Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Sabtu, Januari 05, 2019

Jejak empayar Funan dan kerajaan-kerajaan berkaitan - Menyambut hari lahir di tapak pusat empayar

Assalamualaikum wahai para pembaca sekalian. Hari ini 5 Januari 2019 sesuailah dikongsikan cerita hari ke-5 perjalanan saya dan keluarga ke Cambodia dan Thailand 22 November-3 Disember 2018.  Ada sebab lebih kuat yang melibatkan hari lahir dan ini akan diceritakan. Bersambung daripada Jejak empayar Funan dan kerajaan-kerajaan berkaitan - Menghampiri sempadan selatan Vietnam.



Pagi Isnin 26 November 2018. Kelihatan satu pemandangan daripada tempat kami menginap.


Ia adalah sebuah rumah penginapan merangkap hotel kecil.


Letaknya di bahagian lama pekan kecil Takeo,  Dari sini ada jalanraya menuju 50 km ke sempadan Vietnam di selatan.



Namun ada bahagian sempadan yang terletak lebih dekat tetapi tidak boleh dicapai melalui jalan darat.


Dari Takeo ini lebih mudah mengambil jalan air. Terdapat beberapa terusan purba yang menyambung tempat-tempat terutama di lembangan Sungai Mekong membawa ke delta dan muara yang kini terletak dalam sempadan moden negara Vietnam.


Terusan-terusan ini dibina semasa empayar atau kerajaan lama Funan berdiri abad pertama sehingga ke-enam Masihi.


Selepas meninjau-ninjau persekitaran lalu terjumpa sebuah warung makanan halal baru mengajak anak-anak dan isteri keluar bersarapan.


Adapun seluruh negara Cambodia juga sebahagian daripada Vietnam pernah terletak di dalam empayar Funan. Dari Takeo kami mahu pergi ke tapak ibu kota atau pusat kerajaan.


Kami dapat tahu lebih mudah ke sana dengan menaiki bot dari Takeo.


Bergeraklah kami ke tapak pusat tersebut lebih 20 km perjalanan bot.


Melihat pada terusan begitu panjang dengan kelebaran 60 meter saya merasa kagum. Bagaimana mereka dapat membina sistem tersebut hampir 2,000 tahun yang lampau? Lihat artikel Boat ride from Takeo to Phnom Da di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.


Setelah beberapa lama masuk ke satu terusan kecil lalu sampai ke satu perhentian.


Kami mahu ke satu bukit yang dipanggil Phnom Da, satu tapak penting tinggalan empayar Funan.


Kami anak beranak pun mendaki bukit. Lihat Going up the hill of Phnom Da.


Di puncak bukit ada kuil lama yang dibina pada abad ke-11 Masihi. Menariknya ia berdiri di atas kuil lama yang sudah wujud abad ke-enam Masihi iaitu pada zaman Funan. Malah dikatakan di tapak sama pernah wujud kuil lebih lama zaman awal Funan abad pertama atau kedua Masihi. Lihat artikel Kuil (Temple of) Phnom Da di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).


Saya merasa amat seronok kerana sudah sampai ke persekitaran tapak pusat empayar Funan.


Lebih seronok lagi kerana ini berlaku pada tarikh 26 November yang merupakan hari kelahiran saya, buat yang ke-48. Saya pun mengambil peluang menikmati pemandangan dari puncak bukit bersejarah ini. Lihat Views from on top of Phnom Da.


Dari Phnom Da tinggal 10 km sahaja melalui sistem terusan lama untuk masuk ke Vietnam. 


Tetapi kami bukan mahu ke negara tersebut. Sebaliknya kami bergerak 3.5 km ke arah bertentangan iaitu ke utara untuk sampai ke pekan Angkor Borei.


Pekan ini terletak di dalam kawasan kota lama yang dipercayai adalah ibu kota terawal atau paling tidak pun antara paling awal bagi empayar Funan.


Kami singgah ke muzium yang menempatkan artifak-artifak berkenaan. Lihat Muzium (Museum of) Angkor Borei.


Di dalamnya terdapat satu peta menunjukkan jangkauan ibu kota purba yang dahulu pernah bertembok meliputi seluruh Angkor Borei. Daripada kajian-kajian sebegini yang dipelopori ahli-ahli arkeologi dari Peranchis (Cambodia pernah menjadi jajahan takluk Peranchis abad 19-20 Masihi) dapat ditelusuri sejarah dan keberadaan Funan zaman berzaman.


Ada yang percaya kerabat-kerabat diraja Funanlah yang kemudian mendirikan empayar Srivijaya. Mereka juga yang membentuk wangsa Sailendra yang memerintah Pulau Jawa lalu mendirikan Candi Borobudur yang terkenal itu abad ke-9 Masihi. Rujuk artikel lama Pusing Pulau Jawa anak-beranak : Wali Hassani di Kebumen, Buddha di Borobudur dan Jawa Kejawen di Jogja...


Ini berlaku selepas Funan jatuh abad ke-enam akibat serangan daripada satu wilayah bawahan bernama Chenla. Serangan sebenarnya dipelopori oleh seorang kerabat diraja Funan (dipercayai berdarah Melayu tulen) yang berkahwin dengan orang Khmer, satu bangsa yang asalnya mendiami bukit-bukit di IndoChina. Lalu berdirilah kerajaan Chenla yang dikenali sebagai kerajaan bangsa Khmer. Chenla kemudian berpecah dua, satu daripadanya muncul menjadi kerajaan Angkor yang mendirikan Angkor Wat abad ke-12 Masihi. Lihat Jejak empayar Funan dan kerajaan-kerajaan berkaitan - Angkor Wat dan kuil-kuil lama di sekitar.


Setelah beberapa lama bahagian timur Angkor jatuh kepada kerajaan Ayuthia yang berpusat di negara Thailand sekarang. Campur tangan Peranchis membawa kepada pembentukan negara moden Kampuchea, kemudian dikenali sebagai Cambodia abad ke-20. Di sini saya tidak ingin bercerita panjang lebar tentang kerajaan-kerajaan tersebut. Google sahaja nama-nama berkenaan anda boleh jumpa banyak cerita panjang lebar daripada pelbagai pihak walaupun ramai antara mereka tidak pernah pun menjejakkan kaki ke mana-mana tapak sejarah yang diceritakan.


Saya tiada masalah dengan orang yang bercerita panjang lebar tetapi tidak pernah sampai. Yang tidak suka adalah mengarang cerita ala-ala kreatif untuk memberikan bayangan seolah-olah pernah sampai merata walhal tidak. Lalu ramai tertipu dengan karangan kreatif sebegitu. Walhal cerita-ceritanya semua dicedok daripada kajian orang lain...


Apapun, selesai urusan di persekitaran pusat empayar Funan kami kembali ke Takeo lalu menuju ke stesyen kereta api. Lihat Takeo train station.


Kami sempat sampai ke stesyen sebelum kereta api ke Phnom Penh dijadualkan bergerak jam 12 tengah hari. Tengok-tengok jam 2 baru ia muncul. Kemudian kereta api bergerak begitu perlahan.  Dekat jam 5.30 petang baru sampai walhal jarak Takeo ke Phnom Penh  cuma sekitar 70-80 km iaitu seperti Seremban ke Kuala Lumpur.


Selesai hal di pusat empayar Funan baru ada masa untuk menikmati ibu kota negara Cambodia ini. Sudah disebut dalam artikel Jejak empayar Funan dan kerajaan-kerajaan berkaitan - Menghampiri sempadan selatan Vietnam bahawa hari sebelumnya kami sudah sampai dari arah Kampong Cham. Tetapi tiada masa untuk menikmatinya kerana mahu berkejar lebih jauh ke arah selatan Vietnam.








Dah malam baru sampai ke penginapan kami di satu kawasan yang biasa dihurungi pelancong Barat.


Alhamdulillah bilik cukup besar, siap ada 3 katil queen terlebih cukup untuk kami anak beranak dua orang dewasa dua kanak-kanak.


Menariknya adalah gambar penari perempuan pada dinding bilik. Motif-motif serupa boleh dilihat dengan banyak di kuil-kuil lama termasuk di Angkor Wat. Di Phnom Penh baru saya faham kenapa ia terpapar di banyak tempat. Tapi itu cerita daripada siang keesokannya hari Selasa...


Oh. Biar diberitahu. Jika cerita dalam artikel ini berlaku ketika saya menyambut hari lahir yang ke-48 tarikh artikel ini ditulis iaitu 5 Januari pula adalah tarikh lahir isteri. Ia adalah ulangtahun beliau yang ke-44. Semoga kami dapat terus bersama mengembara merata meneroka pelbagai perkara sehingga ke akhir hayat. Untuk rekod saya ini adalah artikel ke-1,727 di blogspot ini. :]


Khamis, Januari 03, 2019

Kitab At-Tarikh Salasilah Negeri Kedah dan nasihat kepada raja-raja serta para pembesar dan menteri

Salam malam Jumaat. Sudah 3 hari kita masuk tahun baru 2019. Rasanya tak salah baru kini hendak mengucapkan selamat tahun baru. Biar dipersembahkan artikel pertama untuk tahun baru...


Merujuk pada artikel Rujukan daripada kitab-kitab Alam Melayu dan Rujukan daripada Asia Barat dan Timur Tengah hampir sebulan lalu. Adapun pada majlis yang diceritakan dalam artikel iaitu Persidangan Adab Pemerintahan Pesan Tamadun Melayu-Islam di UiTM 5 Disember 2018 saya telah membeli senaskah buku atau kitab bertajuk At-Tarikh Salasilah Negeri Kedah. Adapun kitab ini asalnya ditulis tangan oleh Muhammad Hassan bin Dato' Kerani Muhammad Arshad. Beliau adalah setiausaha sulit kepada Sultan Abdul Hamid Shah, Sultan ke-26 Kedah (memerintah 1882-1943).



Buku ditulis atas titah istana untuk menjadi panduan tentang sejarah Kesultanan Kedah sejak zaman bahari hingga ke zaman penulis awal abad ke-20. Naskah asal atau manuskrip tulisan Jawi dibuat setelah menerima titah istana tahun 1927. Ia kemudian dicetak dan diterbitkan dalam jumlah yang banyak oleh Jelutung Press di Pulau Pinang tahun 1928. Setelah beberapa lama naskah asal diserahkan oleh waris penulis untuk simpanan Dewan Bahasa dan Pustaka. Pada tahun 1968 DBP menerbitkan transliterasi tulisan rumi. Lalu pihak Jelutung Press menyusul dengan membuat ulang cetak naskah jawi, dimasukkan beberapa fakta baru berserta halaman tambahan sesuai dengan zaman.


Empat versi kitab At-Tarikh Salasilah Negeri Kedah ini - manuskrip asal jawi, buku bercetak jawi, buku transliterasi rumi dan ulang cetak jawi dengan tambahan - telah digunakan untuk menerbitkan versi baru tahun 2018. Itulah yang kelihatan dalam gambar paling atas. Penyelenggaranya merangkap penyunting yang membuat tranliterasi baru sambil membandingkan semua naskah awal lalu membuat saringan juga nota-nota kaki berkenaan memakai nama Dr Ibrahim Bakar Langkawi. Penerbitnya adalah Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah (PSMCK).


Kombinasi tenaga kerja dan intelektual antara penyelenggara dengan penerbit menghasilkan versi baru yang pada saya amat menarik dan banyak maklumat serta nilai tambah. Jangkauan kekuasaan Kedah dikatakan  pernah memanjang jauh ke utara sehingga masuk ke sempadan Burma/Myanmar sekarang. Negeri-negeri/wilayah/jajahan berkenaan yang kini banyak termasuk di dalam sempadan moden negara Thailand ditunjukkan dalam peta.


Hasil penemuan-penemuan terbaru yang dibuat persatuan juga penyelenggara dimasukkan sekali ke dalam buku. Lokasi kota-kota atau tapak pusat pemerintahan kerajaan Kedah dicari selagi boleh dapat lalu ditunjukkan. Adapun kitab At-Tarikh Salasilah Negeri Kedah ini sudah lama saya dengar ceritanya kerana dikatakan di dalamnya terhimpun sejarah panjang Kedah yang paling menepati kehendak akademik, tidak seperti satu lagi rujukan popular ramai iaitu Hikayat Merong Mahawangsa yang mengandungi begitu banyak unsur mitos, lagenda dan dongeng yang tidak masuk akal.


Jika hikayat membuka dengan kisah burung gergasi garuda mengisytiharkan kepada Nabi Sulaiman  AS mahu menghalang anak raja Rom daripada berkahwin dengan puteri maharaja Cina tanpa menyatakan apa-apa tarikh sepanjang hikayat itu, kitab At-Tarikh lebih memiliki nilai sejarah atau historicity apabila setiap peristiwa penting diberikan tarikh Hijriah. Permulaan asal mula Kedah sebagai wilayah bernama Kalaha meliputi muara empat sungai besar daripada persekitaran Sungai Petani/Seberang Prai sekarang membawa ke Setul dalam selatan Thailand diberikan tarikh 390 tahun sebelum kelahiran Nabi Muhammad SAW iaitu pada abad ke-2 Masihi.


Namun Kedah baru menerima seorang raja atau maharaja beberapa waktu selepas baginda Rasullah SAW lahir pada tahun bersamaan 571 Masihi, sebelum itu ia cuma ada pembesar sahaja. Diceritakan asal usul raja dari Iran dan bagaimana pemerintahan baginda membawa kepada anak cucunya. Masuk keturunan dan raja ke-9 baru memeluk Islam iaitu pada tahun yang bersamaan 1136 lalu jadilah ia negeri bernama Kedah Darul Aman.



Kembali kepada hal pembacaan At-Tarikh. Walaupun sudah lama mendengar tentang kitab saya tidak pernah menemui apalagi membaca apa-apa naskah. Yang ada cuma sedutan-sedutan terpilih dalam penulisan-penulisan lain. Maka itu memang terasa senang hati apabila dapat menemui lalu membeli versi baru tahun 2018 itu. Namun selepas hampir sebulan memilikinya baru pagi semalam jam 10 tergerak untuk mula membaca. Itulah yang membuat saya mengambil gambar yang kelihatan. Dalam artikel ini ia telah diletakkan paling atas. 

Sebetulnya gambar ini mengiringi satu status update saya di Facebook. Bunyinya begini :-


DAH BIASA MULTITASKING...

Salam. Di celah proses suntingan akhir buku tentang pengembaraan solo hitchhike pusing Eropah tahun 1995 dan beberapa hal lain termasuk persediaan untuk tesis pasca-siswazah timbul gerak untuk mula menelaah buku ini pulak...


Status ditulis sebegitu rupa kerana sememangnya saya sedang kesibukan mengendalikan beberapa perkara termasuk projek buku baru. Namun bila sudah dimulakan membaca saya berusaha untuk menghadam sebanyak mungkin isi dalam masa sesuntuk mungkin.  Selepas Maghrib malam semalam masuklah ke muka surat 137 (buku ada 360 muka surat kesemuanya) . Saya begitu tertarik dengan apa yang tertera pada muka surat tersebut lalu mengambil gambar untuk dikongsikan di FB. Begini teksnya :-


RAJA-RAJA DILARANG BERNIAGA

Hmm. Menarik nasihat Sheikh Abdul Jalil al-Mahdani (ayahanda kepada Sheikh Abdussomad al-Falimbani) kepada anak muridnya, Sultan Muhammad Jiwa yang memerintah Kedah tahun 1710-1778. Sesungguhnya raja-raja dan kaum kerabat yang dekat dengan takhta malah para pembesar utama itu tidak patut dan dilarang berniaga. Mereka sudah ada sumber pendapatan yang cukup lumayan menurut struktur tradisional pemerintahan dan istana. Kalau masuk berniaga juga akan tunggang terbaliklah pendapatan kerajaan kerana mengganggu peluang perniagaan rakyat lainnya. Beginilah pegangan saya sejak dahulu lagi.



Maklum balas memberangsangkan menyebabkan saya menyatakan akan berkongsi 13 lagi nasihat untuk raja dan para pembesar/menteri. Saya merasakan ia sangat relevan untuk menangani keadaan sosio-politik Malaysia kini yang kelihatan begitu mengancam kepentingan-kepentingan Melayu dan Islam. Seorang pembaca menzahirkan kerisauan takut status saya itu digunakan oleh golongan anti-monarki atau republikan untuk menjatuhkan raja-raja. Saya jawab bahawa saya amat menyayangi institusi beraja kerana melihat ia sebagai jambatan untuk menerbitkan sistem khilafah berdasarkan manhaj kenabian akhir zaman. Namun yang dirisaukan adalah individu-individu terutama dalam istana yang membawa rosak kepada nama raja-raja itu sendiri. Ini harus ditangani kalau betul-betul mahu Melayu dan Islam cemerlang.


Untuk menyatakan keprihatinan tersebut saya pun menambah perenggan berikut pada status :-


Nota tambahan : Harus ditegaskan ini semua adalah nasihat buat raja, bukan mahu menentang apa lagi menjatuhkan atau menghapuskan raja-raja Kalau tidak mahu dengar harus ada proses untuk memakzulkan seorang raja lalu digantikan dengan kerabat yang lebih afdhal lagi alim dan bertanggungjawab demi kemaslahatan ummah.


Harapan saya agar perkara ini diambil serius. Kalau tidak ditakuti institusi beraja akan jatuh dan negara semakin tonggang langgang.


Adapun saya memberitahu akan berkongsikan 13 perkara nasihat yang dibuat oleh Sheikh Abdul Jalil al-Mahdani terhadap Sultan Muhammad Jiwa. Lihatlah pada tiga gambar atas. Buka pada saiz asal. Diceritakan kenapa boleh timbul nasihat akibat sultan bercadang untuk berniaga. Lalu Sheikh Abdul Jalil memberikan sebab musabab kenapa ia tidak patut dilakukan oleh raja-raja juga para pembesar/menteri. Ditambahlah 13 perkara yang pada saya memang harus diaplikasikan terhadap Malaysia kini...



Isnin, Disember 31, 2018

Jejak empayar Funan dan kerajaan-kerajaan berkaitan - Menghampiri sempadan selatan Vietnam

Salam 31 Disember. Tinggal beberapa jam lagi tahun 2018 akan tamat lalu tahun baru 2019 pun menjelang. Sebelum itu berlaku biarlah kita masuk ke hari ke-4 perjalanan saya dan keluarga ke Cambodia dan Thailand 22 November-3 Disember lalu. Bersambung daripada artikel Jejak empayar Funan dan kerajaan-kerajaan berkaitan - Antara tarikan purba kuil Preah Vihear dengan panggilan keMelayuan Kampong Cham.


Pagi Ahad 25 November 2018. Kami keluar daripada perkarangan hotel tempat kami menginap untuk melihat lagi bandar Kampong Cham dengan lebih dekat.


Menariknya hotel itu menghadap Sungai Mekong. Kami pun menikmati pemandangan tepian sungai. Lihat artikel Mekong river from our hotel at Kampong Cham blogspot BERPETUALANG KE ACEH.



Kebetulan pemandu tuk tuk yang membawa kami pusing Kampong Cham hari sebelumnya ada di hadapan. Tanpa dipinta beliau menawarkan untuk membawa kami ke warung halal terdekat secara percuma.


Nak jalan kaki pun bukan jauh sangat, setakat 300-400 meter iaitu di warung dalam kawasan pasar tempat kami makan tengah hari Sabtu. Tapi bila dah orang tawar nak bawa secara percuma kami naik ajelah ke situ.


Lagipun dia sebenarnya sudah mendapat bayaran yang boleh tahan lumayan apabila membawa kami berjalan-jalan waktu itu. Dengan membawa kami ke tempat makan secara percuma dia juga boleh mendapat upah untuk mengambil kami apabila keluar dari hotel tengah hari Ahad. 


Sementara itu kam berjalan kaki pusing Kampong Cham. Di tengah perjalanan sejauh 2.5 km itu hingga ke pinggir selatan bandar sebelum kembali ke hotel sempat membeli serbuk kopi tempatan. Lihat Walking around Kampong Cham town.


Di sebelah hotel kami terdapat sebuah hotel lain yang saya lihat adalah bangunan tertinggi di Kampong Cham.


Saya pun mengambil peluang untuk melihat pemandangan sekeliling daripada atas sana. Lihat Views from the tallest building at Kampong Cham. Terasa pemandangan dan keadaan seperti ada persamaan dengan tempat kelahiran saya di Muar. Lihat artikel Views from on top of Muar town... yang ditulis hampir 11 tahun lalu.


Kami check out hotel sekitar jam 11.40 lalu pemandu tuk tuk menghantar ke perhentian bas.


Destinasi kam seterusnya adalah ibu negara Cambodia iaitu Phnom Penh. Kami mahu ke sana dengan bas jam 12.


Sekitar jam 12.18 gitu baru bas sampai.


Masuk jam 12.22 baru ia bergerak.


Lebih 2 jam setengah kemudian bas pun memasuki kawasan pinggiran luar bandar raya Phnom Penh.


Ternyata ia sebuah bandar raya yang besar. Dekat 20 minit kemudian baru hendak memasuki kawasan pusat bandar raya iaitu apabila mengambil jambatan utama menyeberangi Sungai Tonle Sap...







Saya lihat bandar raya Phnom Penh ini boleh tahan hebat. Lihat First impression of Phnom Penh.
.

Namun ia bukanlah destinasi utama kami untuk hari itu. Kami mahu ke tempat lain lebih jauh ke arah selatan dan tenggara menghampiri sempadan selatan Vietnam dengan menaiki kereta api dari Phnom Penh...