Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Khamis, Oktober 06, 2011

Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia

Alhamdulillah! Dah lewat malam Jumaat ini baru saya dapat berkongsi cerita.

Siang tadi saya sudah terbangun tidur seawal 5.20 pagi. Namun disebabkan baru nak basuh kereta pagi buta kemudian, membuat 'deposit bank' dan entah apa-apa lagi, hampir 7 pagi baru saya dan isteri meninggalkan rumah.




Tempat yang hendak dituju pagi itu iaitu Angkasapuri pula terletak lebih 50 km dari rumah. Dengan kesesakan trafik di merata tempat kami bernasib baik dapat sampai 8 pagi.


Sebenarnya kami sepatutnya sudah sampai 7.30 kerana perlu bersiap sedia untuk rancangan yang bermula 8.15. Apa nak buat? Nasib baik sampai juga. Wartawan penyiaran @ pengacara slot Resensi di Selamat Pagi Malaysia, RTM1 @ novelis terkenal Ramlee Awang Murshid agak bimbang. Katanya sebelum ini pernah berlaku kes penulis tidak muncul untuk ditemu ramah.


Alhamdulillah, pihak RTM memudahkan kerja. Sebaik sahaja sampai di pagar luar saya sudah ditanya apakah saya ini Radzi yang akan ditemu ramah dalam program Resensi pagi itu? Lalu proses mengambil kad keselamatan dipercepatkan, terus diberi sekali pas untuk membawa kereta masuk.


Sampai di bangunan Wisma TV pula sudah ada kaki tangan menunggu di pintu masuk. Terus diiring ke studio lalu disambut Ramlee yang ternyata lega saya dapat muncul sebelum program bermula. Sempat le buat touch up (make up le tu, dalam studio memang kena ni sebab lighting terang)...


Kiranya saya sampai sahaja terus dibawa ke bilik solekan. Tetapi kemudian harus ke tandas. Sekali lagi mereka risau jika saya terlambat. Masuk saja studio terus dipasangkan mike lalu menuju ke meja. Kami cuma ada kira-kira 5 minit untuk berbincang sebelum kamera dihalakan...










Ini adalah video yang dirakam isteri menggunakan kamera kecil saya. Walaupun tadi saya telah ditunjukkan senarai soalan, akhirnya temu ramah berjalan lebih secara spontan. Kalau boleh saya mahu mengaitkan setiap 6 buku terdahulu dengan penulisan buku terbaru, "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" tetapi masa ternyata terhad. Itupun alhamdulillah, sempat juga menyentuh siri trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" sebagai mukadimah yang akan membawa kepada penulisan buku terbaru dan ketujuh...










Ini pula adalah ulasan dan temu ramah seperti kelihatan dalam televisyen. Seronok juga membandingkan keadaan di studio dengan keadaan yang muncul di ruang tamu.



Habis temu ramah, Ramlee yang mahu mengambil cuti panjang untuk mencari idea buku baru masih seronok mahu tahu lagi tentang buku saya.



Tu dia, usung buku keluar set untuk menyambung cerita. Sementara itu sekumpulan penari cilik menunggu giliran muncul.




Perbincangan tentang sejarah juga salasilah dibawa ke bilik rehat VIP sambil minum dan makan pagi.




Isteri saya seronok apabila pelakon Maimon Mutalib atau Kak Mon pun join sekali. Gambar ini diambil selepas saya berbincang dengan beberapa orang RTM. Keluar dari perbincangan tengok-tengok isteri sedang rancak bercerita pasal pampers pulak dengan pengacara Selamat Pagi Malaysia di kanan yang dikenali sebagai Iesya. Apahal? Rupa-rupanya pasal tawaran di kedai 1Malaysia pulak... biasa le orang pompuan.

Hari itu cukup menyeronokkan buat saya. Selain berkongsi cerita dengan mereka-mereka ini ada personaliti lain yang rupanya seronok mahu tumpang sekaki dalam bab sejarah, salasilah dan pencarian diri. Alhamdulillah. Saya cukup bersyukur diberi peluang memperkenalkan buku terbaru saya... lebih seronok lagi apabila Ramlee Awang Murshid yang telah menulis 22 buah novel termasuk beberapa hits rupa-rupanya mengkagumi tulisan saya yang tak seberapa disebabkan buku "Jejak keluarga Yakin...". Dan siapa sangka? Tanpa dipinta dia turut mempromosikan DVD Sekitar Perjanjian Pangkor? Lihat artikel Perjalanan ke Perak: DVD "Sekitar Perjanjian Pangkor 1874" dah siap! yang dibuat 3 tahun lalu. :]



Rabu, Oktober 05, 2011

Sneak peek "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah"

Assalamualaikum semua. Dalam artikel Permulaan baik untuk buku terbaru, "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" yang dibuat Khamis lepas ada disebut bahawa buku ketujuh dan terbaru saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" akan diulas secara langsung dengan saya ditemu ramah dalam program Selamat Pagi Malaysia di RTM1 bermula jam 8.15 pagi Khamis ini iaitu esok 6 Oktober 2011. Artikel itu turut memaparkan video yang direkodkan dari televisyen minggu lepas di mana grafik buku ditunjukkan sebagai pengenalan untuk bacaan yang akan diulas minggu seterusnya. Sudah diberitahu ketika itu buku terbaru saya itu belum betul-betul siap kerana masih diproses di kilang... yang dihantar ke RTM sehingga dapat dijadikan grafik adalah naskah khas yang disediakan dengan tangan. Sekarang sukacita dimaklumkan buku sudah siap sepenuhnya petang semalam dan saya telah mengambil 100 naskah dari kilang untuk jualan awal dan pengenalan.



Inilah bukunya. Saiznya seperti kertas A4, serupa buku keenam saya iaitu "Kereta Api Menuju Destinasi" yang diterbitkan oleh syarikat Karnadaya dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka awal 2011. Formatnya juga sama iaitu dalam bentuk coffee-table book atau buku mewah. Lihat Akhirnya... keretapi pun menuju destinasi.


Namun buku ini lebih tebal dan jauh lebih berisi. Jika "Kereta Api Menuju Destinasi" yang dijual pada harga RM99.90 memiliki 124 mukasurat dengan banyak gambar berwarna dan sedikit teks, buku "Jejak keluarga Yakin..." memiliki 240 mukasurat dengan banyak gambar warna juga hitam putih (kerana ada gambar-gambar lama) serta berganda-ganda banyaknya penerangan terutama yang melibatkan sejarah.


Secara asasnya buku ini adalah tentang keluarga ibu kepada ibu saya yang berasal dari Tanah Jawa dan bagaimana ia boleh berkembang hingga ke hari sekarang. Saya menurut saranan seorang bapa saudara, pakar perbidanan dan sakit puan terkenal negara Dato' Dr Hamid Arshat agar membuat satu buku tentang keluarga moyang saya Haji Yakin atau Tok Yakin yang berhijrah dari Pekalongan di Jawa Tengah mencari kerja di Singapura kemudian berkhidmat di merata tempat di Semenanjung sebelum menetap di Muar.


Namun saya telah mengembangkan cerita untuk meliputi sedikit sejarah Jawa, sejarah penjajahan Belanda dan Inggeris di Alam Melayu, sejarah Singapura, Johor, Muar juga sejarah pembentukan Malaysia kerana terkait juga dengan keluarga.


Malah sejarah yang diketengahkan turut terkait dengan keluarga sesiapa jua anak Melayu atau anak Malaysia yang nenek moyangnya pernah melalui zaman-zaman dari pertengahan abad ke 19. Dan cerita bukan setakat itu. Sambil sejarah dikaitkan dengan keluarga anda boleh melihat gambar-gambar tempat-tempat menarik lama seperti Kota Batu Buruk di Muar di mana Parameswara dikatakan pernah membuka negeri sebelum mendirikan kerajaan Melaka juga Jalan Penarikan, satu laluan darat purba yang pernah digunakan untuk bergerak dari Pantai Barat ke Pantai Timur dan sebaliknya, laluan yang katanya pernah digunakan Hang Tuah ketika membawa lari Tun Teja dari Pahang ke Melaka.


Sejarah tentang Muar turut menyerlahkan keberadaan makam Sultan Alauddin Riayat Shah di Pagoh (memerintah 1477-1488 Masihi) satu-satunya Sultan Melaka yang diketahui dengan sahih makamnya masih wujud di Semenanjung juga Kubu Bentayan yang pernah dijadikan tempat pertahanan terakhir askar Melayu setelah kejatuhan Kota Melaka ke tangan Portugis 1511.


Turut diserlahkan adalah fakta bahawa Muar pernah menjadi negeri yang berdiri sendiri di bawah pemerintahan Temenggung Muar, juga pernah dinaungi Sultan Ali yang kedudukannya kemudian diambil alih oleh Temenggung Johor yang menerbitkan Sultan-sultan Johor sekarang.




Sedikit sejarah Batu Pahat juga ada dan bagaimana ia mendapat nama.


Ada pula cerita Bukit Treh di Muar yang kisahnya seperti cerita Si Tanggang yang kapalnya disumpah menjadi batu. Cerita dikaitkan dengan Hikayat Malim Deman, ada gambar tembok purba di Bukit Treh yang dibuat dari batu karang untuk difikirkan.


Masuk bab tentang saudara mara kami di Singapura, nasib orang Melayu di sana pun disinggung lalu disisipkan sekali bukti dari pihak berwajib pulau itu bahawa hak orang Melayu sepatutnya dilindungi seperti halnya di Malaysia.


Namun seperti umum tahu orang Melayu di Singapura cuma minoriti sahaja, tidak mempunyai banyak kemampuan untuk menentukan polisi negara. Maka itu disentuh tentang istana kerajaan Melayu Singapura di Kampung Gelam yang telah dijadikan muzium, juga stesyen keretapi Tanjung Pagar yang baru sahaja diserahkan kepada kerajaan pulau itu pertengahan 2011. Begitu juga nasib seniman P. Ramlee diperkatakan sebagai lambang keadaan orang Melayu situ...


Dan tentunya kalau dah bercerita tentang nasib orang Melayu di Singapura, tak lengkap kalau tidak disebut tentang kes Natrah, seorang gadis Belanda yang dibela orang Melayu lalu diIslamkan tetapi dimurtadkan atas perintah kerajaan sehingga timbul rusuhan.


Banyak lagi perkara lain disentuh sambil dikaitkan dengan keberadaan keluarga. Misalnya sedikit sejarah Sekolah Tinggi Muar menjadi isi buku kerana pernah menjadi tempat belajar seorang datuk saudara.


Kisah datuk saudara ini turut terkait dengan Peristiwa Bukit Kepong yang menjadi kecoh baru-baru ini akibat cubaan seorang politikus tertentu untuk menafsirkan sejarah ke arah sudut yang agak menjengkelkan... kerana datuk saudara ini pernah menjadi polis zaman itu. Oh! Sejarah gerakan komunis turut dihuraikan untuk membina cerita. Kebetulan seorang datuk saudara lain pernah ditahan di Pulau Sekijang, Singapura selama 3 tahun (seperti tahanan ISA di Kamunting, Perak) kerana terlibat dengan Persatuan Kebangsaan Melayu Malaya atau PKMM (sering disebut Pekemam) yang turut diharamkan oleh pihak berkuasa Inggeris. Ceritanya pun ada dalam buku ini lalu pembaca juga boleh mengenali perjuangan pihak berhaluan kiri.


Turut disebut adalah sejarah ITM (kini UiTM) kerana ramai juga saudara mara kami yang berjaya dalam hidup selepas mendapat peluang belajar di sana terutama anak-anak seorang nenek saudara yang meninggal dunia ketika penulisan buku baru dimulakan hampir ke penghujung 2009.


Kemudian adalah sejarah Bugis terutama golongan bangsawan dan raja-raja kerana kaitan dengan keluarga kami. Selain dari cerita yang biasa diketahui ramai tentang Daeng Lima Bersaudara yang amat terkenal (Daeng Parani, Daeng Merewah, Daeng Menambon, Daeng Chelak dan Daeng Kemasi) pembaca juga akan mengenali beberapa watak bangsawan Bugis yang sebenarnya lebih berkuasa dari 5 nama ini tetapi kurang diwar-warkan.




Salasilah keluarga...


Ada cerita kaitan dengan Wali Songo, sembilan orang wali yang sangat terkenal di Tanah Jawa dahulukala.




Album gambar-gambar lama dengan fakta-fakta ringkas.


Album gambar-gambar baru. Ada terpampang gambar isteri saya bersama mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir dan Raja Muda Perak, Raja Nazrin ketika menghadiri majlis perkahwinan seorang sepupu saya tahun lepas.


Seterusnya ada gambar tempat-tempat menarik di Singapura, Johor Bahru, Batu Pahat dan Muar. Oh, ada juga gambar-gambar sekitar Johor Lama dan sejarah peralihan dari Johor Lama yang merupakan warisan dari zaman Melaka ke Johor Bahru yang merupakan sejarah moden setelah kedatangan Inggeris. Untuk pengetahuan menerbitkan buku mewah bukanlah kerja yang mudah. Selain penulisan dan pilihan gambar banyak lagi kerja perlu dibuat untuk memastikan ia menjadi dan kosnya pula sangat mahal... sehingga sedikit sahaja syarikat yang berani menerbitkannya, rasanya belum ada lagi mana-mana individu yang telah berbuat begitu.

Di sini saya ingin merakamkan sebanyak-banyak terima kasih kepada bapa saudara saya Dato' Dr Hamid Arshat kerana sudi menanggung kos pembikinan buku. Bantuan kewangan inilah yang menjadikan buku ini satu realti. Lagi satu perkara. Esok Khamis pagi jangan lupa. Selamat Pagi Malaysia, RTM1 jam 8.15 pagi, di bawah slot yang dipanggil Resensi. Saksikan saya ditemu ramah mengenai buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" ini. War-warkan kepada semua... :]



Isnin, Oktober 03, 2011

Gulai asam rong punya pasal

OK. Ini adalah artikel pertama untuk aktiviti perjalanan bulan Oktober. Bukan pertama bulan Oktober ya kerana artikel sebelum ini iaitu Mengenang ulasan siri "Berpetualang ke Aceh" dalam majalah dan persediaan untuk siaran langsung dibuat 1 Oktober... tetapi bukan tentang perjalanan malah menggunakan isi majalah dan gambar-gambar lama.


Sabtu 1Oktober 2011, pagi selepas jam 10 kami anak beranak keluar ke negeri Pahang. Sampai ke Bentong singgah di masjid lama bandar.



Niatnya nak ambil gambar untuk dijadikan artikel dalam blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART. Tapi rupanya masjid sudah dijadikan pejabat agama sejak sebulan dua.





Perjalanan pun diteruskan ke Raub...


Terus ke Simpang Kallang untuk menikmati hidangan ikan keli masak gulai asam rong.


Alhamdulillah! Sudah lama kami suami isteri mengidam nak makan hidangan tersebut. Rasanya kali terakhir kami makan adalah hujung tahun lalu. Kemudian kami disibukkan dengan banyak hal lain, sejurus sebelum masuk bulan Ramadhan baru sempat ke Raub tetapi kedai kegemaran kami tutup, begitu juga keadaaanya apabila cuba mencari di kedai-kedai lain.

Sebenarnya hidangan yang cuma boleh didapati di daerah Raub ini ada dijual di bazaar Ramadhan tapi tak syoklah makan bulan puasa. Masuk bulan raya pula seperti biasa kami disibukkan lagi hal-hal. Hujung minggu lepas baru dapat datang dan alhamdulillah semasa sampai tinggal 3 ekor ikan keli, semuanya kami 'sapu'. Di atas adalah gambar ketika mahu pergi ke rumah seorang bapa saudara. Selepas itu bertandang ke rumah seorang sepupu...



Seterusnya kami singgah di masjid Kampung Sempam Baru sebelum menziarahi kubur almarhum Nenek.




Ini adalah gambar keesokan harinya di Janda Baik.




Alhamdulillah juga, di kampung yang lebih hampir ke Kuala Lumpur ini kami dapat menunaikan hajat. Malam sebelumnya sebaik sampai dari Raub kami makan sup tulang special di gerai kegemaran, pagi itu pula nasi lemak di seberang surau tempat kami bermalam sebelum makan pulut sambal hijau di gerai lain. Di atas adalah gambar di satu kawasan perkelahan yang dipanggil Pulau Santap. Nampaknya semakin ramai orang suka bertandang ke Janda Baik.


Selepas itu anak dan isteri menyambung rehat di surau sementara saya berjumpa seorang kawan lama. Kemudian saya masuk ke rumah dan taman penulis buku politik terkenal, Pak Habib atau S.H. Alattas.


Sebenarnya saya malas nak ambil gambar lagi. Tetapi apabila melihat pokok dengan buah-buah seperti kena penyakit untut ini di salah sebuah rumah yang terdapat dalam kawasan rasa tak sah pula kalau tidak merekodkan. :]