Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Jumaat, Mei 24, 2013

Ziarah dan umrah 2013 - Dari Jabal Rahmah ke makam Siti Khadijah hingga jadi botak

Salam. Artikel ini cadangnya mahu dibuat malam Jumaat iaitu semalam. Sebaliknya saya terasa penat dan mengantuk amat, petang tadi baru dapat memulakan proses membuat artikel sokongan di blogspot BERPETUALANG KE ACEH dan SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).   Bersambung dari Ziarah dan umrah 2013 - Umrah kedua yang memakan masa Asar ke Isyaq.


Pagi Isnin 8 April 2013, selepas sarapan jemaah kami pun keluar dari hotel.


Kami menaiki bas yang disediakan untuk membuat lawatan luar...


Ini dimulakan dengan berhenti di satu tempat melihat bukit atau gunung bernama Jabal Thur, tempat Nabi Muhammad SAW dan sahabat baginda, Saidina Abu Bakar pernah menyembunyikan diri dalam gua daripada buruan puak kafir Quraish yang mahu menghalang mereka dari berhijrah ke Madinah.




Seterusnya kami dibawa ke Padang Arafat. Dalam perjalanan boleh kelihatan landasan kereta api untuk kegunaan musim haji.




Kami berhenti berdekatan bukit kecil bernama Jabal Rahmah, tempat Nabi Adam dikatakan bertemu kembali dengan isteri baginda Siti Hawa setelah terpisah lebih 40 tahun. Saya dan isteri pun mengambil peluang untuk memanjat ke puncak.


Bukit ini terkenal sebagai tempat makbul orang berdoa untuk mendapatkan jodoh. Saya yang pernah naik bersendirian 5 tahun lalu sudah lama menyimpan niat membawa isteri naik ke atas. Lihat artikel (The hill called) Jabal Rahmah dan Views from the hill called Jabal Rahmah.


Selepas itu kami menghala ke Mudzalifah dan Mina. Dalam perjalanan kelihatan binaan sistem perairan bertembok daripada zaman lampau.


Di Mina saya mengambil gambar dari beberapa sudut. Lihat Passing through Mina. Saya tak ingat apa sejarah menara dalam gambar ini. Saya cuma ingat ia juga adalah satu binaan lampau penting yang menandakan sesuatu.


Perjalanan diteruskan ke Jiranah, tempat miqat di sebelah timur Mekah. Saya rasa ketika itu semua ahli jemaah memasang niat untuk menunaikan umrah. Lihat Masjid (Mosque of) Jiranah.


Kami kembali ke pusrt kota melalui jalan berdekatan bukit yang dipanggil Jabal Nur.


Dekat puncak bukit ada Gua Hira', tempat Nabi Muhammad SAW mendapat wahyu pertama lalu dilantik menjadi rasul. Saya berhajat untuk membawa isteri naik ke atas bermalam di gua nanti.


Kami sampai ke hotel sekitar 12 tengah hari. Bas tidak menghantar terus ke Masjidil Haram kerana jemaah disarankan makan tengah hari terlebih dahulu. Selepas itu ada yang bergegas ke masjid sementara saya dan isteri memilih untuk berehat di hotel. Masuk waktu Asar baru kami menuju ke masjid melalui satu terowong short-cut. Lihat The tunnel under the Mecca clock tower. Selepas itu kami pun menunaikan umrah.


Apabila selesai kami keluar melalui pintu Marwah lalu berjalan kaki ke utara.


Saya mahu membawa isteri melihat Masjid Jin. Lihat artikel Masjid Jin (Mosque of the Djinns) dan Masjid Jin yang rasmi (The official mosque of Djinns).


Ini diikuti ziarah ke tanah perkuburan utama di Mekah iaitu Ma'ala. Di sini terdapat makam isteri pertama Rasulullah SAW iaitu Siti Khadijah. Lihat Tanah perkuburan (The burial ground of) Ma'ala dan Makam (Tomb of) Siti Khadijah.

Satu cerita menarik di Ma'ala adalah kami ditahan dua orang berpakaian seragam, tak pasti polis atau pengawal keselamatan tanah perkuburan. Ini kerana kami masuk melalui lubang tembok short cut... kami tidak dapat menemui pintu masuk sebenar. Dan lagi orang perempuan sebenarnya dilarang masuk ke tanah perkuburan. Nasib baik seorang daripada mereka bermuka Melayu dan tahu bercakap Melayu. Kedengaran dari loghatnya seperti berasal dari Kelantan. Isteri cuma diminta keluar balik melalui lubang tadi sementara saya dibenarkan terus masuk ke tanah perkuburan. Kalau tak risau juga kalau kena masuk lokap...

Baru sahaja saya menyambung langkah berhenti sebuah kereta besar. Pemandunya seorang doktor berbangsa Afrika seperti sudah tahu saya mahu ke makam Siti Khadijah lalu mengajak naik. Makam itu terletak di atas bukit. Alhamdulillah, jimat juga tenaga. Selain itu beliau dapat menunjukkan kedudukan tepat makam yang tidak ditanda melalui satu bahagian tembok tepi yang memberikan pemandangan tidak terhalang.

Dari Ma'ala kami mengorak langkah kembali ke Masjidil Haram. Dalam perjalanan tergerak untuk singgah di sebuah masjid berhadapan Masjid Jin. Lihat Masjid (Mosque of) Syajarah. Selepas itu isteri tiba-tiba mengajak saya membuat satu lagi umrah. Kami pun mendapatkan teksi untuk ke masjid di atas, Masjid Taneem atau Tan'im, tempat terdekat untuk miqat.
.

Kami memulakan umrah hampir jam 10.30 malam. Umrah yang merupakan kali keempat dibuat kami suami isteri ini tamat lebih kurang 2 jam kemudian.


Saya mengajak isteri berehat dan tidur di paras dua masjid. Menariknya Masjidil Haram ni kita boleh bersama isteri pergi ke mana-mana bahagian. Kami tidur sebelah menyebelah berkongsi satu beg sebagai bantal pun tiada orang melarang. Cuma waktu solat sahaja harus berpisah ke kawasan laki-laki dan perempuan.


Sekitar jam 3.45 saya terbangun lalu tergerak untuk naik ke paras ketiga, paras paling atas.


Semasa kali pertama menunaikan umrah tahun 2005 saya tidak berpeluang naik ke atas kerana pintunya ditutup. Saya pun melihat pemandangan sekeliling puas-puas. Lihat Views from the top floor of Masjidil Haram.

Setelah beberapa ketika timbul rasa untuk ke bawah mencium Hajarul Aswad. Saya membiarkan isteri tidur kerana tidak mahu menganggu. Hari sebelumnya iaitu siang Ahad saya pernah cuba membawa isteri mendekati batu suci dari syurga itu. Tetapi kami setakat dapat sampai paling dekat pun tinggal satu orang di hadapan sebelum ditolak balik ke belakang. 

Apabila isteri tidak lagi dapat tahan bersesak-sesak saya pun mencuba sendirian. Namun saya pun setakat dapat memegang Hajarul Aswad, tidak sempat mengucupnya kerana terasa amat berat ditekan dan ditolak orang. Sungguh, dalam keadaan demam batuk selsema yang melanda diri sejak di Madinah hampir seminggu sebelumnya saya terasa kekuatan untuk menembusi lautan orang demi mencium Hajarul Aswad amatlah kurang. Sungguh ketika itu saya terasa semakin berumur, kurang lasak bertahan dengan gelagat kasar perebutan orang yang terasa semakin ramai. 

Dahulu, tahun 2005 saya dapat mencium Hajarul Aswad 11 kali. Kali ini saya berniat dalam hati dapat sekali pun cukuplah. Awal pagi itu, pagi Selasa Allah pun memberi saya peluang mengucupnya. Punyalah terasa suka dan syukur saya tidak berdoa apa-apap tetapi setakat mengucap alhamdulillah 3 kali. 


Untuk pengetahuan itulah satu-satu kalinya saya dapat mengucup Hajarul Aswad untuk tahun 2013. Isteri saya pula berpeluang menyentuhnya tapi pada hari lain. Sejurus sebelum masuk waktu Subuh kami dikejutkan agar bersedia untuk bersolat jemaah. Ketika itulah baru kami berpisah tempat.


Selepas solat baru kami mengorak langkah kembali ke hotel.


Dalam perjalanan singgah di sebuah kedai gunting rambut .


Sejak beberapa hari itu saya memang menyimpan niat untuk membotakkan kepala. Cuma fikir saya biar setelah membuat umrah terakhir mungkin hari Rabu atau Khamis? Namun awal pagi Selasa itu saya terasa cukup puas dengan empat umrah yang sudah dibuat ditambah kucupan Hajarul Aswad. Gugurlah rambut panjang yang sudah menghiasi kepala ini buat beberapa lama. Harap gugur juga segala macam dosa, penyakit dan perkara yang tidak baik...


Selasa, Mei 21, 2013

Ziarah dan umrah 2013 - Umrah kedua yang memakan masa Asar ke Isyaq

Alhamdulillah, hari ini 21 Mei genaplah 40 hari saya dan isteri meninggalkan Tanah Suci Mekah iaitu pada 11 April. Kata orang aura dari Mekah akan terus melekat selama tempoh itu. Tapi oleh kerana kami berlepas untuk ke Jeddah pada malamnya iaitu malam Jumaat, maka menurut perkiraan Islam tempoh 40 hari ini harus bertahan sehingga siang sebelum Maghrib 22 Mei. Apapun bersambung cerita dari Ziarah dan umrah 2013 - Memulakan ibadah umrah di Mekah.


Tengah hari Ahad 7 April 2013 baru kami mengorak langkah untuk menuju lagi ke Masjidil Haram. Sempat singgah di sebuah masjid kecil dalam perjalanan. Lihat artikel Masjid (Mosque of) Al-Hijrah, Mekah (Mecca) di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).


Malam sebelumnya kami tamat umrah pertama agak lewat, hampir 2.30 pagi. Selepas jam 3 baru kembali ke hotel untuk berehat. Sambil berjalan kami memerhatikan perkembangan pesat Mekah. Bangunan pencakar langit yang dikenali sebagai Menara Jam Mekah kelihatan seperti sentiasa mengintai pergerakan setiap orang. Dengan ketinggian mencapai 601 meter, sekitar 150 meter lebih tinggi daripada Menara Berkembar KLCC di Kuala Lumpur ia adalah bangunan kedua tertinggi di dunia iaitu selepas Burj-Khalifah di Dubai yang hampir 2 kali tinggi daripada Menara KLCC.


Masjidil Haram terletak 1 km dari hotel. Maka itu kami solat Subuh di hotel sahaja kemudian sambung berehat sehingga masuk waktu makan tengah hari, barulah keluar. Kalau nak keluar awal kemudian kembali ke hotel untuk makan kemudian balik lagi masjid kami rasa tak berapa larat. Bukan sahaja penat buat umrah malam sebelumnya masih terasa malah penat asyik berjalan kaki jauh setiap hari di Madinah pun tak surut lagi.


Ditambah keadaan kami yang masih dilanda demam batuk selesema, juga dari Madinah, kami harus pandai membahagikan masa agar dapat melaksanakan sebanyak perkara yang mungkin dengan kudrat yang tidak seberapa.


Boleh kata di merata Mekah ada sahaja bangunan baru sedang dibina atau bangunan lama diperbaiki...


Hari ini saya ingin mengambil peluang mengambil sebanyak mungkin gambar di sekitar dan dalam Masjidil Haram.


Alhamdulillah, seperti di Masjid Nabawi kami tidak menghadapi masalah membawa kamera masuk. Hasilnya turut dikongsi pada blogspot BERPETUALANG KE ACEH . Lihat artikel-artikel berikut...







Kami mengambil masa berdoa dan bermunajat di beberapa tempat terutama dalam kawasan Hijr Ismail. Dikatakan bahawa ia adalah sebahagian dari Ka'abah. Maka berada di dalam lingkungan Hijr Ismail adalah sama seperti berada di dalam Baitullah.


Suami isteri sama-sama memegang dinding Ka'abah sebagai tanda kasih sayang dan pengabdian bersama menghadapi segala cabaran hidup.


Oh. Walaupun kami tidak menunaikan umrah ketika itu, saya berpakaian ihram kerana mahu menunaikan ibadah tersebut kemudian... tak perlulah kembali ke hotel yang terletak agak jauh untuk menukar pakaian.


Oh. Kami berjalan-jalan di sekitar Ka'abah tadi selepas menunaikan solat Zuhur berjemaah. Kemudian kami masuk ke kawasan sa'ie lalu menuju ke penghujung utara iaitu di Bukit Marwah.


Di situ terdapat satu-satunya pintu keluar sepanjang kawasan sa'ei. Semua pintu lain termasuk pintu terkenal dan paling afdhal untuk memasuki Masjidil Haram iaitu pintu Babussalam ditutup kerana kerja-kerja renovasi.


Kami mahu menziarahi tempat kelahiran Nabi Muhammad SAW yang terletak kira-kira 300 meter ke timur pintu Marwah. Namun entah kenapa kerajaan Arab Saudi mahu menafikannya sehingga sanggup menyatakan tidak ada bukti Rasullullah SAW pernah menjejakkan kaki di sini. Bangunan yang ada telah dijadikan perpustakaan tetapi amat jarang dibuka. Lihat Rumah tempat Nabi Muhammad SAW dilahirkan (The house where Prophet Muhammad SAW was born at).  Alhamdulillah saya pernah diberi peluang masuk ke dalam 8 tahun lalu.


Dari tepian jalan besar berdekatan kami mendapat teksi untuk ke suatu tempat penting, berkongsi dengan beberapa orang lain.


Kami semua mahu ke tempat miqat terdekat dari kota Mekah iaitu di Masjid Taneem. Untuk menunaikan umrah kita harus keluar dari lingkungan Tanah Haram dahulu lalu pergi ke tempat miqat memasang niat. Lihat Masjid (Mosque of) Taneem.


Selepas solat Asar baru kembali ke Masjidil Haram. Masuk melalui pintu di Marwah juga tetapi mengikut laluan terus ke tingkat atas.


Dari Marwah kami mengikut laluan sa'ei hingga ke Bukit Safa. Dari tingkat atas kita dapat melihat puncak bukit dengan lebih jelas. Puncak ini telah ditutup kepada awam sejak beberapa tahun lalu. Alhamdulillah, pada ziarah dan umrah tahun 2005 saya sempat berkali-kali memanjat sehingga ke bahagian paling atas.


Tingkat atas ini adalah paras kedua atau paras tengah. Ada satu paras lagi di atas, paras tidak berbumbung tapi rasa lebih selesa duduk di sini kerana pemandangan ke luar cukup cantik dan kami terlindung dari matahari. Lihat Views from second level of Masjidil Haram.


Isteri mengajak berehat lama kerana menunggu matahari kurang terik. Lewat petang baru kami turun untuk memulakan tawaf. Akibatnya kami mengambil masa yang agak panjang untuk menyelesaikan umrah. Bayangkan ketika hampir selesai pusingan ke 5 atau ke-6 azan Maghrib pun berkumandang. Tinggal lagi setengah pusingan ke suku pusingan sahaja kami dihalang petugas masjid daripada meneruskan tawaf. 

Kami dipaksa masuk saf untuk bersolat. Dengan itu pusingan terakhir kami pun batal dan kami harus menunggu lagi 10-15 minit untuk solat berjemaah dimulakan. Selesai solat baru boleh menyambung tawaf. Kena patah balik dahulu ke garisan yang menghadap Hajarul Aswad sebelum dapat menyelesaikan satu pusingan yang saya kira memakan jarak purata 200 meter, taklah jauh sangat. Tapi bila perlu berhimpit dengan berpuluh ribu orang sambil membaca doa-doa yang perlu ia boleh memakan banyak masa.


Selepas itu baru dapat dimulakan sa'ei iaitu jalan berulang 7 kali antara Safa dan Marwah. Sampai ulangan ke 4 atau 5 tak salah berkumandang pula azan Isyaq. Beberapa lama selepas Isyaq barulah umrah dapat diselesaikan. Kami mengambil peluang untuk berehat lama di atas batu-batu yang merupakan puncak bukit Marwah. Lihat Puncak bukit (Summit of the hill of) Marwah.


Dekat 9.30 malam baru keluar dari Masjidil Haram. Tergerak pula untuk masuk ke bangunan bahagian bawah Menara Jam Mekah.


Ternyata ada kompleks membeli-belah yang sangat besar...


Kalau diberi peluang ingin sekali kami naik sampai ke puncak menara jam. Tapi disebabkan kawalan ketat, kami setakat dapat naik sampai ke tingkat 17 kalau tak salah ingatan.