Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Ahad, Mac 30, 2008

Berjalan ke Makam Chondong... Satu ulang-tayang filem di alam arwah?

Dalam artikel bertajuk Salam daripada Kuantan, Pahang! Membuat "ulang-tayang" preview di alam arwah? , posting pertama di mana-mana blogspot saya sejak memulakan perjalan terbaru ke Pantai Timur lebih seminggu lalu, saya telah menyebut tentang berlakunya satu pengalaman yang menakutkan di Pekan... Apakah pengalaman itu? Inilah ceritanya... Mari! :]


Artikel bertajuk A look at the Pahang river estuary and what's around... The southern part that is... di blogspot BERPETUALANG KE ACEH yang siap dibuat sekitar setengah jam tadi berakhir dengan saya meninggalkan selekoh jalan besar dari Pekan menghala ke Rompin, di mana terdapat jalan kecil untuk ke Tanjung Agas iaitu suatu tempat di bahagian selatan kuala Sungai Pahang. Selepas itu saya kembali ke bandar Pekan lalu mengambil bilik di sebuah hotel murah.

Setelah berehat sejenak, saya pun memulakan sedikit perjalanan selagi matahari masih ada. Ketika itu sudah hampir jam 7 petang.... Saya mahu berjalan-jalan di sekitar Pekan dan seperti biasa, mahu menurut gerak hati di mana ia akan membawa pergi...

Gambar di atas diambil sebaik sahaja keluar daripada hotel. Hotel murah itu terletak di bahagian bandar Pekan yang boleh dikira buruk dan lama, masih lagi dengan rumah-rumah kedai kayu bercampur sedikit batu kerana saya lebih sukakan bangunan-bangunan lama apalagi yang dibuat daripada kayu...


Seterusnya saya menghala ke pesisiran Sungai Pahang...


Tetapi Sungai Pahang terletak sekitar 50m lagi di sebalik bangunan putih yang kelihatan di gambar ini sedangkan antara jalan dan bangunan itu, terdapat sebuah sungai lain (kalau tak salah ingatan, namanya Sungai Parit!) yang sebahagiannya selari dengan Sungai Pahang sebelum airnya masuk ke sungai itu...

Saya menoleh ke belakang sebentar... Kelihatan satu barisan rumah kedai yang membentuk sebahagian bandar Pekan yang lebih lama... Memang saya lebih sukakan senario sebegini berbanding bangunan-bangunan moden terutama apabila pergi keluar mengembara...


Saya terus berjalan kaki menyusuri jalan ini... Kelihatan Masjid Abdullah (berwarna putih) yang tidak lagi digunakan... Di belakangnya adalah Masjid Abu Bakar yang menjadi masjid jamek Pekan.

Di sini, saya mula terasa semacam... Tiba-tiba baru saya sedar, jalan yang diambil serta bangunan-bangunan yang kelihatan berserta warna sekeliling yang mula kelihatan sedikit kelam kerana hampir masuk waktu Maghrib terasa pernah dialami suatu masa dahulu... Tetapi bila ya? Seingat saya, ini adalah kali ke 3 saya ke Pekan...

Kali pertama adalah hampir penghujung tahun 1997, ketika mengembara secara solo menaiki motosikal besar mengelilingi Semenanjung selama satu setengah bulan, kali kedua pula semasa masih berkhidmat sebagai wartawan di akhbar The New Straits Times... Semasa itu, tahun 2000 atau 2001, saya sudah menjadi wartawan sukan dan sedang meliputi acara sukan lumba basikal menjelajah Malaysia yang dianjurkan pihak polis atau PDRM dan satu bahagian acara itu dimulakan di Pekan...

Yang pasti, dalam kedua-kedua lawatan ke Pekan, saya tidak pernah berjalan kaki melalui kawasan ini... Kalau naik motosikal (ketika mengembara secara solo) atau menaiki van (ketika meliputi acara lumba basikal) mungkin pernah, itupun tak pasti apakah lalu di situ atau ikut jalan lain!


Masjid Abdullah... Kelihatan di latar-belakang kiri sebahagian Masjid Abu Bakar...


Sampai ke Masjid Abdullah, saya tergerak untuk membelok kiri... Di sisi dan belakang masjid ini (iaitu kawasan antara Masjid Abdullah dan Masjid Abu Bakar) terletak kawasan permakaman keluarga diraja Pahang sekarang...

Saya baru sahaja melepasi kawasan ini sekitar 10 tapak... Tiba-tiba datang seorang pakcik menaiki motosikal menegur saya hendak ke mana...

Pakcik itu kelihatan amat peramah. Saya menjawab setakat berjalan-jalan sahaja... Dalam hati saya ada niat mahu ke Makam Chondong tetapi ketika itu hari sudah mula gelap dan azan Maghrib sudah pun berkumandang... Lalu saya sebenarnya masuk ke jalan itu dengan niat untuk berpatah balik kembali ke hotel.

Pakcik itu tersenyum. Katanya, Makan Chondong sudah tidak begitu jauh daripada situ... Katanya lagi, bila-bila masa nanti datanglah menjenguk di tempatnya untuk berbual-bual... Saya tidak ingat di mana tetapi katanya dia bekerja menjaga sebuah bangunan berdekatan...


Peta ringkas bandar Pekan yang sempat saya ambil dengan saki-baki cahaya selepas Maghrib. Peta ini terletak di jalan besar keluar Pekan untuk menghala ke Kuantan yang saya temui setelah habis menyusuri jalan tadi.

Kalau saya berjalan ke kanan gambar ini, saya akan sampai kembali ke bandar Pekan. Tetapi disebabkan teguran pakcik itu, saya membuat keputusan untuk berjalan ke kiri mencari Makam Chondong...

Oh, apa itu Makam Chondong? Sebenarnya ia sebuah kawasan pemakaman lama di Pekan yang ada menggunakan batu-batu nesan Aceh... Tetapi saya belum pernah sampai lagi ke sana sedangkan ramai orang tahu betapa saya ini amat suka menziarahi makam-makam lama yang ada menggunakan batu nesan jenis ini. Sebab minat ini mula timbul semenjak saya "terpanggil" untuk menyusuri salasilah dan wasilah keluarga bermula penghujung 2001 sedangkan lawatan-lawatan saya ke Pekan yang lepas dibuat sebelum itu...


Ini adalah gambar kawasan serambi hotel murah tempat saya menginap, diambil keesokannya iaitu hari Sabtu. Kenapa saya tunjukkan di sini? Kerana sebagai tanda bahawa penceritaan selepas ini harus menggunakan gambar-gambar yang diambil tengahari itu...

Sebabnya, kamera digital murah saya tidak dapat menangkap gambar malam dengan elok. Maka itu di sini saya akan membuat proses penceritaan berlapis iaitu apa yang berlaku pada waktu malam dipadankan dengan gambar-gambar yang diambil ketika sekali lagi menziarahi Makam Chondong pada waktu siang hari pula! Sila... :]


Cuma perjalanan siang itu dimulakan daripada bahagian lain iaitu terus menghala ke jalan utama ke Kuantan... Selepas melepasi sebuah dataran, kelihatanlah dewan ini...

Oh... Semasa meliputi acara sukan lumba basikal dahulu (rasanya tahun 2000, bukan 2001 kerana tahun 2001 saya mula menghadapi pelbagai masalah di tempat kerja yang berkaitan dengan politik pejabat sehingga hasil kerja saya banyak yang diperapkan oleh golongan tertentu), untuk bahagian Pekan, ia bermula di sekitar hadapan dewan ini. Kebetulan semasa saya lalu di sini lebih seminggu lalu, ada pula acara lain baru tamat di dewan ini... Rupa-rupanya Timbalan Perdana Menteri Datuk Najib baru selesai menghadiri satu acara...


Saya terus menyusuri jalan utama ke Kuantan sehingga berjumpa kembali barisan rumah-kedai kayu yang katanya termasuk dalam kawasan bandar Pekan lama, bahagian yang lebih lama daripada kawasan hotel tempat saya menginap!

Untuk pengetahuan, jalan yang selari dengan rumah kedai ini membawa ke Masjid Abdullah. Inilah jalan yang dilalui sehingga saya bertemu seorang pakcik yang menegur... Maka di sini, kita mula menyusuri kembali jalan yang ambil waktu malam itu...


Inilah dia jalan masuk yang diambil iaitu jalan menghala ke istana dan kelab polo... Tiba-tiba kamera digital saya menunjukkan amaran habis bateri... Alamak, bagaimana ini sedangkan saya perlu merekodkan cerita?

Nak tak nak saya terpaksa mencari kedai makan di mana saya boleh menumpang mengecas bateri. Oh... Untuk makluman, kali ini saya berjalan dengan membawa segala barangan dalam beg haversack besar kerana mahu terus meninggalkan Pekan, bukan seperti pada waktu malam di mana beg besar ditinggalkan di hotel...

Berdasarkan perjalanan waktu malam, saya tahu di hadapan masuk jalan ini tidak terdapat apa-apa kedai makan. Nak tak nak saya terpaksa berpatah balik, sekitar 300 meter begitu baru terjumpa kedai makan yang dibuka... Elok juga itu kerana saya pun sebenarnya belum makan apa-apa siang itu... Dapat juga berehat sebentar dalam kepanasan terik tengahari itu sementara menunggu bateri dicas...


Tidak lama kemudian terdengar azan Zuhur berkemundang. Apabila saya menyebut ingin ke masjid seorang pelanggan kedai yang juga mahu ke sana sedia menumpangkan...

Agaknya saya perlu bersolat di Masjid Abu Bakar ini kot sebelum dapat ke Makam Chondong? Lagipun sebaik sahaja selesai hal di makam, saya merancang untuk pergi terus ke Kuantan... Tidak seperti di malam hari sebelum itu di mana selepas menziarahi makam Chondong saya memang ingin kembali semula ke Pekan lalu dalam perjalanan kembali itu sempatlah bersolat Maghrib sendirian kemudian Isyak berjemaah di masjid ini...


Kemudian saya menghala semula ke Makam Chondong... Jalan masuk ke istana dan kelab polo tadi terletak menghampiri pintu gerbang di tengah gambar.

Oh... Berdekatan kereta Proton putih di kanan itu ialah sebuah kedai makan... Pada malam selepas menziarahi Makam Chondong saya telah singgah untuk makan malam di kedai itu lalu mendapati pengalaman "menakutkan" yang berlaku masih terus berjalan...


OK... Ini adalah gambar yang diambil setelah hampir 100 meter memasuki jalan ke istana dan kelab polo...


Kelihatan bangunan ini, kalau tak salah ingatan bangunan jabatan Islam begitu...


Ada sungai kecil ini, namanya Sungai Panchor... Sama namanya dengan sebuah sungai berdekatan Kota Tinggi di mana pernah berdirinya istana-istana Raja Johor dahulukala, sama juga nama dengan sebuah tempat di Muar... Rasanya ada sungai dengan nama serupa sekali juga di sana... Dan sekali lagi, berkaitan juga dengan raja-raja Melayu lama!


Sedikit ke hadapan, kelihatan kawasan bertembok ini yang agak terserlah. Maaf kerana gambar ini senget... Ini biasanya berlaku apabila saya menggerakkan tangan semasa mengambil gambar, samada sengaja atau tidak... Maklumlah, kamera digital murah, tidak ada stabiliser...

OK... Pada tahap penceritaan ini, eloklah diberitahu dan ditekankan sekali lagi bahawa dalam perjalanan ke Makam Chondong yang dimulakan hampir waktu Maghrib malam sebelumnya, telah berlaku suatu rasa ganjil sebaik sahaja kelihatan Masjid Abdullah. Selepas itu, segala laluan yang dibuat dan apa yang kelihatan terasa pernah dilihat suatu masa dahulu, entah bila... Cuma bahagian bertemu pakcik itu yang saya tak ingat apakah pernah dilihat dahulu... Tetapi apabila meninggalkan pakcik itu kemudian berjalan menghala ke Makam Chondong, apa yang berlaku adalah seolah-olah menonton sebuah video hidup yang ceritanya terputus sebentar kemudian disambung kembali sebaiknya membuat keputusan untuk pergi ke Makam Chondong malam itu juga!

Adapun saya percaya ramai pembaca yang mengenali atau pernah mengikuti penulisan saya tentu tahu betapa saya ini selalu mengalami deja vu iaitu perasaan telah menonton sesuatu yang berlaku, tempat, rupa orang, perbualan, peristiwa dan apa sahaja suatu masa dahulu. Selalunya apa yang berlaku itu dapat dikaitkan samada dengan mimpi-mimpi ataupun bayangan (ibarat mimpi di siang hari ketika terjaga) yang pernah berlaku terlebih dahulu... Tetapi kali ini, segala yang dilihat ini bukan lagi dirasa pernah dilihat dalam mimpi atau bayangan sebaliknya terasa seperti pernah dilihat dalam satu kehidupan yang "lain"....

Oh... Di simpang ini pada waktu malam, saya terserempak seorang pemuda menaiki motosikal sedang keluar ke jalan besar... Saya pun bertanyakan arah untuk Makam Chondong...

Dia menyebutkan arah jalan kemudian menyatakan saya akan sampai sebuah simpang di mana terdapat pokok Mentega (ke Mentiga? Pakai Mentega aje le, lagi kaw kaw, hehe!)... Terus darah saya berderau semacam... Allah! Semua ini, perbualan ini, apa yang disebut, dilihat dan dialami memang pernah dirasai dahulu... Tetapi kali ini terasa menakutkan, terasa semacam amat!

Adapun pengalaman deja vu sudah jadi permainan terlalu biasa buat saya sejak zaman kanak-kanak. Tetapi sejak perjalanan ke Johor yang dibuat 2 bulan lalu, baru saya terasa deja vu saya semakin tajam, hampir tiap-tiap hari saya deja vu dan apa yang dilihat semakin terang...

Apapun, rasanya paling lama saya deja vu sebelum itu adalah 15 minit... Di Pekan malam itu pula, semenjak berjalan kaki lalu terlihat Masjid Abdullah sehinggalah sampai ke simpang ini, saya telah mengalami sesuatu yang hampir sama dengan 30 minit deja vu tetapi jauh lebih tajam!

Pengalaman baru ini terasa mula menakutkan kerana selalunya bila mengalami deja vu, saya dapat mengaitkannya dengan sesuatu mimpi atau bayangan yang berlaku dahulu... Tetapi kali ini apa yang dilihat seolah-olah ulang-tayang sesuatu yang berlaku di alam arwah, iaitu sebelum roh ini turun memasuki tubuh kasar di muka-bumi ini! Bagaimana mahu menerangkan ini? Apakah aku sudah gila?


Setelah melepasi sebuah selekoh, kelihatanlah pohon Mentega yang dimaksudkan (di tengah gambar). Di sini saya perlu mengambil sebuah lorong ke kanan...

Bayangkan perjalanan ini dibuat pada waktu malam yang sunyi, cuma ada sedikit lampu kuning jalan... Itulah yang berlaku malam itu dan segala yang dilihat semuanya timbul sebagai ulang-tayang sesuatu yang pernah berlaku lama dahulu!

Sedangkan berjalan seorang diri begini dalam kegelapan pun sudah cukup menakutkan, bayangkan pula diri saya berjalan dan "menonton kembali" segala ini... Allah! Berderau darah saya setiap kali memikirkannya!


Tidak lama kemudian, kelihatanlah jambatan ini menyeberangi sungai, Sungai Panchor tadi! Nampak tak bangunan berwarna hijau di hadapan sana?


Di hadapan bangunan yang merupakan sebuah surau tinggal itu, terletak sebuah tanah tinggi dengan bangunan makam ini. Kalau hendak tahu, inilah dia Makam Chondong yang dicari... Seluruh kawasan ini dipenuhi tanah perkuburan, rumah yang paling dekat pun lebih 100 meter daripada sini...

Bayangkan duduk seorang diri di kawasan perkuburan ini, di kawasan pemakaman raja-raja lama lagi... Sedangkan pada waktu siang pun kebanyakan orang tidak berani duduk di kawasan perkuburan, inikan lagi di kawasan perkuburan raja yang ada daulat tertentu... Kalau tak kena cara, ada lah kena bahananya... Dan ini boleh berlaku pada siang hari!

Bayangkan, dalam kegelapan malam yang cuma disinari sebatang dua lampu jalanan kuning yang kelam... Bayangkan segala yang berlaku sehingga anda membelek-belek batu-batu nesan Aceh dan duduk di celah-celah memikirkan apa yang berlaku berjalan dalam keadaan auto... bukan auta ya. Anda bukan berfikir untuk membuat apa-apa tetapi sekadar mengalami sesuatu, sepertimana ada menonton suatu tayangan gambar dan tiada apapun yang anda boleh buat untuk mengubah jalan ceritanya... Anda cuma mampu menonton sahaja! Bayangkan segalanya pernah dialami dahulu, saling tak ubah seperti satu tayangan yang pernah berlaku di alam arwah...

Bayangkan... Kalau orang tak faham, mesti mereka akan tuduh saya bukan-bukan... Sebab itu saya selalu cakap, kalau nak tahu, sekurang-kurangnya cubalah dulu keluar 3 hari mengembara tempat orang seorang diri dengan menyerahkan diri 100 peratus pada Qada dan Qadar... Ini tidak, pengalaman tidak ada ataupun kurang tetapi nafsu besar, cakap sentiasa nak menang... Mahu mengulas dan menghukum pengalaman orang lain sedangkan diri itu yang sebenarnya buta tidak dapat melihat hakikat kehidupan... Sesungguhnya tidak akan sama setakat bercerita ilmu agama dan Tasawuf yang tinggi-tinggi tunjuk pandai kat semua orang lebih-lebih on-line dengan orang yang sudah betul-betul merasa dan sanggup mengambil risiko nyawa!

Apapun, apa yang berlaku memang menakutkan! Masyaallah... Semasa itu saya terasa bagai nak gila! Apa ini? Apa hidup aku ini? Kenapa selalu jadi macam ini? Mana tak terasa nak gila... Jika selama ini, saya dapat "melihat masa hadapan" dengan deja vu yang paling panjang pun 15 minit, tetapi pada malam itu, saya bukan setakat deja vu lagi... Saya telah melihat sesuatu yang telah berlaku lama dahulu dengan segala detail nya dan apa yang saya lihat sudah melepasi 1 jam waktu "ulang-tayang"...

Sekali lagi ingin ditekankan... Mungkin ada orang yang pernah mengalami ini ketika dalam suluk. Tetapi itu dalam suluk yang selalunya dalam pengawasan guru dan menurut petua... Berbeza keadaannya dengan sedang berjalan luar sana, tiba-tiba tenggelam dalam makna sebenar Syahid ataupun penyaksian...

Kalau di makam pun boleh jadi gila kerana keadaan ini, bayangkan bagaimana mahu menghadapi hal sebegini yang berlanjutan sedangkan malam itu selepas meninggalkan makam kemudian makan di kedai makan yang disebut awal tadi seterusnya bersolat di Masjid Abu Bakar pun masih begitu keadaannya!

Di makam sendiri, saya sudah rasa tak tahan sehingga terpaksa menalifon seorang teman lalu menyatakan apa yang dirasa. Sebenarnya saya teringin hendak beritahu ibu bapa tetapi takut mereka susah hati.... Rasanya teman ini lebih memahami. Alhamdulillah, barulah sedikit lega dan dapat menghadapi "ulang-tayang" seterusnya dengan lebih tenang...

Apapun, rasanya sampai sini sahaja cerita ini ya... Satu cerita bergambar tentang Makam Chondong akan dibuat di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) , Insyaallah sebentar lagi... Jika ada masa ya, tak dapat janji... Apapun silalah jengok nanti! :]

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Assslamualaikum saudara Radzi, sudah hampir benar dgn kampung halaman suami saya iaitu Kg Pdg Buluh. Rumah datuknya terletak di sebelah Sg Panchor. Datuknya dikatakan berketurunan Pengiran Bagauddin dr Brunei, manakala arwah neneknya berketurunan Raja Haji Fisabilillah. Wallahua'lam.