Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Sabtu, Disember 19, 2020

Misi Teluk Intan-Beruas - Mesyuarat masjid keluarga dan 7 makam kemudian

Kembali pada cerita-cerita perjalanan/pengembaraan. Tetapi biar dipersembahkan dahulu sesuatu yang agak baru sebelum dikongsi lagi cerita perjalanan 23 tahun lalu. Merujuk pada artikel  Mengingat kembali perjalanan pertama bermotosikal besar solo keliling Semenanjung - Petunjuk tentang kerajaan awal Terengganu yang dipersembahkan pada pagi Khamis minggu lalu. Ada disebut dalam artikel bahawa ia disunting dan dilengkapkan lalu dipaparkan dari pekan Beruas, Perak. Sekarang biar dikongsikan kenapa boleh sampai ke sana.


Pagi Rabu 9 Disember 2020. Saya keluar seorang diri dengan kereta menuju ke utara.


Ini adalah kali pertama saya akan berjalan jauh setelah PKPB (Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat) yang melarang perjalanan rentas mukim di Selangor bermula 14 Oktober. Asbabnya adalah ada mesyuarat melibatkan kaum kerabat sebelah bapa di Teluk Intan, Perak.


Tidak berapa lama kemudian kelihatan satu bukit tinggi yang dikenali sebagai Gunung Besout ke utara sedikit dari Trolak.



Asalnya saya bercadang untuk mengambil jalan mendekati bukit tetapi tak jadi kerana tidak sempat.


Disebabkan ada perkara perlu diselesaikan di rumah saya bertolak keluar hampir jam 12. Sedangkan mesyuarat di Teluk Intan dijadualkan bermula selepas solat Zohor.


Jam 1.32 sampailah ke lokasi iaitu masjid lama Batak Rabit sekitar 5 km ke barat daya bandar Teluk Intan.


Ketika itu masih sempat untuk bersama solat Zohor berjemaah tetapi saya pula sakit perut. Apabila masuk ke dewan solat orang baru sahaja selesai solat.  


Untuk makluman masjid didirikan oleh nenek moyang saya atas tanah wakaf keluarga. Jam 2  makan tengah hari di bilik mesyuarat.



Selepas makan baru bermesyuarat. Berada dalam majlis adalah sejumlah kaum kerabat daripada keluarga Laksamana Raja Mahkota Perak. 


     
Kami bermesyuarat bersama AJK masjid untuk menentukan hala tuju tempat. Antara yang dibincangkan adalah penggunaan tapak masjid lebih lama yang terletak dalam kawasan pemakaman keluarga. Untuk pengetahuan masjid sedia ada pun sudah berusia sekurang-kurangnya 125 tahun. Apabila dipersetujui bahawa tapak masjid lebih lama akan dijadikan pusat sumber maklumat dan dokumentasi tentang sejarah masjid, tempat dan keluarga tergerak untuk menghadiahkan sejumlah buku tulisan saya kepada masjid. Lihat video atas.


Mesyuarat berlanjutan sehingga waktu Asar. Kelihatan kawasan pemakaman yang dikhaskan untuk keluarga sahaja di sebelah masjid. Ketika gambar ini diambil jam 5.26 petang tinggal sedikit sahaja kaum kerabat masih berlegar-legar. Kalau tidak kerana harus meneruskan perjalanan tentu saya ada berada lebih lama di sekitar.


Ikut rancangan asal saya bercadang untuk bermalam di masjid. Tetapi apabila isteri mencadangkan agar pergi berjalan lebih jauh di Perak hingga ke Beruas gerak langkah pun dipanjangkan dengan masuk ke bandar Teluk Intan. Cadangan dibuat kerana dalam tempoh sebulan dua kebelakangan muncul banyak petunjuk yang terkait dengan penglibatan nenek moyang dalam Kesultanan lama Beruas. Dah alang-alang berjalan biar diziarahi beberapa makam penting dalam sejarah Perak. 


Makam pertama adalah milik Sultan ke-22 Perak, Sultan Abdullah 1 di Durian Sebatang. Untuk pengetahuan kawasan tersebut pernah menjadi pusat pentadbiran Laksamana Raja Mahkota Perak.


Keluar dari Teluk Intan lalu pula di tepian Istana Raja Muda yang sudah lama rosak.


Ambil jalan menghala utara ke Kampung Gajah...


Masuk ke Kampung Bahagia singgah ke makam seorang moyang utama yang dikenali sebagai Keramat Kuala Bidor...








Perjalanan diteruskan melepasi Sungai Manik...


Masuk ke Pulau Besar singgah ke makam kerabat diraja Perak yang dikenali sebagai Raja Ahmad.





Asalnya saya bercadang untuk melepaskan satu cerita tentang Raja Ahmad. Ini kerana sejarah rasmi menyebut beliau tidak sempat menjadi sultan tetapi saya ada sebab untuk percaya ini tidak benar. Adapun Raja Ahmad ini juga dikenali sebagai Sultan Ahmad Johan Berdaulat Waliyullah. Dahulu tidak faham kenapa. Setelah mendapat beberapa petunjuk baru ia menjadi jelas.


Tetapi bila difikirkan kembali tak jadi hendak memberikan perincian. Mungkin belum sampai masanya, mungkin ia harus terus menjadi rahsia. Gambar ini diambil di pekan Kampung Gajah 6.47 petang. Saya sedang berkejar untuk mencapai suatu matlamat.



Ini pula di makam lama yang dikenali sebagai makam Tok Sagor Aceh sekitar 12 km ke utara Kampung Gajah. Selepas Batak Rabit ia menjadi makam ke-4 diziarahi dalam perjalanan.


Seperti halnya Raja Ahmad saya juga asalnya bercadang untuk melepaskan satu cerita tentang makam. Ia melibatkan Aceh juga wali besar Sheikh Abdul Qadir al-Jilani. Tetapi tak jadi.


Selepas itu ada 3 buah makam mahu diziarahi, kalau boleh sebelum waktu Maghrib. Namun apabila sampai ke makam pertama antara 3 iaitu makam Sultan pertama Perak, Sultan Muzaffar Syah 1 kedengaran azan berkumandang.


Ziarah tetap diteruskan dalam kesamaran awal malam. Ini adalah di makam Sultan ke-10 Perak, Sultan Muzaffar Syah II.


Selepas itu saya ke makam Sultan ke-13 Perak, Sultan Muzaffar Syah III.





Selesai itu baru terasa lengkap lalu boleh berehat. Kiranya selepas mesyuarat di masjid keluarga  saya sempat menziarahi 7 makam tokoh yang memiliki kedudukan penting dalam sejarah lama Perak.




Khamis, Disember 17, 2020

Islam sebagai jalan berkasih sayang

Hampir sebulan lalu saya ada mempersembahkan satu artikel ilmu bertajuk Islam sebagai satu jalan ilmu menonjolkan syarahan oleh guru saya di ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam), Profesor Emeritus Datuk Dr. Osman Bakar. Ia merupakan syarahan pembuka dan pertama dalam satu siri baru syarahan penglibatan masyarakat oleh ISTAC. Dua hari lalu berlangsunglah syarahan kedua dalam siri. Biar dikongsikan sedikit cerita tentangnya pagi ini. 

 
Tajuk syarahan kedua ini boleh diterjemahkan sebagai "Islam sebagai jalan berkasih sayang". Seperti kebiasaan di institut syarahan diadakan dalam bahasa Inggeris.



Saya telah diberitahu dan diingatkan tentang syarahan sejak lebih 2 minggu lepas lalu sudah memberikan komitmen kepada guru akan mengikutinya. Tetapi hendak dijadikan cerita boleh terlupa apabila sampai waktunya walau mengingati sepanjang siang hari Selasa 15 Disember. Apa yang berlaku adalah selepas siap memasang sebuah khemah merangkap pondok baru di kebun hadapan rumah jam 2 petang saya didatangi dua orang tetamu yang mahu membincangkan penglibatan saya dalam satu projek penggambaran melibatkan pencarian jati diri Melayu di Pulau Besar, Melaka. Perbincangan berlanjutan sehingga selepas jam 6. Selepas itu baru dapat menyambung kerja-kerja  memperkemaskan lagi binaan dengan menambah jaring-jaring hitam dan ikatan pada bahagian-bahagian yang patut juga meletakkan tiga lapis tikar.

Sepatutnya ini semua dapat disiapkan sebelum malam. Namun berlaku cabaran hujan lebat air naik  masuk khemah sedangkan sebelum itu dua kali anjing liar masuk duduk dalam sehingga harus membuat sertu (setengah orang sebut samak tetapi sebenarnya tidak sama) dua kali juga untuk menghilangkan najis berat. Cabaran-cabaran ini menyebabkan kerja-kerja berkenaan berlanjutan lewat. Selepas menunaikam solat Isyak dalam khemah/pondok lalu menyambung lagi kerja baru teringat ada syarahan jam 8.




Selepas kembali ke rumah untuk mandi membersihkan diri lalu bersalin pakaian barulah dapat membuka komputer untuk mengikut syarahan. Itupun ada tersangkut sedikit lalu sekitar jam 9.10 baru dapat bersama dalam majlis. Ketika itu syarahan sudah selesai lalu masuk sesi soal jawab. Daripada maklum balas dan pertanyaan di ruangan chat dapat dilihat Osman sebelum itu ada menyentuh pandangan ahli Sufi terkenal Sheikh Jalaluddin Rumi tentang kasih sayang dan percintaan juga kepentingan mengikut Sunnah Rasulullah SAW.

Antara yang sempat didengar adalah jawaban beliau tentang kaitan antara cinta keTuhanan dengan hubungan seks. Apakah boleh tercapai dengan kaedah tersebut (hubungan seks)? Yang saya dapat tangkap (dan sudah lama sedia faham) kalau itu perhubungan suci antara seorang suami dengan isteri dalam perkahwinan yang sah tentunya boleh menjadi jalan untuk mencapai cinta keTuhanan. Hmm. Teringat pula pada satu cabang ajaran dan amalan Yoga yang diamalkan oleh setengah orang Hindu purba namun menjadi ikutan moden Barat lalu dikenali sebagai Tantric Yoga. Cabang ini menonjolkan posisi seks yang kadangkala agak ekstrem dan pelik untuk mencapai kesedaran tinggi (higher consciousness) membawa kepada 'pengalaman keTuhanan'. Ajaran berkenaan ada menyebut tentang kesucian niat dalam perhubungan namun tidak diwajibkan pernikahan.

Ada pula meminta komen Osman tentang orang Barat menggunakan bait-bait syair Rumi tentang cinta bersifat universal untuk menghalalkan hubungan Homoseksual. Jawab beliau itu adalah salah faham dan salah tafsiran terhadap Rumi. Seterusnya ada yang membangkitkan tentang unconditional love (cinta/kasih sayang tanpa syarat). Apakah untuk mendekati keTuhanan kita juga harus berkasih sayang tanpa syarat (tak kira seseorang itu baik atau jahat) atau harus bersyarat? Hal ini menjadi perbincangan hangat sehingga sesi ditamatkan hampir jam 10 malam.



Untuk melengkapkan penulisan artikel saya telah mengikuti rakaman penuh video majlis yang dibuat melalui Facebook Live tadi. Moderator iaitu Profesor Madya Dr Imtiyaz Yusuf, juga dari ISTAC memulakan dengan menyatakan tajuk (yang saya terjemahkan sebagai "Islam sebagai jalan berkasih sayang"itu) dipilih memandangkan Hari Krismas pada 25 Disember yang merupakan hari kebesaran paling utama orang beragama Kristian hampir menjelang. Walaupun beliau tidak menyebut ini saya faham ia adalah dalam konteks orang Kristian selalu mendakwa seolah-olah agama mereka sahaja mengutamakan kasih sayang, Islam pula sering dituduh sebagai agama keganasan kerana sirahnya melibatkan banyak cerita perang. Dilihat dalam konteks ini syarahan boleh dikatakan sebagai satu usaha untuk menyangkal tuduhan walau tidak dinyatakan sebegitu.

Osman membuka dengan menghubungkan tajuk dengan syarahan terdahulu (rujuk kembali artikel Islam sebagai satu jalan ilmu). Ini dilakukan dengan menyatakan bagaimana ilmu dan kasih sayang sangat penting dan merupakan keperluan asas bagi setiap manusia. Seterusnya disebut beberapa perkataan Arab yang membawa makna cinta dan kasih sayang seperti Mahabbah, Wadud, Mawaddah dan Isyq (Asyik). Kupasan pun diberikan menurut konteks berserta contoh-contoh berkenaan daripada kisah-kisah di dalam Al-Quran juga kitab-kitab ulamak silam Islam. 

Paling menarik adalah apabila konsep cinta keTuhanan (divine love) dikupas dan bagaimana ia boleh dicapai dengan cara mengikut Sunnah Rasulullah SAW. Cukuplah perkongsian daripada saya. Sila ikuti sendiri rakaman video  di sini


Ahad, Disember 13, 2020

Simbolik dugaan pada majlis sambungan Mawlid Agung Alam Melayu 2020 dekat sempadan Selangor-Perak

Merujuk pada artikel Majlis Mawlid Agung Alam Melayu 2020 Jumaat malam Sabtu. Adapun saya mempersembahkannya pada waktu itu kerana ada majlis yang sangat berkaitan mahu dihadiri pada pagi keesokannya.


Sampai waktunya pagi Sabtu 12 Disember 2020 saya, isteri dan dua orang kawan pun bergerak dari Bandar Sungai Buaya dengan satu kereta untuk ke majlis tersebut.


Ikut Lebuh Raya PLUS menghala ke utara...


Keluar di tol Behrang yang terletak di dalam negeri Perak kemudian masuk kembali ke negeri Selangor melalui Sungai Selisek.





Perjalanan diteruskan lebih jauh ke pendalaman sehingga masuk ke jalan kelapa sawit kemudian menaiki bukit. Untuk makluman kawasan ini masih terletak dekat dengan sempadan negeri Selangor dan Perak.


Setelah beberapa lama sampailah ke destinasi berupa sebuah surau persendirian milik seorang sheikh tariqat.


Di sini mahu diadakan majlis sambungan bagi Mawlid Agung Alam Melayu 2020. Ini kerana rancangan asal mahu menjadikannya majlis terbuka yang boleh dihadiri oleh sesiapa sahaja terpaksa dihadkan menjadi sesi rakaman dengan kehadiran terhad akibat PKPB (Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat). Lihat kembali penerangan berkenaan dalam artikel Majlis Mawlid Agung Alam Melayu 2020.



Difahamkan surau ini baru siap lalu dibuka tidak berapa lama.


Sebetulnya sebelum sampai ke surau ada sedikit dugaan. Van besar yang mahu digunakan untuk mengangkut saya dan beberapa orang dari tempat letak kereta ke surau di puncak bukit tersangkut pada satu tebing setelah tergelongsor ke belakang ketika hendak mengundur bagi mendapatkan ruang mendaki bukit.


Keadaan ini berlaku setelah van menghantar beberapa orang terlebih dahulu naik ke surau. Selepas menuruni bukit bagi mendapatkan kami pemandu harus mencari ruang untuk memusingkan van  supaya dapat mendaki bukit kembali sedangkan jalan di sana sempit, tempat letak kereta pula sudah dipenuhi kenderaan lalu menghadkan laluan.


Sebetulnya saya dan kawan yang sama naik van boleh sahaja berjalan kaki mendaki hingga ke surau kerana kedudukannya tidaklah begitu jauh. Tetapi disebabkan pihak penganjur mahu meraikan kami pun naik van.


Isteri pula tidak mahu saya berpeluh akibat naik berjalan kaki. Ini  memandangkan kami sedang berpakaian cantik untuk majlis.


Namun saya dan kawan lelaki jadi berpeluh juga. Ini kerana kami tidak sanggup meninggalkan van tersangkut begitu sahaja. Kami berusaha untuk menolaknya keluar sambil pemandu menekan minyak.


Setelah mencuba beberapa kali dengan tambahan beberapa orang anak muda menolak juga diletakkan pelbagai bentuk alas ke bawah tayar bagi mendapatkan cengkaman ternyata usaha kami tetap tidak berjaya. Sebaliknya tayar belakang kiri asyik berpusing di tempat sama.


Nasib baik pemilik tempat iaitu sheikh tariqat kemudian muncul dari bawah dengan kenderaan pacuan empat roda. Setelah mengambil sedikit masa lagi untuk mencari tali yang sesuai van pun dapat ditarik keluar lalu kami pun naik ke surau.


Walaupun tidak mengambil gambar tentang insiden saya terasa mahu berkongsi cerita tentangnya kerana isteri melihat ada sesuatu yang simbolik tentangnya.


Pada satu lapis ia sekadar dugaan untuk menguji kesungguhan kami mahu menghadiri majlis yang penuh dengan puji-pujian terhadap junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW. Bagaimanakah sikap kami dalam menghadapi dugaan tersebut? Apakah ada rasa marah atau menyesal datang? Apakah dapat menerimanya dengan senang hati sehingga masalah selesai? Atau apakah kami lebih rela meninggalkan sahaja masalah dengan berjalan kaki ke surau memandangkan ia bukan masalah kami pun kerana kami cuma tetamu...


Sebagai tetamu apa lagi yang diraikan memang tak salah pun kalau saya meninggalkan van untuk ke surau. Tentunya penganjur tidak mahu memberatkan. Boleh sahaja dibiarkan orang lain menyelesaikan. 


Tetapi itu pentingkan diri sendiri. Tak bolehlah berbuat begitu apatah lagi van turun untuk mengambil kerana meraikan kehadiran kami.


Walaupun harus berpeluh, dalam majlis pun kami tetap akan mengeluarkan peluh malah lebih banyak lagi kerana semangat dan intensity dalam menghayati majlis dengan bacaan dan gerak tubuh badan.


Apapun simbolik yang lebih penting adalah kami dapat melepasi halangan dan dugaan secara berjemaah dengan bantuan berupa sheikh tariqat menarik van dengan kenderaan pacuan empat roda yang lebih berkuasa. Ini menunjukkan pentingnya kehadiran seorang sheikh dalam mencapai matlamat bagi meningkatkan kekuatan kerohanian hingga ke puncak. Oh. Rakaman majlis ada dibuat tetapi tidak tahu bila akan dikeluarkan. Tetapi secara rata tertib bacaan, lagu dan qasidah adalah sama seperti dipaparkan dalam artikel Majlis Mawlid Agung Alam Melayu 2020.


Adapun ketika artikel ini hampir siap ditulis baru isteri memberitahu ada mengambil gambar van tersangkut. Tetapi beliau tidak mengambil gambar ketika ia selamat ditarik keluar. Cukuplah gambar atas dan bawah bagi memberikan gambaran dugaan yang dihadapi pagi itu...