OK. Sebenarnya artikel ini mahu dibuat sejurus selepas Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2009 tamat Ahad malam Isnin lalu. Tetapi saya rasa harus melepaskan satu lagi bahagian tentang cerita An-Nur di
blogspot ini juga satu lagi bahagian tentang kenangan zaman kolej "A" Levels di
blogspot BERPETUALANG KE ACEH diikuti satu cerita ringkas tentang lumba basikal di sana dan ini cuma dapat dibuat semalam. Maka seharusnya artikel ini boleh dibuat semalam bukan? Sebaliknya selesai sahaja membuat cerita-cerita itu, saya mendapati jumlah keseluruhan
posting di
blogspot ini sudah mencapai 494 dan
BERPETUALANG KE ACEH 313 sedangkan
blogspot saya yang lagi satu
SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) sudah mencapai jumlah 222 sejak Jumaat lalu.
Nombor-nombor yang cantik ini menyebabkan saya terasa eloklah jumlah ini dibiarkan begitu buat suatu waktu sebelum membuat apa-apa penambahan. Kebetulan pula sebaik sahaja saya selesai menyiapkan artikel terbaru "Cerita An-Nur" lalu menekan butang
publish untuk menyiarkannya, jam di komputer menunjukkan 1.31 pagi. Hari ini selepas Zuhur, rasanya cukuplah jumlah-jumlah itu dibiarkan. Sekarang baru boleh dibuat penambahan melalui artikel ini. Mari! :]
Ini adalah gambar gerai ad-hoc mempromosi dan menjual buku yang saya dirikan sempena pesta buku di PWTC sejurus sebelum saya diminta beredar pada petang Sabtu. Sebenarnya gerai ini didirikan dengan meminjam meja yang ada di kawasan dalaman PWTC ini. Gerai sebegini berhampiran tempat yang sama pernah saya dirikan ketika hari-hari terakhir perhimpunan terbaru UMNO sekitar sebulan lalu dan semasa pesta buku ini saya telah mendirikannya pada petang Isnin lepas diikuti petang Rabu.
Alhamdulillah lokasi ini cukup cantik dengan lampu-lampu kuningnya, ruangan di sekitarnya cukup luas dan tidak begitu sibuk berbanding ruangan yang memang disediakan untuk para penyewa gerai di pesta buku. Sambutan juga amat menggalakkan. Selain datang para pembeli, ada yang sekadar mahu berbual-bual bercerita tentang sejarah Melayu dan Islam terutama mereka yang sudah lama mengikuti siri novel "Berpetualang ke Aceh".
Sebenarnya petang Rabu ketika mendirikan gerai lagi, beberapa pekerja dan pengawal keselamatan PWTC telah bertanya apakah kebenaran yang saya dapat untuk mendirikan gerai ini. Saya pun berterus-terang cakap mendirikannya secara curi-curi. Maklumlah, saya sekadar penulis dan penjual buku secara jalanan, buku pun cuma ada 3 tajuk dan 1 tajuk DVD. Tak berbaloi le jika saya menyewa sebuah gerai walaupun kecil seperti orang lain. Nasib baik mereka memahami dan sudi membiarkan sahaja. Tetapi petang Sabtu, setelah agak lama gerai ini mendapat sambutan dan 6 set buku "Berpetualang ke Aceh" berjaya dijual dalam tempoh 2-3 jam, saya diminta agar menutup gerai. Katanya ada orang mengadu... tak tahulah pasal apa sangat nak mengadu.
Saya pun beralih ke satu lokasi lain di dalam dewan bawah. Sebenarnya lokasi ini telah saya perhatikan sejak beberapa hari sebelum itu tetapi saya belum memakainya kerana lokasi di luar tempat saya mendirikan gerai awal sebelum diminta tutup kelihatan lebih menarik. Terperanjat isteri saya apabila datang jam 7 petang lalu mendapati saya sudah beralih tempat. Saya pula sudah bersedia untuk ini... maklumlah, mendirikan gerai secara curi-curi... perlulah bersedia untuk "berlari-lari"!
Gerai baru ini terletak berhadapan gerai Karnadya dan gerai Pekan Ilmu. Seperti ada disebut dalam artikel
Pesta buku dan siri "Berpetualang ke Aceh" pihak Karnadya ada mengajak saya menggunakan gerai mereka. Maklumlah kami bukan sahaja sudah rapat seperti keluarga, Karnadya juga adalah penerbit buku terbaru saya "Rumah Azan" yang baru dilancarkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka pada hari Isnin sempena pesta buku.
Saya masih cuba mengelakkan dari menggunakan gerai Karnadya kerana satu, saya segan dengan budi baik mereka, kedua saya mahukan ruangan sendiri yang tidak mengacau orang lain. Adapun gerai baru ini dibina di dalam kawasan sebuah gerai agak besar yang disewa satu penerbit lain tetapi pihak mereka nampak kurang aktif mempromosikan buku. Sejak pertama kali datang untuk pesta buku ini hari Isnin saya mendapati sedikit sahaja buku dipamirkan mereka sedangkan para pekerjanya sekadar duduk melangut di satu sudut... sudut di mana saya mendirikan gerai baru pula kelihatan seperti tidak terpakai langsung.
Petang Sabtu itu memang ia tidak terpakai. Apa yang berlaku adalah buku-buku yang ada di situ hilang kesemuanya! Hilang wooiii... kenapa? Tak percaya ke? Yang tinggal cuma 4-5 buah yang terjatuh ke bawah. Mengapa perkara pelik ini boleh berlaku? Pada mulanya ada yang menganggap mungkin ada orang dalam memang mahu mencuri buku. Tetapi buku-buku yang ada bukanlah menarik sangat... dah lah kebanyakannya ditulis dalam bahasa dan tulisan entah apa-apa yang saya langsung tidak faham.
Rupa-rupanya, akibat bosan kerana kurang sambutan, para pekerja di situ, rasanya cuma 2-3 orang sahaja telah keluar berjalan-jalan melihat keadaan tempat lain di pesta buku lalu membiarkan ia tidak terjaga. Para pengunjung ke pesta buku yang kepenatan pula lalu-lalang kemudian menggunakan gerai itu sebagai tempat berehat... ada yang kelihatan berbaring-baring di lantai berpermaidani hijau bersama keluarga. Oleh kerana tempat itu tidak berjaga, ada menyangkakan buku-buku yang terdapat di situ adalah percuma. Apalagi... ramailah yang menyambarnya sehingga habis... cuma tinggal 4-5 buku yang terjatuh di balik para!
Para penjaga gerai pulang lalu mendapati buku-buku mereka telah hilang. Jadi untuk apa lagi mereka menunggu? Maka apalah salahnya pula saya menggunakan sedikit ruang untuk membuka gerai sendiri? Cuma masalahnya tiada power point atau sumber kuasa eletrik berdekatan untuk saya menghidupkan komputer riba.
Malam sikit hari itu juga, pihak pengelola pesta yang petang Sabtu meminta saya menutup gerai di luar telah datang ke tempat baru. Rupa-rupanya mereka sedang menyelidik apa yang telah berlaku di tapak jualan itu... mengapa buku-buku di situ boleh hilang kesemuanya! Setelah beberapa ketika mereka memaklumkan bahawa tempat itu akan dibiarkan menjadi tempat berehat para pengunjung. Oleh itu, saya harus bersedia untuk mencari tempat lagi baru untuk esoknya hari Ahad.
Di atas ialah gambar gerai terbaru saya, gerai ketiga untuk pesta buku ini. Akhirnya saya harus berpindah masuk ke satu sudut gerai Karnadya juga. Nasib baik mereka memang sedia menerima. Cuma saya rasa sedikit tersepit kerana gerai itu memang sering dikunjungi ramai yang mahu membeli novel-novel cinta dan remaja.
Walaupun pihak Karnadya membenarkan saya mendirikan poster promosi buku "Berpetualang ke Aceh" di tepian gerai mereka, saya tetap terasa segan dan tidak mahu mengacau. Maka itu saya dirikan sahaja poster di seberang gerai Karnadya, iaitu di gerai tempat saya mempromosi/menjual buku Sabtu malam Ahad. Ada nampak poster di belakang?
Sebenarnya betul-betul di belakang saya (lihat kerusi putih di sebelah komputer riba) ada satu tempat yang sangat sesuai untuk diletakkan poster tanpa mengacau langsung pihak Karnadya... tetapi selepas Zuhur baru saya tergerak menggunakannya, hehe!
Digandingkan dengan satu lagi poster yang diletakkan betul-betul di seberang, akhirnya gerai baru saya kelihatan begitu menjadi! Cuma kedudukan poster berdekatan gerai itu sebenarnya menutup poster orang, poster gerai di belakang milik seseorang yang suka bercerita dalam buku-bukunya akan betapa hebatnya hidup sebagai seorang jutawan selain suka memaparkan gambar-gambar mukanya dengan besar di setiap buku dan poster...
Kemudian baru saya ternampak orang ini datang memerhatikan keadaan. Ya lah, saya kan dah tutup poster besar mukanya dengan poster saya, hehe! Saya cuma angkat tangan lalu memberitahu ingin menumpang poster saya buat sementara. Dia mengangguk sahaja. Beberapa minit kemudian, baru ada seorang pekerjanya memberitahu yang majikannya meminta saya menurunkan poster daripada tempatnya. Saya pun akur... cukuplah sedikit masa yang diberikan, hehe!
Di sini saya ingin mengucapkan terimakasih kepada setiap pengunjung yang mendatangi gerai saya samada untuk membeli buku mahupun sekadar berbual-bual berkenalan. Alhamdulillah, sukacita dimaklumkan. Walaupun sepanjang Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2009 yang berlangsung selama 10 hari ini saya cuma datang membuka gerai 4 hari sahaja, itupun selalu lambat lepas Zuhur dan di gerai "curi-curi" yang boleh beralih-alih tempat, hampir 80 naskah buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" berjaya dijual dan lebih 20 DVD "Sekitar Perjanjian Pangkor 1874" turut dibeli orang sehingga habis segala stok yang ada.
Satu lagi perkembangan yang memberangsangkan adalah penjualan buku mewah atau
coffee-table book "Rumah Azan" buku ke-empat saya oleh pihak Karnadya. Walaupun buku ini dijual pada harga RM75 (ada masa pula RM85, tu yang saya tak faham tapi masih elok le berbanding harga pasaran RM108 yang dicadangkan), semua stok yang ada untuk pesta buku juga turut licin dibeli orang!
Ini melangkaui jangkaan awal Karnadya kerana buku itu baru sahaja dilancarkan dan itulah pertama kali mereka menjual buku sebegitu mahal. Mereka sekadar berharap dapat mempamirkan buku agar dilihat orang, tak menyangka pun ia akan mula dibeli apalagi sehingga licin stok awal 40 buah buku yang sempat dicetak untuk pesta buku ini. Untuk makluman, "Rumah Azan" baru masuk kilang percetakan 2 minggu sebelum pesta... stok seterusnya cuma akan siap dalam tempoh seminggu dari sekarang. Sementara itu banyak pihak termasuk kontraktor penjual buku, pengedar malah pihak perpustakaan luar dan dalam telah menyatakan minat dan membuat tempahan. Sekian! :]