Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Khamis, Februari 09, 2012

Pameran Manuskrip Melayu di Perpustakaan Negara

Tukar lagi rentak bercerita.


Siang tadi saya pergi ke Perpustakaan Negara lalu naik ke Pusat Manuskrip Melayu.


Dahulu pusat itu terletak di bangunan utama lama perpustakaan yang melebar besar dengan bentuk seperti destar. Sekarang ia telah dialihkan ke bangunan baru di belakang yang jauh lebih meninggi.


Kebetulan satu Pameran Manuskrip Melayu sedang berlangsung. Saya pun mengambil gambar.


Saya tak mahu mengulas panjang. Lihat sahaja apa yang ada ya... :]


















Selasa, Februari 07, 2012

Meh tengok Kota Buruk

OK. Malam ni dah masuk 15 Rabiulawal bulan penuh, elok juga dibuat satu artikel...


Tadi seorang kenalan bertanyakan saya arah ke tinggalan Kota Buruk di Muar, Johor. Ia adalah kota yang pernah didirikan Sultan Iskandar (dikenali sebagai Parameswara oleh Barat) sebelum baginda membuka kerajaan Melaka. Lihat artikel lama The legendary Kota Buruk (ruined fort) of Muar... di blogspot BERPETUALANG KE ACEH. Di atas adalah peta dari Google Earth yang menunjukkan kawasan sekitar bandar Muar. Letak Kota Buruk cuma 11 km sahaja daripada bandar yang terletak di kuala Sungai Muar.



Namun orang tempatan pun belum tentu tahu di manakah letaknya tinggalan kota bersejarah ini yang harus berumur lebih 600 tahun. Malah kalau mengikut perkiraan terbaru yang menyatakan kerajaan Melaka dibuka tahun 1262 Masihi maka ia harus telah dibuka hampir 800 tahun lalu! Biar kita zoom pada bahagian berkaitan.


Dalam peta ini kelihatan Kampung Temiang, kampung ibu saya yang letaknya sangat dekat dengan Bukit Treh, satu-satunya bukit di dalam lingkungan 8-10 km gitu dari bandar Muar. Kelihatan juga bentuk seperti kepala Wak Dogol dengan 'belon hingus' keluar dari hidung, 'belon' yang menandakan satu aliran lama Sungai Muar yang telah ditawan. Rujuk artikel Menjejak sejarah di sungai yang mati dan sekitarnya dan Kedudukan tempat-tempat di sekitar Sungai Mati dan Pulau Penarek yang dibuat 5 bulan lalu.



Anak-anak panah merah menunjukkan jalan yang boleh diambil untuk sampai ke Kota Buruk. Cuma kerana saya menulis berdasarkan ingatan dan sudah lama tidak ke sana saya tidak pasti selepas anak panah terakhir itu harus terus membelok ke kanan masuk jalan tanah merah estet getah dan kelapa sawit atau harus ke hadapan dahulu mengikut jalan tar sampai ia membelok ke kanan kemudian cari simpang tanah merah ke kanan.


Kawasan yang terlibat ditandakan.


Masuklah kita ke dalam 'jajahan Wak Dogol'. :]



Namun hati saya lebih cenderung mengatakan daripada tempat anak panah merah tadi habis beloklah ke kanan. Di sekitar itu ada papan tanda menunjuk arah ke Kota Buruk tetapi saya tak pasti jika ia masih berdiri lagi. Masuk ke kanan ambil jalan tanah merah sehingga 200-300 meter gitu sebelum ia membelok ke kanan kemudian ke kiri kemudian ke kanan balik. Semasa saya pergi dahulu ada kelihatan pondok kayu (kalau masih ada le). Di situ ada simpang ke kiri. Ambil simpang hingga 200 meter ke penghujung. Kota Buruk harus terletak di dalam lingkungan merah bulat.


Lalu kelihatanlah papan tanda dan maklumat tentang kota. Selamat berziarah demi memartabatkan sejarah lama orang Melayu.... :]



Ahad, Februari 05, 2012

Jejak "Berpetualang ke Aceh" : Menelusuri sejarah Perlak sebelum ke makam Sultan Malikus Saleh



Alhamdulillah! Syukur kepada Ilahi, hari ini 5 Februari 2012 bersamaan 12 Rabiulawal 1433 Hijrah dapat kita menyambut Maulidur Rasul lagi, hari kelahiran junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW. Hari ini sangat sesuailah saya menyambung kembali cerita perjalanan Medan-Banda Aceh kerana bahagian yang ingin diceritakan memang terkait dengan Maulud. Dengan itu bersambung cerita daripada Jejak "Berpetualang ke Aceh" : Mengenang 3 malam di Langsa, tempat pertama kali bertapak di Aceh.




Gambar anak kecil saya Muhammad Al-Rasyid di kedai berdekatan tempat penginapan sementara menunggu kenderaan. Selepas puas menunjukkan kepada isteri dan anak tempat-tempat yang pernah saya lawati di Langsa ketika pertama kali bertapak Januari 2004, sampailah masa untuk bergerak. Dalam buku ketiga saya "Berpetualang ke Aceh : Sirih pulang ke gagang?" (terbit Nov 2007) ada diceritakan bagaimana atas nasihat seorang kenalan saya ada pergi ke dua buah markas tentera untuk mendapatkan kebenaran berjalan lebih jauh di Aceh. Alhamdulillah. Walaupun ketika itu orang luar dilarang memasuki wilayah akibat darurat perang, tentera di markas tersebut tidak menyalahkan saya. Cuma katanya minta dahulu kebenaran imigresyen kemudian baru tentera yang sebenarnya berkuasa ke atas Aceh boleh mengeluarkan surat sokongan. Maka saya harus menunggu pejabat imigresyen dibuka hari Isnin.

Apa yang berlaku di dua markas tentera ada diceritakan panjang lebar dalam buku. Tetapi biar dipendekkan cerita dengan meletakkan dahulu sedutan dari mukasurat 114.


Subuh, Isnin 27 Zulkaedah 1424 Masihi bersamaan 19 Januari 2004. Rasyid bangun awal dengan semangat membara untuk melangkah ke Perlak, destinasi seterusnya dalam rangka perjalanannya di Aceh. Semalam, pemuda itu telah melaporkan diri di markas tentera yang bertanggungjawab menjaga Langsa, juga di markas lebih besar yang mempunyai hubungan langsung dengan pusat pemerintahan tentera ke atas wilayah darurat Aceh. Walaupun sejak Aceh diisytiharkan darurat hampir setahun lalu tiada warga asing dibenarkan masuk ke wilayah itu tanpa keizinan pemerintah di Jakarta, pihak tentera di Langsa nampaknya dapat menerima kehadiran anak Malaysia ini. Apa yang diperlukan sekarang cuma mendapatkan kebenaran daripada pihak imigresen untuk terus berjalan di Aceh.
Memandangkan seluruh wilayah ini sedang diperintah tentera yang mempunyai kuasa mutlak ke atas setiap urusan dalam negeri, Rasyid merasakan tidak begitu susah untuk mendapatkan kebenaran. Setelah azan berkemundang, pemuda itu bergegas untuk menunaikan solat Subuh berjemaah. Moga-moga mendapat berkat untuk meneruskan perjalanan ke Perlak, dapat menziarahi makam para Sultan dan kerabat diraja di sana. Selesai itu, diharap pula akan dapat sampai dengan selamat ke kampung halaman nenek-moyangnya dahulukala di sekitar Geudong, Lhoksuemawe, juga pusara purba yang paling ingin diziarahinya di bumi Serambi Mekah iaitu makam Sultan Malikus Salih di tapak kerajaan Samudera Pasai yang diasaskannya lebih 700 tahun lalu. Moga-moga di sana, pemuda itu akan menemui kampung halaman sebenar, home sweet home yang dicari-cari selama ini... Tempat yang dapat memberikan rasa istirehat yang cuma dapat dikecapi dalam beberapa mimpi yang dialami 22 tahun kebelakangan ini, sejak hilang rasa “mempunyai rumah” ketika berusia 12 tahun lagi.
Kebetulan Subuh itu, imam di Masjid Raya Langsa telah membacakan ayat 35 Surah Al-Ahzab yang maksudnya diabadikan pada permulaan bab ini., ayat yang menyebut tentang laki-laki dan perempuan yang Muslim... Sepanjang ingatan Rasyid, itulah kali pertama dia mendengar ayat tersebut dibacakan imam ketika solat berjemaah sedangkan pemuda ini pernah bersolat di beratus, buah masjid! Apakah ini bermakna dia akan berjumpa jodoh yang sesuai, orang yang betul-betul cocok, wanita yang dapat memahami dirinya yang sejati? Apakah Rasyid akan berjumpa makna sebenar kebahagiaan rumah-tangga tidak lama lagi? Ah... dia menyandarkan begitu banyak harapan. Maklumlah, jiwanya sering kesepian...



Selepas itu buku menceritakan panjang lebar tentang harapan jodoh sehingga memakan beberapa mukasurat, antaranya adalah tawaran seorang warga Aceh agar saya mengambil adiknya walaupun sebagai isteri kedua. Melompat ke sedutan mukasurat 126-127.


Apapun, Rasyid berharap agar Ayat ke 35 Surah Al-Ahzab yang dibacakan imam semasa menunaikan solat Subuh di Masjid Raya Langsa pagi Isnin itu akan membawa petanda yang menggembirakan. Dari satu segi, ia membawa makna lelaki yang beriman, sabar, sentiasa berzikir kepada Allah dan sebagainya akan ditemukan dengan perempuan yang serupa. Insyaallah lelaki yang soleh akan berpasangan dengan perempuan yang solehah… Memang anak kelahiran Muar, Johor ini selalu meminta Allah SWT agar mempertemukannya dengan jodoh yang sebegitu...
Walaupun dia belum layak untuk dikira sebagai lelaki baik yang menepati ciri-ciri dalam ayat tersebut, sekurang-kurangnya pemuda ini berharap agar ia juga membawa tanda bahawa segala dosa-dosanya dahulu akan diampunkan. Bukankah bahagian terakhir Ayat 35 menyebut: “laki-laki dan perempuan yang banyak menyebut (nama) Allah, Allah telah menyediakan untuk mereka ampunan dan pahala yang besar.”? Apabila segala dosa telah diampunkan, mungkin kebahagian berumah-tangga akan menyusul tak lama nanti? Allah! Begitu tinggi sekali harapannya...
Selepas solat Subuh, Rasyid terasa amat letih lalu pergi menyambung tidur di menara azan... Setakat sejam dua untuk menghilangkan penat lelah sebelum melangkah ke Perlak pun jadilah. Entah kenapa, dia boleh bermimpi ternampak Nur pula! Ah… Kenapa gadis ini menjelma lagi? Dia telah sedaya-upaya cuba melupakannya buat selama-lamanya. Kenapa muncul sekarang, kenapa tidak di Pengkalan Brandan atau di Medan?
“Eh... entah-entah ada kaitan dengan ayat Surah Al-Ahzab yang dibaca imam semasa solat Subuh tadi tidak?” tiba-tiba hati kecilnya terbetik.
Rasyid bangun termenung panjang. Rasanya ada sesuatu yang perlu dirungkaikan… Apakah Nur yang pernah bersama melalui berbagai liku kehidupan duri dan ranjau akan menjadi wanita solehah yang bakal menyeri hidupnya nanti? Walaupun sekarang ini terlalu banyak halangan yang memisahkan, apakah mereka tetap akan ditakdirkan bersama seperti yang selalu dilihatnya dalam beberapa bayangan dan mimpi?
Aduh! Anak muda ini mula terasa rindu pada gadis kesayangannya. Mungkin sekarang mereka tidak cukup syarat. Masing-masing pernah hidup ‘mengarut’, pernah jadi begitu keBaratan sehingga lupa langsung daratan. Tetapi bagaimana jika mereka sudah bersih daripada dosa lampau, sudah mendekatkan diri kepada Allah SWT? Apakah selepas itu mereka akan dapat bersama seperti yang sudah sekian lama didambakan?
“Ah... aku tidak mahu fikir ini semua,” perasaannya mula bergelora. “Aku mahu melupakannya. Sebentar lagi aku akan berangkat ke Perlak, kemudian ke Geudong di tapak kerajaan Samudera Pasai. Aku akan berjumpa jodoh lain di sana. Lagipun aku sudah ada seorang bakal isteri menunggu di Langsa. Akan aku lupakan Nur buat selama-lamanya. Akanku mulakan hidup baru di Aceh tanpa dia lagi dalam diari hidup ini!”
Dengan itu, Rasyid pun bangun bersiap untuk meneruskan langkah.... Insyaallah sebaik sahaja selesai apa yang perlu di pejabat imigresyen, dia akan pergi ke markas besar tentera di Langsa seterusnya ke Perlak...
Ternyata Allah SWT nampaknya memang mempunyai maksud yang lain. Dengan tidak disangka, pihak imigresyen telah melarangnya daripada meneruskan perjalanan di Aceh. Rasyid bukan sahaja tidak berjaya mendapatkan kebenaran untuk menyambung pengembaraan malah terus dideport, di hantar ke sempadan Sumatera Utara ketika itu juga!
Pemuda itu cuma diberi sedikit masa untuk mengemaskan barangan dan pakaian yang ditinggalkan di bangunan menara azan Masjid Raya Langsa. Masa yang diberikan begitu suntuk sehingga dia tidak berpeluang langsung untuk berjumpa Abang Bakhtiar mahupun Che Mat yang masing-masing ada urusan lain. Rasyid setakat sempat berjumpa beberapa orang kenalan di masjid untuk meninggalkan pesanan bahawa dia harus meninggalkan Aceh seketika itu juga. Begitu cepat keadaan berubah…
Itulah kali pertama pemuda itu merasa dideport keluar daripada mana-mana negara. Selalunya perkara begini cuma berlaku kepada warga Indonesia yang datang ke Malaysia tanpa dokumen lengkap atau pendatang tanpa izin... Kali ini seorang warga Malaysia pula yang dideport keluar daripada wilayah Indonesia, dari Aceh Darussalam, bumi Serambi Mekah. Apakah ini berlaku kerana panggilan Nur? Apakah ini makna sebenar di sebalik imam masjid membacakan Ayat 35 Surah Al-Ahzab kemudian boleh bermimpi berjumpa dengan gadis kesayangannya pula?




Ya. Apa yang berlaku 8 tahun lalu ialah selepas berada 3 malam di Langsa, saya dihalau keluar menghala ke selatan. Kemudian saya dihalau keluar oleh tentera di Pengkalan Brandan. Sedutan berkaitan ada diletak dalam artikel Jejak "Berpetualang ke Aceh" : Kerajaan Haru Deli Tua dan legenda Puteri Hijau sebulan setengah lalu. Mukasurat 133-134 menyebut...


Dari satu segi, mungkin Rasyid dihalau keluar daripada Aceh kerana Tuhan ingin menyelamatkannya daripada bahaya. Ini kerana ada tanda-tanda menunjukkan, satu operasi baru tentera yang agak besar akan dilancarkan ke atas GAM dan mungkin mengorbankan banyak nyawa.
Sehari sebelum dihalau, ketika sedang minum kopi di sebuah warung pemuda itu ada terlihat warta berita dalam televisyen menunjukkan dua tiga buah kapal pengangkut tentera telah berlabuh di Kuala Langsa, lebih kurang 10km dari Langsa untuk menurunkan berpuluh buah kereta perisai. Pada pagi Isnin pula, harinya dihalau keluar, kehadiran tentera di Langsa nampak lebih ketara berbanding sebelumnya. Di kawasan pasar sahaja, dia boleh melihat tiga buah kereta perisai sedang membuat rondaan.
Semasa dideport ke sempadan menaiki kereta pihak imigresyen, Rasyid ada ternampak lebih 10 buah trak besar membawa beratus askar dan polis tentera menghala masuk ke Langsa. Apapun yang berlaku, anak muda ini tidak hairan atau takut kerana tidak lagi mempedulikan nyawa sendiri. Lagipun peningkatan aktivit tentera ini berlaku untuk Aceh sahaja... Mengapa pula keadaan memaksa Rasyid supaya keluar juga daripada Pengkalan Brandan yang letaknya hampir 40km di luar sempadan?
Tiba-tiba pemuda ini terasa segala yang berlaku ada kaitan dengan cucu Sultan Malikus Salih iaitu Sultan Malikul Mansur yang mewarisi kerajaan Samudera. Bukankah dua minggu lalu, ketika tidak dapat masuk ke Aceh lalu ‘diarah’ untuk pergi ke Pengkalan Brandan, dia telah terpanggil untuk singgah ke Pulau Kampai di Teluk Aru yang nampaknya memang ada kaitan dengan Malikul Mansur yang kemudian disisih daripada takhta?
Setelah Sultan ini dibuang negeri atas kesalahan mengambil seorang perempuan dari Istana Pasai, baginda sempat mendirikan kerajaan Beruas di atas bumi Perak sekarang, negeri tempat kebanyakan nenek-moyang Rasyid berteduh di Semenanjung Malaysia. Setelah berjaya menyimpulkan kaitan keluarganya dengan Teluk Aru dan Pulau Kampai, juga sebuah pulau bernama Pulau Sembilan yang ada kena-mengena dengan Perak, barulah pemuda ini dapat masuk ke Aceh... Itupun cuma tiga hari tiga malam, setakat di Langsa yang jauhnya cuma 40km daripada sempadan.




Akhirnya keadaan membawa saya lebih jauh ke selatan lalu kembali ke Malaysia melalui Tanjung Balai ke Port Klang. Tapi itu cerita 8 tahun lalu ketika darurat masih menghambat. Setahun kemudian darurat diangkat... apabila peristiwa Tsunami 26 Disember 2004 yang mengorbankan lebih 200,000 penduduk Aceh memaksa pihak yang bertelagah memetrai perdamaian sambil pintu dibuka seluas-luasnya agar pertolongan dapat dibawa masuk untuk memulihkan keadaan. Jika dahulu saya terpaksa hampa meninggalkan Langsa ketika sudah bersemangat untuk menjejakkan kaki ke Perlak, 10 November 2011 pula saya tiada masalah. Dengan itu saya pun membawa isteri dan anak ke makam utama di Perlak, makam Sultan Maulana Sayyid Abdul Aziz Shah yang dikatakan mendirikan kerajaan Islam atau keSultanan Perlak 1,200 tahun lalu.

Proses menjejak perjalanan sebenar dalam siri novel "Berpetualang ke Aceh" pun tamat kerana selepas Langsa cerita membawa ke Pengkalan Brandan sebelum turun ke Medan lalu ke Batu Bara diikuti Tanjung Balai. Tetapi ini tidak bermakna cerita berkaitan tidak wujud malah ia membawa tema besar dalam siri. Cuma cerita tidak lagi dalam bentuk travelog tetapi kenyataan dan pengkajian tentang satu-satu tempat dan kerajaan. Biar diletakkan sedutan berkaitan daripada buku pertama saya "Berpetualang ke Aceh : Mencari diri dan erti" yang terbit Jun 2006. Dari mukasurat 35, pembukaan sebuah bab.



KESULTANAN
PERLAK
BERMULANYA
SEBUAH CERITA


Jauh sebelum muncul keSultanan Melayu Melaka, telah wujud sebuah keSultanan Islam bernama Perlak di bumi Serambi Mekah. Malah ketika moyang Sultan Melaka baru hendak mengenali apakah itu binatang yang bernama singa di Temasik, Perlak telah pun menjadi sebuah kuasa besar yang disegani di rantau ini.
Cuma ia dikira beraliran Syiah, berlawanan dengan fahaman Sunni atau Ahlus Sunnah Wal Jamaah. Maka itu Perlak tidak diiktiraf sejarawan sebagai kerajaan Islam tertua di Nusantara, tidak seperti Samudera Pasai yang dikatakan mendokong mazhab Shafie. Walaupun ia telah wujud 400 tahun sebelum Samudera Pasai, 600 tahun sebelum Melaka diasaskan, ia kurang diberi perhatian kecuali oleh mereka yang mengkaji lebih mendalam.




Sebenarnya saya dan isteri pernah sampai Jun 2009 (lihat artikel lama Ke makam Sultan Malikus Salih - Hikmah yang membawa persinggahan sebentar ke makam Sultan pertama Perlak...). Perjalanan dibuat ketika isteri 6 bulan mengandungkan Rasyid. Tetapi ia bermula selepas kami menaiki kapal terbang dari KLIA ke Banda Aceh jauh di utara, kemudian turun selatan ke Langsa sebelum naik balik ke Perlak. Biar diletakkan sedutan dari mukasurat 36 dan 37.



Dicatat dalam sejarah, pada awal abad ke 9 Masihi telah datang rombongan 100 orang pendakwah dari Timur Tengah berlabuh di Perlak, diketuai seseorang yang dikenali sebagai Nakhoda Khalifah. Mereka ini dikatakan telah melarikan diri daripada buruan kerajaan selepas gagal dalam percubaan menggulingkan pemerintahan Bani Abbasiyah.
Ahli rombongan ini dikatakan terdiri daripada keturunan Rasulullah SAW melalui puteri baginda Fatimah az-Zahrah dan suaminya, Saidina Ali bin Abi Talib Karamallahuwajha, juga para penyokong yang mahukan kepimpinan anak cucu Nabi. Termasuk di kalangan mereka adalah seseorang bernama Ali bin Muhammad bin Jaafar Al-Sadiq.
Ketika itu, Perlak sedang diperintah raja berketurunan Parsi, Merah Syahir Nuwi. Raja dan rakyat Perlak tertarik dengan akhlak ahli rombongan lalu menganut Islam, Rombongan itu dimuliakan dan Ali dikahwinkan dengan adik perempuan Raja Perlak yang bernama Makhdum Tansyuri.
Ada sumber menyebut nama penuh Ali ialah Ali Muktabar Muhammad bin Ad Diba’ie bin Jaafar As Siddiq. Tetapi Rasyid lebih cenderung mempercayai Ali adalah anak kepada Muhammad bin Jaafar as-Sadiq...
Apapun, Merah Syahir Nuwi mangkat sekitar 840 Masihi. Anak lelaki Ali dengan Makhdum Tansyuri pula diangkat menjadi raja baru Perlak, Sultan Alaiddin Sayyid Maulana Abdul Aziz Syah. Maka bermulalah keSultanan Islam Perlak yang akan menjangkau tempoh lebih 400 tahun.




Februari 2010 kami sampai lagi, bersama Rasyid yang sudah berumur 4 bulan. Ketika itu kami dibawa untuk menyambut Maulidur Rasul di Perlak. Maka kena sangatlah artikel ini dibuat hari ini apalagi orang yang dimakamkan memang Ahlul Bait keturunan Nabi Muhammad SAW dan baginda dianggap sebagai Ahlul Bait pertama dirajakan di Alam Melayu.



Tetapi perjalanan ketika itu juga dimulakan dari Banda Aceh. Baru kali ini saya dapat menuruti kembali laluan yang pernah diambil Januari 2004 sehingga dapat sampai ke Perlak sedangkan dahulu saya terpaksa berpatah balik dari Langsa. Maka apa yang tidak terlaksana 8 tahun lalu boleh dikira bersambung dalam perjalanan ini. Kelihatan di sini Sungai Perlak yang dipercayai dahulu jauh lebih besar sehingga membenarkan kapal-kapal dagang masuk ke dalam.




Sawah yang terletak berdekatan. Dipercayai di sekitar inilah terletak pusat pemerintahan yang diberi nama Bandar Khalifah sempena watak misteri Nakhoda Khalifah yang dikatakan memimpin rombongan 100 orang pendakwah ke Perlak. Sedutan mukasurat 44-45...



Seperti Bukhari al Jauhari yang menulis kitab Tajus Salatin, Rasyid percaya Nakhoda Khalifah juga tidak mahu diperkenalkan dengan nama sebenarnya. Bezanya, nama Bukhari itu telah diisytiharkan pada kitabnya sedangkan Nakhoda Khalifah adalah gelaran yang diberi oleh para pengikutnya, 100 orang pendakwah yang dipimpinnya ke Perlak.
Lalu siapakah orang yang mendapat gelaran Khalifah ini sehinggakan bandar utama dan pusat pemerintahan Perlak boleh ditukar nama menjadi Bandar Khalifah? Bukankah ini satu pengiktirafan yang sangat tinggi bagi seorang pendatang yang baru bertapak di Perlak?
“Orang yang dipanggil Nakhoda Khalifah ini mestilah lebih tinggi martabatnya daripada Merah Syahir Nuwi dan Ali bin Muhammad bukan?” Rasyid mengemukakan pertanyaan. Maka siapakah Nakhoda Khalifah?
Cerita lebih lanjut menyebut, rombongan 100 orang pendakwah ke Perlak itu datang selepas pemberontakan di bawah kepimpinan bapa Ali, Muhammad bin Ja’afar Al-Sadiq gagal untuk menggulingkan kerajaan Bani Abbasiyah. Muhammad yang pernah mengisytiharkan dirinya sebagai Khalifah di Mekah turut serta dalam rombongan ini.
“Tetapi nampaknya Muhammad ini bukanlah Nakhoda Khalifah.” Rasyid memberitahu rakan-rakan yang bertemu di Sri Hartamas. “Kalau ya, mesti sudah terdapat sumber sejarah menyebut rombongan ini dipimpin oleh Muhammad. Mengapa pula berselindung di sebalik gelaran? Mengapa tidak dipanggil Nakhoda Khalifah Muhammad, anak Imam Ja’afar al-Sadiq yang sangat terkenal di kalangan orang-orang Syiah?”
Anak muda itu tersenyum lalu memandang muka rakan-rakannya satu persatu sambil membaca reaksi mereka. Dia tahu secara rata, rakan-rakan dari golongan Yuppie, golongan muda berduit dan berkerjaya tinggi ini kurang berminat tentang sejarah Melayu lama. Tetapi Rasyid pula yang tidak dapat menahan dirinya daripada bercerita. Nampaknya dia terasa begitu perlu untuk meluahkan sesuatu yang sudah lama terbuku di dada...
“Jika Muhammad adalah keturunan Saidina Hussein, apakah mungkin Nakhoda Khalifah adalah seorang pemimpin berketurunan Rasulullah SAW yang lebih kanan, mungkin keturunan Saidina Hassan, kekanda Saidina Hussein?” sambungnya lagi, seolah-olah hendak menerbitkan thesis sejarahnya sendiri. Seolah-olah orang-orang di hadapannya tahu siapakah cucu-cucu Nabi ini dan peri-pentingnya mereka kepada umat Islam.
Allahumasali ala Muhammad wa ala ali Muhammad...




Dari kawasan sekitar makam yang terletak kira-kira 7 km ke pendalaman kami kembali ke pekan Perlak. Oh. Sebenarnya dari Langsa kami turun di sini dahulu sebelum mendapatkan kenderaan awam untuk masuk ke makam. Di sini tidak ada 'angkut' (van yang berperanan seperti bas mini) mahupun becak atau beca bermotorsikal untuk ke kawasan pendalaman. Yang ada cuma 'ojek' atau motosikal sewa di mana kita menjadi pembonceng. Kami perlu mendapatkan dua 'ojek' untuk masuk ke dalam.




Papantanda di atas jalan ke kawasan pendalaman dan makam. Nampaknya ada usaha untuk menyemarakkan kembali sejarah keSultanan Perlak yang sebenarnya sangat hebat!



Beginilah keadaan pekan Perlak. Di kanan belakang papan iklan terdapat pejabat polis... teringat bagaimana semasa pertama kali sampai di Jun 2009 kami mendapatkan polis pengiring sebelum ke makam. Kerana semasa itu masih ada lagi saki baki pemberontak yang boleh membahayakan.



Ini adalah bangunan madrasah yang terdapat di belakang masjid utama pekan. Lihat artikel Masjid (Mosque of) Zadul Muad, Perlak di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).





Saya tertarik kerana ada nama Nakhoda Khalifah. Sekarang biar diletakkan sedutan panjang lebar dari mukasurat 46-50.


Ada tercatat dalam beberapa buku sejarah kedatangan Islam ke Nusantara bahawa kemunculan rombongan Nakhoda Khalifah di Perlak berkait rapat dengan pergolakan politik empayar Islam di Timur Tengah. Tetapi buku-buku ini sekadar mengaitkannya dengan kemunculan keKhalifahan Bani Abbasiyah yang berjaya menjatuhkan pemerintahan Bani Umaiyah. Rasyid pula pergi lebih jauh sehingga mengaitkan semua ini dengan pertentangan menantu Rasulullah SAW, Saidina Ali Karamallahuwajha dengan Muawiyah, anak pembesar Mekah, Abu Sufyan. Mengikut sesetengah pihak, pertentangan ini juga mengakibatkan umat Islam berpecah dua kepada golongan Sunni dan Syiah.
“Zaman sekolah dahulu aku diajar bahawa Muawiyah telah diangkat sebulat suara menjadi Khalifah menggantikan Saidina Ali yang mati syahid ditikam ketika sedang menunaikan solat di sebuah masjid oleh golongan Khawarij yang memusuhi kedua-dua Saidina Ali dan Muawiyah,” dia meneruskan. “Apa yang aku tidak tahu ketika itu adalah wujudnya seorang Khalifah lain sebelum Muawiyah iaitu Saidina Hassan, cucu sulung Rasulullah SAW yang diangkat selepas kemangkatan ayahandanya.”
Malangnya, tidak semua buku sejarah Islam mencatatkan keKhalifahan cucu Nabi itu. “Muawiyah pula diabadikan sebagai Khalifah selepas pemerintahan Khulafa’ ar Rasyidin - Saidina Abu Bakar, Umar, Uthman dan Ali,” sambung pemuda itu. “Sedangkan Muawiyah telah menggunakan kuasa, pengaruh dan harta kekayaannya sebagai Gabenor Damsyik untuk menjatuhkan Saidina Ali kemudian Saidina Hassan.”
“Eh... tidak baik kamu berkata begitu,” Nasri memintas. “Bukankah Muawiyah itu seorang sahabat Nabi?” katanya membela ‘sahabat’.
Rasyid tersenyum sinis. Kemudian bertanya balik: “Sahabat kamu kata? Kamu tahu tidak, bapa Muawiyah iaitu Abu Sufyan, seorang ketua Mekah berbangsa Quraish pernah cuba menghapuskan Rasulullah SAW dan agama Islam? Ibunya Hendon pula pernah melapah dada bapa saudara Nabi, Saidina Hamzah yang gugur syahid dalam Perang Uhud?”
Nasri menelan air liur. Perbincangan menjadi semakin serius...
“Baca balik sejarah Islam!” rakannya menegur kasar. “Muawiyah sanggup melakukan tipu daya politik untuk meraih pengaruh dan memencilkan Saidina Hassan lalu memaksa cucu Nabi itu melepaskan takhta keKhalifahan kepadanya. Malah dia sanggup mengupah seorang isteri Saidina Hassan untuk meracuni baginda hingga mati!”
Nasri terdiam sejenak. Dahinya berkerut-kerut memikirkan sesuatu. Beberapa detik kemudian barulah dia bertanya: “Mana kamu tahu Muawiyah yang suruh? Aku pun ada baca sejarah Islam, bukan kamu seorang... Setahu aku Saidina Hassan tidak pernah memberitahu siapakah yang meracuni dia. Mungkin orang lain yang suruh, bukannya Muawiyah?”
Rasyid sedar dia sudah emotional lalu beristighfar dalam hati. Kalau marah pun, takkan kawan di depan ni pula yang kena ‘sembur’...
Sorrylah kalau aku terkasar tadi,” dia meminta maaf. Kemudian baru menyambung dengan nada perlahan. “Sebenarnya Saidina Hassan memang tahu Muawiyah yang suruh tetapi baginda sengaja tidak mahu beritahu”
“Alah... Mana kamu tahu?” Nasri memotong...
“Kisah ini ada diriwayatkan sesetengah sejarawan Islam,” Rasyid pun menerangkan. “Saidina Hussein pernah bertanya siapakah yang bertanggungjawab meracuni Saidina Hassan tetapi baginda tidak beritahu kerana tidak mahu adindanya membalas dendam. Tidak mahu umat Islam terus berbalah, terus berperang sesama sendiri.”
Kata pemuda itu lagi, bukan dia sahaja yang berfikiran begitu. Ramai juga yang mengetahui cerita ini lebih-lebih ahli keluarga Sayyid dan Sharifah, keturunan anak cucu Rasulullah SAW. “Kalau kamu hendak tahu, mereka (keluarga Sayyid)lah yang mula-mula beritahu aku tentang ini. Sebab yang dianiaya ini nenek moyang mereka juga...”
Nasri mengangguk tetapi belum cukup yakin. “Entahlah... aku tak berani nak cakap. Aku boleh fahamlah kalau keluarga Sayyid marah pada Muawiyah. Yang aku tidak faham mengapa kamu pula yang emotional?”
Rasyid tersenyum panjang . “Adalah sebabnya... Tentang itu, satu hari aku akan beritahu nanti,” jawabnya ringkas. “Yang penting, kita mahu mencari kebenaran, hendak tahu apakah yang sebenarnya telah berlaku dahulu kerana sejarah boleh diubah oleh pihak yang berkepentingan sedangkan ini melibatkan masa hadapan umat Islam! Apa yang berlaku dahululah yang menyebabkan ummah berpecah-belah jadi berpuak-puak, jadi berbagai-bagai fahaman. Masing-masing merasa mereka sahaja yang betul-betul Islam lalu akhirnya senang-senang ditindas penjajah.”
Mereka terdiam sejenak. Kawan-kawan lain masih belum kembali ke meja makan. Entah apakah yang dilakukan di Seven-Eleven... Betulkah mereka pergi ke sana? Atau semuanya dah ‘cabut’ sebab boring nak dengar cerita Melayu lama yang bersulam dengan sejarah silam Islam?
“OK... Mungkin kamu susah hendak menerima cerita aku setakat ini mengenai sejarah awal Islam selepas Rasulullah SAW wafat sebab kamu percaya Muawiyah itu seorang sahabat yang tidak boleh dipertikaikan keikhlasannya,” Rasyid cuba menukar cara pendekatan cerita. “Sekarang, apakah pendapat kamu tentang Yazid, anak Muawiyah? Bukankah dia bertanggungjawab membunuh Saidina Hussein serta ramai anak cucu Nabi di Karbala?” dia cuba menduga pemikiran rakannya pula.
“Hmm... Itu aku tidak ada masalah,” jawab Nasri. “Satu dunia pun tahu tentang peranannya memerintah sebuah angkatan untuk memintas lalu membunuh rombongan Saidina Hussein yang sedang berangkat dari Madinah ke Kufah... Memang dia bertanggungjawab ke atas pembunuhan itu. Tetapi kita kan sedang bercakap tentang Perlak. Bagaimana pula boleh melompat sampai ke cerita Yazid dan Muawiyah?” dia bertanya.
Rasyid ketawa kecil. “Hah... Biarlah aku habis bercerita dahulu... Barulah boleh betul-betul faham. Lepas itu nak komen, komenlah. Berilah peluang aku melepaskan geram... Kamu bukan tidak kenal aku. Cerita mungkin bersimpang-siur tetapi adalah conclusionnya.”
Nasri pula tergelak. “Yalah. Kamu ni tak ubah-ubah perangai dari dulu. Bercakap mesti nak menang aje. Teruskanlah...”
“Hah... begitulah anak bapak,” Rasyid berseloroh kemudian menyambung. “OK... aku serius ni... Aku rasa kamu tentu tahu, bermula dari Yazid, anak cucu Muawiyah berkuasa ke atas takhta keKhalifahan Islam lalu menerbitkan apa yang dikenali sejarah sebagai kerajaan Bani Umaiyah.”
Nasri mengangguk. Dia pun tahu sedikit-sebanyak tentang ini...
“Sekarang, aku hendak bercerita sesuatu yang tidak semua orang tahu. Kecuali mereka betul-betul peka terhadap sejarah perkembangan Islam.” Rasyid menarik nafas kemudian bertanya: “OK. Kamu boleh terima tak walaupun Muawiyah adalah seorang sahabat, dia pernah bertelagah dengan Saidina Ali kemudian Saidina Hassan?”
No problem... Go on,”
“Dan kamu tahu kan, kecuali semasa zaman Khalifah Umar ibnu Aziz, para Khalifah Bani Umaiyah diketahui kejam dan suka berpoya-poya?”
“Hmm...”
“Sebab itu rakyat Islam tidak berpuas-hati. Maka wujudlah gerakan-gerakan untuk menjatuhkan pemerintahan Bani Umaiyah. Termasuk gerakan pimpinan anak cucu bapa saudara Nabi, Saidina Abbas...”
Rasyid memberi amaran awal: “Sekarang, kamu cuba telan dahulu cerita aku bulat-bulat. Tengok apa yang kamu dapat tangkap.”
Nasri memandang penuh perhatian. Peguam muda yang memiliki syarikat guaman sendiri ini boleh melihat rakannya serius...
“Masyarakat Islam sudah lama mahukan kepimpinan yang baru,” penerangan dimulakan. “Tetapi mereka lebih menginginkan seseorang daripada keturunan Rasulullah SAW untuk menerajui keKhalifahan umat Islam lebih-lebih lagi kerana kedudukan ini asalnya telah dirampas secara helah daripada tangan cucu sulung baginda, Saidina Hassan. Maka selepas hampir 100 tahun Bani Umaiyah memerintah, selepas beberapa percubaan awal menggulingkan mereka gagal, muncullah sebuah gerakan besar dengan sokongan anak cucu Saidina Abbas yang mengemukakan seorang calon keturunan Saidina Hassan iaitu Muhammad Nafs al Zakiyah (nafas suci) untuk mengembalikan kedaulatan zuriat Rasulullah SAW.”
“Kebetulan namanya serupa dengan nama Rasulullah SAW iaitu Muhammad bin Abdullah. Bukankah Nabi pernah membayangkan Imam Mahdi yang ditunggu-tunggu sebagai pembela umat Islam akhir zaman juga bernama Muhammad bin Abdullah? Maka ramailah orang termasuk kaum Bani Abbas berbai’at, bersumpah taat setia kepada Muhammad Nafs al Zakiyah lalu mengakuinya sebagai Khalifah umat Islam yang sah. Dipendekkan cerita, kerajaan Bani Umaiyah pun berjaya digulingkan.”
Rasyid menghirup air membasahkan tekak. “Malangnya, Bani Abbas memungkiri janji dengan mengangkat ahli keluarga mereka, Abul-Abbas Al-Saffah sebagai Khalifah. Muhammad pula dipinggirkan malah dilayan seperti pelarian. Rupa-rupanya kaum Bani Abbas tidak banyak beza dengan Bani Umaiyah yang sering menindas dan memburuk-burukkan anak cucu Nabi. Malah sikap mereka boleh dikira lebih teruk lagi kerana mereka juga adalah kaum kerabat Rasulullah SAW yang berasal dari Bani Hashim.”
Nasri mengangguk bersetuju. Dia boleh menerima semua ini...
Anak muda itupun menyambung: “Selepas Abul-Abbas Al-Saffah meninggal dunia, seorang lagi ahli keluarga Bani Abbas diangkat menjadi Khalifah. Muhammad Nafs al Zakiyah yang telah mengetuai beberapa pemberontakan untuk menuntut hak keKhalifahan pun meningkatkan tentangan tetapi gagal. Bahkan kaum kerabatnya ditangkap dan dibunuh. Anaknya Ali dibunuh di Mesir, begitu juga Abdullah di Sind. Seorang lagi anaknya, Al-Hassan ditangkap di Yaman dan mati dalam penjara.”
“Wow! Mana kamu dapat cerita ini? Aku tidak pernah dengar pun?” Nasri menyampuk. Hairan juga dengan pengetahuan luas rakannya...
“Adalah, aku buat research,” jawab Rasyid. “Kenapa? Tak percaya ke? Aku boleh tunjuk buktinya. Eh. Kamu kan sudah janji nak pasang telinga? Dengar sahajalah dulu. Banyak songel pulak kamu ni...” dia berseloroh.
“OKlah... Tuanku. Mohon patik ampun beribu-ribu lemon...”
“Sudah... Eh... Mana aku tadi. Hah... Kaum kerabat yang dibunuh... Saudara Muhammad Nafs al Zakiyah, Idris pula diracun dan mati di Maghribi. Seorang lagi saudara, Yahya telah mengisytiharkan perang terhadap kerajaan Bani Abbasiyah di Basra tetapi dibunuh ketika sedang mengetuai sebuah angkatan kecil menuju ke Kufah. Menurut catatan rasmi, Muhammad Nafs al Zakiyah sendiri mati terbunuh di Madinah. Tetapi cerita kekejaman Bani Abbasiyah ini kurang diberi perhatian malah mereka sering diagung-agungkan sebagai peneraju kegemilangan Islam.”
“Begitulah yang terjadi apabila berlaku perebutan kuasa,” Nasri mencelah. “Sejarah boleh diubah untuk memenang serta mengagungkan pihak yang berkuasa di samping memencil dan menidakkan yang haq.”
“Memanglah,” kata Rasyid. “Mereka bukan sahaja sanggup memburu dan membunuh ahli keluarga yang lebih berhak memimpin ummah malah sanggup mengupah dan memaksa para ilmuwan mengubah sejarah demi menghalalkan cengkaman mereka dan keturunan mereka ke atas takhta. Tetapi walaupun Muhammad Nafs al Zakiyah dikatakan mati dibunuh, aku percaya bagindalah Nakhoda Khalifah yang memimpin rombongan 100 orang pendakwah dari Timur Tengah yang datang ke Perlak.”
“Ahah!” Nasri mencelah lagi. “Jadi inilah kaitan cerita kamu yang panjang-lebar ini dengan keSultanan Perlak?” dia bertanya pula.
“Begitulah alkisahnya...” jawab rakannya itu. “Walaupun menurut satu cerita, kepalanya telah dipancung lalu ditunjukkan kepada ayahandanya, Abdullah al Kamil yang dipenjarakan di Baghdad, apakah tidak mungkin baginda berjaya meloloskan diri lalu lari jauh dari segala kekacauan di Timur Tengah? Lagipun memang rombongan ini datang tidak lama selepas pemberontakan Muhammad terhadap Bani Abbasiyah gagal. Mungkin baginda sengaja diisytiharkan mati supaya tidak terus diburu? Supaya dapat mengorak langkah di tempat yang lebih selesa dan selamat?”
Nasri mengangguk faham. Kalau betullah apa yang diceritakan Rasyid, boleh tahan ‘dahsyat’ jugalah sejarah kemunculan keSultanan Perlak!



Seterusnya kami makan minum di kedai berdekatan.




Tidak lama kemudian kami mendapat kenderaan untuk meninggalkan Perlak. Ketika gambar diambil kamera menunjukkan jam 4.43 petang. Tapi itu waktu Malaysia. Waktu tempatan lambat sejam iatu 3.43.





Kami pun bergerak lebih jauh ke utara. Saya tidak ingat di manakah ini. Yang pasti kami sudah berjalan sejam. Ini mungkin di bandar Idi.


Setengah jam kemudian sampai di sini.



Hampir waktu Maghrib turun di masjid ini.





Di sinilah kami mandi-manda membersihkan dan menyegarkan badan sebelum bersolat Maghrib dan menjamakkan Isyak. Ternyata ia persinggahan tepat untuk perjalanan seterusnya. Lihatlah nama yang tertera. Lihat artikel Masjid Besar (Big mosque of) Sultan Malikus Saleh, Samudera. Siapa itu Sultan Malikus Saleh? Biar diletakkan sedutan berkaitan dari buku pertama saya. Permulaan bab terakhir sebelum penutup... mukasurat 227-229.




SAMUDERA PASAI:
BUMI PARA WALI

“Sepeninggal aku telah wafat kelak,
akan muncul sebuah negeri di bawah angin, Samudera namanya.”
“Apabila terdengar kamu nama negeri itu, maka suruhlah sebuah bahtera untuk membawa perkakas dan alat kerajaan ke negeri itu,
serta kamu Islamkan sekalian isi negeri itu,
serta ajar mereka mengucap dua kalimah syahadat.
Kerana dalam negeri itu kelak banyak orang yang akan menjadi wali Allah.”
“Tetapi semasa kamu hendak pergi ke negeri itu,
hendaklah kamu singgah mengambil seorang fakir di negeri Mengiri,
bawalah fakir itu bersama-sama belayar ke negeri Samudera itu.”

- Sabda Rasulullah SAW dalam kitab Hikayat Raja-raja Pasai.


Pada satu hari, Merah Silu keluar memburu bersama orang-orangnya membawa anjing pemburunya, si Pasai. Sampai ke satu tempat, baginda menitahkan supaya anjing itu dilepaskan. Seketika kemudian si Pasai menyalak pada satu tanah tinggi. Rupa-rupanya, ia ternampak seekor semut besar, hampir seekor kucing besarnya!
Merah Silu pun menyuruh orang-orangnya menangkap semut itu lalu dibawa pulang ke istana. Entah mengapa, semut itu terus dimakan baginda. Kemudian Merah Silu menyuruh orang-orangnya menebas dan menerangkan tempat tadi kerana raja itu hendak membuat negeri. Baginda pun membangunkan sebuah istana yang cukup lengkap dengan kota dan paritnya serta sebuah penempatan.
Selepas siap segalanya, Merah Silu dan orang-orangnya pun berpindahlah ke negeri yang baru dibuka. Maka negeri itu dinamakan baginda Samudera, ertinya semut besar...

————————

Rasyid tertarik apabila mendapat tahu kitab Hikayat Raja-raja Pasai ada menceritakan Nabi Muhammad SAW pernah berpesan kepada seorang sahabat, satu hari nanti akan muncul negeri bawah angin bernama Samudera. Apabila ini terjadi hendaklah dihantar orang membawa perkakas dan alat kerajaan ke sana dan Islamkan sekalian isi negeri kerana di situ ramai orang akan muncul menjadi wali. Rasulullah SAW juga berwasiat supaya rombongan ini singgah di negeri Mengiri mengambil seorang fakir untuk dibawa bersama ke Samudera. Kitab Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu karangan Tun Sri Lanang ada meriwayatkan cerita yang sama tetapi menyebut negeri itu bernama Muktabar pula.
Wasiat itupun sampai kepada Sharif Mekah iaitu Raja yang memerintah Mekah dan sekitarnya, Madinah dan wilayah Hijaz. Menurut satu kisah, baginda mendapat tahu tentang kewujudan Samudera daripada jemaah haji Nusantara yang datang ke Mekah lalu menitahkan supaya diperbuat sebuah bahtera untuk membawa perkakas dan alat kerajaan ke sana. Seorang ulamak besar bernama Sheikh Ismail dijadikan mualim atau nakhoda kapal. Beliau dan orang-orangnya pun belayar ke negeri Mengiri seperti diwasiatkan Nabi, sebuah negeri yang terletak di benua Hindi...
Adapun negeri Mengiri ini diperintah oleh seorang raja bernama Sultan Muhammad. Menurut ceritanya, baginda berasal dari keturunan sahabat karib Rasulullah SAW, Saidina Abu Bakar Al-Siddiq Radiallahuanhu, Khalifah pertama umat Islam.
Sebaik sahaja mendapat tahu ada kapal hendak ke Samudera atas titah Sharif Mekah dan diketuai Sheikh Ismail berlabuh di negerinya, baginda terus turun takhta lalu menabalkan seorang anaknya sebagai Raja Mengiri yang baru. Malah baginda juga melucutkan pakaian kebesaran kerajaan di tubuh-badannya lalu menukarkannya dengan pakaian seorang fakir!
Raja yang telah menjadi fakir inipun membawa seorang anaknya yang muda untuk turut serta meninggalkan istana dan menjadi fakir. Mereka pergi berjumpa Sheikh Ismail lalu meminta supaya dibawa belayar ke Samudera untuk bersama menunaikan wasiat Nabi...



Selepas solat kami makan di kedai berdekatan. Adapun masjid ini terletak hampir ke pekan Geudong, tidak jauh dari simpang untuk masuk ke makam Sultan Malikus Saleh. Sedutan melompat ke mukasurat 231-232.


Rombongan Sheikh Ismail yang disertai Fakir Muhammad itupun belayar mencari negeri Samudera. Tetapi mereka tidak pasti di manakah letak kedudukannya sehingga tersasar ke Barus, Lamuri dan Perlak.
Rombongan ini singgah ke negeri-negeri itu untuk mengIslamkan raja dan penduduknya tetapi apabila disuruh membaca Quran yang dibawa dari Mekah, tiada seorang pun dapat membacanya...
Maka tersebutlah kisah Merah Silu di Samudera. Pada suatu malam, sedang baginda lena beradu, maka bermimpilah ia melihat seorang tua berbaju jubah datang seraya memegang dagu Merah Silu dan menutup mata baginda dengan tangannya.
Kata orang tua yang muncul itu: “Hai Merah Silu, ucaplah olehmu akan kalimah syahadat”.
Maka sahut Merah Silu: “Bagaimana hamba hendak mengucap kalimah syahadat itu?”
Ujar orang tua itu: “Bukalah mulutmu.”
Merah Silu pun membuka mulutnya lalu diludahi orang itu.
Orang tua itupun mengisytiharkan: “Hai Merah Silu, engkaulah raja negeri ini dan namamu Sultan Malikus Salih. Segala binatang yang kamu sembelih halal kamu makan, tetapi jangan memakan binatang yang tidak bersembelih. Sekarang kamu adalah dalam syariat agama Islam, iaitu agama Allah. Dalam empat hari lagi akan sampai sebuah kapal dari Mekah, maka hendaklah kamu turut apa juga yang dikatakan orang kapal itu, jangan kamu bantah atau lawani sebarang kata mereka itu.”
Merah Silu bertanya: “Siapakah kamu ini?”
Maka sahut suara orang tua berjubah dalam mimpi itu: “Akulah Nabi Muhammad SAW yang di Mekah.”

————————

Orang tua itu melepaskan dagu Merah Silu daripada tangannya lalu berkata: “Hai Merah Silu, tunduklah kamu ke bawah.”
Merah Silu pun tunduk lalu terjaga daripada beradu. Kemaluannya pula terasa seperti sudah dikhatankan orang... Boleh dilihat kesannya nyata pada tubuh-badan, bukannya khayalan. Baginda juga sentiasa mengucapkan kalimah syahadat tiada berhenti, kemudian membaca Al-Quran tiga puluh juzuk dengan lancar sehingga tamat. Segala orang-orang besar dan menteri hulubalang sekalian pun merasa hairan mendengar apakah yang disebut raja mereka kerana belum pernah mendengar sebutan yang demikian.
Tidak lama kemudian, rombongan Sheikh Ismail pun sampai ke Teluk Terai lalu berlabuh di situ. Fakir Muhammad bertemu seorang nelayan lalu bertanya “Apakah nama negeri ini?”
Jawab nelayan itu: “Negeri ini namanya Samudera.”
Beliau bertanya lagi: “Siapakah nama penghulunya?”
Sahut sang nelayan: “Nama penghulu atau raja negeri ini Merah Silu, gelarannya Sultan Malikus Salih.”
Selepas mendengar ini, fakir itupun kembali naik ke bahteranya lalu terus belayar ke kuala Samudera. Setelah semalaman belayar, rombongan tersebut sampailah ke pusat negeri dan kerajaan. Mereka pun naik ke darat lalu terus masuk menghadap rajanya Merah Silu.
Setelah bersua muka, Sheikh Ismail pun berkata: “Hai Merah Silu, ucap dan sebutlah olehmu akan kalimah syahadat.”
Merah Silu mengucapkan kalimah suci itu dengan petah, tiada sedikit jua pun bersalahan. Rombongan ini berpuas hati kerana raja itu sudah tahu menyebutnya dengan sempurna.
Keesokannya, Sheikh Ismail dan Fakir Muhammad masuk menghadap lagi, kali ini dengan membawa kitab suci Al-Quran yang dibawa mereka dari Mekah. Inilah ujian utama yang akan menentukan segala cerita...
Merah Silu menyambut kitab itu penuh hormat, seraya dijunjung dan dikucupnya dengan rasa merendah diri. Kitab itupun dibuka baginda dan dibacanya di hadapan mereka dengan fasih dan lancar. Alhamdulillah, tiadalah payah diajar lagi membaca Al-Quran. Ternyata inilah orang serta negeri yang dicari rombongan itu selama ini...
Sheikh Ismail dan Fakir Muhammad pun mengucapkan syukur kepada Allah Subhanahuwata’ala kerana telah berjaya menemui negeri Samudera seperti yang tersebut dalam wasiat Rasulullah SAW.
Hatta Sheikh Ismail memohon Sultan menghimpunkan sekalian orang-orang besarnya serta rakyat dari segala ceruk rantau. Setelah dihimpunkan, mereka pun diajar mengucap kalimah syahadat dengan meyakinkan maknanya dalam hati masing-masing.
Maka akhirnya negeri Samudera pun disebut Darul Islam atau Darussalam. Kerana penduduk negeri itu masuk Islam tiada perlu dipaksa atau diperangi. Jadilah ia daerah kesejahteraan...




Malam itu malam Jumaat. Bukan sahaja itu... bulan pun penuh kerana sudah masuk 15 Zulhijjah! Sedutan daripada mukasurat 234...


Selesai sahaja pengIslaman Samudera, Sheikh Ismail pun menyuruh orang-orangnya menurunkan segala alat dan perkakas yang dibawa dari Mekah untuk disampaikan kepada Sultan Malikus Salih.
Hikayat Raja-raja Pasai menceritakan: Maka pada ketika dan saat yang baik, berhimpunlah segala para menteri, hulubalang, orang-orang besar dan sekalian rakyat dari segala teluk rantau datang mengadap baginda. Sultan Malikus Salih pula memakai selengkapnya pakaian kebesaran yang turut dibawa dari Mekah kerana baginda hendak ditabalkan sekali lagi, kali ini menurut cara pertabalan Raja-raja Islam.
Sekalian orang-orang besar, para menteri, hulubalang dan rakyat yang hadir pun duduk bersaf-saf di balairong seri mengadap. Sekalian bentara berdiri di tempat masing-masing untuk menunaikan pekerjaan. Nobat Ibrahim Khalilullah diletakkan di hadapan baginda dan bermulalah upacara. Semuanya teratur penuh istiadat...
Gendang nobat pun dipalu orang lalu sekalian orang yang mengadap mengangkat sembah dan berkata: “Daulat dirgahayu tuanku dzillullahu fil’ alam (bayangan Tuhan di alam ini)”.
Maka rasmilah pertabalan Sultan Malikus Salih menurut cara Islam, disaksikan Sheikh Ismail dan Fakir Muhammad.
Selesai segala adat istiadat dan selepas duduk beberapa lama di Samudera, Sheikh Ismail pun bermohon hendak kembali ke negerinya. Sultan Malikus Salih menyampaikan hadiah daripada berjenis-jenis barang iaitu ambar, kapur barus, gaharu, cendana, kemenyan, khalambah, lada hitam, cengkih dan sebagainya, semuanya barangan berharga sebanyak kira-kira tiga bahara, setengahnya untuk Sharif Mekah.
Sheikh Ismail pun belayar meninggalkan Samudera. Tinggallah Fakir Muhammad dan anaknya terus mengembangkan ajaran Islam.



Dengan menaiki 'ojek' kami pun sampai ke makam Sultan Malikus Saleh. Subhanallah. Ini benar-benar menyambung perjalanan yang tergendala 8 tahun lalu walaupun ia adalah kali ke-5 saya (ke-4 buat isteri) sampai ke sini. Lihatlah hajat yang termaktub dalam buku "Berpetualang ke Aceh : Mencari diri dan erti" mukasurat 225...


Malam itu, Rasyid dijemput seorang pengunjung tetap Babussalam untuk tidur di rumah suluk berhadapan makam Sheikh Abdul Wahab. Hamba Allah sebaya ayah dan berasal dari Medan ini memberitahu itulah rumah suluk almarhum semasa beliau masih hidup, tempatnya menajamkan mata hati dan makrifat terhadap Allah Subhanahuwata’ala.
Pengunjung lain di rumah suluk itu yang berasal daripada pelbagai pelusuk Sumatera juga mengajak pemuda ini supaya duduk lebih lama. Kalau boleh 40 hari, paling kurang pun tujuh. Mereka seronok apabila mendapat tahu Rasyid orang Malaysia dan ingin mengenalinya lebih dekat. Memang terdapat warga Malaysia yang rajin datang ke Babussalam dan orang-orang di sini nampaknya sukakan orang Malaysia, tidak tahulah mengapa... Adakah kerana orang Malaysia banyak duit? Harap-harap tidak...
Tetapi pemuda itu menjawab dia tidak boleh duduk lama kerana ada rancangan lain. Mereka terus memujuk. “Kalau tak dapat lama, tiga hari pun jadilah. Kalau mahu merasakan kelebihan Babussalam...”
Rasyid cuma tersenyum sahaja. Katanya cukuplah satu malam. Melihatkan permainan duit yang tidak putus hari itu, dia merasa tidak selesa untuk menetap lebih lama tetapi tidak menyatakan apa yang terbuku dihatinya. Harus juga menjaga perasaan orang lain walaupun pemuda ini kadang-kadang mulutnya lancang...
Lagipun dia sudah menunaikan janji kepada diri sendiri untuk bermalam di Kampung Babussalam, sudah melihat sedikit-sebanyak isinya walaupun setakat satu malam. Sudah masuk pintu kesejahteraan walaupun ia sekarang bergelumang dengan permainan wang. Sekarang sampailah masanya untuk pemuda ini masuk ke daerah kesejahteraan. Maka target seterusnya adalah bermalam Jumaat, malam esok di Aceh Darussalam...



Adapun kali pertama saya sampai Jun 2009 juga boleh dikira menyambung hajat perjalanan 8 tahun lalu. Ini kerana selain ke Langsa kemudian naik ke Perlak kami juga sampai ke makam Sultan Malikus Saleh malam Jumaat. Lihat artikel lama Ke makam Sultan Malikus Salih - Akhirnya... kembali ke makam nenda!. Dalam lawatan kedua Februari 2009 pun kami sampai malam Jumaat. Lihat Petualangan Al-Rasyid ke Aceh : Dari Banda Aceh menurut misi ke Lhokseumawe.... Lawatan ketiga dibuat pagi Jumaat (lihat Petualangan Al-Rasyid ke Aceh : Menjejak kegemilangan Samudera-Pasai) sedangkan lawatan keempat adalah pada Sabtu malam Ahad . Lihat Maulidur Rasul di Aceh : Makam Sultan Malikus Salih!.

Namun perjalanan terbaru ini dikira benar-benar menyambung perjalanan 8 tahun lalu kerana ia dibuat setelah menjejak kembali laluan dan tempat-tempat yang pernah dilawati Januari 2004. Dengan itu biar diberi sedutan daripada mukasurat 257-259 sebagai penutup artikel, sedutan dari bab "Samudera Pasai : Bumi para wali"... setelah beberapa aspek kewujudan hadis dan jenis-jenisnya diperdebatkan panjang lebar untuk menyokong sabda Rasulullah SAW yang disebut di dalam kitab Hikayat Raja Pasai. :]



Kebetulan wasiat mengenai Samudera itu disempurnakan anak cucu Nabi sendiri dan orang-orang terdekat dengan baginda. Misalnya Sharif Mekah yang menitahkan Sheikh Ismail supaya pergi mencari negeri Samudera untuk melaksanakan wasiat itu.
Tahukah anda siapa itu Sharif atau Raja Mekah? Kalau hendak tahu kajilah sejarah awal Islam dalam-dalam! Mereka ini adalah keturunan anak cucu Nabi daripada sebelah Saidina Hassan...
Selepas keKhalifahan Islam jatuh ke tangan Bani Umaiyah, kekuasaan ke atas Mekah telah ditarik-balik daripada Bani Hashim iaitu kaum kerabat Nabi yang telah berkurun-kurun menjadi penguasa Mekah, bermula dengan moyang mereka Nabi Ismail AS yang menemui telaga Zam-zam. Penindasan demi penindasan terhadap anak cucu Rasulullah SAW diteruskan pula oleh para pemerintah Bani Abbasiyah yang berjaya menjatuhkan keKhalifahan Bani Umaiyah abad ke 8 Masihi, selepas mendapat sokongan rakyat dengan memakai nama seorang anak cucu Saidina Hassan bernama Muhammad Nafs Al-Zakiyah, kononnya untuk diangkat sebagai Khalifah pertama berketurunan Nabi selepas Saidina Hassan dijatuhkan oleh Muawiyah.
Tetapi penguasaan pemerintahan Bani Abbasiyah terhadap wilayah-wilayah Islam yang semakin membesar akibat penaklukan demi penaklukan yang berterusan tidak sekuat cengkaman Bani Umaiyah dahulu. Tidak lama selepas memegang tampuk kekuasaan, beberapa wilayah telah melepaskan diri lalu menerbitkan keSultanan-keSultanan sendiri. Apapun, kecuali dua tiga pihak yang ingin mendirikan daulah bebas malah bersaing pula sebagai keKhalifahan sendiri seperti Daulah Fatimiyah di Mesir, mereka masih menerima keKhalifahan Bani Abbasiyah yang berpusat di Baghdad sebagai penaung seluruh umat Islam walaupun hanya sebagai lambang.
Sekitar abad ke 13 Masihi, telah terjadi satu kekacauan besar akibat pergolakan politik di Mekah. Rakyat yang tidak senang dengan keadaan ini telah meminta seorang pembesar berketurunan Saidina Hassan bernama Qitada untuk campur tangan menenangkan keadaan. Lalu pembesar yang berpusat di Yanbu ini telah mengarahkan anak-anaknya untuk membawa sebuah angkatan untuk menawan Mekah.
Sejak itu, kota suci inipun jatuh ke bawah kekuasaan keturunan Saidina Hassan yang juga merupakan cabang keturunan Bani Hashim. Mereka mendapat pengiktirafan Bani Abbasiyah sebagai khadamul haramaian atau penguasa dua kota suci Islam, Mekah dan Madinah lalu mula memakai gelaran Sharif di pangkal nama, seperti yang pernah digunakan nenek-moyang mereka Bani Hashim yang memerintah Mekah dahulukala. Maka timbullah gelaran bangsawan yang dikenali sebagai Sharif Mekah...
Ada pihak percaya, Sharif Mekah mendapat tahu tentang kewujudan Samudera daripada para jemaah haji Nusantara yang datang ke Mekah. Tetapi tidak dapat dipastikan daripada manakah baginda mendapat wasiat Nabi mengenai negeri itu, apakah ia melalui keluarganya daripada jalur keturunan Saidina Hassan atau ada pihak lain yang menyimpan wasiat itu lalu menyampaikannya apabila sampai masanya...
Apapun, sudah ditakdirkan negeri Samudera yang diasaskan Sultan Malikus Salih sekitar tahun 1250an (ada yang kata awal 1260an) muncul beberapa tahun selepas Mekah mula diperintah keturunan Saidina Hassan. Maka wasiat Rasulullah SAW inipun disempurnakan Sharif Mekah seperti yang diceritakan di dalam Hikayat Raja-raja Pasai.

—————————

“Kamu tahu tak, selain Sharif Mekah, wasiat itu juga disempurnakan oleh seorang Sultan berketurunan Saidina Abu Bakar Al-Siddiq iaitu Sultan Muhammad yang sanggup turun takhta menjadi fakir semata-mata untuk turut serta menjalankan amanah Nabi?” Rasyid masih cuba meyakinkan Badrul. “Ini diperkuatkan dengan kehadiran Sultanul Ariffin, Sultan orang-orang arif iaitu Sheikh Ismail yang diketahui memiliki nasab keturunan Saidina Hassan daripada sebuah jurai yang amat diagung-agungkan dalam dunia pengajian Tasawuf dan orang-orang Sufi iaitu keturunan Sultanul Awliya, raja para wali Sheikh Abdul Qadir Al-Jilani!”
“Bukankah ini menunjukkan Sultan Malikus Salih itu sendiri mempunyai hubungan kekerabatan ataupun pertalian kerohanian yang sangat kuat dengan Rasulullah SAW?” dia bertanya pula. “Kalau tidak mengapa wasiat mengenai Samudera ini disempurnakan dua orang bertaraf Sultan daripada keturunan Nabi melalui Saidina Hassan iaitu Sharif Mekah dan Sheikh Ismail, ditambah dengan kehadiran seorang Sultan berketurunan Saidina Abu Bakar Al-Siddiq, sahabat karib Nabi dan Khalifah pertama seluruh umat Islam? Bukankah ini satu pengiktirafan yang kuat?”