Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Selasa, April 09, 2019

Klasifikasi ilmu pengetahuan dalam Islam - Mula memperincikan al-Farabi

Salam 3 Sya'aban. Adapun beberapa hari ini saya disibukkan dengan kerja-kerja reka letak susun sambil menyunting manuskrip buku ke-13 saya yang penulisannya dimulakan selepas pertengahan tahun lepas. Kalau siap ini baru boleh dibuat PDF untuk masuk ke kilang cetak. Sambil itu saya harus mendapatkan juga reka bentuk kulit buku. Baru tadi seorang sahabat yang pernah membuat reka bentuk kulit buku saya yang ke-11 dan ke-12 lebih setahun lalu (lihat Menerbitkan buku Adam Melayu dan Benua Tua) diminta melakukannya lagi.

Siap reka bentuk baru boleh membuka pre-order atau tempahan awal bagi mendapatkan modal mencetak buku. Sasaran saya Jun ini buku keluar di pasaran insyaallah. Di celah-celah kesibukan ini saya tetap cuba untuk menghadiri majlis-majlis ilmu kemudian menulis tentangnya. Yang ini adalah daripada majlis pagi Isnin semalam. Penceritaannya bersambung daripada artikel Klasifikasi ilmu pengetahuan dalam Islam - Skop kajian meluas yang melebihi fahaman sains sekarang.


Isnin 8 April 2019. Saya menghadapi masalah untuk tidur kerana kepala hyper-active memikirkan cara terbaik menangani kerja-kerja penulisan hampir siap untuk dicetak ini. Selepas jam 4 pagi, selepas siap satu fasa reka letak susun isi buku dan suntingan baru saya cuba melelapkan mata. Dapatlah dalam setengah jam rehat sebelum bangun bersahur untuk puasa sunat yang sudah masuk fasa bulan Sya'aban setelah buat pertama kali dalam hidup saya berjaya melaksanakan puasa penuh bulan Rejab.

Selepas bersahur saya membuka komputer lagi untuk fasa seterusnya penulisan buku sementara menunggu Subuh masuk. Akibat begitu taksub membuat kerja dekat jam 9 baru berehat lalu melelapkan mata dalam 20 minit sebelum bersiap untuk majlis ilmu di ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam) jam 10 pagi. Ia adalah sesi ke-4 syarahan Profesor Ulung Datuk Dr Osman Bakar tentang bukunya "Classification of Knowledge in Islam". Sekadar mengingatkan isi buku diambil terus daripada tesis beliau yang dipersembahkan kepada Temple University di Amerika Syarikat tahun 1988.


Antara mereka yang hadir awal...


Syarahan masuk kepada sub-topik 4 bab mukadimah buku. Gambar ini nampaknya sedikit kabur. Tak mengapa. Saya boleh buat snap shot PDF isi buku.

Dalam artikel terdahulu, artikel ketiga siri iaitu  Klasifikasi ilmu pengetahuan dalam Islam - Skop kajian meluas yang melebihi fahaman sains sekarang saya telah berusaha untuk menterjemahkan setiap baris ayat yang disyarahkan perkataan demi perkataan lalu ditambah ulasan, penerangan, perincian termasuk akibat soal jawab. Ini sebenarnya memenatkan kerana saya perlu cuba sedaya upaya memberikan terjemahan tepat bagi setiap perkataan. Maka itu lebih elok kembali kepada cara terdahulu - Terjemahan ada dibuat walau tidak bagi setiap ayat. Ia dilakukan menurut lenggok bahasa dan faham saya sendiri kerana lebih mudah dan semulajadi sambil ditambah apa yang patut.


 

Sub-topik 4 adalah tentang kajian berkenaan yang wujud pada zamannya iaitu zaman sekarang atau zaman moden. Secara spesifik ia merujuk kepada tempoh waktu Osman menulis tesis PhD tahun 1983-1988. Menurut beliau sekadar diketahuinya belum ada usaha untuk membuat kajian falsafah tentang sains-sains pada skala yang cuba beliau lakukan. Dengan itu tidak dapat ditemui rujukan yang boleh dijadikan perbandingan lalu disebut dalam sub-topik.

Kata Osman sub-topik ini merupakan literature review atau sorotan literatur yang merupakan satu komponen penting dalam setiap tesis  kesarjanaan baik pada peringkat Mastes mahupun peringkat PhD. Selalunya akan dirujuk dan disenaraikan setiap kajian yang telah dibuat oleh sarjana lain juga kita sendiri (jika ada) dalam bidang lalu sorotan biasanya memakan beberapa muka surat. Tetapi dalam kes ini cukup tiga perenggan, tak sampai pun satu muka surat pun untuk menerangkan. Ini kerana memang tidak ada kajian lain boleh dijadikan bandingan dan rujukan.

Sudah disebut dalam artikel kedua siri iaitu Klasifikasi ilmu pengetahuan dalam Islam - Tiga tokoh besar yang menjadi sumber dan rujukan dalam kajian buku Classification mengkaji dan menghuraikan peranan tiga orang tokoh besar silam Islam :-


1. al-Farabi (hidup tahun 258-339 Hijrah bersamaan 870-950 Masihi)

2. al-Ghazzali (hidup 450-505H/1058-1111M)

3. Qutb al-Din al-Shirazi (634-710H/1236-1311)


Ayat kedua perenggan satu memberikan contoh bagaimana Osman harus menjadi perintis kajian. Disebutlah tentang klasifikasi ilmu yang dibuat al-Shirazi. Ia adalah dalam bahasa Parsi dan belum pernah diterjemahkan ke dalam apa-apa bahasa utama Eropah. Oleh itu ia hampir tidak disentuh langsung oleh sarjana. Tetapi untuk melengkapkan tesis beliau harus mengulas tentangnya.

Diceritakanlah perbualan Osman dengan penyelia tesisnya, tokoh pemikir falsafah Islam terkenal sedunia, Seyyed Hossein Nasr. Dia bertanya kepada Nasr di manakah boleh didapati kitab yang mengandungi klasifikasi ilmu al-Shirazi. Jawab Nasr itu kerja kamu mencari.

Mula-mula dicari di Temple University tempat beliau belajar. Walaupun ia universiti yang memiliki koleksi bacaan hebat kitab tidak dapat ditemui. Pergi ke Chicago University pun begitu. Akhirnya didapati bahawa satu-satu naskah boleh ditemui di Amerika Syarikat adalah di Princeton. Beliau pun ke sana lalu membuat satu salinan. Tentu ada kosnya...

Seterusnya adalah hal bahasa. Osman harus belajar bahasa Parsi untuk menelaah kitab. Ditanya bagaimanakah tahap penguasaan bahasa Parsi yang diperlukan beliau menjawab yang dipelajarinya adalah Parsi untuk kajian manuskrip, bukan pertuturan lancar. Pun begitu bukanlah bermakna ia lebih senang malah ada bahagian lebih susah kerana yang dipelajari adalah cara membaca dan memahami bahasa Parsi lama. Ia ibarat belajar membaca Jawi cara lama. Ini berbeza dengan Jawi sekarang di mana setiap huruf atau bunyi vokal (a, i, u) diwakilkan dengan satu huruf berkenaan. Maka orang yang lancar membawa Jawi sekarang pun belum tentu dapat memahami Jawi lama.

Bahasa Parsi lama dalam kitab ditulis dengan huruf Jawi. Menariknya kata Osman didapati 50% isi kitab al-Shirazi adalah dalam bahasa Arab iaitu perkataan-perkataan yang telah diserapkan ke dalam bahasa Parsi. Ini memudahkan pemahaman beliau yang sudah tahu sedikit sebanyak bahasa Arab. Usaha Osman menyebabkan seorang sarjana Barat (lupa nama) menulis bahawa beliau adalah orang pertama mengangkat klasifikasi al-Shirazi ke dalam satu bahasa Eropah (tesis dan buku ditulis dalam bahasa Inggeris). 

Tentang klasifikasi al-Ghazzali pula belum ada kajian sistematik dilakukan khas buatnya. Cuma ada sedikit perbincangan telah dilakukan secara ringkas untuk dijadikan latar belakang bagi mengkaji aspek lain pemikiran al-Ghazzali. Yang banyak menarik perhatian sarjana adalah klasifikasi al-Farabi. Pun begitu kajian setakat itu (sebelum Osman) hanya menyentuh secara ringkas sama ada aspek sejarah klasifikasi atau masalah hubungan antara sains-sains yang dibincangkan al-Farabi. Asas dan dasar falsafah klasifikasi belum pernah dikupas lagi.

Daripada kaca mata umum Nasr dan seorang sarjana bernama Rosenthal telah membuat rumusan umum tentang makna dan pentingnya klasifikasi Islam serta kesannya terhadap kelestarian sains-sains (banyak jenis sains) dalam sejarah Islam. Pemerhatian umum mereka tentang perkara membawa Osman untuk melakukan kajian. Tetapi mereka tidak memberi kajian perbandingan falsafah bagi klasifikasi-klasifikasi tertentu.

Rosenthal atau nama penuhnya Frantz Rosenthal adalah seorang berbangsa Yahudi yang suka mengkaji tentang Islam. Osman memberitahu terdapat ramai sarjana Yahudi mengkaji tentang Islam lalu ada yang memeluk agama kita itu. Diceritakanlah tentang sejarah keilmuan yang berkaitan. Menurut beliau dunia kegemilangan ilmu Yahudi naik seiring dengan kegemilangan Islam. Ini disebabkan kefahaman Yahudi tentang Tuhan sangat rapat dengan kefahaman Islam, berbeza dengan Nasrani (Kristian) yang percaya kepada konsep trinity iaitu Tuhan ada 3 dalam 1.

Sarjana-sarjana Yahudi juga banyak mengkaji khazanah ilmu lama lalu zaman pra-Islam lalu ini diambil dan dikaji oleh sarjana Islam bermula abad ke-8 Masihi seiring dengan naiknya kota Baghdad. Malah tokoh ilmuwan silam Yahudi paling terkenal iaitu Maimonides yang hidup abad ke-12 Masihi mekar bersama tokoh-tokoh Islam di Andalusia. Kata Osman sama sahaja penampilan Maimonides dengan tokoh-tokoh Islam zaman itu berjubah berserban sehingga tiada perbezaan kecuali pegangan. Tambah beliau cuba pergi ke Muzium Roger Garaudy (seorang tokoh komunis Peranchis yang memeluk Islam) di Cordoba, Sepanyol. Boleh didapati patung Maimonides diletakkan sekali dengan patung Ibnu Rushd juga Ibn Arabi sama sahaja rupa seperti mana-mana tokoh ilmuwan Islam.



Dengan itu tamatlah syarahan tentang sub-topik 4. Disebut tentang senarai rujukan. Pada nombor 2 diletakkan buku Seyyed Hossein Nasr bertajuk "An Introduction to Islamic Cosmological Doctrines" - (Satu Pengenalan kepada Doktrin Kosmologi Islam). Kata Osman ia adalah berdasarkan tesis Nasr tahun 1959.




Selepas itu baru masuk topik-topik utama. Bahagian pertama adalah tentang klasifikasi al-Farabi....




Masuklah bab pertama buku iaitu tentang kehidupan, hasil kerja dan pentingnya al-Farabi. Diberikan pengenalan bahawa bab pembukaan (bagi bahagian berkenaan) ini bertujuan untuk mempersembahkan dan menonjolkan aspek-aspek kehidupan dan hasil kerja al-Farabi bagi memberikan latar belakang yang perlu untuk memahami tujuan membuat klasifikasi. Dengan itu perjalanan hidup al-Farabi akan dikongsikan termasuk beberapa hal yan kurang dikenali atau didapati bermasalah selama ini. Kita akan dapati cara al-Farabi membahaskan pelbagai jenis ilmu dan sains adalah berdasarkan latar belakang pelajaran dan pengalaman intelektual beliau.

Pun begitu sedikit sahaja diketahui dengan pasti tentang latar belakang keluarga, kehidupan awal juga latihan dan pendidikan al-Farabi berbanding misalnya Ibn Sina (hidup 980-1038 Masihi). Kata Osman walaupun al-Farabi diketahu memiliki ramai anak murid beliau tidak pernah menyuruh mana-mana mereka merekodkan kisah kehidupan beliau seperti Ibnu  Sina menyuruh seorang anak murid kesayangannya iaitu al-Juzjani. Dan tidak seperti Ibn Khaldun (hidup 1332-1406) beliau tidak berusaha untuk menulis autobiografi (kisah perjalanan yang ditulis seorang tokoh itu sendiri). Namun ada tulisannya berajuk Kitab fi zuhur al-falsafah (buku tentang penampilan falsafah) yang kelihatan seperti separuh autobiografi didapati lebih kurang sama seperti kitab al-Munqidh min al-dalal (keselamatan daripada kesesatan) tulisan al-Ghazali. 

Kitab itu sudah hilang entah ke mana. Tetapi ada cebisan-cebisan yang terselamat lalu dapat ditemukan. Cebisan-cebisan inilah yang memberikan maklumat penting tentang fasa-fasa pendidikan dan usaha intelektual beliau. Dengan itu dapat diketahui siapakah guru-guru beliau dalam ilmu logik (mantik dan falsafah). Mereka membentuk sanad atau salasilah ilmu yang bersambung daripada guru ke guru bermula daripada Aristotle di Athens (Yunani purba abad ke-4 Sebelum Masihi) membawa ke Baghdad zaman al-Farabi (abad ke-9 Masihi).



Ayat terakhir tadi menyambung penceritaan masuk ke muka surat 10 buku. Selepas itu syarahan pun tamat. Semasa syarahan timbul banyak perbincangan dan soal jawab tentang apakah sebenarnya ekonomi Islam, kaitannya dengan falsafah dan pelbagai cabang ilmu berkaitan. Timbul juga hal pendidikan cara silam yang sepatutnya diaplikasikan kembali zaman sekarang untuk memajukan ummah dan kesarjanaan. 

Tapi tak perlulah dipanjangkan, takut banyak kerja lain terbengkalai. Seperti malam sebelumnya malam tadi pun saya susah hendak tidur kerana menyambung kerja-kerja buku, Selepas jam 4 pagi saya tidur 20 minit sahaja sebagai syarat supaya boleh bangun bertahajud selain bersahur. Kerja disambung sehingga selepas jam 9 kemudian baru berehat dalam 2-3 jam. Selepas itu saya mengambil masa untuk membuat penulisan ini. Sambil itu ada urusan mengambil anak-anak dari sekolah pagi kemudian menghantar ke sekolah agama petang. 

Besok hampir sehari penuh saya terlibat dengan satu majlis tentang sejarah lama negeri Selangor di Ampang. Sambil itu kerja-kerja buku masih berjalan, belum campur lagi hal penulisan tesis di ISTAC. Perenggan seterusnya menyentuh sedikit tentang hasil kerja al-Farabi yang telah dibincangkan pada zaman moden. Selepas itu baru masuk sub-topik 2 bab memperincikan latar belakang pendidikan al-Farabi dan kehidupan beliau sebagai sarjana. Insyaallah ini akan dikupas pada syarahan akan datang.


Tiada ulasan: