Ahad 11 pagi hari ke 7 Ramadhan bersamaan 7 Ogos 2011. Selepas puas berehat dan bermalam di rumah ibu bapa kami ikut mereka mengambil buah di dusun peninggalan almarhum datuk.
Sedar tak sedar selepas jam 2 petang, mungkin dekat pukul 3 baru berhenti. Itupun apabila hujan rintik turun (semasa gambar ini diambil masih ada lagi buah-buahan sedang dipetik).
Mengikut rancangan asal kami mahu meninggalkan Muar selepas Zuhur untuk melihat satu tempat tertentu di Melaka. Selain itu saya mahu mengambil gambar Gunung Ledang dari beberapa sudut. Mungkin dengan mengambil jalan ke Tangkak kemudian ke Asahan di mana muka gunung yang menghadap ke Melaka dipercayai pernah menjadi tempat berdirinya jambatan emas dan perak yang dibina oleh Sultan Melaka demi memenuhi syarat peminangan Puteri Gunung Ledang. Namun 3 jam di dusun telah membuat kami kepenatan. Selain itu, buah-buahan yang dipetik berserta ulam membuatkan saya terasa mahu berbuka puasa dahulu di kampung.
Dengan itu pada waktu petang baru saya cuba mengambil gambar Gunung Ledang. Ternyata cuaca kurang elok di sebelah sana, sedikit sahaja bahagian gunung dapat dilihat seperti ditunjukkan pada gambar yang diambil dari atas jambatan kedua Muar. Lihat artikel Muar river from the second bridge di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.
Kemudian timbul rasa untuk berjalan ke Pantai Layang, satu tempat di Muar (sekarang dalam daerah baru Ledang) yang seingat saya tidak pernah dijejaki sebelum itu. Ini kerana saya pernah terbaca di mana entah bahawa Pantai Layang adalah pusat pemerintahan seorang Raja Temenggung Muar yang dimakamkan di sana.
Selama ini saya setakat lalu sahaja di jalan besar yang membawa ke Tangkak juga ke tol terdekat Lebuhraya PLUS. Nampak papan tanda "Pekan Rawang" di atas? Saya membesar di Muar dengan memikirkan inilah satu-satunya tempat bernama Rawang yang wujud di Malaysia. Lama kemudian baru tahu ada Rawang di Selangor dan ia lebih dikenali ramai, Rawang di Muar pula yang kedengaran pelik bagi kebanyakan orang.
Menunggu masuk ke simpang Pantai Layang.
Kelihatan papan tanda ini di simpang kiri. Ngeri punya nama ni...
Tidak lama selepas memasuki simpang kelihatan papan tanda ini pula. Ait? Ada tempat suluk? Siap ada papan tanda lagi. Selalunya tempat-tempat suluk cuma diketahui oleh kalangan tertentu, tidak ditunjukkan kepada umum...
Perjalanan ke Pantai Layang diteruskan.
Kelihatan lagi papan tanda ke tempat suluk.
Saya pun mencarinya hingga terjumpa. Saya ditunjukkan arah oleh seorang pakcik yang sedang memetik buah pulasan lalu menghadiahkan beberapa tangkai kepada saya.
Inilah rumah suluknya. Daripada murid yang ditemui, datang dari beberapa tempat di Semenanjung saya dapat tahu kaedah suluk yang dijalankan serupa seperti kaedah Tariqat Naqshabandiah-Khalidiyah di Kampung Babussalam, Langkat, Sumatera, kaedah yang turut diamalkan di sebuah surau Naqshabandiah di Ulu Dong, Raub dan satu tempat di Ulu Langat. Saya juga mendapat tahu pakcik yang memberi saya buah pulasan adalah guru mursyid sini. Beliau juga ada membawa Tariqat Samaniah dan Qadiriah...
Sebelum meninggalkan tempat suluk saya sempat berjumpa kembali pakcik yang baru selesai memetik buah. Dia pun memberikan satu dua risalah kemudian menunjukkan arah jalan sekitar. Rupa-rupanya ada jalan pesisir Sungai Muar yang boleh digunakan untuk kembali ke jambatan kedua Muar. Tapi sebelum itu saya berpatah balik untuk melihat satu tanah perkuburan dengan harapan dapat menemui makam Temenggung Muar yang dicari. Namun saya tak nampak mana makamnya... mungkin di tempat lain, mungkin juga di sini tetapi tak nampak tanda...
Kemudian baru menuju ke arah yang ditunjukkan pakcik. Itupun mulanya saya tersilap mengambil simpang... patut masuk kanan pergi ke kiri. Hikmahnya saya terjumpa satu bahagian Sungai Muar yang menghadap ke kampung ibu iaitu Kampung Temiang di seberang. Lihat Muar river near Pantai Layang.
Oh. Tentang makam Raja Temenggung Muar yang mahu dicari di sekitar ini. Tadi saya menyemak kembali di Internet lalu mendapati yang dimakamkan dan memerintah di Pantai Layang bukan Temenggung Muar tetapi orang yang menjadi punca timbulnya jawatan itu. Beliau/baginda bernama Sayyid Jaafar, bergelar Datuk Pasir Diraja telah dikurniakan jajahan Muar untuk ditadbir dan diperintahnya sebagai satu negeri di bawah naungan Empayar-Johor-Riau-Lingga. Adapun Sayyid Jaffar ini berasal dari keturunan Sayyid di Aceh yang berkahwin dengan puteri seorang Sultan Aceh di mana anak dari perkahwinan ini pula berkahwin dengan samada puteri atau cucu kepada Bendahara Johor terkenal, Tun Sri Lanang, penulis kitab Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu yang menjadi rujukan ramai. Biar saya copy and paste sedikit maklumat daripada satu website tentang Temenggung Muar... saya highlightkan bahagian berkenaan. Sila klik sini untuk maklumat lanjut...
Dato’ Pasir Diraja Tun Sayid Jaffar telah berangkat ke Negeri Muar mulai tahun 1674 dari Kota Tinggi untuk membuka, memerintah dan berkerajaan di situ sebagai menebus dan melaksanakan amanah maskahwin yang dikurniakan “Negeri Muar’’ daripada al-Marhum Kota Tinggi, Sultan Ibrahim Shah I 1677-1685, Sultan Johor Ke-9 apabila al-Marhum berkahwin dengan puteri bongsu bernama Puteri Bakal. Beliau telah membuat pusat pemerintahan di Pantai Layang. Dato’ Pasir Diraja telah dikurniakan dua orang zuriat lelaki bernama Sa’Akar Diraja dan Engku Paduka Tuan. Dato’ Pasir Diraja adalah nenek moyang dan induk bagi dinasti Raja-Raja Temenggong Kerajaan Negeri Muar kerana selepas kematiannya pada tahun 1707, jawatan Temenggong Muar telah beralih dari anaknya hingga kepada keturunannya. Beliau dimakamkan di Kampung Pantai Layang, Sungai Mati, Muar.
Sa’Akar Diraja (Temenggong Muar Pertama) menggantikan ayahandanya menjadi Temenggong Muar di dalam Negeri Muar pada tahun 1707-1732 dan berkerajaan di Kuala Segamat iaitu berhampiran Kampung Batu Badak. Beliau mendapat tauliah perlantikan daripada al-Marhum Sultan Abdul Jalil IV. Beliau mempunyai dua orang zuriat lelaki bernama Engku Sa’Amar Diraja dan Engku Perdana Menteri.
Cukup ya... :]