Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Jumaat, Disember 14, 2018

Jejak empayar Funan dan kerajaan-kerajaan berkaitan - Angkor Wat dan kuil-kuil lama di sekitar

Salam hari Jumaat. Pagi tadi telah berlangsung satu majlis Colloquium di ISTAC di mana empat orang pelajar pasca-siswazah membuat pembentangan untuk mempersembahkan thesis proposal atau cadangan tesis masing-masing. Alhamdulillah cadangan saya untuk mengangkat kira-kira masa seperti sudah disajikan dalam buku ke-11 dan ke-12 saya (rujuk artikel Syarahan "Prophet Adam and the Malays 60,000 Years Ago - Aligment of Time, Revealed Knowledge and Science" di ISTAC) supaya menepati dan mengikut format rasmi dan piawaian akademik diterima. Malah disebabkan keluasan ilmu yang mahu disepadukan dalam kajian saya digalakkan agar mengubahnya daripada tesis Masters menjadi tesis PhD.

Lega dan gembira dengan perkembangan itu saya pun memulakan perkongsian cerita hari kedua perjalanan bersama isteri dan anak-anak di Cambodia dan Thailand 22 November hingga 3 Disember lalu. Kebetulan hari tersebut adalah hari Jumaat 3 minggu lalu. Saya pun berazam untuk mempersembahkan ceritanya hari ini Jumaat juga iaitu sebelum masuk hari baru waktu Maghrib menurut kalendar Islam.

Untuk menyokong penceritaan 10 buah artikel harus dipersembahkan dahulu di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART), 3 di blogspot BERPETUALANG KE ACEH. Proses yang dimulakan sekitar jam 12.45 iaitu sebelum solat Jumaat tadi berjaya diselesaikan sejurus sebelum masuk waktu Asar.Maka bolehlah disambung cerita daripada artikel Jejak empayar Funan dan kerajaan-kerajaan berkaitan - Siem Reap sebagai tapak permulaan penjelajahan...



Jumaat 23 November 2018. Kami sekeluarga mula keluar seawal jam 5.10 pagi waktu tempatan.


Kami mahu menunaikan satu perkara atau hajat yang menjadi asbab utama membuat perjalanan ke Cambodia dan Thailand ini. Kena singgah dahulu membeli tiket untuk perkara tersebut.


Tiket bukan murah wooo. US$37 yang pada ketika itu bersamaan RM155.40 untuk satu kepala.


Nasib baik tak perlu bayar untuk dua orang anak kerana berumur bawah 12 tahun. Untuk saya dan isteri kena le jadi jumlah USD74 bersamaan RM310.80.


Banyak tu untuk bayaran masuk ke suatu tempat dalam tempoh satu hari.



Tapi itu le pengorbanan wang ringgit selain masa dan penat lelah demi memenuhi kecintaan kami menjejak ketamadunan lama sambil mengkaji sejarah terutama yang berkenaan Alam Melayu.


Ketika ini harus sudah jelas tempat apakah yang ingin dilawati sehingga sanggup mengeluarkan lebih RM300 belanja semata-mata untuk tiket  masuk. Ya. Kami pergi ke Angkor Wat, dikatakan bangunan keagamaan terbesar yang diketahui masih wujud atau pernah wujud di muka bumi. Kami bergerak awal untuk melihat pemandangan matahari terbit. Ternyata ramai pelancong luar sedang menunggu peluang yang sama. Lihat Catching sunrise at Angkor Wat.


Dengan sampainya kami anak beranak ke kuil purba berusia sekitar 900 tahun ini terlangsailah satu hajat yang tertunda sejak setahun lalu.



Ini merujuk pada perjalanan kami dengan menaiki kereta sendiri sehingga ke Ayuthayya di utara Bangkok, Thailand hujung tahun lepas. Ia mahu dipanjangkan ke Angkor Wat di Siem Reap 400 km lebih ke timur tetapi terpaksa dibatalkan disebabkan 3 faktor :-


1) Kesuntukan masa sebab timing asyik lari - Selalu sampai lewat malam ke perhentian rehat seterusnya

2) Bajet lari. - Kami kurang bersedia untuk membayar harga tiket USD37 satu kepala untuk tiket masuk 

3) Susah nak bawa kereta sendiri masuk ke negara Cambodia - Tidak seperti Thailand di mana sesiapa boleh masuk asal ada geran dan belanja untuk beli insurans kereta sementara, nak masuk Cambodia kena dapatkan kebenaran kedutaan mereka terlebih dahulu. Ini katanya memakan masa tidak kurang 3 hari.



Ketiga-tiga perkara tersebut cuma disedari setelah jauh memandu ke dalam Thailand. Kalau sedar lebih awal mungkin kami lebih bersedia.. Rujuk Jejak Langkasuka-Siam Lama-Srivijaya - The Compilation.


Oh. Ini gambar anak-anak kami di satu bahagian bawah Angkor Wat. Kami terpaksa meninggalkan mereka kerana tidak dibenarkan naik ke bahagian utama kuil di atas.


Kami suami isteri sanggup masuk ke dalam kuil purba lalu meneliti bermacam benda di dalamnya kerana pada kami terdapat bukti-bukti kehebatan ketamadunan lama Alam Melayu. Selain itu kami percaya ada kesan-kesan agama tauhid merangkap Islam syariat nabi-nabi terdahulu. Pada kami jejak ke tapak dan penelitian lapangan boleh membuka pengetahuan baru di samping memberikan tautan kebatinan yang boleh membuka cerita-cerita berkenaan yang sudah lama terpendam. Yang faham faham le maksudnya...


Angkor Wat dilihat dari halaman selatan sambil kami keluar untuk meninggalkannya. Untuk lebih banyak gambar lihat artikel Angkor Wat  diikuti Bahagian utama (Main section of) Angkor Wat.


Sedar tak sedar ada 2 jam juga masa telah dihabiskan di sana. Sebetulnya itu kira sedikit sahaja. Kalau nak betul-betul teliti segala ceruk bentuk ukiran dan perlambangan yang ada dalam bangunan utama pun rasanya boleh memakan masa 2-3 hari. 

Nampaknya sebab itu ada tiket masuk 3 hari berharga USD62. Tak semestinya 3 hari berturut - boleh pilih nak masuk pada hari-hari tertentu dalam suatu tempoh masa, seminggu atau dua minggu kalau tak salah...


Menggunakan paparan satelit dan kemudahan 'pembaris' program Google Earth didapati di Angkor Wat dan halaman berdekatannya sahaja anak-anak telah berjalan kaki lebih 3 km. Saya dan isteri tambah lagi 240 meter kerana menaiki bahagian tengah atas lalu membuat sekali pusing kawasan. Selepas itu kami menyambung naik tuk tuk untuk ke lokasi-lokasi lain.





Ada beberapa lagi kuil lama dalam satu kawasan besar sekitar Angkor Wat yang juga didirikan sekitar 900 tahun yang lampau. Tiket Angkor Wat memberikan kebenaran untuk masuk ke semua kuil purba di sekitar bandar raya Siem Reap.


Kami masuk persekitaran kota purba Angkor Thom yang pintu masuk selatannya terletak sekitar 1.2 km ke utara Angkor Wat.



Di pusat kota kira-kira 1.3 km dari pintu masuk terdapat kuil utama yang dipanggil Bayon. Lihat Kuil (Temple of) Bayon.


Tetapi isteri dan anak-anak tidak ikut masuk melihat ke dalam. Ini disebabkan anak-anak mahu buang air lalu isteri harus menemani mencari tandas di kawasan lain. 


Dalam kawasan Bayon saya berjalan kaki sekitar 510 meter. Selepas itu pemandu tuk tuk membawa kami melihat apa yang dikenali sebagai Elephant Terrace.


Tetapi kami tidak turun singgah, setakat melihat daripada jauh. Sebaliknya saya lebih tertarik dengan satu siri menara puba yang kelihatan selepas itu lalu turun untuk meneliti. 




Seterusnya kami tertarik untuk turun melihat lebih dekat satu tinggalan atau runtuhan jambatan purba. Lihat Tinggalan jambatan lama di luar Angkor Thom (Remains of ancient bridge outside Angkor Thom).



Anak kecil saya Johan yang berumur 6 tahun begitu seronok berjalan-jalan atas runtuhan. Ada kalanya dia duduk termenung menghadap sungai berdekatan. Seolah-olah terlihat suatu memori lama yang sudah beratus tahun hilang seiring dengan keruntuhan jambatan.


Di satu kuil bernama Ta Keo pula anak kecil ini menemani saya naik hingga ke tingkat paling atas. Malah beliau lebih cepat naik tangga-tangganya yang amat curam, saya pula sering memerhati penuh kerisauan. Harus mengawal perasaan antara membenarkannya terus naik tanpa takut dengan keinginan untuk memegangnya rapat pada kala saya sendiri merasa teruji naik tangga itu.


Pemandu kami tidak menggalakkan sesiapa naik ke atas kuil ini lalu cuba melarang. Katanya sudah berlaku beberapa orang pelancong luar mati akibat jatuh tergelincir ketika memanjat. Namun saya juga teringat anak inilah yang paling mirip saya ikut perangai lasak. Melarang dia ibarat melarang diri sendiri mencuba pelbagai perkara berbahaya demi menguji keberanian dan sifat lasak ketika lebih 40 tahun lalu. Lihat Kuil (Temple of) Ta Keo.


Lihat sudut sebegini bahaya pun anak cuba rapat. Bila dah begini memang terpaksa halang. Apapun kami dua beranak berjalan kaki sekitar 330 meter di kuil ini.


Di kuil seterusnya iaitu Ta Phrom baru isteri dan seorang lagi anak ikut melihat ke dalam.



Ini disebabkan teruja mahu melihat di bahagian manakah kuil ini filem Tomb Raider lakonan aktress terkenal Angelina Jolie dibuat penggambaran. Lihat Kuil (Temple of) Ta Phrom. Cari sendiri babak berkenaan di Youtube. Ia seperti mahu memberikan petunjuk tentang makna 'roh' kerajaan lama yang pernah dikenali sebagai Kemboja oleh bangsa Melayu. Untuk pengetahuan nama negara Cambodia yang terpakai sekarang juga nama sebelum itu iaitu Kampuchea muncul daripada perkataan Kemboja yang biasa dikaitkan dengan sejenis bunga Melayu.


Di kuil "Tomb Raider" kami anak beranak berjalan kaki 1.5 km disebabkan jauhnya pintu gerbang masuk dari bangunan utama kuil. Disebabkan kepenatan isteri dan anak-anak tidak ikut saya meneroka kuil seterusnya juga bendungan air  purba berdekatan. Untuk meliputi tempat-tempat tersebut saya telah berjalan kaki lagi 1. 3 km. Lihat Kuil (Temple of) Banteay Kdei diikuti Bendungan air purba (Ancient reservoir of) Sras Srang.



Masuk waktu Zohor kami bergegas ke perkampungan Melayu terbesar di Siem Reap untuk menunaikan solat Jumaat.


Masjid berkenaan telah disinggahi pada hari sebelumnya. Rujuk balik artikel Jejak empayar Funan dan kerajaan-kerajaan berkaitan - Siem Reap sebagai tapak permulaan penjelajahan.





Selesai solat kami berehat di rumah peranginan. Jam 4 petang baru keluar lagi lalu menuju ke bukit bernama Phnom Khrom. 



Bukit ini ada dinaiki saya seorang diri pada hari sebelumnya. Kali ini saya mengajak isteri dan anak-anak naik sekali hingga ke puncak. Lihat Going up Phnom Krom.



Hari sebelumnya saya cuma dapat naik tak sampai separuh bukit kerana dihalang oleh petugas. Ini disebabkan ada kuil lama atas sana yang usianya 200 tahun lebih awal daripada Angkor Wat. Kali ini boleh naik kerana ada tiket atau pas Angkor Wat. Lihat Kuil (Temple of) Phnom Krom. Di atas bukit itu juga boleh ditemui satu lokasi untuk melihat pemandangan matahari terbenam yang sangat cantik. Lihat Sunset from Phnom Krom.



Untuk ke kuil Phnom Krom kemudian melihat pemandangan kemudian kembali ke kaki bukit isteri dan anak-anak telah berjalan kaki sejauh 2.2 km. Saya pula membuat tambahan 800 meter kerana telah bersendirian membuat tinjauan mencari tempat terbaik untuk menikmati pemandangan sebelum mengajak isteri dan anak-anak. Kemudian saya naik ke satu puncak lain bukit ketika matahari sudah terbenam sementara isteri dan anak-anak turun. Secara keseluruhan mereka telah berjalan kaki sejauh 7 km hari itu untuk melihat apa yang terdapat di Angkor Wat dan kuil-kuil lama di sekitarnya. Saya pula berjalan kaki lebih 3 km lagi untuk mencapai jumlah 10 km.


Sebelum menutup artikel biar dikongsikan satu pemerhatian. Saya dapati bahawa kebanyakan kuil di sekitar Siem Reap ini dibina menggunakan batu pasir atau bahasa Inggerisnya sandstone. Ada sedikit bahagian dibina dengan batu laterit iaitu batu merah besi seperti terdapat pada pintu gerbang A Famosa di Melaka, yang lain semuanya batu pasir. Ini adalah bahan serupa seperti batu nesan Aceh, baik yang berwarna kelabu lalu dikatakan oleh pengkaji dari Aceh sebagai buatan zaman Samudera-Pasai (abad ke-13 hingga 16 Masihi) mahupun berwarna sedikit kekuningan lalu dikatakan buatan Aceh Darussalam (kawasan sekitar Banda Aceh sekarang abad ke-16 hingga penghujung 19). Melihat pada ketelitian ukiran saya percaya bahawa ada kemungkinan besar kepakaran mengukir batu Aceh dibawa dari Kemboja kalau tidak pun Champa (kini dalam Vietnam) yang terletak bersebelahan.


Khamis, Disember 13, 2018

Gagasan baru ISTAC - Memajukan perbandingan epistemologi, ketamadunan dan pengajian masa hadapan

OK. Ini ada satu perkongsian yang fresh ataupun segar kerana saya baru tengah malam tadi kembali daripada lokasi acara.



Adapun sehari selepas kembali daripada perjalanan pusing Cambodia dan Thailand 22 November hingga 3 Disember saya menerima poster yang kelihatan dalam grup Whatsapp pelajar ISTAC. Ia mengenai syarahan perdana yang akan dibuat oleh Sheikhul Kuliyyah kami atau mahaguru fakulti, Profesor Ulung (Distinguished Professor) Datuk Dr Osman Bakar pada hari Rabu 12 Disember 2018 waktu malam. Pelajar diwajibkan hadir dalam majlis yang akan dipengerusikan Menteri Pendidikan kini Dr Maszlee Malik yang juga pemegang jawatan presiden Universiti Islam Antarabangsa Kuala Lumpur.




Syarahan perdana dibuat atas perlantikan beliau sebagai pemegang kedua Kerusi Al-Ghazzali. Pemegang pertama adalah pengasas ISTAC, Tan Sri Profesor Dr Syed Naquib al-Attas. Kebetulan hari tersebut iaitu pada petang tadi saya ada kelas bersama Profesor Datuk Dr Awang Sariyan. Saya pun bergerak ke ISTAC jam 5 petang.


Osman memiliki reputasi besar sebagai seorang cendekiawan Islam bertaraf dunia. Beliau tersenarai antara 500 orang Islam paling berpengaruh di dunia. Sejak saya sampai sudah ada yang berkumpul untuk mengikuti syarahan beliau.


Namun saya sendiri masuk ke dewan syarahan jam 9 malam. Ketika itu kata-kata aluan dan pengenalan oleh Maszlee sudah selesai dan Osman memulakan syarahan.


Beliau memulakan dengan mengalu-alukan hadirin yang datang terutama para cendekiawan dari luar negara yang sudah lama mengenali. Terdapat duta-duta luar negara dan/atau wakil turut menghadiri. Ada orang seperti Ziauddin Sardar, seorang cendekiawan besar Islam asal Pakistan yang kini berpengkalan di London, ada Dato' Dr Afifi al-Akiti, anak muda Melayu mengajar di University of Oxford, United Kingdom yang juga adalah penasihat agama Sultan Perak. Kelihatan beberapa orang tokoh korporat dan bekas menteri. Oh, majlis dilaksanakan sepenuhnya dalam bahasa Inggeris. Lebih mudah bagi saya menceritakan kembali dan mengulas menggunakan bahasa tersebut. Tetapi biar diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu untuk kemudahan awam dan atas semangat memartabatkan bahasa kebangsaan.


Osman kemudian berkongsi latar belakang pengajian beliau, bagaimana daripada seorang graduan sarjana muda (1967-1970) dan sarjana (1970-1971) matematik di University of London beliau beralih kepada bidang perbandingan agama (comparative religion) lalu membuat sarjana (1981-1983) dan PhD (pengkhususan dalam falsafah sains dan teologi iaitu bidang keagamaan 1983-1987) di Temple University, Amerika Syarikat.  Dikongsikan perhubungan dan keakraban beliau dengan Syed Naquib yang tidak ramai orang tahu. Untuk pengetahuan sejak Naquib 'putus hubungan' dengan ISTAC tahun 2002 akibat hal tertentu ia sering dikecam oleh mereka yang mengaku anak-anak murid sejati al-Attas serta para pelajar 'ISTAC asal' sebagai sudah lari dari landasan. Kelihatan Osman mahu memberitahu bahawa beliau tidak asing dengan dunia pemikiran dan gagasan al-Attas. Malah beliau mahu memajukan lagi gagasan dunia pemikiran Islam yang dibawa pengasas ISTAC itu sambil membawa formula sendiri untuk mengangkat kembali reputasi institusi yang masih dianggap tinggi dalam dunia Islam untuk sekurang-kurangnya menjadi sepertimana ia pernah dikenali ketika masih di bawah kelolaan Naquib..

Menariknya latar belakang yang diceritakan ada persamaan dengan perjalanan saya sendiri kerana turut belajar dalam bidang matematik di London walau setakat sarjana muda 1991-1995. Adapun pada tahun beliau mula menyambung sarjana saya baru lahir iaitu pada tahun 1970. Perjalanan hidup Osman lebih teratur apabila membuat sarjana dan PhD dalam bidang berlainan sementara saya menghadapi krisis besar pegangan hidup berupa pertentangan kepercayaan terhadap sains lawan keyakinan baru bersifat sufistik (tasawuf) yang timbul akibat beberapa pengalaman bersifat kebatinan di London. Akibat itu saya menjadi wartawan di akhbar The New Straits Times 1996-2001 sebelum krisis baru membawa saya sering keluar berkelana seorang diri sehingga selalu tidur di masjid-masjid dan makam.

Hmm... masih ada kebetulan persamaan sebetulnya dengan Osman apabila bercakap tentang tempoh waktu tersebut. Jika beliau menjadi akrab dengan Syed Naquib sehingga menyebutnya sebagai sparring partner dalam dunia pemikiran saya pula menjadi akrab dengan penulis buku politik terkenal Syed Hussein al-Attas. Ada faktor sama al-Attas. Memang mereka bersaudara pun...



Osman menegaskan pelantikan beliau sebagai pemegang kedua Kerusi Al-Ghazali bukan sekadar sebagai successor atau pengganti Syed Naquib (Osman menyertai ISTAC bermula September lalu iaitu tempoh masa saya sendiri memulakan pengajian di sana). Beliau mahu membawa gagasan baru dalam memajukan ISTAC. Beliau pun menerangkan tentang kepentingan adanya Kerusi Al-Ghazali, kenapa perlu ada syarahan perdana atau inaugurul speech sebagai tanda menerima kerusi. Diceritakan tentang sejarah berkenaan yang berlaku dalam dunia Islam seperti perlantikan Imam Al-Ghazali (hidup 1058- 1111 Masihi) sebagai pemegang Kerusi As-Shafie (Imam Shafie) di Universiti Nizamiyah, Baghdad.

Oh. Osman yang lahir di Maran, Pahang tahun 1946 ada menyatakan mahu pencen daripada memegang apa-apa jawatan dalam apa-apa bidang setelah selesai kontrak mengajar di universiti terakhir beliau sebelum ini iaitu di Brunei kurang setahun lalu. Kata beliau sudah penat jadi nomad mengajar berpindah randah ke banyak tempat. Namun beliau akur itulah hakikat sebenar seorang sarjana sejati lalu menyebut al-Farabi (872- 950M) sebagai contoh seorang sarjana Islam yang asyik bertukar tempat menimba ilmu sebelum mengajar pula di beberapa tempat. Tetapi beliau dipujuk untuk menyertai ISTAC. Pada awalnya Osman cuba menolak menggunakan alasan kesihatan dan umur yang meningkat. Tetapi alasan ini tidak lagi boleh dipakai apabila Tun Mahathir yang sudah berumur 93 tahun pun boleh menggalas kembali tanggungjawab sebagai Perdana Menteri.

Kerusi Al-Ghazali pertama kali dilancarkan pada 14 Disember 1993. Ketika itulah pemegang pertama Syed Naquib mula memegangnya walaupun ISTAC sendiri sudah diasaskan beliau enam tahun lebih awal iaitu pada 29 September 1987. Beliau memegang selama sembilan tahun iaitu sehingga 2002. Terjadilah kekosongan selama lebih 15 tahun sehingga Osman dilantik sebagai pemegang kedua...



Selepas itu baru beliau mengupas beberapa perkara tentang ilmu. Maka masuklah pada tajuk sebenar syarahan seperti diwar-warkan pada poster iaitu "Advancing Comparative Epistemology and Civilisational and Future Studies - The Global Role of the New ISTAC-IIUM". Ini boleh diterjemahkan sebagai "Memajukan Perbandingan Epistemologi, Ketamadunan dan Pengajian Masa Hadapan - Peranan Global ISTAC-IIUM baru". IIUM adalah singkatan bagi International Islamic University of Malaysia, dalam bahasa Melayu Universiti Islam Antarabangsa Malaysia atau UIAM. Untuk pengetahuan ISTAC yang dahulu merupakan singkatan bagi International Institute of Islamic Thought and Civilisation (Institut Antarabangsa Pemikiran Islam dan Ketamadunan) adalah di bawah kelolaan UIAM. Ia kini membawa makna International Institute of Islamic Civilisation and Malay World iaitu Institut Antarabangsa Tamadun Islam dan Dunia Melayu.

Sekali baca tajuk boleh terkeliru juga apakah yang ingin dibawa Osman. Bila diberikan penerangan  panjang lebar dalam syarahan barulah jelas. Sebenarnya beliau mahu mengenengahkan tiga gagasan utama dalam menentukan hala tuju ISTAC. Ia adalah dalam kajian epistemologi iaitu teori asal usul ilmu, kajian ketamadunan merujuk kepada bermacam-macam tamadun misalnya tamadun Hindi dan tamadun Cina kemudian pengajian masa hadapan (future studies) iaitu hala tuju akan datang dalam suatu bidang misalnya perkembangan ketamadunan itu sendiri.


Untuk epistemologi beliau memberikan penakrifan yang dikira lebih jelas dan mudah berdasarkan asal-usul perkataan tersebut daripada bahasa asalnya Greek. Osman menakrifkannya sebagai vision of knowledge iaitu apa pandangan kita terhadap suatu ilmu. Misalnya orang yang tidak percayakan Tuhan akan melihat suatu ilmu daripada sudut berbeza berbanding mereka yang percayakan Tuhan. Secara rata beliau menggagaskan agar selalu dibuat perbandingan dalam bidang epistemologi misalnya membandingkan bagaimana orang Barat melihat ilmu berbanding cara orang Islam melihat ilmu. Dibuat juga perbandingan dalam bidang ketamadunan juga kajian masa hadapan. Majukan setiap perbandingan ini maka jadilah seperti tajuk - Memajukan perbandingan epistemologi, ketamadunan dan pengajian masa hadapan. Barulah suatu kajian boleh menjadi betul-betul berguna lalu dapat dimanfaatkan untuk memajukan ummah.

Osman memberi contoh apabila masuk ke ISTAC didapati ada tiga orang pelajar mahu mengkaji tentang keris. Tidak salah untuk mengkaji keris tetapi biarlah untuk perkara yang lebih besar. Bukan dikaji kenapa yang itu pendek yang itu panjang, apa beza keris Pahang dengan keris Johor. Sebaliknya luaskan skop. Misalnya kaji perbezaan keris dan fungsinya dalam masyarakat Melayu dan bandingkan dengan pedang katana dan fungsinya dalam masyarakat Jepun. Barulah ia menjadi kajian besar yang dapat merangkumkan pelbagai jenis ketamadunan.


Syarahan beliau tamat hampir tepat pada masa yang dijadualkan iaitu jam 10.30 malam. Selepas itu hadirin terutama para VVIP dan VIP dibawa melihat pameran di ruang legar kemudian makan. Oh, apabila diteliti kembali atur cara jam 10.30 itu sebenarnya merujuk kepada tamatnya keseluruhan program lalu menteri meninggalkan ISTAC. Syarahan sepatutnya tamat jam 10. Tetapi ketika gambar atas ini diambil jam 10.37 para dif kehormat masih lagi melihat pameran.


Pameran menunjukkan buku-buku yang pernah ditulis oleh Osman juga buku-buku tulisan orang lain yang disunting beliau. Turut ditunjukkan bab-bab tertentu tulisan beliau dalam sejumlah buku lain dan jurnal. Untuk pengetahuan Osman telah menulis 23 buah buku, menyunting 13 buah buku dan menghasilkan bab-bab terpilih untuk 48 buah buku. Jurnal beliau berjumlah 39 buah. Ada pula penulisan yang masuk dalam 10 tajuk ensaiklopedia. Secara rata beliau menulis dalam bahasa Inggeris namun penulisan-penulisannya telah diterjemahkan ke dalam beberapa bahasa utama. Semoga Osman berbesar hati untuk menjadi penyelia bagi penulisan tesis saya di ISTAC.