Salam semua. Adapun malam tadi saya baru sahaja kembali daripada satu perjalanan ke Perak yang bermula petang Ahad 24 Julai 2022. Perjalanan berlaku kerana mahu ke Mahkamah Tinggi Syariah di Ipoh pada pagi Isnin. Dengan itu ia merupakan kesinambungan bagi apa yang telah diceritakan dalam artikel Kompilasi cerita "Misi keluarga Laksamana" lebih 3 minggu lalu.
Pagi tadi pula saya ke pusat bandar raya Kuala Lumpur untuk menghadiri satu majlis melibatkan institusi beraja di Malaysia. Kalau tidak kerana sudah memberikan komitmen untuk ke majlis tentu perjalanan di Perak akan dipanjangkan dengan bergerak ke Taiping semalam kemudian ke Pulau Pinang hari ini bagi urusan-urusan berkenaan. Tetapi sebelum perjalanan terjadi ada perkara yang sangat berkaitan telah dilakukan terlebih dahulu. Hal ini dan beberapa lagi perkara berkaitan yang dijangka akan berlarutan sehingga hampir penghujung bulan September menuntut supaya segalanya nanti dikompilasikan dalam satu kumpulan cerita lebih besar atas nama "Misi keluarga Laksamana". Biar dimulakan dengan perkongsian berikut ini...
Tengah Selasa 19 Julai 2022 iaitu pada minggu lepas saya telah bergerak seorang diri ke Kuala Lumpur. Saya mahu mencari jejak datuk kepada datuk saya Orang Kaya Arshad bin Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin melalui dokumentasi zaman British. Adapun nama beliau ada tercatat sebegitu rupa iaitu sebagai Orang Kaya Arshad dalam beberapa dokumen penghujung abad ke-19 Masihi. Oleh itu saya mahu mengumpulkannya untuk projek buku akan datang selain hal berkenaan di Mahkamah Tinggi Syariah Ipoh.
Asalnya mahu membuat carian dan kajian di Arkib Negara. Tiba-tiba timbul rasa elok ke Perpustakaan Negara terlebih dahulu. Maka bergegaslah saya ke sana.
Adapun selama 2-3 hari sebelum itu saya telah membuat kajian melalui Internet termasuk menggunakan OFA iaitu kemudahan atas talian Arkib Negara juga kumpulan surat-surat khabar lama lebih 100 tahun lalu yang telah didigitalkan oleh satu pihak di Singapura. Dapatlah mencari banyak bahan yang berkaitan dengan susur galur keluarga belah bapa iaitu keluarga Laksamana negeri Perak yang meliputi Arshad itu.
Di perpustakaan kajian dan pencarian dipanjangkan melalui kumpulan tulisan dalam jurnal British.
Sudah lewat petang baru dapat tahu ada kumpulan rekod lama yang lebih relevan lalu masuklah ke tingkat perpustakaan yang berkenaan.
Sayangnya perpustakaan tutup jam 5 petang. Sedangkan sebelum PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) untuk membendung wabak Covid-19 ia dibuka sehingga jam 7. Saya pun kembali ke kereta. Oleh kerana trafik masih sesak di luar sana saya pun membaca beberapa muka surat Al-Quran untuk mengisi masa selain meneruskan proses pengkhataman bagi bulan Zulhijjah.
Dekat jam 6 baru bergerak meninggalkan perpustakaan lalu berjalan-jalan di sekitar Chow Kit.
Fikir saya selepas itu mahu terus ke rumah kawan di Sri Hartamas kerana telah berjanji untuk bermalam di sana. Tiba-tiba isteri memberitahu anak kami yang sedang belajar di tahfiz di Janda Baik mahu dihantar oleh pihak pengurusan ke hospital di Kuala Lumpur kerana sakit mata. Saya diminta menunggu sehingga anak sampai pada waktu malamnya. Akibatnya lewat malam baru ke rumah kawan.
Pagi Rabu 20 Julai. Selepas bersarapan di Chow Kit saya ke Perpustakaan Negara lagi.
Kali ini terus menuju ke bahagian berkenaan yang mengandungi banyak dokumen yang lebih relevan dengan pencarian lalu mengambil beberapa jilid dokumen...
Saya turut naik ke bahagian buku nadir. Dah balik rumah, lewat malam itu baru tersedar bahawa sejumlah dokumen yang dicari rupa-rupanya sudah ada dalam simpanan melalui PDF berkenaan yang ditemui melalui Internet. Seperti pada malam sebelumnya yang mana saya membuat carian atas talian, malam itu juga saya bersengkang mata sehingga jam 4 pagi. Tetapi kali ini lebih puas hati kerana dapat menemui dengan jelas jejak Orang Kaya Arshad selain apa yang sudah diketahui dan tercatat kemas dalam rekod-rekod British iaitu mengenai penglibatan beliau dalam beberapa mesyuarat bersama bapanya Laksamana Muhammad Amin juga Sultan Perak ketika itu, Sultan Abdullah (1874-1877) dalam menentukan hal tuju pemerintahan negeri selepas Residen British pertama J.W.W. Birch mula campur tangan iaitu selepas berlakunya Perjanjian Pangkor pada 20 Januari 1874.
Ini pula adalah gambar daripada rumah kawan di Bukit Tinggi pada pagi Sabtu 23 Julai. Saya, isteri dan anak kecil kami telah bermalam di sana.
Ia adalah untuk memudahkan kami ke Janda Baik yang terletak tidak berapa jauh dari Bukit Tinggi pagi itu. Petang Jumaat iaitu pada hari sebelumnya, saya telah berjaya mengkhatamkan Al-Quran iaitu pada hari ke-22 Zulhijjah...
Oh. Telah disebut bahawa pada petang Rabu saya telah diberitahu bahawa pihak pengurusan tahfiz mahu menghantar anak ke hospital di Kuala Lumpur lalu saya harus menunggu. Anak telah mendapat MC cuti sakit lalu dibawa isteri kembali ke rumah kami di Bandar Sungai Buaya, saya pula bergerak ke rumah kawan di Sri Hartamas. Pagi Sabtu itu baru menghantar anak masuk kembali ke tahfiz.
Selain menghantar anak kami mahu mengadiri majlis penerangan oleh pihak pengurusan tahfiz dan barisan tenaga pengajar tentang perjalanan institusi. Dua perkara besar dan menarik tentang tahfiz ini adalah ia memiliki kurikulum pengajian yang katanya setanding dengan pengajian agama peringkat tinggi di Yaman. Kedua ia memiliki koleksi pembacaan terbaik dari Mesir atas asbab kitab-kitab yang katanya berjumlah seberat 15 tan dengan nilai pasaran RM1 juta asalnya ditempah untuk sebuah universiti baru Islam yang mahu didirikan di Pulau Pinang pada zaman Pak Lah (Abdullah Badawi) menjadi Perdana Menteri sekitar 15 tahun lalu. Tetapi entah kenapa universiti tidak jadi didirikan sedangkan buku-buku tersebut sudah sampai ke Malaysia.
Dengan kuasa Allah, setelah beberapa lama ia menjadi milik tahfiz dan kutub kanah yang baru didirikan 3 bulan lalu. Lihat cerita berkenaan iaitu
Mengharapkan sinar muncul kembali dengan "Tanda Baik". Dalam cerita tidak disebut tentang kutub kanah juga bagaimana ia dirasmikan oleh kerabat diraja Pahang, Tengku Amir, seorang anak raja yang selalu mengikuti pengajian juga majlis zikir dan maulud bersama pada Habaib keturunan Rasulullah SAW. Tetapi itulah yang berlaku pada waktu itu. Kali ini baru disebut cerita kerana baru tahu bagaimana istimewanya kutub kanah milik tahfiz yang dihadiri anak saya di Janda Baik ini. Sehingga ramai mengatakan ia mungkin koleksi terbaik kitab-kitab agama yang ada di Malaysia...
Majlis selesai hampir jam 1. Selepas membawa anak berjalan-jalan di bahagian lain Janda Baik baru dilepaskan kembali ke tahfiz. Lalu saya, isteri dan anak kecil pun bergerak untuk kembali ke rumah.
Tetapi tidak terus kembali ke rumah sebaliknya ke Perpustakaan Negara terlebih dahulu. Saya mahu menyambung kajian bagi mencari jejak Orang Kaya Arshad melalui dokumentasi...
Sekarang biar dimaklumkan. Selepas menghadiri majlis tentang institusi beraja pagi tadi yang berlanjutan sehingga jam 1 petang saya ke perpustakaan lagi. Malah pada ketika ini, ketika menaip ayat ini tepat jam 7.24 petang saya berada di sana tetapi di luar dewan bacaan. Ini kerana satu, selepas perpustakaan tutup jam 5 saya tidak mahu mengharungi kesesakan lalu lintas ramai orang balik kerja. Kedua, saya mahu melepaskan cerita ini secepat mungkin supaya cerita tentang perjalanan ke Perak dapat menyusul tidak lama lagi.
Ketiga, saya bercadang untuk bermalam dekat-dekat sini. Tak tahu lagi di mana. Nanti le cari. Tujuannya supaya dapat menyambung lagi kajian di perpustakaan esok hari. Biarlah tidur di tempat yang cukup dekat supaya dapat sampai awal dan tidak perlu melalui kesesakan jalan raya seperti halnya ketiga bergerak ke sini pagi tadi. :]
Tiada ulasan:
Catat Ulasan