Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-






Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Thursday, March 15, 2007

Laksamana pulang ke Perak: Menyusuri cerita lama Muar

Assalamualaikum para pembaca sekalian. Memandangkan sudah masuk 15 Mac maka saya rasa sesuailah jika segmen ke 5 "Laksamana pulang ke Perak" yang diterbitkan untuk akhbar tabloid Kencana edisi ke 114, Mac 1-15 turut dikongsi bersama di sini. Untuk pengetahuan, cerita yang diletakkan di sini adalah dokumen asal. Maka ada sedikit perbezaan dengan cerita yang keluar dalam Kencana kerana di sana, tuan pengarang perlu membuat sedikit perubahan bersesuaian dengan ruang yang boleh dipakai serta polisi akhbar. Silakan membaca...


Mukadimah
Kitab Sulalatus Salatin ataupun Sejarah Melayu karangan Bendahara Johor abad ke 17, Tun Sri Lanang ada menyebut, sebelum Raja Iskandar (dikenali Barat sebagai Parameswara) membuka kerajaan Melaka yang berpusat di Sungai Bertam (sekarang dikenali sebagai Sungai Melaka), baginda telah cuba membuka negeri di Muar terlebih dahulu. Menurut ceritanya, ini berlaku sejurus selepas kerajaan Singapura pimpinan baginda jatuh diserang Majapahit. Lalu larilah raja ini menghala ke utara dengan para pengikutnya untuk mencari tempat baru yang boleh dijadikan negeri.
Sampai ke suatu tempat di pinggir Sungai Muar, Raja Iskandar pun berhenti berjalan lalu cuba membina penempatan baru. Malangnya tempat itu selalu dinaiki biawak, bukan seekor dua tapi berpuluh sehingga beratus ekor! Mula-mula binatang-binatang ini dapat dibunuh tapi keesokannya datang sekawan besar biawak baru lalu dibunuh lagi. Ini berlaku beberapa hari seterusnya sehingga jadi bertimbun-timbun bangkai biawak yang membusuk. Baginda dan para pengikutnya tidak tahan lagi lalu meninggalkan tempat itu. Sebab itu kawasan ini dikenali sebagai Biawak Busuk.
Sang raja pun mudik lebih jauh menyusuri Sungai Muar sehingga terjumpa tempat baru yang dirasakan sesuai untuk dibuat negeri. Setelah berpenat-lelah membuka hutan sekitar, rakyat baginda berjaya membina sebuah kota. Nampaknya lokasi ini lebih baik daripada tempat sebelumnya, rupa-rupa tak juga… Mereka cuma sempat bermalam satu hari sahaja. Keesokannya, kota yang dibina bertukar menjadi buruk , tidak tahulah kenapa. Maka tempat itupun dikenali sebagai Kota Buruk sementara Raja Iskandar pula terpaksa mengembara lagi untuk mencari negeri.
Setelah berjalan lama, sampailah mereka ke tepi Sungai Bertam. Di situlah berlaku peristiwa yang terkenal dalam cerita pembukaan negeri Melaka iaitu anjing pemburu baginda ditendang seekor pelanduk yang berani sehingga anjing itu terjatuh ke dalam sungai! Kebetulan ini berlaku ketika sang raja sedang berehat di bawah pokok Melaka. Mengikut ceritanya, sempena peristiwa itulah, Raja Iskandar terasa tempat itu elok dibuat negeri, maka diberi nama Melaka.
Cerita mengenai pembukaan negeri Melaka ini boleh dikatakan sangat terkenal sehingga diketahui kebanyakan rakyat Malaysia yang sedikit peka terhadap sejarah negara. Berapa ramai yang sedar, sebelum itu baginda telah dua kali cuba membuka negeri di Muar tetapi gagal?
Dari satu segi, memang Raja Iskandar telah ditakdirkan untuk membuka negeri di Melaka, sebab itu baginda menghadapi masalah biawak busuk dan kota buruk terlebih dahulu. Tetapi daripada segi lain, kenapa pula seorang raja yang dikatakan berdaulat tinggi, keturunan Raja Iskandar Zulkarnain yang turun ke Bukit Siguntang boleh kecundang di Muar? Apakah ada yang tersirat di sebalik ini?

Istirehat sejenak di kampung halaman

Ketika memulakan segmen kali ini, penulis baru seminggu selesai mengharungi pengembaraan secara solo di utara tanah air setelah lebih 2 tahun tidak menjejakkan kaki ke sana. Pengembaraan yang meliputi lokasi-lokasi tertentu di Pulau Pinang, Kedah, Perlis juga Pulau Langkawi selama tiga minggu dengan menaiki kenderaan awam, hitch-hike dan berjalan kaki (sempat mendaki Gunung Jerai seorang diri pada satu malam Jumaat) begitu memenatkan zahir dan batin sehingga terasa hendak menulis satu perenggan pun begitu payah… Terlalu banyak yang berlaku menyebabkan penulis harus menilai kembali pegangan dan arah tujuan hidup selama ini.
Pengembaraan ke utara itupun sebenarnya cuma separuh daripada gerak pengembaraan yang bermula pertengahan Disember 2006 dengan perjalanan ke Pantai Timur. Seorang sepupu mahu melangsungkan perkahwinan di Kuala Terengganu lalu penulis pun terpanggil untuk ke sana. Memandangkan kali terakhir berada di sana adalah ketika pemerintahan Terengganu bertukar tangan pada pilihanraya 2004, elok juga digunakan peluang ini menjelajah Kelantan sekali. Maka jadilah perjalanan dua minggu meliputi Terengganu, Kelantan juga sebahagian Pahang sekali.
Gerak pengembaraan ini disusuli pula dengan perjalanan kembali ke Muar untuk menyambut Aidil Adha, sempat melihat sedikit kesan peninggalan banjir besar Johor di kawasan Pagoh lalu bermalam di masjid bersebelahan makam Sultan Alauddin Riayat Shah Melaka. Kemudian perjalanan diteruskan ke Pulau Besar, Melaka setelah setahun tidak ke sana. Selesai ini barulah berjalan ke utara…
Dalam siri pengembaraan ini penulis mula terasa kesan umur yang semakin meningkat menghampiri 40… Dari segi zahir, kekuatan itu masih ada walaupun selalu diserang demam akibat penat berjalan, kurang berehat serta perubahan cuaca… Sempat juga diserang begok sehingga pipi sebelah kanan membengkak seperti telur semasa di Kelantan. Yang paling terasa apabila memikirkan arah tujuan hidup… Sampai bila harus mengembara begini? Bilalah mahu mendapat rasa istirehat lalu dapat hidup secara “normal” seperti orang lain. Bukan senang hendak mengekang “penyakit” kuat mengembara bila ia datang… Kalau tidak diendahkan, terasa panas punggung dan jiwa resah gelisah sehingga terbawa-bawa ke dalam tidur. Mahu buat kerja seperti menulis di ruangan ini pun terasa sangat susah…
Akhirnya, apabila beban penat zahir dan batin sudah rasa tidak tertanggung lagi, penulis kembali sekali lagi ke kampung ibunda di Muar untuk menemui ayahanda dan bonda.
Setelah meluahkan segala rasa yang terbit sepanjang perjalanan di utara itu, baru terasa lega dan boleh menyambung sedikit penulisan ini, itupun tersangkut beberapa hari lagi setelah kembali ke Kuala Lumpur.
Oh… Semasa di Muar, penulis sempat merasa lagi Mee Bandung Muar yang agak terkenal juga hidangan nasi beringin di sebelah stesyen bas. Ketika berjalan di bandar sambil menghirup nostalgia lama zaman kanak-kanak, terjumpa pula apek menjual air tebu yang biasa berniaga di satu sudut jalan… Sama keadaannya seperti 20 tahun lalu dan air tebu itu masih murah harganya, cuma 60 sen segelas.
Di kawasan kampung pula, penulis sempat menaiki Bukit Treh, satu-satunya bukit yang terletak dalam lingkungan 5km daripada bandar Muar… Menurut cerita tempatan, bukit ini ialah sebuah kapal yang disumpah dan ceritanya sama seperti cerita Si Tanggang yang derhaka terhadap ibu-bapanya. Tapi biar cerita ini disimpan untuk keluaran seterusnya. Di sini, biar diceritakan sedikit keistimewaan Muar untuk dikongsi bersama…

Muar bukan calang-calang tempat.

Bandar Muar yang merupakan bandar kedua terbesar di Johor, selepas ibunegeri iaitu Johor Bahru, juga dikenali sebagai Bandar Maharani. Nama ini diberi oleh Maharaja Abu Bakar apabila bekas Temenggung itu membukanya secara rasmi tahun 1877… Sempena gelaran Maharani yang dipakai oleh permaisurinya ketika itu.
Untuk makluman, Maharaja Abu Bakar asalnya mewarisi gelaran Temenggung Sri Maharaja daripada bapanya Temenggung Ibrahim. Keluarga Temenggung berpusat di Teluk Belanga, Singapura tetapi berkuasa ke atas sebahagian besar Johor seperti yang dikenali sekarang.
Keadaan semasa yang menyaksikan bekas empayar Johor-Riau dipecah-belahkan penjajah Barat iaitu Inggeris dan Belanda telah memberi peluang kepada beberapa orang pembesar mengangkat diri sebagai raja. Dalam kekalutan inilah Temenggung Abu Bakar mula memakai gelaran Maharaja , kemudian dinobatkan sebagai Sultan lalu dikenali sebagai Bapa Johor Moden. Anak cucu baginda terus berkuasa ke atas Johor sehingga kini. Sultan sekarang ialah Sultan Mahmud Iskandar bin Sultan Ismail bin Sultan Ibrahim bin Sultan @ Maharaja @ Temenggung Abu Bakar.
Tempoh masa yang sama juga menyaksikan Bendahara Wan Ahmad mengangkat diri sebagai Sultan yang menerbitkan kerabat diraja Pahang sekarang. Menarik juga memikirkan hal ini apabila terkenang kedudukan geografi Muar yang terletak antara Pahang dan Johor, kedua-duanya adalah pecahan daripada empayar Melaka yang jajahan takluknya diwarisi empayar Johor-Riau. Lebih menarik lagi, Muar sudah lama dikenali zaman berzaman sebagai tempat jalan pintas daripada Melaka ke Pahang, melalui Sungai Muar mudik ke hulu sampai ke tempat bernama jalan penarikan di mana perahu boleh ditarik dalam 100-200 meter untuk masuk ke Sungai Serting seterusnya Sungai Pahang.
Dalam keluaran lepas, kita telah menyentuh akan peranan Muar dalam iklim sosio-politik empayar Melaka dahulukala. Telah dinyatakan, di sekitar pasar Muar terdapat bekas Kubu Bentayan yang dikatakan tempat pertahanan terakhir keSultanan Melaka sebelum jatuh ke tangan Portugis tahun 1511. Ketika itu, Sultan Ahmad ibni Sultan Mahmud mengetuai ketumbukan pahlawan Melayu di sana sementara Sultan Mahmud berkubu di Pagoh. Kekalahan mereka menyaksikan kedua-duanya lari ke Pahang melalui jalan penarikan di mana mereka berlindung di bawah naungan kaum kerabat mereka juga tetapi daripada keturunan Sultan Muhammad Shah ibni Sultan Mansur Shah Melaka.
Sultan Muhammad telah dibuang daripada takhta Melaka tetapi diberi kekuasaan ke atas Pahang, Ini berlaku akibatnya membunuh anak Bendahara yang secara tidak sengaja telah menyepak bola-raga sehingga terkena kepala Sultan yang ketika itu merupakan putera mahkota Melaka.
Apapun, Muar telah lebih dahulu berperanan dalam sejarah Melayu sebelum Melaka. Maka itu penulisan ini dimulakan dengan cerita Raja Iskandar yang telah dua kali cuba membuka Muar tetapi gagal dan kemudian baru mengasaskan kerajaan Melaka.
Sebenarnya Muar telah lama terkenal dalam sejarah dunia, salah satunya melalui catatan pengkaji Barat seperti Ptolemy, seorang pendita Yunani yang berpengkalan di Mesir sekitar abad ke 2 Sebelum Masihi. Dalam catatannya mengenai Golden Chersonese atau Semenanjung Emas (dikatakan Semenanjung Tanah Melayu ini!). Ptolemy menyebut tentang kewujudan Mount Ophir atau Gunung Ophir yang disamakan dengan Gunung Ledang kerana dikatakan di situ kononnya terdapat banyak emas malah ada yang kata ia mengandungi gedung perbendaharaan Nabi atau Raja Sulaiman AS!
Cerita Puteri Gunung Ledang pula sangat terkenal di kalangan orang Melayu sehingga timbul cerita sang puteri yang cantik rupawan digilai Sultan Melaka. Sekarang biar kita meneroka pula satu lagi aspek lama Muar, kali ini melibatkan satu cerita lama yang dikenali sebagai Hikayat Malim Deman.


Hikayat Malim Deman: Realiti atau fantasi?

Maka Tuan Puteri Bongsu pun naik bersalin kain basahan, duduk di pintu Nenek Kebayan dengan percintaannya. Maka Nenek Kebayan pun turunlah ke tanah mendapatkan Malim Deman, menyuruh bersiram membalikkan rupa sedia kala itu. Maka Tuanku Malim Deman pun berangkatlah bersiram ke dalam taman itu beryang-yang mengamalkan sekalian ilmu hikmat. Setelah sudah, kembalilah rupanya seperti sedia kala, terlalu elok mejelisnya, lalu kembali ke rumah Nenek Kebayan, serta dipakainya baju layang dan kain layang Tuan Puteri Bongsu itu melalui dari pintu nenek yang tempat tuan puteri. Demi terpandang oleh Tuan Puteri Bongsu akan seorang laki-laki terlalu elok mejelisnya itu, maka berdebarlah hati tuan puteri, melayang roh semangatnya, jatuhlah hatinya kasih sayang yang tiada dapat diperikan lagi, melihatkan rupa cahaya gilang-gemilang itu. Maka tuan puteri pun segeralah menarik tudung ke atas hulunya berselubung mukanya lalu baring seraya bersabda memanggil Nenek Kebayan. “Aduhai nenek, kepala beta sangatlah ngilu rasanya: “Pening kepala bagai dibaji,
Sakit hati bagai digunting.”
Maka Nenek Kebayan pun masuklah ke dalam bilik itu mendapatkan tuan puteri, memicit hulunya, mengurut-urut seluruh tubuhnya. Maka sabda Tuan Puteri Bongsu, “Orang mana itu, nenek, yang terlalu amat elok itu, gilang- gemilang cahaya mukanya?”
Maka sahut Nenek Kebayan dengan perlahan-lahan suaranya, “Wahai cunda tuan puteri, itulah yang bernama Tuanku Malim Deman, putera Tuanku Malim Dewa, cucu Tuanku Malim Perman yang memerintah di negeri Bandar Muar ini!”


Mereka yang pernah mengikuti pengajian sastera Tingkatan 6 mesti pernah terbaca sedutan ini. Untuk makluman, ia adalah sebahagian daripada cerita di dalam Hikayat Malim Deman, sebuah hikayat Melayu lama yang agak terkenal suatu masa dahulu, pernah menjadi salah sebuah teks wajib untuk para pelajar di sekolah menengah.
Kisah yang tertera ini menceritakan tentang pertemuan Tuanku Malim Deman dengan bakal isterinya, Puteri Bongsu yang berlaku di rumah Nenek Kebayan. Ia dikatakan berlaku suatu masa dahulu ni negeri Bandar Muar, cuma kewujudan watak-watak seperti Puteri Bongsu yang turun daripada kayangan serta Nenek Kebayan yang sering menghiasi cerita dongen Melayu menyebabkan Hikayat Malim Deman dianggap tidak lebih daripada sebuah kisah penglipur lara yang direka sebagai hiburan istana.
Apapun penulis ada sebab tersendiri untuk mempercayai kerajaan Bandar Muar dan watak Malim Deman ini wujud secara realiti. Cuma mungkin cerita itu ada tokok-tambah sehingga mengandungi unsur-unsur mistik… Atau segala unsur mistik ini sebenarnya adalah realiti harian dunia suatu zaman dahulu? Sila ikuti huraian dalam tajuk berkenaan..

Dari Aceh ke Muar: Apakah Malim Dewa dan Malim Deman berasal daripada kerajaan Perlak?
Hikayat Malim Deman mengisahkan pengembaraan hidup Tuanku Malim Deman sebelum menjadi raja yang betul-betul prihatin akan nasib rakyat kerajaan Bandar Muar. Ia bermula apabila putera kepada raja bernama Tuanku Malim Dewa itu mendapat mimpi bertemu seorang wali Allah yang menyuruhnya pergi mencari isteri di Ulu Muar. Di sana, di rumah Nenek Kebayan, Malim Deman telah bertemu lalu berkahwin dengan Puteri Bongsu yang dikatakan turun daripada kayangan.
Setelah berkahwin, Malim Deman mula leka menyabung ayam dan melayan gundik. Lalu Puteri Bongsu yang sempat melahirkan seorang putera merajuk dan kembali ke kayangan di mana sang puteri disunting pula oleh seorang anak raja di sana.
Malim Deman menyedari kesilapannya mengabaikan anak dan isteri lalu pergi menyusul mencari kedua-duanya. Dalam perjalanan itu baginda melalui pelbagai dugaan malah di kayangan sempat bergaduh lalu membunuh anak raja kayangan yang ingin merampas isterinya sebelum mereka dapat kembali bersama sebagai keluarga.
Memang terdapat banyak unsur mistik dalam cerita ini sedangkan catatan rasmi sejarah kerajaan-kerajaan Melayu yang diketahui ramai tidak pernah menyebut tentang kewujudan mana-mana keSultanan di Muar dahulukala. Maka itu cukup senang untuk orang sekarang menghukum cerita-cerita ini sebagai dogengan dan khayalan semata-mata. Tetapi tahukah anda terdapat catatan-catatan terpinggir yang menyebut tentang kewujudun kerajaan Islam di Muar sekitar abad ke 12hingga 13 Masihi? Cuma sumber-sumber ini diragui kerana satu catatan berasal daripada pensejarah lisan mengenai raja-raja Batak yang menyebut Sultan Malikul Mansur daripada kerajaan Samudera-Pasai pernah mengahwini puteri daripada keSultanan Muar, satu pula daripada seorang pembesar Sumatera abad ke 19 bernama Tuanku Rao yang kenyataannya mengenai kewujudan keSultanan Muar kemudian disanggah Profesor Hamka.
Samada cerita-cerita ini boleh dibuktikan secara akademik atau tidak, biar ditolak ke tepi sejenak. Penulis agak tertarik dengan kenyataan Tuanku Rao (sudah lupa dibaca di mana) yang menyebut bahawa sekitar abad ke 12 Masihi, satu rombongan telah membawa diri daripada Bandar Khalifah, ibunegara Perlak (dalam Aceh sekarang) lalu mendirikan sebuah keSultanan Muar.
Sejarah rasmi mencatatkan sudah wujud keSultanan Islam di Perlak sejak tahun 840 Masihi malah diterajui anak cucu Nabi Muhammad SAW. Ini berlaku setelah kedatangan rombongan 100 pendakwah daripada Timur Tengah yang dikatakan melarikan diri daripada buruan setelah gagal memberontak terhadap kerajaan Abbasiyah yang berpusat di Baghdad.
Rombongan yang diketuai seseorang yang cuma dikenali sebagai Nakhoda Khalifah ini datang tahun 804 Masihi lalu diterima baik penduduk setempat. Perlak ketika itu diperintah seorang raja bernama Merah Syahir Nuwi. Seorang ahli rombongan bernama Ali bin Muhammad bin Jaafar as-Sadiq yang merupakan keturunan Rasulullah SAW telah dikahwinkan dengan adinda kepada Merah Syahir Nuwi. Apabila Merah Syahir Nuwi mangkat, anak yang terbit daripada perkahwinan inipun diangkat menaiki takhta dengan nama Sultan Maulana Sayyid Abdul Aziz Shah sementara pusat kerajaan Perlak pula dikenali sebagai Bandar Khalifah.
Kerajaan Perlak terus wujud untuk merangkumi tempoh 400 tahun sebelum diserapkan ke dalam kerajaan Samudera-Pasai (juga dalam Aceh) yang diasaskan Sultan Malikus Salih pertengahan abad ke 13 Masihi. Dalam tempoh itu telah berlaku beberapa perbalahan besar dalam negara yang melibatkan takhta dan agama terutama konflik golongan Syiah dan Sunni. Ini meyebabkan perpecahan kerabat diraja yang kemudian merantau membuka negeri baru maka tidak mustahil ada seseorang yang dikenali sebagai Malim Dewa lari ke Muar lalu membuka kerajaan baru.
Sesuatu yang menarik tentang Hikayat Malim Deman ialah ia menceritakan tentang sebuah kerajaan Islam di Muar sedangkan cerita ini mula dibukukan oleh Pawang Ana yang berasal daripada Perak. Sebuah cerita tersendiri mengenai bapa Malim Deman, cerita yang dikenali sebagai Hikayat Malim Dewa pula agak terkenal di Aceh. Untuk makluman ada kaitan rapat antara keSultanan Perak dan Aceh sedangkan mengikut cerita lama, Muar adalah sempadan selatan keSultanan Beruas yang pernah dibuka Sultan Malikul Mansur sebelum wujud kerajaan Melaka.
Baik Hikayat Malim Deman mahupun Hikayat Malim Dewa ada menyebut tentang rombongan Malim Dewa atau Tuanku Gombang Malim Dewa membawa diri daripada Aceh lalu mendirikan keSultanan di Muar. Lebih menarik, setakat yang penulis nampak, dalam banyak-banyak hikayat tentang kerajaan Melayu, cuma Hikayat Malim Deman dan Hikayat Malim Dewa yang ada memperbesarkan cucu-cucu Nabi iaitu Saidina Hassan dan Saidina Hussein. Yang lain lebih suka menonjolkan kebesaran raja-raja yang dikatakan diwarisi daripada penakluk besar dunia bernama Iskandar Zulkarnain.
Mungkin sebab itu Raja Iskandar yang membuka kerajaan Melaka tidak berjaya membuka negeri di Muar? Kerana Muar ialah bekas jajahan raja-raja yang lebih berdaulat iaitu daripada keturunan Nabi Muhammad SAW berbanding Raja Iskandar Melaka yang dikatakan berasal dari Iskandar Zulkarnain?

4 comments:

muor76 said...

satu citer pasal parameswara..
beliau membuka kota di muar... tapi orang muor/org bentayan tak suke dia.. tu yg dia p melaka laks...
tak tau ler betul ke idak...
lagi satu.. pernah dengor silat bentayan? mengikut cerita tun perak pernah berlawan ngan org bentayan/silat bentayan.. tapi tun perak tokleh menang walaupon dia agak handal jugak..

Anonymous said...

Assalamualaikum,
Ini yang bangga jadi anak muo..ada sejarah tersendiri ..low profile la katakan...
..Anak Bakri Batu 2 1/2

cucuwakdaeng said...

askum akhirnya dpt juga jumpe blog berkenaan muar yg tersgt nk bace...selama nie bace pon sejarah yg formal @standard psl muar... seronok dpt bace entry saudara... bangga jd cucu muar(kampung ayh) jalan ibrahim muo...hrp saudara boleh menyiarkan lg sejarah2 berkenaan muo klau ade(?).....wasalam...

Radzi Sapiee said...

Wassalam. Insyaallah. Cuma ada satu ralat tentang artikel ini, maklumlah ia ditulis 3-4 tahun lalu.

Dalam artikel ini saya ada menyebut bahawa Tuanku Rao membuat kenyataan tentang wujudnya kerajaan lama di Muar. Saya tersilap menafsir keadaan. Sebenarnya ada penulis Batak membuat buku sekitar tahun 1960an berdasarkan cerita lisan Batak dan kajiannya sendiri. Buku itu membicarakan peranan Tuanku Rao dalam Perang Padri dari sudut yang agak negatif tetapi terselit juga beberapa hal lain. Walaupun banyak isinya mencurigakan saya tertarik apabila ada bab menyebut tentang seorang raja meninggalkan kerajaan Bandar Khalifah di Perlak (sekarang dalam Aceh) lalu membuka kerajaan baru di Muar. Itulah satu-satunya sumber lain selain Hikayat yang memperkatakan tentang ini. Jadi saya rasa ia harus difikirkan dan diambil perhatian...