Kalau ikutkan selepas tamat sesi pembentangan pagi maka harus diadakan soal jawab untuk sesi itu. Tetapi ketika ia tamat pun sudah hampir jam 11.30 sedangkan majlis mahu mematuhi masa berehat makan tengah hari pada 12.30. Maka itu tinggal sejam sahaja untuk 3 orang pembentang sesi tengah hari dengan semua soalan termasuk daripada sesi pagi ditujukan selepas pembentangan.
Disebabkan sejam yang tinggal itu termasuk soal jawab untuk dua sesi pengerusi memberikan peringatan kali ini pembentang cuma diberi masa 15 minit sahaja setiap seorang. 15 minit sahaja fikir saya? Ini harus jadi semacam express train presentation yang tergesa-gesa. Tak mengapa, asal dapat mencapai tujuan perkongsian ilmu. Pembentang pertama sesi tengah hari, Profesor Emeritus Dato' Dr Wan Hashim Wan Teh menerima ini dengan senyuman. Orang lama akademik yang kini berkhidmat dengan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia itu membawa tajuk "Asal Usul Melayu Dalam Perspektif Antropologi Budaya Dan Etno-Linguistik".
Beliau membuka dengan menerangkan dahulu teori-teori lama, teori-teori lapuk tentang asal usul Melayu.
OK. Saya dah terlupa apakah yang disanggah Prof Wan di sini. Rasanya bukanlah beliau menyanggah Prof Nik (Prof Emeritus Dato' Dr Nik Hassan yang membentang pada sesi pagi - lihat
Seminar Asal-Usul Melayu di UKM - Mengaitkan Adam dengan bangsa Melayu). Kerana saya baru tahu mereka sering membuat kajian bersama. Pada majlis ini juga saya mendapat tahu Prof Wan sudah lebih dahulu mempelopori ATMA (Institut Alam dan Tamadun Melayu) di UKM sebelum Pro Nik mengambil-alih teraju. Maka itu saya rasa yang dimaksudkan adalah ada pihak menyanggah teori Prof Nik yang seiring dengan teori Prof Wan.
Seingat saya baru sekali dua pernah mendengar pembentangan Prof Wan sebelum ini. Kalau Prof Nik saya dah ikuti banyak kali dan sedikit sebanyak kami sudah saling mengenali. Dengan Prof Wan baru dalam majlis ini saya bertegur sapa lalu berbual-bual dengannya. Yang saya ingat Prof Wan menolak teori-teori lama yang mengatakan Melayu berasal daripada luar sebelum berhijrah ke mari. Lalu seperti dinyatakan Zaharah pada sesi pagi dan Oppenheimer (yang menjadi salah satu rujukan Zaharah) dan sebagainya beliau memegang kuat teori baru bahawa orang Melayu memang sedia asal pribumi di Asia Tenggara yang dahulunya pernah menjadi daratan besar yang dikenali pengkaji sebagai Sundaland.
Dahulu ramai mendakwa bahawa orang Melayu berasal dari selatan Cina. Prof Wan telah ke sana lalu mengkaji budaya dan bahasa hampir semua kalau tidak semua pun suku kaum Cina yang ada. Beliau mendapati tidak ada satu pun yang memiliki ciri-ciri bersamaan Melayu. Logiknya kalau Melayu berasal dari sana, maka harus ada kaum induk yang mana Melayu berasal daripadanya. Dan kaum ini harus memiliki ciri-ciri yang boleh menunjukkan Melayu di Asia Tenggara berasal daripada mereka. Tapi Prof Wan tidak menemui ciri-ciri tersebut pada sekian banyak kaum yang ada bukan sahaja di selatan China malah bahagian lain wilayah itu.
Kajian meliputi pula kawasan Hainan dan pulau Taiwan yang boleh dikira bahagian selatan Cina. Di situ baru ditemukan satu etnik yang memiliki ciri-ciri Melayu. Jadi apakah ini menyokong teori berkenaan bahawa Melayu berasal daripada Taiwan pula? Tidak kata Prof Wan. Malah etnik di Taiwan yang memiliki ciri-ciri Melayu itu yang sebenarnya berasal dari Alam Melayu. Mereka masuk ke Taiwan melalu Philipina yang memang termasuk di dalam lingkungan Alam Melayu.
Cuma Prof Wan telah menambah satu lagi dimensi yang tidak saya ketahui sebelum ini. Bahawa etnik Melayu di Taiwan itu berasal daripada orang Melayu-Champa yang berhijrah keluar daripada lingkungan biasa Alam Melayu beberapa kurun yang lalu.
Nota : Ada pembaca menegur bahawa yang dikatakan daripada Melayu-Champa itu adalah etnik di Hainan bukannya Taiwan, Saya pun tak pasti kerana begitu banyak maklumat cuba dicerna semalam tanpa saya membuat catatan. Jadi saya letakkan teguran sebagai nota ya...
Lebih menarik adalah apabila Prof Wan mengangkat kembali satu pendedahan yang beliau buat bersama Prof Nik 21 tahun lalu. OK, saya tidak merakamkan semua slaid kerana satu, apabila saya fokus lensa untuk mengambil gambar tengok-tengok dah tukar slaid lain, Kedua, kadangkala memang saya terlupa mengambil gambar kerana leka mencerna maklumat masuk ke dalam kepala. Yang pasti, Prof Wan memberitahu bahawa pada tarikh yang disebut di atas beliau dan Prof Nik mengumumkan bahawa Melayu sedia berasal daripada Asia Tenggara. Ini pada tahun 1994 ni, ketika saya masih terkapai-kapai mencari identiti diri di London, 7 tahun kemudian baru betul-betul mula mencari keMelayuan. Hampir penghujung tahun 2013 pula baru tahkik atau tetap dalam fikiran saya bahawa Melayu berasal daripada Sundaland iaitu daratan besar yang pernah wujud di Asia Tenggara. Padahal saya telah diberitahu oleh orang tua-tua hal ini seawal tahun 2002 tetapi tidak mengendahkannya.
Pada kala beberapa orang lain mahu filem dimulakan dengan kisah kebesaran Srivijaya saya pula bertegas ia harus dimulakan dengan kisah Sundaland diikuti ia dilanda banjir besar yang membentuk muka bumi sekarang. Banjir itu harus dapat dikaitkan dengan kisah banjir Nabi Nuh. Baru kita boleh membuka lain-lain persoalan berkenaan Melayu termasuk keagungan kerajaan Srivijaya dan sebagainya. Secara rata saya mahu asal usul Melayu dapat dikaitkan dan diseleraskan dengan kisah-kisah daripada kitab juga kajian saintifik. Selepas itu baru boleh dikembangkan agar dapat menerangkan keberadaan kita sekarang.
Berdasarkan pembacaan buku "Eden of The East" yang diterbitkan tahun 1998 diikuti "Atlantis, The Lost Continent Finally Found" tahun 2005 saya menyangkakan bahawa teori Melayu berasal daripada sini harus pertama kali diwar-warkan kepada umum tahun 1998. Pada majlis ini baru saya tahun Prof Wan dan Prof Nik sudah mewar-warkannya sejak 1994 lagi. Cuma mereka tidak menyebut tentang Sundaland, cukup Melayu berasal dari sini, bukan dari luar. Dan seingat saya dalam seminar ini, Prof Wan ada menyebut hal tersebut beliau mula siasat setelah membaca satu buku atau kajian dari Philipina tahun 1980an gitu.
Kesimpulan pembentangan adalah seperti di atas. Jika dahulu cendekiawan seperti Prof Wan dan Prof Nik mendapat keyakinan Melayu berasal dari sini melalui kajian budaya dan bahasa kini ia turut disokong pelbagai disiplin termasuk ilmu geologi dan kajian DNA.
Pembentang kedua sesi tengah hari, Profesor Dato' Dr Abdullah Zakaria daripada Jabatan Sejarah, Universiti Malaya membuka tajuk "Kerajaan Melaka Dan Kelangsungan Kerajaan Melayu di Tanah Melayu" dengan bercakap terus tanpa bantuan slaid di tempat duduknya, tidak di salah satu podium yang disediakan untuk membuat pembentangan.
Menggunakan premis kerajaan Melaka diasaskan tahun 1262 Masihi (diumumkan tahun 2010 namun masih ramai menggunakan premis lama Melaka bermula tahun 1400 kerana ada beberapa perkara belum dapat diselaraskan oleh pentarikhan baru) tanpa melupakan bahawa Kedah sudah masuk Islam seawal 1136 M, beliau menceritakan peringkat demi peringkat, zaman demi zaman bagaimana Malaysia boleh mendapat 9 orang raja yang kita lihat sekarang (di Perlis, Kedah, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Johor, Pahang, Terengganu dan Kelantan).
Pembentang ketiga dan terakhir sesi, Prof Madya Dr. Zuliskandar Ramli pula membawa tajuk "Kerajaan Dan Politik Awal Di Asia Tenggara Antara Abad Pertama Hingga Abad Kelima Masihi".
Dengan itu sejarah kerajaan Funan di Indo-China pun disentuh membawa kepada kerajaan-kerajaan yang dikira muncul kemudian seperti Langkasuka, Pan-Pan, Chi Tu dan Kataha (Kedah Tua).
Masuk sesi soal jawab saya terus membuka persoalan tentang Nabi Adam, bila atau berapa ribu tahun dahulukah baginda turun dari syurga ke bumi dan bagaimana hal ini mahu diseleraskan dengan kajian saintifik yang menunjukkan manusia moden sudah wujud lebih 100,000 tahun lalu sedangkan sesetengah ulamak mengatakan baginda turun 6,000 tahun lepas. Prof Nik (ingat, sesi soal jawab ini adalah untuk sesi pagi juga tengah hari) menjawab bahawa apapun penemuan saintifik beliau tetap berpegang kita semua berasal daripada Adam. Cuma bilakah Adam turun itu, menurutnya tiada siapa dapat menentukan lagi, yang ulamak sebut 6,000 tahun lalu itu beliau tak pegang.
Prof Wan pula menambah beliau percaya memang ada makhluk serupa manusia sebelum Adam yang menjadi moyang kita itu turun. Kewujudan makhluk sebegitulah yang menerangkan kenapa ditemui fosil atau tinggalan tulang manusia sehingga usia lebih 100,000 tahun malah hampir 2 juta pun ada. Namun beliau pun tidak dapat menyatakan bilakah Adam turun. Dengan itu saya pun berkongsi fikiran bahawa apa yang beliau katakan itu sudah lama saya sendiri pegang berdasarkan kisah dalam Surah al-Baqarah yang membayangkan pernah wujud makhluk seperti manusia membawa kerosakan di muka bumi selepas Allah SWT menyatakan Adam dicipta untuk menjadi khalifah di muka bumi.
Selain itu saya menambah bahawa Quran (ke hadis, saya dah lupa) menyebut bahawa masa di bumi ini makin lama makin pendek. Maka sehari pada zaman Nabi Muhammad SAW adalah jauh lebih panjang berbanding sehari zaman ini, apalagi sehari semasa zaman Nabi Adam. Maka itu kalau kita mengambil kira faktor ini mungkin boleh dibuat kiraan sehingga Adam boleh diletakkan sebagai turun pada tempoh masa yang bersamaan lebih 100,000 tahun lalu (berbanding panjangnya masa kini). Hal serupa malah pernah saya kemukakan di hadapan Prof Nik dan sejumlah cendekiawan lain 3 tahun lalu. Lihat
Forum Identiti Melayu di Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya. Pada artikel
Kira-kira masa sebenar berdasarkan maklumat orang 'lama' yang dibuat setahun setengah selepas itu pula saya cuba membuat kira-kira baru berdasarkan fakta hari semakin pendek itu. Tetapi ada asas perkiraan,
variable atau pemboleh-ubah seperti berapa panjangkah masa pada zaman Nabi Adam yang harus diperbaiki jika kita mahu kiraan yang lebih tepat. Apapun ia cukup untuk menunjukkan bagaimana tempoh turunnya Nabi Adam itu boleh dipanjangkan sehingga beratus ribu tahun dahulu jika dibandingkan dengan hari zaman sekarang yang jauh lebih pendek.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan