Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...
Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.
Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...
Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).
Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-
Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.
Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...
Salam hari Sabtu malam Ahad 26 Zulkaedah 1443 Hijriah. Merujuk pada artikel Akhirnya komputer ribaku yang ke-7 tewas juga yang dipersembahkan hampir 2 bulan lalu. Adapun artikel itu ditulis dan diberi tajuk sebegitu rupa kerana menjadi perbandingan bagi cerita yang dikongsikan dalam artikel Komputer-komputer riba yang pernah dimiliki kira-kira 8 minggu lebih awal. Kiranya saya hendak menunjukkan hal komputer riba ke-8 yang menggantikan komputer ke-7 itu.
Saya sebut "akhirnya komputer ribaku yang ke-7 tewas juga" kerana antara tujuh biji komputer riba yang dimiliki sejak yang pertama tahun 2002 ia dapat bertahan paling lama iaitu lebih sedikit dari 4 tahun. Paling sedikit waktu suatu komputer riba saya dapat bertahan pula adalah lebih sedikit dari 2 tahun, walaupun 3 daripada 7 komputer itu adalah dibeli terpakai. Dengan itu saya mengharapkan komputer ke-8 yang dibeli pada 26 April, juga terpakai, harus dapat bertahan sehingga sekurang-kurangnya Mei 2024. Namun apa yang berlaku sangat mengecewakan. Ini ceritanya...
Saya pun ke bandar Rawang untuk mencari komputer terpakai yang cukup elok. Alhamdulillah dapat komputer dalam gambar dengan harga RM700, processor pun bagus, I5 walaupun jenis lama iaitu generasi kedua. Ia hampir sama rupa dengan komputer ke-5 saya (rujuk kembali senarai dalam artikel Komputer-komputer riba yang pernah dimiliki). Jenama komputer pun sama iaitu Sony Vaio. Cuma warna sahaja lain (dahulu berwarna merah kejambuan gitu). Model pula yang dahulu adalah PCG-61213W, yang ini PCG71311N.
Sekarang. Biar dinyatakan. Komputer ini tidak memiliki processor I5. Setelah disemak betul-betul yang ada sebenarnya processor Intel jenis lama dengan kelajuan 1.87GHz gitu. Kalau I5 harus sekurang-kurangnya 2.3GHz. Cuma label pada komputer sahaja menyebut I5.
Tak mengapa. Saya tolak itu ke tepi dahulu. Mungkin kerana berkenan pada rupa luarannya. Tak disangka pula selepas baru sebulan gitu memakainya ia tak boleh hidup.
Salam awal pagi Rabu 8 Zulkaedah 1443 Hijriah. Adapun cerita kali ini sepatutnya sudah dipersembahkan selewatnya Ahad lalu. Tetapi mood penulisan saya terganggu akibat komputer riba rosak lalu harus dihantar ke kedai untuk diperbaiki. Petang semalam pula baru mendapat tahu perlukan masa lagi seminggu sedangkan komputer sudah dihantar seminggu sebelum itu. Nak tak nak kena pinjam komputer riba isteri bagi melepaskan cerita. Ini dia..
Saya mendapat tahu komputer siap diperbaiki pada hari Rabu malam Khamis 15 Jun lalu mengambilnya keesokan hari. Masalahnya adalah processor dahulu rosak lalu digantikan dengan processor I3 model paling awal. Itupun saya sudah bersyukur amat sangat. Tengok-tengok pagi Khamis 23 Jun komputer tidak dapat dihidupkan lagi. Nampaknya sama masalah, processor rosak lagi. Cuma bezanya dahulu masih dalam tempoh warranty sebulan. Kali ini tiada lagi warranty.
Nak ganti processor baru bukan sahaja memakan belanja. Yang masalah takut kena lagi. Takkan semata-mata masalah processor boleh jadi rosak begitu cepat? Harus ada masalah lain yang nampaknya tidak berbaloi untuk cuba diperbaiki.
Nasib baik isteri prihatin terhadap keperluan saya lalu mengajak ke Kuala Lumpur untuk mencari komputer baru siang tadi. Kali ini tak cari langsung komputer 2nd hand. Terus cari yang baru. Alhamdulillah dapat ketemu yang sesuai pada harga yang berpatutan. Cukuplah disebut ia jenama Lenovo (pertama kali saya memakai komputer jenama ini) model V14 Gen 2 dengan processor I3 1115g4 (11th generation), 8Gb RAM, 128 SSD + 1Tb HHD pada harga kurang RM2,000. Sedangkan komputer-komputer saya sebelum ini walau ada yang I3, I5 dan I7 tetapi semua jenis lama 1st atau 2nd generation.
Merujuk kembali pada komputer ke-8 yang rosak. Yang jumlah penggunaannya saya kira cuma meliputi tempoh berjumlah 6 minggu sahaja. Walaupun rugi RM700 saya tetap bersyukur kerana sebelum rosak kali pertama sempat menyempurnakan peringkat ke-3 penulisan tesis di ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam) membawa kepada peringkat akhir sebelum dirasakan cukup lengkap untuk diserahkan kepada penyelia Profesor Emeritus Datuk Dr Osman Bakar. Selepas diperbaiki sebelum rosak kembali pula sempat menyiapkan satu formaliti berupa amended thesis proposal lalu menjadikannya sebagai Bab 1 (sebagai ganti Bab 1 sebelum itu) untuk disambungkan pada keseluruhan tesis lalu membuat beberapa perubahan berkaitan. Saya sempat menulis dua buah artikel pada malam sebelum ia rosak lagi iaitu Kerohanian Islam, keSufian dan percambahan saintifik diikuti Mat Kilau : Antara realiti dan fantasi. Esoknya pagi ketika hendak memulakan pengumpulan bahan bagi satu projek buku akan datang tengok-tengok komputer tak boleh hidup langsung.
Sedikit kerja berkenaan buku tersebut telah dibuat menggunakan komputer isteri iaitu komputer pejabat dengan processor I5 10th generation pada 2 malam lepas. Selepas ini bolehlah disambung kerja dengan komputer baru yang merupakan komputer riba saya yang ke-9! Oh. Setakat memberitahu. Maghrib tadi telah saya merasmikannya dengan membuat artikel Pemenang dirham Webinar logam berharga HIKMAH di blogspotHimpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH) Untuk makluman penulisan ini menjadi artikel ke-2,272 di blogspot CATATAN SI MERAH SILU.
Seminggu dua kebelakangan hangat di media-media sosial tentang pertelingkahan pandangan tentang filem Mat Kilau yang tayangan umumnya dijadualkan bermula esok Khamis 23 Jun 2022. Pertelingkahan ini muncul kerana terdapat poster-poster promosi filem menunjukkan pemakaian pakaian tradisional yang dilihat tidak sesuai oleh mereka yang mengkaji. Misalnya pahlawan dalam poster dilihat memakai keris yang jelas kelihatan seperti keris Jawa. Sedangkan yang sepatutnya dipakai adalah keris tradisional Pahang.
Lalu dikatakan pihak filem tidak bertanya kepada yang lebih arif tentang hal itu. Dikatakan juga mereka tidak bertanya kepada waris Mat Kilau sedangkan waris masih wujud. Dalam keadaan inilah muncul rancangan untuk mengadakan majlis seperti dinyatakan dalam poster. Yang akan bercakap adalah Imam Besar Masjid Negeri Sultan Ahmad 1, Kuantan iaitu Dato' Badli Shah. Yang ditunggu ramai adalah Cikgu Mohd Al Hamadi. Kerana beliau adalah cucu Mat Kilau, pewaris ilmu persilatan pahlawan besar Melayu Pahang itu malah mewarisi juga keris Mat Kilau.
Saya mengikuti majlis melalui pautan Live Facebook. Dapat dilihat ramai datang ke majlis iaitu di masjid negeri memakai busana tradisional Melayu penuh.
Di sini tak perlu saya bercerita panjang kerana semuanya boleh diikut dengan jelas dalam video. Klik sini untuk menonton.
Poster ini menunjukkan satu Webinar ilmu anjuran CENTRIS (Pusat Islamisasi), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM, singkatan dalam bahasa Inggeris IIUM). Tajuk Webinar dalam bahasa Inggeris ini boleh diterjemahkan menjadi "Kerohanian Islam, keSufian dan Percambahan Saintifik". Objektifnya disenaraikan seperti berikut :-
1. Menghuraikan hubungan antara kerohanian Islam dengan disiplin-disiplin intelektual seperti terpakai pada sarjana silam Islam.
2. Meneroka sinergi antara kerohanian Islam, keSufian dan percambahan saintifik untuk mencari kemungkinan yang saling menyokong.
3. Mendalami warisan disiplin kerohanian Islam, pendidikan dan usaha-usaha nenek moyang kita, dan mengambil pelajaran daripada kekayaan warisan itu.
4. Menyiasat cara-cara untuk membawa warisan kerohanian Islam, intelektual dan saintifik menjadi relevan dan praktikal bagi abad ke 21 Masihi.
Para pembicara adalah :-
1. Dr Wan Mohd Azam bin Mohd Amin, Profesor Madya di KIRKHS (Kuliyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusian), UIAM.
2. Dr Suleyman Derin, Profesor dalam bidang Tasawuf di Marmara Universiti, Turki,
3. Dato' Hamidon bin Abdul Hamid, KIRKHS, UIAM
4. Dr Waleed Fekry, Profesor dan timbalan dekan di ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam), UIAM
Majlis berlangsung petang semalam jam 2.15 hingga hampir jam 5 waktu Malaysia. Menurut poster ia dibuka oleh Prof. Dr Akmal Khuzairy bin Abd. Rahman, pengarah CENTRIS. Tajuk-tajuk yang dibawa adalah (saya terjemahkan ke dalam bahasa Malaysia) :-
1. Kerohanian Islam, KeSufian dan Disiplin-dispilin Islam Intelektual Sarjana Islam Zaman Lampau - Prof Dr. Wan Mohd Azam Mohd Amin
2. KeSufian dan Percambahan Saintifik : Satu Kesalingan Berbisa Zaman-Zaman KeIslaman? - Prof Dr. Suleyman Derin
3. Pendidikan Kerohanian, Disiplin Kerohanian & Usaha-usaha Saintifik : Tauladan daripada Warisan kita - Dato' Hamidon bin Abdul Hamid
4. Menjadikan Kerohanian Islamik Relevan dalam Kebangkitan Revolusi Industri yang ke 4 dan ke-5 : Pendekatan Praktikal - Prof. Dr. Waleed Fekry
Namun apabila sampai waktunya yang membuka adalah orang lain iaitu Dr Nur Jannah Hassan dari KIRKHS. Beliau adalah pengacara majlis. Selepas Nur Jannah memberikan pengenalan baru Akhmal Khuzairy memberikan kata-kata aluan. Secara rata beliau mahu apa yang dibincangkan dapat diterapkan ke dalam pendidikan demi menjadikan manusia betul-betul insan, dalam konteks apa yang dipanggil sebagai humanising education (saya lihat boleh diterjemahkan sebagai menginsankan pendidikan).
Saya tidak mahu mengulas panjang kecuali menyatakan tajuk Webinar itu sendiri sudah cukup menarik, diikuti tajuk-tajuk yang dikemukakan setiap pembentang. Secara peribadi membincangkan ilmu Sufi atau Tasawuf dalam konteks zaman sekarang itu sendiri sesuatu yang menyemarakkan minda juga kebatinan. Menarik antaranya kerana saya tahu dalam kalangan intelektual Islam boleh tahan ramai yang menolak keSufian dan Tasawuf. Tiba-tiba dapat mendengar perbincangan yang mencerahkan, termasuk daripada seorang Profesor dalam bidang Tasawuf dari Turki.
Sila ikuti sendiri majlis melalui video atas. Oh. Webinar betul-betul bermula pada minit ke-32: 25 video...
Artikel itu telah menceritakan bagaimana satu siri baru syarahan Webinar oleh guru saya di ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam), Profesor Emeritus Datuk Dr Osman Bakar telah dimulakan awal bulan Mei dengan tajuk besar yang boleh diterjemahkan sebagai " Ilmu Jiwa Daripada Sudut Pandang Al-Ghazali". Cukup jelas ia merujuk kepada ilmuwan besar Islam Imam Al-Ghazali yang hidup 1,000 tahun lalu.
Awal bulan ini iaitu pada 4 Jun, syarahan kedua siri pun berlangsung bermula jam 8.30 malam. Tajuk kecilnya boleh diterjemahkan sebagai "Kefahaman Al-Ghazali Tentang Kesihatan dan Penyakit Jiwa". Ketika itu saya masih dalam perjalanan untuk kembali ke rumah dari Janda Baik iaitu selepas bertemu dengan anak yang belajar di tahfiz sana. Lihat Satu hari yang tenang di Janda Baik. Cuma kesesakan lalu lintas hari itu luar biasa. Kebiasaan dari Janda Baik ke rumah memakan masa 1 jam 15 minit gitu. Tapi kali ini, selepas meninggalkan anak jam 7 petang, hampir jam 8.30 baru sampai ke Gombak iaitu separuh perjalanan. Lalu bertukarlah isteri menjadi pemandu supaya saya boleh mengikuti syarahan melalui telefon pintar.
Pun begitu Webinar dapat diikuti dengan cukup jelas. Selepas membuat sedikit ulasan tentang syarahan lalu Osman pun membuka persoalan tentang apa itu kesihatan jiwa. Ia meliputi kesihatan bagi lima komponen seperti disenaraikan dalam slaid atas. Pertama adalah kesihatan tubuh badan fizikal yang perkataan Arabnya adalah jism, serupa dengan jisim dalam bahasa Melayu. Ia juga boleh diterjemahkan sebagai jasad. Untuk komponen-komponen seterusnya biar disalin balik ayat-ayat berkenaan definisi seperti dinyatakan dalam artikel Ilmu jiwa daripada sudut pandang Al-Ghazali - Memahaminya, sintesis pelbagai perspektif...
Saya biasa mendengar perkataan Inggeris soul sebagai merujuk kepada ruh, sedangkan perkataan Melayu ruh berasal daripada perkataan Arab yang sama bunyi. Tetapi Osman menyamakan ia dengan perkataan Arab nafs (yang faham saya sering merujuk pada nafsu juga nafas). Ruh pula disamakan dengan perkataan Inggeris spirit (yang pada faham saya dan kebiasaan ramai orang merujuk pada semangat atau suatu entiti ghaib). Seterusnya disebut perkataan Arab qalb yang disamakan dengan perkataan Inggeris heart (merujuk pada konsep hati dalam bahasa Melayu, juga disebut kalbu) juga aql dengan perkataan bahasa Inggeris intellect reason (penggunaan akal fikiran).
Tentang dua perkataan ini tiada masalah, qalb = heart = hati/kalbu, aql = intellect reason = akal. Tentang nafs = soul = dan ruh = spirit saya agak keliru. Tetapi tak mengapalah. Kita ikut sahaja seperti yang guru kita sebut, sekurang-kurangnya dalam konteks keilmuan Al-Ghazali yang mana semua ini harus terkait dengan penggunaan terma-terma berkenaan dalam ilmu Tasawuf ataupun Sufi.
Saya ada membuat semakan berkenaan melalui kamus atas talian. Memang perkataan Inggeris spirit diterjemahkan menjadi semangat dalam bahasa Melayu. Tetapi kalau holy spirit (merujuk pada satu terma spiritual dalam kosa kata Barat yang berdasarkan ajaran agama Kristian) ia menjadi roh suci, bukan semangat suci. Dalam konteks berkenaan maka spirit adalah roh.
Saya melihat perkataan Arab nafs yang disamakan dengan perkataan Inggeris soul oleh Osman itu boleh juga diterjemahkan sebagai jiwa, atas alasan yang akan diterangkan nanti. Sesungguhnya perkara ini tidak ada kekeliruan sangat kalau syarahan difahami dalam bahasa yang diberikan iaitu Inggeris. Tetapi untuk menceritakannya kepada khalayak berbahasa Melayu, itu yang harus dibuat penerangan panjang lebar...
Jalan mudah adalah mengekalkan sahaja perkataan-perkataan Arabnya iaitu jism,nafs, ruh,qalb dan aql. Kerana itulah terma-terma asal yang disebut Al-Ghazali dalam kitabnya. Namun mungkin tak semua orang faham. Dengan itu biar komponen-komponen tadi disebut sebagai jasad, jiwa (untuk nafs), roh (untuk ruh yang disamakan dengan spirit itu), kalbu dan akal.
Kata Osman setiap komponen ini menarik manusia ke suatu arah yang seringkali berlawanan. Inilah yang menyebabkan diri kita jadi 'terpecah-pecah' (fragmented) lalu menjadi sakit. Kesimbangan perlu dicapai untuk keluar daripada keadaan berpenyakit lalu mencapai kesihatan/kesejahteraan.
Sekarang biar dimudahkan perkongsian dengan menterjemahkan sahaja isi slaid Osman. Kalau perlu baru ditambah sedikit ulasan. Maka dipanjangkan lagi apa itu kesihatan jiwa. Menurut Al-Ghazali ia adalah seperti berikut :-
1. Kesihatan manusia adalah tentang hubungan berfungsi antara jasad, jiwa/nafs (merujuk pada diri yang merasa, melihat, mengalami... diri yang ada ego), roh, kalbu dan akal dilihat secara keseluruhan.
2. Al-Ghazali banyak bercakap dengan keadaan-keadaan kesihatan/kesejahteraan dan penyakit pada manusia secara individu.
3. Semua jiwa manusia adalah sama secara semulajadi. Tetapi setiap jiwa ada sejarah semulajadi yang tersendiri (secara biofizikal dan sosial) kerana ia masuk untuk berhubung dengan tubuh badan/jasad yang tersendiri. Pada intipatinya jiwa, ruh, kalbu dan akal merujuk pada unsur kerohanian atau entiti/diri yang sama.
4. Soalan : Jika ada tingkatan yang mana jiwa, ruh, kalbu dan akal membawa maksud sesuatu yang sama kenapa ada keperluan bagi banyak terma (atau nama)? Jawab Al-Ghazali : Setiap terma menunjuk pada manifestasi biofizikal berbeza yang memberikan kesan terhadap kesihatan manusia.
5. Kesihatan fizikal dan jiwa (dalam konteks ini jiwa merujuk pada saikologi) tidak boleh dipisahkan tetapi harus disatukan (integrasi).
6. Implikasi pada kesihatan : Setiap orang adalah tersendiri (unik) dalam keperluan kesihatannya (dietary/pemakanan, fizikal dan emosyional/perasaan).
Al-Ghazali ada merujuk pada kekeliruan terma tentang ilmu jiwa pada zamannya. Kata beliau dalam kitab terkenalnya Ihya Ulumiddin :-
Cuma sedikit daripada ulamak-ulamak terkemuka memiliki pengetahuan menyeluruh tentang nama-nama ini (nafs, ruh, qalb dan aql) dan makna-maknanya yang berlainan, dan definisi-definisi benda-benda yang dinamakan. Kebanyakan kesilapan tentang ini berasal daripada kejahilan tentang makna nama-nama ini, dan cara ia terpakai pada objek-objek berlainan.
Penjelasan Al-Ghazali tentang kekeliruan seperti dinyatakan dalam Ihya :-
Sekarang telah dijelaskan pada kamu bahawa ada makna-makna berikut pada nama-nama ini (qalb, ruh, nafs dan aql) : Hati yang nyata, roh yang nyata, jiwa kebinatangan atau bernafsu, kepandaian-kepandaian. Terdapat empat makna yang diberikan oleh empat terma. Terdapat juga makna kelima iaitu bahan halus lemah dalam manusia yang mengetahui dan mengalami, dan kesemua empat nama ini terpakai padanya. Terdapat lima makna dan empat terma, dan setiap terma dipakai dengan dua makna.
Nota : Perkataan Inggeris corporeal dalam slaid membawa makna fizikal, bukan spiritual iaitu bukan bersifat kerohanian. Dalam konteks di sini saya pilih untuk menterjemahkannya sebagai nyata iaitu lawan bagi suatu yang tidak dapat dilihat atau dicerap oleh deria biasa kita. Perkataan Inggeris heart yang secara harfiahnya merujuk pada jantung pula diterjemahkan sebagai hati (yang fizikalnya jika diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris jadi liver). Kerana itulah fahamnya dalam konteks berkenaan.
Masuk pada bab intipati manusia atau kemanusiaan dan manifestasi-manifestasi biofizikalnya. Satu, merujuk pada hati rohani dengan penerangan berikut :-
1. Intipati kemanusiaan diterangkan oleh Al-Ghazali sebagai Latifah Rabbaniyah Ruhaniyah : Bahan halus yang ethereal, bersifat keTuhanan, keIlahian dan kerohanian.
2. "Hati (kerohanian) adalah bahagian daripada manusia yang tahu dan merasai. Ia ditujukan dan dipertanggungjawabkan dan ditegur, ia ada hubungan dengan hati fizikal" - Ihya.
3. Hati rohani adalah pusat seluruh diri manusia.
4. Manifestasi biofizikal hati rohani adalah pada :
i. Hati fizikal, pusat badan fizikal
ii. Ruang dalam hati fizikal yang mana terdapat darah hitam, punca dan tempat duduk roh kejiwaan yang menjadi perhatian ahli perubatan.
5. Roh kejiwaan :-
i. Suatu wap halus yang dihasilkan oleh hati kepada hati.
ii. "Ia menyebar melalui urat-urat berdenyut ke serata bahagian lain tubuh."
iii. Perumpamaan cahaya Al-Ghazali : "Peredarannya dalam badan dan penglimpahannya daripada cahaya kehidupan, perasa deria, penglihatan, pendengaran dan bau kepada anggota-anggota tubuh badan menyerupai kebanjiran cahaya dari sebuah lampu yang bergerak melalui sebuah rumah, Setiap kali ia dibawa ke mana-mana bahagian rumah ia diteranginya olehnya."
Nota : Terjemahan ethereal yang saya dapat adalah 'halus'. Tetapi ia lebih halus berbanding subtle yang juga membawa makna halus kerana bersifat luar keduniaan (outwordly). Maka dikekalkan perkataan ethereal pada terjemahan atas. Untuk physical heart pula pada mulanya saya memilih untuk menterjemahkannya sebagai jantung fizikal, bukan hati fizikal. Sebetulnya saya pun kurang faham ini, kerana dalam bahasa Melayu perasaan dikatakan berlaku pada hati (hati yang merasa sakit, kecewa, gembira, bukannya jantung), tetapi bahasa Inggeris mengatakan berlaku pada heart (hearty, heartbroken, heartfeld) yang secara harfiahnya merujuk pada jantung.
Saya pun mencari dalam Internet di manakah letaknya spiritual heart. Jawaban yang didapati letaknya sedikit ke kanan pertengahan dada. Jantung pula terletak lebih ke kiri. Yang ke kanan adalah hati fizikal.
Oleh kerana spiritual heart dikatakan ada hubungan terus dengan physical heart maka nampaknya ia merujuk pada hati fizikal, bukannya jantung. Seterusnya terma psychic spirit saya terjemahkan sebagai roh kejiwaan. Sebetulnya lebih mudah untuk mengulas syarahan dalam bahasa Inggeris. Tetapi disebabkan kebiasaan mahu memudahkan kepada khalayak dalam bahasa Melayu saya ambil masa untuk cuba juga menghasilkan sesuatu yang mudah difahami walaupun syarahan asalnya adalah untuk mereka yang sudah memiliki kefahaman tinggi hal-hal falsafah dan metafizikal dalam bahasa Inggeris.
Perkara kedua tentang intipati manusia atau kemanusiaan dan manifestasi-manifestasi biofizikalnya. Merujuk pada roh metafizikal :-
1. Roh metazikal yang serupa dengan hati rohani : Ia tahu dan merasa.
2. Inilah yang dimaksudkan oleh Tuhan dalam ayat Al Quran (17:85) : [Katakanlah : Roh adalah urusan Tuhan].
3. Roh yang ditiupkan oleh Tuhan ke dalam jasad Adam, Al Quran (15:29).
4. Manifestasi biofizikal : Roh kejiwaan yang dikaji oleh ahli perubatan.
5. Keadaan kesihatan roh kejiwaan adalah faktor penentu bagi kedua-duanya kesihatan fizikal dan spiritual.
Perkara ketiga tentang intipati manusia atau kemanusiaan dan manifestasi-manifestasi biofizikalnya : Apakah kaitan antara jasad dengan hati rohani atau diri?
1. Hati rohani/jiwa/roh adalah dalam perjalanan keduniaan. Hati fizikal bertugas sebagai kenderaan, yang mana Tuhan telah ciptakan dalam bentuk yang cemerlang.
2. Oleh itu hati mesti mendapat bekalan peruntukan daripada dunia ini. Tubuh adalah kenderaan (markabah) yang dengan mana ia berhubungan dengan dunia. Maka itu badan perlu dijaga dan dipelihara, dan ia cuma terpelihara dengan cara mendapatkan makanan dan lain-lain benda yang sesuai dengannya, dengan cara menangkis daripadanya sebab-sebab kemusnahan yang jelek buatnya lalu memusnahkannya (daripada kitab Keajaiban Hati).
3. Al-Ghazali membincangkan secara terperinci bagaimana hati rohani memenuhi keperluan badani melalui kawalan dan peraturan terhadap semua kuasa semulajadi manusia. Perbincangan ini kebanyakanya meliputi pengetahuan dalam ilmu hayat, ilmu jiwa (kedua-duanya bersifat kognitif dan tingkah laku) dan antropologi spiritual.
4. Tadbir urus hati terhadap jasad dan lain-lain kerajaan mikrokosmik melibatkan enam kuasa : selera (shahwah), kemarahan (ghadab), dorongan (qudra), kebimbangan (mudrika), akal-pertimbangan (aql) dan kehendak (iradat). Tetapi terdapat kuasa-kuasa keSyaitanan yang bertindak sebagai pelawan undang-undang dan pemberontak dalam kerajaan. Ilmu jiwa Islam harus menangani implikasi-implikasinya untuk kesihatan manusia yang bersepadu.
Perumpamaan antara kesihatan fizikal dan spiritual. Untuk sihat fizikal kena ada pemakanan yang sihat sedangkan untuk kesihatan spiritual kena ada 'makanan' intelektual seperti ilmu pengetahuan yang berguna. Begitu juga, badan memerlukan senaman fizikal sedangkan roh memerlukan kita mematuhi arahan dan tugasan agama. Fizikal juga perlu amal agama sedangkan spiritual perlukan meditasi dan renungan (riadat al-nafs). Kedua-duanya perlukan bimbingan dengan ahli perubatan secara berkala. Untuk spiritual perlukan ahli perubatan roh.
Osman pun menyebut tiga keadaan kesihatan jiwa yang pernah dinyatakan oleh Al-Ghazali. Pertama adalah apa yang disebut dalam bahasa Arab sebagai Nafs al-Ammarah bi su. Terma ini bahkan disebut dalam Surah Yusuf ayat ke-53. Terjemahannya :-
"Dan tiadalah aku berani membersihkan diriku; sesungguhnya nafsu manusia itu sangat menyuruh melakukan kejahatan, kecuali orang-orang yang telah diberi rahmat oleh Tuhanku (maka terselamatlah ia dari hasutan nafsu itu). Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani."
Keadaan jiwa yang dimaksudkan merujuk pada nafsu yang suka menyuruh pada kejahatan.
Keadaan Nafs Al-Ammarah ini disebut Al-Ghazali sebagai memiliki ciri-ciri berikut :-
1. Jiwa yang tercela : Jiwa dengan dengan sifat-sifat tercela atau mazmunah.
2. Jiwa yang pemarah dan tamak.
3. Jiwa ini "meninggalkan tentangannya lalu menjadi tunduk dan patuh pada permintaan-permintaan selera jasmani (syahwat) dan ajakan Syaitan".
4. Jiwa ini adalah kepunyaan parti Syaitan.
5. Ia sangat jauh dengan Tuhan.
6. Jiwa kebinatangan (al-nafs-al-hayawaniyaah) bukan sifat sebenar manusia.
7. Menggunakan kepandaian bagi tujuan kejahatan.
8. Ia adalah musuh paling buruk manusia.
9. Satu keadaan penyakit jiwa.
Keadaan kedua disebut dalam Al-Quran sebagai Nafs al-Lawwamah. Ayat kedua Surah Al-Qiyamah menyebut...
Dan Aku bersumpah dengan "Nafsul Lawwaamah" (nafsu yang menyalahi diri sendiri).
Al-Ghazali menerangkan keadaan ini seperti berikut :-
1. Mengkritik diri sendiri dan jiwa yang mencela diri sendiri.
2. Jiwa yang berusaha "untuk menghalau keluar atau melawan keinginan jasmani".
3. Jiwa yang "mencela pemiliknya setiap kali dia ketinggalan dalam beribadat kepada Tuannya (Allah SWT)".
4. Jiwa yang layak dipuji : Memiliki sifat-sifat terpuji (sifat mahmudah).
5. Jiwa yang sihat tetapi tidak sepenuhnya dalam keadaan rehat dan puas/redha.
6. Sedar tentang diri sebenar manusia, intipatinya dan sifat sebenar.
7. Jiwa yang mengenal Tuhan dan segala benda yang boleh diketahui.
8. Jiwa yang peka dengan hati nuraninya.
9. Sedar akan jalan keselematan.
10. Satu keadaan kesejahteraan jiwa.
Keadaan ketiga adalah Nafs al-Mutma'innah. Surah Al-Fajr ayat 27-30 menyebut :-
"Wahai orang yang mempunyai jiwa yang sentiasa tenang tetap dengan kepercayaan dan bawaan baiknya!
"Kembalilah kepada Tuhanmu dengan keadaan engkau berpuas hati (dengan segala nikmat yang diberikan) lagi diredhai (di sisi Tuhanmu) !
"Serta masuklah engkau dalam kumpulan hamba-hambaku yang berbahagia
Nota : Terjemahan-terjemahan ini diambil daripada sesawang https://www.surah.my/. Tetapi saya selalu lihat terjemahan yang menyatakan Nafs al-Mutmai'naah cukup ringkas iaitu "jiwa yang tenang". Disebabkan terjemahan terhadap ayat inilah maka saya dapati perkataan Arab Nafs boleh diterjemahkan sebagai jiwa.
Al-Ghazali menyatakan keadaan ini sebagai :-
1. Paling terpuji.
2. Jiwa yang berehat di bawah perintah Tuhan : Redha dan diredhai.
3. Lawan pada selera jasmani.
4. Bebas daripada pergolakan.
5. Intipati sebenar manusia.
6. Memiliki pengetahuan sempurna tentang Tuhan setakat mana boleh dicapai oleh manusia.
7. Kesejahteraan jiwa dalam keadaan yang sempurna.
8. Jiwa manusia yang sempurna (al-insan al-kamil), biasa merasai kesatuan dengan Tuhan - Ayat-ayat Al-Quran yang dibincangkan adalah undangan terbuka Tuhan bagi jiwa-jiwa yang berjaya untuk kembali bersatu.
Maka apa itu kesejahteraan jiwa? Memiliki kualiti-kualiti baik jiwa (sifat-sifat ideal) seperti berikut :-
1. Hikmah.
2. Takut kepada Tuhan.
3. Pemaaf.
4. Menggalakkan kebaikan.
5. Sabar.
6. Tidak marah : Namun "apabila kemarahan dikendalikan di bawah ilmu pengetahuan dan Shari'ah ia boleh disebut sebagai cantik." Kecantikan kemarahan sebegini dipanggil sebagai keberanian.
7. Pemurah
8. Tahu malu
Penyakit-penyakit jiwa pula adalah berikut :-
1. Ketamakan, keghairahan, kemarahan dan kebanggaan : Empat penyakit besar (dosa utama asas).
2. Selalu menipu dan tidak jujur.
3. Bermuka-muka/munafik.
4. Kebencian dan dengki.
5. Bahaya lidah : Percakapan yang sia-sia, bertengkar, perbalahan, mencela, marah-marah, kata-kata kesat, sumpah seranah, berbohong, menikam belakang dan puji diri sendiri.
Kesimpulan :-
1. Kefahaman Al-Ghazali tentang kesihatan/kesejahteraan jiwa meliputi kesihatan intelektual-rasional-mental (kesihatan pada akal), kesihatan rohani (kesihatan pada hati) dan moral-etikal atau kesihatan tingkah laku. Kesihatan jasmani terpadu dalam perspektif luas ini tentang kesihatan jiwa.
2. Contoh-contoh kebajikan dan keburukan yang diberikan menunjukkan dengan jelas pada konsep luas beliau tentang kesihatan jiwa.
3. Pandangan-pandangan Al-Ghazali tentang cara mencapai kesejahteraan jiwa dan bagaimana untuk mengubat penyakit-penyakit jiwa akan dipersembahkan dalam syarahan seterusnya.
Salam pagi Isnin 20 Zulkaedah 1443 Hijriah. Sedikit cerita daripada hujung minggu baru ini.
Sekitar jam 11.30 pagi Sabtu 18 Jun 2022. Seorang kawan lama zaman kolej pengajian peringkat A Level di PPP/ITM (Pusat Persediaan Pelajar di bawah Institut Teknologi MARA, kini universiti) menelefon memberitahu mahu datang rumah.
Kawan duduk sebilik ketika kolej, bilik 51 itu menetap di Bukit Damansara. Kata beliau mahu datang bersama seorang lagi kawan sebilik, dahulu menetap di Bukit Damansara juga. Kemudian berpindah ke Sri Hartamas.
Dengan mereka berdua dan seorang lagi kawan sebilik kira biasa juga berjumpa. Hampir setiap kali ke bandar raya Kuala Lumpur 40 km ke selatan rumah saya akan menghubungi untuk berjumpa minum teh tarik bagai...
Yang tak disangka seorang lagi kawan sebilik, kini menetap di Puchong turut ikut sekali dengan satu kereta bersama isterinya. Dengan beliau ini saya jarang berjumpa...
Rupa-rupanya kawan dari Puchong datang menziarahi kawan di Hartamas. Kebetulan kawan dari Bukit Damansara juga ada di situ dengan membawa sebuah kereta baru full-electric untuk dipandu uji (beliau adalah seorang wartawan permotoran). Lalu diajak semua ke rumah saya dengan kereta itu.
Apa lagi, keluarlah pelbagai cerita lama. Antaranya ketika ada yang menyewa rumah pangsapuri dengan beberapa kawan lain (bukan sebilik di kolej) di Pantai Dalam. Ketika itu saya masih bertugas sebagai wartawan di akhbar berbahasa Inggeris The New Straits Times di Bangsar. Kadangkala datang melepak kat tempat diaorang. Kami suka berendam dalam kolam renang tengah malam.
Kali terakhir berbual begini adalah dalam satu perkumpulan kawan lama sekolej yang lebih terancang hampir 5 bulan lalu. Lihat Dari nasi beringin ke ISTAC ke impromptu reunion A Level. Masing-masing sudah berumur 52 tahun atau sekitarnya. Tapi bila berjumpa jadi macam zaman budak-budak...