Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Khamis, Disember 25, 2014

Membongkar Rahsia Dunia Melayu - Pribumi Asia Tenggara Menjawab Kekeliruan Sejarah



Pada artikel Filem di UKM, gambus di UM dan kamera yang berkabus - Sedikit aktiviti untuk rakan aktivis Aceh yang ditulis 3 hari lalu saya ada menyebut telah menaiki kereta api komuter dari Rawang ke UKM pagi Ahad lalu mengisi masa sejam perjalanan dengan membaca buku. Sebenarnya masa yang diambil lebih menghampiri 90 minit. Buku dibaca adalah yang tertera di atas. Dalam tempoh itu saya sempat meneliti segala yang tertulis pada kulit buku depan dan belakang, daftar isi kandungan, prakata, puisi Melayu oleh Usman Awang, kata penerbit diikuti bab pertama bertajuk "Melayu dan Kelompok besar Austronesia" bab kedua "Sejarah Melayu dalam bukti Prasasti dan Rekod Antarabangsa" sehingga beberapa muka surat awal bab ketiga, "Melayu dan Orang Asli". Diakui begitu banyak maklumat menarik dapat ditelaah dalam tempoh itu tetapi saya harus memaksa diri untuk terus membaca. Mungkin kerana kepenatan sambil mahu menuju ke acara lain, pada peringkat ini saya rasa pembacaan agak membosankan. 

Teringat malam sebelumnya apabila isteri terlihat saya mengambil buku untuk dimasukkan ke dalam beg sandang. Beliau memberitahu seorang sahabat kami yang telah lebih awal membacanya mengatakan tidak ada apa yang perlu diperbesarkan tentang buku ini. Ini kerana sahabat tersebut sudah biasa membaca jurnal-jurnal akademik sejarah tulisan para cendekiawan tersohor di menara gading. Maka pada pandangan beliau buku ini tidaklah sehebat apa yang diwar-warkan sesetengah orang.

Apapun saya membaca dengan mengambil sikap seorang awam biasa yang memiliki sedikit minat sejarah. Walaupun saya sendiri berasal daripada latar belakang akademik tinggi kerana memiliki ijazah kepujian dalam bidang Matematik daripada University College of London, salah satu universiti tersohor di dunia, walaupun saya sering bergaul dengan para profesor dan cendekiawan ternama, apabila menilai sesetengah perkara saya mengambil sikap orang bawahan. Ini adalah antara ajaran pertama yang diterima semasa menjadi wartawan di kumpulan The New Straits Times (saya bermula di Sunday Mail sebenarnya, kemudian baru ke akhbar perdana NST yang lebih serius cara penulisannya). Saya diajar walau setinggi mana pemahaman kita, tidak ada gunanya jika kita tidak dapat menterjemahkan suatu perkara agar dapat ditatap seramai mungkin manusia. Maka itu selagi boleh, tinggalkan bahasa tinggi. Gunakan bahasa mudah dan mudahkan perkara yang susah.

Buku "Membongkar Rahsia Dunia Melayu" ini saya terima secara percuma 6 hari lalu daripada seorang hamba Allah yang meminta saya menilainya sejak lebih sebulan lalu. Sepatutnya ia sudah sampai seminggu lebih awal iaitu sebaik sahaja keluar di pasaran. Tetapi entah kenapa buku dipulangkan kepada pengirim lalu beliau terpaksa mengirimnya sekali lagi. Sejak awal lagi saya sudah diminta agar tidak terlalu keras mengkritik kerana ini adalah buku pertama oleh 3 orang penulis yang dikenali sebagai Srikandi, Al-Semantani dan Ibnu Rusydi. Walaupun baru dalam dunia penulisan buku, 3 nama ini sudah cukup terkenal di alam maya Internet sebagai penulis blog-blog sejarah yang bermanfaat, penuh dengan ilmu lalu telah menarik ramai peminat dan pengikut.

Ketika buku hampir sampai pula saya diingatkan bahawa telah berlaku sedikit kesilapan yang mungkin mencacatkan persembahan. Katanya terdapat info-info atau maklumat kecil yang diletakkan penerbit tanpa pengetahuan penulis untuk menyokong penulisan tetapi ada yang isinya bercanggah dengan penulisan. Saya memulakan bacaan dalam kereta api dalam keadaan sedia maklum tentang segala perkara ini. Biar diberitahu lebih awal, pada saya persembahan buku menggunakan kertas kilat (glossy paper), isi yang kelihatan pop berwarna-warni dengan gambar-gambar sudah cukup bagus. Walaupun ada mengkritik ini sebagai tidak akademik, tidak serius dan besifat picisan, pada saya pedulikan itu semua. Persembahan santai sebegini adalah lebih elok untuk mencapai sasaran rakyat kebanyakan yang dahagakan maklumat selain membantu menjawab pelbagai kekeliruan sejarah yang pada saya memang sengaja diwujudkan oleh sesetengah pihak untuk menafikan hak orang Melayu terhadap bumi yang kita pijak ini.

Lewat petang semalam, setelah 4 hari meninggalkan buku saya menyambung kembali pembacaan, daripada muka surat 80 (kalau campur prakata dan sebagainya, sudah masuk muka surat 96 sebenarnya). Saya terpaksa menyebut walaupun banyak maklumat dikongsikan pembacaan yang pada ketika itu sudah masuk tentang beberapa persamaan amalan dan kebudayaan Orang Asli dengan orang Melayu masih membosankan. Tetapi sebagai seorang peneliti saya tidak akan menebuk-nebuk isi. Pembacaan diteruskan dengan membaca setiap perkataan daripada muka surat ke muka surat. Apabila masuk bab ke-5 yang bertajuk "Pengaruh Melayu di Sri Lanka" baru terasa teruja membaca. Bab seterusnya "Siapa Temagi? Kekeliruan antara Thai dengan Sri Dharmaraja" pun terasa amat menarik.

Minat pembacaan saya meningkat tinggi pada bab ke-10 bertajuk "Keris Senjata Warisan Nusantara". Masuk bab ke-11, "Senjata Api di Alam Melayu", saya sedikit kagum, begitu juga apabila membaca bab ke-12 dan terakhir, "Melayu dan Austranesia : Viking Timur Jauh". Selepas jam 2 pagi tamatlah pembacaan keseluruhan buku hampir 360 muka surat ini. Walaupun saya lihat ia mengandungi beberapa kesilapan fakta selain typo error dan jalinan ayat yang kurang kemas, pada saya buku ini telah mencapai matlamatnya iaitu menjawab kekeliruan sejarah. Mereka yang sudah biasa menelaah jurnal-jurnal akademik peringkat tinggi di menara gading juga akademi-akademi setaraf mungkin tidak akan memandang tinggi hasil penulisan ini. Tetapi untuk rakyat kebanyakan terutama anak-anak Melayu yang sayangkan agama, bangsa dan tanah air, buku "Membongkar Rahsia Dunia Melayu - Pribumi Asia Tenggara Menjawab Kekeliruan Sejarah" adalah bekalan yang cukup untuk memperkasakan diri dalam menjawab segala macam usaha mahu menjatuhkan kepentingan orang Melayu sekurang-kurangnya di negara Malaysia tercinta ini.

Isnin, Disember 22, 2014

Filem di UKM, gambus di UM dan kamera yang berkabus - Sedikit aktiviti untuk rakan aktivis Aceh


Pagi semalam saya mengambil gambar ke luar rumah lalu mendapati hasilnya kelihatan berkabus.


Bukanlah sebab cuaca berkabus ketika itu walaupun ada masanya kawasan rumah ini akan berkabus waktu pagi. Tapi disebabkan kamera terjatuh ke dalam parit ketika saya mengambil wudhuk petang sebelumnya lalu dimasuki air. Ini menyebabkan perjalanan saya pagi itu ada rasa sedikit terganggu.



Saya telah menaiki kereta api komuter dari Rawang ke UKM (Universiti Kebangsaan Malaysia) untuk menghadiri satu majlis penayangan filem-filem dokumentari dari Aceh. Perjalanan lebih sejam itu diisi dengan membaca buku. Kalau tidak disebabkan keadaan kamera menganggu tentu saya akan mengambil beberapa gambar menunjukkan perjalanan sampai ke bangunan Perpustakaan Tun Seri Lanang tempat acara diadakan. Namun kalau tak rekod langsung apa yang berlaku pun tak boleh juga kerana sudah jadi semacam kewajiban bagi saya. Maka itu diambil juga beberapa gambar menggunakan telefon bimbit...


Sesi soal jawab. Kelihatan 3 orang anak Aceh memakai busana tradisional sana. Mereka yang berada di Malaysia sejak 18 Disember terlibat menghasilkan filem dokumentari yang ditayangkan.





Bersama mereka adalah 6 orang lagi aktivis budaya Aceh yang turut datang berbusana tradisional. Mereka akan berada di Malaysia sehingga 28 Dis.


Saya pula berbusana tradisional Melayu begitu juga seorang rakan aktivis tempatan. Kelihatan di kanan beliau memberikan maklum balas tentang filem.


Rombongan Aceh yang berjumlah 9 orang kesemuanya itu kemudian bersama kami juga seorang lagi aktivis tempatan makan tengah hari di Bangi.


Seterusnya kami ke Muzium Seni Asia di Universiti Malaya (UM).


Ada festival gambus diadakan di tingkat satu muzium. 
.


Kami sampai ketika sesi bengkel muzik sedang dilaksanakan.  Sambil itu, sempat melihat isi pameran muzium. Lihat artikel A foggy look at UM's Asian Arts Museum di blogspot BERPETUALANG KE ACEH. Oh, gambar tadi dan selepasnya diambil menggunakan kamera biasa, tidak lagi telefon bimbit. Ketika ini keadaan kamera sudah tidak begitu berkabus. 


Namun ia masih lagi bermasalah, sesekali menerbitkan gambar seperti kelihatan ini. Ketika itu bengkel sudah tamat, menunggu sesi persembahan pada waktu malam. Ketika menunggu sempat melayan sesi jamming beberapa orang pemuzik...


Makan petang di kantin bawah. Lupa nak cakap, Semasa kami sampai dua orang lagi aktivis busana tradisional Melayu sudah lebih awal mengikuti majlis membawa bersama isteri dan anak-anak.


Isteri saya yang bekerja waktu pagi pula sampai ketika rehat petang. Malam selepas Isyak kami pun berkumpul balik di tingkat satu untuk sesi persembahan.





Sementara menunggu semua pemuzik siap, aktivis-aktivis Aceh diminta berkongsi sedikit ilmu tentang pakaian tradisional mereka.





Dua orang daripada mereka sempat menyanyikan sebuah lagu tradisional sana. Kelihatan isteri saya mengambil gambar...





Tidak lama kemudian bermulalah persembahan gambus...





Ada juga persembahan alatan hampir serupa tetapi versi Cina.











Cuma kami tidak dapat mengikuti acara sampai habis. Ini kerana rakan-rakan Aceh sudah penat dah harus kembali ke tempat penginapan mereka di UKM. Kami pun menghantar mereka ke stesyen KL Sentral...


Jumaat, Disember 19, 2014

Trip anak-beranak ke Desaru - Deja vu Bukit Inas melengkapkan misi Batu Pahat

Salam Jumaat. Sampai masa untuk menamatkan siri kecil ini. Bersambung daripada Trip anak-beranak ke Desaru - Akibat mengejar hidangan belangkas di Sedili.


Pagi Selasa 9 Disember 2014. Puas berehat di hotel tengah bandar Kluang kami anak-beranak keluar berjalan kaki untuk bersarapan.



Ini menyambung hajat mahu minum kopi terkenal stesyen kereta api yang asalnya mahu dibuat petang Isnin tapi tak sempat.


Santai pula anak beranak melihat kereta api ke utara sampai. Lihat artikel Breakfast at Kluang rail station di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.


Dekat jam 11.10 baru kami mengorak langkah meninggalkan Kluang.


Masuk sebentar ke kawasan berasrama penuh Sekolah Menengah Sains Johor tempat saya belajar 1983-1986.


Banyak kenangan lama pahit manis saya membesar zaman remaja di sini. Sebahagiannya telah dinukilkan dalam artikel Memori lama pahit getir SMSJ, Kluang, Johor... tulisan hampir 5 tahun lalu.


Perjalanan diteruskan ke Yong Peng di mana saya mahu mengambil gambar-gambar sebuah sungai. Lihat  The river at Yong Peng.


Kemudian ke Seri Medan di mana saya mengambil gambar sebuah masjid kemudian gambar-gambar sungai lagi. Lihat artikel Masjid jamek (Main mosque of) Seri Medan di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) juga artikel The river at Seri Medan.


Seterusnya saya mengambil jalan kampung untuk ke satu tempat di Bukit Inas. Saya mendapat tahu ada tanah perkuburan dengan makam-makam berbatu nesan Aceh...


Oh. Gambar-gambar sungai diambil lagi sejurus sebelum mengambil simpang yang tepat untuk ke Bukit Inas. Lihat Crossing to Bukit Inas. Sebetulnya usaha mencari makam juga mengambil gambar-gambar sungai adalah sambungan untuk melengkapkan satu kerja yang telah dibuat 2 minggu lebih awal. Lihat Misi Sungai Batu Pahat - Bukit Pasir mengapit sungai, faktor 131 pada penghujung perjalanan pula...


Cuma ketika itu saya telah menghabiskan banyak masa menziarahi beberapa tempat di Muar. Lihat Misi Sungai Batu Pahat - Faktor 131 di Tanjung Tohor. Akibatnya saya sampai ke Parit Sulong iaitu sekitar 6 km dari sini pun dah Maghrib. Sedangkan kedudukan makam di mana pun saya tak tahu ketika itu.


Selepas perjalanan 2 minggu lebih awal itu saya ada berkongsi gambar sungai yang diambil di Parit Sulong berlatarbelakangkan Bukit Inas lalu menyebut tentang niat mencari makam. Daripada itu saya mendapat maklum balas tentang kedudukan tepat makam.


Saya diberitahu boleh ambil jalan ke kolam air dan makam terletak berdekatan rumah seorang tukang urut dan pengusaha minyak tradisional bernama Wak Dakam. Dengan bertanyakan orang saya pun dapat mencari makam.


Kebetulan atau memang dah Qada' dan Qadar, beberapa hari selepas berkongsi gambar sungai dan bukit di FB keluar artikel dalam sebuah akhbar menunjukkan makam berbatu nesan Aceh itu berpagar. Maka itu saya dapat mengenalinya dengan cepat sebaik sahaja terlihat di tepian jalan.


Tu dia, makam-makam berbatu nesan Aceh di Bukit Inas. Dah lebih 10 tahun terbaca tentang kewujudannya tetapi baru kini sampai. Lihat Makam berbatu nesan Aceh di Bukit Inas (Tombs with Aceh stones at Bukit Inas), lihat juga Lagi makam di Bukit Inas (More tombs at Bukit Inas).


Menariknya apabila memandang kembali ke arah kereta timbul rasa deja vu seperti pernah sampai atau melihat keadaan sekeliling. Deja vu berlatarbelakangkan bahagian sungai 'mati' yang terasa amat menenangkan ini berlaku lebih kurang 5 minit. Lihat Deja vu at the 'dead part' of Simpang Kiri river at Bukit Inas. Selepas itu saya deja vu melihat satu bangunan tinggal sebelah kuburan lama.


Pada perjalananan 2 minggu sebelum itu, saya ada mendapat deja vu lama sebegitu di sebuah masjid lebih hampir ke pantai. Lihat Masjid jamek (Main mosque of) Parit Abdul Salam, Bagan, Batu Pahat. Hal deja vu ini ada diceritakan dalam Misi Sungai Batu Pahat - Bukit Pasir mengapit sungai, faktor 131 pada penghujung perjalanan pula....Teringat pula semasa kereta kami meluncur laju ke Johor Bahru melalui Lebuh Raya PLUS sebelum ke Desaru, meter bawah kereta menunjukkan nombor 313 ketika melalui bahagian terdekat ke Bukit Inas, sekitar 7 km di utara bukit. Oh, kami singgah di rumah Wak Dakam 150 meter daripada makam. Rupa-rupanya Wak Dakam sudah lama meninggal dunia, yang meneruskan kerja urut dan buat minyak urut adalah anak yang menetap di rumah situ...


Setelah berbual agak lama dengan anak tersebut baru kami meninggalkan Bukit Inas lalu makan tengah hari di pekan Parit Sulong. 


Selepas itu kami berehat sambil membiarkan anak-anak bermain di taman tepi sungai... 


Keadaan ini hampir serupa seperti ketika menamatkan perjalanan lebih awal yang diceritakan dalam Misi Sungai Batu Pahat - Bukit Pasir mengapit sungai, faktor 131 pada penghujung perjalanan pula.... Cuma ketika itu saya berjalan bersama seorang anak sahaja, tidak bersama isteri dan anak-anak lain. Dan ketika itu kami sampai waktu Maghrib.


Sambil berehat itu terpandang bukit bernama Bukit Payong ke arah tenggara pekan. Dahulu semasa masih bersekolah di Kluang selalu juga saya menumpang kereta seorang saudara untuk kembali bercuti atau kembali ke sekolah melalui jalan di hadapan bukit. Teringat perasan kagum melihat batu-batu besar di atas Bukit Payong terasa seperti batu belah batu bertangkup. Tetapi sekarang tak nampak macam tu lagi. Apakah saya harus menyiasat nanti? Apapun tujuan asal membuat "Misi Batu Pahat" iaitu mengambil gambar-gambar Sungai Batu Pahat dan cabang-cabangnya utamanya daripada beberapa sudut sudah terlaksana. Entah siapa pula tahu misi apa akan dibuat akan datang? :]



Selasa, Disember 16, 2014

Trip anak-beranak ke Desaru - Akibat mengejar hidangan belangkas di Sedili

Kembali pada perjalanan di selatan tanah air awal bulan Disember. Bersambung daripada Trip anak-beranak ke Desaru - Mencari makam Si Bongkok Tanjung Puteri.


Isnin 8 Disember 2014. Hari ketiga kami berada di Desaru. Setelah 2 malam berehat di pusat peranginan yang selesa sudah sampai masanya untuk kembali menghala ke rumah. 


Hari ini kami layan puas-puas mandi di kolam renang lalu ke pantai.


Tengok tu, saya kena tanam dengan anak-anak...


Ada 'lanun' kecik memerhatikan... :]


Kami check-out lambat. Lepas 2.30 petang baru meninggalkan tempat peranginan.


Singgah sebentar pantai umum Desaru. Buat masa ini pelbagai pembangunan sedang dilaksanakan di sekitar dan ini agak mengganggu kedatangan ke pantai umum. Yang tinggal bahagian pantai private property di bawah kendalian pusat-pusat peranginan dan hotel berbayar. Masuk juga sebentar ke Bandar Penawar, pekan terdekat di Desaru dan singgah di masjidnya. Lihat artikel Masjid (Mosque of) Bandar Penawar di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).


Kemudian kami mengambil jalan kecil menyusuri pantai ke utara. Singgah melihat Tanjung Balau yang katanya menjadi tumpuan utama pengunjung awam menggantikan pantai umum Desaru yang sekitarnya sedang dibangunkan lagi. Lihat artikel The beach at Tanjung Balau di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.


Tujuan utama kami mengambil laluan ini adalah untuk menikmati hidangan istimewa masakan telur belangkas yang katanya ada di Sedili Kecil. Kami pernah melihat paparan dokumentari tentang satu tempat membela belangkas di kawasan terpencil tepi pantai ini sekitar tahun 2011 kalau tak salah. Turut ditunjukkkan telur belangkas dimasak begitu enak di situ. 

Sebelum ini kami sempat menikmati masakan istimewa tersebut di Kota Tinggi. Lihat artikel Kembara Johor-Riau - Mencari kesinambungan pemerintahan di Kota Tinggi, Johor yang ditulis hampir 3 tahun lalu. Tapi kami masih belum berpuas hati selagi belum merasa yang terdapat di Sedili. Susulan daripada sesi makan di Kota Tinggi kami pernah cuba mencari hidangan sama di Tanjung Sedili. Tetapi disebabkan beberapa hal kami sampai lewat lalu kelihatan kedai-kedai makan sudah ditutup. Lihat Kembara Johor-Riau - Menjejak Sultan Alauddin II di Johor Lama dan Sayong Pinang sebelum berkejar ke Tanjung Sedeli.


Alhamdulillah, setelah berapa lama menyimpan hajat sampai juga kami ke tempat penternakan belangkas yang pernah dilihat dalam TV3 lama dahulu. Lihat Horseshoe crab farm at Sedili Kecil. Bayangkan keadaan kami meninggalkan Desaru jam 2.30 tanpa makan tengah hari, sampai di sini sejam kemudian dengan perut lapar mengidamkan hidangan telur belangkas yang enak.


Kemudian baru kami dapat tahu di sini tidak ada masakan, cuma ada jualan belangkas segar. Kalau kebetulan ada telur maka dapatlah telur. Tapi kalau nak menikmatinya sila masak sendiri atau bagi orang lain masak. Malah kami diberitahu tidak pernah ada jualan masakan telur belangkas baik di Sedili Kecil mahupun sepanjang perjalanan hingga ke Tanjung Sedili yang terletak lagi 13 km perjalanan ke utara. Kalau begitu kenapa ditunjukkan dalam TV3 tanya saya? Jawab seorang pembantu itu masakan khas untuk ditunjukkan dalam TV. Kalau nak makan telur belangkas harus ke Kota Tinggi. Selain itu ada di Teluk Sengat dalam perjalanan ke Kota Tinggi dari Desaru tadi.


Aduh! Agak hampa kami suami isteri. Kalau tahu begini tentu kami terus ke Kota Tinggi mengambil jalan darat menghala ke barat laut. Kalau ikut jalan tepian pantai melalui Sedili Kecil sudah mencapah jauh ke utara. Harus naik ke Tanjung Sedili kemudian baru boleh turun balik 30 km barat-daya ke Kota Tinggi. Dari Desaru ke Kota Tinggi terus jaraknya sekitar 45 km, ke Teluk Sengat sekitar 16-20 km sahaja kalau tak salah. Kalau lalu Sedili Kecil yang nak tak nak mesti lalu Tanjung Sedili, harus memakan jarak 80 km untuk ke Kota Tinggi. Akhirnya kami singgah di tepian pantai sebelum Tanjung Sedili, makanlah apa yang ada. Lihat The beach at Telok Mahkota/Jason Bay.
  

Nak tak nak kami mesti menghala ke Kota Tinggi juga kerana tempat seterusnya yang mahu disinggahi adalah Kluang yang boleh dikatakan terletak di tengah-tengah negeri Johor.


Sekitar 16 km sebelum Kota Tinggi terlihat persimpangan ke Jemaluang. Menyangkakan ia terletak antara Kluang di tengah Johor dan Mersing di pantai timur saya pun mengambil simpang ini. Fikirnya nak potong tak perlu lalu Kota Tinggi. Semasa gambar ini diambil pun sudah jam 5 petang sedangkan rancangnya selepas singgah di Kluang sebentar mahu mencari makam lama di Bukit Inas, Parit Sulong sebelum bermalam di rumah ibu bapa di Muar.


Di suatu tempat terlihat pelangi berkembar...


Jalan yang diambil agak sunyi kerana sering melalui hutan dan ladang. Bila dah dekat Jemaluang baru saya tersedar bahawa ia sebenarnya cuma sekitar 20 km daripada Mersing. Jalan ini telah membawa kami mencapah jauh lagi ke timur-laut iaitu menjauhi Kluang di tengah...


Ini menyebabkan kami harus berjalan tambahan 30 km untuk sampai ke Kluang berbanding kalau melalui Kota Tinggi. Akibatnya kami sampai ke tempat ini waktu Maghrib.


Mana terkejar nak cari makam di Bukit Inas, Parit Sulong? Kami pun membuat keputusan untuk bermalam di Kluang.


Apapun saya anggap mesti ada hikmah atas setiap yang berlaku. Sekurang-kurangnya dapatlah bermalam di Kluang tempat saya membesar semasa zaman belajar di Sekolah Menengah Sains Johor 1983-1986. Malam itu saya keluar berjalan kaki sorang-sorang pusing bandar. Duduk termenung lama di stesyen kereta api mengingatkan pelbagai perkara yang berlaku zaman remaja 30 tahun dahulu.


Teringat zaman saya memberontak bermula Tingkatan Tiga. Sejak itu saya selalu keluar panjat pagar asrama sekolah berjalan ke bandar seorang diri mencari ketenangan. Akibat mengejar hidangan belangkas di Sedili saya bermalam di bandar ini lagi setelah kali terakhir melakukannya 7 tahun lalu. Tentang perjalanan lama itu akan dipautkan pada artikel sambungan menunjukkan kami sekluarga masuk sebentar ke sekolah lama itu sebelum mencari makam di Bukit Inas, Parit Sulong, dalam daerah Batu Pahat. Nanti... :]