Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-






Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Wednesday, February 23, 2011

Mencari jejak Merong : Sheikh Abdul Qadir Shah Alirah, Sultan Siam-Kedah atau Sultan Perlak, kerajaan lama Aceh?

Assalamualaikum semua. Pada awal artikel Santai Maulidur Rasul saya ada menyebut akan menyambung siri "Mencari jejak Merong" dalam beberapa hari lagi. Artikel itu dibuat hari Khamis sedangkan kini sudah hari Rabu. Beberapa hari itu sudah jadi hampir seminggu rupanya. Tak apalah ya. Janji sambung...


Dalam artikel terakhir siri iaitu Mencari jejak Merong : Kesan yang ditinggalkan di Perlis? yang ditulis hampir 2 minggu lalu telah disebut bagaimana kami anak-beranak berjalan-jalan pusing Perlis setelah meninggalkan Thailand melalui Padang Besar. Artikel ditutup dengan gambar sebuah masjid lama di Langgar, Kedah. Ini pula adalah tempat kami anak-beranak tidur selepas singgah di masjid lama iaitu di sebuah surau tepian kubur bahagian lain Langgar. Rujuk artikel ketiga siri ini iaitu Mencari jejak Merong - Pokok besar, Alor Setar dan surau tepi kubur tentang kenapa kami tidur surau...


Jika pagi sebelumnya iaitu hari Sabtu kami meninggalkan surau selepas bersahur sekitar jam 5 pagi untuk menuju ke Bukit Kayu Hitam seterusnya masuk ke Thailand (lihat Mencari jejak Merong - Melihat 'masyid' ke Hatyai), hari Ahad kami meninggalkannya sebelum Subuh juga.



Tetapi kami tidak pergi jauh, kami cuma ke masjid lama sekitar 1-2 km dari situ.



Bukan apa, mahu sambung berehat...



Ada lah sebabnya kenapa kami berehat di sini. Nanti diceritakan. Sementara itu lihat keadaan dalam masjid pada artikel The old mosque at Langgar revisited di BERPETUALANG KE ACEH. Inilah kali pernah Al-Rasyid menjejakkan kaki di sini. Lihat juga Rumah di sebelah masjid lama (The house beside the old mosque), Langgar, Kedah di SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).



Salah satu sebab kami memilih untuk menyambung rehat di sini adalah kerana masjid lama itu kini ada kemudahan tandas, bukan seperti surau tepian kubur tadi. Untuk makluman semasa pertama kali membawa isteri ke sini penghujung 2008 belum ada tandas...


Masjid lama dilihat dari satu sudut...



Tujuan utama kami sambung berehat di masjid lama pula adalah untuk melawat makam diraja Kedah kira-kira 100 meter ke hadapan. Kami menunggu hari terang...



Semasa pertama kali membawa isteri penghujung 2008, kami sampai selepas jam 5 petang lalu kawasan pemakaman telah ditutup. Kalau dapat masuk dari pintu luar pun belum tentu dalam melihat makam-makam di dalam kerana ada pintu lain yang biasanya berkunci perlu dilepasi. Alhamdulillah, kali ini saya dapat membawa bukan sahaja isteri malah anak kecil kami turut melihat ke dalam. Lihat Revisiting the Kedah royal mausoleum in Langgar.



Tidak jauh dari kawasan makam terdapat tapak masjid lama Langgar. Masjid tempat kami berehat tadi pun masjid lama juga tapi kedudukannya mungkin dianggap sekadar seperti surau untuk sebuah madrasah berdekatan. Apapun Langgar ada memiliki masjid lain yang dikira masjid utama moden di sekitar ini. Lihat Masjid (Mosque of) Tunku Kalsom, Langgar.


Seterusnya kami kembali ke surau tepian kubur tempat kami tidur lebih awal...


Nah. Lihatlah bagaimana rupanya tempat kami anak-beranak tidur di sini. Nampak tak kubur di belakang?


Ya. Kiranya kami mahu menunaikan iktikaf seperti ada disebut dalam artikel Mencari jejak Merong - Pokok besar, Alor Setar dan surau tepi kubur...

Pertengahan 2008 isteri saya mendapat mimpi ada orang memberitahu agar dia bersuluk 3 malam di sebuah pondok berhampiran tanah perkuburan. Di situ ada sebuah makam yang dikaitkan dengan Saidina Ali dan Saidina Hassan. Isteri saya kemudian menceritakan isi mimpi. Saya mendapati ia menepati ciri-ciri satu lokasi berdekatan Alor Setar walaupun pondok dalam mimpi mungkin telah digantikan dengan surau tepian kubur.


OK. Inilah makam yang kami rasa menepati ciri-ciri dalam mimpi. Pada kepuk makam ada tertulis ia milik seseorang yag dipanggil Sheikh Abdul Qadir Syah Alirah, meninggal dunia 904 Masihi berdasarkan apa yang tertera pada batu nesan. Lihat artikel Sebuah makam berumur 1,100 tahun di Kedah! (A 1,100 year old tomb in Kedah!). Kalau tulisan Jawi pada batu nesan adalah benar dan tepat maka ia adalah makam orang Islam paling tua yang ada tercatat tarikh meninggal di Malaysia (mungkin ada makam lagi tua tetapi tidak tercatat tahun atau sekadar menggunakan batu sungai).


OK. Ada pihak tidak dapat menerima kemungkinan makam ini telah wujud begitu lama lalu membuat telahan ada satu nombor telah terpadam. Pada pihak ini tarikh yang tertera pada makam iaitu 291 Hijrah sepatutnya adalah 1291 bersamaan 1870an Masihi. Pada saya pula apa yang mustahilnya makam ini telah wujud 1,100 tahun lalu? Kecualilah fikiran kita tidak boleh menerima Islam sudah begitu awal sampai ke Nusantara malah telah pun bertapak walaupun secara kecil-kecilan sejak zaman para sahabat Rasulullah SAW kalau tak pun pada zaman baginda sendiri lebih 1,400 tahun lalu.


Namun biar kita teliti dahulu kemungkinan bahawa Sheikh Abdul Qadir Syah Alirah ini mangkat tahun 1870an. Kita lihat sebuah madrasah yang berdekatan.


Saya teringat ketika kali pertama sampai ke Langgar 4 tahun lalu. Apabila mendapat tahu madrasah dan surau yang ada di sini dinisbahkan atas nama Sheikh Abdullah saya terus menganggap ia merujuk pada Sheikh Abdullah Al-Qumairi yang dikatakan mengIslamkan Sultan Muzaffar Shah Kedah lebih 800 tahun lalu malah hampir 900 tahun lalu. Sheikh Abdullah inilah yang dikatakan pernah menetap di puncak Gunung Jerai (lihat artikel kedua siri ini, Mencari jejak Merong - Keistimewaan Gunung Jerai). Lama kemudian baru saya sedar ia merujuk pada Sheikh Abdullah lain. Pada pintu gerbang masuk ke kawasan madrasah ada menyebut beliau ialah Sheikh Abdullah Kecil dan kalau tak salah ingatan beliau hidup samada penghujung abad ke 19 atau awal abad ke 20 Masihi.

Pemandangan dari dalam Surau Sheikh Abdullah. Lihat Surau (Small praying hall of) Tuan Guru Abdullah, Langgar, Kedah. Mereka yang menganggap tulisan pada batu nesan Sheikh Abdul Qadir Alirah Syah ada tertinggal satu nombor mungkin boleh menggunakan kes madrasah Sheikh Abdullah yang pernah saya anggap merujuk pada ulamak lama 800-900 tahun lalu untuk menyokong telahan mereka. Tak mengapalah. Biar saya tulis sahaja kepercayaan saya bahawa Sheikh Abdul Qadir ini memang telah hidup lebih 1,100 tahun lalu (atau bersamaan sekitar 950 tahun lalu di satu tempat lain pada mereka yang faham... :]).



Ketika mahu keluar dari madrasah Sheikh Abdullah menuju ke jalan besar melalui jalan kampung terdekat kami terhalang oleh sebuah lori yang menutup terus jalan. Jalan kecil lain pun terpaksa dicari lalu terjumpa surau lama yang agak menarik ini. Lihat Sebuah lagi surau di Langgar (One more small praying hall in Langgar). Sekarang mari dilanjutkan lagi tentang Sheikh Abdul Qadir Syah Alirah sambil melihat gambar-gambar sekitar surau dan seterusnya...



Sumber rasmi sejarah yang pernah saya baca (sudah lupa di mana tetapi ia melibatkan sejarah Kedah) ada menyebut tentang makam Sheikh Abdul Qadir dan batu nesannya yang menunjukkan beliau telah hidup lebih 1,100 tahun lalu. Tetapi ia sekadar menambah Sheikh Abdul Qadir dipercayai seorang guru agama dan ceritanya tamat begitu sahaja. Satu pihak yang dahulu memiliki sebuah blogspot sangat terkenal tetapi hilang kredibiliti apabila cerita sejarah versi mereka semakin menyimpang dari kebenaran , semakin nampak tujuan sebenar mereka mahu menuntut takhta bukan sekadar Kedah tetapi bagi seluruh Malaysia malah Nusantara pernah menyebut Sheikh Abdul Qadir ini sebagai salah seorang Sultan Kedah Tua yang menurut mereka juga menjadi Sultan kerajaan Siam. Biar diberitahu walaupun terdapat banyak kenyataan melampau dalam blogspot mereka, ada juga bahagian-bahagian yang patut difikirkan tetapi haruslah dirujuk-silang atau crosscheck dengan cerita pihak lain.




Sejarah versi mereka menyebut Sheikh Abdul Qadir di Langgar, Kedah sebagai Sultan Abdul Qadir ibni Sultan Hussain Syah Alirah ibni Sultan Alirah Syah Perlak @ Sayyidina Ali di Aceh. Maka mereka sendiri telah menyebut kaitan dengan Perlak. Dalam sejarah kesultanan Perlak yang telah berdiri sejak tahun 804 Masihi (sebelum tu pun sudah berdiri tetapi tidak dipanggil kesultanan, cuma kerajaan) ada disebut Sultan kelima Perlak adalah Sultan Makhdum Alaiddin Malik Abdul Qadir Shah Johan Berdaulat yang memerintah 928-932 Masihi. Walaupun tarikh itu terkemudian dari tarikh kemangkatan di batu nesan Langgar yang bersamaan 904 Masihi tidak mustahil ia merujuk pada orang yang sama. Perbezaan 30 tahun untuk satu watak yang telah hidup lebih 1,100 tahun lalu bukanlah memeranjatkan kerana ia boleh muncul akibat perbezaan menakrif peristiwa bagi orang-orang di Kedah berbanding dengan masyarakat di Aceh...



Satu lagi kemungkinan adalah Sultan Abdul Qadir pernah beraja di Kedah terlebih dahulu sebelum pergi merajai Perlak. Tetapi jejak pemerintahan ini sengaja dipadamkan atas sebab tertentu dengan cara menyebut baginda telah mangkat 904 Masihi lalu didirikan sekali makam sebagai 'bukti'. Sejarah Perlak menyebut baginda adalah Sultan pertama Perlak daripada satu dinasti yang dipanggil Dum Makhdum sedangkan empat Sultan Perlak terawal adalah daripada apa yang dipanggil Dinasti Aziziah yang berasal daripada perkahwinan seorang Ahlul Bait keturunan Rasulullah SAW dengan seorang puteri kepada pemerintah kerajaan Perlak yang dikenali sebagai Syahir Nuwi. Adapun sejarah Perlak menyebut, Sultan Abdul Qadir adalah keturunan lelaki atas lelaki kepada Merah Syahir Nuwi sementara Dinasti Aziziah yang disebut telah dimulakan oleh Sultan Syed Maulana Abdul Aziz Shah ibni Ali ibni Muhammad ibni Imam Ja'afar As-Sadiq adalah keturunan Merah Syahir Nuwi dari belah perempuan.



Namun saya ada sebab sendiri untuk percaya bahawa Sultan Abdul Qadir sebenarnya berasal dari Timur Tengah sebelum berkahwin dengan keturunan Merah Syahir Nuwi. Tetapi beliau dinasabkan pada Sultan Hussain Alirah Syah kerana ada rahsia tertentu dalam keturunan, rahsia yang berkait dengan mimpi isteri yang membayangkan kami harus beriktikaf di sekitar makam Sheikh Abdul Qadir di Langgar, Kedah tiga malam dengan nama Saidina Hassan terkait dalam mimpi. Ah. Saya rasa tidak mampu lagi meneruskan cerita ini. Cuba padankan sahaja apa yang sudah diberitahu dengan isi artikel Kepala naga Merong Mahawangsa dan legasi Saidina Salman Al-Farisi, satu petanda daripada era lebih 1,200 tahun lalu?. Untuk pengetahuan ini adalah artikel ketujuh dalam siri, ke 811 untuk keseluruhan blogspot.



10 comments:

Al Mahadaya said...

Masalahnya apabila org Melayu kaji sejarah ialah mesti nak kaitkan dgn Islam. Cuba fikirkan kerajaan Malayu telah wujud sejak zaman raja Iskandar Zulkarnain dan mereka ini bukan org Islam. Mereka penganut agama nabi Ibrahim iaitu Asalama dan di zaman itu gunakan kitab taurat. Lepas itu zaman nabi Isa maka syariat agama di tambah dan masih lagi pada agama yg sama. Lepas itu zaman nabi kita, juga syariat yg ditambah dan masih lagi di dlm Asalama. Hanya kira2 200-300 tahun lepas jer Islam wujud lepas letak baris dan tanda pada al quran. Kebangkitan akhir zaman pasti berlaku sebagaimana rancangan tuhan.

QulAmirulHakim said...

Sdr Mahadaya, letak baris dan titik dlm Quran bukan 200-300 tahun dulu...baca dan kaji sejarah...

Anonymous said...

salam.. yer tak syak lagi ia berdekatan dengan rumah saya.. terima kasih diatas segala usaha tuan hamba itu. semoga Allah memberkati dan merahmati usaha anda.InSyaAllah.
Untuk pengetahuan, ada sebuah lagi kubur lama berjarak lebih kurang 500m dari Makam Diraja. Ia terletak di dalam kawasan rumah jiran saya. Batu nesannya seperti nesan Acheh.

ct

mosar39 said...

Wahai Al Mahadayam, dalam Al-Quran dinyatakan bahawa Allah hanya redha agama Islam sebagai agama manusia. Maka sudah pasti Nabi Adam, Noh sehinggalah Nabi Muhammad SAW agamanya adalah agama Islam (sila rujuk Quran dan hadis pasal perkara ini) sebaba ibadat solat puasa telah wujud sejak nabi Adam lagi...

Milky Tea said...

Dah besau anak kau, bro...

Radzi Sapiee said...

Yep. Alhamdulillah. Sekarang dah 1 tahun 4 bulan. Yang dalam gambo tu baru 10 bulan tapi suma orang ingat dah 2 tahun...

Anonymous said...

mohon diberi tahu silsilah sultan malikus saleh sampai kerosulloh

anak beringin said...

syukur ... sampai juga ke tempat yg dicerita oleh tuan MS disember 2011...

tq di atas info yg lebih detail.

Unknown said...

Assalammualaikum tuan blog,
Madrasah di Langgar tu adalah madrasah keluarga saya. InsyaAllah kalau tuan nk tau saya boleh berkongsi.

Ini email saya. uzairismailmy@gmail.con

Unknown said...
This comment has been removed by the author.