Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Jumaat, Oktober 04, 2019

Perjalanan pusing Aceh dan utara Sumatera - Faktor Bani Abbasiyah dalam pemerintahan kerajaan Samudera-Pasai dan Aceh Darussalam

Salam petang Jumaat 5 Safar. Cerita perjalanan pusing Aceh dan utara Sumatera harus diteruskan. Maka bersambung daripada Perjalanan pusing Aceh dan utara Sumatera - Berkejar 1 Muharram untuk menunaikan acara ke-21 HIKMAH di tapak pusat kerajaan Samudera-Pasai.


Pagi Isnin 2 September 2019 bersamaan 2 Muharram 1441 Hijriah. Setelah masuk 6 hari perjalanan  baru kali ini hari dapat dimulakan dengan santai kerana tidak perlu lagi terkejar-kejar. Kelihatan dalam gambar pagar kompleks makam Sultan Malikus Saleh. Kami anak beranak telah bermalam di pondok berhadapan.


Kawan-kawan kami dari Malaysia telah bergerak ke Banda Aceh pada hari sebelumnya dengan satu kereta. Tinggal saya, isteri dan anak-anak menikmati suasana perkampungan dikelilingi sawah.


Alhamdulillah, anak-anak yang sejak daripada kecil malah dalam perut lagi sudah dibiasakan mengembara lasak boleh tidur dari masjid ke masjid juga pondok ke pondok tanpa masalah. Tidak pernah sekali pun membantah apa lagi menunjukkan ragam dengan cara kami mengembara lasak.


Mereka seronok dapat mandi perigi, kejar anak kambing dan sebagainya. Siap sempat 'buat makam' di hadapan pondok.


Jam 10 pagi kawan Aceh kami tiba. Beliau datang dari Banda Aceh pada hari sebelumnya untuk menyertai acara yang kami adakan di makam Sultan Malikus Saleh. Tetapi beliau sampai lewat lalu cuma dapat menyertai sesi lawatan dua bangunan baru yang didirikan atas nama kerajaan silam. Lihat Perjalanan pusing Aceh dan utara Sumatera - Berkejar 1 Muharram untuk menunaikan acara ke-21 HIKMAH di tapak pusat kerajaan Samudera-Pasai


Kawan bernama Fadhlan Amini ini telah membawa seorang kawan bernama Jamaluddin (dipanggil Lodin). Inilah kali pertama saya dan isteri mengenali Lodin. Kami sudah kenal ramai kawan di Aceh terutama di Banda Aceh. Kampung Lodin (sebelah ibu kalau tak salah) terletak 15-20 km ke timur makam. Mereka bermalam di sana sementara kami bermalam di pondok berhadapan kompleks makam.


Sebelum ini Fadhlan telah membawa kami dari lapangan terbang di Banda Aceh hingga sampai ke kampungnya di Tapak Tuan. Lihat artikel-artikel berikut :-






Selepas itu beliau kembali bersendirian ke Banda Aceh, kami anak beranak menumpang satu lagi kereta hingga ke Barus kemudian persekitaran Danau Toba membawa ke Deli Tua dan Medan terus ke Perlak sebelum sampai ke kompleks makam Sultan Malikus Saleh. Lihat artikel-artikel berikut :-






Sekarang kami kembali menaiki kereta Fadhlan. Singgahlah ziarah ke tempat ini. Lihat Lawatan baru ke kompleks makam Ratu Nahrisyah (New visit to Ratu Nahrisyah tomb complex) di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).


Saya juga mengambil peluang untuk mencari satu makam yang sudah lebih 15 tahun diketahui wujud di sekitar itu. Tetapi baru sehari dua  tergerak untuk mencari apabila mendapati kedudukan tepatnya ada ditanda orang dalam Google Map. Ternyata ia tidak begitu jauh daripada makam Sultan Malikus Saleh.


Ia adalah makam Sidi Abdullah, seorang keturunan Khalifah al-Muntasir (daripada Bani Abbasiyah, bertakhta  di Baghdad tahun 1226 hinga 1242 Masihi). Beliau pernah berkhidmat sebagai menteri kewangan kerajaan Samudera-Pasai. Umum tahu Baghdad telah diserang lalu dihancurkan tentera Mongol pada tahun 1258. Ini menyebabkan Kekhalifahan Bani Abbasiyah jatuh serta merta. Selepas beberapa lama naik pemerintahan baru yang diterajui pemimpin Mongol yang telah masuk Islam.

Moyang Sidi Abdullah adalah antara bangsawan Arab Quraish yang berjaya meloloskan diri ketika ribuan, mungkin jutaan orang Islam dibunuh Mongol. Ada antara kaum kerabat mereka dibawa ke Mesir yang sedang diperintah kerajaan Mamluk lalu dijadikan khalifah. Namun ia lebih pada wayang untuk menaikkan keabsahan Mamluk. Secara rasminya Kekhalifahan Bani Abbasiyah tamat selepas kejatuhan Baghdad. 

Kedatangan satu cabang keturunan khalifah bagi seluruh umat Islam ke Samudera-Pasai menunjukkan betapa penting dan tingginya kedudukan kerajaan Melayu Islam tersebut. Makam Sidi Abdullah yang terletak bersebelahan tapak masjid beliau, diapit kolam-kolam udang air tawar yang memberikan pemandangan yang menenangkan menjadi satu bukti kegemilangan. Lihat artikel-artikel berikut :-






Makam ini dan cerita ringkas tentangnya agak terkenal dalam buku-buku tentang kerajaan Samudera-Pasai. Sekurang-kurangnya itulah yang dapat saya lihat ketika mula-mula sibuk mengkaji tentang kerajaan tahun 2004. Ia menjadi asbab gambar dan cerita dimasukkan ke dalam buku pertama saya "Berpetualang ke Aceh : Mencari Diri dan Erti" (terbit Jun 2006). Lihat muka surat berkenaan yang diambil gambarnya tadi. Sekarang setelah akhirnya sampai setelah lebih 15 tahun tahu, setelah lebih 13 tahun gambar dan cerita menghiasi buku apakah ada petunjuk berkenaan dan makna? Apakah sampainya saya itu terkait dengan persoalan yang diterbitkan di muka surat sebelah iaitu "Sampai Bila Berpetualang?". Sampai bila harus mengembara ke sana ke mari mencari jawaban?


Saya pun tak tahu bagaimana untuk menjawabnya. Walaupun boleh kata hampir semua persoalan yang pernah melanda diri waktu buku ditulis telah terjawab selepas itu muncul pula persoalan-persoalan lain yang menuntut jawaban baru. Pun begitu, bila difikirkan kembali sebetulnya persoalan tidak menjadi masalah sangat. Sudah disebut banyak yang sudah terjawab. Apa yang perlu sebenarnya adalah terzahirnya beberapa perkara yang bayangannya sudah saya terima sejak bertahun lampau. Ada antaranya terkait dengan kegemilangan kembali kerajaan Samudera-Pasai.


Oh. Tadi itu dan ini adalah gambar kami anak-beranak di makam Sultan Malikus Saleh. Sebelum meninggalkan kawasan dan persekitaran yang pernah menjadi pusat kerajaan kami ziarah lagi sebagai tanda selamat tinggal...


Perjalanan diteruskan ke Banda Aceh 285 km ke arah timur dan utara makam. 


Seperti biasa ada tempat-tempat mahu disinggahi. Kali ini ada senarai beberapa makam lama yang belum pernah lagi sampai walau sudah 8 kali ke Aceh, kali ini yang ke-9...


Adapun kami meninggalkan makam Sultan Malikus Saleh dan persekitaran tapak pusat kerajaan Samudera-Pasai pada jam 12.30 tengah hari. Selepas itu singgah makan di suatu tempat. Gambar ini diambil pada jam 14:41 atau 2.41 petang. Kalau tak salah kami di bandar Bireun. Teringat betapa ketika ini baru hari ke-2 tahun Hijriah yang ke 1,441...


Di sekitar ini ada makam mahu diziarahi dan ia sudah ada dalam senarai. Namun belum sempat saya mengutarakanya kepada Fadhlan, Lodin telah lebih dahulu mengajak. Maka sampailah kami ke kompleks makam seorang ulamak besar yang dikenali sebagai Teungku Chik Awe Geutah. Letaknya 10 km ke selatan bandar Bireun.


Berasal dari Baghdad 500 tahun lalu beliau dianggap sebagai wali keramat. Pernah berlaku ada air zamzam yang dibawanya dari Mekah hendak diagih-agihkan kepada penduduk tapi tak cukup. Lalu digalinya satu perigi, dicurahkannya air zamzam ke dalam. Air yang diambil dari perigi jadi jernih dan rasa pun seperti air zamzam lalu semua orang dapat mengambilnya. Begitulah keadaan air perigi sehingga ke hari ini. Orang selalu datang mengambil untuk dijadikan ubat dan penawar...


Makam menjadi tumpuan untuk diziarahi sambil membawa hajat. Penempatan dan kawasan jadi tempat orang beramal juga belajar agama di madrasah. Lihat artikel-artikel berikut :-









Tetapi paling menarik perhatian saya adalah apabila melihat senarai salasilah keturunan dan ahli keluarga Teungku Chik Awe Geutah atau nama sebenarnya Sheikh Abdul Rahim (ditambah al-Asyi) dalam rumah...


Saya tertarik kerana ada tertulis nama ayah Teungku Chik Awe Geutah iaitu Jamaluddin Bawaris sebagai keturunan Saidina Abbas RA, bapa saudara Nabi Muhammad SAW. Ini bermakna beliau adalah daripada keluarga Bani Abbasiyah, sama seperti Sidi Abdullah yang makamnya diziarahi lebih awal di persekitaran tapak kerajaan Samudera-Pasai. Bezanya ketika Abdullah  meninggal dunia tahun 1403 Kesultanan Aceh Darussalam belum lagi wujud. Teungku Chik Awe Geutah pula dikatakan diutus ke wilayah ini oleh Sultan pertama Aceh Darussalam iaitu Sultan Ali Mughayat Syah (memerintah 1514-1530). Terdapat lebih 100 tahun perbezaan masa dan mereka berkhidmat dengan lain-lain kerajaan.


Kami duduk lama bercerita bermacam-macam dengan keturunan yang menjaga rumah dan makam. Namanya Teungku Mukhsin. Jam 4.45 gitu baru bergerak meninggalkan rumah. Sambil itu asyik terfikirkan kaitan dan faktor Bani Abbasiyah dalam pemerintahan kerajaan Samudera-Pasai dan Aceh Darussalam.


Jam 5.18 kami masuk ke satu kawasan pendalaman lain untuk mencari makam raja-raja Jeumpa. Ia merupakan satu kerajaan awal di Aceh yang dipercayai sesetengah pihak sudah menerima Islam seawal tahun 700an Masihi, lebih awal daripada Perlak.


Yang pasti ada cerita menyebut di kerajaan Jeumpa inilah datang seorang anak raja Parsi daripada keturunan Dinasti Sassanid yang dikenali sebagai Pengeran Salman al-Farisi. Baginda berkahwin dengan puteri raja Jeumpa lalu seorang anak atau cucunya membuka kerajaan Perlak.


Ketika Meurah Syahir Nuwi memerintah Perlak muncullah rombongan 100 orang pendakwah Islam yang diketuai oleh Nakhoda Khalifah tahun 173 Hijriah. Bacaan yang saya temu rata-rata mengatakan ini adalah bersamaan tahun 800 Masihi. Kiraan sama menunjukkan ia adalah tahun 790M.


Apapun itu membawa kepada terbitnya Kesultanan Islam Perlak tahun 225 H bersamaan 840 M. Tarikh pengasasan yang diisytiharkan dengan naiknya Sultan Sayyid Maulana Abdul Aziz Syah 1 Muharram, seorang Ahlul Bait keturunan Rasulullah SAW hasil perkahwinan ayahandanya dengan adinda kepada Meurah Syahir Nuwi menjadi asbab saya mahu bermalam di makam Sultan Abdul Aziz malam 1 Muharram sebelum mengadakan acara ke-21 HIKMAH di kompleks makam Sultan Malikus Saleh siang 1 Muharram. Lihat kembali artikel Perjalanan pusing Aceh dan utara Sumatera - Berkejar 1 Muharram untuk menunaikan acara ke-21 HIKMAH di tapak pusat kerajaan Samudera-Pasai.


Perjalanan dari makam Malikus Saleh ke Banda Aceh, aktiviti sepanjang hari termasuk ziarah ke makam Teungku Sidi Abdullah juga makam Teungku Chik Awe Geutah sebenarnya adalah secara rasminya sebahagian daripada acara ke-21 HIKMAH. Ini kerana ia telah diisytiharkan berlangsung daripada 1-3 September 2019 bersamaan 1-3 Muharram 1441 H agar dapat meliputi satu bahagian acara yang mahu diadakan di Banda Aceh 3 September. Oh. Gambar ini diambil jam 8.49 ketika makan malam di suatu tempat. Kalau tak salah ini di barat bandar Sigli...


Jam 11.53 baru masuk ke lingkungan kota Banda Aceh.


Jam 12 tengah malam sampai di rumah Fadhlan di mana kami akan menginap. Esok pagi harus bersedia untuk acara jam 9...


Khamis, Oktober 03, 2019

Islam di China - Apabila seni khat Arab dan seni khat Cina digabungkan bagi memartabatkan Islam...

Bersambung daripada artikel Islam di China - Menetapkan Dinasti Ming sebagai kerajaan beragama Islam abad ke-15 hingga ke-17?.


Jam 2.41 petang. Selepas waktu rehat makan tengah hari kemudian menunaikan solat Zohor di masjid ISTAC saya kembali ke dewan utama lalu mendapati hadirin sedang mengerumuni sesuatu.





Rupa-rupanya ada orang buat demonstrasi seni khat. Menariknya mereka berpeluang untuk mendapat hasil kerja percuma. Caranya tulis nama sendiri dengan tulisan Jawi lalu orang ini menulisnya kembali gaya khat di atas kertas khas yang disediakannya.


Namanya Dr Chen, itu yang saya dengar. Seorang Cina Muslim, beliau adalah doktor perubatan, bukan doktor falsafah seperti boleh ditemui ramai di ISTAC.


Kata Chen beliau boleh melakukan akupuntur. Kemudian timbul minat pada seni khat Arab sedangkan beliau tidak tahu membaca tulisan Jawi ketika itu. Ini adalah cerita beberapa tahun lalu. Beliau belajar bersungguh-sungguh teknik khat Arab lalu boleh menulis dengan baik dalam gaya Thuluth.


Chen juga tahu cara menulis khat tradisional China (kaligrafi). Dua gaya ini digabungkan untuk hasil-hasil kerja beliau....


Ditunjukkan di hadapan hadirin bagaimana ia dilakukan, apakah alatan yang perlu, jenis kertas, dakwat dan sebagainya...


Cara menulis, lengkok permainan tangan dan sebagainya memang berseni.


Kemahiran digunakan untuk mengangkat potongan ayat-ayat Quran menjadi hasil seni yang mengujakan. Untuk demonstrasi ini ditulis nama Allah...





Kemudian nama Muhammad...


Menurut Chen tak rugi belajar dan menguasai seni khat. Pergi ke mana-mana hasil kerjanya laris dibeli orang. Selain itu ia juga cara berdakwah yang boleh menarik minat orang bukan Islam untuk mengetahui lebih lanjut tentang Islam...



Sebagai penghargaan terhadap perkongsian ilmu beliau, Sheikhul Quliyyah ISTAC, Profesor Datuk Dr Osman Bakar menghadiahkan senaskah buku "Islam in China". Inilah buku yang diluncurkan pada pagi hari lalu satu forum berkenaan menyusul selepas itu. Rujuk kembali artikel Islam di China - Menetapkan Dinasti Ming sebagai kerajaan beragama Islam abad ke-15 hingga ke-17?.



Islam di China - Menetapkan Dinasti Ming sebagai kerajaan beragama Islam abad ke-15 hingga ke-17?

Salam malam Jumaat 5 Safar. Dalam artikel Membawa semangat Aceh ke Perak - Menutup ziarah di Teluk Intan dan persinggahan ke Tanjung Malim yang dipendekkan yang dipersembahkan jam 9.13 pagi ada diberitahu bahawa ia ditulis di masjid ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam) selepas bermalam di situ. Sebelum itu iaitu pada jam 11.55 malam saya telah mempersembahkan artikel bertajuk Klasifikasi ilmu pengetahuan dalam Islam - Syarahan berkenaan yang ke-8 selepas 5 bulan senyap di masjid sama. Ia adalah tentang majlis ilmu yang dihadiri di institut pada petang semalam...


Saya menginap supaya mudah ke satu majlis ilmu lagi di ISTAC pagi tadi. Ini adalah poster untuk majlis tersebut berupa pelancaran buku bertajuk "Islam in China - History, Spread and Culture" ("Islam di China - Sejarah, Perkembangan dan Budaya"). Turut diadakan adalah forum tentang Islam dan tamadun di China.


Menurut jadual ia harus dimulakan jam 9.30.


Gambar ini diambil pada jam 9.29 ketika keluar dari masjid untuk ke kereta. Saya keluar lewat kerana ada 2-3 lagi perkara perlu disiapkan setelah mempersembahkan artikel Membawa semangat Aceh ke Perak - Menutup ziarah di Teluk Intan dan persinggahan ke Tanjung Malim yang dipendekkan.


Saya sedang kelaparan dan mahu mencari sarapan di luar. Terus terang cakap saya belum mandi kerana sibuk menyiapkan cerita sejak selesai wirid selepas Subuh. Dan lagi saya ada masalah perut. Biar bersarapan dahulu, kasi masa makanan turun menolak isi sedia ada lalu faham-faham aje le apa perlu dibuat seterusnya. Selepas itu baru boleh mandi lalu bersiap dengan pakaian (saya bawa sepersalinan busana tradisional Melayu) dan masuk ke majlis.


Dipendekkan cerita jam 10.48 baru saya masuk ke majlis. Dah terlepas sesi pelancaran buku yang menurut atur cara dibuat oleh Menteri Luar Dato' Saifuddin Abdullah.


Pergi terus pada forum.


Panelis pertama, Dr Omar Min Ke Qin (ISTAC) sedang bercakap tentang hubungan Alam Melayu dengan Cina berdasarkan teks dan catatan daripada sana...





Catatan Ma Huan, seorang Cina Muslim yang merupakan jurutulis bagi Laksamana Zheng He (atau Cheng Ho) dirujuk. Zheng He sangat terkenal dengan ekspedisi-espedisi berkapal singgah ke beberapa pelabuhan terkenal kerajaan Melayu seperti di Melaka dan Aru. Ramai tahu beliau adalah seorang Muslim dan begitu juga ramai anak kapalnya (armada mereka dikatakan terdiri daripada 300 buah kapal dan 30,000 anak kapal!). Catatan Ma Huan menyebut pengalaman menunaikan haji ke Mekah...


Disebut pula sumber dan penulis-penulis lain berbangsa Cina zaman silam yang ternyata juga beragama Islam.


Banyak bahan boleh dirujuk untuk menunjukkan bahawa terdapat ramai cendekiawan beragama Islam pada zaman pemerintahan Dinasti Ming (1368-1644 Masihi)...











Panelis kedua Dr. Alexander Wain, seorang warga England yang kini bertugas di IAIS (Institut Antarabangsa Pengajian Lanjutan Islam) di Universiti Malaya pula bercakap tentang pengaruh tamadun Islam di China terhadap Alam Melayu.


Disebut tentang teori kedatangan Islam ke Alam Melayu oleh beberapa pihak (semua Barat nampaknya) dan bagaimana persepsi berubah menurut zaman. Misalnya kajian akademik abad ke-19 berdasarkan sumber-sumber tempatan cenderung ke arah penglibatan orang Arab. Tetapi masuk abad ke-20 perhatian beralih pada laluan-laluan perdagangan dan India (Gujerat, selatan India dan Bengal). Masuk abad ke-21 teori-teori yang lebih kompleks berkembang, cenderung ke arah banyak titik permulaaan. Daripada tahun 1980an, sesetengah cendekiawan (Lombard, Salmon, Wade, Reid) mula menekankan peranan Cina Muslim dalam proses kedatangan Islam.


Dengan itu sejarah awal pengIslaman Brunei cuba dibina kembali. Disebut Pusat Sejarah Brunei menggunakan Silsilah Raja-raja Brunei dan Ming Shilu (catatan kerajaan Ming) untuk meletakkan tarikh Brunei memeluk Islam pada tahun 1363. Cendekiawan di luar Brunei menggunakan sumber-sumber Eropah untuk meletakkan tarikh pemelukan ke tahun 1515...


Bukti arkeologi menunjukkan Brunei sudah lama berdagang dengan Cina melalui penemuan banyak bahan seramik Cina di Kota Baru dan Sungai Lumut. Dan seramik-seramik itu daripada abad sebelum 14 Masihi.


Ada pula batu nesan di Brunei yang kelihatan serupa seperti batu nesan lama yang biasa dilihat di wilayah Quanzhou di Cina...


Dan jenis ini cuma dihasilkan di sana antara tahun 1272 hingga 1362.


Panelis ketiga dan terakhir Profesor Ulung Datuk Osman Bakar daripada ISTAC bercakap tanpa bantuan slaid.


Secara rata beliau mengenengahkan hujah dan penemuan yang pada beliau boleh menunjukkan bahawa Islam mengalami zaman keemasan di Cina daripada abad ke-15 hingga ke-17. Ini tentu merujuk pada zaman Dinasti Ming. Beliau seperti hendak membayangkan bahawa dinasti tersebut adalah sebuah dinasti Islam atau raja dan para kerabatnya beragama Islam. Tetapi ini tidak dinyatakan secara berterus terang kerana diakui kekurangan bukti yang dapat dipertahankan dalam debat akademik lalu tidak boleh diumumkan sebagai fakta.

Masuk sesi soal jawab kemungkinan bahawa Dinasti Ming memang beragama Islam cuba dikupas termasuk oleh saya. Saya menyuakan bahagian berkenaan daripada satu buku tebal tentang catatan-catatan Dinasti Ming tahun 1968. Ada disebut bahawa pada ketika itu (sekitar tahun 1968) sejarah Dinasti Ming baru sahaja hendak diambil tahu. Sebelum itu ia adalah dinasti yang paling dibuat tak tahu (neglected) dalam sejarah Cina. Sehingga Dinasti Qing yang memerintah seterusnya (1644–1912) melarang apa-apa yang baik tentang Dinasti Ming disebut rakyat. Rujuk sedutan daripada buku berkenaan dalam artikel Rekod Dinasti Ming tidak boleh menafikan kewujudan Hang Tuah yang ditulis lebih 7 tahun. 

Pada saya ini membayangkan bahawa sejarah sebenar Dinasti Ming yang kemungkinan besar memang kerajaan Islam telah disembunyikan selama lebih 300 tahun. Kemungkinan besar rekod-rekod sejarah seperti Ming Shilu oleh kerajaan Ming telah disunting, dikeluarkan bahagian-bahagian berkenaan (perkataan Inggerisnya redacted) yang boleh membuktikan ia adalah kerajaan Islam. Tinggal bahagian-bahagian yang tidak boleh ditutup lagi tetapi tidak cukup untuk menjadi bukti seperti kenyataan bahawa Dinasti Ming memiliki ramai pentadbir beragama Islam (seperti halnya Laksamana Zheng He) dan pemerintah pertama dinasti, Maharaja Hongwu pernah menulis sajak yang sangat memuji tinggi Nabi Muhammad SAW. Para panelis bersetuju kemungkinan memang ada namun perlu digali lebih banyak bukti sebelum dapat dijadikan pernyataan.