Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Sabtu, Oktober 14, 2023

Uthmaniyah dan Dunia Melayu - Renungan semasa terhadap sejarah, kebudayaan dan ekonomi

Nampaknya kali ini berturut-turut saya bercerita tentang ilmu. Sejak mempersembahkan artikel Mendekati falsafah melalui persoalan-persoalan fundamental tentang keadilan sosial manusia pada 30 September hingga Asal usul kepercayaan terhadap 'Datuk Keramat' dalam masyarakat Cina semalam 7 buah artikel daripada  majlis ilmu yang dihadiri secara fizikal atau diikuti secara atas talian telah dikongsikan di blogspot CATATAN SI MERAH SILU. Sekarang ada lagi satu dan esok, insyaallah akan ada lagi satu. Semuanya nampaknya disebabkan apa yang dinyatakan dalam artikel Kenapa kena rajin menulis? pada 27 September.



Dalam artikel Masa hadapan tamadun dunia Melayu dan sumbangannya terhadap wacana pembangunan mampan yang ditulis hari Rabu 11 Oktober 2023 ada dinyatakan saya tidak dapat hadir secara fizikal ke lokasi majlis di ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam) petang itu kerana perlu mengambil anak kembali daripada aktiviti kokurikulum di sekolah rendah jam 3.20 petang. Dan lagi saya sudah merancang untuk bermusafir petang Jumaat hingga petang Ahad demi mengikuti majlis-majlis ilmu di Kuala Lumpur. Isnin malam Selasa pula harus bergerak ke Ipoh untuk beberapa urusan di Perak sehingga Khamis malam Jumaat. Jadi cukuplah diikuti secara atas talian.

Petang Jumaat yang dimaksudkan iaitu semalam 13 Oktober saya pun ke Universiti Malaya lalu terbitlah artikel Asal usul kepercayaan terhadap 'Datuk Keramat' dalam masyarakat Cina pada malamnya. Selepas itu bermalam di rumah kawan di Desa Sri Hartamas supaya mudah pergi ke majlis berikut di ISTAC. Itulah majlis yang disebut dalam  poster atas. Bermula tadi pagi Sabtu 14 Oktober hingga petang kemudian bersambung esok pagi Ahad 15 Oktober hingga petang juga, tajuknya boleh diterjemahkan sebagai "Uthmaniyah dan Dunia Melayu - Renungan Semasa terhadap Sejarah, Kebudayaan dan  Ekonomi".





Memang menarik tajuk utama yang dipaparkan. Apatah lagi apabila membaca tajuk setiap pembentangan yang diterima melalui WhatsApp. Maka bergeraklah saya ke ISTAC pagi tadi untuk mengikuti acara. Dalam masa sama isteri pula merancang untuk membawa dua orang anak pergi ke Janda Baik untuk bertemu seorang lagi anak yang sedang belajar di ma'ahad tahfiz bagi menyambut hari lahir ke-14 beliau yang jatuh semalam 13 Oktober.




Ada rasa sedikit sayu ketika menulis ayat tadi. Sebagai bapa tentunya ada rasa mahu bersama anak menyambut hari lahirnya. Namun itulah antara pengorbanan yang perlu dilakukan bagi orang yang sayangkan ilmu. Saya pergi ini bukan untuk sijil atau mendapatkan apa-apa 'mata' (points). Bukan untuk rub shoulders with important people dan sebagainya. Sejak beberapa lama saya lebih suka menyendiri, tidak peduli lagi kepentingan sosial, bagaimana orang melihat diri ini dan sebagainya. Sudah berapa banyak majlis ilmu dihadiri dengan mengorbankan masa, wang ringgit dan sebagainya malah diulas pula dalam blogspot lalu dipanjangkan kepada umum tanpa mendapat ganjaran apa-apa. Kecuali demi memenuhi naluri suka menulis sebagai seorang bekas wartawan, juga mendapat terapi diri dan menajamkan minda/senaman otak gitu.




Mula-mula ada sesi pembukaan yang mana beberapa orang penting memberikan ucapan berkenaan hala tuju majlis/wacana.







Kemudian dibuat pelancaran buku bertajuk "The Middle East and the Malay World : Contemporary Issues and Future Challenges" (Timur Tengah dan Dunia Melayu : Isu-isu Semasa dan Cabaran Masa Hadapan).




Dikongsikanlah bahawa salah seorang penyumbang bab dalam buku telah terkorban dalam serangan Israel terhadap wilayah Palestin Gaza baru ini. Penyumbang yang dimaksudkan,  Dr. Mohamad J. Alzaneen baru sahaja 2 bulan kembali ke tanah air, setelah tamat pengajian peringkat PhD selama 5 tahun di USIM (Universiti Sains Islam Malaysia). Rumahnya dibom lalu 20 ahli keluarga termasuk beliau, isteri dan anak-anak terkorban.




Selepas rehat bagi sarapan pagi pembentangan pertama pun dibuat oleh Prof. Dr. İsmail Hakki Kadı, daripada Jabatan Sejarah, Istanbul Medeniyet University (IMU).




Tajuk yang dibawa boleh diterjemahkan sebagai "Saiyid Muhammad bin Ahmad Alsagoff (Nong Chik, 1836-1906 dalam Perhubungan Uthmaniyah di Asia Tenggara". Ia tentang tokoh berkenaan yang berbangsa Arab-Hadhrami, seorang pedagang kaya yang berpengkalan di Singapura dan bagaimana beliau menjadi jambatan antara hubungan orang Melayu, terutama Sultan Abu Bakar Johor dengan Istana Uthmaniyah.




Menurut senarai tentatif atur cara, pembentang kedua., Prof Dr Ahmad Murad Merican daripada ISTAC akan membawa tajuk "Imej Uthmaniyah dan Turkey dalam akhbar Melayu sebelum Perang Dunia Pertama". Tengok-tengok pembentang lain iaitu Prof Madya Dr Mehmet Ozay, juga daripada ISTAC menggantikannya. Tajuk yang dibawa pun bertukar menjadi "Sejumlah Renungan terhadap Sosio-Politik Turki Dalam Akhbar Venakular di Kepulauan, 1920-1940an".




Rupa-rupanya Ahmad Murad tidak dapat hadir atas sebab tertentu sementara Mehmet adalah pembentang ketiga. Jadi dianjakkan terus menjadi pembentang kedua. Secara rata apa yang dikongsikan adalah tentang bagaimana akhbar-akhbar di Kepulauan Melayu mengikuti perkembangan sosiopolitik di Turki dan bagaimana melaporkannya.




Akhbar-akhbar yang dijadikan rujukan kelihatan rata-rata daripada wilayah-wilayah yang bakal membentuk negara Indonesia, bukan negara Malaysia. Kelihatan mereka semasa itu seperti memandang tinggi Kamal Attarturk sebagai tokoh 'penyelamat Turki'. Walhal daripada perspektif lain yang kesan sebenarnya cuma dapat dilihat beberapa dekad kemudian Attarturk yang menjatuhkan sistem Kekhalifahan juga Kesultanan Uthmaniyah bagi menerbitkan negara moden Republik Turki adalah penghancur penghayatan syumul Islam di sana.








Sesi petang pula bermula dengan pembentangan keempat yang dianjakkan menjadi pembentangan ketiga jam 2.30. Tetapi saya masuk lewat lalu cuma dapat mengikuti soal jawabnya sahaja.




Pembentang, Encik Syafir Mardi daripada Jabatan Pengajian Melayu di National University of Singapore  (NUS) membawa tajuk "Pemberontakan Sepoi Singapura 1915 dan  Hubungan Empayar Uthmaniyah". Ia adalah tentang bagaimana satu ketumbukan askar sepoi beragama Islam yang berkhidmat dengan British memberontak kerana mendapat berita mahu dihantar ke Eropah untuk berperang melawan askar Turki Uthmaniyah yang  seagama.




Pembentang seterusnya En Tayfun Akgun daripada ISTAC membawa tajuk "Daripada Gundik Uthmaniyah hingga Sultanah Johor : Cerita Khadijah Hanum."








Ia bertujuan untuk mengupas asal usul, siapakah watak berkenaan yang kemudian dapat menjadi isteri kepada Sultan Abu Bakar Johor lalu diangkat menjadi Sultanah.




Pembentang kelima, Dr Alaeddin Tekin daripada Jabatan Sejarah dan Sains Sosial di University of Ankara membawa tajuk "Melangkaui Pan-Islamisma - Memahami Polisi Kekhalifahan Uthmaniyah di Asia Tenggara".




Ini adalah pembentangan yang paling saya suka.




Ia menceritakan perhubungan kerajaan Turki Uthmaniyah, sebagai satu entiti yang dianggap sebagai Kekhalifahan pelindung seluruh Islam, dengan Alam Melayu, bagaimana ia dilihat bermula pada abad ke 16 Masihi melalui pehubungan diikuti bantuan ketenteraan kepada kerajaan Aceh yang semasa itu sedang giat melawan penjajahan Portugis (yang berjaya menakluki Kota Melaka tahun 1511).
















Namun ada berlaku kesenjangan perhubungan selama dua abad sebelum ia bertaut kembali pertengahan abad ke-19. Ketika itu Uthmaniyah tidak sekuat dahulu dan sedang menghadapi ancaman negara-negara gabungan Kristian Eropah yang mahu menghancurkannya. Sedangkan negeri-negeri di Alam Melayu pula sibuk memohon naungan perlindungannya akibat kuasa-kuasa Barat terutama British dan Belanda semakin mengancam. Lalu Uthmaniyah tetap cuba membantu tetapi lebih melalui soft power, iaitu cara diplomatik dan sebagainya, bukan melalui hard power seperti bantuan ketenteraan yang pernah diberikan masa lalu.




Maka itu didirikan satu kedutaan di Singapura (yang berada di bawah kuasa British) tahun 1865.




Kemudian didirikan kedutaan di Batavia (Jakarta) yang berada di bawah kekuasaan Belanda.




Akhir sekali adalah pembentangan oleh Dr Murat Yas daripada Institute of Islamic Economics and Finance, Marmara University. Beliau membawa tajuk "Sejarah Inovasi Kewangan Islam : Daripada Empayar Uthmaniyah ke Asia Tenggara".




Ini adalah tajuk saya paling kurang gemar kerana sifat diri yang tidak sukakan perkara-perkara materialistik.




Namun saya berusaha untuk faham kerana sudah realiti dunia, perlukan sumber kewangan untuk maju ke hadapan.




Yang penting janganlah terpalit dengan unsur-unsur riba' yang diharamkan tetapi boleh dihalalkan dengan kaedah "silap mata" yang  kelihatan seperti jual beli yang dihalalkan. Tetapi hakikatnya mengambil untung berlebihan, namun nak tak nak ramai terpaksa terima disebabkan memerlukan bantuan modal. Pada saya itulah hakikat riba. Pada saya kewangan Islam yang sebenar berdiri atas niat bukan hendak mencari untung. 

Tetapi diakui adakalanya perlu mencari untung bagi menjayakan sesuatu demi kemaslahatan ummah. Namun ia bukan memperkayakan diri sendiri lalu diberilah alasan macam-macam. Maka dicarilah segala macam dalil bagi menghalalkan. Itulah "silap mata" yang dimaksudkan. Untuk mengikuti sendiri perjalanan majlis sila tonton rakaman di sini.


Jumaat, Oktober 13, 2023

Asal usul kepercayaan terhadap 'Datuk Keramat' dalam masyarakat Cina

Salam Jumaat malam Sabtu 13 Oktober 2023 bersamaan 28 Rabiul Awal. Satu lagi perkongsian ilmu.


Tajuk majlis ilmu kali ini boleh diterjemahkan sebagai "Asal Usul Kepercayaan Terhadap 'Datuk Keramat' Dalam Masyarakat Cina". Pembentang adalah Dr Tan Ai Boay dari UTAR (Universiti Tun Abdul Rahman) yang memperolehi PhD dan Master daripada Jabatan Sejarah di Universiti Malaya (UM). Tajuk ini menarik perhatian saya kerana pernah melihat dengan mata kepala sendiri perkara yang melibatkan tajuk di banyak tempat iaitu patung-patung yang jelas menunjukkan watak orang Melayu disembah dalam tokong atau kuil-kuil masyarakat Cina. Disebabkan itulah saya bergegas lagi ke UM,  setelah menghadiri satu majlis ilmu di universiti sama 10 hari lalu.



Cuma kali ini di Jabatan Sejarah, dahulu di Akademi Pengajian Islam. Lihat Seminar Antarabangsa Islam dan Masyarakat Bugis Asia Tenggara di APIUM.




Masuk sahaja ke tempat perkongsian ilmu iaitu Pusat Sumber Jabatan Sejarah kelihatan ramai yang mengikuti adalah berbangsa Cina. Selain saya kelihatan dua orang Melayu, kemudian muncul seorang lagi mendengar bicara.




Pembentangan dibahagikan pada 4 bahagian :-


1.Pengenalan

2. Dewa-dewa tempatan (atau ditempatankan/dijadikan milik tempatan) dan kepercayaan terhadap Datuk Keramat

3. Menelusuri sejarah permulaannya melalui dokumen British dan bahan epigrafi Cina.

4. Kesimpulan




Disebutlah bagaimana kepercayaan terhadap Datuk Keramat, atau selalu lebih dikenali sebagai Datuk Kong (Kong sebenarnya bermakna "datuk" merujuk kepada orang tua yang dipandang tinggi) adalah meluas di Malaysia. Di mana ada masyarakat Cina di situ ada Datuk Kong disembah. Ini menggambarkan sinkretisma/gabungan kepercayaan di sejumlah negara di Asia Tenggara.




Ditunjukkan contoh-contoh menggunakan gambar-gambar yang diambil sendiri oleh pembicara. Saya sudah melihat dengan mata kepala sendiri hal berkenaan iaitu patung-patung yang jelas menunjukkan ciri-ciri orang Melayu sebagai bahan sembahan. Yang ingin diketahui bagaimana mula muncul kepercayaan ini.




Maka ditimbulkanlah persoalan. Bilakah ia muncul di Malaya/Tanah Melayu. Bicara atau pembentangan bertujuan untuk menjawab ini.

 


Disebut sedikit sumber rujukan yang boleh membantu...




Dinyatakan ia diterima dalam agama-agama tradisi orang Cina seperti agama Buddha, Tao dan agama-agama rakyat (seperti ajaran Confucius) kerana agama-agama ini boleh menerima dewa tempatan selain dewa-dewa yang sedia wujud dalam ajaran masing-masing. Tetapi tidak dalam agama seperti Kristian dan Islam yang mana tidak ada penyembahan terhadap dewa-dewa, cuma Tuhan yang Satu sahaja layak disembah.




Diberi beberapa contoh jenis dewa tempatan yang disembah masyarakat Cina di Malaysia.




Penyembahan terhadap Datuk Keramat atau Datuk Kong dilihat sebagai gabungan sedia ada kepercayaan masyarakat Cina lama bercampur dengan kepercayaan terhadap konsep keramat tempatan (di Tanah Melayu).




Berdasarkan tulisan sarjana Barat iaitu R.O. Windstedt juga satu sumber lain dinyatakanlah yang dianggap keramat itu adalah perkara-perkara berikut :-


1. Sesetengah objek semulajadi seperti batu, puncak bukit malah tanjung dan sebagainya.

2. Harimau dan buaya yang dianggap suci (ulasan saya - dalam kalangan orang Melayu ada misalnya buaya putih dan harimau tepok iaitu harimau tempang satu kaki dipercayai menjaga suatu kawasan)

3. Kubur dukun/bomoh/pawang

4. Kubur pengasas suatu penempatan

5. Kubur/makam wali orang Islam

6. Wali Islam yang masih hidup




Ini yang tergambar pada patung-patung berkenaan di tokong atau kuil.







Ditunjukkan gambar kubur seorang tokoh Islam di Pulau Pinang yang dipandang tinggi oleh masyarakat Cina.




Ada pula tokoh lama masyarakat Cina (pada kami, ketua kongsi gelap) yang terbunuh lalu dianggap mati syahid kemudian didewakan.




Ciri-ciri seorang tokoh Melayu yang didewakan menjadi Datuk Keramat atau Datuk Kong.




Selain orang Melayu dan sedikit orang Cina, ada juga tokoh berbangsa India dan orang Asli yang didewakan sebegitu.







Malah didapati ada tokong telah mendewakan politikus terkenal, mendiang Karpal Singh yang terbunuh dalam kemalangan jalan raya tahun 2014.




Berdasarkan kajian sejarah pula didapati ada dokumen British merekodkan bahawa pada tahun 1884 towkay-towkay Cina termasuk Yap Ah Loy, Loke Yew dan Yap Kwan Seng (kesemua nama ada diabadikan pada jalan-jalan di Kuala Lumpur) pernah memohon untuk memajak tanah bagi membina satu kuil Datuk Gong (Kong).




Ini disebabkan ramai telah mendapat kebaikan melalui Datuk Gong berkenaan. Ulasan saya - nak faham hal ini kena faham hal makhluk halus seperti jin dan qarin selain hal-hal melibatkan keramat dan kewalian. Bagaimana mereka boleh menunaikan permintaan seseorang (meminjam kuasa yang diberi Allah SWT), seperti halnya seorang yang berpengaruh dan berkuasa boleh membantu menyelesaikan suatu masalah.




Kuil Datuk Gong paling awal pernah didaftarkan pula terekod dalam makalah kerajaan negeri Perak tahun 1900.




Daripada segi epigrafi iaitu objek yang boleh dijadikan bahan bukti sejarah, tinggalan paling awal dapat ditemui untuk menunjukkan wujudnya penyembahan Datuk Kong oleh masyarakat Cina terletak pada satu batu bersurat tahun 1886.




Sumber paling lengkap menggambarkan kepercayaan tersebuut ditemui di Masjid Kampung Machap, Melaka...




Ada tulisan Cina di satu bahagian dinding masjid yang saya pernah lihat sendiri tetapi tak faham.




Menurut bacaan Tan tulisan dibuat tahun 1907 menyatakan bahawa dewa Datuk di Kampung Baru Machap (kampungnya ada di tepi jalan besar luar dari masjid. Saya cuma pernah lalu sahaja) telah disembah sejak lebih 200 tahun lalu!




Cerita legenda tempatan pula menyatakan Datuk Machap (yang dipercayai telah didewakan menjadi Datuk Kong sana) adalah seorang Bugis yang menentang Portugis. Selepas kejatuhan Melaka (ke tangan Portugis tahun 1511) beliau menjadi petapa dan menetap di kawasan itu.




Tetapi Tan melihat ini sebagai bercanggah dengan kenyataan sejarah. Mana mungkin seorang yang melawan Portugis tahun 1511 hidup begitu lama lalu menjadi dewa sembahan sekitar tahun 1700? (Berdasarkan pernyataan lebih 200 tahun sebelum 1907 di Masjid Machap itu). Pada saya ada beberapa kemungkinan. Katakan Datuk Machap berumur 30 tahun ketika melawan Portugis. Maka itu beliau lahir pada tahun 1481. Tak mustahil hidup sehingga berumur 150 tahun. Saya percaya ini bukan perkara luar biasa zaman itu. Lalu beliau meninggal dunia tahun 1631. Masih boleh masuk dalam skop lebih 200 tahun sebelum penulisan berkenaan dibuat tahun 1907.

Lagi satu, seorang tokoh yang didewakan itu boleh sahaja meninggal lebih awal. Katakanlah Datuk Machap hidup paling lama pun 90 tahun lalu meninggal dunia tahun 1571. Tetapi 'dirinya' yang didewakan yang muncul lebih 100 tahun kemudian mendekati tahun 1700. Dalam pengajian ilmu batin yang saya faham, ia boleh jadi jin menyerupai beliau lalu mengaku diri sebagai Datuk Machap. Ia boleh jadi qarin yang dalam ajaran Islam disebut sebagai kembar setiap manusia daripada bangsa jin. 

Yang ini bukan menipu. Qarin Datuk Machap boleh memperkenalkan diri sebagai Datuk Machap. Dia tidak menipu. Dia memang Datuk Machap tetapi versi jin. Mungkin makhluk inilah yang muncul pada masyarakat setempat lalu dapat membantu menyelesaikan pelbagai masalah mereka lalu dianggap dan disembah sebagai dewa.



Senarai balik bukti-bukti sejarah yang dapat ditemui tentang penyembahan Datuk Kong. Pada saya kajian seterusnya harus dibuat adalah kenapa tokoh-tokoh berkenaan diangkat atau didewakan sehingga menjadi Datuk Kong. Memang umumnya cerita yang berlaku adalah masyarakat setempat mendapat permintaan seperti hendak sembuh daripada penyakit atau mintak nombor ekor menjadi 'makbul' apabila dihadapkan ke patung-patung sembahan berkenaan. Kalau permintaan tidak 'makbul' buat apa orang sembah? Daripada segi sejarah ini tidak masuk akal. Sebab itu Tan tidak mengkaji bab itu. 




Tetapi pada saya perkara ini tidak dapat dielakkan jika mahu faham keadaan sebenar. Insyaallah saya sedia membantu untuk bagi faham kalau perlu. Cuma harus diingatkan. Dalam kalangan orang Islam pun ada perbuatan yang dilihat seperti menyembah kubur dan sebagainya. Tetapi tidak. Orang Islam, atau sekurang-kurangnya, orang Islam yang betul-betul menurut ajaran Islam, bukan terpesong pemahaman, tidak pernah menyembah kubur atau menyembah keramat. Yang wujud sebenarnya adalah konsep mendapatkan bantuan melalui perantaraan seseorang yang dianggap keramat, ada kelebihan yang boleh melanggar adat kebiasaan hukum alam. 

Daripada segi logik akal perbuatan ia ibarat orang biasa/rakyat kebanyakan menyedari permintaannya kepada pihak atasan tidak mungkin sampai kalau tidak disampaikan melalui orang tengah yang ada hubungan baik dengan pihak atasan. Atau kita minta tolong kepada doktor pun satu contoh. Kenapa tidak terus berdoa kepada Tuhan untuk menyembuhkan? Kerana kita sedia faham doktor ada kebolehan yang tidak ada pada kita. Dan kebolehan itupun sebenarnya anugerah daripada Tuhan. Bukan kita menyembah doktor...




Begitulah sebenarnya konsep keramat atau memohon pertolongan daripada orang yang dianggap alim/wali dalam kalangan orang Islam. Mereka diharapkan untuk menyampaikan doa bagi pihak yang meminta kerana doa mereka dianggap makbul selain mereka sendiri mungkin diberi suatu kelebihan yang boleh menyelesaikan masalah seperti menyembuhkan penyakit hanya dengan cara mengusap badan. 

Oh. Disebabkan mahu ke majlis di UM ini juga saya mengambil kesempatan untuk singgah di dua masjid berdekatan. Lihat artikel Masjid (Mosque of) TNB, Bangsar diikuti Masjid (Mosque of) Ar-Rahah, Kampung Kerinchi dblogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) dan Views from the patio of the TNB mosque in Bangsar di blogspot BERPETUALANG KE ACEH. Sekian perkongsian.