5,455. Daripada itu RM5,000 sudah dibayar. Bakinya boleh kontra dengan RM70 beli bateri 2nd dan sedikit kos memperbaiki masalah kereta Proton buruk.
Sebetulnya ada sedikit drama sebelum mengambil kereta. Bayangkan. Kata kena ambil di Chemor tapi Google Map yang diberikan membawa ke lokasi lain di Tasek, 14 km jauh daripada tempat yang sepatutnya. Apapun yang penting kereta pomen sudah selamat dipulangkan dan kereta milik kami diambil setelah lebih 6 bulan terpisah akibat kerosakan ketika hendak bertolak ke selatan Thailand. Dengan itu kami pun menyambung perjalanan lebih jauh ke utara. Isi minyak sat kat Chemor.
Kami ikut jalan lama melalui Sungai Siput. Asalnya nak singgah rumah kawan di sekitar sini. Tetapi disebabkan drama tadi lebih sejam sudah terbuang begitu sahaja. Ketika gambar ini diambil sudah jam 6.41 petang.
Ketika itu fokus utama kami adalah dapat sampai ke kedai laksa kegemaran di Kota Lama Kanan, Kuala Kangsar sebelum ia dijangka tutup jam 7-7.30 gitu. Alhamdulillah sampai juga hajat setelah hampir setahun kami anak beranak tidak merasakannya.
Kami juga sempat menunaikan solat berjemaah di Masjid Kota Lama Kanan. Seingat saya inilah masjid pertama saya dapat menunaikan solat berjemaah semenjak PKP dilaksanakan 18 Mac.
Di masjid inilah terletak sebatang batu nesan sebagai tanda tempat Sultan kedua Perak, Sultan Mansur Syah didapati ghaib setelah menunaikan solat Jumaat hampir 500 tahun lalu.
Kami juga singgah di Masjid Ubudiyah, Bukit Chandan selepas menziarahi makam saudara mara di kawasan pemakaman diraja bersebelahan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan