Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-






Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Saturday, February 03, 2007

Laksamana pulang ke Perak: Bandar Melayu yang hilang!

Allah! Lega sungguh rasanya apabila posting tadi bertajuk "Chaakk!!!" (sempena lama tak buat posting di sini) "melekat" juga. Maka di sini, ingin pula hamba menambah cerita terbaru di bawah segmen "Laksamana pulang ke Perak" yang telah keluar di dalam edisi ke-111 majalah tabloid Kencana (untuk 15-31 Januari 2007). Cuma yang di sini ada sedikit perbezaan kerana ia adalah copy yang asal sedangkan cerita yang keluar dalam Kencana telah disunting pengarang. Iqra'... :)


Kelmarin kita telah menyentuh mengenai kemungkinan akan adanya makna tersirat di sebalik pengembalian jenazah Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin ke makam diraja Perak di Bukit Chandan, Kuala Kangsar pada 9 September 2006. Makna tersirat yang dimaksudkan adalah mungkin telah sampai masanya sejarah Tanah Melayu patut diselidik, dirombak dan ditulis kembali demi mengembalikan kekuatan sebenar bangsa yang semakin luput ditelan arus kemodenan zaman.
Sekadar mengimbas kembali, Laksamana Muhammad Amin adalah salah seorang pejuang Melayu Perak yang disabitkan terlibat dalam peristiwa pembunuhan Residen pertama Inggeris ke Perak, J.W.W. Birch tahun 1875. Di kala beberapa pejuang lain seperti Datuk Maharajalela Pandak Lam, Datuk Sagor Ngah Kamdin, Pandak Endut dan Si Putum dihukum gantung 1877, beliau, Sultan Abdullah, Menteri Paduka Tuan Ngah Ibrahim dan Syahbandar Uda Ma’amor pula dibuang negeri jauh ke Pulau Seychelles di perairan Afrika.
Sultan Abdullah mendapat “pengampuan” British lalu sempat kembali ke negeri asalnya sebelum menghembuskan nafas terakhir di sana 1922 sementara yang lain dilaporkan meninggal dunia di Singapura. Dalam konteks ini, pengembalian jenazah Laksamana Muhammad Amin ke Perak ternyata amat bermakna. Ia dilakukan penuh istiadat, dan kebetulan jenazah dibawa kembali menaiki kapal perang Tentera Laut Diraja Malaysia bernama KD Laksamana Muhammad Amin!
Jenazah Ngah Ibrahim turut dibawa kembali bersama tetapi ada pihak mempertikaikannya. Menurut mereka, menantu Laksamana itu sempat kembali ke Perak secara senyap dalam tahun 1920an lalu identitinya dirahsiakan untuk mengelak dari dikesan pihak penjajah. Nasib baik tidak ada pertikaian tentang identiti jenazah Laksamana kerana pada tahun 1980an, ia pernah dialih daripada Jurong, Singapura yang sedang dimajukan, ke Pusara Abadi dengan disaksikan waris terdekat. Maka biarlah cerita ini diteruskan lagi mengikut perspektif penulis, seorang anak Melayu generasi ke-5 keturunan Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin.
Apapun, negeri Perak seterusnya seluruh Tanah Melayu banyak dibentuk mengikut acuan Barat setelah hilangnya para peneraju perjuangan bangsa seperti almarhum. Maka apakah pengembalian jenazah Laksamana ke negeri asalnya itu setelah hampir 100 tahun “ditahan” di Singapura, pusat pentadbiran penjajah Inggeris di Nusantara menandakan permulaan beberapa cerita lama yang selama ini terpendam akan dibuka kembali untuk menyedarkan generasi kini dan akan datang?

Cetusan Ilham dalam mencari kebenaran

Dalam cerita yang lepas, telah dinyatakan bagaimana kebanyakan yang kita ketahui atau pelajari sebagai sejarah rasmi tanah-air kita sebenarnya lebih merupakan sejarah yang dibentuk daripada perspektif Barat atau kaca-mata penjajah. Maka itu tidak dapat tidak, mesti ada kisah yang digelapkan lalu digantikan dengan penceritaan (malah tokok tambah!) daripada sudut lain demi menjaga kepentingan pihak tertentu dan meminggirkan golongan yang tidak sealiran.
Telah dinyatakan juga bagaimana penulis sendiri tergerak untuk memikirkan sejak bilakah bandar-bandar yang diterajui bangsa bukan Melayu mula bercambah di Tanah Melayu. Cetusan rasa itu berlaku ketika mengikuti rombongan membawa jenazah Laksamana Muhammad Amin daripada Lumut ke Bukit Chandan…
Bukankah bandar pertama sebegini ialah Taiping yang diwujudkan pihak British tahun 1880an? Bukankah sebelum itu semua bandar di bumi Timur ini dikuasai orang Melayu sejak zaman-berzaman? Jadi mengapakah kita yang hidup sekarang ini merasakan seolah-olah orang lain telah menguasai ekonomi Tanah Melayu sejak azali lagi? Perhatikanlah di mana-mana… Siapakah yang menguasai dunia perniagaan rantau ini? Kedai dan tokoh siapakah yang terserlah di seluruh pekan dan bandar-bandar sehingga dikatakan ekonomi negara akan lumpuh jika bangsa bukan Melayu berhenti berniaga walaupun sehari. Apakah yang telah berlaku sehingga semua ini terjadi?
Di sini, biar diulang sedikit apa yang telah dipaparkan dalam segmen “Laksamana pulang ke Perak” sebelum ini:

Sejak tahun 1877 menyaksikan para peneraju utama kepimpinan negeri Perak dibunuh atau dibuang negeri, tinggallah negeri yang mewarisi benih keSultanan Melaka itu terumbang-ambing dihimpit kekuasaan British berserta kemasukan beramai-ramai kaum lain yang bakal membentuk demografi negara Malaysia moden nanti.
Mungkin ramai tidak tahu, sejak itu, Perak sebenarnya diperintah British atas nama Sultan Abdullah sedangkan si Sultan pula terkapai-kapai jauh di negeri orang… Gantinya cuma Raja Yusuf yang bergelar Raja Muda, maka Perak sebenarnya tidak beraja sampailah 10 tahun kemudian apabila Raja Yusuf ditabalkan sebagai Sultan Yusuf Sharifuddin, Sultan Perak ke 27 pada 11 May 1887. Itupun sang Sultan sempat bertakhta tidak sampai 3 bulan, sebelum mangkat 26 Julai tahun yang sama.
Maka tidak banyak yang dapat dilakukan untuk menyekat apa-apa program British untuk membentuk Perak mengikut acuan mereka, samada dengan menghilangkan kesan-kesan kegemilangan bandar Melayu mahupun dengan mendirikan bandar-bandar baru yang bakal diterajui bangsa asing yang dibawa beramai-ramai ke Perak.
Baki kerabat diraja dan pembesar nampaknya terpaksa mengalah dan angguk bersetuju dengan apa-apa program British. Sejarah membuktikan Perak adalah negeri pertama di Tanah Melayu yang “dirombak” penjajah dalam proses “modernisasi”nya sebelum polisi yang sama dikembangkan ke atas negeri-negeri lain di Semenanjung.

Dalam menangani persoalan apakah yang terjadi kepada bandar-bandar Melayu sehingga kisahnya langsung pupus daripada sejarah rasmi, penulis telah mendapat gerak ilham daripada arah tidak disangka. Sejak 5 tahun kebelakangan, penulis suka mengkaji cerita-cerita lama berkaitan salasilah keluarga. Maka 3 tahun lalu, seorang bapa saudara telah menyarankan supaya menziarahi makam seorang kerabat diraja Perak bernama Raja Ahmad.
Penulis tidak mengendahkan saranan ini kerana sebelum itu menganggap Raja Ahmad tidak termasuk di dalam lingkungan keluarga terdekat. Tetapi entah kenapa, sebaik sahaja jenazah Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin selamat disemadikan di makam diraja Perak di Bukit Chandan, timbul rasa serta gerak hati yang sangat kuat untuk menziarahi makamnya.
Oh… Siapakah Raja Ahmad? Sila baca artikel berkenaan. Di sini penulis sekadar ingin mengulangi sedikit pengalaman mencari makam sehingga terjumpa sebuah kampung tinggal. Di situlah terdapat petunjuk bagaimanakah sejarah Melayu telah diubah supaya kita dipinggirkan daripada kekuasaan ekonomi tanah-air sendiri. Maka jadilah sesetengah anak bangsa seperti melukut di tepi gantang sampai ke hari ini.

MENCARI MAKAM RAJA AHMAD

Satu petang di Teluk Intan lebih 3 hari setelah jenazah Laksamana selesai kembali ke Perak. Penulis telah menziarahi makam Sultan ke 22 Perak, Sultan Abdullah Muhammad I (memerintah 1851-1857) di satu sudut bandar kemudian berehat di kawasan warung perbandaran sambil menumpang signal Internet percuma di sana… Terleka melayari dunia Cyber sehingga tertinggal bas terakhir ke Kampung Gajah.
Lalu tidak ada pilihan lagi jika mahu menziarahi makam Raja Ahmad yang terletak dalam perjalanan ke sana kecuali menyewa teksi dan membayar lebih. Ternyata ada hikmahnya kerana bapa saudara setakat memberitahu makam itu terletak sekitar Matang Pelanduk sedangkan apabila ditanya penduduk sana, rupa-rupanya ia terletak berbatu-batu lagi ke hadapan. Kalau naik bas tadi, mungkin terpaksa berjalan kaki jauh atau menunggu lebih sejam lagi untuk mendapatkan bas seterusnya. Inilah masalah tidak memiliki kenderaan sendiri sejak motor besar kesayangan tersadai 2 tahun lepas.
Sampai di sekitar Teluk Memali, kelihatanlah papan-tanda menyatakan arah ke beberapa makam kerabat diraja Perak termasuk makam Raja Ahmad. Teksi pun menghala masuk ke jalan yang semakin sempit, tamat jalan bertar, tinggal jalan tanah merah… Itupun tersilap mengambil selekoh sehingga sampai ke sebuah empangan kecil, terpaksa berpatah balik agak jauh juga sebelum sampai ke simpang tiga berhadapan Sungai Perak.
Hari sudah senja dan pemandu teksi tidak dapat menyembunyikan rasa gelisah. Manakan tidak, disuruh masuk ke kawasan sebegini sunyi tempat jin bertendang pada waktu begini. Untuk menyedapkan hatinya, penulis terpaksa memberi bayaran tambahan RM10 lagi atas tambang yang telah dijanjikan lebih awal. Itupun katanya dia cuma sanggup menghantar sampai ke simpang tiga itu sahaja.
Penulis faham dan akur. Tidak ramai manusia sanggup masuk ke berbatu ke dalam kawasan belukar bercampur ladang kelapa sawit ketika matahari mula menghilang. Sudah dihantar sampai ke sini pun syukurlah, biarlah penulis berjalan kaki seorang diri untuk mencari makam yang ingin diziarahi.
Teksi bergegas meninggalkan simpang tiga, nampak agak panik pun ada. Berpandukan gerak hati kerana tiada pihak yang boleh memberi petunjuk, penulis mula menyusur simpang ke kanan yang juga menghala ke utara. Tidak lama kemudian, terjumpa sebuah masjid atau surau tinggal dengan ukiran seni lama yang sangat indah. Berpandukan pengalaman lepas berkelana ke sana ke mari menziarahi bangunan lama, masjid ini boleh dianggarkan berumur tidak kurang 80 tahun, tidak mustahil lebih 100 tahun.
Kalau diikutkan minat, mahu sahaja bermalam di sana tetapi lupa membawa bekalan makanan sedangkan perut telah mula berkeroncong. Penulis pun meneruskan perjalanan lalu terjumpa makam Sultan ke 19 Perak, Sultan Abdul Malik Mansur Shah (memerintah 1806-1825). Kemudian sampai ke kubur J.W.W. Birch dan ketika itu juga kedengaran azan Maghrib berkumandang, mungkin daripada masjid berdekatan jalan besar?
Dipendekkan cerita, penulis terpaksa berjalan kaki lebih setengah jam lagi sebelum dapat menumpang sebuah lori kelapa sawit untuk keluar daripada kawasan tidak berpenghuni itu. Ketika itu sudah masuk jam 8.30 malam, maka terpaksalah menunggu keesokan hari untuk menziarahi tempat yang sebenarnya ingin dituju.
Semasa menghampiri simpang ke jalan besar barulah sedar, rupanya makam Raja Ahmad terletak cuma 400 meter sahaja ke dalam… Jika penulis masuk melalui simpang di Pulau Besar yang terletak beberapa kilometer di hadapan simpang Teluk Memali!

Bandar Melayu yang hilang

Ternyata ada hikmah kenapa perlu melalui jalan jauh yang masuk daripada Teluk Memali. Paling nyata, jika terjumpa terus makam Raja Ahmad, kemungkinan besar sampai bila-bila pun penulis tidak akan sampai ke masjid atau surau lama dengan ukiran seni lama yang sangat indah serta makam Sultan Abdul Malik dan kubur J.W.W. Birch yang letaknya terpencil di dalam.
Paling istimewa, dalam perjalanan inilah timbul cetusan ilham memberi petunjuk akan apa yang terjadi kepada bandar-bandar Melayu sehingga hilang ceritanya lalu digantikan bandar-bandar moden yang diterajui bangsa lain. Beberapa buah rumah kayu buruk tinggal di celah belukar serta ladang kelapa sawit sepanjang perjalanan menunjukkan kawasan itu pernah menjadi sebuah penempatan sederhana besar.
Kewujudan masjid atau surau lama yang sebegitu indah pula menyatakan sebelum itupun telah ada penempatan pesat di situ yang berumur tidak kurang daripada 80 tahun. Ditambah makam Sultan ke 19 Perak yang terletak lebih kurang 300 meter daripada masjid serta kubur J.W.W. Birch lagi 300 meter ke hadapan, terbukti kawasan yang tinggal terpencil tidak berpenghuni itu bukan sahaja sebuah penempatan ramai malah sebuah bandar besar lagi pesat 130 tahun ke atas! Lalu kenapa ia boleh tinggal sebegini daif?
Tulisan pada papan-tanda di makam Sultan Abdul Malik menunjukkan kawasan itu dijadikan tempat bersemayam serta ibunegeri Perak sejak baginda memerintah 1806 dan dikenali sebagai Bandar Baru. Mengikut adat struktur binaan istana Melayu dan sekelilingnya, sudah tentu pernah wujud bangunan istana dengan kota berlapis yang mempunyai masjid negeri serta makam diraja di sisi, diikuti perkampungan para pembesar dan pengikut mereka yang diselang-seli kawasan pasar, kedai serta pelbagai jenis perniagaan yang diterajui bangsa Melayu.
Catatan jurnal pegawai-pegawai British zaman penjajahan seperti catatan peribadi Frank Swettenham juga ada menyatakan akan peri kepentingan serta kedudukan Bandar Baru dalam struktur pentadbiran Perak. Maka itu J.W.W. Birch telah mendirikan pusat pentadbiran British di situ setelah termetri Perjanjian Pangkor 1874 dan maka itu jugalah mayatnya berserta mayat beberapa pegawai British yang terkorban akibat kemarahan orang Melayu tahun 1877 ditanam di kawasan itu juga walaupun mereka terbunuh di Pasir Salak yang terletak menyeberangi Sungai Perak.
Sekarang fikirkan… Tempat ini diberi nama Bandar Baru sekurang-kurangnya tahun 1806. Mengikut cerita orang lama, ia diberi nama itu kerana di sekitar kawasan selatan Pasir Salak, pernah wujud sebuah penempatan besar yang dikenali sebagai Bandar… Atau Bandar Tua (selepas Bandar Baru wujud). Ada pula cerita lisan menyebut Bandar Tua itu dipelopori pengikut Sultanah Aceh sejak abad ke 17 lagi! Maka di sini terletak lagi satu cerita tersembunyi tentang pengaruh kuat Aceh terhadap Perak. Yang nyata, memang terdapat bandar-bandar Melayu yang besar di kawasan itu.
Penulis telah mengembara hampir seluruh pelusuk tanah-air untuk mengkaji cerita-cerita lama daripada sudut tersendiri lalu mendapati kebanyakan makam diraja terutama di Perak sendiri (yang ada 30 makam Sultan di merata lokasi!) terletak di dalam kawasan terpencil seperti belukar serta estet getah dan kelapa sawit. Pening juga kepala memikirkan, kenapa pula raja-raja disemadikan di dalam tempat-tempat jin bertendang. Apakah tabiat Raja-raja Melayu suka dimakamkan di dalam hutan?
Ketika memikirkan semua ini sekonyong-konyong terbitlah jawaban… Tidak… Raja-raja Melayu dahulukala bukanlah orang hutan yang sengaja mahu dimakamkan di tempat terpencil. Kecuali kerabat diraja yang lari membawa diri, mereka sebenarnya dimakamkan DI DALAM BANDAR MELAYU seperti di Bandar Baru, tidak jauh daripada kawasan istana dan masjid negeri. Tetapi British yang mula menunjukkan taring penuh sejak menghukum bunuh atau membuang para pemimpin Melayu Perak 1877 berjaya menghilangkan cerita ini… Caranya, bakar dan hancurkan bandar-bandar Melayu seperti yang pernah berlaku di Bandar Baru, Batak Rabit, Kota Setia, Pasir Salak dan beberapa lagi bandar Melayu ketika perang orang Melayu dengan British memuncak akibat pembunuhan Birch, penduduknya bertempiaran merempat mencari penempatan baru. Kemudian di atas puing-puing kota Melayu ini, mereka dirikan estet getah atau kelapa sawit, atau tinggalkan ia menjadi hutan belukar… Dengan cara itu, bukti kewujudan bandar-bandar Melayu dapat dikuburkan. Tinggallah sedikit kesan seperti makam-makam raja terperosok jauh di tempat jin bertendang.
Pada masa yang sama, penjajah secara sistematik mendirikan bandar-bandar baru mengikut acuan mereka, diterajui bangsa-bangsa bukan Melayu, diwar-warkan seantero dunia agar menjadi identiti tanah-air ini… Sistem yang sama juga dilakukan di setiap negeri Melayu yang berjaya dikuasai mereka. Lalu kekallah ciri-ciri ini dan sampai sekarang orang Melayu jadi keliru akan kekuatan serta asal-usul bangsa sendiri.


Siapakah Raja Ahmad….

Salasilah rasmi keSultanan Perak mencatatkan Raja Ahmad sebagai anakanda kepada Sultan ke 19 Perak, Sultan Abdul Malik Mansur Shah ibni Sultan Ahmaddin Shah. Baginda dikatakan telah berkahwin dengan Che Long, juga dikenali sebagai Che’ Puan Busu, anak seorang Raja Bugis daripada Lingga bernama Daeng Masiah.
Menurut ceritanya, daripada perkahwinan ini terbitlah Sultan Jaafar yang menjadi Sultan ke 23 Perak (memerintah 1857-1865). Sultan Jaafar ialah ayahanda kepada Sultan Abdullah Muhammad II (Sultan ke 26, memerintah 1874-1877), raja yang dibuang ke Pulau Seychelles bersama Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin, Menteri Paduka Tuan Ngah Ibrahim dan Syahbandar Uda Ma’amor.
Seorang lagi anakanda Raja Ahmad ialah Raja Bendahara Alang Iskandar, ayahanda kepada Sultan Idris I yang membuka Bukit Chandan tahun 1880an. Sultan Idris ialah bapa kepada Sultan Abdul Jalil, datuk kepada Sultan Perak sekarang Sultan Azlan Shah (Sultan ke 34, ditabalkan 1984). Sultan Idris I juga adalah datuk kepada Sultan Idris II ibni almarhum Sultan Alang Iskandar, Sultan ke 33 Perak. Maka itu, Raja Ahmad yang hidup pertengahan abad ke 19 adalah moyang kepada Sultan dan setiap kerabat diraja Perak terdekat dalam abad kebelakangan.
Adapun salasilah lain menyebut Raja Ahmad bukanlah anak kandung Sultan Abdul Malik malah adalah menantu baginda. Ada pula cerita menyambung, baginda adalah seorang anak raja daripada Daik. Cerita lain pula menyebut baginda asalnya cuma seorang pahlawan sahaja tetapi diangkat menjadi kerabat diraja atas jasa kepada raja di samping mengahwini puteri raja. Jadi siapakah sebenarnya Raja Ahmad?
Penulis mula tertarik untuk menziarahi makamnya beberapa hari setelah jenazah Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin selamat disemadikan kembali ke makam diraja Perak di Bukit Chandan 9 September 2006, selepas diingatkan lagi oleh seorang bapa saudara dan kerana makam itu kononnya dijaga oleh seekor harimau yang untut satu kaki, dikenali sebagai Harimau Tepok. Mengikut cerita lisan tempatan, Harimau Tepok juga menjaga makam watak legenda yang dikenali sebagai Keramat Kuala Bidor di Teluk Intan. Dan Keramat Kuala Bidor pula berkait dengan Nakhoda Hitam, Laksamana Raja Mahkota pertama yang hidup pertengahan abad ke 18. Gerak hati mengatakan ada kaitan antara semua watak ini tetapi tidak pasti bagaimana lalu apabila tidak dapat lagi membendung rasa, penulis pun sampai ke situ.
Sejarah rasmi Perak menyatakan Raja Ahmad pernah memegang jawatan Raja Kecil Tengah, Raja diHilir kemudian Sultan Muda. Ada pula yang memanggil baginda dengan gelaran Sultan Ahmad Shah Johan Berdaulat Khalifatullah, tetapi papan tanda di makam yang dibina pihak berkuasa setakat menyatakan baginda sebagai Raja Kecil Tengah yang agak jauh kedudukannya daripada takhta.Mengapa timbul percanggahan ini? Apakah ada cerita lama yang ingin disembunyikan?
Baginda dikatakan mati terjatuh di Kuala Sungai Terus lalu jenazahnya tidak ditemui. Maka itu, makamnya yang terletak di dalam mukim Pulau Besar, Perak itu didirikan sebagai tanda tempatnya hilang, dengan batu peringatan tertulis perkataan “Sultan Ahmad Waliullah.” Mengikut ceritanya, Raja Ahmad adalah penjaga jin kerajaan Perak di Beting Beras Basah, kuala Sungai Perak, tempat terakhir wajib diziarahi setiap Sultan Perak dalam proses pertabalan. Teringat cerita rakyat tempatan menyebut Beting Beras Basah dijaga oleh orang ghaib yang dikenali sebagai Haji Ahmad Dewa. Ada pula kisah menyebut Ahmad Dewa, Keramat Kuala Bidor serta Nakhoda Hitam adalah orang yang sama. Jadi siapakan sebenarnya Raja Ahmad? Apakah kaitan baginda dengan keluarga Laksamana Raja Mahkota?
Yang pasti memang ada kaitan yang nyata. Sultan Abdul Malik Mansur Shah (yang menurut salasilah rasmi adalah bapa Raja Ahmad, mengikut cerita lain bapa mertua) adalah anak Sultan Ahmaddin Shah, Sultan ke 18 Perak dengan puteri seorang Laksamana. Dan Raja Ahmad hilang di Sungai Terus yang merupakan sempadan utara tanah jajahan di bawah kuasa Laksamana…

Untuk cerita berkaitan, sila klik ini:-

Mencari Makam Raja Ahmad bahagian 1
Mencari Makam Raja Ahmad bahagian 2
Mencari Makam Raja Ahmad bahagian 3

Sebenarnya artikel Mencari Makam Raja Ahmad ni ada 6 bahagian... Belum dicampur selingan yang ada kena-mengena... Senang cerita carilah sendiri kat blogspot ni... Takkan semuanya nak bagi makan suap belaka, heh! :]

4 comments:

atte said...

bissmillahirrahmanirahim,

Kehadapan saudara Radzi yang saya hormati..

Izinkan saya perkenalkan diri saya terlebih dahulu...panggil saya Atte..dan asal saya dari Kuala Kangsar.. Saya seorang artis visual dan juga adalah pengkaji sejarah bebas.. dan saya pernah berkhidmat sementara di bawah Galeri Sultan Azlan Shah.

Saya begitu kagum dengan usaha saudara yg juga secara kebetulan mempunyai usaha yg sama dgn saya..iaitu mengeluarkan sejarah melayu yg hilang atau pudar..

malangnya saya tidak dapat menyelesaikan satu masalah yg membelengu saya iaitu tentang sejarah keluarga saya.

5 tahun yang lalu, keluarga saya telah didatangi oleh seorang yg tidak dikenali dan beliau tidak mahu menyatakan namanya..tetapi beliau hanya berkata kpd bapa saya..keluarga saya adalah berdarah Dato Maharajalela atau Pandak Lam.

Bapa saya pernah menceritakan tentang keturunan kami dari melayu bugis dan berdarah Daeng Bersaudara. dan Moyang saya adalah seorng yg bergelar di istana. namanya dikenali sbg Tok Gumbira. tetapi agak pudar tentang kebenaran berkaitan Dato Maharajalela.

Saya mahu minta pertolongan saudara jika ada maklumat tentang salasilah Dato Maharajalela Pandak Lam yg dikatakan ada beberapa isteri..dan saya ingin mencari kebenarannya.

Radzi Sapiee said...

Wassalam. Baru hari ini saya tergerak nak melihat balik artikel ini lalu ternampak komen ini.
Memang Mahajalela Pandak Lam ada banyak anak cucu dari banyak isteri. Tetapi saya sendiri takda maklumatnya. Nampaknya saudara sendiri terpaksa menyusurnya di kalangan ahli keluarga yang tua2. Kalau tak dapat, cuba solat hajat selalu. Dan amalkan zikir asma Ya Hadi selalu untuk meminta petunjuk. Selalu juga solat sunat dan baca ini 11x dalam tahyat akhir...

Subhanakala ilmalana illa ma alamtana innaka antal alimul hakim

Insyaallah akan diberi petunjuk melalu mimpi, pertemuan2 dengan orang yang boleh menolong, tergerak membaca buku tertentu dan timbul limpahan ilham dan sebagainya! :]

Anonymous said...

Rasanya Haji Ahmad dikenali sbg Panglima Hitam Haji Ahmad di kwsan Beting Beras Basah...

Ade penduduk tempatan yg mengenali dia..

taufiek_san@yahoo.com

WaAllahhualam Bisaawab..

Anonymous said...

salam. tergerak saya ingin memberi pandangan mengenai bandar baru atau bandar tua. dulu tempat tu ada penempatan yang di namakan sebagai kg banda! cerita ini bukan lah saya cipta sendiri, tapi lewat sebelum arwah nenek saya meninggal baru lah saya tahu. di maklumkan bahawa arwah nenek saya, agak lewat berkahwin ( dalam 20 an) kalau dari segi faktanya orang dahulu dah kawin berumur 15. time line sangat berselirat untuk saya leraikan. tapi jika masih ada orang tua di kawasan changkat petai, sila lah saudara segera bertemu dan bertanya. kerana salah silah org kg banda tu kalau di tanya mesti akan dijawab bukan org lain tapi orang kita! lingkungan time line tersebut melangkau ke pahang. ok dari segi logic , pejuang atau yg dikenali sebagai pemberontak oleh ingeris mahupun keluarga mereka terpaksa melarikan diri dari kampung asal. Fakta asal terpaksa di gubah untuk mengelak dan merahsiakan perkara sebenar pada masa itu. cuba saudara fikirkan ye, ada pembesar negeri( zaman sekarang) yg mengaku keturunan maharajalela mahupun datok sagor, tapi kalau dari segi fakta dan logik, hanya orang kampung biasa dan tidak terancam saja yang akan tinggal kat kampung asal, manakala keluarga mahupun anak pinak pejuang akan berundur ke tempat lain untuk berlindung! terlalu banyak clue dalam otak saya. ini kerana arwah nenek, tidak pernah membuka cerita terlalu banyak rahsia. dan meninggal pada umur 90 tahun, gigi masih tersusun rapi serta ingatan terhadap al-quran tetap teguh. kalau saudara betul tahu sila cari keturunan de hamid mahupun nasib berkenaan kampung banda. saya akan cuba tolong yang termampu. gerrard_carrot@yahoo.com