Setelah singgah di rumah seorang makcik di Rembau, Negeri Sembilan, kami pun sampai ke Melaka sekitar 10 malam... sempat berjalan-jalan melihat suasana sambut perayaan malam sebelum Krismas sebelum singgah ke sebuah cyber-cafe di mana saya membuat beberapa postings di blogspots saya tentang perjalanan terbaru ke utara, perjalanan meliputi negeri-negeri Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak dalam rangka kerja membuat buku mewah tentang masjid-masjid, perjalanan bersama jurugambar saya saudara Shamsul Yunos dengan isteri saya turut ikut sama.
Dipendekkan cerita, buat pertama-kali isteri saya dapat merasa bermalam di Masjid Kampung Hulu. Keesokannya kami berjalan pula di sekitar Melaka dan melawat beberapa tempat, antaranya Muzium Senibina Malaysia. Sila lihat artikel-artikel berkaitan yang dibuat di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) Sabtu lalu...
Rumah tradisional Melayu (Malay traditional houses)
Senibina istana Melayu (Malay palace architecture)
Pelbagai bentuk senibina (various types of architecture)
Ukiran kayu tradisional (Traditional wood carvings)
Masjid (Mosques)
Kota pertahanan (Forts)
Selesai berjalan di Melaka, kami ke Muar untuk kembali ke rumah ibu bapa saya. Kebetulan hari itu rupanya ulangtahun perkahwinan ibu dan ayah. Kami keluar makan malam di Medan Ikan Bakar, Sabak Awor tidak jauh dari rumah.
Esoknya, selepas bersolat Jumaat di kampung, kami pun menyambung perjalanan untuk naik kembali ke Melaka. Tetapi sebelum itu kami menghala tenggara ke Pagoh, untuk menziarahi makam Sultan Alauddin Riayat Shah di Pagoh.
Dalam perjalanan, saya asyik bertanyakan isteri bila akhir sekali kami ke makam itu. Rupa-rupanya saya tersilap cakap. Isteri saya belum pernah sampai ke sana, hehe! :]
Apapun, selepas menziarahi makam sultan, kami masuk ke lebuhraya PLUS melalui Pagoh sebelum keluar melalui Tangkak... kelihatan Gunung Ledang dari pekan Tangkak.
Kemudian kami ke Jasin lalu ke Merlimau untuk sampai ke Anjung Batu, mahu mengambil feri menyeberang Selat Melaka ke Pulau Besar. Tetapi tertinggal feri jam 6.30 petang, selisih seminit dua sahaja. Terpaksalah menunggu feri terakhir jam 8.30 malam.
Adapun ketika itu Pulau Besar mula ramai orang, kebanyakannya berkemah kerana sudah hampir Ma'al Hijrah. Seperti di Masjid Kampung Hulu, isteri saya pula terasa pertama kali bermalam di Pulau Besar, di sebuah pondok dalam hutan milik seorang sahabat baik saya.
Kalau ikutkan mahu sahaja saya bermalam 2-3 hari lagi, sekurang-kurangnya hingga selesai sambutan Ma'al Hijrah atau tahun baru Islam. Sudah lebih 2 tahun rasanya saya tidak bermalam lama di Pulau Besar... tetapi kami perlu keluar kerana esoknya ada majlis sebelah keluarga isteri di Bagan Lalang.
Pada siang hari pertama Hijriah itulah saya tergerak mengambil gambar masjid dekat pejabat isteri di mana saya sering berehat apabila mahu menemuinya. Itu yang timbul artikel Salam tahun baru, baik Hijriah mahupun Gregorian (tahun mat saleh le...) minggu lepas, dibuat pada siang sebelum kami berlepas ke Pantai Timur pula. Sekian! :]