Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Khamis, April 23, 2009

Queens of Langkasuka, Makam Chondong di Pekan dan lagi tentang pesta buku...



Semalam, setelah menunggu lebih sebulan, saya dan isteri akhirnya dapat menonton filem epik dari Thailand berjudul "Queens of Langkasuka". Tertarik dengan tajuk berkenaan sebuah kerajaan lama Melayu penuh lagenda dan gambar-gambar cantik yang terpapar pada poster-poster terutama pakaian tradisional Melayu yang disertakan dengan baju perisai besi, kami rasa ia patut ditontoni sekurang-kurangnya untuk melihat betapa jauh filem itu ada memaparkan ciri-ciri sebenar pakaian juga budaya orang Melayu walaupun ceritanya diterbitkan orang Thai dan memakai bahasa mereka.

Filem ini ditayangkan di pawagam-pawagam terpilih seluruh Malaysia sejak 2 minggu lalu tetapi baru semalam kami menontonnya kerana mahu mendapatkan harga diskaun hari Rabu. Di pawagam yang terdapat di kompleks membeli-belah Galaxy di Ampang, kita boleh menonton filem dengan harga tiket RM5 seorang pada hari itu... dengan syarat filem itu sudah ditayangkan masuk 2 minggu.

Melihat pada poster dan tajuk sejak dahulu, kita boleh meneka yang dimaksudkan sebagai Langkasuka dalam filem itu sebenarnya adalah kerajaan Melayu Pattani yang muncul kemudian. Adapun mengikut ceritanya Langkasuka telah diasaskan lebih lama, mengikut sesetengah pendapat sebelum kelahiran Nabi Muhammad SAW yang berlaku tahun 570 Masihi atau paling lambat pun abad ke 9 Masihi... oleh seorang anak raja dari Rum (yang menurut tafsiran sarjana sebenarnya merujuk kepada empayar Parsi). Sedangkan Pattani secara rasminya muncul sebagai sebuah kerajaan Islam abad ke 16. Wilayah Pattani merangkumi sebahagian wilayah sekitar utara Kelantan dan selatan Siam yang dahulu diketahui memang sebahagian wilayah kerajaan Langkasuka yang sering dinyatakan bersifat Hindu-Buddha. Maka itu Pattani sering dianggap sebagai kesinambungan kerajaan Langkasuka malah ada yang melihat Pattani sebagai Langkasuka yang telah Islam.

Poster yang menunjukkan raja-raja perempuan juga para pahlawan berpakaian tradisional Melayu jelas merujuk pada zaman Pattani, bukan Langkasuka. Dan lagi tiada pernah kedengaran cerita tentang raja-raja perempuan Langkasuka sedangkan Pattani memang diketahui dalam sejarah rasmi pernah diperintah oleh 4 orang raja perempuan. Menonton filem yang merujuk kepada zaman pemerintahan Ratu Hijau, raja perempuan pertama Pattani dengan disokong adinda-adindanya Ratu Biru (bakal menjadi raja perempuan kedua) dan Ratu Ungu (bakal raja ketiga) mengesahkan ini. Tetapi memandangkan ia diterbit dan dilakonkan oleh orang Thai, tidak hairanlah jika mereka memilih tajuk "Queens of Langkasuka". Ini lebih sesuai dengan budaya Thai yang beragama Buddha, bukan Islam. Dan lagi Pattani yang kini menjadi sebahagian wilayah negara Thailand dianggap sebagai wilayah pemberontak Islam yang sering membuat kacau. Maka buat apa dibesar-besarkan keIslaman mereka apalagi mahu menaikkan nama Pattani?

Kita tidak boleh menyalahkan orang Thai kerana berbuat begini. Mereka yang sanggup menerbitkan filem epik ini dengan kos yang amat besar, katanya sekitar US$4 juta jadi sukahati merekalah untuk membikinnya bagaimana. Untuk menarik perhatian ramai penonton wayang yang secara umumnya mahukan hiburan, sudah tentu fakta sebenar sejarah ditafsir longgar untuk dimasukkan unsur-unsur percintaan yang mengasyikkan malah ditambah unsur mistik yang merancakkan lagi cerita. Ini dilakukan dengan menonjolkan kuasa batin watak bernama Pari yang mampu menghancurkan isi gua besar dengan raungan berserta kuasa dalaman, juga memanggil dan memanipulasi ikan-ikan.

Pari yang berasal dari sebuah perkampungan nelayan yang penduduknya rata-rata berpakaian seperti orang asli dengan badan bertatu memberi gambaran dia bukan orang Islam tanpa perlu sedikit pun menyebut pegangan agama watak-watak dalam cerita. Saya tidak tahu bahasa Thai jadi tidak dapat mengaitkan nama watak Pari dengan apa-apa kecuali Pari ini memang ditonjolkan dalam cerita boleh 'menunggang' ikan pari raksasa! Pada pertengahan filem, Pari ada menyelamatkan Ratu Ungu dari penculikan orang jahat. Mereka kemudian terdampar di sebuah gua yang dihuni seorang pendita merangkap guru ilmu kuasa dalam Du Lum (disebut dulam) dan di situ Ratu Ungu yang diketahui dalam sejarah sebagai seorang perempuan Islam jatuh cinta dengan Pari yang pernah kehilangan isteri akibat serangan lanun ke atas kampungnya.

Fiksyen percintaan yang ditonjolkan mengingatkan kepada filem "Puteri Gunung Ledang" yang pernah menonjolkan aktress Tiara Jaquelina sebagai puteri lagenda itu. Cerita ini juga cuba menonjolkan 'percintaan' hulubalang besar Melaka Hang Tuah dengan Puteri Gunung Ledang sedangkan dalam sejarah yang diketahui semua orang, ini tidak pernah terjadi. Lebih jelik lagi apabila Melaka dikatakan melindungi kerajaan Majapahit yang diketahui mengamalkan agama Hindu dari serangan Demak. Mana boleh! Melaka adalah kerajaan yang mendaulatkan Islam sepertimana Demak yang berdiri lebih 70 tahun setelah berdirinya Melaka adalah sebuah negara Islam malah disokong para Wali Songo atau sembilan wali besar yang cukup terkenal di seantero Alam Melayu.

Dalam "Puteri Gunung Ledang", Demak digambarkan seperti kerajaan jahat yang ingin membuat kacau. Ditunjukkan askar-askar Demak yang berjubah berkopiah membakar rumah rakyat awam sedangkan ini adalah penipuan yang sangat besar tetapi halus. Dari segi ini cerita "Queens of Langkasuka" adalah jauh lebih baik walaupun ia juga menokok-tambah cerita. Walaupun keagamaan watak-watak di dalamnya tidak disebut dan ia satu hasil produksi orang Thailand beragama Buddha, penggunaan pakaian tradisional Melayu yang cukup terang dalam cerita malah ditambah pula mereka menggunakan senjata api seperti pistol dan senapang (yang memang benar kerana orang Melayu sejak zaman Melaka juga sudah memiliki pistol dan sebagainya, bukan sekadar memakai keris, tombak dan sebagainya) sedikit sebanyak membuat kita terasa bangga menjadi orang Melayu yang sebenarnya bertamadun tinggi.

Watak pahlawan paling menarik dalam cerita "Queens of Langkasuka" adalah seorang pengawal peribadi ratu yang dipanggil Jarang. Beliau memakai baju Melayu lengkap dengan berdestar tetapi turut memakai baju besi apabila keluar berperang. Lebih menarik adalah senjata utamanya berbentuk sundang, biasanya dipakai malah dikenali sebagai senjata pahlawan Bugis. Permainan sundangnya berserta gerak langkah kaki dan tangan lebih menggambarkan pergerakan tangkas silat berbanding aksi-aksi terakhir pergaduhan dalam "Puteri Gunung Ledang" yang kelihatan tidak ada seninya lagi kecuali sebagai perbuatan menunjuk-nunjuk memaparkan gerak kilat yang melampaui batas.

Tetapi saya lebih tertarik lagi dengan watak putera Pahang yang mula diperkenalkan apabila baginda menembak dengan pistol sebiji epal yang dilambungkan untuk Ratu Ungu berlatih memanah. Putera ini diperkenalkan sebagai Abdul Ghaffar Muhiuddin yang kemudian dikahwinkan dengan Ratu Ungu sebagai satu cara mendapatkan pertolongan Pahang untuk menghadapi musuh luar dan dalam. Ini membuat saya terfikir betulkah watak ini ada dalam sejarah atau ia cuma rekaan dalam filem untuk menyedapkan cerita.

Siang tadi saya membuat sedikit kajian melalui Internet lalu mendapati Abdul Ghaffar Muhiuddin bukan sahaja wujud malah pernah menjadi sultan Pahang dari tahun 1592-1614. Malah ternyata dalam sejarah Ratu Ungu memang berkahwin lalu menjadi salah seorang isteri baginda. Untuk pengetahuan, Sultan Abdul Ghaffar adalah dari keturunan Sultan Muhammad @ Raja Muhammad, anakanda Sultan Mansur Shah Melaka yang dipinggirkan dari takhta Melaka lalu dirajakan di Pahang akibat membunuh anak bendahara dalam satu peristiwa permainan sepak raga.

Nama Abdul Ghaffar Muhiuddin juga mengingatkan saya pada sesuatu. Lalu saya tergerak untuk melihat artikel-artikel lama di blogspot ini sehingga bertemu kembali artikel Berjalan ke Makam Chondong... Satu ulang-tayang filem di alam arwah? yang dibuat lebih setahun lalu. Lihat juga artikel (The place known as...) Makam Chondong yang dibuat di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) sekitar itu. Ternyata Abdul Ghaffar ialah salah seorang kerabat diraja yang dimakamkan di Makam Chondong, Pekan dengan menggunakan batu-batu nesan Aceh.

Sebelum menyambung cerita biar direkodkan menurut informasi yang diambil dari Wikipedia bahawa Ratu Hijau pernah memerintah Pattani tahun 1584 hingga 1616. Adindanya Raja Biru pula memerintah 1616-1624. Nampaknya ini berlawanan dengan cerita yang dipaparkan dalam filem "Queens of Langkasuka" kerana dalam filem itu, Abdul Ghaffar sempat datang ke Langkasuka @ Pattani dan menyaksikan kemangkatan Ratu Hijau serta kenaikan Ratu Biru sebagai pengganti. Sedangkan telah dicatatkan Abdul Ghafar yang menjadi sultan Pahang telah mangkat 1614, 2 tahun lebih awal.

Tak mengapa le... mungkin kedatangan Abdul Ghaffar yang sempat menyaksikan Ratu Hijau mangkat akibat pembelotan berserta serangan ke atas kerajaannya itu digarap sebegitu rupa untuk menambahkan kesan dramatik cerita. Ini kerana baginda mahu ditunjukkan muncul bersama Ratu Ungu yang baru dikahwininya sebagai membawa angkatan perang Pahang untuk turut mempertahankan pusat pemerintahan Langkasuka @ Pattani. Yang nyata, memang tercatat dalam sejarah bahawa Ratu Ungu menjadi isteri Sultan Abdul Ghaffar Muhiuddin. Maka itu cukup kenalah apabila Ratu Ungu menaiki takhta Pattani dan memerintah 1624-1635 setelah kehilangan suami. Kemudian puteri mereka Raja Kuning memerintah sehingga tahun 1649, ada yang kata hingga 1688 sebelum Pattani diperintah raja-raja lelaki dari kerajaan Kelantan.

Disebabkan menonton filem "Queens of Langkasuka", saya tergerak untuk membuat sedikit penyelidikan. Walaupun saya sudah lama mendengar nama Ratu Hijau, Ratu Biru, Ratu Ungu dan Ratu Kuning, baru siang tadi saya tahu bilakah mereka memerintah. Ternyata raja-raja perempuan Pattani telah memerintah lebih awal daripada raja-raja perempuan Aceh. Untuk pengetahuan, Aceh juga pernah diperintah 4 orang ratu dan mereka ialah Sultanah Ratu Safiatuddin Tajul Alam Shah (1641-1675 Masihi), Sultanah Naqiatuddin Nurul Alam Shah (1675-1677), Sultanah Zaqiyatuddin Inayat Shah (1678-1688) dan Sultanah Zinatuddin Kamalat Shah binti Al-Marhum Raja Umar (1688-1699).

Lagi satu yang membuat fikiran saya terngiang-ngiang tentang Abdul Ghaffar yang dipaparkan di dalam filem ialah baginda rupa-rupanya ayahanda kepada Raja Muda Abdullah (dari isteri lain) yang mengahwini Puteri Perak, anakanda kepada sultan kedua Perak Sultan Mansur Shah. Ini bermakna Raja Abdullah adalah adik-beradik Ratu Ungu sedangkan Puteri Perak pula adalah adik-beradik kepada Sultan Alauddin ibni Sultan Mansur Shah Perak, Sultan Aceh 1580 - 1585 bermakna pemerintah Aceh dan pemerintah Pattani beripar-duai jua.

Raja Abdullah dan Puteri Perak mendapat seorang puteri yang diberi nama Raja Puteri Fatimah, maka puteri ini ialah sepupu Ratu Kuning yang menjadi raja perempuan terakhir Pattani. Aceh pernah menyerang Pahang lalu membawa ramai kerabat dirajanya ke sana lalu disitulah Raja Puteri Fatimah dikahwinkan dengan seorang anak raja Siak yang kemudian dinaikkan sebagai sultan ke-10 Perak, Sultan Muzaffar Shah II. Hmm... saya sudah mula tenggelam dalam menyusur akar pertalian darah raja-raja Melayu. Cukuplah.

Apa yang saya nak bagitahu lagi satu adalah satu cerita yang baru saya sedari tadi... bahawa Sultan Abdul Ghaffar Muihuddin telah dibunuh oleh seorang anaknya sendiri. Turut dibunuh adalah Raja Muda Abdullah akibat adinda tirinya ingin menaiki takhta Pahang lalu muncul sebagai Sultan Alauddin Riayat Shah tahun 1614 yang sanggup bersubahat dengan Portugis untuk berkuasa. Maka tidak hairanlah jika pemerintah Aceh ketika itu Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam telah menyerang lalu membumi-hanguskan Pahang tahun 1615. Baginda kemudian mengangkut kerabat diraja Pahang ke Aceh dan seorang dari mereka naik menggantikan baginda menjadi pemerintah Aceh bergelar Sultan Iskandar Thani tahun 1636.

Adapun Iskandar Thani ialah anak saudara kepada Sultan Abdul Ghaffar Muhiuddin. Ayahanda baginda dan Abdul Ghaffar adalah adik-beradik tiri sedangkan ibunya Puteri Chendera Dewi, anak raja Siak juga bersaudara dengan kerabat Pahang. Maka tidak hairanlah jika Iskandar Thani telah memerintahkan satu armada Aceh datang ke Pahang semata-mata untuk mendirikan dengan penuh adat-istiadat beberapa buah nesan Aceh yang dibawa dari sana ke atas makam-makam di Pahang. Kerana di Makam Chondong di Pekan, Pahang lah bersemadinya jasad Sultan Abdul Ghaffar, Raja Muda Abdullah juga Puteri Chendera Dewi.


Dalam artikel Pesta buku dan siri "Berpetualang ke Aceh" saya ada menyebut akan kembali ke pesta buku di PWTC hari Rabu selepas makan tengahari untuk membuka lagi gerai ad-hoc di mana-mana. Setelah berbuat begitu hari Isnin, saya sekadar duduk rumah sahaja hari Selasa untuk menyiapkan sedikit kerja. Adapun salah satu sebab utama saya yakin akan keluar ke Kuala Lumpur hari Rabu adalah disebabkan mahu menonton filem "Queens of Langkasuka" pada waktu malam. Cadangnya, setelah menghantar isteri di tempat kerja, saya mahu berehat di masjid berdekatan kemudian menyambung sedikit kerja di dalam komputer. Kemudian tengahari nanti saya akan mengambil isteri untuk makan bersama sebelum dia menghantar saya untuk membuka gerai di PWTC.

Setelah makan pagi bersama isteri di pejabatnya saya pun ke masjid lalu tergerak membuka komputer. Allah! Ternyata saya terlupa membawa power chord atau wayar kuasa sedangkan ia amat diperlukan nanti untuk menghidupkan komputer dalam jangka-waktu yang agak lama jika mahu membuka gerai ad-hoc di pesta buku. Tak pernah berlaku lagi sebelum ini saya tertinggal wayar apabila membawa keluar komputer riba. Maka terpaksalah saya berpatah-balik ke rumah 40km ke barat-laut Kuala Lumpur. Alang-alang dah sampai rumah, buat aje le kerja di sana. Maka lepas Asar baru saya keluar untuk mengambil isteri dari tempat kerja lalu ke PWTC terus membuka lagi gerai.

Malam itu jam 10.30 baru kami menonton filem "Queens of Langkasuka". Cadangan asal kami, setelah selesai menonton kami akan bermalam di rumah milik keluarga di Kajang dan esoknya Khamis saya akan menghantar isteri di tempat kerja sebelum ke PWTC selepas makan tengahari. Sebaliknya petang semalam saya mendapat panggilan dari pihak LG untuk membetulkan televisyen plasma kami yang ada sedikit masalah keluar gambar berbintik-bintik. Oleh kerana pihak mereka mahu datang sekitar tengahari Khamis iaitu hari ini, terpaksalah saya menunggu di rumah bermakna tidak dapatlah saya bermalam di Kajang, harus pulang ke rumah setelah selesai menonton filem.

Keadaan ini membuat saya tidak dapat membuka gerai hari ini. Ditambah sakit demam batuk selsema yang semakin 'rancak' malam semalam, elok juga saya berehat sambil menunggu orang datang membetulkan televisyen. Tadi alhamdulillah, masalah TV berjaya diselesaikan tetapi batuk selsema pula masih belum pulih. Maka saya rasa elok juga saya terus duduk di rumah hari Jumaat sambil menyelesaikan apa-apa kerja yang tertunda dalam komputer.

Dengan ini dimaklumkan. Pada hari Sabtu dan Ahad, baru saya akan 'pulun' untuk menjual dan mempromosi siri buku "Berpetualang ke Aceh" di pesta buku. Memandangkan hujung minggu orang ramai kerana cuti, insyaalah saya akan mula membuka gerai pagi hari dan bertahan sehingga semua gerai tutup jam 9 malam. Jika saya tiada di tempat seperti dalam gambar di atas, carilah sekitar gerai Karnadya di dalam Dewan Tun Hussein iaitu ruangan pameran di dewan bawah. Ingat, promosi tawaran potongan harga sekitar 20peratus dan lebih untuk semua buku juga DVD "Sekitar Perjanjian Pangkor 1874" cuma akan bertahan sekitar pesta buku ini. Selamat malam! :]

Cerita An-Nur - Ke Segamat bersama jodoh baru? Dan lisan agama dan keturunan yang keluar daripadanya...

Peehhh... nak cari gambo keretapi yang dapat puaskan hati aku kat dalam Google pun cukup susah. Last-last aku pakai aje gambo ni yek...


OK. Biarlah disambung cerita selepas artikel Cerita An-Nur - cerita sebenar Nur dan kaitan dengan banyak perkara... . Beberapa hari setelah kedatangan tidak disangka Nur ke Janda Baik, barulah si An-Nur menelefon saya. Rupa-rupanya pada hari yang sepatutnya dia datang (tetapi Nur pula yang muncul) dia mengalami kerosakan kereta. Kami pun menetapkan tarikh baru untuk berjumpa. Katanya dia tetap mahu mengambil saya untuk dibawa ke Segamat berjumpa ibu bapanya.

Hari yang dijanjikan pun tiba. Saya yang terus menunggu di Janda Baik mendapat panggilan baru telefon. Rupa-rupanya kereta An-Nur rosak lagi. Tak apa... tukar rancangan. Saya terpaksa keluar sendiri dari Janda Baik dan bertemu An-Nur di stesyen KL Sentral. Kami perlu ke Segamat dengan menaiki keretapi.

Dipendekkan cerita saya pun sampai ke sana. Tunggu punya tunggu tak nampak batang hidung An-Nur. Ah... takkan buat hal lagi kot? Nasib baik tidak lama kemudian dia menelefon memberitahu dia ada di tempat berdekatan dalam stesyen. Saya pun pergi ke situ, ada kejutan menunggu...

An-Nur kelihatan begitu berlainan. Dia memakai tudung litup elok. Cantik! Lebih terserlah rupa-paras keturunan Arabnya dengan hidup mancung bulu mata lentik, mata coklat besar dan kulit putih kemerah-merahan. Dalam saya terkial-kial memikirkan kenapa si An-Nur yang pertama kali saya jumpa dahulu tidak memakai tudung tetapi kali ini boleh begitu elok menutup aurat malah kelihatan lebih ayu dan manis, dia pula kelihatan tersipu-sipu sambil mencuri-curi pandang. Saya semakin pelik.

"Kenapa An-Nur nampak malu-malu ni?" saya bertanya.

Gadis berusia 24 tahun (masa tu le, tahun 2005) tersipu-sipu lagi.

"An-Nur tak sanggup pandang terus ke mata Abang!" katanya.

Saya rasa sudah dapat membaca apa yang bermain di hatinya. Dari penampilan ranggi dan berani tidak menutup aurat kini boleh jadi begitu ayu tersipu-sipu bertudung litup... mahu membawa saya bertemu ibu dan ayahnya di Segamat. Tetapi saya membiarkan dahulu.

Kami pergi membeli tiket. Ingatkan An-Nur nak belanja le sebab dia yang beriya-iya nak bawa saya ke Segamat. Rupa-rupanya dia pun tak ada duit. Saya lagi le, dah berapa tahun tak berkerja kecuali mendapat wang 'ihsan' sekali sekala sebagai pembiayaan hidup sementara menumpang di rumah Pak Habib dan dalam tempoh itu menolong memberi buah fikiran, membuat suntingan dan menulis sedikit isi buku-bukunya. Ketika itu saya memang tengah 'kering'. Nasib baik Nur ada memberi sedikit duit ketika dia datang seminggu (ke baru beberapa hari je ? saya pun lupa) sebelum itu.

Masuk keretapi, kami duduk bersebelahan. Tidak lama kemudian keretapi pun berjalan. An-Nur masih tersipu-sipu malu mencuri-curi pandang seolah-olah mengharapkan sesuatu. Tak boleh jadi ni, lebih elok kita berterus-terang. Dan saya sebagai lelaki yang rasanya sudah dapat membaca situasi eloklah saya memulakan...

"An-Nur nak dengan Abang ya?" saya bertanya direct sambil tersenyum dengan mata merenung tepat ke matanya. Gadis itu terus tertunduk malu.

Saya diam sebentar. Kemudian baru bertanya lagi "An-Nur mahu jadi isteri Abang?". Dalam malu-malu itu dia mula tersenyum. Lama juga tertunduk dalam keadaan itu sebelum mengangguk-angguk lembut.

Saya pun tersenyum. "Kalau begitu Abang terima. Abang pun mahu An-Nur jadi isteri Abang!"

Terus dia mengucapkan terima-kasih dan mengucup tangan kanan saya. Terasa syahdu sebentar walaupun dalam hati sebenarnya saya masih tergamam dengan segala yang telah berlaku dalam tempoh beberapa hari itu.

Hakikatnya saya masih lemah-longlai setelah mendapat tahu apa yang berlaku kepada Nur. Tetapi saya redha dengan Qada dan Qadar lalu menurutkan sahaja keadaan dengan mengekori An-Nur ke Segamat untuk melihat apa yang Allah sediakan seterusnya. Apakah setelah kehilangan Nur, An-Nur pula menjadi pengganti? Yang pasti saya tidak merancang apa-apa.

Kalau betullah An-Nur bakal menjadi isteri, siapa saya untuk mempersoalkan takdir? Bukankah apa yang saya mahu sebenarnya adalah home sweet home, rumahku syurgaku yang diharap boleh menjelma apabila berkahwin dengan seseorang yang betul-betul sesuai zahir dan batin? Kalau dahulu, setelah dapat menyusuri salasilah keluarga sebelah bapa membawa dari Perak sambung ke Aceh seterusnya ke Baghdad lalu ke Mekah, saya yakin saya harus mencari seorang isteri yang berdarah Sayyid Syarifah. Kini jodoh dengan Nur sudah tertutup, mungkin dengan An-Nur boleh menjadi. Bukankah dia juga seorang Syarifah malah berasal daripada keluarga yang sama dengan Nur?

Saya mengira-ngira keadaan sebentar. Nur (ketika itu) berusia 33 tahun, An-Nur 24. Nur pernah berkahwin dan mempunyai seorang anak sebelum berkahwin lagi, An-Nur seorang anak dara. Kalau dibandingkan paras-rupa, An-Nur lebih cerah dan ciri-ciri Arabnya lebih terserlah. Cuma tingginya sahaja kurang sedikit daripada Nur. Kalau ikutkan, An-Nur memang jauh lebih 'segar' tetapi kasih-sayang saya terhadap Nur yang telah berputik sejak tahun 1995, 10 tahun sebelum itu bukan senang mahu diketepikan... tidak mampu saya menolaknya begitu sahaja jika tidak kerana keyakinan bahawa Allah lebih tahu apa yang terbaik buat kita.

Ya... sudah bertahun-tahun saya berpegang dengan kata-kata ini: Ada masanya kamu fikir sesuatu itu baik untuk kamu sedangkan hakikatnya tidak. Ada masanya kamu fikir sesuatu itu buruk untuk kamu sedangkan hakikatnya sebaliknya. Tidak bergerak walau satu zarah pun tanpa perintah dari Allah. Allah itu Maha Perancang, dan Maha Bijaksana, lebih tahu apa yang baik atau buruk untuk kita. Cuma kita sahaja mungkin tidak menyedari dan memahami...

Kehilangan Nur yang 'dicekup' politikus muda memang sesuatu yang terasa buruk buat saya. Tetapi seketika itu juga Allah membawa masuk seorang wanita lain dengan rupa-paras lebih cantik, lebih muda dan 'segar', wanita yang sudi malah memang mahu menjadi isteri saya walaupun kami sebelum itu baru sekali sahaja berjumpa. Tidak perlu bersusah-payah mengatur langkah memujuk rayu dan sebagainya.

Ah! Usah pedulikan lagi segala macam aliran pemikiran yang bersimpang-siur. Terimalah apa yang ada di hadapan mata... si An-Nur ini sebagai isteri. Itupun kalau tiada bantahan daripada ibu bapanya di Segamat. Dengan itu saya menggenggam tangannya lalu bersandar tenang. An-Nur menyambut dengan senyuman riang lalu kami mengekori sahaja rentak keretapi merentas malam (baru nak bagitahu, ketika itu malam) ke selatan.

Dalam pada itu saya dapat melihat sesuatu benda lagi yang pelik tentang An-Nur. Tidak lama kemudian, dia mula berceloteh... entah bila pula, tiba-tiba dia sudah pandai bercakap pasal agama, membacakan ayat-ayat Al-Quran dengan lancar malah mula bercerita tentang peranan Ahlul Bait anak cucu Nabi Muhammad SAW berdakwah menyebarkan agama seraya mempertahankan kesyumulan Islam.

Hmm... nampaknya An-Nur lagi cepat 'dapat' daripada Nur malah saya sendiri. Jika dahulu saya sering bergaduh dengan Nur kerana perubahan diri mendadak saya yang melibatkan agama menyebabkannya susah hendak menerima kerana belum bersedia, kini Tuhan menghantar seorang pengganti yang sudah begitu petah menerima hal ini malah menyampaikannya pula kepada saya! Cuma apa yang saya risau, kelihatan ada semangat lain dalam diri An-Nur yang nampaknya berasal dari luar. Kalau tidak kerana dia bercerita tentang agama dan peranan Ahlul Bait, mungkin sahaja seseorang boleh menganggapnya sudah kesurupan atau dirasuk makhluk halus. Daripada pemerhatian saya rasanya memang ada. Mungkin daripada saka keluarga yang boleh dikira baik kerana sekurang-kurangnya bersemangat dalam hal-hal agama.

Kalau ikutkan, saya tidak mahu menerima apa-apa pun bentuk saka walaupun dikatakan baik. Tetapi saya anggap ini ada hikmahnya... daripada mulut An-Nur terkeluar ayat-ayat dan perkataan yang pada saya cuma dapat dituturkan oleh seorang wanita tua keturunan Nabi yang begitu perihatin berjuang tentang agama. Hmm... tak kiralah jika kata-kata yang keluar bukan lisan sebenar An-Nur, mungkin makhluk lain. Saya terus memasang telinga dengan iktikad bahawa lisan yang keluar itu hakikatnya tetap disampaikan dengan izin Allah. Maka saya harus meneliti apa yang boleh dipakai dan diaplikasikan untuk masa hadapan.

Dari satu segi, kata-kata yang keluar dari An-Nur berjaya mengembalikan banyak semangat yang hilang setelah berlaku kes si Nur. Kata An-Nur: "Abang tak boleh hilang semangat. Abang kena kuatkan diri dan cuba tolong betulkan keluarga Sayyid".

Katanya lagi, saya boleh memulakan ini dengan memperbetulkan Pak Habib. Saya tersenyum panjang kerana faham keadaan sebenar di belakang tabir. Dari Pak Habib katanya, saya boleh mempengaruhi Syed Ali yang ketika itu menjadi presiden Dewan Perniagaan Melayu Johor. Dari Syed Ali sudah ada jaringan yang besar menjangkau seluruh keluarga Sayyid di Johor malah seluruh Malaysia dan Alam Melayu. Lihat artikel sebelum ini Pesta buku dan siri "Berpetualang ke Aceh" di mana saya akhirnya bertemu juga dengan Syed Ali yang dimaksudkan tanpa dirancang. Kemudian saya tidak ingat lagi apa yang si An-Nur cakap. Tetapi semakin dia berkata-kata tentang hal ini, semakin kelihatan gayanya menjadi seperti seorang perempuan tua yang suka bercakap sambil menutup mata.

Sampai ke Tampin atau sekitarnya kalau tak salah ingatan, saya mendapat panggilan telefon dari seorang rakan lama di Janda Baik. Katanya dia dan beberapa orang kawan sedang menuju ke Kuala Lumpur untuk ke rumah Pak Ali, seorang tua (lebih 80 tahun) yang menjadi guru agama juga guru silat dan guru ilmu hakikat pada ramai orang, kata sesetengah orang sejak zaman berzaman (siapa yang faham, faham le). Diakui, Pak Ali juga boleh dikira sebagai salah seorang guru saya. Rupa-rupanya beliau baru sahaja meninggal dunia. Apa boleh buat, saya tidak dapat turut bersama melihat jenazahnya. Saya harus ke Segamat kerana menurut keadaan dan jalur baru nasib hidup saya.

Dengan ini saya rasa elok diberhentikan dahulu cerita ini. Insyaallah apabila sampai gerak untuk menyambung, akan disampaikan apa yang berlaku di Segamat, salah satunya penerimaan keluarga yang sudah bersedia menganggap saya sebagai bakal menantu mereka! Sekian... :]

Isnin, April 20, 2009

Pesta buku dan siri "Berpetualang ke Aceh"

Dalam artikel Buku "Rumah Azan" dan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2009 di PWTC saya ada menyebut tentang pelancaran buku "Rumah Azan" bersama 200 buku terbitan 22 syarikat penerbit yang mendapat dana dari Dewan Bahasa dan Pustaka. Anggaplah ini sambungan cerita... mari! :]




OK. Sepatutnya saya hadir majlis Dewan Bahasa itu kerana "Rumah Azan" adalah hasil penulisan merangkap buku terbaru saya. Sebaliknya akibat hal-hal lain saya sampai lewat, setelah acara pelancaran itu tamat. Yang tinggal cuma "sisa-sisa" majlis pelancaran yang sedang "dibersihkan" untuk acara lain.


Nasib baik saya masih sempat untuk menghadiri satu lagi majlis di mana saya juga dijemput iaitu majlis pelancaran siri buku "Chick-Lit" berbahasa Melayu di bawah usahasama syarikat Karnadya dengan penerbit luar negara, Harlequin. Untuk pengetahuan Harlequin adalah pengeluar siri-siri buku di bawah jenama Mills and Boon yang cukup terkenal serata dunia. Walaupun buku yang dipaparkan adalah jenis buku-buku cinta romantik yang bukan citarasa saya, sekurang-kurangnya majlis itu memberi peluang untuk saya berkenalan dengan presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia iaitu Syed Ali yang dijemput sebagai tetamu utama.

Oh, isteri saya turut ikut hadir. Sejurus selepas majlis, saya membawa isteri ke gerai Karnadya di dewan bersebelahan untuk sama-sama menelaah dengan lebih teliti isi buku "Rumah Azan". Kami meminjam meja di gerai berhadapan yang kurang sibuk lalu mula melihat lebih dekat segala isi yang tertera... maklumlah, sedikit-sebanyak ia telah disunting pihak lain selepas saya menyelesaikan bahagian kerja penulisan. Jadi nak tengok le sesuai ke suntingan yang dibuat. Kalau ada salah-silap pun bukan dapat diperbetulkan lagi kecuali untuk cetakan seterusnya tapi kami tetap nak melihatnya juga. Biasa le tu...

Apapun kami diberitahu, walaupun buku "Rumah Azan" baru dilancarkan selepas jam 2 petang, beberapa buah buku sudah berjaya dijual, mungkin kerana pembaca mahu mengambil kesempatan untuk membeli pada harga tawaran RM75 berbanding harga pasaran RM108 yang dicadangkan. Selepas membelek-belek buku hampir ke penghujung, tiba-tiba terlihat Syed Ali berserta beberapa orang penting yang terlibat dalam pelancaran buku "Chick-Lit" Karnadya sedang berlegar-legar di gerai syarikat itu.

Terus saya ternampak Syed Ali sedang memegang dengan minat buku pertama saya "Berpetualang ke Aceh: Mencari Diri dan Erti". Teringat pesan An-Nur lebih 3 tahun lalu bahawa saya harus berhubung dengan Syed Ali yang ketika itu presiden Dewan Perniagaan Melayu Johor untuk mengingatkan mereka yang ada kena-mengena tentang amanah Ahlul Bait. Insyaallah perkara ini akan saya sebut sedikit dalam cerita tentang An-Nur yang akan datang.

Cerita An-Nur setakat ini baru sampai ke penjelasan tentang status sebenar Nur (saudara dua pupu An-Nur) seperti tertera dalam artikel Cerita An-Nur - cerita sebenar Nur dan kaitan dengan banyak perkara... . Selepas itu baru boleh diceritakan perjalanan naik keretapi ke Segamat untuk berjumpa ibu-bapa An-Nur di mana gadis itu menyebut tentang amanah Ahlul Bait dalam keadaan dia seperti kesurupan.

Lupa nak bagitahu. Sebelum pergi ke majlis pelancaran buku "Chick-Lit" saya telah terlebih dahulu singgah di gerai itu untuk tumpang meletakkan sejumlah buku siri "Berpetualang ke Aceh", buat sementara sahaja. Fikir saya, sebaik sahaja majlis tamat, saya dan isteri akan mencari lokasi yang sesuai untuk menjual buku-buku itu secara direct.

Sebaliknya seorang kakitangan utama Karnadya mencadangkan agar saya meninggalkan sahaja sejumlah buku di gerai itu untuk mereka tolong menjualnya. Elok juga itu. Tak sangka pula tidak lama kemudian muncul Syed Ali yang kelihatan begitu berminat membelek-beleknya.

Melihat itu, saya rasa elok juga kalau dihadiahkan satu set kepadanya. Saya terus menuju ke gerai Karnadya dan ketika itu juga kakitangan Karnadya memperkenalkan saya sebagai penulis buku. Saya pula secara spontan menyuakan buku "Rumah Azan" kepada Syed Ali lalu menyebut: "Buku-buku tu ('Berpetualang ke Aceh') saya tulis dan terbit sendiri. Yang ini ('Rumah Azan') saya tulis dengan penerbitan Karnadya".

Syed Ali terus menyatakan dia mahu senaskah buku "Rumah Azan". Baru le pembantunya menyebut mereka sudah memiliki senaskah kerana itulah buku yang dihadiahkan sebagai cenderamata kepadanya selepas tamat majlis pelancaran tadi.

Saya pun menghadiahkan satu set buku "Berpetualang ke Aceh". Kata saya, ia mengenai Ahlul Bait. Terus Syed Ali tersenyum dan bertanya: "Ada cerita pasal Al-Shahab tak?" Mungkin kerana pengerusi syarikat Karnadya, Dr Syed Mansur, suami kepada Kak Aina Emir adalah dari keluarga Sayyid Al - Shahab. Sedangkan kalau tak salah saya Syed Ali dari keluarga Al- Attas Johor.

Jawab saya tidak. "Dah banyak sangat buku bercerita pasal keluarga Ba' Alawi sedangkan apa yang diceritakan dalam buku ini adalah tentang Ahlul Bait yang datang lebih awal. Misalnya anak cucu keturunan Sheikh Abdul Qadir al-Jilani yang tidak diketahui ramai!"

Syed Ali tersenyum lagi: "Sultanul Awliya Sheikh Abdul Qadir al-Jilani..." tambahnya.

Dia bertanya pula: "Sheikh Abdul Qadir tu Al-Hassani ke Al-Husseini?"

Jawab saya "bapa dia Al-Hassani, mak dia Al-Husseini" .

Kemudian saya berlalu pergi. Tak sempat sebenarnya menelaah buku "Rumah Azan" sehingga tamat kerana naskah yang disuakan kepada Syed Ali tadi telah diberi pembantunya kepada orang Karnadya dan terus diletakkan pada tempat pameran. Nak buat macamana... saya pun belum dapat naskah peribadi saya. Apa yang sempat disiapkan oleh pihak pencetak terlalu sedikit untuk dibahagi-bahagi, cukuplah untuk membuat sedikit jualan awal sebagai pengenalan akibat buku itu sebenarnya baru sangat masuk dalam kilang. Itupun harus terkejar-kejar untuk disiapkan sempena pesta buku...





Saya pun mengambil baki buku "Berpetualang ke Aceh" yang ditumpangkan di gerai. Sebenarnya sebelum majlis pelancaran buku "Chick-Lit" saya telah mengenal-pasti tempat yang sesuai untuk menjual siri buku tulisan saya itu. Seketika itu juga orang-orang Karnadya termasuk Kak Aina Emir menegur: "Mahu pergi mana tu? Gunakanlah meja yang ada di sini!"

Meja yang dimaksudkan adalah meja istimewa Kak Aina untuk bertemu dengan peminat novel-novelnya. Meja itulah tempatnya menurunkan tanda-tangan selain bergambar dengan peminat.
Saya segan dan tidak mahu mengacau. Saya rasa lebih elok mengambil ruangan sendiri.

Di atas adalah gambar gerai ad-hoc yang kami dirikan kemudian. Cantik kan? Rasanya jauh lebih elok daripada gerai ad-hoc yang kami dirikan semasa perhimpunan terbaru Umno kurang sebulan lalu. Sila lihat artikel Promosi siri "Berpetualang ke Aceh" di PWTC sempena perhimpunan UMNO 2009 .


Kebetulan gerai ini didirikan di hadapan salah satu dewan utama PWTC dan malam nanti dewan itu akan menyaksikan satu majlis besar yang dihadiri Sultan Kedah. Selepas Maghrib kelihatan ruangan berdekatan mula sibuk dengan mereka-mereka yang bersedia menyambut sultan.

Saya dan isteri pula sekadar meneruskan acara perniagaan dan promosi buku kami secara ad-hoc. Alhamdulillah terjual juga sejumlah buku serta DVD "Sekitar Perjanjian Pangkor 1874" sebelum sultan muncul dan kami kemudian pun menutup gerai. Lagipun gerai-gerai buku lain semuanya sudah ditutup sekitar jam 8 malam sedangkan kami terus bertahan sehingga selepas jam 8.30 malam.

Di sini ingin dibuat pengumuman. Biar dimulakan dahulu dengan apa yang sudah ditulis di dalam artikel Buku "Rumah Azan" dan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2009 di PWTC hari Sabtu...

Untuk sesiapa yang berminat untuk mendapatkan siri buku "Berpetualang ke Aceh", insyaallah saya akan hadir membawa sejumlah naskah dan mula menjualnya secara ad hoc selepas majlis di mana-mana tempat yang dirasakan sesuai dan tidak terlalu sesak. Selain itu, anda boleh mendapatkannya di gerai Crescent News dan Fajar Pakeer.

OK. Saya tak pasti apakah tawaran harga buku yang dibuat di gerai Crescent News dan Fajar Pakeer. Tetapi saya pasti seperti di kebanyakan gerai di pesta buku, ia menawarkan sekurang-kurangnya 10 peratus potongan harga kalau tidak pun 20 peratus ke atas.

Maka di sini saya ingin memberitahu. Sempena pesta buku ini, saya telah memutuskan untuk memberi diskaun sekitar 20 peratus terus berkuat-kuasa siang tadi untuk menjadikan harga-harga berikut:-

Buku satu "Berpetualang ke Aceh: Mencari Diri dan Erti". Harga asal RM24.90, harga pesta buku RM20.

Buku dua "Berpetualang ke Aceh: Membela Syiar yang Asal". Harga asal RM24.90, harga pesta buku RM20.

Buku ketiga "Berpetualang ke Aceh: Sirih Pulang ke Gagang?". Harga asal RM27.90, harga pesta buku RM22.

DVD "Sekitar Perjanjian Pangkor 1874". Harga asal RM15, harga pesta RM12 .

Untuk satu set buku seharusnya ia menjadi RM62 (RM20 + RM20 + RM22) tetapi tawaran ditambah untuk menjadi RM60.

Untuk satu set buku bersama DVD pula seharusnya menjadi RM74 (RM62 + RM12) tetapi tawaran tambahan menjadikannya cuma RM70, satu diskaun yang amat besar berbanding harga asal RM92.70 (RM24.90 + RM24.90 +RM27.90 + RM15)

Dimaklumkan juga esok Selasa saya tidak akan berniaga kerana mahu menumpukan masa untuk menyiapkan satu kerja. Insyaallah hari Rabu selepas Zuhur baru saya muncul begitu juga hari-hari seterusnya pada pesta buku yang akan berlangsung hingga Ahad nanti.

Dimaklumkannya juga, disebabkan saya mendirikan gerai secara ad-hoc, saya mungkin berubah-ubah lokasi mengikut rasa dan keadaan. Harap maklum. Tetapi jika anda mahukan sesuatu yang pasti, silalah ke gerai Karnadya di dewan bawah pesta buku iaitu Dewan Hussein Onn. Anda boleh membeli siri buku "Berpetualang ke Aceh" dengan harga tawaran di atas di tadi, cuma DVD sahaja yang tiada pada mereka. Tetapi anda boleh mendapatkan buku "Rumah Azan" di sana dan ini tiada pada saya. Sekian! :]