Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Khamis, April 18, 2019

Menjejak Alexander Zulqarnain di bumi Khurasan - Satu diskusi yang membuka banyak persoalan

Salam semua. Ini ada perkongsian daripada majlis ilmu di ISTAC, Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam pagi tadi. Saya mahu lepaskan secepat mungkin kerana petang ini harus bergerak ke Pantai Timur untuk menghadiri majlis hol almarhum Tok Pulau Manis @ Sheikh Abdul Malik iaitu wali besar Terengganu abad ke-18 di Kampung Pulau Manis, Kuala Terengganu esok Jumaat hingga Sabtu 18-19 April.


Majlis kali ini adalah diskusi ke-4 buku. Sudah diberitahu dalam artikel-artikel berkenaan sebelum ini bahawa bermula tahun ini diskusi diadakan di ISTAC sebulan sekali berselang-seli antara buku bahasa Inggeris dengan bahasa Melayu. Rujuk artikel-artikel berikut :-







Kali ini saya datang bukan sekadar sebagai hadirin atau pelajar ISTAC semata.


Saya diminta menjadi salah seorang pengulas berdasarkan pengalaman suka mengkaji sejarah dan telah menghasilkan beberapa judul buku...


Buku yang hendak diulas bertajuk "Menjejak Alexander Zulqarnain di Bumi Khurasan".


Kebetulan ketika diminta mengulas iaitu hampir sebulan lalu saya telah habis membaca buku.


Buku dihadiahkan oleh penulisnya, saudara Khairuddin Muhammad, seorang guru agama, dalam satu majlis ilmu di ISTAC awal bulan Februari. Beliau menghadiahkan setelah mendapat tahu saya seorang penulis.


Orang yang mencadangkan agar saya menjadi pengulas adalah tokoh bahasa terkenal Profesor Datuk Dr Awang Sariyan. Beliau yang mengetuai Unit Tamadun Melayu Islam ISTAC menjadi pengerusi majlis. Kelihatan dalam gambar beliau sedang membuka kata-kata lalu memperkenalkan buku, penulis dan pengulas. Duduk memerhati pada kanan gambar adalah Sheikhul Kuliyyah ISTAC, Profesor Ulung Datuk Dr Osman Bakar...








Selepas beberapa lama, penulis buku iaitu Khairuddin membuka kata-kata.


Beliau memberitahu terpanggil untuk mengkaji tentang tokoh besar silam yang dikenali sebagai Iskandar Zulkarnain. Antara sebabnya adalah untuk membuktikan kebenaran al-Quran... kerana ada orang memperlekehkan kitab suci Islam dengan mempersoalkan kebenaran cerita tentang Zulkarnain di dalamnya.


Berdasarkan petunjuk-petunjuk dalam Surah al-Kahfi beliau dan beberapa orang telah turun ke lapangan di Asia Tengah untuk mencari jejak tokoh yang boleh dikaitkan dengan cerita di dalam al-Quran.


Beliau percaya Zulkarnain dalam al-Quran tidak lain tidak bukan merujuk kepada Alexander the Great atau Alexander Agung, raja Yunani (Greek) yang pernah memerintah sebahagian besar dunia bertamadun abad ke-4 Sebelum Masihi. Cerita dan tempat-tempat daripada sumber teks Yunani dipadankan dengan kisah dalam al-Quran untuk mencari jejak Alexander di bahagian Asia Tengah yang juga dikenali sebagai bumi Khurasan. Misalnya tempat matahari terbenam ke dalam tasik panas berlumpur  (disebut ayat 86 Surah al-Kahfi) dipercayai adalah Tasik Aral di Uzbekistan dan Kazakhstan.


Dicari, dikenal pasti lalu dijejaki beberapa lagi tempat sehingga ke tinggalan kota lama yang dikenali sebagai Alexander Escharte, kota Alexander yang paling jauh ke timur...


Letaknya dalam kota Sughd di Tajikistan. Nama itu boleh dipadankan dengan nama lama Sogdiana dalam teks-teks lama Yunani juga Parsi. Namun beliau membangkitkan juga calon lain Iskandar Zulkarnain menurut sejumlah pihak. Ini adalah Cyrus the Great atau Raja Kurush Agung, seorang lagi penakluk besar zaman dahulukala.


Pengulas pertama Haji Mohd Shah Abdullah yang merupakan pensyarah bidang media di Manipal International University, Nilai, Negeri Sembilan membuka bicara dengan menyatakan tajuk buku iaitu "Menjejak Alexander Zulqarnain di bumi Khurasan" agak kontroversi. Ini kerana watak yang ingin diperkatakan dikenali dalam dunia Melayu juga dunia Islam sebagai Iskandar Zulkarnain. Kenapa terus memasukkan nama Alexander yang jelas keBaratan?


Pun begitu beliau memuji persembahan buku. Mohd Sah menghargai usaha penulis untuk mencari segala bukti berkenaaan lalu cuba mengesahkan dengan turun ke lapangan. Dengan itu dapat difahamilah kenapa tajuk dipilih sebegitu rupa. Kerana Iskandar Zulkarnain mahu disamakan dengan Alexander the Great. 


Gambar ini diambil selepas saya selesai mengulas. Ketika memulakan tak dapat ambil gambar kerana perlu bersedia dengan bahan selepas bertukar tempat duduk dengan Khairuddin untuk menggunakan komputer.


Saya telah menyiapkan satu set slaid dengan tajuk yang kelihatan, Cuma saya menghadapi sedikit masalah menerangkan sambil merujuk pada komputer di hadapan mata. Ini kerana sejak setahun lalu saya mengalami rabun dekat, harus pakai kaca mata apabila membaca. Bila melihat atau memandang kepada hadirin pula saya harus melihat jauh. Saya tidak masalah melihat jauh tetapi harus membuka kaca mata kerana lens kaca mata adalah untuk rabut dekat sahaja, kalau lihat jauh boleh jadi kabur pula.


Saya membuka ulasan dengan menceritakan betapa hal Iskandar Zulkarnain ini penting bagi kajian ketamadunan Alam Melayu. Ini disebabkan raja-raja Melaka (bukan semua raja ya) dikatakan berasal daripada keturunan tokoh tersebut. Daripada situ saya mengajak hadirin meneliti sedikit Surah al-Qahfi, surah ke-18 al-Quran. Diceritakan sebab turun ayat iaitu untuk menjawab tiga soalan kaum kafir Quraish kepada Nabi Muhammad SAW, atas saranan para pendita Yahudi. Kemudian disebut sedikit bahagian-bahagian penting seperti cerita pemuda gua (yang memberikan nama al-Kahfi) diikuti kisah Nabi Musa dengan Nabi Khidir. Lalu masuklah bahagian tentang Zulkarnain yang mana tiga ayat pertama tentangnya adalah cukup untuk menerangkan kedudukan sebagai seorang raja pemerintah besar.


Selepas itu baru dibangkitkan siapakah tokoh dalam sejarah yang boleh dikaitkan dengan Zulkarnain dalam al-Quran. Disebutlah tentang Raja Kurush yang memerintah abad ke-6 Masihi dan keluasan jajahan takluk baginda.





Dibandingkan pula dengan jangkauan jajahan takluk Alexander yang hampir serupa, Melalui kedua-dua peta dapat ditunjukkan kawasan yang dijejaki oleh penulis buku.


Seterusnya dirujuk Iskandar Zulkarnain dalam teks-teks lama Melayu seperti kitab Sulalatus Salatin karangan Bendahara Johor, Tun Sri Lanang dan Hikayat Iskandar Zulkarnain yang tidak diketahui pengarangnya siapa. Kedua-dua teks dengan jelas menyebut tokoh sebagai berbangsa Rum dari Makaduniah iaitu merujuk kepada Alexander the Great, tidak lain daripada itu.


Berdasarkan teks lama saya menambah satu lagi kemungkinan. Bahawa Alexander yang dikatakan berbangsa Rum (merujuk kepada Yunani/Greek sebenarnya) adalah keturunan Raja Kurush yang berbangsa Parsi. Raja Kurush pula berasal daripada keturunan Nabi Sulaiman AS yang berbangsa Bani Israel. Ini berdasarkan sedutan berkenaan yang menceritakan asal-usul raja-raja Melayu yang turun di Bukit Siguntang di Palembang, moyang kepada raja-raja Melaka.


Masuk sesi soal jawab seorang hadirin menyatakan pendapat bahawa cerita raja-raja Melayu berketurunan Iskandar Zulkarnain adalah sesuatu yang dibuat-buat. Pengkaji terkenal Puan Zaharah Sulaiman (kanan dalam gambar) pula seperti tidak sabar untuk menegaskan Cyrus the Great adalah Iskandar Zulkarnain. Alexander bukan  malah tidak layak menjadi tokoh dalam al-Quran kerana dikatakan suka berperang menghapuskan orang malah meminati jantina sendiri (gay)!


Khairuddin menjawab dengan memberikan hadis juga alasan kenapa beliau percaya Alexander adalah Zulkarnain. Tentang Alexander dituduh gay adalah dakwaan sejumlah pengkaji kemudian. Ditambah pula Cyrus yang tidak memenuhi ciri-ciri Zulkarnain kerana ada artifak lama menggambarkan baginda bukan beragama tauhid atau penyembah Tuhan yang satu.


Osman sendiri cenderung ke arah pendapat Alexander adalah Zulkarnain namun terbuka untuk segala kemungkinan. Tentang tuduhan gay, pada beliau besar kemungkinan itu adalah ciptaan golongan berkenaan kerana memang ada kempen pihak sebegitu di Barat untuk mengangkat amalan songsang dengan menuduh tokoh-tokoh besar silam turut sama mengamalkan perbuatan jijik tersebut. Seorang hadirin lain menyatakan pengkaji Islam silam al-Biruni ada menyebut Iskandar Zulkarnain adalah seorang raja kerajaan Assyria yang wujud lebih awal daripada Alexander mahupun Cyrus. Dengan ini dirumuskan bahawa lebih banyak kajian perlu dilakukan. Untuk itu insyaallah satu seminar khas akan diadakan untuk merungkai lebih mendalam.


6 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Ulasan yang baik dan seimbang. Terima kasih.

Radzi Sapiee berkata...

Sama-sama...

Tanpa Nama berkata...

Sebelum buku MENJEJAKI ALEXANDER ZULQARNAIN DI BUMI KHURASAN tulisan
Khairuddin Muhammad (2019) terbit, sudah ada buku tajuk ALEXANDER ADALAH ZULQARNAIN, tulisan Muhammad Alexander yang terbit tahun 2012. Maka akan sangat bagus jika kedua Penulis buku ini, iatu MUHAMMAD ALEXANDER & KHAIRUDDIN MUHAMMAD dipertemukan dalam satu forum Diskusi utk mengkaji tiga rute perjalanan Iskandar Zulqarnain.

Tanpa Nama berkata...

menurut Muhammad Alexander (2012) dalam buku ALEXANDER ADALAH ZULQARNAIN, 1) MAGHIB ASYSYAMS (Barat / kawaan Matahari Terbenam) adalah di Mesir, dengan Qattara Depreson sebagai Ain Hamiah (mata air hitam berlumpur); 2) MATHLIK ASYSYAMS (Timur / Kawasan matahari terbit) adalah Khurasan di Arachosia (aracho dlam bahasa greek bermakna bangsa primitif karena tidak berpakaian) di gurun Dashti Margo; 3) BAINA SADDAINI (kawasan di antara 2 bukit) adalah di Fergana (FERGANA dlm bahasa Greek para-a-gno bermakna kaum yg tidak tahu /asing; kekal dlm bhs Inggris FOREIGN, yg sama konsonan FERGANA / FOREIGN F-R-G-N)

Tanpa Nama berkata...

Boleh jadi Khairuddin Muhammad (2019) terinspirasi dengan tulisan Muhammad Alexander (2012) itu. yang sama hanya pada kawasan Baina saddaini yaitu kedua penulis sama sama menempatkan di jelapang subur FERGANA yang berada di antara gunung Tien Shan dan gunung Pamir.

Tanpa Nama berkata...

Persamaan penulis Muhammad Alexander dan Khairuddin Muhammad ialah Lembah Ferghana sebagai lokasi yg ditempuhi oleh Alexander the Great. Khairuddin Muhammad mengesahkan kedatangan Alexander the Great dan tentera Greek melalui artifak2 yg dilihat di Muzium Khujand yang terletak di kawasan runtuhan kota Alexandria Eschate.