Salam tengah hari Jumaat 19 Rabiul Akhir 1445 Hijriah. Sedikit penulisan bagi menghilangkan rasa kegelisahan dalam menghadapi seminggu dua yang bakal mendatang. Sebetulnya ada keresahan sejak berlaku kerosakan kereta ketika berada di kampung ibu bapa di Muar hujung minggu baru ini. Pada petang sama Sabtu 28 Oktober berlaku pula kerosakan pada kamera digital kesayangan.
Hal ini ada dikongsikan pada bahagian akhir artikel Teater "Tun Perak Bendahara Melaka" di MATIC yang ditulis petang Ahad 29 Oktober. Sepatutnya saya, isteri dan anak sudah bergerak kembali ke rumah di Bandar Sungai Buaya petang itu. Tetapi disebabkan barang ganti cuma boleh didapati Isnin 30 Oktober sedangkan kerosakan boleh menimbulkan risiko kereta terbengkalai di tengah jalan isteri kena ambil cuti kerja mengejut, anak tidak dapat ke sekolah. Lewat malam baru siap kereta. Kena bayar lebih RM1,000 bagi barang-barang ganti dan upah.
Esok pagi Sabtu 4 November, selepas mengambil anak kembali bercuti hujung minggu dari tahfiz di Janda Baik kena hadiri mesyuarakat keluarga besar keturunan Laksamana Muhammad Amin di Selayang. Ada isu yang agak memeningkan kepala harus ditangani. Sabtu seterusnya 11 November harus memastikan kejayaan satu majlis di Tanjung Malim. Lihat artikel Pengisian bagi acara ke-23 HIKMAH di Sarang Art Hub seminggu lebih sahaja lagi di blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH). Rabu15 November kena berada di Ipoh bagi sesi terbaru perbicaraan kes faraid hartanah Laksamana di Mekah.
Sambil itu kena fikirkan bagaimana hendak mengatur perbelanjaan supaya dapat membayar saman RM300 akibat satu kesalahan trafik yang berlaku di Ipoh lebih setahun lalu. Kena bayar sebelum 16 November kalau tak nak masuk mahkamah. Lihat cerita berkenaan dalam artikel Kenapa kena rajin menulis?. Sambil itu juga kena fikir beberapa perkara lain yang turut menuntut banyak belanja. Antaranya adalah bagi menyertai konvokesyen selepas lulus pengajian pascasiswazah di ISTAC (Institut Antarabanga Pemikiran dan Tamadun Islam) yang berada di bawah naungan UIA (Universiti Islam Antarabangsa). Kena letak deposit RM500 sebelum boleh mengambil pakaian rasmi graduasi secara sewaan. Kena sediakan lagi RM1,200 yuran konvokesyen serta bayaran penilaian tesis sebelum boleh mengambil skrol ijazah sebenar (yang disampaikan pada konvekesyen cuma dummy katanya).
Disebabkan hal konvokesyen saya harus menyemak langkah-langkah yang harus dilaksanakan bagi memastikan penyertaan dalam majlis. Lalu malam tadi disemak sekali kedudukan dan giliran antara para penerima ijazah melalui sesawang berkenaan. Sebaik sahaja terjumpa nama disenaraikan bawah tajuk apa terus tercetus rasa untuk membuat posting menggunakan ayat berikut di Facebook...
ANTARA DUNIA MELAYU DAN PEMIKIRAN KETAMADUNAN ISLAM SEJAGAT
Hoho. Kelihatan saya adalah satu2nya graduan ISTAC bagi konvokesyen UIA tahun 2023 penghujung bulan November ini yang disenaraikan sebagai penerima Master of Arts in Malay World Studies. Yang lain semuanya atas nama Master of Arts in Islamic Thought and Civilisation. Sebabnya, ketika mendaftar masuk ke ISTAC tahun 2018, memang itu program yang dipinta kerana semangat begitu tinggi mahu mengangkat keMelayuan. Dan
memang ketika itu ISTAC, di bawah naungan presiden UIA ketika itu iaitu Tan Sri Rais Yatim sedang melebihkan hal2 dunia Melayu.
Tetapi tidak berapa lama selepas itu ISTAC kembali kepada misi asal mahu mengangkat pemikiran dan ketamadunan Islam sejagat lalu hal dunia Melayu menjadi salah satu komponen bawahan. Pun begitu tesis saya, walaupun tetap menyentuh banyak tentang dunia Melayu melangkau jauh lebih luas. Ia adalah tentang membuktikan bahawa Nabi Adam yang menurut kira2 berdasarkan kitab turun ke muka bumi tidak sampai 10,000 tahun lalu boleh disamakan dengan manusia Homo Sapiens pertama dalam sains yang diperkirakan sudah wujud lebih 200,000 tahun lalu. Hal ini dapat dilakukan menggunakan konsep linear vs nonlinear time yang setahu saya tidak pernah dikemukakan oleh sesiapa pun sebelum ini. Lalu saya menerbitkan satu formula matematik sendiri tentangnya dan ini ada dikongsikan dalam tesis.
Tujuannya adalah untuk menunjukkan bahawa orang Melayu terawal yang diperkirakan sudah wujud 60,000 tahun lalu (menurut kiraan linear time) boleh diletakkan sebagai anak cucu Nabi Adam selepas Nabi Nuh (berdasarkan kiraan nonlinear time). Dengan itu seluruh sejarah bumi melibatkan kewujudan Homo Sapiens sejak lebih 200,000 tahun lalu boleh diselarikan dengan sejarah Nabi-nabi yang disebut dalam Alquran. Tidakkah implikasinya jauh lebih besar dalam pemikiran dan ketamadunan Islam berbanding sekadar bercerita tentang Alam Melayu? Insyaallah harinya akan sampai apabila ramai cukup sedar akan implikasi kajian tersebut terhadap pemikiran dan pensejarahan dunia.
------------
Teks tersebut diletakkan bersama print screen atau paparan daripada beberapa muka surat terpilih tesis.
Selepas itu baru timbul rasa elok diletakkan dalam CATATAN SI MERAH SILU lalu membentuk sebuah artikel sendiri.
Sebetulnya tesis ini mengenengahkan apa yang telah lebih awal dikongsi dalam buku ke-11 saya, "Nabi Adam dan Orang Melayu 60,000 Tahun Lalu" berserta 'kembarnya', buku ke-12, "Benua Tua Melayu" yang diterbitkan sekali gus bulan Mac 2018.
Lihat artikel-artikel lama berikut :-
Disebabkan isi buku terutama konsep "non-linear time versus linear time" yang ingin diangkatnya saya diminta membuat pembentangan di ISTAC tidak lama selepas terbit buku. Pengisian serupa dipanjangkan di institusi dan tempat-tempat lain. Lihat :-
Sambil itu apa yang diketengahkan terus mendapat ruang bagi bacaan awam. Lihat
Kira-kira Penyelarasan Masa Antara Sains dengan Kitab dan Perjalanan Darah Keturunan. Semoga selepas ini kajian dipandang lebih serius dengan adanya tesis yang dikeluarkan atas nama ISTAC dan UIA. Semoga juga salah satu institusi akan menerbitkannya sebagai buku. Ini kerana kedua-dua penilai tesis dalam dan luar (
internal and external examiners) telah membuat cadangan agar ia diterbitkan sebagai buku untuk bacaan popular dalam laporan penilaian bertulis mereka.
Oh. Tadi saya menyemak lagi senarai graduan bagi konvokesyen UIA itu. Di bawah ISTAC, selain 7 orang penerima ijazah Master yang tertera nama dalam gambar paling atas kelihatan ada 4 orang penerima PhD. Semua mereka disenaraikan sebagai penerima ijazah dalam bidang Islamic Thought and Civilisation. Nampaknya saya adalah satu-satunya dalam bidang Malay World Studies. Bukan setakat di ISTAC malah di seluruh UIA. Kerana memang tiada fakulti lain pernah menawarkan bidang itu.
Amat jarang ini kerana setahu saya pengajian dalam bidang ini mula ditawarkan di ISTAC pada tahun 2017. Kalau tak salah, mulai tahun 2019 tidak lagi wujud. Yang tinggal adalah mereka yang mendaftar sebelum itu lalu masih belum menamatkan pengajian.
Setahu saya, pada tahun 2020 baru ada seorang yang jelas mendapat Master dalam bidang Malay World Studies Selepas beberapa lama ada seorang mendapat PhD, saya sangkakan dalam bidang itu, kerana banyak membuat kajian melibatkan sejarah negeri Perak. Tetapi apabila disemak rupa-rupanya dalam bidang Islamic Thought and Civilisation. Cukuplah perkongsian.
Nota tambahan (dibuat 22 Nov 2023) : Merujuk pada kenyataan pada permulaan artikel di mana ada disebut tentang kena letak deposit RM500 sebelum boleh mengambil pakaian rasmi graduasi secara sewaan juga sediakan RM1,200 yuran konvokesyen serta bayaran penilaian tesis sebelum boleh mengambil skrol ijazah. Malam sebelum mengambil jubah (pada siang 21 Nov) baru tahu bahawa deposit RM500 itu cuma dikenakan kalau sudah mengambil skrol. Kalau belum, tak perlu letak deposit. Alhamdulillah. Selesai satu masalah.. :]
Tiada ulasan:
Catat Ulasan