Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-






Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Wednesday, May 16, 2007

Ustaz Wan Saghir, Khazanah Fathaniyah, perjuangan Islam dan aku...

Sebahagian kitab-kitab lama yang cuba dihidupkan kembali oleh Khazanah Fathaniyah yang diasaskan almarhum Ustaz Wan Saghir.

Ingat lagi tak nama Ustaz Wan Saghir yang selalu menulis tentang ulamak-ulamak Melayu dan peranan mereka dalam menyebarkan Islam di Nusantara terutama di dalam ruangan agama di akhbar nasional Utusan Malaysia? Saya rasa, ramai orang tahu beliau telah meninggalkan dunia yang fana' ini lebih sebulan lalu. Sedikit cerita tentang pemergian almarhum ada dinukilkan di dalam blogspot ini... Kalau mahu baca, sila klik di sini: Takziah untuk Ustaz Wan Saghir

Oh... Sebelum berceloteh lebih panjang, saya rasa elok dipaparkan sedikit cerita tentang bagaimana saya mengenali perjuangan ustaz dalam memartabatkan kembali para ulamak Melayu di Nusantara ini. Elok juga kita bertafakur sebentar terlebih dahulu seraya menghadiahkan Al-Fatihah kepada roh almarhum, semoga beliau dimasukkan ke dalam golongan solihin... Dan alang-alang kita menghadiahkan Fatihah (bukan derma ya, salah adab tu...) kepada Ustaz, elok juga kita niatkan hadiah juga kepada para wali, Nabi-nabi dan para Rasul sehingga ke junjungan besar kita Nabi Muhammad Sallahualaihi Wassalam.

Kebetulan siang tadi saya ada melawat kedai peninggalan Ustaz Wan Saghir, tergerak pula untuk mengambil beberapa keping gambar untuk diabadikan di sini supaya dapat ditatap ramai. Termasuk dalam gambar-gambar itu adalah gambar rak buku di bawah ini. Entah kenapa, gerak hati saya menyuruh supaya mengambil sebuah gambar lukisan Sultanul Awliya Sheikh Abdul Qadir al-Jilani yang terperosok di belakang kaunter pembayaran lalu diletakkan bersama buku-buku ini.

Lihat gambar di bawah sambil membaca Fatihah dan niat hadiahkan kepada Ustaz, para wali, para Nabi, para Rasul lalu seluruh muslimin dan mukminat samada masih hidup atau telah meninggal dunia. Al-Fatihah...




Baik... Sekarang baru boleh disambung cerita... Tentang bagaimana saya mula mengenali perjuangan Ustaz Wan Saghir...

Kebetulan cerita itu telah pun dinukilkan dalam novel saya yang akan datang (belum disunting lagi) iaitu "Berpetualang ke Aceh: Sirih Pulang ke Gagang?" atau BKA III. Untuk makluman, novel "Berpetualang ke Aceh: Mencari Diri dan Erti" atau BKA I sudah berada di pasaran sejak Jun 2006 sementara novel "Berpetualang ke Aceh: Membela Syiar yang Asal" atau BKA II baru sahaja selesai dicetak dan akan menemui khalayak pembaca tidak lama lagi.

Apapun, inilah sedutan berkenaan daripada buku BKA III, daripada bab bertajuk "Tok Pulau Manis, Batu Bersurat Terengganu dan beberapa warisan Aceh"... Silalah baca! :]

--------------------------


Pada satu hari tahun 2003, setelah selesai menunaikan solat Jumaat di Masjid Jamek Kampung Sungai Mulia di Batu 6, Jalan Gombak, Rasyid tergerak untuk berjalan kaki tanpa sebab menuju ke pusat bandar Kuala Lumpur. Seperti biasa, apabila mendapat gerak dan getaran tertentu dalam hati, pemuda ini akan mengikut sahaja tanpa banyak soal kerana percaya akan ada hikmahnya nanti... Tentu akan ada sebab-musabab dan penemuan baru yang akan dibuat samada secara sengaja ataupun tidak. Maka dia pun berjalan tanpa henti menyusuri kesibukan serta hiruk-pikuk Jalan Gombak lalu masuk ke Jalan Pahang. Sampailah di sebuah masjid lama berusia 70 tahun, barulah berehat setelah hampir 8km berjalan tanpa henti.
Kebetulan sudah hampir masuk waktu Asar. Anak muda yang sedang cuba memperbaiki dirinya dengan mendekati kembali agama inipun menunaikan Rukun Islam yang wajib itu sebelum menyambung kembali perjalanan hampir 2km lagi ke Hospital Tawakal. Di sana gerak hatinya menyuruh membelok ke kanan pula. Lalu Rasyid pun menyusuri sebuah jalan yang belum pernah dilaluinya sebelum itu, tidak ingat nama jalan itu... Tetapi pemuda itu masih ingat, di dereten kedai yang dilaluinya, terdapat Restoran Haslam milik pengarah filem terkenal iaitu Yusuf Haslam.
Sampai ke penghujung deretan, selepas melalui perkarangan sebuah bangunan tunggal yang agak besar, terjumpa sebuah kedai cermin mata yang ada menjual buku-buku agama di satu sudut. Tergerak pula hendak singgah sebentar... Masuk sahaja ke dalam, anak muda yang sudah lama meminati bidang Tasawuf ini terus tertarik kepada sebuah buku... Terus ternampak buku itu yang terletak di tengah para walaupun terdapat banyak lagi buku serta bahan bacaan lain pelbagai rupa, warna dan saiz di sekeliling.
Sebenarnya, buku itu adalah sebuah risalah photostat yang dijilid dengan kertas berwarna kuning sebagai kulit. Tidak ingat tajuk penuhnya... Yang pasti, ada tertera nama Tok Pulau Manis dengan terang di hadapan. Rasyid pernah dengar nama ini. Pemuda ini memang suka membaca kisah para wali Allah dan Tok Pulau Manis termasuk dalam golongan ulamak bernama besar di Tanah Melayu. Tetapi sebelum itu, dia tidak pernah berminat atau hendak mengambil tahu lebih lanjut tentang Wali Allah ini. Baru kali itulah tergerak untuk membaca sedikit tentangnya. Lalu dia mendapat tahu bahawa wali besar dan ulamak dahulukala dari Terengganu ini pernah menuntut ilmu di Aceh malah pernah berguru kepada Sheikh Abdul Rauf Singkel, anak murid wali besar Aceh Sheikh Hamzah Fansuri.
Tiba-tiba tubuh seluruh tubuh Rasyid bergetar. Mungkinkah ini satu petunjuk sebagai jawaban bagi doanya selepat solat Jumaat tadi? Jawaban bagi permohonannya kepada Allah SWT untuk disambungkan wasilah kerohanian sampai ke Aceh? Ini kerana pemuda berdarah Aceh ini mula mengenali dunia Tasawuf setelah terbaca ulasan dan syair-syair Hamzah Fansuri ketika berumur 18 tahun. Lalu terus timbul gerak untuk ke Terengganu, setelah mendapat tahu bahawa makam Tok Pulau Manis ini masih wujud di Kampung Pulau Manis, Kuala Terengganu.



Adapun cerita di atas tadi adalah nukilan yang dijadikan sebahagian isi siri buku "Berpetualang ke Aceh". Apa yang berlaku begitu bermakna dalam hidup saya kerana satu, itulah kali pertama saya tahu tentang perjuangan serta hasil kerja Ustaz Wan Saghir, kedua, itu juga kali pertama saya terjumpa koleksi kitab dan buku Khazanah Fathaniyah dan ketiga, itulah pembuka gerak yang membawa saya untuk pergi ke makam Tok Pulau Manis di Kuala Terengganu... Tidak lama kemudian timbul pula kekuatan untuk berkelana lagi seorang diri dengan lebih jauh, pergi menyeberangi Selat Melaka untuk ke Medan seterusnya ke Aceh walaupun wilayah itu sedang darurat akibat peperangan antara Tentera Republik Indonesia (TRI) dengan puak pemisah Gerakan Aceh Merdeka (GAM). Hasil dari perjalanan ini bercampur pengalaman hidup yang berkaitan, terhasillah buku "Berpetualang ke Aceh"... Ooppsss... Saya sudah melangkau ke hadapan... Kena undur balik ke belakang sedikit...

Balik ke peristiwa terjumpa hasil kerja Ustaz Wan Saghir tahun 2003, ketika itu Khazanah Fathaniyah setakat menumpang ruang menjual dan memperkenalkan kitab-kitabnya di dalam sebuah kedai cermin mata. Saya dapati koleksi kitab-kitab itu termasuk hasil kajian peribadi Ustaz sangat menarik lebih-lebih lagi kerana ia tidak terdapat di tempat atau kedai lain. Sejak itu saya selalu ke sana apabila timbul gerak dan sampai masanya saya terpanggil untuk menghubungi pihak Khazanah Fathaniyah melalui pembantu Ustaz iaitu saudara Azrul.

Daripada saudara Azrul, saya mendapat tahu Khazanah Fathaniyah sebenarnya berpusat di Taman Melewar di kawasan Gombak. Ketika itu, saya masih bekerja dengan bapa angkat saya, penulis terkenal S.H. Al-Attas dan sering bermalam di pejabat kami di Batu 5 1/2 Jalan Gombak. Sampai masanya, saya terus memecutkan motosikal berkuasa tinggi (yang sekarang ini sudah lebih 2 tahun terbengkalai di kampung Janda Baik, Bentong, Pahang) untuk ke situ... Rupa-rupanya, pusat Khazanah Fathaniyah ini adalah sebuah rumah teres, tetapi di dalamnya terdapat beribu-ribu naskah buku, kertas kerja dan berbagai lagi hasil kajian serta penulisan Ustaz.

Yang pasti, ketika itu Khazanah Fathaniyah boleh dikira agak dhaif... Hasil kerja yang disimpan di rumah teres memenuhi hampir setiap ruang sehingga rumah kediaman itu kelihatan seperti sebuah gudang buruk. "Kedai"nya pula setakat satu sudut dengan dua tiga rak buku yang menumpang di sebuah kedai cermin mata berdekatan Hospital Tawakal. Jauh sekali daripada keadaan kedai sekarang yang lebih luas seperti terpapar di gambar bawah ini... (Perhatikan dengan teliti, buku BKA I termasuk sekali dalam gambar ini... Cuba cari, hehe!)


Selepas lawatan ke pusat Khazanah Fathaniyah di Taman Melewar itu, saya telah disibukkan dengan berbagai hal lain. Rasanya lebih setahun kemudian baru tergerak untuk menghubungi kembali Khazanah Fathaniyah. Baru dapat tahu, ia telah menyewa sebuah lot kedai di Plaza Idaman, tidak jauh daripada pejabat S.H. Al-Attas.

Ah! Betullah itu! Lebih setahun malah setelah masuk tahun 2006, baru tergerak untuk bertanya khabar. Ketika itu, saya sudah berhenti bekerja dengan bapa angkat dan telah pun keluar daripada rumahnya di Janda Baik di mana saya pernah menetap sekitar 2 tahun lamanya!

Yang pasti, ketika itu, saya sudah menyiapkan draf utama buku pertama "Berpetualang ke Aceh"... Setelah lebih 2 tahun berhempas-pulas memikirkan gaya penulisan, bahasa bagaimana yang perlu digunakan (berat? santai? atau di tengah-tengah? ataupun berubah-ubah). Format buku, saiz, aturan rupa atau page layout, penggunaan font semuanya harus difikirkan. Bukan senang untuk sampai ke peringkat draf yang boleh dibaca orang, lebih-lebih apabila membuat segala-galanya seorang diri... Asalnya buku ini ingin dibuat dalam bentuk straightforward history atau sejarah terus yang agak akademik. Setelah beberapa kali pertukaran serta bermacam pengalaman berkaitan, barulah ia menjadi buku yang boleh dikongsi ramai... Dan di sinilah baru Ustaz Wan Saghir pula mengenali perjuangan saya dalam dunia Islam...


Lihat gambar di atas. Inilah rupa buku pertama "Berpetualang ke Aceh" yang asal, dengan rekabentuk kulit dicipta secara eksperimen menggunakan program Adobe Photoshop (sebelum itu telah ada rekabentuk kulit yang lain tapi telah ditukar setelah mengambil kira pandangan beberapa pihak, kemudian ditukar lagi sehingga jadi rupa buku yang masuk di pasaran Jun 2006). Adapun buku di atas ini dibuat menggunakan program Pagemaker. Kemudian dengan menggunakan satu option, isi di dalamnya dapat dibentuk lebih-kurang sama seperti buku-buku yang telah siap di kedai-kedai!

Saya masih ingat lagi bagaimana letihnya mencari printer (kerana saya kekurangan dana dan sokongan) elok yang boleh digunakan. Oh... Sudah lama saya terlupa... Dalam hal ini, terima-kasih kepada saudara Jo, bekas ketua jabatan artis di The New Strait Times kerana membenarkan saya menggunakan printer di rumahnya. Hasilnya saya photostat pula di kedai menjadi dua copy tambahan sebelum dilipat secantik boleh, malah di ketip dan digam dengan teliti sehingga menjadi rupa sebuah buku.

Masih teringat lagi bagaimana dalam keadaan mendesak akibat dilanda berbagai tekanan hidup, saya cuba menyiapkan ketiga-tiga buku (naskah print asal campur dua naskah copy). Naskah-naskah inilah yang digunakan sebagai bukti betapa seriusnya saya ingin menulis buku sehingga akhirnya mendapat pembiayaan pinjaman seorang bapa saudara. Dan naskah sebeginilah yang dipinjamkan kepada saudara Azrul ketika Khazanah Fathaniyah sudah mempunyai kedai di Plaza Idaman lalu dapat dibaca almarhum Ustaz.

Melalui buku itu, Ustaz Wan Saghir dapat membaca bahawa saya juga ingin memperjuangkan kesyumulan serta kedaulatan Islam. Cuma cara kami berlainan, dia melalui pengkajian akademik terutama terhadap kitab-kitab lama lalu dibentangkan kertas-kerja dalam wacana-wacana para intelektual sementara saya pula cuba mengenengahkan penemuan sendiri (melalui cara tersendiri juga) yang diadun bersama fakta-fakta akademik dalam bentuk novel dengan harapan dapat mencapai golongan sasaran pembaca yang lebih luas, termasuk mereka yang selama ini lebih selesa membaca novel-novel cinta.

Kata Ustaz: "Teruskan!"... Ringkas...

Oh... Elok saya beritahu di sini. Kami tidak pernah bertemu-muka walau sekali pun, setakat berkirim salam melalui pembantunya saudara Azrul. Entah kenapa, saya rasa kami tidak perlu bersua walaupun peluang memang ada terutama apabila beberapa orang memberitahu tahu saya, Ustaz Wan Saghir akan membuat satu pembentangan kertas kerja di Masjid Raub. Untuk pengetahuan, ayahanda saya dilahirkan di Teluk Intan, Perak tetapi membesar di Raub, Pahang kerana datuk dan nenek saya berhijrah ke sana. Maka Raub menjadi kampung sebelah ayah. Kami masih memiliki sebuah rumah peninggalan dengan beberapa orang saudara-mara masih menetap di sana.

Apapun, pembentangan kertas kerja itu berlaku lebih kurang 2 bulan lalu. Beberapa hari kemudian, saya tergerak untuk pergi ke kedai Khazanah Fathaniyah yang ketika itu sudah lebih 3 bulan beralih ke kawasan Chow Kit... Terus terjumpa saudara Azrul yang menceritakan apa yang berlaku di Raub malah menghadiahkan saya satu salinan kertas kerja untuk tatapan peribadi.

Lebih kurang seminggu atau dua minggu kemudian, saya tergerak untuk ke sana lagi bersama seorang kawan. Ketika itulah saya juga terpanggil untuk membeli sebuah gambar lukisan Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam (memerintah Aceh abad ke 17). Oh... Yang pasti keesokannya masuk 1 Rabiulawal. Saya masih ingat bagaimana pagi itu, saya terbangun tidur dengan bayangan Sultan Iskandar Muda di hadapan mata di samping timbul semangat untuk berbuat sesuatu yang mungkin boleh menolong Khazanah Fathaniyah... Tak sangka pula Ustaz Wan Saghir telah menghembuskan nafasnya yang terakhir sebelum saya sempat berbuat apa-apa yang konkrit untuk menolong perjuangannya memartabatkan Islam di negara ini.

Hmm... Selingan sebentar...

Gambar di atas ini sebenarnya adalah gambar pertama berkenaan Khazanah Fathaniyah yang diambil hari ini, malah gambar pertama kedai itu yang saya ambil sejak mengenali pustaka hasil kerja Ustaz Wan Saghir ini. Adapun tujuan saya mengambil gambar ini adalah untuk memudahkan sesiapa sahaja untuk mencari kedai tersebut, dengan melihat kedudukan kedai berdasarkan gambar yang diberi... Maklumlah, Khazanah Fathaniyah bukanlah sebuah syarikat besar yang kaya-raya sehingga mampu untuk menarik perhatian melalui pengiklanan atau papan-tanda terserlah yang sewajarnya. Cuma dalam gambar ini tidak berapa terang kedudukan kedai kerana kamera digital murah saya tidak ada wide shot. Cukuplah gambar ini sekadar menunjukkan pintu masuk kedai di belakang motosikal merah ( di kiri) dengan stesyen monorail Chow Kit kelihatan di latar belakang di belah kanan gambar.

Lokasi kedai ini terletak di persimpangan Jalan Chow Kit dengan Jalan Tuanku Abdul Rahman. Alamatnya (baru diambil tadi) adalah:

Khazanah Fathaniyah,
486-G, Jalan Tuanku Abdul Rahman,
50100 Kuala Lumpur.

Letak sekali informasi lain sekalilah…

Nombor tel: 03-61889121,
Fax: 03-61897231
pengkaji@streamyx.com
pengkaji_khazanah@yahoo.com

Di bawah ini adalah gambar kedai Khazanah Fathaniyah dilihat daripada hadapan. Lelaki berkopiah dalam gambar itu adalah saudara Azrul...


Hmm... Teringat pula. Ada satu cerita menarik tentang kali pertama saya sampai ke kedai yang ini kira-kira 3 bulan lalu. Ketika itu, saya sudah hampir setahun tidak berhubung dengan pihak Khazanah Fathaniyah, maka tak tahu langsung mereka telah bertukar lokasi kedai lagi!

Pada suatu hari, entah kenapa, timbul gerak untuk berjalan-jalan di pusat bandaraya Kuala Lumpur, setelah sehari suntuk "membodohkan" diri di rumah ibu saudara di Ampang, tempat saya menumpang sekarang (tengah hilang punca masa tu sebab proses penyuntingan BKA II sedang tersangkut). Terus keluar ambil bas, fikirnya hendak ke kawasan Masjid Jamek ataupun Masjid India... Tapi entah kenapa, semasa sampai ke persimpangan Jalan Sultan Ismail dan Jalan Ampang, terus timbul gerak untuk turun bas lalu mengambil monorail hingga ke Chow Kit.

Sampai ke Chow Kit pula, saya setakat terfikir untuk pergi ke sebuah kedai makan berhadapan Plaza Safuan di mana saya suka makan rojak tahu dan tepung udang. Entah kenapa lagi, saya memilih untuk turun daripada stesyen monorail Chow Kit (dipanggil orang sebagai pulau kerana kedudukannya yang seolah terapung di persimpangan beberapa jalan besar) melalui escalator yang menghala ke persimpangan Jalan Tuanku Abdul Rahman/ Jalan Chow Kit sedangkan ada beberapa arah lain untuk turun daripada "pulau" itu. Setelah turun, saya terus bergegas dengan niat untuk pergi ke kedai makan tersebut... Tetapi sebaik sebelum sampai Jalan Chow Kit, ternampak pula sebuah kedai menjual sedikit suratkhabar di luar.

Kalau dilihat daripada tempat saya berdiri ketika itu, kedai ini kelihatan seperti mana-mana kedai buku atau majalah biasa. Kalau tidak disebabkan gerak untuk meneliti, tentu sahaja saya akan terus berjalan tanpa mempedulikannya. Tapi entah kenapa lagi, saya tergerak untuk pergi lebih rapat... Barulah terperasan, itulah lokasi terbaru kedai Khazanah Fathaniyah, baru sebulan dua beralih ke situ!

Subhanallah, Maha Suci Allah! Jodoh pertemuan di tanganNya jua. Itulah cara Allah mempertemukan saya kembali dengan Khazanah Fathaniyah serta perjuangan Ustaz Wan Saghir. Dengan ini saya rasa cukuplah nukilan kali ini (ditulis secara spontan bermula jam 12 malam, sekarang sudah lebih jam 3 pagi!). Di bawah ini biarlah dipaparkan sedikit lagi gambar supaya lebih terang di manakah kedudukan kedai ini.

Di sini saya mengambil peluang menyeru kawan-kawan, kenalan dan para pembaca sekalian, sudi-sudilah bertandang ke kedai Khazanah Fathaniyah. Mari kita tolong lestarikan perjuangan Ustaz Wan Saghir dengan membeli buku-buku, kitab serta hasil-kerjanya... Lagipun banyak hasil kerja di situ yang tidak terdapat di tempat lain.

Oh, lagi satu perkara. Saya sudah beritahu bukan yang buku terbaru saya iaitu "Berpetualang ke Aceh: Membela Syiar yang Asal" atau BKA II baru sahaja siap dicetak. Selepas ini barulah akan diberi kepada pihak pengedar untuk disampaikan ke kedai-kedai terpilih seluruh Malaysia. Rasanya proses ini akan mengambil masa tidak kurang 2 minggu sedangkan tadi semasa berada di Khazanah Fathaniyah, saudara Azrul telah menyatakan kesediaan untuk menerima buku baru saya secepat mungkin. Maka kemungkinan besar, kedai itu akan menjadi kedai pertama di Malaysia yang menjual BKA II? Mungkin dalam 2-3 hari lagi, Insyaallah!



Gambar diambil di hadapan kedai Khazanah Fathaniyah seraya menghadap ke stesyen monorail Chow Kit.





Gambar diambil menghadap ke Jalan Chow Kit... Boleh nampak Supermarket Yoon Thye di hadapan.



Dan ini pula gambar kedai daripada sudut menyendeng sedikit. Sekali lalu, boleh terlepas... Mungkin tak perasan di situlah terletaknya kedai Khazanah Fathaniyah tapi setelah diceritakan serta diambil gambar daripada beberapa sudut, rasanya pembaca boleh nampak bukan? Jadi apa lagi? Silalah bertandang, sekurang-kurangnya untuk membeli buku BKA II... Ada juga komisyen untuk Khazanah Fathaniyah... Wassalam! :]

No comments: