Lagi bab ilmu. Meriah dah sekarang ni dengan segala macam majlis ilmu tentang Melayu...
Beberapa hari lepas saya ditunjukkan poster ini dalam Facebook berserta senarai tajuk dan pembentang yang amat menarik. Kebetulan seminggu dua kebelakangan saya memang menyimpan hajat untuk ke UKM atau Universiti Kebangsaan Malaysia di Bangi, 75 km gitu daripada rumah saya untuk bertemu dengan seorang profesor yang baru dikenali. Majlis pun menjadi alasan baik untuk ke sana.
Itupun saya nyaris-nyaris tak pergi, apabila mendapat tahu yuran untuk menyertai majlis adalah RM200 seorang. Nasib baik pihak produser saya (untuk projek dokumentari "Daulah Melayu" yang mana saya jadi penyelidik dan hos) sudi menanggung. Sebenarnya kalau nak masuk secara percuma pun boleh kerana salah seorang pembentang, seorang profesor ternama daripada UM (Universiti Malaya) rapat dengan saya. Saya boleh datang sebagai pembantu beliau dan ini cukup untuk membuka banyak pintu.
Apapun produser sudah sedia menanggung apa lagi ia boleh dimasukkan ke dalam bajet penyelidikan dokumentari. Turut ditanggung adalah direktor atau pengarah yang datang sama kerana selain untuk penyelidikan acara sebegini adalag bagus untuk pihak produser berkenalan dan merapatkan diri dengan golongan cendekiawan dan para profesor ternama.
Saya sendiri sudah kenal ramai golongan ini dan mereka sudah biasa dengan keadaan saya yang datang ke majlis selalu berbusana tradisional Melayu penuh kemudian selalu mengemukakan soalan, sesekali pandangan dalam majlis. Sengaja saya buat ini kerana selain mahu mempromosikan busana Melayu saya mahu menunjukkan kehadiran diri yang menyatakan kecintaan terhadap budaya dan tamadun Melayu. Dan sengaja saya menonjolkan daya intelektual untuk menunjukkan bahawa yang berpakaian begini bukan orang kampungan yang cuma tahu bersilat atau buat show sahaja. Saya mahu golongan cerdik pandai tahu dan menghargai bahawa dalam kalangan kami aktivisi kedaulatan Melayu dan Islam, ada yang cukup intelektual dan berpelajaran tinggi, boleh duduk sama rendah berdiri sama tinggi dengan para cendekiawan dan profesor.
Ketika saya masuk ke dewan jam 9.25 sesi pembukaan/perasmian baru sahaja selesai.
Walaupun yuran adalah RM200 sekepala (kemudian saya baru tahu untuk pelajar tak kira daripada mana ia cum RM50) nampaknya ramai juga sanggup datang.
Sesungguhnya ramai berminat untuk mengetahui lebih lanjut tentang asal usul Melayu. Daripada pemerhatian saya terutama 3 tahun kebelakangan ramai berminat untuk menggali kembali jati diri agar dapat berdiri teguh sambil menjawab pelbagai tohman sesetengah pihak terutama orang bukan Melayu yang kelihatan berusaha bersungguh-sungguh untuk menafikan hak keistimewaan orang Melayu seperti termaktub dalam perlembagaan negara Malaysia.
Sarapan. Kita minum dulu...
Jam 10.10 gitu mengikut rekod pada kamera saya, sesi pembentangan pun dibuka. Pembentang pertama adalah Encik Farid Mat Zain daripada Fakulti Pengajian Islam UKM. Bercakap terus tanpa bantuan slaid (cuma saya lihat beliau bergantung pada nota-nota di tangannya) beliau membawa tajuk "Dari Syurga ke Alam Nyata : Menjejaki Asal Usul Nabi Adam".
Seingat saya, sejak mula menghadiri majlis-majlis ilmu tentang sejarah, budaya dan kerajaan-kerajaan Melayu di tempat-tempat seperti Wisma Sejarah, Universiti Malaya, Arkib Negara, Muzium Negara, Dewan Bahasa dan Pustaka dan sebagainya 6 tahun lalu belum pernah topik berkenaan Nabi Adam dijadikan salah satu tajuk pembentangan. Inilah antara sebab kenapa saya rasa perlu menghadiri seminar ini. Saya mengharap agar ada pihak dapat memberikan jawaban atau penerangan yang definitif di manakah letak kedudukan Nabi Adam apabila cuba dipadankan dengan kajian saintifik yang menunjukkan manusia moden (yang berdiri/berjalan tegak dengan rupa bentuk manusia sekarang, dipanggil Homo Sapiens dalam istilah saintifik) telah wujud lebih 100,000 tahun lalu. Itu belum cerita makhluk-makhluk SEPERTI manusia tetapi mungkin berjalan bongkok sedikit, otaknya lebih kecil berbanding kita... makhluk-makhluk serupa manusia dengan istilah saintifik seperti Neanderthal Man dan sebagainya yang dikatakan wujud seawal 2 juta tahun lalu! Bagaimana hendak diseleraskan semua ini dengan kenyataan sesetengah ulamak bahawa Nabi Adam AS turun ke muka bumi 6,000 tahun lalu, atau paling awal pun 10,000 tahun lalu?
Saya mengambil kedudukan yang cukup selesa untuk mengikuti pembentangan. Oleh kerana semasa itu terasa keris seperti berlaga dengan tempat duduk saya pun meletakkannya atas meja. Farid memulakan pembentangan dengan menceritakan kejadian Nabi Adam dibuat di syurga dengan tanah yang diambil daripada pelbagai tempat di bumi membawa kepada turunnya baginda yang mengikut sejumlah ulamak adalah di tanah Al-Hind yang biasa dikaitkan dengan India, lebih tepat di Serendib yang dikatakan pulau Sri Lanka. Selepas itu baru masuk bab keturunan Nabi Adam terutama Nabi Syith yang mewarisi kepimpinan baginda.
Tetapi masa yang diberikan untuk setiap pembentang iaitu 20 miniti terlalu pendek untuk beliau pergi lebih jauh. Selepas Nabi Adam beliau setakat sempat masuk bab Nabi Syith, anak Nabi Adam yang mewarisi kepimpinan baginda, itu pun setelah terlajak membentang lebih 10 minit lagi kalau tak salah. Saya tak tahu jika Farid akan mengaitkan kemunculan bangsa Melayu dengan Nabi Adam kalau diberi lebih masa, mungkin dengan menceritakan perkaitan melalui anak cucu atau cabang keturunan yang mana. Sesungguhnya saya mengharapkan akan terkeluar maklumat sebegitu. Tetapi nampaknya tak sampai hajat akibat kekangan masa...
Menurut maklumat pada kamera, pembentang kedua, Puan Zaharah Sulaiman daripada Ikatan Ahli Arkeologi Malaysia (IAAM) memulakan tajuk "Asal Usul Melayu Dalam Pelbagai Perspektif Kajian Terkini" pada jam 10.42. Perlu diingat selepas beliau ada seorang lagi pembentang untuk sesi pagi diikuti 3 pembentang sesi tengah hari. Campur beliau ada 5 orang pembentang perlu berkongsi ilmu sebelum majlis berehat untuk makan tengah hari jam 12.30. Masih ada ruang untuk setiap seorang bercakap 20 minit tetapi masa untuk bersoal jawab pula tinggal kurang 10 minit. Itu belum dikira kecenderungan dan kebiasaan untuk ramai membentang melebihi had masa...
Seperti biasa (saya sudah menghadiri pembentangan Zaharah beberapa kali) beliau menggunakan slaid. Terus dibuka bab Sundaland merujuk pada dataran besar yang pernah wujud di atas plet Sunda (di mana Asia Tenggara terletak) sebagai tempat asal usul ramai kelompok manusia terawal.
Saya rasa tak perlulah diberikan penerangan lanjut tentang apa itu Sundaland. Saya sudah menyebutnya dalam beberapa artikel terdahulu...
Saya tak ambil gambar semua slaid dan saya tahu Zaharah pun sebenarnya tak suka jika semua gambar slaidnya diambil lalu diwar-warkan kepada orang ramai. Sebagai seorang bekas wartawan yang kemudian menjadi pencinta ketamadunan dan peradaban orang Melayu saya kongsikan apa yang dapat untuk membantu pencerahan pihak lain, tidak sesekali saya akan mengaku ilmu orang lain sebagai hak milik sendiri mahupun mengambil apa-apa keuntungan material, membuat duit dan sebagainya. Lihat sahaja blogspot ini yang menghampiri 12 juta pageviews. Mana ada apa-apa iklan, AdSense dan sebagainya? Paling kuat saya cuma mempromosi buku-buku tulisan sendiri, kadangkala majlis-majlis ilmu. Kalau saya ada buat pautan iklan seperti dibuat ramai orang, nak baca artikel kena klik like dan sebagainya agak-agak berapa banyak saya boleh dapat dengan hampir 12 juta pageviews yang sudah ada setakat ini?
Saya sebut hal ini panjang lebar kerana selepas makan tengah hari saya ada duduk semeja dengan Zaharah, Profesor Dato Dr Abdullah Zakaria, Profesor Emeritus Dato Dr Nik Hassan Shuhaimi dan Prof Madya Dr Zafarina Zainuddin untuk berbual-bual. Terkeluarlah cerita pasal kajian Prof Dr Oppenheimer daripada Oxford University lalu saya menyebut bahawa Oppenheimer ada mengingatkan saya agar jangan mewar-warkan secara terperinci isi kajian beliau kerana ia belum diterbitkan kepada umum, setakat perkongsian dalam dewan kuliah bersama golongan cendekiawan dan pelajar. Rujuk artikel
Ke Pulau Pinang untuk mendengar pembentangan Oppenheimer. Ketika itulah Zaharah menyebut beliau pun tidak suka kajian terbarunya diwar-warkan selagi beliau sendiri belum menerbitkannya. Malah katanya dia pernah menyaman portal
on-line Malaysiakini atas sebab itu. Saya pun berterus-terang menyatakan pernah menyiarkan isi kajian Zaharah selain ramai lagi orang di
blogspot. Saya berbuat ini atas kapisiti seorang penulis yang suka berkongsi pengalaman hidup juga maklumat daripada majlis ilmu untuk tatapan ramai.
Sebetulnya kalau ada orang tidak mahu pembentangannya dikongsikan kepada umum ia lebih mudah buat saya kerana tidak perlulah saya bersengkang mata bertungkus lumus mengambil masa untuk bercerita demi perkongsian ilmu untuk orang ramai. Saya malah boleh mengeluarkan sahaja pembentangan sebegitu daripada cerita atau penulisan artikel. Tetapi rasa tanggungjawab untuk berkongsi ilmu demi pencerahan orang ramai, demi kedaulatan Melayu dan Islam adalah lebih penting daripada kehendak mana-mana individu. Maka itu saya tetap cuba kongsikan apa yang saya nilai tidak melanggar hak intelektual orang lain sehingga melayakkan saya disaman atas alasan mempamerkan hasil kerja orang tanpa kebenaran dan hak.
Sekali lagi biar disebut saya sudah menghadiri begitu banyak majlis ilmu yang melibatkan para cendekiawan ternama lalu boleh menilai apakah yang dikongsikan itu memang hak hasil kajian sendiri seseorang atau sekadar mengulas tak pun mempamerkan kembali dalam bentuk sendiri/memberi rupa baru pada hasil kerja orang lain. Pada saya kalau dah satu perkara itu memang sebenarnya hasil kerja orang lain, kita sekadar pandai memberikan persembahan yang lebih menarik, pandai collate data dan sebagainya maka tak patutlah kita melarang orang lain menyebarkannya. Melainkan kalau orang lain itu buat publication atau kertas kerja juga menulis buku lalu mengaku itu semua hasil kerja dia...
Lagi satu yang melayakkan untuk orang disaman adalah apabila hasil pembentangan kita diambil kemudian kena spin atau diputar-belitkan kenyataan untuk menyokong satu hujah atau pendapat yang bertentangan dengan prinsip kita. Ini sekarang biasa dilakukan oleh pihak-pihak yang anti-Melayu sehingga reputasi kita pula boleh terpalit dan tercalit sebagai menyokong suatu propaganda yang tidak enak. Secara rata pun kita seharusnya tahu menghormati hasil kerja penat lelah orang lalu kalau nak pakai, berikanlah kredit yang sepatutnya, dalam konteks yang seharusnya tidak melanggar idealisma pemilik asal kerja atau tidak bercanggah dengan tujuannya. Tetapi kalau ikut tradisi sarjana Islam, semua ilmu datang daripada Allah SWT lalu kita sebagai makhluk cuma alat penyampai sahaja. Jadi tidak patutlah kita terlebih-lebih mengaku suatu perkara itu adalah hasil kerja/kepandaian kita sahaja sehingga menafikan hak orang lain untuk menyebarkan apa yang patut demi pencerahan umum.
Ah. Saya sudah bercakap terlebih panjang lebar pula tentang hak untuk berkongsi ilmu. Sebetulnya kalau zaman moden ini hal sebegini sudah terjawab dan menjadi perkara piawai dalam dunia kewartawanan. Jadi orang tak boleh senang-senang menolak hak orang lain untuk menyebarkan apabila sesuatu itu sudah disampaikan dalam majlis ilmu sebegini. Lainlah kalau kita curi daripada fail rahsia atau fail peribadi seseorang, hack daripada komputernya atau sebagainya. Apapun pembaca boleh baca slaid yang tertera lebih terang dengan cara membuka gambar dalam windows lain. Kita masuk kepada pembentang seterusnya, pembentang ketiga iaitu Prof Nik Hassan daripada Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) UKM.
Oh, kenapa di sini saya tidak menyebut nama berserta pangkat/gelaran penuh beliau iaitu Profesor Emeritus Dato Dr Nik Hassan Shuhaimi? Sebab saya sudah menyebutnya lebih awal iaitu ketika menceritakan tentang perbualan selepas makan tengah hari bersama Zaharah dan beberapa orang. Mengikut standard atau piawaian penulisan kewartawan di akhbar-akhbar terkemuka (maaf cakap, akhbar nyamuk seringkali lari etika penulisan) kita tidak perlu menulis perkataan-perkataan tambahan seperti Yang Mulia, Yang Berbahagia apa lagi Tuan, Puan, Encik dan sebagainya pada laporan juga ulasan akhbar. Nama dan pangkat penuh pula disebut sekali sahaja iaitu pada sebutan pertama, selepas itu nama je, kalau ada gelaran Dr boleh sebut Dr si polan dan si polan. Seingat saya kalau ikut piawaian akhbar saya patut sebut Prof Nik Hassan sebagai Dr Nik Hassan sahaja. Prof Emeritus Dato' tak sebut lagi. Tapi dalam kalangan akademik yang sudah agak rapat, walaupun seorang profesor itu sudah bergelar Tan Sri sekali pun, panggilan Prof itu lebih mesra dan memadai. Maka itu saya suka sebut Prof Nik Hassan atau Prof Nik dan akan menggunakan rujukan serupa pada beberapa orang cendekiawan.
Beliau membentang tajuk "Asal Usul Melayu Dari Sudut Arkeologi Dan Lain-lain". Dunia akademik cukup mengenali Prof Nik sebagai mahaguru dan peneraju bidang arkeologi di Malaysia, Yang Dipertua IAAM (dah sebut tadi Ikatan Ahli Arkeologi Malaysia, kalau dalam laporan akhbar memang terus disebut singkatan sahaja selepas sebutan pertama tetapi saya ulang kerana mahu ingatkan orang, dan saya pun tidak begitu terikat dengan apa-apa bentuk piawaian kecuali gerak penulisan sendiri). Sebagai seorang pakar arkeologi tentunya beliau biasa memakai klasifikasi dan terma-terma akademik seperti Neanderthal Man, Australopitecus dan sebagainya untuk merujuk kepada manusia-manusia purba. Terma-terma seperti Neolitic, Paleolitic dan sebagainya (maaf jika ejaan saya salah, untuk menulis terus dan jujur daripada hati saya harus membiarkan gerak itu mengalir tanpa selalu perlu membuat semakan) merujuk pada tahap-tahap zaman orang purba, orang batu juga adalah 'makanan' biasa beliau. Segala ini boleh menyebabkan orang menyangkakan beliau menyokong Teori Evolusi Charles Darwin (yang menyebut manusia sebagai berasal daripada beruk itu) walhal tidak.
Prof Nik malah menegaskan (buat kesekalian kalinya) bahawa beliau berpegang kuat pada ajaran Islam yang menyebut manusia berasal daripada Adam dan Hawa. Tentang segala macam bentuk manusia purba itu kelihatannya beliau pun belum mendapat jawaban yang pasti bagaimana mahu menerangkannya daripada sudut agama. Cukuplah dikatakan apa pun penemuan baru yang akan dibuat kemudian, beliau menyatakan ia harus selari dengan apa yang tertera dalam kitab suci Al-Quran dan ajaran Islam. Dengan itu tamatlah sesi pembentangan pagi. Untuk pengetahuan ini adalah artikel ke 1,310 di blogspot ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan