Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Jumaat, September 22, 2017

Google Street View dan perubahan rumahku

Salam hari Jumaat yang berkat 1 Muharram, hari Ma'al Hijrah tahun baru Islam 1439. Cerita kali ini , cerita pembuka bagi tahun hijriah ini asalnya mahu dikongsikan sebelum bergerak keluar untuk solat Jumaat tapi tak sempat. Ia tercetus akibat mahu mengajak seorang kawan lama datang ke rumah...


Dua hari lalu, selepas terlihat status update seorang kawan lama di Facebook menyatakan rindu untuk bertemu sejumlah kawan-kawan yang rajin berforum di Internet sekitar tahun 2006 saya pun mengajak dia datang ke rumah. Untuk itu saya telah menggunakan Google Map untuk menunjukkan lokasi tepat. Tengok-tengok keluar gambar keadaan rumah sebelum saya berpindah ke situ Januari 2014.


 Beginilah rupa rumah yang ditunjukkan dalam Google Map.


Saya pun menyemak menggunakan program Google Earth lalu masuk ke mood atau pilihan street view, pandangan pada paras jalan. Tengok-tengok gambar rumah yang keluar sama dengan yang ditunjukkan dalam Google Map.


Sekarang bandingkan dengan gambar yang diambil pagi tadi daripada sudut hampir sama. Banyak sudah berubah bukan?


Street view pada Google Earth boleh digunakan untuk melihat sekeliling 360 darjah. Berpusing sedikit ikut arah jam melihat ke arah rumah sebelah.


Beginilah keadaannya sekarang. Begitu juga keadaan sejak setahun lalu gitu. Sebatang pokok besar yang pernah terletak di hadapan rumah saya dan jiran sudah dipotong oleh majlis. Jiran juga telah mengubahsuai bahagian anjung rumah.


Keadaan seberang jalan menghadap ke rumah yang ditunjukkan Google Earth. Penuh hutan belukar, babi hutan pun katanya selalu datang.


Sebelum menduduki rumah hujung Januari 2014 saya telah mengupah orang untuk membersihkan hutan kemudian meratakan tanah. Saya juga mengupah orang mendirikan garaj. Tengok-tengok sekitar setahun dua  lalu, ke 2-3 tahun lalu? Lebih kurang le... tumbuh pokok ceri betul-betul di tepi garaj. Saya biarkan ia membesar walaupun akar merosakkan sedikit simen garaj. Jadilah ia pohon yang rendang menghiasi pemandangan sambil meneduhkan kawasan di sebelah...


Pusing lagi pemandangan ikut arah jam dengan street view Google Earth untuk menunjukkan kawasan hadapan rumah berserta jiran lain sebelah...


Di sudut sama berhadapan rumah telah didirikan pondok. Ia siap sebelum garaj...


Lihat pula pemandangan kawasan rumah dan sekitar daripada atas menggunakan paparan satelit Google Earth...


Nampaknya gambar dari atas lebih terkini kerana menunjukkan tambahan-tambahan yang telah dibuat sejak Januari 2014. Turut kelihatan anjung tambahan sebuah rumah jiran 3 pintu daripada saya. Kalau tak salah ingatan ia siap dibina sebelum bulan puasa lalu. Turut ditunjukkan tapak garaj di hadapan rumah jiran sedangkan ia sudah siap dibina sebelum raya. Oleh itu boleh dianggarkan gambar satelit yang terpapar dalam Google Earth ini diambil sekitar bulan Jun 2017.

Dengan ini cukuplah cerita yang tercetus akibat mahu menunjukkan lokasi tepat rumah menggunakan Google Map. Untuk melengkapkan gerak biar diletakkan pautan-pautan artikel menunjukkan keadaan rumah daripada masa sekitar ia mula diduduki hinggalah hampir sekarang. Saya mulakan dengan pautan artikel tentang satu majlis HIKMAH merangkap housewarming/perasmian rumah yang dipaparkan dalam blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH)...




2. Rumahku Baitul Hikmah (Mei 2014)



(Sept 2014)


7. Rumah terbuka Merah Silu 30 Syawal 1436 (Ogos 2015)








Khamis, September 21, 2017

Seminar 120 tahun Majlis Raja-raja Melayu - Cabaran dan kekangan terhadap institusi

Artikel terakhir tentang seminar. Masuk sesi pembentangan petang. Bersambung daripada artikel Seminar 120 tahun Majlis Raja-raja Melayu - Sumbangan raja-raja dalam sosio-politik negara dan undang-undang berkenaan.


Jam 2.43 petang. Setelah makan tengah hari dan menunaikan solat saya kembali masuk ke bilik seminar.


Pembentang pertama sesi merangkap pembentang keempat keseluruhan, Profesor Dato’ Dr. Abdul Monir Yaacob baru hendak memulakan perkongsian. Beliau yang diisytiharkan dalam atur cara sebagai pemegang jawatan Head of Administration Council of Islamic University Malaysia (UIM) iaitu kepala jawatankuasa pentadbiran Universiti Islam Malaysia di Cyberjaya membawa tajuk "Institusi Raja di Tanah Melayu".


Tajuk ini bertujuan untuk menjelaskan secara ringkas kedudukan raja sebagai ketua pemerintah daripada sudut pandangan Islam juga sejarah peradaban manusia. Bercakap tanpa bantuan slaid beliau membuka cerita tentang kepentingan dan keabsahan institusi raja-raja dengan membaca ayat Surah al-Mulk berkenaan yang mana al-Mulk itu sendiri bermaksud kerajaan.


Monir juga menerangkan daripada sudut kepakaran beliau dalam sejarah undang-undang Islam bagaimana penjajah British dengan liciknya dapat mengambil alih kekuasaan daripada raja-raja Melayu. Hal ini diterangkan dengan lebih jelas oleh pembentang seterusnya Profesor Madya Dr. Mohd bin Samsudin, pengarah Muzium Warisan Akademik, UKM. 


Beliau yang juga ahli Persatuan Sejarah Malaysia (PSM) memberikan tulang belakang cerita menggunakan slaid. Diceritakan bahawa kedatangan British ke Tanah Melayu memiliki motif untuk memenangkan kepentingan mereka sahaja sebenarnya... walaupun secara zahir ia kelihatan muluk berniat baik mahu menolong orang Melayu.





Menyedari perkembangan zaman di mana kuasa-kuasa Barat telah berjaya menancap pengaruh dan kekuatan di merata dunia termasuk berdekatan di Aceh, raja-raja Melayu terpaksa menggunakan strategi tertentu bagi melindungi kepentingan orang Melayu secara amnya dan raja-raja secara khususnya. Itu yang boleh muncul perkara-perkara seperti dalam Perjanjian Pangkor 1874 di mana penasihat British ditempatkan dalam istana tetapi ditegaskan mereka tidak boleh campur tangan dalam hal adat Melayu dan agama Islam...


Diceritakanlah evolusi perkara dan keadaan yang membawa pada pembentukan Malaysia dan undang-undang berkenaan...











Disebut hakikat sebenar raja-raja Melayu dipaksa dan diugut untuk menandatangani perjanjian Malayan Union. Tetapi ramai tidak sedar hakikat ini lalu raja-raja dikatakan cepat mengalah... kena tunggu pihak tertentu (baca : puak politik suara keramat rakyat konon) untuk menyelamatkan keadaan lalu merekalah yang berjasa besar terhadap agama, bangsa dan negara...








Kesimpulannya raja-raja Melayu sering diuji. Rakyat harus faham mereka memainkan peranan besar untuk menyelamatkan keadaan daripada menjadi lebih parah. Tetapi hal ini sering disembunyikan daripada umum oleh mereka yang berkepentingan.


Pembentang terakhir  Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria dari Universiti Malaya (UM) memanjangkan lagi hal tipu licik British dalam meraih kuasa sambil menghadkan penglibatan raja-raja. Membawa tajuk "Institusi Raja Melayu dalam Lipatan Sejarah Malaysia: Penerusan dan Perubahan" beliau mengangkat kembali persoalan apakah Tanah Melayu ini pernah dijajah British atau ia sekadar dilindungi mahupun dinaungi?


Daripada segi bahasa yang tersurat dalam perjanjian kita tidak dijajah. Tetapi hakikatnya bagaimana? Bila residen British diletakkan di Tanah Melayu sebagai penasihat bermula di Perak tetapi nasihat HARUS DIPINTA DAN DIIKUTI itu apa maknanya? Bila British boleh menurunkan raja yang tidak sesuai dengan kehendak mereka lalu menaikkan siapa yang mereka suka apakah kita betul-betul berdaulat untuk menentukan hala tuju sendiri? Bermacam-macam contoh diberikan Abdullah untuk menunjukkan kita sebenarnya dijajah walaupun tidak disebut begitu dalam dokumen-dokumen rasmi. Dan lagi bila Perdana Menteri pertama kita, Tunku Abdul Rahman membawa rombongan ke London untuk menuntut KEMERDEKAAN. Jelas disebut yang dituntut itu KEMERDEKAAN. Kalau bukan dijajah kenapa pula KEMERDEKAAN mesti dituntut?



Oh lupa nak cakap. Menjadi moderator sesi petang (duduk di tengah dalam gambar) adalah Penyimpan Mohor Besar Raja-raja Malaysia iaitu Tan Sri Syed Danial bin Syed Ahmad. Kalau ikut atur cara awal yang saya terima seminggu lalu moderator adalah Pengarah Institut Tamadun Alam Melayu (ATMA) Profesor Supyan Hussin. Syed Danial memberikan sudut pandang beliau sebagai orang yang rapat dengan Majlis Raja-raja Melayu sebelum membuka sesi soal jawab. Muncul seorang hadirin bercakap panjang lebar menyatakan pendirian bahawa Tanah Melayu tidak pernah dijajah British tetapi saya lihat ia lebih bersifat emosi berbanding faktual. 

Dua hadirin lain yang bersuara dalam sesi termasuk saya menyokong  hakikat kita pernah dijajah malah daripada segi pemikiran kita masih dijajah sehingga kini. Persoalannya bagaimanakah Majlis Raja-raja hendak menangani hal tersebut? Nama sahaja kita negara Islam, perlembagaan mengangkat itu dan keistimewaan kita sebagai bangsa Melayu Tetapi hendak memperkasakan mahkamah syariah melalui pindaan Rang Undang Undang (RUU) 355 pun masih tak dapat dikehadapankan. Sebaliknya RUU 164 yang memberi ruang untuk orang Melayu murtad pula berjaya diangkat di parlimen.



Persoalan yang dikemukakan ditinggalkan tergantung apabila Syed Danial menyebut kuasa raja-raja ada hadnya. Maka teruslah kita pada resolusi yang diumumkan pada penghujung seminar...

















Bergambar bersama saudara Nurman dari PERZIM (Perbadanan Muzium Melaka) selepas majlis tamat. Saya adalah antara dua orang yang datang berbusana penuh tradisional Melayu...


Bergmbar ketika minum petang. Banyak perkara dibualkan. Sementara itu hujan sedang lebat di luar.


Jam 6.15 isteri menegur mengajak saya pulang. Anak-anak yang ditinggalkan di rumah asuhan perlu diambil sedangkan kami harus mengharungi hampir 80 km perjalanan, dalam keadaan lalu lints sesak orang balik bekerja ditambah hujan lebat. Kalau tidak kerana itu tak mustahil perbualan diteruskan sampai Isyak. Cukuplah cerita dan perkongsian terakhir saya untuk tahun 1438 Hijriah...


Seminar 120 tahun Majlis Raja-raja Melayu - Sumbangan raja-raja dalam sosio-politik negara dan undang-undang berkenaan

Masuk pada sesi pembentangan ilmu pagi. Bersambung daripada artikel Seminar 120 tahun Majlis Raja-raja Melayu - Memperkatakan Perkara 38 perlembagaan.


Sesi dibuka sekitar jam 11.12 (waktu pada kamera saya) dengan kata-kata pengenalan oleh moderator sesi, Profesor Dr. Mohd Fuad Mat Jali, Dekan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).


Jam 11.18 pembentang pertama, Dato' Wan Abdul Wahid bin Wan Hassan, pemegang jawatan pembesar istana Dato Seri Orang Kaya Indera Pahlawan Negeri Pahang memulakan bicara. Beliau yang juga merupakan/ Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Negeri Pahang membawa tajuk "Peranan Sultan dan Raja Dalam Majlis Raja Raja Melayu".


Menurut atur cara beliau adalah pembentang terakhir keseluruhan seminar. Sesi sepatutnya dibuka oleh  Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria dari Universiti Malaya (UM). Namun atas sebab tertentu mereka telah bersetuju untuk bertukar giliran. Wan Wahid memberikan latar belakang tajuk dengan membacakan teks dalam komputer riba.


Teks sama turut dipaparkan ke skrin atau layar yang ditonton umum. Kami boleh melihat teks discroll (saya tahu apa terjemahan perkataan scroll dalam bahasa Melayu) sambil beliau membaca bahagian-bahagian tertentu kemudian menambah apa yang patut secara spontan.


Sejarah penubuhan Majlis Raja-raja Melayu, juga dikenali sebagai Durbar (perkataan Urdu-Parsi yang dipilih British membawa makna pertemuan) yang bermula tahun 1897 dihuraikan berserta peranan. Secara rata beliau hendak menyatakan bahawa raja-raja Melayu sangat berperanan dalam membentuk keadaan sosio-politik negara juga menerbitkan perlembagaan. Tanpa pandangan dan maklum balas daripada mereka mungkin keadaan kita akan lebih parah berkiblatkan Barat kerana itulah yang dikehendaki kuasa penjajah. Tanpa desakan raja-raja tidak akan ada keistimewaan orang Melayu juga kedudukan tinggi Islam diperuntukkan dalam perlembagaan.






Ditunjukkan struktur pemerintahan negara berserta nombor-nombor Perkara dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia yang memberikan peruntukan berkenaan.


Tugas-tugas Majlis Raja-raja yang diperuntukkan pun diceritakan diikuti gambar-gambar dan rajah yang berkenaan dengan pembentukan majlis. Disorot sejarah pembentukan Negeri-negeri Melayu Bersekutu yang kemudian digabungkan dengan Negeri-negeri Tidak Bersekutu dan sebagainya sehinggalah terbentuk Malaysia yang kita kenali hari ini. 









Pembentang kedua Profesor Madya Dr. Sham Rahayu dari Universiti Islam Antarabangsa (UIA) kemudian membawa tajuk "Peranan Majlis Raja Raja mengikut Perlembagaan Persekutuan". 


Bercakap tanpa bantuan slaid beliau menerangkan isi kertas kerja berkenaan yang telah diterima oleh sejumlah hadirin. Oleh kerana tetamu kehormat, Tun Abdul Hamid Mohamed iaitu mantan Ketua Hakim Negara telah menyentuh tentang Perkara 38 perlembagaan pada ucaptama beliau (rujuk Seminar 120 tahun Majlis Raja-raja Melayu - Memperkatakan Perkara 38 perlembagaan) Sham Rahayu memulakan dengan itu. Daripada satu-satunya perkara yang jelas menyokong kewujudan Majlis Raja-raja Melayu itu baru dipanjangkan tentang bidang kuasa dan had menurut konsep raja berpelembagaan yang dijalankan seiring dengan sistem demokrasi berparlimen Malaysia. 


Pembentang ketiga, Profesor Susanto Zuhdi dari Universitas Indonesia (UI) d Jakarta kelihatan keluar daripada tema pokok seminar apabila naik ke pentas membawa tajuk "Kerajaan Banggai dan Pemekaran Wilayah Dalam Perspektif Sejarah Maritim". 


Kalau ikut atur cara awal yang saya terima seminggu lalu tajuk yang mahu dibawanya adalah "Kerajaan Di Maluku Utara dan Negara Bangsa Suatu Perspektif". Ia kedengaran tetap terkeluar daripada tema seminar. Kami para hadirin pun menunggu apakah ada keterkaitan mahu diperkatakan...


Menariknya buat pertama saya dapat tahu tentang kewujudan sebuah kerajaan maritim di Sulawesi yang dipanggil Banggai.





Sejarah dan asal-usul kerajaan diketengahkan. Oleh kerana ia melibatkan cerita raja-raja maka ada le juga sedikit kaitan dengan tema utama seminar iaitu Majlis Raja-raja Melayu...























Paling menarik perhatian ramai adalah perkongsian tentang adat menghantar telur sejenis burung ke istana,


Burung ini katanya besar sedikit sahaja daripada ayam biasa. Namun setiap telurnya 6-7 kali ganda besar telur ayam menyebabkan ia pengsan setiap kali bertelur!









Ini adalah gambar saya ketika sesi soal jawab, diambil oleh pembantu Prof Susanto, seorang bergelar Dr (PhD) yang duduk di sebelah saya. Tiga orang hadirin sempat bersuara, yang pertama menyatakan rasa tidak puas hati kenapa tajuk seminar menyebut 120 tahun Majlis Raja-raja Melayu sedangkan raja-raja Melayu sudah wujud sejak ratusan malah ribuan tahun yang lampau. Hadirin kedua pula meminta penjelasan siapakah yang boleh mengisytiharkan darurat. Ini dijawab dengan menyatakan peruntukan dalam perlembagaan yang memberi kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong berbuat begitu jika ada alasan yang difikirkan patut. 

Saya mengambil peluang untuk berkongsi tentang apa yang diberitahu oleh kawan-kawan yang mengambil jurusan perundangan di United Kingdom bahawa di sana tidak wujud perlembagaan bertulis kerana perlembagaan difahami menurut konvesyen atau kebiasaan berlatarbelakangkan sejarah hubungan raja dan rakyat di England sejak ratusan tahun. Undang-undang di Malaysia rata-rata mengikut model sana jadi kenapa kita dipaksa agar memiliki perlembagaan bertulis? Pada saya ia adalah alasan untuk mengekang kuasa raja-raja atas slogan kuasa rakyat untuk semua. Penjelasan yang saya terima berbunyi lebih kurang begini : Absolute power absolutely corrupts - Kuasa mutlak menyebabkan korupsi atau penyalahgunaan kuasa berlaku secara mutlak. 

Mahu sahaja saya bersyarah tentang konsep raja berdasarkan tingkatan nafsu dalam ilmu Tasawuf yang meletakkan seorang raja sejati lain langsung cara pemikiran dan motivasinya berbanding rakyat biasa lalu tidak akan sesekali menyalahgunakan kuasa. Tapi itu kalau raja-raja sejati le, bukan raja yang tingkatan nafsunya sama sahaja dengan rakyat. Tapi masa tidak mengizinkan dan saya fikir susah untuk orang ramai menerima tanpa penerangan sesuai dengan segala macam latar belakang sejarah yang boleh memakan masa berjam-jam. Maka cukuplah tentang sesi pagi seminar. Selepas ini masih ada cerita sesi petang untuk dikongsikan, harap-harap sempat sebelum Maghrib...