Pagi Ahad 15 Ogos 2010 bersamaan hari ke-5 kita berpuasa, saya, isteri dan anak pun sedia berjalan lagi.
Mula-mula ziarah kubur...
Al-Fatihah untuk Hajah Sariyah moyang saya di sebelah ibu yang berdarah Jawa.
Kemudian baru kami menuju ke sasaran, sebuah bukit kecil bernama Bukit Treh.
Walaupun bulan puasa kami begitu bersemangat untuk naik ke atas bukit. Isteri saya terasa begitu teruja... dia pertama kali sampai dan ada sesuatu yang boleh dirungkai di sini, terasa kuat melibatkan dirinya, bukan setakat diri saya sahaja...
Setelah sedikit berpenat-lelah, terpaksa pula mengelak halangan seperti pokok tumbang, kami pun sampai ke atas. Lihat artikel Climbing Bukit Treh with the wife and baby di blogspot BERPETUALANG KE ACEH. Perhatikan bagaimana kami mengelak pokok tumbang yang menutup laluan...
Ketika turun saya teringat bagaimana satu pihak telah menggunakan beberapa gambar yang telah saya ambil lebih 3 tahun dahulu lalu digunakan untuk membuat dakwaan bahawa di Bukit Treh pernah berdiri istana raja kedua dari bangsa Siam yang kononnya menguasai satu empayar Islam yang bukan sahaja meliputi seluruh bumi Nusantara malah jajahannya meluas sampai ke benua Australia!
Lihat artikel Pictures in Muar 3. Lihat tinggalan tembok yang ada pada gambar 4, 5 dan 7. Gambar-gambar itulah yang didakwa oleh pihak tersebut dalam blogspot mereka sebagai bekas tinggalan istana raja lama bangsa Siam mereka yang kononnya wujud sekitar 1,200 tahun lalu. Perhatikan dengan teliti. Walaupun saya sendiri sering ke sana ke mari mencari kesan sejarah lama, saya tidak berani membuat dakwaan sebegitu apalagi jika bukan berdasarkan gambar yang diambil sendiri. Takut tersilap membuat jangkaan. Tinggalan tembok yang mungkin sebenarnya didirikan British awal abad ke 19 kita kata sebagai bukti tinggalan istana nenek-moyang kita abad ke 9. Kan dah jadi bahan gelak ketawa?
Merujuk balik pada Climbing Bukit Treh with the wife and baby yang merupakan artikel sokongan untuk penceritaan di sini. Ada ditunjukkan pokok tumbang yang menghalang laluan biasa. Ini memaksa kami memilih laluan lain yang sedikit ke bawah lalu terlihatlah binaan lama ini...
Apakah ia binaan buatan British untuk menyokong infrastuktur sokongan seperti paip untuk loji air yang dibina di atas Bukit Treh? Apakah ia memang satu tinggalan yang lebih lama? Seketika itu juga terbetik di hati, memang dahulu pernah berdiri sebuah istana raja di Bukit Treh, memang sekitar 1,200 tahun lalu.
Jadi apakah dakwaan pihak pro-Siam itu benar? Hati saya menjawab ia separuh benar. Sebelum itu biar disebut. Semasa meletakkan link untuk artikel Pictures in Muar 3 pada gambar yang menunjukkan tangga turun dari puncak Bukit Treh baru saya teringat... gambar-gambar dalam artikel yang dibuat lebih 3 tahun lalu ini sebenarnya diatur untuk kegunaan seorang sahabat agar dapat digabungkan dengan artikel terbaru saya untuk sebuah akhbar tabloid bernama Kencana.
Sayangnya artikel tersebut tidak dapat menemui pembaca apabila Kencana menghadapi masalah. Yang sempat keluar adalah artikel sebelumnya, boleh dilihat pada posting bertajuk Jalan-jalan Perak sebelah barat : Atlantis Gangganegara? dengan isi asal tanpa disunting dipersembahkan di Laksamana pulang ke Perak: Menyusuri cerita lama Muar. Namun saya ada meletakkan tulisan yang tidak sempat keluar di Kencana itu pada artikel Laksamana pulang ke Perak: Kota Portugis, Si Tanggang dan Raja Temenggung Muar . Bacalah, Insyaallah akan membuka minda bagaimana Muar juga menjadi satu titik untuk mengembangkan perjuangan Islam akhir zaman... :]
Selepas Bukit Treh saya pergi ke satu kawasan berhampiran kuala Sungai Muar.
Selain merehatkan minda melihat monyet-monyet hutan kayu bakau yang ada, saya mahu menjejakkan kaki untuk mendapatkan gerak rasa seterusnya. Lihat Monkeying around in Muar.
Saya pun pergi ke satu bahagian lain yang dekat dengan kuala Sungai Muar...
Perhatikan pada hujung bumbung bangunan, sebuah jeti sebenarnya. Lihat bentuk yang saya suka sebut sebagai lidah tergantung atau terjulur, bentuk yang secara rasmi disebut dalam pengajian senireka lama sebagai motif papan kepala cicak.
Dalam sejumlah artikel lama di blogspot ini juga blogspots saya yang lain sudah disebut bagaimana bentuk ukiran ini biasa terdapat pada rumah-rumah lama di Perak juga sebahagian Kedah dan Pulau Pinang. Tetapi ia bukan bentuk yang biasa dipakai di Muar juga di bahagian lain selatan Semenanjung. Jadi mengapakah jeti di kuala sungai Muar ini memakai bentuk ini? Walhal sepanjang membesar di Muar, sejak dilahirkan hinggalah umur 18 apabila betul-betul meninggalkan Muar (saya pernah bersekolah asrama penuh di Kluang sejak berumur 13 tapi belum boleh dikira meninggalkan Muar), sepanjang sering mengembara ke sana ke mari sehingga hampir masuk umur 40 tahun kini (kalau ikut kalender Islam, saya sudah pun berumur 40 sejak 27 Ramadhan tahun lepas) di jeti ini sahaja terdapat bentuk lidah tergantung. Kenapa? Adakah ia sekadar dibuat suka-suka atau menjadi tanda?
Adalah menjadi kepercayaan peribadi saya bahawa bentuk lidah tergantung ini berasal dari Aceh lama. Peliknya, setelah 4 kali ke Aceh baru saya terjumpa ia dipakai di sana, itupun pada satu tempat sahaja lalu saya pun menulis artikel Dah jumpa dah di Aceh! Bentuk "lidah terjulur" yang mengaitkannya dengan Perak.... Seminggu kemudian saya mendapatkan gerak baru dalam mengupas asal-usul bentuk ini. Dengan pertolongan seorang rakan yang lebih arif meninjau melalui alam ghaib saya pun dapat memutuskan sedikit sebanyak keadaan. Artikel Kepala naga Merong Mahawangsa dan legasi Saidina Salman Al-Farisi, satu petanda daripada era lebih 1,200 tahun lalu? pun ditulis awal Mac.
OK. Di sini saya ingin melepaskan sesuatu. Adapun di antara negeri-negeri yang ada di Malaysia, cuma Terengganu sahaja yang rumah tradisionalnya rata-rata memakai satu jenis ukiran yang dipanggil buah potong. Ukiran berbentuk batang dengan hujung tajam menunjuk ke atas ini diletak pada hujung atas bumbung iaitu pada bucu atas bentuk V terbalik bumbung. Dalam pengajian senireka saya difahamkan ia dipanggil kayu buton. Namun saya dapati rumah-rumah tradisional Muar juga rata-rata memiliki bentuk buah potong yang sama. Apakah kena-mengena Muar dengan Terengganu? Apakah ada cerita lama yang selama ini terpendam?
Berbalik pada bentuk lidah terjulur pula. Seperti di Muar, ia bukan bentuk yang boleh didapati di Terengganu. Namun seperti jeti di kuala Sungai Muar yang dibina dalam tempoh 10 tahun kebelakangan kalau tak salah ingatan, ada satu sahaja tempat di Terengganu di mana saya pernah terjumpa bentuk lidah terjulur. Peliknya ia ada pada banglo-banglo baru yang dibina berdekatan Masjid Kristal Wan Man. Lihat artikel Perjalanan ke Pantai Timur bulan Ramadhan - Menyelesaikan 'bil tertunggak' bagi sekitar Kuala Terengganu... dan fikirkan kenapa...
OK, saya tidak boleh menulis panjang lagi. Selepas ini saya harus bersiap untuk memandu jauh ke utara. Walaupun informasi di bawah menyebut artikel ini ditulis jam 11:37 malam, itu cuma waktu penulisan dibuka. Ketika menulis ayat ini sudah jam 1:43 pagi.
Biar disebut semasa turun dari Bukit Treh saya mendapat jawaban di hati bahawa kewujudan sebuah empayar Islam besar di Nusantara yang diterajui para Sharif berketurunan Nabi itu benar... sangatlah benar. Namun ia tidaklah seperti disebut pihak yang taksub dengan teori Siam Islam. Kemungkinan besar mereka dan nenek-moyang mereka tahu akan kewujudan empayar tersebut. Tetapi disebabkan ingin sangat menaikkan kaum keluarga sendiri sebagai peneraju empayar konon mereka telah tersilap tafsir, atau sengaja membuat salah tafsir lalu segala rujukan yang ada jadi berbelit-belit untuk menyokong teori sendiri.
Di atas adalah gambar satelit sekitar bandar Muar dilihat dengan program Google Earth. Perhatikan mana kedudukan jeti juga Bukit Treh...
Ini adalah gambar yang sama setelah dibuat sedikit pengubah-suaian. Berpandukan pada cerita bahawa kapal yang disumpah menjadi batu (sehingga timbul Bukit Treh) itu sedang berlabuh di laut lepas berdekatan pantai, saya membuat anggaran beginilah rupa-bentuk geografi Muar ketika sumpah berlaku. Cuma saya tidak melebarkan Sungai Muar yang sepatutnya lebih lebar kerana tidak pasti bagaimanakah alirannya waktu itu. Lebih elok kita mengaku tak tahu daripada berlagak pandai, tahu ilmu yang 'mutlak', 'pewaris takhta mutlak' dan sebagainya... takut nanti jadi bahan ketawa dan kita pula tidak dipercayai orang lagi apabila ternyata apa yang kita yakin sangat itu menyimpang akhirnya.
Ini bukanlah bermakna kita tidak boleh mengemukakan pendapat mahupun teori. Tetapi lebih elok dan sopan jika kita menggunakan kata-kata yang merendah diri misalnya : "Pada pendapat saya beginilah rupa kerajaan lama itu..." atau "menurut wasiat keluarga kami orang inilah waris terbaik tetapi itu dari pihak kami... pihak lain mungkin tidak bersetuju". Jangan mudah menggunakan perkataan 'mutlak' kerana tiada yang 'mutlak' selain Allah Ta'ala. Janganlah kita memakai pakaian kebesaran Allah. Tiada yang layak merasa sombong kecuali Dia sahaja...
Hikayat Malim Dewa juga Hikayat Malim Deman ada menyebut tentang kedatangan Malim Dewa dari Aceh ke Muar di satu zaman di mana "Muar belum bernama Muar, Muar bernama Teluk Dalam." Jika gerak rasa saya betul bahawa di Bukit Treh itu pernah berdiri sebuah istana ketika Malim Deman anakanda kepada Malim Dewa itu wujud maka seharusnya muka-bumi Muar telah berubah dengan air surut sehingga Bukit Treh terletak sedikit jauh dari laut. Sekali lagi saya tidak berani mengubah bentuk Sungai Muar yang seharusnya lebih besar kerana tidak tahu bagaimanakah aliran sebenarnya zaman itu. Kalau tahu mungkin dapat menjawab kenapa ada peta-peta lama menunjukkan Sungai Muar terus sahaja bersambung dengan Sungai Pahang, bukan seperti kemudian di mana kapal yang masuk dari Pantai Barat boleh ke Pantai Timur melalui Sungai Muar tetapi harus masuk dahulu ke Sungai Jempol kemudian ditarik atas darat sejauh lebih kurang 300 meter sebelum masuk air balik di Sungai Serting untuk pergi ke Sungai Pahang, laluan yang dipanggil sebagai Jalan Penarikan. Lihat artikel Kembara terbaru ke Pantai Timur... Sesi dibuka dengan menyusuri Jalan Penarikan di Negeri Sembilan! dan Sambungan cerita "Menyusuri Jalan Penarikan di Negeri Sembilan!"... Menyusuri juga makna sebuah mimpi lebih 10 tahun lalu dan kehadiran hantu Siam? yang dibuat lebih 2 tahun lalu.
Untuk artikel akan datang Insyaallah akan saya cuba kupas siapakah Khalifah Sharif yang sebenar memerintah empayar Islam besar di Nusantara sambil memecah persoalan bagaimana pihak pro Siam boleh tersasar samada sengaja atau tidak ketika meneliti persoalan ini. Seharusnya nama Sharif itu menunjukkan si pemakainya itu berketurunan Nabi Muhammad SAW daripada nasab Saidina Hassan. Keturunannya harus bersambung lelaki atas lelaki (patrilineal) hingga ke cucu sulung Rasulullah SAW yang pernah menjadi khalifah ke-5 umat Islam seluruh dunia itu kerana tidak pantas dan tidak diterima dalam hukum nasab Ahlul Bait bahawa seorang lelaki yang ibunya berketurunan Nabi tapi ayahnya bukan terus memakai gelaran Sharif mahupun Sayyid dan itulah petunjuk awal yang paling terang agar kita tidak termasuk dalam golongan yang mengada-adakan cerita mahupun suka membuat dakwaan palsu.
Oh. Sebagai persediaan kepada apa yang akan dipersembahkan akan datang sila baca-baca artikel-artikel lalu ini...
KeSultanan Perlak: Bermulanya sebuah cerita
Akhirnya... Membuka misteri identiti Nakhoda Khalifah!
Petunjuk baru tentang kerajaan lama di Putrajaya?
Sekian! :]