Salam pagi Jumaat. Selesai cerita perjalanan menyusur Sungai Perak tahun 2000 seperti dikumpulkan dalam artikel Kompilasi cerita kenangan perjalanan bermotosikal besar mengikut aliran Sungai Perak tahun 2000 pada 31 Mac cerita perjalanan seterusnya mahu dikongsikan berlaku di Perancis hampir penghujung tahun sama. Ia adalah untuk meliputi satu acara berkuda. Tetapi sebelum itu biar dikongsikan dahulu beberapa perjalanan yang telah dibuat atas kapasiti rasmi sebagai seorang wartawan akhbar berbahasa Inggeris The New Straits Times. Untuk itu biar sedikit latar belakang pekerjaan sebagai wartawan disebut...
Untuk pengetahuan di bawah nama besar syarikat NSTP (New Straits Times Press) terdapat empat akhbar besar duduk di bawah satu bumbung sekurang-kurangnya pada zaman saya. Ia adalah dua akhbar berbahasa Inggeris iaitu The New Straits Times (NST) dan The Malay Mail dengan dua akhbar berbahasa Melayu iaitu Berita Harian dan Harian Metro. Setiap akhbar ini memiliki edisi mingguan dengan kaki tangan yang terpisah daripada yang lain. Seingat saya ada menimba pengalaman di Sunday Mail selama 2-3 bulan sebelum ditukarkan ke meja berita akhbar utama NST.
Ketika berada di Sunday Mail saya terus dihantar membuat tugasan di luar secara berdikari. Ini adalah selepas diberikan sedikit penerangan tentang apakah yang perlu didapatkan daripada suatu acara atau sidang media. Ketika hari-hari awal di NST pula kena ikut wartawan senior meliputi acara lalu belajar daripada mereka. Selepas seminggu dua baru dihantar keluar sendiri ke mana-mana, secara rata di sekitar Lembah Klang dan Selangor.
Saya diberikan tempoh percubaan selama setahun tetapi mendapat pengesahan (confirmation) 6 bulan lebih awal. Selepas cukup setahun baru dibenarkan bercuti lalu berlakulah perjalanan jauh pertama saya dengan motosikal besar seperti disebut dalam artikel Kompilasi artikel mengingat kembali perjalanan pertama bermotosikal besar solo keliling Semenanjung penghujung tahun 1997 hingga awal 1998. Tidak disedari sehinggalah beberapa hari lalu bahawa sebelum itu ada dihantar untuk membuat tugasan jauh menyeberangi Laut China Selatan untuk ke Sabah. Ketika membuat semakan sebagai persediaan bagi menulis artikel ini baru dapat tahu. Itupun daripada satu sumber yang tak disangka...
Tugasan yang dimaksudkan adalah membuat liputan satu rombongan juruukur mendaki Gunung Kinabalu untuk mengukur kembali ketinggian gunung menggunakan teknologi terbaru. Turut bersama adalah Ketua Menteri Sabah waktu itu, Datuk Seri Yong Teck Lee lalu kami semua mendaki hingga ke puncak dari pintu masuk utama Taman Kinabalu. Saya ingat ini kerana itulah kali pertama ke Sabah lalu dapat mendaki gunung tertinggi di Asia Tenggara (buat beberapa lama). Saya sebut buat beberapa lama kerana itulah yang sering diisytiharkan oleh pihak kita di Malaysia lalu dipercayai semua. Tetapi apabila diselidik dengan lebih teliti rupa-rupa terdapat lebih 20 puncak lain lebih tinggi tetapi kurang dikenali di Asia Tenggara!
Cerita mendaki Gunung Kinabalu ini ada disebut sedikit dalam buku pertama saya "Berpetualang ke Aceh : Mencari Diri dan Erti" yang terbit Jun 2006. Ia dibuat sebagai perbandingan dengan pengalaman mendaki Gunung Nuang dari Kampung Janda Baik seorang diri sekitar tahun 2003. Biar diletakkan di sini perenggan-perenggan berkenaan...
Rasyid mula berangan-angan hendak mendaki Gunung Daik. Anak muda ini pernah menjejaki puncak Gunung Ledang di Johor dan Gunung Jerai di Kedah, masing-masing melebihi 4,000 kaki tinggi dari paras laut. Tetapi kira ‘mengelat’, dengan menunggang motosikal mendaki jalan kecil sampai ke stesyen telekomunikasi berhampiran puncak sebelum memanjat sedikit ke atas. Dengan cara yang sama juga, dia pernah sampai ke puncak Gunung Berinchang di Cameron Highlands (lebih 6,600 kaki) dan Gunung Ulu Kali di Genting Highland (sekitar 6,000 kaki). Yang penting sampai...
Kalau dengan tenaga kudrat sendiri pula, Rasyid pernah mendaki beberapa puncak dengan ketinggian kurang 2,000 kaki termasuk Gunung Lambak (1,600 kaki) di Keluang semasa belajar di Tingkatan Satu dahulu. Tetapi dia juga pernah menjejaki puncak tertinggi di Asia Tenggara, Gunung Kinabalu (13,455 kaki) semasa bertugas sebagai wartawan untuk membuat liputan dan mengiringi rombongan Ketua Menteri Sabah ketika itu, Datuk Seri Yong Teck Lee bersama para pegawai kerajaan dan sekumpulan juruukur Sabah.
Selepas itu diceritakan panjang lebar pengalaman di Gunung Nuang (4,898 kaki) yang mana saya ada tersesat jalan selepas turun dari puncak jam 6.30 petang lalu berada 19 jam dalam hutan pergunungan sebelum dapat keluar. Ini perenggan berikutnya tentang Gunung Kinabalu. Ia dibuat untuk membandingkan dengan keadaan kabus tebal yang dihadapi di puncak Gunung Nuang. Untuk cerita penuh lihat artikel lama
Pendakian dan sesat di Gunung Nuang dalam ingatan....
Dahulu semasa mendaki puncak Gunung Kinabalu pun dia menghadapi masalah yang serupa. Malah keadaan di sana lebih teruk lagi kerana suhunya boleh turun ke tahap beku! Pemuda ini teringat bagaimana dia dan beberapa orang wartawan yang berkongsi bilik di Panar Laban, tempat berehat semalaman setelah penat mendaki sehingga ke paras 11,000 kaki telah bangun tidur dan keluar awal untuk menyambung pendakian jam 3 pagi semata-mata untuk melihat matahari terbit dari atas gunung. Mereka sampai ke Low’s Peak, puncak tertinggi pada paras 13,455 kaki sebelum jam 6 tetapi kabus tebal pula menyelimuti disertai hujan renyai-renyai. Sesekali kabus hilang ditiup angin deras untuk mendedahkan langit mendung dengan awan tebal tetapi digantikan pula kelompok kabus yang lain. Atau mungkin ia sebenarnya awan juga kerana tidak nampak bezanya antara awan dan kabus di puncak gunung?
Masuk jam 7, kabus dan hujan masih melitupi pemandangan. Mereka yang berada di atas pun mula turun sedikit ke bawah, ke sebuah kawasan mendatar meninggalkan Rasyid dan dua orang krew sebuah stesyen televisyen yang terpaksa menjaga peralatan untuk siaran langsung menggigil di celah batu di puncak gunung. Cuaca cuma cerah hampir jam 9, ketika matahari sudah meninggi. Kempunanlah pemuda itu untuk menikmati pemandangan mataharit terbit dari Gunung Kinabalu...
Pun begitu saya tidak ingat bilakah perjalanan ke Sabah dan pendakian Gunung Kinabalu itu berlaku. Fikir saya harus dalam tahun 1998 atau awal 1999. Dahulu berjaya juga ditemui satu artikel berkenaan menggunakan Google lalu dapat melihat sedikit butiran. Sekarang tak dapat jumpa langsung rujukan. Kalau mahu nampaknya harus mencari artikel lama dalam akhbar NST yang cuma boleh dicapai melalui perpustakaan pejabat. Ia bukan untuk orang luar kecuali mereka yang melanggan perkhidmatan.
Nasib baik dapat ditemukan cerita berkenaan dalam Wikipedia berbahasa Inggeris tentang Gunung Kinabalu (lihat
sini). Pada perenggan kedua laman ada disebut ini :-
In 1997, a re-survey using satellite technology established its summit (known as Low's Peak) height at 4,095 metres (13,435 ft) above sea level, which is some 6 metres (20 ft) less than the previously thought and hitherto published figure of 4,101 metres (13,455 ft).
Terjemahan saya :-
Pada tahun 1997, satu tinjauan semula menggunakan teknologi satelit telah menetapkan puncak (dikenali sebagai Low's Peak) pada ketinggian 4,095 meter (13,435 kaki) atas paras laut, sekitar 6 meter (20 kaki) rendah berbanding apa yang sudah diterima sebelum itu lalu diisytiharkan iaitu 4,101 meter (13,455 kaki).
Saya tahu yang membuat tinjauan itu adalah rombongan juruukur yang diikuti naik hingga ke puncak gunung. Dengan itu tahulah bahawa perjalanan ini sebenarnya berlaku pada tahun 1997. Walaupun masih tidak dapat menetapkan tarikh tepat saya tahu ia harus berlaku 6 bulan selepas masuk NST 16 September 1996 iaitu selepas 16 Mac 1997. Ini kerana tugasan sebegini cuma akan diberikan kepada mereka yang sudah mendapat pengesahan kerja sebagai wartawan lalu layak diberikan kepercayaan, bukan dalam tempoh percubaan.
Turut disangkakan berlaku pada sama ada tahun 1998 atau awal 1999 tetapi sebenarnya pada 1997 adalah perjalanan mengikut satu kumpulan peminat kenderaan pacuan empat roda beradu kebolehan di Perak. Saya ingat bagaimana kami masuk kawasan hutan bermesra dengan orang asli sambil membuat ujian kecekapan pemanduan di beberapa laluan lasak. Ketika menulis artikel ini baru terfikir rasanya ada meletakkan salinan teks laporan berita di blogspot berbahasa Inggeris BERPETUALANG KE ACEH. Saya pun menyemak lalu mendapati memang ada, dalam artikel yang diberi nama ringkas 4x4 pada penghujung tahun 2006.
Daripada artikel tersebut baru ingat nama acara adalah National 4x4 Challenge lalu dapat dicari gambar atas dan rujukan di Facebook. Baru jelas bahawa ia berlaku pada 20-24 September 1997. Baru juga teringat ia membuka jalan pada siri tahunan Rainforest Challenge yang kini bertaraf dunia. Lihat sini.
Pada awal tahun 1999 saya ditukar ke meja sukan. Sebelum itu beberapa bulan duduk di meja supplements (tak pasti apa dalam bahasa Melayu) yang mana penulisan lebih banyak dibuat berdasarkan maklumat bertulis yang dikongsikan orang lalu sangat jarang membuat tugasan di luar. Ia lebih pada mengiklankan suatu produk atau perkhidmatan tetapi dengan gaya laporan berita berwarna-warni yang tidak kelihatan seperti iklan. Untuk pengetahuan laporan berita biasa lebih straightforward, tidak dibenarkan menambah rencah atau terlalu bermain dengan kata-kata.
Kita cuma boleh menyatakan apa, di mana, bilakah berlaku suatu perkara dan mungkin sesekali kenapa dengan sedikit butiran berkenaan. Apabila menyebut tentang seseorang berkata, cuma boleh menyebut dia berkata dan apa yang dikatakan itu. Tidak boleh menyebut dia berkata dengan muka serius, riang atau sebagainya atau dia memakai baju apa, datang dengan kereta apa. Tetapi ini boleh dilakukan dalam artikel bersifat rencana. Laporan sukan memberikan ruang untuk menulis sebegitu selalu.
Bila dah masuk meja sukan juga baru kembali merasa selalu dihantar ke luar pejabat malah lebih jauh ke luar kawasan. Saya ingat ditukar ke meja sukan itu antaranya adalah sebagai persediaan untuk meliputi acara Formula One pertama di Malaysia pada 17 Oktober 1999. Sejak awal selalu berulang alik ke Litar Lumba Antarabangsa Sepang dengan motosikal besar kesayangan 60 km dari pejabat untuk mengikuti acara-acara dan majlis di sana. Saya diberikan pengkhususan untuk meliputi acara-acara sukan bermotor seperti lumba kereta rally dan perlumbaan motosikal selain sukan hoki, kapal layar dan berkuda.
Sebagai wartawan sukan bermotor saya pernah ikut naik dalam satu kapal terbang yang dihadkan pada pelumba dan ahli kumpulan Sauber-Petronas pergi ke Pulau Pinang untuk membuat demonstrasi lumba kereta Formula One, dan kalau tak salah ingatan pada tahun lain di Langkawi. Ketika itu perhubungan saya agak baik dengan pengurusan tertinggi Petronas. Tiap-tiap tahun mereka menghadiahkan tiket paling mahal bagi acara Formula One Malaysian Grand Prix (berharga RM1,600 sekeping untuk kawasan kerusi yang dikira terbaik di litar lumba).
Padahal sebagai wartawan yang meliputi acara saya boleh pergi ke hampir ke mana sahaja bahagian litar lumba tanpa perlu memiliki tiket. Pelumba-pelumba terkenal dunia yang orang selalu lihat dalam televisyen pun biasa disapa begitu sahaja, sesekali diajak berbual ketika mundar mandir di ruangan VIP dan sebagainya. Dengan Perdana Menteri pun saya biasa duduk bersila bersoal jawab sambil memakai t-shirt dan seluar jeans pada kala ramai orang lengkap berkot bertali leher berdiri tegak dan 'tegang' mengikut protokol bagai. Sedangkan PM sendiri lebih terbuka orangnya, lebih melihat pada buah fikiran yang diutarakan, bukan pakaian rasmi mahal yang selalu diperbesarkan oleh orang yang suka bermuka-muka.
Sebagai wartawan sukan berkuda pula saya dapat mengenali beberapa pemimpin negara dan personaliti terkenal tanah air di sebalik tabir. Saya pernah diperkenalkan dalam kapasiti peribadi 'kawan-kawan' minum-minum dengan seorang yang kini memegang takhta sebuah negeri, ketika meliputi satu perlawanan di sebuah kelab polo. Begitu juga halnya apabila diminta membuat liputan tentang sukan kapal layar. Hmm. Bab ni terlupa apakah berlaku setelah bergelar wartawan sukan atau ketika menjadi wartawan berita meja utama. Saya pernah diperkenalkan dengan seorang lagi hamba Allah yang kini memegang takhta sebuah lagi negeri di kelab kapal layar. Pendek kata tidak kurang kenalan yang boleh mengangkat ke tempat tinggi kalau itulah yang dimahukan dalam kehidupan ini.
Oh. Saya juga pernah dihantar untuk membuat liputan satu siri baru lumba basikal keliling Malaysia anjuran Polis Diraja Malaysia yang seingat saya dipanggil sebagai Jelajah Mesra PDRM, tak ingat tahun bila. Turut bersama ramai polis berpangkat tinggi juga yang biasa-biasa. Ketika itu dapat dilihat perangai sebenar sesetengah polis di balik tabir. Tapi nak kata apa? Saya pun ketika itu lebih kurang sama. Nak sebut lebih-lebih karang takut orang kata fitnah juga membuka pekung di dada. Anggap sahaja perangai biasa orang suka berhibur lalu ada pihak sedia untuk memenuhi keperluan mereka.
Sebagai wartawan sukan saya juga disuruh mengikuti acara sukan lasak generasi baru seperti berlawan main skateboard dan rock climbing pada peringkat profesyional. Untuk itu saya pernah dihantar lebih seminggu untuk meliputi Asian X Games di Phuket, Thailand. Gambar daripada paspot lama yang dikongsikan dalam artikel berbahasa Inggeris Reminiscing some old travels via international passports ini menunjukkan saya berada di sana 3 hingga 13 Disember tahun 2000.
Sekitar sebulan dua sebelum itu berlakulah perjalanan ke Perancis yang ceritanya mahu dijadikan siri ini. Tetapi sebelum dapat berkongsi cerita perjalanan tersebut ada baiknya dipersembahkan terlebih dahulu satu artikel khas tentang bagaimana boleh terlibat dengan sukan berkuda dan apa yang saya tahu tentangnya.