Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Isnin, Julai 09, 2007

Ketinggalan dua buah bas sebelum mendapat sebuah teksi ke Raub. Apakah yang tersirat?

Lihat gambar di atas... Kit promosi siri buku "Berpetualang ke Aceh" 'parking' di tepian jalan di Genting Sempah, tidak jauh daripada terowong bawah tanah. Di sinilah tempat saya menunggu kenderaan awam untuk ke Raub semalam, setelah menumpang kereta seorang kawan untuk keluar daripada kawasan Janda Baik lalu pergi ke Genting Sempah di mana terdapat tempat perhentian, stesyen minyak serta tempat makan bagi para pengguna lebuhraya Karak.
Mungkin ada yang tertanya-tanya, kenapa saya memilih tajuk yang agak pelik ini... "Ketinggalan dua buah bas sebelum mendapat sebuah teksi ke Raub. Apakah yang tersirat?". Memanglah itu yang berlaku semalam tetapi kenapa tidak sahaja dipilih tajuk yang lebih pendek sebelum memanjangkan apa yang telah berlaku di bawahnya...
Sebelum itu, biar saya berterus-terang. Adapun mereka yang telah lama mengenali saya terutama melalui forum mungkin tahu bagaimana saya ada sedikit 'kegilaan' yang melibatkan nombor... Maklumlah, bekas graduan bidang Matematik. Tapi bukan kegilaan membeli nombor ekor ya... Saya memang tidak suka dan tidak pernah berjudi sejak kecil, kecuali apabila 'tersampuk' penyakit main mesin sodok duit di London di mana saya akhirnya kehilangan lebih 200 Pound Sterling (lebih RM1000) dalam tempoh 2 hari!
Kegilaan saya mengenai nombor adalah kegilaan untuk menafsir atau mengaitkan sesuatu dengan nombor. Tak semestinya saya akan mengkaji begitu dalam tetapi saya selalu mengikut gerak hati berkaitan nombor dalam hal-hal tertentu. Contohnya, apabila membuat posting mengenai Janda Baik dalam ketiga-ketiga blogspot saya, satu dalam Bahasa Melayu di sini, satu dalam Bahasa Inggeris di BERPETUALANG KE ACEH dan lagi satu dalam kedua-dua bahasa di SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART), maka saya sebenarnya telah membuat posting ke 137 di sini, ke 66 di blogspot Bahasa Inggeris dan 33 di blogspot dwi-bahasa.
Adapun sejak kecil lagi, saya suka nombor 11 dan sering mengaitkannya dengan diri sendiri, tak pasti mengapa. Hmm... Mungkin sebab Nabi Yusuf adalah anak ke 11 Nabi Ya'akob. Eh... Tapi apa kena-mengenanya dengan saya ya tak. Entah apa-apa le si Merah Silu ini...
Apapun, nombor 66 dan 33 masing-masing adalah gandaan nombor 11. Jadi saya rasa perlu mengaitkan jumlah posting di blogspot ini dengan nombor 11. Jawaban yang saya dapat, jadikan jumlah posting sehingga 141... Nombor 4 diapit 1 dan 1... Kira ada juga kaitan dengan 11 ya tak (mungkin untuk menyedapkan hati sendiri? Sukati engkau le Labu, janji puas... Heh!)
Maka jadilah posting ini, artikel ke 141 dalam blogspot ini. Tapi bukan buat cerita semata-mata untuk memenuhi ruang. Ada le sebabnya.
Semalam, selepas keluar daripada Janda Baik lalu ke Genting Sempah, saya berehat sebentar di kawasan makan-minum sebelum tergerak untuk melangkah. Rakan saya menyuruh menunggu lagi kerana hujan belum betul-betul berhenti. Jawab saya, jika bergerak ketika itu juga, mungkin akan sempat berselisih dengan bas Kuala Lumpur-Raub yang berlepas daripada bandaraya jam 4.30 petang.
Untuk pengetahuan, perkhidmatan bas yang melalui Bentong ini diadakan setengah jam sekali. Ketika itu, jam menunjukkan pukul 5.10 petang dan saya merasakan bas 4.30 akan lalu sebentar lagi.
Telahan saya ternyata tepat sekali. Setelah mengheret kit promosi berserta membawa rucksack besar di belakang berjalan sejauh lebih 200 meter lalu menyeberangi lebuh-raya dengan penghadang di tengah seperti kelihatan di gambar atas, saya dapat melihat bas merah ke Raub baru sahaja keluar daripada terowong.
Terus saya buat isyarat menahan. Kalau diikutkan, memang bas itu boleh berhenti kerana cukup ruang dan masa. Sebaliknya pemandu bas terus meninggalkan saya seraya membuat isyarat bahawa akan ada bas lain di belakang.
Ah... Perlukan saya menunggu lagi setengah jam?


Tempat rehat di Genting Sempah kelihatan di atas... Ternyata memang ada sebuah lagi bas di belakang muncul sekitar 15 minit kemudian. Maka tidaklah perlu menunggu setengah jam kalau mengikut anggaran berdasarkan jadual perjalanan. Malangnya bas ini juga agak penuh dengan penumpang dan tidak mahu berhenti. Ah... Apa ini?
Saya mula mengira-ngira keadaan. Kenapakah semua ini berlaku? Apakah saya tersilap waktu, menunggu di situ ketika orang-ramai mahu balik bekerja dari Kuala Lumpur? Tetapi hari itu hari Ahad, kenapa pula ramai orang? Timbul pula sedikit rasa penyesalan. Mungkin saya sepatutnya menunggu keesokan harinya sebelum meninggalkan Janda Baik atau saya sepatutnya menunggu bas di Bukit Tinggi, bukannya di Genting Sempah yang sebenarnya tidak ada pondok menunggu bas...
Saya sebenarnya sangat kepenatan dan sudah mengidam mahu tidur di dalam bas sebaik sahaja dapat tetapi ternyata saya terpaksa menahan penat memikul beg besar mengheret beban kit promosi jalanan. Langit pula masih mendung dan ada titisan hujan. Kalau tiba-tiba jadi lebat, terpaksalah berlari mengheret segala beban menyeberangi lebuhraya yang sering ada kenderaan laju lalu-lalang untuk berteduh di bawah jejantas, itupun kalau sempat...
Hmm... Saya tak dapat memanjangkan cerita kerana kedai komputer ini akan tutup 5 minit lagi... Lihat gambar di bawah ini pula...

Dalam gambar ini kelihatan sebuah kepala lori berwarna kuning. Lori kuning ini sebenarnya adalah sebuah lori pick-up yang mahu digunakan untuk menarik sebuah lori kertas yang telah terbakar hari sebelumnya. Mungkin kedudukannya yang menghalang jalan menyebabkan bas-bas tadi tidak mahu berhenti?
Apapun, tidak lama kemudian, datang sebuah teksi berhenti tanpa ditahan. Ternyata teksi itu mahu ke Raub malah melalu jalan ke rumah almarhum nenek, maka sampai le saya ke sana.
OK... Terpaksa berhenti dah. Sekurang-kurangnya dah siap posting ke 141... Selamat!

------------------------

OK... Tambahan cerita dibuat daripada Kuala Lipis, Selasa 10 Jun 2007. Itupun mungkin terpaksa terkejar juga kerana saya telah menghabiskan agak banyak masa membuat beberapa pembetulan ejaan dan silap taip untuk artikel-artikel lain dan saya sebenarnya merancang untuk mendapatkan keretapi jam 2.30 petang ke Kelantan... Nampaknya dah terlambat kerana ketika menulis ini, sudah masuk jam 2.23 dah sedangkan saya mula masuk Internet tadi jam 12! Mungkin boleh mendapatkan keretapi jam 3.30 pula, itupun kalau betul ada keretapi untuk ke Kelantan pada waktu itu... Kalau tidak, mungkin perlu bermalam di sini.

Hmm... Biar saya berterus-terang akan rasa hati berkaitan peristiwa ditinggalkan dua buah bas kemudian baru mendapat sebuah teksi ke Raub. Adapun pada awalnya hati yang masih belum suci sepenuhnya ini mula hendak menyumpah-nyumpah keadaan. Nasib baik terbetik juga fikiran akan semua ini cuma ujian Allah hendak menduga keyakinan kita akan rancangannya. Mesti ada sebab kenapa bas itu tidak mahu berhenti. Lalu saya bertahan walaupun begitu penat dengan harapan akan terbukti sekali lagi akan aturan Allah itu atas sifat tawakal diri ini...

Sekitar jam 5.40 petang begitu, muncul sebuah teksi lalu berhenti tanpa diundang. Kalau diikutkan, saya tak terfikir pun nak naik teksi kerana memikirkan tambangnya mesti mahal lebih-lebih lagi kerana teksi itu sedang kosong bermakna semua kos perjalanan akan ditanggung saya seorang diri. Dalam pada itu, ada bisikan hati menyatakan apa salahnya bertanya. Lalu saya berlari anak mengejar teksi yang berhenti jauh sedikit ke hadapan akibat kelajuannya ketika cuba berhenti dan bertanyakan harga jika ingin ke Bentong. Jawab pemandunya, seorang Cina yang agak tua, RM5 sahaja... Hmm... Kalau begitu, boleh le... Tambang bas ke Bentong pun hampir RM4.

Dalam perjalanan itu, pemandu Cina itu bertanya lagi... Sebetulnya saya mahu ke mana? Jawab saya ke Raub... Raub? Dia tersenyum. Rupanya dia hendak ke situ juga.

"Kalau itu macam, kenapa tak naik terus sampai Raub?"

Jawab saya: "Takut mahal la apek... Saya mahu jimat belanja. Tengok ni, saya jalan pun bawak tikar buruk tunggu bas..."

Kata si pemandu: "Lu bagi RM10 cukuplah, sampai Raub..."

Elok juga tu... Kalau tak salah ingatan, tambang bas daripada Bukit Tinggi ke Raub pun ada dalam RM7 begitu. Ini lebih sedikit je dan lebih selesa serta cepat sampai. Saya pun bersetuju. Dia terus memandu...

Selepas melepasi Bentong, sekali lagi pemandu bertanya... "You betul-betul Raub mana mau pergi?"

Jawab saya: "Batu 3 jalan pegi Cheroh?"

"Cheroh?" katanya dengan nada agak terperanjat. Rupa-rupanya dia orang Cheroh dan memang mahu menuju balik ke rumah.

Dipendekkan cerita, saya sampai ke rumah almarhum nenek lebih-kurang jam 6.30 petang dengan selesa. Cuma perlu bayar lebih sedikit sahaja iaitu RM12. Jika naik bas yang pasti akan melalui jalan lama Bentong-Raub berliku-liku melalui kawasan bukit, kemungkinan besar saya akan sampai ke Raub selepas jam 7 sedangkan bas terakhir untuk ke rumah nenek habis jam 6... Maknanya terpaksalah naik teksi dan membayar RM6, paling kurang pun RM5...

Semasa baru berada di dalam teksi tersebut, saya terfikir... Peristiwa ditinggalkan 2 buah bas sebelum dapat naik teksi yang lebih selesa ini mungkin bermakna saya perlu bermalam sekurang-kurang 2 hari di Raub dan cuma menyambung langkah hari ke 3. Ternyata ini ada juga kebenarannya... Asalnya saya mahu pergi ke Kuala Lipis hari Isnin selepas berada di rumah nenek satu malam. Tetapi pagi itu, saya diserang demam sementara pakaian yang dibasuh malam sebelumnya belum kering.

Seorang teman wanita yang menalifon bertanyakan khabar menasihatkan saya supaya berehat sehari lagi di Raub. Lalu saya gunakan masa itu untuk ke kedai komputer membuat sejumlah posting baru untuk blogspot-blogspot saya.

Semasa hendak menunggu bas daripada rumah nenek untuk ke Raub seterusnya Kuala Lipis pagi tadi, tiba-tiba hati ini terbetik... Apakah ketinggalan dua bas sebelum mendapat sebuah teksi lalu selamat sampai ke destinasi dengan lebih laju dan selesa bermakna saya perlu bersabar lagi sedikit dengan segala perit jerih kerenah menerbit serta menjayakan dua buah buku siri "Berpetualang ke Aceh"?

Kadang-kadang saya rasa tak tertahan lagi dengan segala penat-lelah yang memakan begitu banyak masa dan tenaga di samping segala tekanan jiwa yang menyebabkan saya selalu sakit-sakit badan dan kepala sedangkan keluarga sendiri pun masih memandang remeh usaha ini kerana belum begitu nampak hasilnya, apalagi daripada segi duit... Orang lain pula gelak di belakang apabila saya berkata sanggup menanggung kesusahan ini demi melestarikan satu perjuangan... Mana ada perjuangan, ejek mereka... Itu cuma angan-angan engkau sahaja! Angan-angan orang yang sebenarnya nak kan duit tapi tak mampu sebab takda peluang... Maka engkau topengkan angan-angan itu dengan kata-kata perjuangan demi menyedapkan hati sendiri dan meraih perhatian orang lain!

Hati ini sebenarnya perit, sering menangis sendirian malam-malam akibat kata nista yang dilemparkan sedangkan diri ini selalu keseorangan, ada anak perempuan seorang pun begitu susah hendak bertemu kerana saya tidak mampu lagi menanggung keluarga... Ada teman-teman wanita pun tidak dapat betul-betul bersama kerana halangan yang dihadapi serta keadaan saya yang masih dhaif ini. Mungkin selepas siap buku ketiga, baru saya akan mendapat jalan yang lebih laju dan selesa untuk menuju ke home sweet home yang didambakan selama ini?

Insyaallah! Itulah harapan saya. Minta kawan-kawan dan para pembaca doakan kesejahteraan diri ini dan kejayaan mengharungi segala cabaran sambil memikul amanah demi memartabatkan bangsa Melayu Islam dengan cara tersendiri ya!

OK... Saya mesti bersedia untuk pergi. Kalau boleh mahu masuk ke Kelantan hari ini juga, kalau tak dapat pergi terus ke Danau Tok Uban dan Bukit Panau, dapat ke Tanah Merah pun jadilah. Wassalam! :] (Lega sungguh rasa dapat meluahkan semua ini, Alhamdulillah!)


1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Saya suka entry ini. Ringan dan berkait dengan kata-kata setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya. Cuma adakalanya kita menganggap ianya nasib baik atau luck...

Wira