Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Sabtu, Jun 09, 2007

Fuh... Lega sungguh rasanya!

Sebahagian daripada muka-muka yang muncul pada majlis pelancaran siri buku "Berpetualang ke Aceh" di kedai Khazanah Fathaniyah siang tadi.

Alhamdulillah sukacita sungguh hati ini. Setelah bertungkus-lumus lebih 3 minggu mengatur pelbagai perkara berkaitan siri buku "Berpetualang ke Aceh" atau BKA, setelah buku kedua (dengan sub-title "Membela Syiar yang Asal") siap dicetak 14 Jun, saya akhirnya dapat berehat sedikit. Proses pelancaran siri buku ini telah berjaya diadakan dengan lancarnya di kedai Khazanah Fathaniyah di Chow Kit. Secara tidak langsung, saya juga dapat menunaikan janji terhadap diri sendiri untuk memperkenalkan pustaka peninggalan almarhum Ustaz Wan Saghir itu kepada khalayak yang lebih luas.
Walaupun beberapa muka yang diharapkan akan muncul tidak dapat hadir bersama kerana ada hal lain, majlis yang diadakan dalam suasana sederhana tetapi mesra ini dihadiri tidak kurang daripada 30 orang peminat buku dan bahan bacaan berkaitan agama terutama yang melibatkan hal-hal kerohanian. Yang menarik adalah kehadiran sekumpulan manusia daripada Melaka yang menggelar diri mereka sebagai SelfTechGroup semata-mata untuk mengenali saya dan apa yang ingin diperjuangkan melalui siri buku BKA dengan lebih dekat. Tidak lupa juga kehadiran orang-orang yang penting dalam hidup saya (cukuplah ayat ini tanpa menyatakan betapa pentingnya mereka kepada saya dan siapakah mereka) dan kawan-kawan yang dikenali melalui Internet.
Kesudian penulis buku "Ahlul Bait dan Raja-raja Melayu", Suzana Othman, suaminya Haji Muzaffar dan keluarga untuk turut memeriahkan suasana sangat dihargai. Kebetulan (atau segalanya telah diatur Allah Subhanahuwata'ala?) almarhum Ustaz Wan Saghir dan orang-orangnya di bawah Khazanah Fathaniyah, juga saya sendiri percaya kepada misi perjuangan yang sama iaitu memasyhurkan kesyumulan ajaran Islam sejati yang diterajui para ulama Tasawuf berjiwa suci terutama daripada keturunan Ahlul Bait anak cucu Nabi, maka banyak juga yang dapat dikongsi bersama.
Saya dimaklumkan, ramai yang menghadapi masalah mencari kedai Khazanah Fathaniyah di Chow Kit ini kerana ketiadaan papan-tanda di hadapan. Ini adalah masalah yang tidak dapat dielakkan kerana pustaka itu kekurangan dana untuk membuat papan-tanda, apalagi membuat apa-apa bentuk promosi yang lain buat masa ini.
Masalah ketiadaan papan-tanda juga menyebabkan ada orang yang mahu menghadiri majlis telah bertukar fikiran. Ini kerana satu, mereka tidak pasti di manakah kedudukan tempat itu dan kedua, di manakah hendak mencari tempat letak kereta dalam kesibukan hari Sabtu di Chow Kit. Masalah lebih besar, bagaimana pula mahu mencari tempat letak kereta sedangkan kedudukan tempat majlis pelancaran pun tidak dapat dipastikan di manakah ia.
Bayangkan sebelum ini, sudah ada beberapa orang yang menyatakan bagaimana mereka mahu mencari buku BKA di Khazanah Fathaniyah terpaksa berpusing-pusing berlegar-legar di sekitar untuk mencari kedai... Sedangkan pada awalnya mereka sudah pun sampai di muka kedai tetapi tidak menyedari bahawa yang terpampang di depan mata tadi adalah Khazanah Fathaniyah. Inikan mahu mencari kedai itu pada hari Sabtu ketika suasana pasaran di Chow Kit sedang sibuk dengan pelbagai aktiviti dan kerenah manusia.

Inilah gambaran yang boleh dilihat pada awal majlis. Gelisah juga rasanya menunggu kehadiran lebih ramai orang.

Apapun, alhamdulillah segalanya berjalan lancar walaupun ramai yang datang lambat daripada masa bermula acara yang ditetapkan pada jam 2.30 petang. Keadaan ini menyebabkan saya terpaksa menjemput para hadirin untuk menikmati sedikit juadah makan petang yang disediakan sebelum dapat memberikan sedikit ucapan... Sepatutnya juadah cuma dijamah selepas semua yang dijangka hadir berkumpul lalu acara pun dimulakan.
Pada awalnya, saya rasa tidak perlu banyak mengeluarkan suara... Cukuplah setakat memberi sedikit kata-kata aluan dan menjemput orang makan. Lagipun saya rasa cukup senang melihat para hadirin ramai membelek-belek buku-buku serta bahan bacaan juga gambar-gambar ulama yang diterbitkan Khazanah Fathaniyah. Tercapai juga niat untuk menolong pustaka ini setakat yang boleh.
Saya pasti selepas ini ramai lagi akan tahu tentang kedudukan Khazanah Fathaniyah di Chow Kit serta apa yang terdapat di sana kemudian mewar-warkannya kepada khalayak yang lebih luas... Mereka yang sampai sudah tahu kedudukannya dengan pasti dan telah melihat dengan mata kepala sendiri apa yang boleh dikongsi. Cukuplah ini, tidak perlu diwar-warkan sangat buku saya sendiri. Tetapi seorang rakan lama, Khairul yang ditemui buat pertama-kali setelah 20 tahun putus hubungan mengajukan satu soalan: "Bagaimanakah proses membuat buku BKA? Ceritakanlah!"
Adapun rakan ini pernah bersama duduk main gitar dan menyanyi di warung hadapan sekolah menengah perempuan sambil mengurat anak dara orang (ke saya yang banyak mengurat? Nostalgia zaman bebudak, biasa le tu, hehe!) di kampung kami di Muar. Kami baru berhubung kembali melalui Internet 2 minggu lepas lalu bersua muka setelah sekian lama di majlis siang tadi.
Soalan yang diberikan Khairul menyebabkan saya rasa harus berkongsi pengalaman pahit jerih menulis dengan para hadirin lain juga... Bagaimana siksanya mencari jawaban kepada beberapa persoalan yang membelenggu jiwa sehingga terbitnya siri buku "Berpetualang ke Aceh" yang ditanda dengan kemunculan buku pertama (dengan sub-title "Mencari Diri dan Erti") di pasaran Jun 2006.
Dalam bercerita itu, terkeluarlah kenangan bagaimana peristiwa September 11 yang menyaksikan menara berkembar World Trade Centre ranap dirempuh kapal-terbang penumpang menyebabkan timbul rasa meluap-luap untuk menulis hal yang berkaitan. Saya dapat merasakan, ada sesuatu yang tidak kena tentang ini... Ada kaitannya dengan rancangan Zionis untuk menakluki dunia malah ada kaitan dengan peristiwa-peristiwa akhir zaman yang pernah dinyatakan junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW 1,400 tahun dahulu.
Hampir menitik air mata ini apabila mengingatkan laluan sukar yang dihadapi demi memahami apa yang sedang berlaku pada dunia hari ini dan kaitannya dengan cerita-cerita dahulukala. Terungkap kembali di kalbu akan aneka ragam perasaan dalam pencarian dahulu terutama yang melibatkan asal-usul keluarga, satu perjalanan sepi untuk mencari diri dan erti yang menyebabkan sesiapa pun boleh dipandang serong oleh kebanyakan orang termasuk ahli keluarga sendiri!


Suasana mula meriah setelah lebih ramai menunjukkan muka jam 3 ke atas

Memang terasa begitu lega apabila selesai semua ini. Majlis pelancaran terus berjalan secara tidak rasmi dalam suasana harmoni sehingga jam 6 petang. Berguna juga tikar mengkuang yang dibawa daripada rumah ibu saudara di Ampang untuk dijadikan alas tempat bersantai bertukar fikiran. Maklumlah, cuma terdapat tidak sampai 5 biji kerusi di kedai itu. Majlis pelancaran pun budget, manalah ada duit untuk menyediakan segala macam kemudahan yang selalu dikaitkan dengan majlis pelancaran buku? Tetapi di situlah terbitnya kemesraan yang lebih mendalam kerana tidak perlu bermuka-muka.
Hmm... Rasanya cukuplah luahan rasa buat masa ini. Sekali lagi, terima kasih kepada semua pihak yang sudi memeriahkan serta menjayakan majlis ini. Segala-galanya dilakukan demi sedikit semangat yang ada untuk menyuburkan ajaran Islam yang syumul... Ajaran yang natijahnya kembali kepada makna akar perkataan Islam yang membawa kepada perkataan Salam iaitu kesejahteraan... Ketenangan tanpa kebingitan hidup akibat tipu-daya dunia hipokrit yang mencengkam masyarakat sekarang, insyaallah! Wassalam... :]




Khamis, Jun 07, 2007

Pelancaran BKA di Khazanah Fathaniyah Sabtu ini. Full steam ahead!

Gambar burung hud-hud (bahasa Inggeris dipanggil Hoopoe)


Mungkin ada yang tertanya-tanya, kenapa pula diletakkan gambar burung hud-hud di sini. Bukankah tajuk artikelnya ialah "Pelancaran BKA di Khazanah Fathaniyah Sabtu ini. Full steam ahead!"?... Di manakah letaknya kaitan antara burung yang masyhur dalam kisah Nabi Sulaiman bertemu Ratu Balqis ini dengan proses pelancaran siri buku "Berpetualang ke Aceh"? Apakah ada yang tersirat di sebalik keputusan untuk menghiasi artikel ini dengan gambar burung tersebut?

Sebenarnya, tujuan utama diletakkan gambar ini adalah sekadar untuk berkongsi dengan pembaca. Adapun gambar ini asalnya adalah gambar burung hud-hud Afrika yang dikutip daripada Internet lalu diedit dan diberi sentuhan artistik menggunakan program Photoshop untuk menghiasi posting terbaru di dalam blogspot Inggeris saya iaitu www.berpetualangkeaceh.blogspot.com. Posting terbaru itu adalah sedutan daripada tulisan Wali Allah terkenal Sheikh Fariduddin Attar tentang pengembaraan sekumpulan burung mencari "Raja Burung" (ada sebab yang mendalam kenapa diletakkan tanda quote unquote). Tulisan berbentuk cerita puisi itu dikenali sebagai Mantiq at Thair atau dalam bahasa Inggeris (menurut terjemahan Edward FitzGerald) bertajuk "Parliament of the Birds".

Memandangkan blogspot bahasa Inggeris itu kurang dikunjungi orang, tidak seperti blogspot berbahasa Melayu ini yang ramai peminatnya, saya rasa rugi pula gambar yang telah dibuat dengan gerak-hati dan sentuhan yang tiba-tiba muncul suatu hari itu tidak dapat dilihat lebih ramai orang. Rasanya (rasa saya le, mungkin orang lain rasa lain pula), gambar yang telah diberikan sentuhan artistik itu agak cantik dan menarik. Maka itulah sebab sebenarnya ia digunakan untuk menghiasi artikel ini.

Kalau difikirkan sekali lagi, mungkin juga Allah sengaja memberi gerak meletakkannya di sini kerana memang ada makna yang tersirat. Adapun mengikut cerita daripada Mantiq At Thair, burung hud-hud lah yang bertanggungjawab mengajak burung-burung lain supaya keluar mengembara sehingga sanggup mengorbankan jiwa-raga demi mencari si "Raja Burung", satu kias Tasawuf yang membawa maksud perjalanan kerohanian "mencari" Allah Al-Haq!

Menurut cerita Nabi Sulaiman yang disebut dalam Surah Saba' pula, burung hud-hud lah yang bertanggungjawab memberitahu Nabi Allah yang memiliki kerajaan besar merangkumi manusia, jin, malah binatang, angin dan syaitan itu tentang kewujudan sebuah kerajaan lain bernama Saba'. Kerajaan ini diperintah seorang raja perempuan bernama Ratu Balqis (nama ini tidak disebut di dalam Quran tetapi diriwayatkan para ulamak). Cerita ini berakhir dengan Ratu Balqis memeluk Islam di tangan Nabi Sulaiman malah menurut sesetengah riwayat mereka pun berkahwin dan menerbitkan zuriat...

OK... Oleh kerana bab gambar ini telah berjaya dilepaskan daripada dada, boleh le kita beralih kepada cerita sebenar iaitu pelancaran siri buku "Berpetualang ke Aceh" di kedai Khazanah Fathaniyah 9 Jun Sabtu ini jam 2.30 petang. Memang cara saya begitu, perlu melepaskan apa yang terbuku (yang mana boleh diceritakan le... yang rahsia tetap rahsia!) dalam kalbu sebelum dapat meneruskan penceritaan mengikut gerak-hati yang muncul pada sesuatu ketika.

Alhamdulillah, sukacita dimaklumkan, persediaan untuk pelancaran siri buku BKA berjalan lancar setakat ini. Semalam, saya telah menghubungi beberapa pihak media dan mereka telah menyatakan kesediaan untuk menyerikan lagi majlis. Samada mereka betul-betul akan muncul (atau mereka sekadar berkata akan datang demi menjaga hati saya?), itu saya serahkan kepada Allah yang mengatur segala sesuatu. Saya sudah jalankan usaha yang mampu. Sekarang, sampailah masanya untuk bertawakal sepenuhnya. Niat saya agar liputan yang diberi akan turut mengenalkan Khazanah Fathaniyah yang diasaskan almarhum Ustaz Wan Muhammad Saghir kepada khalayak yang lebih ramai.

Sebagai seorang bekas wartawan akhbar terkemuka yang masih mempunyai sedikit pengaruh dalam dunia penulisan, itulah janji saya kepada diri sendiri suatu masa dahulu. Pembantu Ustaz iaitu saudara Azrul pernah meminta saya agar berbuat sesuatu yang dapat menolong Khazanah Fathaniyah yang kekurangan dana dan sokongan untuk meneruskan pengkajian demi memartabatkan ulamak Islam seNusantara dahulukala dan ajaran syumul Islam yang dibawa mereka.

Sebagai seorang Islam yang juga percaya kepada perjuangan memartabatkan agama, saya rasa terpanggil untuk berbuat sesuatu. Sayangnya, semasa almarhum Ustaz Wan Saghir masih hidup, saya sedang dalam keadaan buntu akibat berbagai masalah peribadi. Baru kini Allah melapangkan dada dan memberi ilham, gerak serta sokongan daripada arah yang tak disangka (baca balik Ayat Seribu Dinar atau Surah At-Thalaq ayat 2-3) sehingga tekad dan kekuatan dapat dikumpul untuk memungkinkan pelancaran buku BKA diadakan di samping memperingati sumbangan almarhum terutama hasil kerja beliau di bawah kelolaan Khazanah Fathaniyah.

Harapan saya, kehadiran media akan memberi insentif kepada Khazanah Fathaniyah serta badan yang berkaitan (dikenali sebagai Pengkaji) untuk terus giat berusaha dan berjuang menaikkan bahan-bahan penulisan kerohanian seperti kitab-kitab lama Tasawuf karangan ulamak terdahulu agar dapat dijadikan pegangan masyarakat sekarang yang nampaknya semakin hanyut dilanda gelombang dakyah hiburan Barat. Dengan liputan yang positif, saya juga berharap agar akan tampil badan-badan yang memiliki dana (mungkin Yayasan Al-Bukhari dan sebagainya) agar menyokong usaha-usaha sebegini atas nama Islam dan kesejahteraan Ummah sejagat, Insyaallah!

Hmm.... Rasanya cukuplah kata-kata yang terbit daripada kalbu saya buat masa ini. Diharap para pembaca sudi untuk memeriahkan lagi majlis ini. Untuk makluman lanjut, sila baca artikel terdahulu atau klik sahaja di sini... Confirm! Pelancaran BKA di Khazanah Fathaniyah Sab... Wassalam!