Salam hari Rabu malam Khamis 18 Syawal 1437 Hijriah. Adapun sudah lama saya tidak mengikuti apa-apa majlis ilmu bersifat akademik di mana-mana kerana satu tidak ada mood. Kedua, kerana hendak memberikan tumpuan penuh kepada penulisan tesis di ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Dunia Islam). Setelah beberapa lama alhamdulillah penulisan sampai ke satu tahap yang boleh dikatakan selesai, sekadar menunggu apa-apa cadangan dan pembetulan daripada penyelia tesis lalu melakukan susulan-susulan berkenaan sebelum boleh didaftarkan bagi penilaian akhir. Ini berlaku sejurus sebelum masuk tamat bulan puasa Ramadhan lalu ada dinyatakan dalam artikel Jumaat 27 Ramadhan di ISTAC dan harapanku bagi hari raya yang ditulis pada malam 1 Syawal iaitu setengah bulan lalu. Dengan itu baru dapat memberikan masa dan komitmen bagi satu majlis ilmu.
Majlis kali ini merupakan pembukaan atau syarahan pertama bagi satu siri baru oleh guru juga penyelia tesis saya di ISTAC, Profesor Emeritus Datuk Dr Othman Bakar. Siri dalam bahasa Inggeris yang mengandungi lima syarahan ini memiliki tajuk besar yang boleh diterjemahkan sebagai "Ilmu Jiwa Daripada Sudut Pandang Al-Ghazali". Ia dianjurkan oleh ISIP (International Students of Islamic Psychology - Penuntut Antarabangsa Ilmu Psikologi) dan ISTAC. Saya pun tak pasti ISIP ini asalnya daripada mana. Nampak seperti suatu macam gabungan para pelajar antarabangsa Islam yang sering berhubung secara atas talian. Yang tahu ia melibatkan ilmu psikologi atau boleh juga dipanggil sebagai ilmu jiwa/kejiwaan.
Siri syarahan telah dijadualkan berlangsung sekali sebulan Sabtu malam Ahad (waktu Malaysia) pada tarikh-tarikh yang kelihatan. Di sini biar dibuat terjemahan bagi tajuk-tajuk syarahan :-
1. Memahami Ilmu Jiwa Al-Ghazali - Satu Sintesis Pelbagai Perspektif
2. Pemahaman Al-Ghazali Tentang Ilmu Jiwa, Kesejahteraan dan Penyakit
3. Kimia Kebahagian Al-Ghazali - Mahkota Ilmu Jiwa Islam
4. Kepentingan Ilmu Jiwa Kepada Kebangkitan Semula Sains-sains Islam
5. Pesanan Abadi Ilmu Jiwa Al-Ghazali Kepada Dunia Islam Sekarang
Syarahan pertama berlangsung 10 hari lepas. Dalam artikel
Beraya di kampung tahun 2022 - Dari Muar kembali ke Lembah Klang dan Rawang yang dipersembahkan petang Ahad dua hari lalu ada diberitahu bahawa saya dan keluarga bergerak kembali dari kampung saya di Muar petang Sabtu 6 Syawal iaitu pada 10 hari lalu dengan niat mahu mengejar satu Webinar pada malamnya. Ia sebenarnya merujuk pada syarahan pertama itu.
Adapun pihak penganjur telah memberikan pesanan agar peserta tidak membuat apa-apa screenshot syarahan sebaliknya menunggu video rasmi daripada mereka keluar. Sedangkan sudah menjadikan kebiasaan saya mengambil screenshots yang kemudian boleh digunakan untuk membantu penceritaan dalam artikel di blogspot. Disebabkan pesanan pengajur saya tidak mengambil apa-apa screenshot. Video rasmi pun keluar dua hari kemudian melalui Youtube. Daripada situ baru boleh diambil screenshot dan inilah yang digunakan bagi penceritaan seterusnya...
Majlis dibuka dengan pengenalan tentang siri syarahan sebelum membawa kepada tajuk pada syarahan pertama. Ketika mendengarkan ini di Youtube baru tersedar bahawa slaid pembentangan ada dihantar bersama
e-mail berkenaan yang diterima setiap peserta berdaftar. Ini kerana saya terlepas pengumuman akibat sedikit masalah teknikal hendak masuk ke Webinar. Masalah ini muncul disebabkan pertama kali menggunakan komputer baru untuk syarahan secara atas talian. Rujuk
Akhirnya komputer ribaku yang ke-7 tewas juga.
Gambar Osman ini diambil daripada Youtube. Kelihatan beliau begitu sihat, segar dan ceria untuk berkongsi lagi ilmu. Untuk makluman guru saya yang kini berumur 76 tahun ini baru ditemui di rumahnya Ahad pada 8 Mei merangkap 7 Syawal, setelah lebih 2 tahun tidak dapat bertemu secara fizikal, cuma melalui atas talian disebabkan PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) bagi membendung wabak Covid-19. Rujuk cerita berkenaan dalam artikel
Beraya di kampung tahun 2022 - Dari Muar kembali ke Lembah Klang dan Rawang. Selepas ini biar diletakkan slaid yang digunakan dalam syarahan, slaid yang diperolehi melalui e-mail... walaupun slaid sama boleh diperolehi secara
screenshot melalui Youtube,
Selepas mengucapkan terima kasih kepada pihak-pihak yang membantu menjayakan acara beliau mula menunjukkan slaid...
Pengenalan pun dibuat terhadap Imam Al-Ghazali. Nama ulamak besar Islam yang hidup 1,000 tahun lalu itu sebenarnya tidak perlu diperkenalkan sangat kerana harus diketahui semua umat Islam apa lagi bagi golongan sarjana dan cendekiawan. Disebutlah bahawa beliau pernah menjadi ahli fekah terkemuka, seorang profesor undang-undang (syariah) di Universiti (Madrasah) Nizamiyah di Baghdad di mana beliau memegang Kerusi Mazhab Shafi'i. Beliau juga adalah ulamak terkemuka dalam bidang kalam (ilmu mantiq atau logik Islam), pengkritik falsafah Peripatec (berdasarkan pemikiran Aristotle dari Yunani purba, aliran ini dipanggil Masha'i dalam dunia Islam) juga tokoh terkemuka dalam dunia kerohanian Sufi.
Saya telah menulis sejumlah artikel tentang Al-Ghazali dan pemikirannya atau melibatkan beliau berdasarkan syarahan-syarahan Osman sebelum ini lalu telah menyebut tentang hal-hal tersebut serta banyak lagi. Lihat artikel-artikel berikut :-
Ketika mencari artikel-artikel lama berkenaan baru tersedar bahawa ada masanya saya mengeja namanya sebagai Ghazzali. Tak mengapa. Yang penting tetap merujuk kepada orang yang sama. Apapun kali ini pendekatan terhadapan keilmuan Imam Al-Ghazali agak berbeza kerana mahu melihat sudut pandang beliau terhadap psikologi atau ilmu jiwa.
Ini dibuat berdasarkan fakta bahawa Al-Ghazali adalah pakar dalam pelbagai bidang. Beliau mampu membuat sintesis atau gabungan pelbagai aliran pemikiran untuk membentuk suatu pandangan yang terangkum (wholly) terhadap suatu permasalahan. Dengan itu beliau dapat melihat persoalan jiwa yang pada zaman dahulu lebih merujuk kepada ruh (terjemahan saya bagi perkataan Inggeris soul yang disebut Osman) seperti terpakai pada zaman Al-Ghazali juga pada zaman-zaman sebelumnya menurut sudut pandang tersendiri.
Namun harus ditekankan dahulu bagaimana berbezanya ilmu jiwa yang dikenali dalam dunia moden berbanding ilmu jiwa pada zaman lampau. Di sini harus dinyatakan suatu perkara terhadap definisi-definisi perkataan. Saya biasa mendengar perkataan Inggeris soul sebagai merujuk kepada ruh, sedangkan perkataan Melayu ruh berasal daripada perkataan Arab yang sama bunyi. Tetapi Osman menyamakan ia dengan perkataan Arab nafs (yang faham saya sering merujuk pada nafsu juga nafas). Ruh pula disamakan dengan perkataan Inggeris spirit (yang pada faham saya dan kebiasaan ramai orang merujuk pada semangat atau suatu entiti ghaib). Seterusnya disebut perkataan Arab qalb yang disamakan dengan perkataan Inggeris heart (merujuk pada konsep hati dalam bahasa Melayu, juga disebut kalbu) juga aql dengan perkataan bahasa Inggeris intellect reason (penggunaan akal fikiran).
Tentang dua perkataan ini tiada masalah, qalb = heart = hati/kalbu, aql = intellect reason = akal. Tentang nafs = soul = dan ruh = spirit saya agak keliru. Tetapi tak mengapalah. Kita ikut sahaja seperti yang guru kita sebut, sekurang-kurangnya dalam konteks keilmuan Al-Ghazali yang mana semua ini harus terkait dengan penggunaan terma-terma berkenaan dalam ilmu Tasawuf ataupun Sufi. Persoalannya adakah pemahaman zaman sekarang terhadap ilmu psikologi atau ilmu jiwa dapat meliputi apa yang dicakupi menurut pemikiran tradisi? Faham saya Osman merujuk pada bagaimana pemahaman sekarang secara rata melihat apa yang berlaku pada jiwa sebagai apa yang berlaku dalam pemikiran yang organ fizikalnya adalah otak. Tidak ada wujud pemikiran di luar daripada badan. Sedangkan pemikiran tradisi meletakkan jiwa sebagai meliputi dimensi kerohanian qalb, nafs dan ruh. Hal ini tidak lagi wujud dalam pemikiran moden berdasarkan perkembangan sains bersifat fizikal dan rasional dalam dunia Barat.
Disebutlah tentang bagaimana ilmu jiwa Islam zaman Al-Ghazali mengambil faedah daripada beberapa konsep yang diwarisi daripada zaman Yunani purba yang telah wujud beratus tahun sebelum Masihi. Disebut tentang perkataan Yunani pneuma yang membawa maksud ruh yang ditiupkan ke dalam jasad, serupa dengan konsep berkenaan dalam Islam di mana jasad Adam ditiupkan ruh oleh Allah SWT lalu ia pun bernyawa. Hal ini terkait dengan nafs, yang mana daripada ia muncul perkataan nafas - semua yang hidup perlu bernafas. Kalau tidak lagi bernafas maka matilah ia. Terkait juga dengan perkataan nafsu yang mana menurut pemahaman biasa merujuk kepada kehendak hawa nafsu dan sebagainya. Tetapi dalam dunia Sufi ia membawa erti yang lebih besar, merujuk kepada jiwa itu sendiri yang boleh berubah daripada sifat kehaiwanan menjadi lebih elok dan elok sehingga mencapai sifat kemalaikatan.
Disebut juga tentang konsep psukhe daripada Yunani Purba. Hampir sama dengan pneuma tadi juga melibatkan nafas sebagai suatu yang menghidupkan jasad. Ini pada saya lebih menghampiri konsep nyawa dalam bahasa Melayu. Namun psukhe ini lebih dilihat membawa pada konsep kejiwaan iaitu diri dalam jasad yang merasa atau memiliki perasaan (gembira, marah, muram dan sebagainya). Maka itu ilmu berkenaan dalam dunia Barat pun dikenali sebagai psychology. DiMelayukan jadi psikologi sedangkan ia sebenarnya adalah ilmu tentang jiwa.
Ah. Untuk berkongsikan semua yang diperkatakan Osman apa lagi untuk saya mengupasnya dengan menggunakan bahasa yang boleh difahami orang awam adalah kerja yang berat dan memakan masa. Biar diringkaskan penulisan dengan sekadar menerangkan sedikit isi-isi slaid. Misalnya di atas. Bagaimanakah sebaiknya untuk mengenangkan Al-Ghazali? Maka diberikanlah perkara-perkara berikut :-
1. Beliau menterbalikkan legalism (kencenderungan untuk terlalu memberatkan unsur-unsur luaran feqah) dengan cara berfalsafah tentang usul al fiqh (asal usul perkara-perkara feqah) lalu memperkenalkan maqasid al-shari'ah (mencari tujuan atau matlamat suatu undang-undang syariah).
2. Beliau memperkenalkan konsep ilmu kalam (penggunaan mantiq atau logik bagi berhujah) baru yang lebih berfalsafah, sistematik dan boleh dihormati.
3. Beliau menggariskan kembali batas-batas falsafah lalu mengilhamkan kelahiran falsafah kecahayaan (illuminationst philosophy). Ini faham saya merujuk kepada sekolah falsafah atau pemahaman Ishraqi yang diasaskan oleh Shahab al-Din Suhrawardi seabad selepas Al-Ghazali. Ia adalah pemahaman di mana wujud alam dan segala di dalamnya adalah berdasarkan cahaya dan tahap-tahapnya seperti dipancarkan daripada Ilahi.
4. Beliau merohanikan kembali undang-undang Syariah dan memasyhurkan epistemologi atau pemahaman keilmuan Sufi berdasarkan penyucian diri.
5. Beliau mengembalikan keseimbangan antara dimensi dalam dan luaran Islam.
6. Beliau menekankan kembali keutamaan kehidupan kerohanian dalam kerangka Syariah.
7. Kitab Ihya Ulumiddin (Penghidupan Ilmu Agam) tulisan beliau menjadi rujukan utama tentang etika Islam baik secara peribadi mahupun secara kemasyarakatan.
8. Beliau memiliki pemikiran sintetikal yang tersohor, seorang yang bersifat sintesis iaitu mampu memadukan pelbagai aliran dan pemikiran lalu memenuhi takrif tradisi seorang hakim (iaitu seorang yang penuh hikmah, bukan hakim yang hanya tahu menjatuhkan hukuman di mahkamah seperti difahami ramai sekarang).
Ilmu jiwa Al-Ghazali adalah sintesis daripada pelbagai sudut pandang. Ia menggabungkan ilmu jiwa berdasarkan wahyu, undang-undang/feqah, kalam, Peripatetic/Masha'i dan Sufi.
Jadi apakah Al-Ghazali boleh dikatakan sebagai seorang ahli psikologi atau ahli ilmu jiwa? Tentu iya baik berdasarkan apakah itu ilmu jiwa pada zaman sekarang apa lagi menurut definisi tradisi. Ini boleh dilihat melalui penulisan beliau dalam kitab Ihya Ulumuddin di mana empat terma utama atau kata kunci digunakan untuk mengupas hal-hal jiwa iaitu qalb, ruh, nafs dan aqal. Penulisan lebih khusus dibuat dalam kitab bertajuk Al-Madnun Bihi 'Ala Ghayri Alihi (yang bermakna apa yang tidak didedahkan kepada bukan ahlinya). Ia adalah satu penulisan tentang ilmu jiwa berdasarkan wahyu melibatkan hal-hal kerohanian terutama berkenaan ruh.
Sebagai seorang ulamak pemimpin Sufi beliau tahu teori juga amalan-amalan berkenaan. Beliau mengasaskan sebuah
khanaqah atau rumah khas bagi orang Sufi juga mengajar ilmu tentang nafs. Untuk memahami sendiri sila ikuti video rakaman penuh syarahan di
sini.