Asalnya hujung minggu itu iaitu minggu lepas kami cuma mahu berehat di rumah. Tetapi saya mendapat panggilan dari seorang kenalan baru Sabtu malam Ahad agar datang ke Putrajaya kerana ada yang mahu ditunjukkan. Memandangkan ada perkara lain yang turut boleh diselesaikan sekali, saya pun bersetuju datang. Singgah dahulu di hadapan Istana Kehakiman di pusat bandar Putrajaya. Tengok-tengok ada acara pula. Lihat artikel A night event at Putrajaya di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.
Kami berjumpa kenalan itu di tepi Istana Kehakiman sebelum terus ke Presint 4. Di hadapan bukit yang dikatakan ada faktor mistik kami berkongsi cerita tentang apa yang kami tahu tentang Putrajaya dan apa yang pernah ada di sini beribu tahun lalu.
Ya, ada sesuatu tentang Putrajaya yang melangkaui adat dan zaman. Percaya tak kalau saya kata binaan-binaan modennya yang dilihat kini pernah wujud sebegitu rupa 3,000 tahun lampau?
Nampak macam tak masuk akal. Tapi kalau saya katakan seluruh Asia Tenggara dahulu pernah bersambung sebagai hujung Tanah Arab, tentu ada yang ketawa. Tak mengapa. Ketawalah puas-puas. Cukuplah saya sekadar berkongsi maklumat kalau tidakpun sekadar pendapat. Saya tidak pernah menyebut apa yang saya tahu sebagai mutlak atau wasiat keluarga yang tidak boleh dipersoalkan. Dan saya tak memaksa orang percaya dan tak perlu meyakinkan sesiapa.
Saya sudah lama diberitahu bahawa Alam Melayu yang membentuk Asia Tenggara ini adalah sebahagian daripada kerajaan besar Saba' yang namanya ada disebut di dalam Al-Quran. Cuma dengan pertemuan ini saya mendapat kepastian dari satu lagi pihak. Lokasi Putrajaya pernah menjadi salah-satu kota besar pada zaman Nabi Sulaiman dan Ratu Balqis memerintah. Mungkin sebab itu saya pernah mendapat mimpi yang menunjukkan sebuah kota lama dengan satu bangunan saling tak tumpah seperti rupa Istana Kehakiman? Lihat artikel Petunjuk baru tentang kerajaan lama di Putrajaya? yang dibuat lebih 3 bulan lalu.
Sebenarnya lokasi Putrajaya bukan setakat sekali dua pernah menjadi kota besar. Sebelum banjir Nabi Nuh ia sudah maju lalu hancur, kemudian didirikan kembali selepas 3 orang anak Nabi Nuh berpecah membawa pengikut masing-masing membina tamadun baru di 3 tempat berlainan termasuk lokasi yang bakal menjadi Tanah Melayu. Di atas adalah gambar Masjid Putrajaya. Dahulu ia adalah tempat kegemaran dan wajib pergi jika saya ke kota melangkaui zaman ini. Namun sejak menjejakkan kaki ke Masjid Besi saya lebih suka ke sana dan sekitar Istana Kehakiman. Apapun, masjid ini tetap ada kedudukannya sendiri. Lihat artikel Kaitan Masjid Putrajaya dengan Masjid Brunei di Danau Tok Uban? yang dibuat tahun lepas.
Ini adalah gambar keesokannya pagi Ahad.
Selepas sarapan kami bertandang ke rumah seorang ibu saudara sebelum menghala ke Semenyih.
Dari Semenyih kami mengambil jalan pendalaman Sungai Lalang yang menuju ke Hulu Langat.
Singgah sebentar melihat keindahan tasik buatan di empangan Semenyih. Lihat Stopping at Semenyih dam.
Ternyata meter mencapai nombor 131.3 pada satu bahagian hujung tasik Semenyih...
Lebih menarik lagi, jam pula menunjukkan waktu 3:13 sedangkan di radio ada nombor 11:03.
Ke hadapan sedikit gunung tertinggi di Selangor iaitu Gunung Nuang mula kelihatan.
Hampir ke pekan Batu 18 kami berhenti rehat dan makan sebelum mandi sungai. Lihat The river besides a stall at Hulu Langat.
Perjalanan diteruskan hingga ke kaki Gunung Nuang. Teringat lebih 10 tahun lalu, mungkin jauh lebih lama dahulu pernah mendapat satu mimpi di mana saya telah mengambil jalan Hulu Langat sehingga ke penghujung lalu sampai ke satu perkampungan di celah-celah pokok dalam hutan yang diterangi lampu pelita dan obor api. Suasananya seperti kampung makhluk Ewok dalam filem Return of the Jedi ketika berpesta menyambut kemenangan puak pemberontak ke atas empayar jahat maharaja gelap (macam empayar khayalan Siam-Islam agaknya, hehe...).
Ketika itu saya belum pernah masuk ke mana-mana bahagian pendalaman Hulu Langat, setakat pernah melihat jalan di atas peta. Kalau tak salah ingatan saya cuma pernah ke sekitar ini setelah memiliki motosikal besar penghujung tahun 1997.
Dari kaki gunung kami berpatah-balik lalu singgah di masjid ini. Teringat tahun 2003 di mana saya pernah tersesat selama 19 jam dalam hutan seorang diri ketika turun dari mendaki puncak Gunung Nuang. Apa yang berlaku pernah diceritakan secara ringkas dalam buku pertama saya "Berpetualang ke Aceh : Mencari diri dan erti" (terbit Jun 2006). Lihat sedutan dalam artikel Pendakian dan sesat di Gunung Nuang dalam ingatan.... Cerita lebih ringkas telah dibuat dalam Masjid (Mosque of) Kuala Pangsun tadi.
Sambil keluar kembali ke Lembah Klang kami sempat menikmati pemandangan Sungai Langat yang sering menarik kunjungan ramai.
Kami mengambil jalan pintas mendaki dan menuruni bukit ke Ampang sebelum kembali ke rumah di Bandar Tasik Puteri. Sekarang barulah cerita boleh masuk ke bahagian yang lebih serasi dengan tajuk kecil artikel ini iaitu "Mencari pedang warisan di satu ceruk negeri Selangor?".
Adapun beberapa hari sebelum itu ada seorang kenalan yang nampaknya ada pertalian dengan keluarga sebelah bapa memberitahu ada saudaranya menyimpan sebilah pedang warisan yang mungkin dapat membantu pencarian saya. Ilham dan petunjuk yang didapati dari Sungkai (lihat Menyelesaikan bab Perak : Cerita sebenar Puteri Buih dan Tiang Bertarah di Sungkai berserta Kota Laksamana) pula menyebabkan saya terasa harus melihat pedang...
Apa yang terbetik di hati ialah apakah ia pedang yang pernah dilihat dalam satu mimpi (rujuk artikel Merah Syahir Nuwi, Aceh, Siam dan mimpi pedang). Paling tidak pun ia mungkin berkaitan dengan identiti sebenar seorang moyang saya yang mula dibayangkan setelah mendapat cerita sebenar tentang Puteri Buih dan Kota Laksamana. Tetapi lokasi pedang agak jauh dari rumah menyebabkan saya melupakan dahulu hasrat. Namun apabila mendapat panggilan agar ke Putrajaya isteri saya pun mencadangkan agar kami tidur di rumah milik bapa di Kajang. Dari rumah ke Putrajaya boleh ke Kajang kemudian melihat pedang. Kiranya segalanya dapat dilakukan dengan sekali jalan.
Sambil itu ada pertanyaan tentang identiti moyang yang mahu diutarakan kepada seorang ibu saudara yang sangat rapat dengan almarhum Nenek, ibu kepada bapa saya. Ibu saudara ini duduk di rumah Nenek di Raub tetapi apabila menelefonnya minggu itu ternyata dia sedang berada di sebuah rumah miliknya di Kajang. Dengan itu kami juga dapat bertemu ibu saudara. Tanpa berfikir panjang, dia membenarkan telahan kami tentang identiti sebenar moyang, datuk kepada Nenek yang cuma dikenali sebagai Haji Daud... apabila disuakan gambar orang yang kami percaya adalah Haji Daud, ibu saudara tersenyum panjang lalu menunjukkan sekurang-kurangnya 3 bahagian yang mirip dengan muka Nenek.
Di atas adalah Pedang Si Bongkok yang merupakan satu barang kebesaran diraja Brunei, katanya dibawa oleh Sultan ketiganya Syarif Ali dari Mekah ke Brunei sekitar 600 tahun lalu. Saya meletakkan gambar ini kerana hulunya sama dengan hulu pedang yang gambarnya diletakkan lebih atas tadi.
Saya tak pasti apakah signifikan pedang-pedang itu. Yang pasti pedang yang dilihat hujung minggu itu tidak sama dalam mimpi tetapi tetap ada kaitan dengan warisan belah bapa yang berasal dari keturunan Sultan-sultan Aceh dari keluarga besar yang dipanggil Dinasti Bugis. Ia mungkin warisan dari Sultan terakhir Aceh, Sultan Muhammad Daud yang dipaksa turun dari takhta oleh Belanda 1903... ia mungkin juga pedang yang digunakan oleh para pengiring baginda dari keturunan kerabat diraja ketika mengelak dari buruan penjajah.
Ada kemungkinan Sultan Muhammad Daud pernah menyorok di rumah saudara-mara dari keluarga Laksamana di Perak. Mungkin pedang yang dilihat hujung minggu itu dibawa pengikutnya bersama. Dalam keghairahan mengkaji untuk mengenali asal-usulnya terjumpa pula gambar sebilah pedang yang setakat ini kelihatan paling mirip dengan yang dilihat dalam mimpi. Tetapi pedang itu adalah barangan diraja Perlis, apa pula kena-mengena dengan saya yang lebih rapat dengan Aceh, Bugis dan Perak?
p/s: Adapun filename gambar pedang yang baru dilihat itu adalah PA311133. Apakah ada kena-mengena dengan kemunculan angka 131.3 pada meter bawah kereta pada jam 3:13, ketika radio pula menunjukkan angka 11:03?