Sambil itu terlihat Kompleks Pusat Islam di Telipot.
Sekitar ini saya mendapati jam kereta menunjukkan angka 3:13.
Ke hadapan sikit baru kami makan tengahari... makan tengahari lambat daaa...
Kemudian ke Limbat masuk ke satu jalan kecil.
Ada satu makam yang ingin diziarahi, milik seorang yang penting dalam sejarah Kelantan.
Pertama, tentang Long Ghaffar sebagai pengasas negeri Kelantan kerana kononnya perkataan Kelantan berasal dari "Kerat Lintang"... kononnya kerajaan Kelantan pernah dibahagi dua antara Long Yunus dan Long Ghaffar. Pada saya ini tidak benar sama sekali. Ini kerana perkataan Kelantan sudah wujud 600 tahun lebih awal daripada zaman mereka. Sudah disebut ramai sejarawan tentang penemuan wang syiling tertulis perkataan "Al Julus Kelantan" dengan tahun 577 Hijrah tertera yang bersamaan sekitar 1181 Masihi, zaman Sultan Salahuddin Ayubi membebaskan Baitul Muqaddis daripada tangan tentera Salib...
Kedua. Pembahagian Kelantan kepada Kelantan Timur dan Barat telah wujud sekurang-kurangnya sejak tahun 1600 Masihi di mana Kelantan pernah terletak di dalam satu persekutuan kerajaan yang dipanggil Patani Besar lalu menjadi negara bawahan yang pemerintahnya bergelar Datu Kelantan (sebab itu ada tempat nama Pengkalan Datu), dipilih oleh kerajaan pusat di Patani... sebelum Raja Sakti, pelopor Dinasti Raja-raja Jembal mengalahkan kerajaan utama Patani lalu menaikkan kembali taraf Kelantan. Jadi ia bukanlah pembahagian yang dipelopori Long Ghaffar.
Ketiga. Pada papan maklumat ini tersebut Kelantan Barat berpusat di Kota Bahru dan Kelantan Timur di Limbat. Ini salah sama sekali. Sila lihat peta negeri Kelantan. Limbat terletak di selatan Kota Bahru bukan ke timur. Malah pembahagian sebenar negeri Kelantan dahulukala adalah berdasarkan aliran Sungai Kelantan yang secara rata mengalir dari selatan keluar ke utara lalu membentuk sempadan semulajadi antara timur dan barat. Kedua-dua Kota Bahru dan Limbat sebenarnya terletak di timur Kelantan. Kalau Kota Kubang Labu tempat Long Yunus bersemayam sebelum mengalihkan pusat pemerintahan ke Kota Bahru itu baru betul kerana ia memang terletak di belah barat seberang Sungai Kelantan dan pernah menjadi pusat pemerintahan Kelantan Barat.
Keempat. Perkataan "Kerat Lintang" itu sendiri yang didakwa sesetengah pihak sebagai asal wujud nama Kelantan. Mungkin ini benar 600 tahun lalu, yang pasti ia bukan berlaku zaman Long Ghaffar. Tetapi itupun tidak tepat kerana kerat lintang bermakna negeri yang dikerat tengah kepada bahagian utara dan selatan, bukan timur dan barat kerana itu memerlukan keratan yang membujur. Ingat pepatah membujur lalu melintang patah? Kalau dalam istilah geografi ia ibarat perbezaan latitude dengan longitude. Garisan khatulistiwa yang membahagikan bumi kepada hemisfera utara dan hemisfera selatan adalah contoh garisan melintang. Greenwich Meridian yang merupakan garisan pembahagian zon masa dunia adalah contoh garisan membujur...
Kelima. Perkataan yang menyebut Long Ghaffar sebagai Raja Kelantan tidak benar sama sekali, Baginda tidak pernah menjadi Raja Kelantan atau memerintah separuh dari Kelantan. Tetapi kalau menjadi raja di wilayah sekitar Limbat sambil mentadbir seluruh Kelantan sebagai Perdana Menteri yang diberi mandat oleh Raja Kelantan, itu memang benar...
Di sebelah makam Long Ghaffar terdapat makam anaknya Long Seri.
Adapun hak Long Yunus terhadap takhta Kelantan diperolehi daripada ayahandanya Long Sulaiman yang mendapatkannya pula daripada ayahandanya Long Baha, kerabat diraja Patani yang mengahwini seorang puteri diraja Jembal lalu diberikan pemerintahan ke atas Kelantan. Walaupun betul Long Ghaffar berperanan besar menobatkan kembali Long Yunus yang pernah dihalau daripada Kota Kubang Labu setelah berlaku satu rampasan kuasa, itu tidak bermakna baginda harus menjadi Raja Kelantan atau mendapat separuh dari Kelantan.
Hmm. Cukuplah apa yang disebut sebagai contoh. Sehebat-hebat Hang Tuah dan Tun Perak menolong Sultan Melaka mengembangkan kuasa dan wilayah, mereka tetap Laksamana dan Bendahara, bukan pemerintah separuh apalagi seluruh Melaka. Lihat artikel Makam (Tomb of) Long Ghaffar dan Makam (Tomb of) Long Seri.
Perjalanan diteruskan ke Kedai Mulong.
Singgah sebentar di masjidnya. Lihat Masjid (Mosque of) Kedai Mulong.
Perjalanan diteruskan menghala ke Pasir Mas.
Tetapi kami sebenarnya mahu ke Salor.
Di sini adalah lagi makam lama yang mahu dijejaki.
Nasib baik ada anak-anak muda sudi menunjukkan jalan.
Dahlah kena memandu jauh ke dalam, kena lagi berjalan kaki masuk kebun dan hutan belukar. Kalau mencari sendiri belum tentu dapat jumpa...
Kena pula menyeberang parit ini.
Oh. Untuk sampai ke makam tadi kami menumpang lalu kawasan rumah orang Cina.
Kami berehat sebentar di Masjid Kampung Laut.
Al-Rasyid sedang mengamuk. Namun dipaksa posing dengan kakaknya Erin.
Perjalanan diteruskan lewat petang.
Sampai ke Pasir Puteh sudah malam.
Jalan-jalan di bandar, tengok-tengok ada pasar malam.
Tempat seterusnya disinggahi adalah Masjid Ibrahimi, masjid jamek Pasir Puteh.
Cukuplah artikel ini ya. Lihat Masjid (Mosque of) Ibrahimi, Pasir Puteh.
Dalam hal kerat lintang ini nampaknya saya tersalah kerana meletakkan Sungai Kelantan yang memanjang dari selatan ke utara sebagai garis lintang itu. Kalau itulah garisan sempadan maka ia lebih menunjukkan pada kewujudan Kelantan Timur dan Kelantan Barat pada zaman sebelum Long Ghaffar. Tetapi bila diteliti balik Sungai Kelantan sebenarnya terletak membujur dalam peta. Kerat lintang lebih pada garisan dari timur ke barat. Maka negeri Kelantan harus terbahagi kepada bahagian utara dan selatan kalau dikerat lintang. Ini lebih kena dengan penegasan daripada kaum kerabat anak cucu Long Ghaffar yang menyatakan Long Ghaffar menjadi raja yang memerintah dari Limbat hingga menghala ke Terengganu. Tetapi tidaklah sampai kerat lintang itu menjadi punca nama Kelantan yang terbukti sudah wujud sejak lebih 800 tahun melalu penemuan duit lama bertulis Al-Julus Kelantan dengan tarikh bersamaan 1181 Masihi.
Sekali lagi, terima kasih atas segala teguran. Sila tambah apa yang patut pada ruang komen.