Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-






Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Tuesday, March 19, 2019

Bila Rumi menari...

Rasanya ramai pernah mendengar satu lagu M. Nasir yang bertajuk "Bila Rumi Menari". Ia adalah salah satu lagu menarik penuh dengan rasa keSufian dalam album beliau bertajuk "Phoenix Bangkit" tahun 2001. Ini ada satu cerita yang berkenaan.


Merujuk kepada artikel Klasifikasi ilmu pengetahuan dalam Islam - Tiga tokoh besar yang menjadi sumber dan rujukan dalam kajian yang dipersembahkan petang tadi. Sudah disebut ia adalah tentang syarahan yang dihadiri di ISTAC pagi Isnin semalam. Adapun selepas itu saya bercadang untuk menghadiri satu acara melibatkan seni ukir halus kayu pada belah petang kemudian acara melibatkan tarian Sufi Turki belah malam. Tetapi apabila mendapati laluan ke dua-dua tempat acara mencapah jauh antara satu sama lain saya membatalkan rancangan untuk ke acara seni ukir. Ini kerana ia terletak jauh ke timur selatan Kuala Lumpur sedangkan tarian itu di Sentul, hampir kepada laluan saya kembali ke rumah dari ISTAC.

Tentang acara tarian boleh dilihat dalam poster atas. Sementara menunggu masa untuk ke sana saya berlegar-legar di ISTAC. Dapatlah mengadakan perbincangan panjang lebar tentang tesis saya bersama penyelia, Profesor Ulung Datuk Dr Osman Bakar. Setelah sekian lama beliau kesibukan dengan banyak perkara baru kali ini betul-betul mendapat perkembangan konkrit termasuk memberikan tajuk baru sesuai dengan rancangan dan cara beliau mahu mengangkat kajian saya ke peringkat lebih tinggi.


Hampir waktu Maghrib baru meninggalkan ISTAC lalu menuju ke pusat bandar raya dengan niat untuk berbuka puasa nasi kandar di sebuah restoran kegemaran. Oleh kerana sudah masuk waktu Maghrib dalam perjalanan saya berbuka dengan teh halia dahulu di sebuah restoran lain tepi jalan kemudian menunaikan solat Maghrib di masjid Kampung Baru. Selesai itu baru betul-betul makan. Dipendekkan cerita selepas jam 9 malam baru dapat sampai ke lokasi majlis tarian Sufi iaitu Kuala Lumpur Performance Arts Centre (Pusat Seni Persembahan Kuala Lumpur) di satu bahagian Sentul, lebih setengah jam lewat daripada waktu yang dijadualkan. 

Tengok-tengok cantik tempat. Cuma cita rasanya menggambarkan ia lebih sesuai untuk golongan liberal menikmati seni tanpa had. Majlis malam ini pula melibatkan ilmu kebatinan dan kerohanian Sufi dan Tasawuf. Tetapi orang yang tidak dapat menghargai daripada segi keagamaan pun boleh menikmatinya daripada sudut seni, gaya dan rupa. Paling tidak pun seronok dapat bergaul dalam kalangan orang bercita rasa tinggi (konon). Yang pasti acara sebegini digemari golongan elit apa lagi duta Turki ke Malaysia turut hadir lalu ada senarai dif-dif kehormat.


Sudah nampak bagaimana ia kena mengena dengan Rumi? Kan terpapar pada poster promosi acara termasuk yang kelihatan dalam gambar ini? Oh, mungkin tak semua mengenali siapakah tokoh besar ini. Untuk pengetahuan nama Rumi merujuk kepada satu sosok tubuh badan yang dikenali dengan panggilan penuh Maulana Sheikh Jalaluddin Rumi. Dilahirkan di Balkh dalam wilayah Khorasan (dekat Afghanistan sekarang) tahun 1207 Masihi beliau dibawa keluarga berpindah ke Turki yang juga dikenali sebagai Rum dalam dunia Islam apabila kawasan asalnya diserang puak Mongol/

Mereka menetap di Konya, satu kota utama dalam Empayar Seljuk (1037-1194). Daripada pecahan Empayar Seljuk muncul Kesultanan Rum (1077–1307) dengan Konya menjadi ibu kota. Pada tahun  1244M Rumi bertemu dengan seorang sheikh Tasawuf misteri bernama Syamsuddin at-Tabrazi. Sejak itu Rumi yang sudah dikenali sebagai seorang penyair Sufi menjadi semakin spiritual. Selepas beberapa lama beliau mengarang kitab Mathnawi. Ia penuh dengan bait-bait kecintaan menyatakan kerinduan seorang salik yang sibuk mencari jalan untuk kembali ke dalam kesatuan keesaan Ilahi.  


Kitab Mathnawi (terjemahan bahasa Inggeris) ini pernah menjadi salah satu bacaan kegemaran saya ketika mengalami krisis dalam kepercayaan hidup, krisis bersifat spiritual kebatinan Tasawuf lawan sains semasa belajar di London tahun 1991-1995. Bait-bait awal sudah cukup mengesankan sehingga boleh membuat ramai orang menangis terharu disapa rasa pilu kerinduan yang susah dimengertikan. Yang saya ingat ia bermula dengan kisah bagaimana serunai tercipta daripada batang sejenis pokok yang biasa ditemui di tepian sungai. Ia dipotong seperti straw kemudian dikorek lubang-lubang supaya boleh dimainkan bunyi dan lagu.


Sambil pembuatan serunai dan permainan diceritakan disisipkan kaitan dengan kita sebagai makhluk dengan Allah SWT sebagai Pencipta. Asalnya serunai bersatu dengan pokok tetapi ia kemudian terpisah. Disebabkan rasa terpisah itu ia merasa rindu. Setiap kali dimainkan semakin mendalam rasa rindu untuk kembali kepada kesatuan yang haq dan mutlak.


Mereka yang ada menekuni pengajian Tasawuf dan Sufi harus faham apa yang tersurat dan tersirat tentang ini. Selain menjadi penyair Rumi juga adalah seorang sheikh satu tariqat yang dikenali sebagai Mehlevi.


Tariqat ini berkembang pesat di Turki terutama di Konya. Persembahan tarian Sufi yang disaksikan ini memang didatangkan khas dari sana oleh satu badan Turki.


Tariqat ini terkenal seluruh dunia kerana memiliki tarian Sufi berbentuk orang-orang lelaki berpusing-pusing lawan arah jam sambil tenggelam dalam dzauq atau kenikmatan mengingati ilahi.


Sebetulnya ada cerita ringkas tetapi sangat bermakna tentang asal-usul  tarian ini. Daripada sumber Tariqat Naqsyabandiyah saya diberitahu ia sebenarnya dimulakan oleh sahabat paling rapat baginda Nabi Muhammad SAW iaitu Saidina Abu Bakar RA. Diberitakan pada suatu hari Abu Bakar bertanya kepada Rasulullah apakah Allah SWT redha terhadapnya. Jawab Nabi kalau Abu Bakar redha dengan Allah maka Allah redha dengannya. Maksudnya kalau kita sanggup menerima segala takdir buruk baik susah senang daripada Allah dengan hati yang penuh redha maka Allah pun redha dan menerima keadaan kita seadanya.


Mendengarkan jawaban itu Abu Bakar menjadi sangat gembira. Beliau mengulang perkataan "Kalau kamu redha dengan Allah maka Allah redha denganmu." Sedar tak sedar beliau mula berpusing lawan arah jam sambil mengulang lagi kata-kata itu lalu tenggelam dalam nikmat mengingati Allah.


Kalau tengok keadaan mereka boleh berpusing sehingga berjam-jam tentu kita boleh jadi pening. Bagaimana mereka boleh bertahan terus berpusing begitu sedangkan kebanyakan orang kalau buat seminit dua pun boleh pening lalu jatuh tumbang?


Alhamdulillah saya mendapat jawabannya dalam satu majlis zikir Tariqat Naqsyabandiyah yang kebetulan dihadiri seorang tetamu luar negara yang juga mengamalkan Tariqat Mevlevi warisan Rumi. Kata beliau jika kita berpusing dengan zikir dan niat yang betul sehingga hilang rasa ego kita tidak akan pening. Yang menyebabkan rasa pening itu adalah ego.


Saya sempat menerima ijazah tarian pusing Mevlevi sambil bersama sejumlah hadirin melakukannya. Yang dimaksudkan ego di sini bukan sekadar rasa besar diri, berbangga, amarah dan sebagainya tetapi rasa wujud diri. Hilangnya ego bermaksud hilangnya rasa 'keakuan' diri. Tidak ada lagi rasa aku kerana sudah 'larut' dalam keesaan sang Pencipta.


Tarian pusing Sufi Mevlevi ini diiringi permainan muzik tradisional dan bacaan kitab Mathnawi dalam bahasa Turki. Tamat sahaja majlis lalu lampu dibuka dapat dilihat ramai betul yang hadir. Tak tahu le berapa ramai yang betul-betul boleh menghayati...





Saya sempat menemui beberapa orang kenalan juga kawan lama selepas majlis. Ada juga pelajar dari ISTAC, ada adik sepupu saya bersama suaminya. Seorang anak muda rakan aktivis silat menawarkan untuk mengambil gambar saya berlatarbelakangkan ahli-ahli tarian. Saya pun layan...


Tentang isi kitab Mathnawi sila Google sendiri. Harus diberitahu saya sebenarnya takut hendak membacanya dengan penuh faham. Sebabnya setiap kali baca akan timbul rasa kerinduan yang amat sangat terhadap Ilahi sehingga timbul rasa untuk keluar mengembara jauh meninggalkan segala perkara termasuk anak isteri. Kehendak sebegitu sering muncul dalam hidup saya. Cuma sejak 10 tahun kebelakangan ia berlaku pada kadar terkawal yang mana saya boleh berbincang dengan isteri untuk keluar mengembara bersendirian dalam suatu waktu yang tidak berapa lama sehingga mengabaikan tanggungjawab terhadap rumah tangga. Untuk mengakhiri artikel ini biar dikongsikan lirik penuh lagu "Bila Rumi Menari"...



Kita menari bukan sebarang tarian
Asalnya dari tanah orang-orang pilihan
Bila terdengar masnawi ciptaan maulana
Ku bunuh nafsu lebur rantainya dari badan

Hingga hilang bangga diri
Berani hidup berani mati
Bagai musafir bertemu janji
Ini Darwis sudah gila berahi

Kita tak rindu pada siasah dunia
Perangkapnya membuat manusia hampa
Untuk bertemu impian bukan percuma
Mengorbankan yang tersangat kita cinta

Bagai Yunus dimakan paus
Ibrahim tak makan api
Bertemu kekasih di malam kudus
Luka di badan tak terasa lagi
Pukullah rebana jantungku bersyairlah maulana
Aku mabuk hakiki mendengar suaramu

Sayang... pada mereka yang tak mengerti
Sayang... pada hati tertutup mati
Bagai sangkar tanpa penghuni
Burung berharga terlepas lari

Rindu (ya maulana)
Kembali bertemu (ya maulana)
Hatiku merindukan pemiliknya (ya maulana)
Rindu (ya maulana)
Kembali bersatu (ya maulana)
Kembali bersatu dengan yang dikasihi

Rindu (ya maulana)
Kembali bertemu (ya maulana)
Hatiku merindukan pemiliknya (ya maulana)
Rindu (ya maulana)
Kembali bersatu (ya maulana)
Kembali bersatu dengan kekasih



Nota : Baru teringat. Kurang 2 minggu lalu saya masuk ke masjid ISTAC ketika tiada orang lain langsung. Tiba-tiba timbul rasa untuk berpusing lawan arah jam seperti tarian Sufi Mevlevi Rumi. Rasanya dekat 5 minit saya berbuat begitu sebelum berhenti begitu sahaja. Namun ruang dan masjid terasa terus berpusing sehingga saya hilang keseimbangan lalu jatuh terjelepuk ke lantai berpermaidani.

Ternyata saya terlupa tentang cara untuk memulakan tarian seperti pernah diijazahkan lebih 10 tahun lalu. Tetapi saya layan juga kerana muncul desakan tiba-tiba secara spontan. Ketika berbaring selepas jatuh terjelepuk itu ruang dan masjid terus terasa berpusing sebelum ia menjadi perlahan lalu berhenti. Pening rasa mual nak muntah semua ada. Maklumlah manusia biasa. Bukan senang hendak menghilangkan ego 'keakuan' diri.


No comments: