Turut tersenarai dalam aktiviti-aktiviti yang mahu dihadiri dalam masa terdekat adalah majlis silaturrahim anjuran persatuan Dunia Seni Silat Melayu (DSSM) bagi negeri Selangor. Majlis dijadualkan berlangsung di Bukit Lagong dekat Selayang, Kuala Lumpur jam 1 hingga 4 petang Ahad 14 Ogos, lebih kurang 15 jam selepas menghadiri majlis haul di Shah Alam.
Sampai waktunya saya dan isteri bergegas membawa anak-anak ke sana. Cuma disebabkan beberapa hal kami sampai ke kawasan sekitar jam 3.30 petang.
Perlu berjalan kaki sedikit menaiki bukit daripada tempat letak kereta masuk kawasan hutan yang paling penghujung boleh dicapai dengan kenderaan...
Ikut bersama kami adalah cik Maznah Zolkifli, seorang selebriti yang cukup terkenal dengan aktiviti-aktiviti lasak mengalahkan ramai laki-laki seperti rock climbing, scuba diying dan sky diving. Beliau yang juga pernah menjadi pengacara program televisyen selain pelakon drama turut suka menunggang motosikal besar dan berlumba kereta di litar.
Sebetulnya beliau adalah adik kepada sahabat baik kami, saudara Zaid yang baru sahaja kembali ke rahmatullah awal pagi Khamis 4 Ogos iaitu 10 hari sebelum acara ini. Zaid yang merupakan seorang penyokong setia HIKMAH (kalau tak tahu apakah ini, sila telaah di
blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH)) sudah menghadiri hampir semua 16 acara HIKMAH setakat ini. Beliau pernah beberapa kali mengajak adiknya itu datang ke majlis kami. Seorang lagi adik Zaid juga kakak sulung mereka telah beberapa kali turut bersama. Mereka malah pernah membawa ibu mereka ke acara ke-16 HIKMAH di Janda Baik.
Setelah Zaid meninggal dunia secara mengejut akibat serangan jantung baru kami mengenali Maznah. Beliau yang rupa-rupanya sangat rapat dengan Zaid telah menyatakan rasa terkilan atas beberapa perkara yang katanya mahu dilakukan untuk menggembirakan abangnya tapi tak sempat pun menyatakan keinginan mahu bersama HIKMAH dan kawan-kawan sealiran, para aktivis budaya dan ketamadunan Melayu baik dalam dunia persilatan mahupun busana, akademik malah keagamaan yang berunsur Tasawuf. Kata Maznah beliau mahu merasakan apa yang arwah Zaid rasa sehingga sanggup mengikut aktiviti-aktiviti sebegini terutama bersama HIKMAH sejak hampir 4 tahun lalu. Itulah yang membuat kami mula rapat dan saya sebagai pengasas dan peneraju HIKMAH merasa bertanggungjawab untuk memperkenalkan Maznah dengan dunia kami...
Majlis silaturrahim DSSM Selangor di Bukit Lagong adalah antara majlis berkaitan paling awal selepas Maznah mula menyatakan minat ke arah ini. Kami turut mengajaknya ke haul Imam al-Hadad malam sebelumnya tapi beliau tak dapat pergi.
Di majlis ini ada kawan-kawan kami daripada jemaah Armada Malaiu Malaysia yang aktif membawa sukan memanah cara tradisional ke majlis-majlis. Jemaah ini memang sentiasa mengikut acara-acara HIKMAH malah adalah penganjur bersama HIKMAH ke-16. Arwah Zaid menyertai persatuan tersebut setelah beberapa lama mengikut HIKMAH. Maka apabila sahabat kami saudara Lang Indah, pengasas jemaah yang turut rapat dengan Zaid mengajak Maznah untuk datang memanah dia terasa wajib pergi... apa lagi abangnya pernah berpesan agar belajar sukan memanah cara tradisional yang merupakan sunnah Nabi Muhammad SAW.
Mungkin saya terlalu berterus-terang tetapi terasa harus menyatakan ini. Adapun si Maznah ini baru setahun lebih berhijrah memakai tudung lalu berazam untuk menjadi seorang wanita solehah, sesuai dengan latar belakang keluarga dan nenek moyang yang ada bergelar mufti negeri. Termasuk dalam azam adalah cuba mengenali dunia perjuangan para aktivis budaya Melayu, busana tradisional, persilatan dan sebagainya lalu beliau baru mencuba berpakaian songket. Cuma beliau terasa tidak memiliki set pakaian yang lengkap untuk ke majlis lalu menyatakan kerisauan.
Saya kata tak mengapa. Pakai aje apa yang ada. Apa yang kurang boleh dibeli di majlis nanti kerana kebiasaannya memang akan ada orang berniaga barangan-barangan berkaitan. Isteri saya membantu memperkemaskan pakaiannya selain menunjuk apa yang berlaku di sekitar juga memperkenalkan Maznah kepada kawan-kawan. Bila disebut inilah adik arwah Zaid ramai yang terus "Oooo, adik Zaid". Lalu keluarlah cerita panjang lebar hari-hari terakhir masing-masing bersama arwah,
Selain sedikit sebanyak merasakan harus memperkenalkan dunia kami yang tidak seberapa ini kepada Maznah bagi pihak arwah Zaid saya merasakan harus melakukannya agar Maznah mendapat arah yang lebih baik dalam kehidupan. Sebagai seorang yang pernah bergelar Duta Belia Negara 2003, penyandang pertama gelaran yang juga menjadikan seseorang itu ikon bagi semua belia negara, Maznah memiliki jaringan luas yang boleh dimanfaatkan demi betul-betuk mendaulatkan Melayu dan Islam. Beliau masih aktif dengan berbagai pergerakan belia. Kalau arah tujuannya jelas dipandu dengan niat dan amal yang betul banyak perkara boleh dilakukan bagi memajukan anak-anak Melayu.
Aktiviti-aktiviti sebegini memang patut diluaskan untuk menampung keseluruhan belia kita yang sesetengahnya tidak jelas arah hidup lalu sering terkapai-kapai ditiup badai ganas keBaratan dan sebagainya. Sebagai seorang hamba Allah yang pernah merasa begitu tenggelam dalam dunia keBaratan, sehingga pernah mempersoalkan dan memperlekehkan keMelayuan malah hampir-hampir menjadi ateis, orang yang tidak bertuhan, saya cukup faham perasaan ini.
Saya faham tentang kekeliruan jiwa orang yang hilang arah tujuan. Saya sudah melalui pahit-jerih perjalanan mencari kembali erti dan diri lalu beransur-ansur kembali menjadi Melayu setelah bertahun-tahun terkapai-kapai dengan pelbagai teori. Hal ini telah dicurahkan secara jujur dalam siri trilogi novel travelog "Berpetualang ke Aceh" yang diterbitkan sendiri tahun 2006-2007. Sedikit isi buku ada dikongsikan dalam blogspot ini. Lihar bahagian atas sidebar kiri blogspot. Klik pada pautan-pautan ataupun links yang telah diletakkan di bawah gambar buku-buku berkenaan....
Sesungguhnya aktiviti-aktiviti persilatan dan beberapa perkara yang berkait dengannya, ilmu perkerisan, pemakaian busana tradisional dan sebagainya boleh membantu membentuk jati diri Melayu yang sebenar. Tapi pada saya ini tidak cukup kerana selalu melihat daripada segi pembentukan ketamadunan yang selari dengan hakikat roh. Perlu ada aspek-aspek lain yang harus ditekuni juga malah ada yang lebih penting. Untuk itu, saya dan isteri mengajak Maznah beralih ke satu majlis lain.
Kami meninggalkan Bukit Lagong sekitar jam 5.30 petang untuk berkejar ke Janda Baik di Bentong, Pahang. Walaupun majlis persilatan katanya tamat jam 4 sebenarnya ia terus berlangsung buat beberapa waktu apatah lagi ramai yang terlibat telah bermalam, camping dan sebagainya di kawasan sejak petang Sabtu.
Yang hendak dihadiri ini adalah satu majlis berkenaan Maulana Jalaluddin Rumi, seorang ahli sufi bertaraf wali besar yang pernah hidup di wilayah Turki 800 tahun lalu. Pada hari itu iaitu Ahad 14 Ogos ia dijadualkan berlangsung jam 11 pagi hingga 6 petang di University of Life iaitu di kawasan rumah penulis buku politik terkenal, Pak Habib @ Syed Hussien al-Attas @ S.H. Alattas yang merupakan bapa angkat saya.
Cuma disebabkan beberapa hal kami sampai ke halaman rumah hampir jam 7.
Nasib baik orang-orang yang terlibat masih ada berlegar-legar di sekitar untuk kami berkenal-kenalan. Pak Habib pun masih ada. Untuk pengetahuan yang di Janda Baik ini rumah rehat, dia tak tentu ada kalau tidak ada acara atau hal penting baginya. Cuma saya pasti dia ada insyaallah kerana sudah menelefon untuk memberitahu akan datang membawa adik arwah Zaid.
Kebetulan keluarga arwah berasal daripada kampung atau penempatan yang sama iaitu Wadi Hana di Johor Bahru. Cuma Maznah belum berkesempatan mengenali beliau secara berhadapan. Tetapi dia telah lama mengenali beberapa orang anak Pak Habib. Seorang pernah terlibat dalam dunia penyiaran televisyen, seorang agak aktif dalam dunia permotoran...
Turut berada di Janda Baik adalah Sheikh Ahmed Tijani Ben Omar seorang ulamak sufi kelahiran Ghana, Afrika tapi bergiat aktif memegang jawatan tinggi di Amerika. Nampak sahaja kami berbusana tradisional Melayu dia terus teruja lalu mengajak kami bergambar. Turut sama ikut ke Janda Baik adalah kawan baik kami Sally (hujung kanan). Beliau tidak terfikir pun mahu ke sini. Tetapi tertarik untuk bersama sehingga sanggup meninggalkan saat-saat terakhir penting majlis persilatan di Lagong apabila diberitahu kami mahu berkejar ke majlis kesufian di Janda Baik.
Ternyata ada juga hikmah kami terlambat sampai sehingga ketinggalan majlis. Malam itu kami mendapat tumpuan masa dan limpahan ilmu daripada Pak Habib juga Sheikh Ahmed.
Lama juga kami berlegar-legar mendengarkan mereka bercakap tentang falsafah hidup juga prinsip-prinsip agama berdasarkan kecintaan sejati Tuhan.
Ketika gambar ini diambil sudah hampir jam 8.30 malam. Selepas beberapa lama mendengar pelbagai huraian terutama daripada Sheikh Ahmed yang bahkan sempat melaungkan qasidah-qasidah di celah-celah ceramah spontan kami makan malam di sebuah warung berdekatan, Sampai ke rumah sudah tengah malam. Alhamdulillah, dalam keadaan kurang tidur kerana berbagai lagi hal dapat juga saya menyiapkan beberapa artikel di blogspots terutama yang ini. Baru terasa cukup dan selesai...