Pagi Rabu 26 Mac 2014. Saya melihat keadaan di sekitar hotel.
Tetapi kami belum sampai ke Takengon lagi, sekadar di Bireuen. Ini kerana sambutan mesra di Pidie hari Selasa menyebabkan kami sampai ke Bireuen lewat. Sedangkan untuk ke Takengon masih memerlukan lagi 3 jam perjalanan. Lihat artikel
Bireuen from a hotel rooftop di
blogspot BERPETUALANG KE ACEH.
Kemudian baru saya teringat pernah menyimpan hasrat untuk bermalam di Bireuen satu hari nanti. Ini kerana ia terletak di dalam wilayah kerajaan lama yang dipanggil Jeumpa, kerajaan yang katanya pernah didatangi seorang putera raja bernama Maharaja Syahrian Salman dari kerajaan Parsi sekitar tahun 777 Masihi. Dari Salman yang saya percaya tidak lain tidak bukan adalah sahabat besar Nabi Muhammad SAW yang bernama Salman al-Farisi itulah muncul raja-raja yang memerintah kerajaan Perlak. Biar di copy paste cerita berkenaan dari buku pertama saya "Berpetualang ke Aceh : Mencari Diri dan Erti" (terbit Jun 2006)...
Dicatat dalam sejarah, pada awal abad ke 9 Masihi
telah datang rombongan 100 orang pendakwah dari Timur Tengah berlabuh di Perlak,
diketuai seseorang yang dikenali sebagai Nakhoda Khalifah. Mereka ini dikatakan
telah melarikan diri daripada buruan kerajaan selepas gagal dalam percubaan
menggulingkan pemerintahan Bani Abbasiyah.
Ahli rombongan ini dikatakan terdiri daripada keturunan
Rasulullah SAW melalui puteri baginda Fatimah az-Zahrah dan suaminya, Saidina
Ali bin Abi Talib Karamallahuwajha, juga para penyokong yang mahukan kepimpinan
anak cucu Nabi. Termasuk di kalangan mereka adalah seseorang bernama Ali bin
Muhammad bin Jaafar Al-Sadiq.
Ketika itu, Perlak sedang diperintah raja berketurunan
Parsi, Merah Syahir Nuwi. Raja dan rakyat Perlak tertarik dengan akhlak ahli
rombongan lalu menganut Islam, Rombongan itu dimuliakan dan Ali dikahwinkan
dengan adik perempuan Raja Perlak yang bernama Makhdum Tansyuri.
Ada sumber menyebut nama penuh Ali ialah Ali Muktabar Muhammad bin Ad Diba’ie bin
Jaafar As Siddiq. Tetapi Rasyid lebih cenderung mempercayai Ali adalah anak
kepada Muhammad bin Jaafar as-Sadiq...
Apapun, Merah Syahir Nuwi mangkat sekitar 840 Masihi.
Anak lelaki Ali dengan Makhdum Tansyuri pula diangkat menjadi raja baru
Perlak, Sultan Alaiddin Sayyid Maulana
Abdul Aziz Syah. Maka bermulalah keSultanan
Islam Perlak yang akan menjangkau tempoh lebih 400 tahun.
Ali diketahui sebagai anak cucu Imam Ja’afar Al-Sadiq,
seorang alim-ulamak besar berketurunan Rasulullah SAW daripada jurai Saidina
Hussein yang sangat dihormati dalam sejarah Islam. Malah ulamak ini dikultuskan
sebagai seorang imam maksum dalam fahaman Syiah. Yang menjadi persoalan, apakah
asal-usul Merah Syahir Nuwi yang menjadi raja asal Perlak? Lebih penting lagi
siapakah dia Nakhoda Khalifah?
Ada catatan
lama menyebut Merah Syahir Nuwi berasal dari keturunan seorang bangsawan Parsi bernama Salman yang
telah berhijrah ke bumi Serambi Mekah beberapa kurun terdahulu. Pelabuhan
Perlak pula dikenali sebagai Bandar Khalifah sejak kedatangan rombongan 100
orang pendakwah itu, sempena nama ketua mereka Nakhoda Khalifah. Tetapi sebelum
menyingkap siapakah Nakhoda Khalifah,
eloklah kita kenal dahulu siapakah Salman yang menurunkan Merah Syahir
Nuwi.
————————
Rasyid telah menghabiskan masa lebih tiga bulan
menelaah berbagai sumber mengenai Perlak tetapi tidak berjaya menemui apa-apa
catatan rasmi untuk menyelesaikan masalah ini. Tetapi selepas mengkaji beberapa
cerita lama, dia yakin orang yang tersebut ini ialah Saidina Salman al Farisi,
sahabat Nabi yang memperkenalkan teknik peperangan parit di Tanah Arab. Parit
itu telah digali mengelilingi kota Madinah untuk menghalang serangan orang kafir Quraish dan sekutu mereka dalam perang
Khandaq.
Menurut satu cerita, Salman telah diangkat Rasulullah
SAW menjadi seorang Ahlul Bait atau ahli keluarga baginda yang mulia. Sahabat
ini juga diketahui kuat mengembara sebelum memeluk Islam di tangan Nabi di
Madinah. Salman dikenali ramai sebagai
seorang bangsawan Parsi. Tetapi berapa ramaikah yang tahu baginda juga
adalah seorang pewaris kerajaan Parsi, sebuah daripada dua kerajaan
terbesar di dunia zaman itu?
“Sebab itu ada kitab-kitab lama Melayu menyebut
Saidina Salman al Farisi sebagai Raja Salman,” kata Rasyid, menerangkan
asal-usul kerajaan Perlak kepada beberapa orang teman yang juga meminati
cerita-cerita lama. “Cuma Salman yang berasal daripada Dinasti Sasanid,
keturunan Raja Nurshirwan Adil yang dikenali dalam kitab-kitab lama sebagai
Raja Mashriq dan Maghrib iaitu Timur dan
Barat itu tidak tertarik atau berminat kepada harta dan kekayaan mahupun kuasa
dan nama.”
Sebagai seorang berdarah raja, baginda lebih berminat
menimba ilmu mencari kebenaran demi memahami hakikat sebenar kehidupan. Lalu
Salman sanggup meninggalkan segala kuasa dan kemewahan untuk mengembara mencari
jawaban Menurut satu riwayat, bangsawan Parsi ini pernah menganut agama
Zoroaster, agama utama di wilayah kelahirannya. Agama itu asalnya agama Tauhid
yang mengEsakan Tuhan sebelum diseleweng unsur-unsur penyembahan api. Kemudian
Salman menjadi penganut agama Nasrani
ataupun Kristian yang berasal daripada ajaran Nabi Isa AS yang juga telah lari daripada landasannya
yang sebenar.
Lama kemudian, barulah baginda mendengar khabar
daripada beberapa orang pendita tentang kewujudan agama Hanifiah (orang-orang
yang lurus) iaitu agama Tauhid Syariat Nabi Ibrahim AS. Tetapi menurut mereka,
agama ini telah pupus di Parsi. Kalau hendak belajar juga, harus mencari
seseorang di Tanah Arab. Itulah agama syumul yang diwarisi Nabi Muhamad SAW
daripada moyangnya Nabi Ibrahim AS sebelum baginda mendapat wahyu untuk
mengajar Syariat akhir zaman. Maka
selepas bertahun-tahun berkelana mengkaji dan menganut pelbagai ajaran dan
fahaman, Saidina Salman Al-Farisi akhirnya menemui kebenaran, selepas berjumpa
Khatamul Anbiya, penutup segala Nabi, Rasulullah SAW.
Rasyid tidak pasti bilakah Salman sampai ke Perlak.
Adakah sebelum atau selepas berjumpa
Nabi. Kalau menurut cerita-cerita yang ditampilkan dalam buku sejarah, ada
kemungkinan baginda sampai ke Perlak sebelum itu kerana keturunannya, Merah Syahir Nuwi dikatakan
hanya menganut Islam selepas kedatangan
rombongan Nakhoda Khalifah. Tetapi ada kemungkinan juga baginda telah
sampai ke sana selepas Rasulullah SAW wafat, lebih tepat lagi selepas
kemangkatan Saidina Ali yang menyaksikan Muawiyah bin Abu Sufian merampas
keKhalifahan umat Islam. Maka baginda pun membawa diri jauh daripada
kemungkaran yang berleluasa semasa pemerintahan Muawiyah lalu sampai ke Perlak? Wallahualam...
Perkahwinan Ali bin Muhammad bin Ja’afar al Sadiq dengan adinda Merah
Syahir Nuwi merupakan pertemuan dua cabang termulia keturunan Nabi Allah
Ibrahim. “Seperti kebanyakan raja-raja besar, Raja-raja Parsi juga memiliki
titisan darah Iskandar Zulkarnain, penakluk agung yang menurut sesetengah
sumber adalah keturunan Nabi Sulaiman,” Rasyid membuka cerita.
Nabi Sulaiman memiliki kerajaan luas yang merangkumi manusia, jin dan
haiwan juga unsur-unsur alam seperti angin yang boleh diperintahkan untuk
membawanya ke sana-sini. Baginda adalah anak Nabi Daud, keturunan Nabi Ishaq, anak Nabi Ibrahim
dengan isteri pertamanya Siti Sarah. Imam Ja’afar al Sadiq bin Muhammad
Al-Baqir bin Ali Zainal Abidin bin Saidina Hussein bin Saidina Ali
Karamallahuwajha, suami Fatimah Az-Zahrah binti Nabi Muhammad SAW pula berasal daripada keturunan Nabi Ismail,
anak sulung Nabi Ibrahim dengan isteri keduanya Siti Hajar. “Maka bertemulah
dua nasab mulia keturunan Nabi Ibrahim menjadi Sultan-sultan Perlak..”
Siapa sangka hasrat untuk bermalam di dalam lingkungan kerajaan Jeumpa tempat Salman memulakan hidup baru itu ditunaikan tanpa dirancang apabila perjalanan ke Takengon menjadi lewat akibat sambutan di Pidie? Sungguh Allah SWT itu sebaik-baik perancang. Alang-alang sudah bermalam di Bireuen teringat juga hasrat lama untuk melihat kawasan laut terdekat. Kami pun pergi ke sana. Lihat
The beach at Kuala Raja.
Kembali ke bandar Bireuen untuk masuk simpang ke Takengon terlihat lori membawa telur. Tertulis di belakangnya "Sering kencing mendadak". Entah apa maksudnya. Apa pula kena-mengena dengan gambar perempuan cantik dan kepala lori 'Transformer?
Singgah makam tengah hari di sebuah pekan atas gunung.
Tidak seperti hasrat untuk bermalam di Bireuen juga melihat laut berdekatannya, hasrat untuk mengelilingi tasik besar yang dipanggil Danau Laut Tawar ini saya ingat. Ia memang dirancang mahu dilakukan dalam perjalanan ke Aceh kali ini yang merupakan ke-6 buat saya, ke-5 buat isteri, ke-4 buat anak kami Rasyid, pertama kali buat anak bongsu kami Johan juga ibu bapa saya.
Kali ini kami memiliki banyak masa untuk berjalan-jalan. Sampai di Takengon pun sekitar jam 1 tengah hari, lebih 5 jam awal berbanding dahulu. Cuma hasrat saya adalah untuk membuat pusingan lawan arah jam. Tetapi pemandu kereta telah masuk ke kawasan tasik mengikut jalan arah jam.
Tak mengapalah, saya ikut aje apa yang telah Allah SWT aturkan. Kalau mahu tentu saya boleh meminta pemandu menukar arah. Tetapi selepas meninggalkan masjid tadi dia telah membawa ke arah timur kerana mahu mencari tempat penginapan sesuai yang menurutnya terletak di sebelah itu. Dalam pencarian itulah kami bergerak makin ke timur sehingga terjumpa simpang ke Danau Laut Tawar. Setelah beberapa lama terjumpa satu kawasan yang terasa sesuai untuk berhenti melihat pemandangan. Lihat
The views at Danau Lut Tawar.
Ke hadapan sedikit terjumpa tempat perhentian yang lebih menarik. Sambil menikmati kopi dapat menikmati sekali pemandangan indah tasik. Lihat
Danau Lut Tawar from a coffee stall.
Kami juga mengambil kesempatan turun ke bawah menghampiri gigi air. Anak-anak sempat bermandi-manda. Saya pula terlupa nak bawak seluar pendek atau apa-apa pakaian basahan. Kalau tak tentu saya pun masuk sekali. Lihat
Touching the waters of Danau Lut Tawar.
Perjalanan diteruskan ke hujung timur tasik. Untuk pengetahuan kota Takengon terletak di hujung barat. Antara dua hujung itu ada jarak tegak hampir 16 km, kalau mengikut jalan yang berliku turun naik, mahu lebih 20 km dari hujung ke hujung.
Kelihatan pekan di hujung tasik.
Selepas itu kami masuk ke jalan selatan tasik, sebelum itu jalan adalah di belah utara...
Kami masuk kembali ke kota Takengon hampir jam 5.30. Alhamdulillah baru berjumpa hotel yang dirasakan sesuai.
Letaknya berdekatan stesyen bas utama Takengon. Di situlah kami makan malam.
Peta ini menunjukkan kedudukan tasik Danau Lut Tawar.
Lihat kedudukan kota Takengon dan tempat-tempat kami berhenti. Perjalanan pusing tasik memakan jarak tidak kurang 40 km.