Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-






Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Tuesday, May 26, 2009

Cerita An-Nur - Akhirnya terpisah kerana fitnah siapa agaknya ya?

Tak tahu kenapa, terasa nak pakai gambar yang ditemui di Internet ini...

Saya terasa mahu menamatkan terus cerita-cerita An-Nur yang termasuk artikel ini sudah masuk 11 bahagian. Fed-up dah tapi itulah saya, harus melepaskan rasa menurut turutan yang sepatutnya agar hilang sedikit sekatan di dada sebelum dapat meneruskan kerja lain dan mendapat aliran ilham terbaru. Cuma cara melepaskannya sahaja (dan keadaan semasa juga sebenarnya) yang boleh menentukan lambat atau cepat selesainya sesuatu cerita. Ada bahagian yang perlu diceritakan panjang-lebar, ada pula yang boleh dilompat-lompat...

Setelah beberapa hari An-Nur mesra berehat di rumah Nur, sampailah masanya untuk dia dan keluarga kembali ke Segamat. Saya pun mengikut ibu bapanya mengambil An-Nur di rumah Nur. Kemudian kami ke bengkel kereta di sekitar Pandan untuk mengambil kereta An-Nur yang rosak dalam seminggu dua sebelum itu, kereta yang sepatutnya digunakan untuk mengambil saya di Janda Baik lalu ke Segamat. Sila lihat ceritanya di Cerita An-Nur - ke Segamat bersama jodoh baru? Dan lisan agama dan keturunan yang keluar daripadanya...

Selepas siap keretanya, saya memandu membawa An-Nur untuk menyelesaikan beberapa perkara di ibukota. Ibu bapanya pula kembali untuk bersiap-siap membungkus segala barangan di rumah sewa. Tujuan kami adalah membuat persiapan akhir sebelum berpindah terus ke Segamat. Saya yang dah dianggap sebagai bakal menantu diajak menetap bersama dan disarankan membuat kerja bersama keluarga.

Malam itu, setelah mengambil segala barangan saya yang ada ditinggalkan di pejabat Pak Habib, An-Nur meminta saya singgah di Kampung Baru. Dia kemudian meminta saya menunggu di kereta sebelum dia masuk ke dalam rumah kampung. Entah apa yang ingin dibuatnya, saya tak tahu. Saya cuma bersangka baik dengan menganggap dia ingin berjumpa kawan-kawan buat kali terakhir (sekurang-kurangnya dalam masa terdekat) sebelum berpindah balik ke Segamat. Tetapi setelah menunggu di luar sekitar setengah jam, saya hilang sabar. Saya masuk ke dalam rumah dan kelihatan 2-3 orang lelaki yang kelihatan sedikit lalok. Saya rasa saya tahu apa yang sudah berlaku tetapi tidak bercakap banyak. Saya cuma meminta An-Nur supaya cepat bersiap kerana ibu bapanya sedang menunggu di rumah.

An-Nur keluar sekitar 10 minit kemudian dengan ditemani seorang laki-laki, lelaki yang dahulu ada bersama An-Nur ketika saya pertama kali terserempak dengannya di Janda Baik. Cuma ketika itu lelaki tersebut datang bersama wanita lain dan mereka hilang entah ke mana di belakang taman, entah di hutan semasa saya berkenalan dengan An-Nur. Kali ini kelihatan sungguh yang dia menyimpan hati terhadap An-Nur tapi apa boleh buat, ibu bapa An-Nur telah menganggap saya sebagai bakal menantu dan sudah menjadi tanggungjawab saya menjaganya pula.

OK. Ini ada bahagian cerita yang saya tak ingat bilakah ia berlaku. Apakah pada hari-hari ketika kami bersiap untuk kembali ke Segamat atau awal sedikit ketika An-Nur masih menginap di rumah Nur. Atau ia berlaku selepas kami kembali ke Segamat atau memang sekali di Kuala Lumpur kemudian sekali lagi di Segamat. Yang pasti ia berlaku selepas kami kembali dari Perak (lihat Cerita An-Nur - Ke Perak untuk berbincang hal buku )

Apa yang berlaku ialah penerbit buku di Perak telah menelefon kami dan kelihatannya dia lebih berminat untuk menerbitkan buku saya daripada menerbitkan buku bapa An-Nur. Apapun mereka sekeluarga amat teruja dengan perkembangan ini. Cuma yang tak sedapnya apabila ibu An-Nur meminta agar namanya turut dimasukkan sebagai penulis buku, selepas itu bapa An-Nur pun turut menyelit sama. Saya cuma tersenyum hambar sahaja. Mana boleh diletakkan nama mereka sedangkan buku itu 100 peratus hasil tulisan penat-lelah "pecah kepala" saya dan berdasarkan pengalaman sebenar hidup serta pencarian hidup diri sendiri. Tidak saya sangka rupa-rupanya keengganan saya itu nanti bakal merenggangkan hubungan kami. Sekurang-kurangnya itu yang saya nampak nanti...

Sampai satu hari kami pun bersiap untuk ke Segamat. Sebuah lori membawa segala barangan An-Nur mula bergerak meninggalkan kondominum yang mengandungi rumah sewanya dan kemudian kami pun berlepas dengan dua buah kereta. Ah... saya sudah lupa bahagian ini. Apakah saya dan An-Nur membawa satu kereta dan ibu bapanya kereta lain atau kami naik satu kereta bersama. Rasanya memang dua kereta...

Dipendekkan cerita kami pun sampai ke Segamat. Adapun bapa An-Nur pernah cuba menjadi penerbit buku tetapi kurang berjaya. Kalau tak salah ingatan dia sempat menerbitkan 2 atau 3 buku tulisan orang lain sedangkan dia sendiri belum ada buku tulisan sendiri yang sudah diterbitkan di mana-mana. Mendengar cerita An-Nur dan ceritanya sendiri, boleh kelihatan betapa tinggi hasratnya untuk bergelar sebagai seorang penulis buku. Ini nampak nyata apabila pemandu lori dan pembantunya hendak berlepas kembali selepas menurunkan barangan An-Nur di Segamat, bapa An-Nur telah menghadiahkan mereka 2-3 buku lalu menandatangani setiap buku tanpa dipinta walaupun tidak satu buku pun adalah hasil penulisannya.. Ya, dia menerbitkan buku-buku itu, ini memang betul tapi mana ada orang pernah minta penerbit menandatangani buku kecuali si penerbit adalah penulis buku itu sendiri?

Ah... baru saya ingat! Sepanjang beberapa hari duduk di Segamat, penerbit di Perak ada sekali dua lagi menghubungi kami tetapi tetap nampak lebih berminat untuk menerbitkan buku saya. Saya ingat ini kerana selepas itu saya ada mengposkan sebuah CD yang mengandungi tulisan buku ke Perak (semasa di Perak dahulu saya cuma memberi sebahagian sahaja dari satu bab sebagai contoh). Ibu An-Nur ada bertanya lagi jika namanya boleh dimasukkan sebagai salah seorang penulis buku. Saya bukan pembohong, tetapi saya juga segan menolak terang-terangan. Jadi saya cuma tersenyum hambar...

Walaupun ketika itu saya sudah tidak bekerja selama beberapa tahun, mereka tahu kelulusan dan pengalaman yang saya ada. Saya dibawa ke Segamat dengan harapan akan menolong ibu An-Nur menghidupkan sebuah pusat tuisyen baru di Segamat dengan saya sendiri sebagai seorang tenaga pengajar Matematik. Selain itu saya diharapkan dapat menolong bapa An-Nur memperbaiki buku tulisannya yang belum lagi diterbitkan, buku yang sudah diusahakan sejak lebih 2 tahun sebelum itu untuk dibawa ke tahap yang lebih tinggi. Lagipun saya memang pernah berbuat begitu bersama penulis politik Pak Habib @ S.H. Alatas dan memang pun saya bekas wartawan. Lalu saya diberi sebuah bilik sebagai tempat tinggal baru di Segamat sedangkan An-Nur pula sedang merancang untuk menyambung pelajaran ke sebuah universiti di Lembah Kelang... kiranya baru nak apply le...

Saya sanggup memberikan sekitar 20 mukasurat satu siri gitu tulisan saya yang terbengkalai dalam tahun 2002 untuk ditambah jadi bahan tulisan bapa An-Nur. Isi tulisan itu ada diletakkan di blogspot ini dalam artikel-artikel bertajuk :-

Asalnya dahulu saya memang mahu menyiapkan sebuah buku tentang rancangan Yahudi menakluki dunia, melalui perspektif seseorang yang dahulu amat keBaratan, pernah duduk 4 tahun di England di mana mekarnya cara kehidupan liberal yang didalangi Zionis dan kemudian dapat melihat permainan dunia politik sebalik tabir apabila menjadi wartawan akhbar utama negara berbahasa Inggeris. Tetapi apa yang berlaku kemudian termasuk perjalanan ke Aceh awal 2004 membuat saya mula menulis buku awal "Berpetualang ke Aceh" yang dahulunya berbentuk lebih sebagai buku sejarah, bukannya novel. Maka itu saya tiada masalah menyerahkan manuskrip saya terus kepada bapa An-Nur.

Pada suatu hari, dia meminta saya mengemas barang untuk bersiap-siap membawa saya ke Muar. Memang saya ada menyatakan hasrat untuk kembali ke sana bertemu ibu bapa sebelum menetap terus di Segamat. Kata bapa An-Nur, oleh kerana saya telah merapatkan kembali dia dengan An-Nur, maka dia akan tolong memperbaiki hubungan saya dengan bapa. Dengan itu kami pun ke Muar di mana bapa An-Nur ada bersembang lama dengan bapa saya. Isinya sedikit menceritakan perkenalan saya dengan keluarganya. Kemudian dia cuma meminta agar bapa saya menerima dan memaafkan saya tak kira betapa buruk pun keadaan atau kesalahan saya, sebelum dia kembali ke Segamat meninggalkan saya di Muar.

Beberapa hari itu saya dan An-Nur cuma berhubung melalui telefon untuk melepaskan rindu. Walaupun tidak bersua muka, kami tetap intim dan sering membincangkan rancangan masa hadapan bersama. Yang peliknya, dalam seminggu atau dua minggu kemudian dia menghantar message yang berbunyi lebih kurang begini: "An-Nur tahu apa yang Abang dah buat pada An-Nur. Pulangkan balik barang An-Nur. Kalau tidak terimalah akibatnya!"

Saya tergamam sebentar. Apa ini? Gayanya seperti saya telah membuat sihir kepadanya. Saya menilik di dalam hati sendiri. Nampaknya dia telah menganggap saya mengguna-gunakannya selama ini. Sebab itu dia boleh terus jatuh cinta dan ingin menjadi isteri saya.

Tentang barang pula, bila masa saya ada mengambil apa-apa barangnya? Kalau dia ambil barang saya ada le... bukan saya tak tahu An-Nur yang ambil satu-satunya gambar anak perempuan saya yang ada pada tangan saya, gambar ketika anak itu berumur sekitar 6 bulan gitu (lihat artikel Cerita An-Nur - penerimaan yang memberangsangkan keluarga di Segamat). Dan An-Nur juga telah beberapa kali menyelongkar barangan saya terutama apabila dalam keadaan gilanya. Ada ketikanya dia akan menyelitkan buku-buku dan barangannya sendiri dan adakalanya barangan milik keluarga di rumahnya di Segamat masuk ke dalam beg-beg saya.

Saya terus meneliti balik barangan saya yang dibawa pulang dari Segamat. Tiada pun barangan An-Nur atau keluarganya kerana seingat saya apa sahaja barang yang diselitnya ke dalam beg-beg saya telah saya keluarkan semula. Saya cuba menelefon An-Nur. Tiada jawaban. Saya pun menelefon bapa An-Nur lalu meminta penjelasan. Diakui suara saya ketika itu agak marah, maklumlah saya dituduh menyihirkan orang, tuduhan berat yang datang daripada orang yang saya pernah cuba selamatkan. Jawab bapanya sabar, sabar... katanya mungkin ada silap faham.

Beberapa hari selepas itu saya tidak mendengar apa-apa cerita. Akhirnya saya membuat keputusan untuk pergi sendiri ke rumah mereka di Segamat, dengan menaiki bas kemudian berjalan kaki berbatu-batu. Sampai di rumah, tiada pula orang. Setelah menunggu beberapa lama, baru kelihatan ibu An-Nur yang mungkin baru kembali dari kerja lalu setakat memberitahu An-Nur telah pergi ke Kuala Lumpur bersama bapanya. Dan kali ini dia kurang mengendahkan saya, jauh berbeza keadaannya ketika saya dianggap bakal menjadi suami An-Nur.

Saya menerima ini sebagai petanda dari Allah bahawa saya kini tidak diterima mereka, bahawa hubungan saya dengan An-Nur dalam sebulan kebelakangan itu cuma satu fasa kehidupan untuk membawa kepada satu peringkat yang baru. Dengan itu saya terus melupakan An-Nur. Dalam sedar tak sedar saya kembali baik dengan Nur tetapi dalam keadaan yang lebih terbatas.

Sebulan dua kemudian baru saya dapat tahu sedikit apa yang berlaku. Nur terlibat dalam satu penggambaran drama antara dua negara di Jakarta lalu harus berada di sana, sekali pergi hampir dua minggu. Pada suatu hari suaminya si politikus muda tiba-tiba muncul membawa An-Nur bersama. Rupa-rupanya dia ingin membuat kejutan... dibawanya An-Nur lalu ditinggalkan di sana untuk menemani Nur sepanjang penggambaran di Jakarta.

Daripada Nur saya dapat tahu bahawa sesekali An-Nur akan buat perangai malah mengamuk-ngamuk sehingga memanjat-manjat tingkap hotel. Bertahun kemudian baru Nur dapat tahu An-Nur ada masalah lain yang menyebabkannya sering jadi gila. Tak perlulah saya sebut apakah masalah itu dan Nur pun kesian, tak nak bagitahu keluarganya.

Awal tahun 2005, tak ingat bulan berapa Nur pernah lari dari rumah untuk meminta cerai. Sebenarnya dia menyorok di rumah orang yang ada kena-mengena dengan peguamnya kerana tidak mahu suaminya membuat sesuatu, begitu juga ibu dan ayahnya yang sampai sanggup berjalan jauh mencari bomoh setiap kali Nur bergaduh dengan si politikus muda yang kaya-raya. Nur ada memberitahu tentang rancangannya. Saya cuma mendiamkan sahaja.

Malam itu saya mendapat panggilan telefon dari seorang Sayyid yang berkecimpung dalam dunia nyanyian dan muzik. Saya kenal dia dan dia ada juga kaitan dengan keluarga Nur juga dengan sejumlah Sayyid dan Sharifah yang saya kenali. Dia mengajak saya makan di luar untuk bercerita. Saya pula semasa itu sangat bersemangat mahu bercerita tentang peranan dan perjuangan Ahlul Bait. Walaupun saya baru sahaja kembali dari satu perjalanan dan amat penat, saya bersetuju keluar berjumpa dengannya kerana mahu bercerita tentang Ahlul Bait.

Dalam bercerita itu, baru dia membuat pengakuan. Katanya dia sebenarnya disuruh oleh si politikus muda agar menarik saya keluar kerana menganggap saya telah membawa lari Nur. Dipendekkan cerita malam itu saya dicari lalu dikelilingi sekitar 20 orang, kemudian diserang seorang dari mereka sebelum diserang yang lain. Saya tidak melawan kerana yang menyerang saya itu semuanya saudara mara Nur, beberapa orang daripada mereka sudah lama saya kenali. Sambil mereka memukul saya yang setakat sesekali sahaja menepis tumbukan apabila tidak dapat menahan rasa sakit dan cuma mengelit kelangkang ke tepi kiri dan kanan apabila cuba diterajang di tempat sulit, mereka menuduh saya mengamalkan ilmu batin dan suka membuat guna-guna. Di situlah baru saya terdengar fitnah yang entah ditanam oleh siapa, bahawa saya pernah menggunakan-gunakan dua orang sepupu Nur dan saya juga kononnya menggunakan ilmu sebegitu sehingga Nur jatuh cinta dengan saya.

Diakui memang saya nyaris menjalinkan hubungan dengan seorang sepupu Nur. Perkara ini berlaku sekitar tahun 2002 atau 2003, setelah bercerai dengan isteri pertama. Semasa itu saya harus memilih antara dua adik-beradik. Setelah mengenali salasilah keluarga yang cuma disedari ketika melepasi umur 31 tahun, saya merasakan bahawa saya harus berkahwin dengan seorang Sharifah jika mahu betul-betul mengecapi kebahagian rumah-tangga dan menjalani kehidupan yang lebih bermakna.

Ketika itulah si Nur mencadangkan agar saya mengambil sepupunya. Saya begitu jujur dalam hal ini sehingga pernah mengajak Pak Habib agar menemani saya ke rumah sepupu itu. Ketika itu si sepupu ada di rumah bersama adik-beradik dan ibunya. Mereka telah diberitahu oleh Nur yang saya berniat memperisterikan sepupu yang dimaksudkan dengan Pak Habib sebagai ayah angkat sudi menjamin saya yang tidak memiliki kerja tetap kecuali menolongnya menulis buku.

Sekembali dari pertemuan itu saya terasa lebih elok jika memperisterikan si kakak kepada sepupu. Si adik yang baru tamat sekolah kelihatan kurang matang sedangkan si kakak pula lebih lembut air mukanya dan nampak lebih keibuan. Apabila saya telah membuat keputusan lalu memberitahu Nur, baru mukanya berubah. Saya faham apa yang berlaku lalu tidak jadi meneruskan rancangan. Sebaliknya saya mula menjalinkan hubungan baru dengan Nur.

Apapun, tidak pernah sekali pun saya menggunakan apa-apa ilmu batin untuk mendapatkan mana-mana wanita. Kalau keyakinan diri yang tinggi serta tutur kata lancar berserta renungan mata yang tajam tu ade le... tapi ini bukan ilmu sihir. Jadi kenapa kata saya guna-gunakan orang? Bukan guna-guna seorang malah dikatakan beberapa orang! Kenapa kedatangan saya melihat dua sepupu adik-beradik itu dikaitkan dengan penggunaan guna-guna? Kemudian diulang-ulang berkali-kali kuat-kuat agar segala yang hadir dapat dipengaruhi yang saya kononnya memang seorang lelaki yang telah menyihir ramai ahli keluarga mereka.

Masyaalah! Apakah yang perlu saya buat dalam keadaan ini? Kalau saya melawan memang saya dituduh salah. Menang kalah lain cerita. Sedangkan saya sebenarnya sangat buntu dengan segala fitnah yang melanda dan apa yang sudah berlaku. Kemudian baru saya dapat tahu di sebalik semua ini, si politikus muda merancang segala perkara dan memerhatikan sahaja dari jauh. Mengapa dia sendiri tidak datang menyerang saya? Mengapa gunakan saudara-mara Nur, orang-orang yang saya panggil sebagai Ami ataupun pakcik?

Bab ini tamat apabila keesokannya si politikus menikus dihubungi peguam Nur. Tahulah mereka bahawa kehilangan Nur bukan disebabkan saya tetapi disebabkan Nur sendiri benci dengan hidup penuh pura-pura. Tetapi pernahkah mereka meminta maaf? Tidak! Laporan polis yang dibuat awal pagi atas saranan seorang rakan juga nampaknya tidak diendahkan. Saya tahu si politikus muda telah menyediakan seseorang untuk menanganinya jika perkara ini sampai pada polis. Dan terdapat ramai ahli keluarga Nur yang mengharapkan sesuatu dari jaringan kuasa si politikus muda.

Itulah masalahnya apabila para Sayyid dan Sharifah tidak beramanah dengan hakikat sebenar mereka sebagai keturunan Nabi. Sepatutnya mereka tidak hairan dengan dunia tetapi kini boleh dicucuk hidung akibat keinginan nafsu nafsi, boleh dijual-beli oleh manusia penipu yang tidak berbangsa tinggi.

Apapun, saya anggap semua ini ujian Allah belaka. Walaupun saya terus difitnah mengguna-gunakan Nur, walaupun saya pernah sanggup kahwin dengan An-Nur yang cantik tapi gila (dan sebenarnya penagih sesuatu) lalu cuba menyelamatkannya tetapi sebaliknya dituduh menyihirkannya pula, saya terima segalanya. Sejak itu, Nur pula telah beberapa kali lari rumah sambil berurusan dengan peguam untuk mendapatkan perceraian. Malah dia pernah menukar peguam apabila ternyata peguam sebelumnya telah dikaotim oleh si politikus muda.

Malangnya semuanya tidak berjaya kerana si politikus pandai mengatur acara, apalagi apabila disokong ibu bapa Nur sendiri yang sanggup terbang jauh hingga ke Jawa untuk mencari bomoh demi menggagalkan apa-apa usahanya memisahkan diri dari kehidupan penuh kepura-puraan itu. Apabila melihat segala turutan peristiwa yang berlaku (dan saya dapat tahu si politikus muda ada berbaik-baik dengan keluarga An-Nur) selepas kembali ke Muar, agaknya siapakah yang membawa fitnah sehingga saya terpisah dengan Nur kemudian An-Nur ya? Sekian luahan yang mahu dibuat melalui cerita An-Nur. Tamat siri cerita ini...

p/s:
Penghujung tahun 2007 atau awal 2008 gitu, buat pertama kali setelah itu saya ada bertandang ke rumah An-Nur di Segamat lalu berjumpa bapa An-Nur. Semasa itu saya dalam pusingan akhir satu pengembaraan mengelilingi Johor. Lihat artikel
Dari Segamat kembali ke Muar... Berakhirlah satu episod pengembaraan... Kami berbual sebentar dan saya ada menghadiahkan satu atau dua naskah buku "Berpetualang ke Aceh". Dia pun menunjukkan bukunya yang sekian lama mahu diterbitkan, akhirnya sudah pun diterbitkan baru-baru itu oleh sebuah koperasi tempatan. Tertera gambar bapa An-Nur di belakang dengan sedikit biodata. Tetapi buku saiz lebih kurang seperti "Berpetualang ke Aceh" itu cuma ada sekitar 140 mukasurat dengan tiga nama penulis. Jadilah, asalkan ada buku sendiri...

No comments: