Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Khamis, November 15, 2018

Batu Bersurat Terengganu - Pentarikhan 708 Hijrah dan kritikan-kritikan berkenaan

Salam 7 Rabi'ulawal. Salam bulan kelahiran junjungan besar kita, Nabi Muhammad SAW. Adapun dalam tempoh dua hari kebelakangan ini terdapat 3 acara ilmu menarik telah diadakan di sekitar Lembah Kelang. Pagi Isnin 13 November berlangsung wacana tentang Hang Tuah di Dewan Bahasa dan Pustaka, pagi Selasa 14 Nov ada majlis akademik tentang keris dan busana di Muzium Negara. Petangnya pula diadakan wacana yang katanya agak kontroversi kerana melibatkan teguran orang Melayu terhadap dakwaan-dakwaan segelintir rakyat Malaysia berbangsa Tamil yang sibuk mencanang cerita kononnya segala macam tinggalan penting sejarah di sini seperti tapak purba perusahaan besi di Sungai Batu, Kedah adalah milik nenek moyang mereka yang telah bertapak di sini sejak ribuan tahun lampau. Teguran itu bersifat wacana akademik tentang sejarah kedatangan etnik-etnik bukan Melayu ke Tanah Melayu yang diadakan di ATMA, Institut Alam dan Tamadun Melayu di UKM (Universiti Kebangsaan Melayu). Tetapi tetap puak-puak chauvinist Tamil supremacist mahu melalak walau berdasarkan emosi semata, tanpa dasar ilmu yang benar dan kukuh. 

Sayangnya saya tidak dapat hadir ke mana-mana majlis tersebut kerana kesibukan harus menyelesaikan beberapa kerja 'sekolah'. Ahad lalu dari jam 5 petang saya 'pulun' menyiapkan satu assignment, jam 11.30 pagi Isnin baru siap sehingga mengabaikan tidur dan rehat. Petang itu dah nak kena serah. Jam 2.30 petang, selepas menghantar seorang anak ke sekolah agama, seorang lagi anak ke pejabat ibunya di Rawang saya berkejar ke tempat pengajian di Bukit Tunku (rujuk Sedikit perkongsian setelah sebulan setengah menyambung pengajian di ISTAC) untuk dua kelas sehingga malam. Selasa semalam terasa penat ya amat tetapi tetap berkejar ke kelas petang hingga malam. Sambil itu  ada satu lagi assignment harus disiapkan untuk diserahkan pada petang Khamis iaitu hari ini. 

Semalam jam 11 malam setelah kembali dari kelas dan melakukan satu dua urusan baru dapat gerak, ilham dan kekuatan untuk memulakan. Alhamdulillah kerja dapat disiapkan jam 10 pagi tadi lalu baru dapat tidur barang sejam dua sebelum bangun kerana mahu mengambil anak dari sekolah rendah. Adapun yang diserahkan petang semalam adalah karangan akademik tentang 'pengIslaman' ilmu pengetahuan di Aceh sepanjang hampir 6,000 perkataan disertakan lebih 20 sumber rujukan. Yang siap pagi tadi adalah sorotan literatur (literature review) untuk cadangan tesis (thesis proposal). Panjangnya  4,215 perkataan dengan hampir 20 sumber rujukan. 

Itu belum tesis betul, baru contoh satu bab proposal sebagai assignment atau kerja untuk diserahkan lalu dinilai dan diperbaiki dalam kelas Research Methodology (Cara Kaedah Kajian) jam 5 petang ini. Ke hadapan lagi ada 2-3 assignment yang lebih kurang sama panjang setiap satu harus cuba disiapkan. Saya harus bekerja keras sejak seminggu lalu kerana Khamis hadapan mahu bertolak ke Kemboja atau Cambodia untuk perjalanan terbaru bersama keluarga menjejak kesan-kesan sejarah lama. Ia boleh memakan masa sehingga 12 hari perjalanan kerana kami akan kembali melalui darat lalu akan membuat persinggahan ke tempat-tempat berkenaan di Thailand. Dijangka sampai Malaysia nanti esoknya terus masuk kelas, Harus bersedia dengan apa yang patut kerana minggu-minggu akan datang adalah musim penilaian formal oleh pihak institusi dan universiti.

Kekelamkabutan ini (ada ke perkataan itu? :]) semuanya disebabkan semasa membeli tiket  penerbangan pada awal tahun tak terfikir pun akan menyambung pengajian hampir penghujung tahun. Kalau ikut rancangan asal hampir 3 minggu kami akan mengembara ke sana ke mari secara lasak kerana cadangnya mahu masuk sekali Vietnam menjejak tinggalan lama kerajaan Melayu Champa kemudian ke selatan Laos sebelum kembali melalui Thailand. Ah. Panjang lebar pula berkongsi perasaan sedangkan saya asalnya sekadar mahu memberikan mukadimah untuk majlis ilmu (selain kelas) yang terakhir sempat dihadiri setakat ini. Ia adalah syarahan yang berlangsung di kampus utama Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di Gombak Khamis minggu lepas malam Jumaat 8 November 2018. Baru kini ada ruang dan kesempatan untuk berkongsi cerita tentangnya.


Ini adalah poster tentang majlis yang disebarkan melalui media sosial. Cendekiawan tanah air terkenal tetapi agak kontroversi sehingga 'dibenci' ramai pihak. Profesor Emeritus Dr Ahmat Adam akan membentangkan kajian beliau tentang Batu Bersurat Terengganu.


Ikut pada reputasi dan pengalaman pernah bersua dengan beliau dalam beberapa majlis sejak beberapa tahun lalu tak perlu saya bersusah-payah berkejar selepas kelas dari Bukit Tunku ke Gombak semata-mata untuk mendengar syarahan beliau. Tetapi atas dasar sayangkan ilmu dan mahu mencari kebenaran saya gagahkan juga walaupun ketika itu saya cuma sempat berbuka puasa sunat dengan air tin, belum dapat betul-betul makan Ini disebabkan kelas dan perbincangan tambahan di ISTAC berlanjutan sehingga hampir 8 malam sedangkan majlis dijadualkan bermula waktu itu.


Kita sedang bercakap tentang seorang manusia yang secara lantang sudah beberapa kali di hadapan umum mendakwa bahawa Hang Tuah tidak wujud. Ada sekali itu saya terserempak dengan beliau di UKM ketika berjalan kaki untuk menunaikan solat Jumaat di masjid selepas menghadiri satu majlis. Beri salam pun tidak, helo pun tidak tiba-tiba sahaja dengan suara lantang beliau menyebut Hang Tuah tidak wujud. Nampaknya itu reaksi beliau akibat melihat saya memakai busana tradisional Melayu penuh, bersampin, bertanjak dan berkeris...


Atas dasar ilmu saya mengenepikan itu semua. Ketika masuk ke dewan jam 8.27 dengan berpakaian biasa tetapi memakai tanjak dengan keris tersisip di pinggang majlis masih dalam peringkat pembukaan lalu Ahmat Adam pun diperkenalkan dengan biodata. Rupa-rupanya syarahan ini merupakan kemuncak dan penutup kepada satu festival sejarah yang sudah berlangsung di UIAM selama tiga hari. Sekitar jam 8.38 Ahmat pun memulakan pembentangan/syarahan dengan menyatakan pengaruh bahasa Sanskrit dan bahasa Kawi atau Jawa lama di Kepulauan Melayu/Nusantara.


Menggunakan disiplin ilmu filologi iaitu perkembangan sejarah bahasa-bahasa beliau mengupas tulisan Jawi pada Batu Bersurat Terengganu. Menurut beliau terdapat banyak perkataan dalam bahasa Jawa lama tetapi ini gagal disedari dan dikupas dengan saksama oleh sarjana-sarjana Melayu terdahulu. Berdasarkan ilmu filologi baru suatu tulisan itu dapat betul-betul dikupas menurut konteks semasa zaman tulisan itu dibuat. Beliau pun mengaitkan apa yang tertulis pada batu bersurat dengan sistem kalendar lama Jawa yang kemudian dikenali sebagai Windu.


Beliau secara khusus mengkritik kajian tentang batu bersurat yang telah dibuat oleh cendekiawan tempatan tersohor bertaraf dunia, Tan Sri Profesor Dr Syed Naquib al-Attas. Kata Ahmat beliau memulakan kajian dengan tujuan mahu menyanggah penemuan yang dibuat Syed Naquib pada tahun 1970. Untuk makluman cendekiawan besar tersebut adalah pengasas tempat saya belajar iaitu ISTAC. Syed Naquib membaca Batu Bersurat Terengganu sebagai ditulis pada tahun 702 Hijrah (bersamaan 1303 Masihi) lalu ini diulang-ulang oleh ramai penulis dan pengkaji hinggalah kini. 

Menurut Ahmat pula sarjana-sarjana Barat seperti H.S. Patterson dan C.O. Blagden sudah lama mempersoalkan hal ini. Menurut bacaan mereka terdapat huruf perkataan mewakili abjad tertinggal. Bahawa selepas tarikh seperti 702 dalam tulisan Jawi ada lagi tulisan merujuk kepada abjad tetapi terputus daripada ayat. Boleh jadi selepas 702 yang ditulis "Tujuh ratus dua" itu ada perkataan lapan membentuk "dualapan" atau "dulapan". Ini adalah bahasa lama Melayu untuk nombor 8. Boleh juga boleh jadi ada perkataan puluh menjadi dua puluh. Maka Blagden mengatakan tarikh yang tertera boleh jadi 702, boleh 708, boleh 720 malah 780 pun boleh.

Ahmat juga mengupas tentang perkataan Saratan Sasankala yang tertera pada batu bersurat. Kata beliau Syed Naquib telah salah membaca apabila menyebut Saratan sebagai Syaratan lalu mengaitkannya dengan perkataan Arab berkenaan. Sedangkan ia harus dibaca Saratan dan ini merujuk kepada udang kara juga ketam yang dikaitkan dengan salah satu tahun dalam pusingan 8 tahun (setiap tahun dikaitkan dengan satu jenis haiwan) dalam sistem kalendar Windu Jawa.


Seterusnya Ahmat mengaitkan Batu Bersurat Terengganu dengan perkembangan kerajaan-kerajaan di Pulau Jawa. Menurut beliau ada perkataan pada bersurat yang sering disebut sebagai "benua jauh" sedangkan ia harus dibaca "benua Jawa". Disebutlah tentang zaman peralihan kekuasaan kerajaan Singhasari kepada kerajaan Majapahit yang kelihatan cocok dengan kewujudan batu bersurat itu. Adapun pada batu juga ada tertulis perkataan mandalika merujuk kepada raja daerah. Kelihatannya Ahmat cuba menyatakan Batu Bersurat Terengganu sebagai pernah berada di bawah kekuasaan Singhasari kemudian Majapahit, satu perkara yang saya sangat tidak bersetuju.


Dikritik lagi tafsiran-tafsiran berkenaan Batu Bersurat Terengganu yang telah dibuat beberapa sarjana tempatan termasuk Syed Naquib. Oh, pembentangan dibuat sepenuhnya dalam bahasa Inggeris iaitu bahasa pengantar utama di UIAM disebabkan komposisi pelajar daripada pelbagai bangsa dan negara.


Akhir kalam, Ahmat menyatakan batu bersurat ini ditulis pada 6 Rajab 708 Hijrah bersamaan 20 Disember 1308. Menariknya beliau dapat menunjukkan di manakah perkataan "lapan" yang dikatakan 'hilang' itu. Ini akibat ruang tulisan pada bawah batu telah dipenuhi. Hal ini sama seperti kita menulis surat dengan tangan lalu mendapati sudah habis ruang sedangkan ayatnya belum selesai. Lalu kita sambung pada mana-mana ruang kosong yang dapat.

Secara rata saya mendapati pembentangan Ahmat sangat bernas. Saya terkesan dan bersetuju dengan tarikh yang diberikan. Cuma pada saya tidaklah berapa salah masih menggunakan tarikh 1303 yang telah digunakan sekian lama kerana ralatnya tidak sebesar nama. Tetapi pada Ahmat tidak boleh begitu, semuanya harus tepat.

Masuk sesi soal jawab saya menjadi orang pertama ke hadapan lalu menyatakan penghargaan terhadap kira-kira beliau. Namun saya juga mengkritik beberapa perkara lalu disebutlah tentang kata-kata lantang beliau "Hang Tuah tidak wujud". Sebetulnya saya sudah lama faham maksud sebenarnya iaitu seorang laksamana Kesultanan Melaka yang hebat lalu dirujuk ramai sebagai Hang Tuah itu memang wujud dan ini diulangnya dalam sesi soal jawab. Sebetulnya Ahmat cuma mahu menegaskan bahawa menurut bacaan beliau terhadap manuskrip asal Jawi kitab Hikayat Hang Tuah berdasarkan ilmu filologi yang mengambil kira perkembangan bahasa menurut zaman, perkataan "tuah" belum wujud pada zaman keagungan Kesultanan Melaka. Yang ada adalah "Tuha" yang boleh membawa maksud ketua. Maka pada beliau yang wujud sebenarnya adalah "Hang Tuha" bukan "Hang Tuah".

Pada saya ini cuma kes a rose by any other name still smells as sweet - bunga ros walau dipanggil dengan apa nama sekalipun tetap sama harum baunya. Tak perlulah nak pecah kepala sangat menolak nama "Hang Tuah" demi menegaskan nama "Hang Tuha". Namun kritikan utama saya pada majlis adalah tentang tafsiran Ahmat yang seperti mahu menyatakan Terengganu pernah berada di dalam kekuasaan Jawa yang diketahui adalah bersifat Hindu pekat zaman itu. Bertekak sedikit juga kami walau dalam keadaan terkawal. Akhirnya beliau memberitahu tidak pernah berniat hendak mengatakan Terengganu termasuk dalam jajahan takluk Jawa. Yang dimaksudkan adalah Terengganu dipengaruhi kebudayaan Jawa, maka itu tulisan Kawi atau Jawa lama dapat dilihat pada batu bersurat.

Saya tidak ada masalah tentang itu. Soalan terakhir saya tentang perkara adalah apakah beliau berpendapat watak yang disebut sebagai Seri Paduka Tuhan (maksudnya tuan sebenarnya, raja tertinggi, bukan Tuhan yang disembah seperti faham kita sekarang)  pada batu bersurat merujuk kepada seorang raja besar atau overlord di Pulau Jawa? Atau ia merujuk kepada seorang raja besar di Terengganu. Jawab Ahmat ia adalah seorang raja Terengganu. Dengan itu saya pun berpuas hati lalu memberikan salam sebelum kembali ke tempat duduk.


Tiada ulasan: