Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Sabtu, November 03, 2012

Suai Kenal HIKMAH - Mendapat restu dari yayasan...

Diambil daripada blogspot baru saya http://hikmahmelayu.blogspot.com/...


--------------


Alhamdulillah, sukacita dimaklumkan acara pertama HIKMAH yang diberi nama baru "Suai Kenal HIKMAH" hampir menjadi kenyataan setelah menghadapi beberapa dugaan.


Siang tadi selepas solat Jumaat saya dan isteri membawa seorang anak kami menghampiri pusat bandar raya Shah Alam.




Kami mahu ke Kompleks Taman Seni Islam Selangor yang terletak di sebelah Masjid Negeri.


Dalam artikel Dari Akademi Pengajian Melayu ke Yayasan Restu, dari Wacana Keilmuan Melayu Islam HIKMAH jadi Suai Kenal... yang dibuat hari Khamis telah diceritakan bagaimana acara pertama HIKMAH itu boleh beralih tempat juga bertukar tajuk.


Maka sampailah masa untuk kami memastikan persiapan. Naik tangga terus menuju ke bilik yang akan menyaksikan HIKMAH atau Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman direalisasikan Ahad 4 November ini pagi hingga petang.


Biliknya terletak di sebelah kanan tangga utama. Masuk sahaja ke bangunan kompleks yang turut dikenali sebagai Yayasan Restu terus boleh nampak...


Oh. Ketika itu sudah muncul sejumlah sukarelawan untuk membantu.


Melihat kedudukan bilik acara yang cukup selesa kami cuba menggantung banner dahulu.


Tu dia. HIKMAH mula berkumandang. Daripada nama yang baru muncul di Internet 3 minggu lalu ia telah dizahirkan ke alam nyata.


Selepas beberapa lama mengatur kerusi meja dan lain-lain kami pun berehat. Kami rasa lebih elok dibiarkan banyak ruang terbuka untuk bersila agar lebih ramai dapat masuk dan duduk. Untuk makluman kerusi sahaja sudah ada sekitar 80. Insyaallah dengan cara ini ruang yang tak sebesar mana masih boleh menampung lebih 300 orang.


Bergambar sebentar di bahagian hadapan. Ketika itu beberapa orang sukarelawan sudah meninggalkan bangunan.


Beginilah keadaan bilik dilihat daripada hadapan.


Kami telah memutuskan untuk menggunakan ruang belakang sebagai tempat pameran. Oh. Nampaknya di sinilah payung seorang hamba Allah itu tertinggal... :]


Ada empat buah meja disediakan, satu telah ditempah untuk kegunaan hamba Allah yang dimaksudkan dengan persatuannya, satu lagi saya rasa elok untuk satu lagi pasukan yang bakal mempamerkan barangan yang 'sewaktu' dengannya. Selain itu peserta lain dibenarkan masuk. Namun keutamaan diberikan kepada  mereka yang mahu mempamerkan busana tradisional Melayu seperti pakaian bangsawan lama, tanjak dan sebagainya.


Mengingatkan janji saya kepada ramai ketika mula mewar-warkan HIKMAH agar peserta boleh datang berniaga secara percuma saya mengkaji bagaimana ruang turut boleh dipakai di luar setelah mendapatkan kebenaran pihak pentadbiran bangunan. Nah. Kita sudah ada gendang dan beduk yang boleh digunakan untuk acara. Ke belakang sikit ruang boleh digunakan untuk perniagaan juga pameran tambahan.


Meja di kanan adalah khusus untuk pendaftaran juga meletakkan buku-buku saya. Di sini peserta awal boleh membeli 131 naskah buku ketiga saya "Berpetualang ke Aceh : Membela syiar yang asal" yang ditawarkan pada harga RM10 berbanding harga sebenar RM27.90. Mungkin ada buku atau barangan kawan-kawan yang boleh diletakkan sama. Sekali lagi biar diberitahu saya mengutamakan barangan yang kena dengan tema HIKMAH mahu mendaulatkan Melayu dan Islam.


Insyaallah ruang untuk pameran dan niaga boleh dipakai sehingga ke belakang sedikit hujung meja yang kelihatan di kiri gambar ini. Secara rata saya percaya walaupun bilik di Yayasan Restu ini jauh lebih kecil daripada dewan di Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya yang hampir menjadi tempat acara pertama HIKMAH, acara tetap boleh dijalankan sebaik mungkin seperti dijanjikan. Kepada mereka yang berminat untuk mengisi ruang datanglah seawal 8.30 pagi ya. Ingat 8.30 - 9 adalah masa untuk semua mendaftar. Kita akan cuba aturkan ruang untuk memberi peluang kepada semua. Amin...  :]



Khamis, November 01, 2012

Dari Akademi Pengajian Melayu ke Yayasan Restu, dari Wacana Keilmuan Melayu Islam HIKMAH jadi Suai Kenal...

Salam. Ini kiranya sambungan daripada artikel Dari Pulau Besar ke Akademi Pengajian Melayu - Semuanya ada HIKMAH! yang dibuat 29 Oktober 2012. Artikel kali ini mahu menerangkan beberapa perubahan yang berlaku sejak itu.

Ada disebut dalam Dari Pulau Besar ke Akademi Pengajian Melayu - Semuanya ada HIKMAH! bagaimana acara sulung HIKMAH atau Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman akhirnya mendapat tempat untuk diadakan di Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya, setelah mesyuarat yang diadakan bersama pihak APM di pejabat mereka hari Isnin mencapai kata sepakat. Cuma sedikit perubahan harus dilakukan seperti mengubah nama acara kepada "Wacana Keilmuan Melayu Islam HIKMAH" dan mengakui ia sebagai acara kerjasama APM. Selain itu kami diminta mengelak penggunaan perkataan "Himpunan"  ketika merujuk pada acara juga dalam mempromosinya di sana.

Di atas biar dikongsikan surat yang dihantar kepada APM Rabu malam Khamis minggu lepas. Surat yang dilampirkan kertas kerja awal HIKMAH (lihat dalam Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH) - Permission to proceed) dan atur cara terbaru majlis ketika itu turut menyertakan screen shot event page HIKMAH yang diambil pada 23 Oktober jam 9.25 malam. Sedangkan surat dihantar selepas tengah malam, sudah masuk 24 Oktober.




Screen shot dibuat sebagai bukti betapa HIKMAH yang baru ditubuhkan dan diwar-warkan 11 hari sebelum itu mendapat sambutan hangat. Saya sengaja menggunakan screen shot jam 9.25 malam kerana seronok melihat 313 orang telah menyatakan akan datang. Walhal screen shot selepas tengah malam boleh diambil untuk menunjukkan jumlah yang lebih ramai.




Menyedari kedudukan kerdil HIKMAH sebagai satu entiti yang baru 11 hari ditubuhkan, itupun secara ad hoc melalui Facebook saya meminta jentera di belakang saya untuk memberikan surat sokongan. Biar dimaklumkan jentera yang dimaksudkan terdiri daripada satu komiti orang berpengaruh dan berkedudukan. Diakui ada yang terlibat dengan politik, ada juga yang pakar dalam bidang akademik. Namun secara rata mereka adalah para peneraju NGO dan saya terlibat dengan mereka kerana salah seorang ahli adalah sahabat lama yang baru ditemui kembali selepas 2008. 

Sahabat ini sebenarnya bermula sebagai kenalan isteri. Apabila isteri mendapati saya menghadapi masalah mental block untuk menulis buku baru mahupun skrip yang harusnya lebih mudah kerana diminta bercerita tentang pengalaman hidup sebenar yang membawa kepada penerbitan 3 buku pertama saya, siri trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" isteri pun cuba mengatur agar saya membuat ceramah ilmu. Kami masih ada lebihan isi daripada ceramah/syarahan tertutup yang pernah dibuat di Muzium Negara beberapa bulan lalu. Lihat Ceramah "Batu Nesan Aceh" di Muzium Negara. Dan lagi ada sahabat-sahabat kami  meminta agar ceramah sama dapat dipanjangkan dalam acara terbuka.

Tanpa dipinta isteri pun cuba mencari ruang.  Apabila permohonan untuk menggunakan premis sebuah persatuan ditolak baru isteri menghubungi sahabat yang terlibat dalam komiti tadi. Apabila sahabat itu memberi jaminan boleh memberikan mana-mana premis di bawah pengawasannya di Shah Alam timbul semangat baru untuk berkongsi ilmu. Apabila diberitahu premis boleh memuatkan 100-200 orang saya pun terfikir untuk mengajak sejumlah orang lain turut berkongsi ilmu dengan disaksikan sesiapa sahaja yang sudi datang. Maka lahirlah HIKMAH seperti diceritakan dalam artikel Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).

Berbalik pada hal komiti. Sahabat dalam komiti membawa saya berjumpa dan bermesyuarat dengan mereka apalagi saya memiliki acara yang dilihat sangat sesuai untuk diangkat. Mereka mengaku mahu memperjuangkan Melayu dan Islam tanpa berpaksi pada politik dan saya menerima mereka seadanya. Pada saya kalau mereka hendak bermain politik pun itu hal mereka. Tak harus kita berpatah arang apalagi bersama saudara seagama dan sebangsa. Saya ada misi tersendiri dan boleh bekerjasama dengan mereka untuk merealisasikannya. Seperti pembaca yang betul-betul mengikuti penulisan saya sedia maklum, saya sebenarnya amat membenci dunia politik dan wadah penipuan Yahudi yang kita panggil demokrasi.

Dengan surat sokongan daripada salah seorang ahli komiti menggunakan nama NGO yang sesuai, mesyuarat pun diatur dengan APM di mana kata sepakat dicapai untuk menjayakan acara sulung HIKMAH, atas nama "Wacana Keilmuan Melayu Islam HIKMAH" di bangunan APM. Sejumlah sahabat saya yang bakal membentang kertas kerja menjadi saksi akan berita gembira ini kerana dibawa masuk ke dalam mesyuarat sebagai wakil-wakil HIKMAH. Saya pun mula mewar-warkan ini di Internet. Kemudian artikel Dari Pulau Besar ke Akademi Pengajian Melayu - Semuanya ada HIKMAH! pun ditulis.

Esoknya sekitar tengah hari pihak pejabat APM menghubungi saya meminta dibuat satu lagi surat... surat permohonan di mana dinyatakan secara rasmi mahu menggunakan salah satu dewan milik APM. Menganggap ini cuma formaliti biasa, saya pun merangka surat lalu menghantarnya melalui e-mail sebaik sahaja siap. Dalam kesibukan kegembiraan mengatur acara, selepas jam 6 petang baru saya tersedar ada e-mail balas sudah sampai lebih setengah jam. Peliknya ia menyatakan permohonan menggunakan dewan telah ditolak... atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan.

Terduduk juga saya dan isteri mendapat berita ini. Acara tinggal 5 hari lagi mahu berlangsung, bagaimana ini boleh berlaku? Kemudian kami dapat menghubungi seorang pegawai tinggi APM. Kata beliau permohonan kami ditolak atas arahan pihak atasan. Alasan yang diberikan, ada perkatakan "Himpunan" dalam surat.

Ah. Kalau itu sahaja masalahnya tentu mereka boleh mengingatkan lalu meminta saya membuat surat baru. Apa yang susah sangat? Kemudian kami mendapat tahu acara kami ini sudah dipolitikkan. Tidak dinyatakan dipolitikkan bagaimana. Cuma telahan saya, melihat pada jentera di belakang saya ada yang mungkin menganggap HIKMAH yang sangat menyokong kedaulatan Melayu dan Islam adalah alat sebuah parti politik untuk mengalahkan sebuah parti politik lain yang kelihatan seriau dengan apa-apa usaha untuk memartabatkan bangsa Melayu. Lalu mereka telah campur tangan untuk menghalang HIKMAH daripada bertapak dan mendapat sambutan di UM.

Bayangkan menerima berita Maghrib semalam. Bagaimana dengan acara? Kami cuba mengejar tarikh 4 Nov kerana sudah menjanjikannya kepada ramai peserta. Namun akibat kesuntukan masa jentera di belakang saya atau orang-orang komiti mencadangkan ia ditunda sekurang-kurangnya 3 minggu ke hadapan di mana acara dapat diatur lebih baik lagi dengan penglibatan pihak istana, mungkin oleh sultan.

Saya pun mengalah lalu memilih tarikh baru 25 Nov. Saya bersedia untuk menggunakan premis yang dicadangkan komiti. Penundaan pun diumumkan di FB lalu ramai dapat menerimanya sebagai lumrah cabaran perjuangan. Namun ada sejumlah peserta meminta agar dapat diteruskan juga acara 4 Nov walaupun atas padang bola, walau dalam hujan dan ribut petir. Apabila mendapat tahu ada yang sudah menempah tiket bas dari jauh lalu mengambil cuti, ada pula sudah membeli tiket kapal terbang daripada luar Semenanjung saya pun cuba mencari jalan.

Malam itu juga ada yang menawarkan kedai bukunya sebagai premis baru untuk 4 Nov. Acara 25 Nov boleh diadakan secara besar-besaran kerana ada sokongan jentera, acara 4 Nov biar kecil-kecilan agar tidak menghampakan mereka yang setia menunggu. Apabila ini diumumkan seorang lagi peserta menawarkan ruang. Saya dan sahabat-sahabat rapat yang mahu menjayakan HIKMAH pun mendapat suntikan semangat baru.

Pagi tadi kami berjaya menempah ruang di Kompleks Taman Seni Islam Selangor yang dikelolakan Yayasan Restu di Shah Alam. Pengumuman pun dibuat dan ramai menyatakan terus setia akan mengikuti acara. Ini termasuk barisan pembentang yang akan berkongsi ilmu dan kertas kerja. Dengan ini acara asal dapat dilangsungkan, cuma dalam keadaan lebih santai dan mesra tanpa perlu menjaga protokol, boleh juga dijadikan persediaan untuk acara utama 25 Nov.

Memandangkan salah satu tujuan utama HIKMAH diterbitkan adalah untuk memberi ruang para kenalan di FB bersua muka bertukar fikiran (ramai yang tidak pernah bertemu empat mata, cuma berhubung melalui Internet sahaja) saya rasa wajarlah acara ini diberi nama "Suai Kenal HIKMAH" pula. Rasanya cukuplah cerita ya. Harap para pembaca faham keadaan sebenar dan sedia menerima apa-apa kekurangan dan kelemahan apabila HIKMAH berlangsung 4 Nov, pagi hingga petang nanti. Untuk melihat premis baru tersebut rujuk artikel lama Mencari makam panjang dan lain-lain di Jeram, Kuala Selangor.


Rabu, Oktober 31, 2012

Santai hari lahir Rasyid dan Johan hingga ke raya haji...

OK. Saya mahu kongsikan hal terbaru HIKMAH tapi sebelum itu biar dilepaskan satu gerak santai bercerita.


Sabtu 13 Oktober. Kami sekeluarga keluar untuk menyambut hari lahir Rasyid.


Rasyid sudah masuk umur 3 tahun...


Elok tu. Umur 3 tahun pada 13 Oktober... 313. 3131 pun boleh (3 tahun pada 13/10).


Esoknya kami ke satu kawasan pinggiran di Seremban untuk menghadiri majlis kahwin anak saudara.




Selepas itu kami menghala ke bandar lalu terlihat masjid ini juga makam-makam di hadapannya. Lihat artikel Masjid Jamek (Main mosque of) Dato' Kelana Petra Sendeng dan Makam keluarga (Family tombs of) Dato' Kelana Putra di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).


Ini diikuti persinggahan di kawasan Ampangan untuk menziarahi makam Sheikh Muhammad Said Linggi.






Selasa malam Rabu 16 Oktober, tiba giliran Johan untuk menyambut sesuatu.

Masuk 17 Oktober umurnya genap 8 bulan. Hadiahnya adalah buat pertama kalinya, kami membenarkan Johan naik sendiri tangga rumah sampai ke atas. Lihat artikel Baby Johan's first climb all the way upstairs... blogspot BERPETUALANG KE ACEH.




Ini pula gambar di Muar pada hari raya haji, 10 Zulhijjah bersamaan 26 Oktober 2012.


Esoknya kami ke Rawang untuk melihat acara korban atas pelawaan super senior saya dari Sekolah Menengah Sains Johor.


Beliau adalah Dato' Ahmad Ridza Bukhari, presiden SAJOHA (bekas pelajar SMSJ). Kalau tak salah ingatan beliau adalah daripada batch terawal sekolah, SPM 1975 sedangkan saya SPM 1987.


Oh. Yang dimaksudkan di sini bukan Rawang, Selangor yang terletak dekat dengan rumah saya tetapi Rawang, Muar dekat kampung ibu.


Menariknya, di rumah ini, rumah bapa mertua Dato' Ridza saya boleh bertemu dengan kawan lama sejak kecil sehingga ke sekolah menengah yang sudah sekitar sekitar 15 tahun tidak ditemui. Rupa-rupanya beliau yang sudah lama menjadi kapten kapal terbang adalah berpangkat bapa saudara kepada Dato' Ridza.


Tu le. Dunia punya le kecil. Cerita punya cerita rupa-rupanya bapa mertua Dato' Ridza kenal rapat dengan almarhum Tok Mail iaitu bapa kepada ibu saya juga almarhum Tok Musa, datuk saudara saya. Lihat artikel lama Tribute untuk Tok Musa, Beliau  juga kenal beberapa orang bapa saudara saya.

Di atas ini adalah gambar keesokan hari Johan ikut keluar berjalan membeli barang. Saja je cerita santai untuk melepaskan rasa. Kiranya apa yang dikongsikan ini mengikut turutan masa sebelum apa yang disebut artikel sebelum ini, Dari Pulau Besar ke Akademi Pengajian Melayu - Semuanya ada HIKMAH! berlaku. Artikel susulan tentang HIKMAH merujuk kepada tempoh masa kemudian sehingga kini. Rasanya elok dipersembahkan malam nanti. :]




Isnin, Oktober 29, 2012

Dari Pulau Besar ke Akademi Pengajian Melayu - Semuanya ada HIKMAH!

Subhanallah walhamdulillahi walailaha illallahu wallahuakbar. Sungguh... musim raya haji tahun ini ada keistimewaannya yang tersendiri sekurang-kurangnya buat kami sekeluarga.


Pagi semalam, Ahad 28 Oktober 2012. Setelah 3 malam berada di kampung ibu di Muar sempena cuti hari raya haji kami pun bersedia untuk kembali ke rumah di Bandar Tasik Puteri, Rawang, Selangor. Singgah dahulu di warung hentian bas lama yang terletak di tepian Sungai Muar untuk menikmati hidangan kegemaran kami iaitu nasi beringin.


Untuk pengetahuan hari itu bersamaan 12 Zulhijjah iaitu masih dalam tempoh hari-hari tasyrik (11, 12 dan 13 Zulhijjah). Ketika ini umat Islam yang sedang menunaikan haji di Mekah dan sekitarnya tentu masih sibuk menunaikan rukun haji seperti melontar batu di jamrah. Kami pula mengambil jalan lama untuk masuk ke negeri Melaka, berhenti sebentar di hadapan replika gergasi yang melambangkan beca tradisional Muar, replika setinggi bangunan 3 tingkat yang terletak sebelum sempadan.




Sampai di Merlimau kami tergerak untuk masuk ke jalan kecil pantai melalui satu laluan yang saya rasa belum pernah kami lalui sebelum ini. Terlihat rumah tradisional menarik yang menyebabkan kami mengambil masa agak lama di dalamnya, rumah yang kini di bawah penjagaan pihak muzium negeri. Lihat artikel Galeri (Gallery of) Demang Abdul Ghani, Merlimau di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).


Di sinilah kami pertama kali terlihat buku besar ini yang sebenarnya telah terbit sejak tahun 2010 lagi. Buku berharga RM300 yang diterbitkan kerajaan negeri ini mengandungi sejumlah lukisan daripada simpanan negara Portugal yang dapat membuktikan bahawa kerajaan Melayu Melaka telah memiliki sejumlah bangunan batu malah kota utamanya dikelilingi tembok kukuh, bukannya kayu sebelum armada Portugis dapat menaklukinya tahun 1511.


Di rumah tradisional itu juga kami mendapat tahu kewujudan sebuah makam yang menimbulkan tanda tanya.  Lihat Makam sebenar Tun Teja? (Real tomb of Tun Teja?). Oh, sebelum itu kami melihat bahagian kuala Sungai Merlimau. Lihat artikel The jetty of Kuala Merlimau di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.


Letak makam tersebut berdekatan dengan makam yang diakui secara rasmi sebagai milik Tun Teja, si jelitawan dari Pahang yang menurut satu cerita dibawa Hang Tuah ke Melaka untuk dikahwinkan dengan sultan.


Bila dah dekat-dekat kawasan sekitar ini kami biasanya akan menziarahi juga makam Sultan Ali ibni Sultan Hussein, orang yang sering dinyatakan sebagai sultan terakhir Johor dari keturunan bendahara yang menggantikan Sultan Mahmud Mangkat Dijulang.


Selepas itu baru kami menaiki bot di jeti Anjung Batu untuk ke Pulau Besar.


Sebenarnya memang rancangan utama kami hari itu adalah untuk ke Pulau Besar sebelum kembali ke rumah. Tapi tu le... bila dah ternampak rumah tradisional menarik di Merlimau tersangkut lama pula di situ. Kemudian boleh ke makam Tun Teja pula. Asalnya mahu masuk ke pulau ambil feri jam 11.30 konon. Rupa-rupanya yang ada cuma feri jam 12.00 kemudian 2.30. Disebabkan singgah di rumah tradisional diikuti makam kami sampai ke jeti jam 1.30. Tu yang kami pergi dahulu ke masjid Umbai di mana terdapat makam Sultan Ali sebelum kembali ke Anjung Batu mengejar feri jam 2.30.



Adapun itulah kali pertama kami anak beranak masuk ke pulau yang penuh dengan cerita-cerita mistik itu tahun 2012, itulah kali pertama anak kecil kami Muhammad Alauddin Johan dibawa ke situ. Sebelum ini kami ada masuk ke Pulau Besar bersama dua orang anak yang lebih tua iaitu pada 19 November 2011, 6 hari selepas kembali dari perjalanan Medan-Banda Aceh 2-13 Nov. Lihat artikel lama Pulau Besar yang lebih menarik untuk semua.


Seperti biasa kalau dah sampai ke Pulau Besar kami mesti menziarahi makam utamanya yang dikatakan milik wali besar seNusantara, Sultanul Ariffin Sheikh Ismail. Cuma kali ini kami mahu berlegar di sekitarnya sahaja, tidak pergi ke tempat-tempat menarik lain yang terdapat di sekeliling pulau. Kami merancang mahu keluar dengan feri jam 5.30 petang kemudian mungkin singgah di Astana Raja, Negeri Sembilan sebelum kembali ke rumah.

Namun dah jadi perangai saya agaknya tak dapat menahan untuk melihat tempat-tempat lain apa lagi setelah hampir setahun tidak bertandang ke Pulau Besar. Saya bukan setakat pergi ke tempat lebih jauh seperti Makam Tujuh Beradik dan Makam Seribu serta kawasan-kawasan di belakangnya, saya sanggup meredah hutan cuba mencari denai yang telah digunakan beberapa kali bertahun dahulu untuk menaiki puncak tertinggi di Pulau Besar di mana terdapat Batu Belah. Oh, sebelum itu kami terjumpa satu pasangan suami isteri kawan lama yang menyebabkan kami menunda rancangan mahu meninggalkan pulau ke jam 7 malam iaitu dengan menaiki feri terakhir hari itu. Kalaulah tidak kerana esok Isnin kami ada hal penting di Kuala Lumpur, mahu sahaja kami bermalam di pulau.


Sementara isteri berbual dengan kawan saya pun mula berjalan-jalan. Bayangkan, setelah tidak berjaya menemui denai tetapi tetap mahu meredah hutan belukar, saya keluar jam 6.20. Ketika itu saya mendapat panggilan daripada kawan agar segera kembali bertemu isteri untuk bersiap ke jeti. Namun saya tak puas hati. Saya hendak mendaki juga bukit, kali ini melalui jalan bertanda kasar yang saya sudah nampak lebih awal tetapi tidak mengambilnya kerana degil mahu juga mencari denai yang nampaknya sudah tertutup langsung oleh belukar. Dengan kuasa Allah saya masih sempat sampai ke Batu Belah malah berehat sebentar di atasnya pada jam 6.30. Itulah pendakian paling pantas pernah saya lakukan di sekitar ini seumur hidup walhal stamina dan kekuatan saya berbanding dahulu boleh dikatakan telah banyak berkurangan. Dapat juga berjalan laju lagi dari atas batu sampai ke jeti jam 6.50 untuk mendapatkan feri!


Esok hari Isnin iaitu siang tadi saya dan isteri menghadiri satu mesyuarat bersama para pentadbir Akademi Pengajian Melayu di Universiti Malaya. Bersama saya adalah beberapa orang kawan yang akan menjayakan HIKMAH - Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman, acara yang baru saya asaskan 2 minggu lalu dan dirancang mahu diadakan Ahad 4 November ini. Kemudian datang 3 orang peneraju kumpulan NGO Selangor yang menyokong saya dan acara. Untuk HIKMAH, mereka bersetuju untuk bergerak di bawah nama Persatuan Sejarah Malaysia cawangan Selangor. Rujuk artikel-artikel di bawah :-







Sebenarnya sejak Khamis 25 September bersamaan 9 Zulhijjah iaitu hari wukuf di Arafah, hari bermulanya ibadah haji secara rasmi, pihak HIKMAH yang diterajui oleh saya sebagai presiden dan pengasas, PSM cawangan Selangor dan APM telah berjanji akan bertemu untuk membincangkan kerjasama yang sesuai untuk menjayakan acara. Sekadar mengingatkan kembali. HIKMAH yang mula terbit melalui satu cetusan ilham pada Jumaat malam Sabtu 12 September 2012 asalnya mahu diadakan di Kompleks Belia dan Kebudayaan Selangor di Seksyen 7, Shah Alam. Kemudian apabila acara yang diwar-warkan di Internet mendapat sambutan luar dugaan, kompleks itu tidak lagi sesuai lalu ia mahu diadakan di Sekolah Menengah Seksyen 18. Berlaku lagi perubahan yang menyebabkan premis baru harus dicari lagi...

Pada hari Rabu 24 September, atas cadangan sahabat baik saya, Profesor Abdullah Zakaria daripada Jabatan Sejarah UM (katanya baru mendapat gelaran Dato') saya telah berjumpa dengan pihak APM untuk membincangkan kemungkinan membuat kerjasama untuk menjayakan HIKMAH. PSM cawangan Selangor kemudian menghantar surat sokongan melalui pengerusi kawasan Kuala Selangor lalu mesyuarat pun diatur mahu diadakan di APM pagi tadi bersamaan 13 Zulhijjah. Alhamdulillah selepas beberapa lama membincangkan pelbagai aspek penganjuran kami mencapai kata sepakat. Dipersetujui acara akan diadakan di dewan besar APM pada masa dan tarikh yang dirancang iaitu Ahad 4 Nov 9 pagi hingga 5.30 petang.


Mulai itu, acara akan dikenali sebagai "Wacana Keilmuan Melayu Islam HIKMAH" anjuran bersama HIKMAH, PSM cawangan Selangor dan APM. Dengan itu saya rasa cukuplah artikel ini. Kepada semua sukarelawan, pembentang, peserta dan lain-lain bersedialah untuk pertukaran premis ini ya. Dijemput semua melihat dahulu 2 Nov iaitu selepas solat Jumaat berjemaah supaya dapat diatur tempat seperti ruang perniagaan, pameran dan macam-macam.