"Bermula adalah asal raja Bugis yang mengembara ka-sabelah barat daripada pehak tanah sa-belah Bugis ada-lah asal-nya sa-orang raja perempuan: nama negeri-nya Luwok, nama raja-nya itu Sat Malangkaii; ada-lah Sat Malangkaii itu pada sa-tengah kaul orang Bugis keturunan Puteri Balkis, konon, di-dalam pada itu Allah s.w.t. yang terlebeh tahu akan hakikat al-lamur kalhatha, kerana Balkis itu di-negeri Siba, pehak Yaman, anak raja Jin jadi isteri Nabi Allah Sulaiman..."
Hmm. Rasanya cukuplah disalin bahagian itu sahaja ya. Nak salin semua yang berkaitan panjang pula. Cukuplah diberitahu, walaupun dalam ayat atas, Raja Ali Haji menggunakan perkataan "konon" apabila menyebut tentang cerita sesetengah orang Bugis bahawa Sat Malangkaii, juga dikenali sebagai Siti Malangkai atau Siti Malangkek itu berketurunan Ratu Balqis, beliau tetap menambah ini sebenarnya tidak mustahil kerana anak cucu Rasulullah SAW juga banyak bertebaran di bumi sebelah sini walhal baginda hidup dan wafat di Tanah Arab. Seterusnya kitab Tuhfat Al-Nafis menyebut Siti Malangkek berkahwin dengan raja Bugis yang paling besar di Luwuk. Dari keturunan merekalah muncul raja-raja yang memerintah kerajaan-kerajaan Bugis serta para pahlawan mereka... termasuk apa yang kita kenal sebagai Daeng 5 bersaudara iaitu Daeng Parani, Daeng Merewah, Daeng Menambon, Daeng Chelak dan Daeng Kemasi yang banyak mencorak pemerintahan dan sosio-politik Tanah Melayu abad ke 18 Masihi.
OK. Saya tak pasti bilakah Siti Malangkek ini muncul di Tanah Bugis iaitu Pulau Sulawesi yang nama lamanya adalah Silangi. Tetapi setelah melihat satu salasilah versi kerajaan Bugis Wajo rasanya beliau muncul sekitar atau sebelum abad ke 8 Masihi. Setahu saya lagi tidak ada sumber bertulis lain dari Tanah Bugis yang menyebut asal-usul keturunan Siti Malangkek yang dikatakan dari Ratu Balqis. Yang saya tahu penulisan dari Tanah Bugis sendiri menyebut, kebanyakan pemuka atau pendiri kerajaan Bugis adalah para To Manurung, orang-orang sakti yang tidak diketahui asal-usul mereka, mungkin dari kayangan dan sebagainya. Apapun biar kita tumpukan sahaja pada teori bahawa Siti Malengkek memang berketurunan Ratu Balqis. Ada sesuatu yang ingin diluahkan dan saya pun tak pasti apa sebenarnya dan bagaimana kecuali saya harus menulis apa sahaja yang terbetik di hati tanpa perlu lagi membuat rujukan ke sana ke mari.
Suatu masa dahulu saya pernah terbaca bahawa raja-raja lama Habsyah atau Ethiopia adalah berketurunan Ratu Balqis. Ini memang boleh diterima memandangkan Habsyah itu letaknya sangat dekat dengan Yaman di mana kerajaan Saba' yang diperintah Ratu Balqis pernah berpusat. Ratu ini diketahui cuma pernah berkahwin dengan Nabi Sulaiman AS yang memerintah dari Baitul Muqaddis. Maka keturunan Ratu Balqis juga bermakna keturunan Nabi Sulaiman dan ini turut disinggung dalam kitab Tuhfat Al-Nafis.
OK. Rasanya pembaca mesti tahu bahawa Nabi Sulaiman adalah anakanda Nabi Daud dan mereka memang pemerintah kerajaan Bani Israel. Nabi Daud menjadi raja menggantikan Raja Thalut untuk memimpin Bani Israel menangani musuh mereka sehingga terdirilah kerajaan Bani Israel yang berdaulat. Nabi Sulaiman mewarisi pemerintahan kerajaan Israel Raya yang menurut sejarawan Barat meliputi sebahagian besar Asia Barat. Namun menurut pemahaman melalui pembacaan Al-Quran yang menyebut Nabi Sulaiman diberikan mukjizat sehingga mampu menundukkan jin dan syaitan, boleh bercakap dengan haiwan dan boleh menggunakan angin untuk membawanya ke mana sahaja, tidak mustahil bahawa baginda sebenarnya memerintah seluruh dunia!
Peliknya orang Yahudi sendiri tidak menghormati Nabi Sulaiman. Walhal mereka sangat menyanjung tinggi ayahandanya Nabi Daud. Lalu muncul ungkapan "Star of David" (bintang Nabi Daud) merujuk kepada bintang segi enam yang tertera pada bendera Israel. Malah sedikit pembacaan yang saya buat mengenai kitab-kitab agama Yahudi iaitu Torah (berasal dari kitab Taurat Nabi Musa yang diselewengkan) dan Talmud (mengandungi ulasan para pendeta mereka dalam menafsirkan Taurat mengikut zaman) menunjukkan mereka menganggap Nabi Sulaiman sebagai ahli sihir! Kemungkin besar ini berlaku kerana perebutan takhta yang membawa kepada perpecahan serta kejatuhan kerajaan Israel Raya dahulukala. Lalu kitab-kitab suci terutama Talmud yang memang merupakan komentar semasa dirobah menjadi anti Nabi Sulaiman...
Kita tahu bahawa Nabi Sulaiman ditunjuk Nabi Daud untuk mewarisi pemerintahan baginda atas kecerdasan yang pernah ditunjukkannya semasa zaman budak ataupun remaja. Tapi sedarkah pembaca bahawa Nabi Daud memiliki ramai anak, antaranya lebih tua lalu menganggap mereka lebih berwibawa daripada Nabi Sulaiman? Ada disebut Nabi Daud memiliki 99 orang isteri. Kemungkinan besar ada anak yang lain teringinkan takhta tetapi tidak dapat berbuat apa-apa kerana satu, Nabi Daud sendiri telah menunjukkan Nabi Sulaiman sebagai pengganti dan kedua mukjizat Nabi Sulaiman menjadikan baginda sangat perkasa sehingga tidak boleh ditentang selagi hidup.
Namun cerita berubah selepas Nabi Sulaiman wafat. Kerajaan Israel Raya berpecah dua, satu yang menyokong keturunan Nabi Sulaiman, kemungkinan besar dari titisan Ratu Balqis dan satu lagi menyokong keturunan anak Nabi Daud yang lain dan inilah kerajaan yang lebih besar kerana entah kenapa, lebih banyak penyokongnya. Perpecahan ini berlaku sekitar 800-900 tahun sebelum Masihi. Kerajaan Israel yang berpecah semakin lemah lalu mula ditundukkan musuh satu demi satu. Kalau tak salah ingatan kerajaan terakhir warisan Israel Raya diruntuhkan langsung oleh kerajaan Babylon dan kaum Bani Israel dijadikan hamba.
OK. Ada pihak yang percaya bahawa Iskandar Zulkarnain yang disebut dalam Al-Quran itu adalah keturunan Nabi Sulaiman. Apakah dari titisan Ratu Balqis? Saya rasa ini tidak mustahil. Sekitar tahun 550 sebelum Masihi muncul Raja Khurush atau Cyrus the Great dari Parsi menakluki sebahagian besar dunia bertamadun. Ramai yang telah menyatakan inilah Iskandar Zulkarnain yang disebut dalam Al-Quran dan saya ingin menambah, ada kemungkinan Alexander the Great yang muncul di Macedonia sekitar 330 sebelum Masihi itu keturunan Cyrus yang terdampar di penghujung empayar kemudian naik untuk menguasai kembali jajahan takluk nenek-moyangnya.
Berbalik pada hal Bugis. Ada yang menyebut perkataan Bugis itu sendiri berasal dari Balqis. Oh, harus diingatkan bahawa Ratu Balqis memiliki darah raja jin bercampur darah raja manusia. Campurkan dengan darah Nabi Sulaiman maka boleh dikatakan keturunan mereka memiliki darah atau atau satu set genetik yang berkaliber lagi ada satu macam kuasa.
Saya pernah bertanya kepada orang tertentu apakah betul perkataan Bugis itu berasal dari Balqis. Katanya itu separuh betul. Bugis itu merujuk kepada satu bangsa dalam istana dari keturunan Balqis. Memandangkan kemungkinan besar jurai keturunan Balqis ada banyak pecahan, mungkin Bugis itu sendiri merujuk kepada satu jurai tertentu sahaja. Yang pasti bangsa Bugis di Nusantara terkenal sebagai satu bangsa perkasa yang amat berani dan pandai berperang. Ada yang menambah, disebabkan mereka berasal dari keturunan Ratu Balqis yang ada darah jin, maka orang Bugis ada gerak rasa semulajadi untuk menembus dan berinteraksi dengan alam ghaib, wallahualam.
Dahulu saya juga agak skeptikal apabila disebut tentang kelebihan bangsa Bugis. Walaupun saya juga memiliki darah Bugis, saya tidak dapat menerima dakwaan saudara-mara dari belah sana bahawa bangsa Bugis pernah berkuasa dan memerintah seluruh Nusantara. Saya terasa dakwaan ini sama sahaja seperti apabila satu pihak berdarah Siam memutar-belit sejarah sehingga mencipta empayar khayalan yang kononnya memerintah seluruh Nusantara malah hingga ke Australia. Mana mungkin satu kerajaan yang diketahui sejarah cuma berpusat di Pulau Sulawesi pernah memiliki jajahan takluk seluas itu?
Mungkin saya pernah berfikir begitu kerana terlalu mengutamakan darah keturunan belah bapa yang membawa ke Aceh. Namun hakikatnya nenek moyang saya di Aceh dari pertengahan abad ke 18 dikenali sebagai keluarga apa yang dipanggil sebagai Raja-raja Aceh Dinasti Bugis. Ini disebabkan mereka semua berpunca daripada seorang moyang bernama Daeng Mansur yang datang dari Tanah Bugis ke Aceh abad ke 16 Masihi. Namun apabila diteliti balik cerita berkaitan, Daeng Mansur sebenarnya adalah cucu kepada seorang raja besar Aceh yang berkahwin dengan seorang puteri Bugis.
Memikirkan ini, saya terlihat sesuatu dalam menentukan identiti Bugis. Pada mereka kita tetap dikira Bugis asal sahaja ada nenek-moyang berdarah Bugis tak kiralah belah lelaki atau perempuan. Misalnya Sultan Johor sering disebut sebagai Bugis walhal darah Bugis itu muncul daripada perkahwinan Temenggung Tun Jamal yang dipercayai berdarah Sayyid dari Aceh dengan Raja Maimunah ibni Daeng Parani. Pertalian darah dengan Ratu Balqis pula sering diwar-warkan padahal ia adalah dari pihak perempuan iaitu Siti Malengkek. Sebab itu saya diingatkan agar menyertakan sekali nama anak-anak kepada saudara perempuan bapa untuk disertakan dalam satu salasilah besar Bugis. Walhal dalam sesetengah daftar salasilah, misalnya para Sayyid dan Sharifah keturunan Nabi Muhammad SAW, zuriat dari belah perempuan sudah dikira keluar kalau suaminya bukan Sayyid kerana harus menurut nasab belah laki-laki sahaja.
Namun perlu diingatkan seperti sesetengah bangsa lain, tidak semua yang dipanggil Bugis itu boleh dikaitkan dengan bangsawan dan bangsa dirajanya apalagi Ratu Balqis. Saya bagi satu misalan... misal sahaja ya. Ada satu tempat, rakyatnya semua orang asli yang berambut kerinting berkulit sawo matang. Namun raja dan keluarga raja semuanya berkulit putih merah muka berciri Arab. Apa yang berlaku adalah satu masa dahulu, seorang pendakwah bangsa Arab telah masuk ke kawasan pendalaman lalu mengajar penduduk setempat. Disebabkan kewibawaannya, beliau diangkat menjadi raja dan begitu juga keturunannya. Lalu mereka dikenali sebagai raja orang Asli, walhal rakyatnya sahaja yang berketurunan orang Asli, rajanya keturunan Arab.
Berbalik pada rasa skeptikal saya atas dakwaan bahawa Bugis pernah memerintah seluruh Nusantara, saya tidak menerimanya kalau yang dimaksudkan Bugis itu cuma mereka-mereka yang berpusat di Sulawesi. Tapi kalau yang dimaksudkan Bugis itu merujuk kepada keturunan Ratu Balqis sebelum takrif Bugis itu disempitkan kepada penduduk Sulawesi (seperti mana makna Jawi itu luas tetapi disempitkan sesetengah pihak menjadi Jawa di Pulau Jawa), maka tidak was-was lagi bahawa Bugis pernah memerintah Nusantara malah jauh lebih luas dari itu. Apa hendak dihairankan? Sebagai anak cucu kepada Nabi Sulaiman AS yang pernah memerintah seluruh dunia dengan gabungan darah Ratu Balqis yang memerintah kerajaan Saba' yang juga berkelas dunia, apalah sangat Nusantara ini kecuali satu pecahan jajahan takluk mereka jua!
Hmm. Saya rasa itu sahajalah ya luahan berkaitan perkara ini. Kalau pembaca mendapati penulisan ini tidak keruan, anggaplah sahaja ia satu proses melepaskan beban agar nanti saya dapat menerima ilham akan datang. Sekian... :]