Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Khamis, November 23, 2006

Laksamana kembali ke Perak



Subhanallah! Tadi semasa melayari Internet dengan meminjam line wi-fi seorang kenalan di Kampung Janda Baik, Bentong, Pahang, di celah kawasan pergunungan Banjaran Titiwangsa pada aras lebih 1,400 kaki daripada paras laut, tiba-tiba timbul gerak untuk berkongsi sebuah cerita yang pernah disumbangkan kepada majalah tabloid Kencana lebih sebulan lepas. Sila. Bacalah. Apa yang dinukilkan di sini lebih komprehensif daripada yang terdapat dalam Kencana. Sila.


PENGEMBALIAN JASAD LAKSAMANA MUHAMMAD AMIN KE PERAK: CATATAN PERJALANAN SEORANG WARIS 

Oleh Radzi Sapiee (bekas wartawan The New Straits Times, penulis buku “Berpetualang ke Aceh: Mencari Diri dan Erti”) 

Ketika lembaran suratkhabar tempatan hangat memperkatakan akan kembalinya jasad dua orang pahlawan Perak yang dibuang negeri semasa pemerintahan Inggeris, seorang waris muda yang baru mengenali kaitan peribadi dengan kedua-dua pahlawan itu terfikir apakah ada makna tersirat di sebalik peristiwa yang julung-kali diadakan di Malaysia malah mana-mana pun di dunia moden ini? 

Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin dan menantunya Menteri Paduka Tuan Ngah Ibrahim adalah dua nama besar Perak yang dibuang negeri akibat memberontak melawan Inggeris tahun 1870an. Mereka berserta Sultan Perak ke 26, Sultan Abdullah Muhammad Shah II dan Shahbandar Uda Ma’amor (juga menantu Laksamana) telah diasingkan ke Pulau Seychelles di perairan Afrika (dipanggil Pulau Sisek dalam cerita orang-orang tua Melayu) tahun 1877 untuk memadamkan api pemberontakan orang Melayu Perak yang menyala akibat ketidak-adilan Perjanjian Pangkor 1874. 

Perjanjian itu timbul akibat kecelaruan iklim sosio-politik Perak. Tahun-tahun sebelumnya menyaksikan negeri Melayu itu kelam-kabut dilanda Perang Perak yang melibatkan pelombong-pelombong Cina, kumpulan-kumpulan gangster Ghee Hin dan Hai San serta sekutu-sekutu Melayu mereka lalu mengorbankan banyak nyawa. Pada masa yang sama, penggiliran takhta Perak turut celaru apabila Raja Ismail yang berketurunan Siak diangkat menjadi Sultan. Timbul pula sengketa tiga segi bersaudara antara Raja Ismail yang memiliki titisan diraja Perak sebelah ibu dengan Sultan Abdullah yang semasa itu berjawatan Raja Muda serta Raja Yusuf ibni Sultan Abdullah Muhammad Shah I, seorang lagi waris takhta yang merasakan dirinya tersisih. 

Suasana kacau-bilau ini memberi peluang kepada penjajah Inggeris menyucuk jarum demi jarum sehingga terbit Perjanjian Pangkor 1874 yang menyaksikan Raja Abdullah diangkat menjadi Sultan dan Raja Ismail diturunkan menjadi Sultan Muda. Sambil itu, buat pertama kali dalam sejarah tanah-air, sebuah negeri Melayu terpaksa menerima seorang Residen Inggeris sebagai “penasihat” yang ternyata bakal menjadi penentu sebenar hala-tuju pentadbiran negeri. Residen pertama itulah manusia bongkak dan angkuh yang dikenali sebagai J.W.W. Birch, birokrat Inggeris biadap yang melanggar hampir setiap sensitiviti orang Melayu sehingga dia dibunuh orang-orang Datuk Maharajalela tahun 1875. 

Susulan peristiwa pembunuhan ini menyaksikan Perak berperang dengan Inggeris sebelum ditundukkan dengan penuh kekerasan. Datuk Maharajela Pandak Lam, bapa mertuanya Pandak Endut, Datuk Sagor (Seri Agar Diraja) Ngah Kamdin, Siputum serta pengikut mereka dihukum gantung sampai mati sedangkan Sultan Abdullah, Laksamana Muhammad Amin, Syahbandar Uda Ma’amor dan Ngah Ibrahim dibuang ke Pulau Seychelles. 

Selepas beberapa lama hidup dalam buangan, Sultan Abdullah sempat kembali ke Perak selepas menerima pengampuan Inggeris lalu mangkat dan disemadikan di kawasan permakaman diraja Perak di Bukit Chandan, Kuala Kangsar tahun 1922. Malangnya, Laksamana Muhammad Amin, Syahbandar Uda Ma’amor dan Ngah Ibrahim tidak dibenarkan kembali kerana pengaruh mereka di kalangan orang Melayu masih ditakuti Inggeris. Sebaliknya mereka diasingkan ke Sarawak, kemudian Singapura sebelum meninggal dunia dan dimakamkan di pulau itu. 

Ketika dada-dada akbar tempatan sibuk memperkatakan proses pengembalian kembali jasad Laksamana Muhammad Amin dan Ngah Ibrahim ke Perak (tempat persemadian akhir Uda Ma’amor di Singapura tidak ditemui), penulis baru sahaja dua bulan mengenali diri sebagai generasi ke-lima keturunan Laksamana itu. Jika empat tahun sebelumnya banyak dihabiskan untuk mengkaji sejarah serta susur-galur keturunan sehingga 1,400 tahun terdahulu, baru kebelakangan itu, penulis tergerak untuk menyusun kembali salasilah keluarga terdekat sehingga nyatalah kaitan peribadi dengan pahlawan tersebut. 

Sampai satu ketika, penulis yang pernah menziarahi makam-makam lama berkaitan keluarga hampir seluruh tanah-air telah tergerak untuk mencari di manakah pula Laksamana Muhammad Amin disemadikan. Baru penulis sedar Laksamana dimakamkan di Singapura, lalu timbul pula keluhan bagaimana hendak ke sana dalam keadaan kekurangan belanja dan sudah lebih 20 tahun tidak pernah menjejakkan kaki ke pulau itu. 

Kebetulan hari itu juga muncul artikel tulisan Dr Talib Samat bertajuk “Dua Pahlawan kembali ke Perak” dalam Mingguan Malaysia 27 Ogos 2006 menyatakan jasad Laksamana Muhammad Amin dan Ngah Ibrahim akan dikembalikan ke tanah-air penuh istiadat 9 September. Lebih menarik, jasad mereka akan di bawa dari selatan tanah-air menaiki kapal tentera laut Malaysia bernama KD Laksamana Muhammad Amin! Dan Laksamana akan disemadikan di kawasan permakaman diraja, sekitar 8 meter sahaja daripada makam Sultan Abdullah yang mengikut salasilah rasmi adalah saudara tiga pupu beliau.

Penulis yang sangat teruja terus tergerak menghubungi seorang sepupu kepada bapa yang baru sahaja seminggu dikenali kembali setelah hampir 30 tahun tidak bertemu. Fikirnya, hendak memberitahu akan peristiwa itu tetapi rupanya bapa saudara itu telah lebih dahulu mengetahui. Malah beliau menyatakan waris-waris telah dijemput menghadiri majlis penuh-istiadat lalu mengajak penulis mendaftarkan diri. 

“Dua buah bas kerajaan telah disediakan untuk mengangkut keluarga dan kaum kerabat dari Teluk Intan ke Lumut di mana jenazah akan diturunkan dari kapal ke pengkalan tentera laut sebelum dibawa ke Bukit Chandan,” dia memberitahu. 


DETIK-DETIK PERJALANAN 

Khamis, 7 September 2006, setelah membeli sepasang baju melayu hitam berserta kain samping dan songkok bersesuaian di kawasan Masjid India, sampailah masa untuk bergerak ke Teluk Intan. Penulis bergegas ke perhentian bas Puduraya, ternampak pula sebuah pusat Internet lalu singgah untuk berhubung dengan kawan-kawan melalui sebuah forum kegemaran sehingga dilekakan, sampai tertinggal bas terakhir ke Teluk Intan. Itulah yang menyebabkan penulis terpaksa menaiki bas 8.30 malam ke Bidor lalu bermalam di masjid jamek sana. Rupa-rupanya, ini adalah satu isyarat kepada beberapa perkara yang akan berlaku kemudian. Keesokannya, baru penulis dapat menaiki bas ke Teluk Intan kemudian bermalam di rumah saudara di Kampung Batak Rabit. Di sanalah terletak kawasan permakaman keluarga Laksamana di samping sebuah masjid lama wakaf keluarga yang menjadi tempat-tempat wajib diziarahi penulis apabila bertandang ke Perak. 

Sabtu, 9 September 2006, sampailah hari kembalinya jenazah Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin dan Ngah Ibrahim ke tanah-air. Penulis bangun awal 5 pagi untuk bersiap sebelum pergi ke lokasi bas kerajaan disediakan di rumah OBJ (Orang Besar Jajahan) Hilir Perak, Laksamana Datuk Mohd Amin Shukeri, cucu kepada almarhum Laksamana Muhammad Amin. 

Geli-hati juga memikirkan aturan perhubungan keluarga sendiri. Salasilah keluarga Laksamana menunjukkan, pemegang jawatan Laksamana terdahulu, Laksamana Datuk Mohd Hamidi yang meninggal dunia tahun 1997 berpangkat bapa saudara kepada penulis sedangkan Laksamana sekarang berpangkat moyang walaupun umurnya baru hendak mencecah 70. Orang Kaya Menteri Paduka Tuan sekarang, Datuk Wan Muhammad Isa generasi ke-4 keturunan Ngah Ibrahim yang berumur 61 tahun pula berpangkat saudara tiga pupu dengan penulis! 

Dalam pada itu, timbul sedikit kekesalan melihat akhbar-akhbar tempatan terlalu memperbesarkan peranan Ngah Ibrahim dalam susunan sosio-politik Perak disebabkan kekayaan materialistiknya yang melimpah-ruah sehingga tenggelam jasa-jasa Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin. Mungkin mereka lupa, perjuangan orang Melayu di Perak dahulu bukan dibakar oleh kekayaan dan wang ringgit? Malah sifat taksub mengumpul harta oleh sesetengah pihaklah yang memberi ruang untuk penjajah mengatur siasah sehingga Tanah Melayu tergadai. 

Ramai lupa semangat patriotik orang-orang berjiwa kesatria seperti Laksamana lah yang dapat membangkitkan jiwa serta keberanian orang Melayu untuk bangkit menentang penjajah. Jikalau harta benda sahaja mahu dijadikan ukuran kebahagian hidup, bukankah lebih senang mereka bersekongkol sahaja dengan penjajah untuk merogol hasil-maksyul bumi Melayu yang kaya-raya tanpa perlu menyingsing baju mempamirkan lengan mengambil risiko mengorbankan nyawa? 

Penulis teringat sebuah artikel akhbar The New Straits Times yang mengenengahkan temuramah dengan Laksamana Datuk Mohd Amin Shukeri. Ketika kebanyakan laporan lebih memperbesarkan cerita pihak Ngah Ibrahim sehingga “menggelapkan” nama kapal laut TLDM yang akan membawa jenazah sebagai KD Laksamana sahaja, bukan KD Laksamana Muhammad Amin, artikel itu mempamirkan sedikit kelainan dengan menyatakan pengaruh besar Laksamana Muhammad Amin di Perak yang menyebabkan beliau digeruni Inggeris. 

Tidak seperti Ngah Ibrahim yang rekod hidupnya senang diperolehi untuk tatapan umum sehingga terbit beberapa buku memuji-muji kekayaannya, kisah hidup dan peranan Laksamana Muhammad Amin hampir hilang kesemuanya ditelan zaman. Kata Datuk Mohd Amin Shukeri, beliau terpaksa bergantung kepada catatan-catatan pendek dalam diari buruk almarhum bapanya Laksamana Mohd Ali Akbar bin Muhammad Amin untuk digunakan dalam temuramah dengan wakil akhbar. 

“Saya tidak memiliki apa-apa catatan bertulis atau barang peninggalan milik Laksamana Muhammad Amin yang boleh dijadikan rujukan kerana segala-galanya telah dirampas Inggeris lalu dimusnahkan setelah datuk saya dibuang ke Pulau Seychelles,” beliau memberitahu. 

Katanya lagi, pengaruh Laksamana begitu tinggi digeruni Inggeris. “Sebenarnya Datuk Maharajalela dan Datuk Sagor (yang dikenali sejarah sebagai orang-orang yang bertanggungjawab membunuh J.W.W. Birch) berada di bawah naungan Laksamana Muhammad Amin! Tetapi Inggeris tidak dapat membuktikan keterlibatan Laksamana dalam pembunuhan itu, maka itu beliau dibuang ke Pulau Seychelles,” beliau menambah. 

Menulis dalam ruangannya di akhbar The Star, bekas ketua polis negara, Tun Hanif Omar yang berasal daripada keluarga Maharajalela juga menyatakan pengaruh besar Laksamana Muhammad Amin.

Katanya, nama Laksamana sering disebut-sebut dalam diari Birch dan pesuruhjaya Inggeris, Frank Swettenham. Malah selepas peristiwa pembunuhan Birch, Swettenham mencatatkan bagaimana kononnya dia berjaya menyelamatkan diri daripada turut dibunuh dalam rancangan seterusnya. Pesuruhjaya Inggeris itu percaya, Laksamana Muhammad Amin melalui rancangan tertentu cuba memaksanya untuk mendarat di Bota, kalau mendarat di sana, sudah tentu dia akan dibunuh orang Melayu! Menurut satu sumber pula, raja dan para pembesar Melayu telah ditipu Inggeris hidup-hidup sebelum dibuang ke Pulau Seychelles. 

“Sebenarnya, Sultan Abdullah, Laksamana Muhammad Amin, Syahbandar Uda Ma’amor dan Ngah Ibrahim telah dijemput menghadiri majlis makan rasmi di atas kapal Inggeris secara terhormat, tidak terfikir pun itu cuma helah penjajah untuk mengasingkan mereka dari tanah-air. Dalam sibuk melayan majlis itulah, sauh diangkat dan kapal pun bergerak… Sedar-sedar sahaja, mereka telah berada jauh di lautan lepas dan tidak dapat berbuat apa-apa kerana dikelilingi ramai askar bersenjata!” 


BERSEDIA MENYAMBUT JENAZAH 

Dua buah bas kerajaan Perak membawa sekitar 70 orang waris keluarga Laksamana berlepas meninggalkan Teluk Intan sebelum jam 8. Mereka yang menaiki kereta pula telah lebih dahulu berlepas. Bas sampai di Lumut sekitar jam 9, terus ke rumah OBJ Lumut untuk singgah dan makan-makan. Sebelum itu, kami yang menaiki bas telah diberitahu bahawa kami tidak dapat menghadiri majlis sambutan jenazah daripada kapal KD Laksamana Muhammad Amin oleh ketiga-tiga cabang angkatan tentera Malaysia yang akan diadakan di dalam kawasan pengkalan tentera laut. Cuma waris serta hadirin menaiki kereta dengan pelekat VIP sahaja dibenarkan masuk. Yang lain harus menunggu di rumah OBJ sehingga majlis di pengkalan selesai. Kemudian barulah bersatu kembali dengan rombongan membawa jenazah untuk ke kawasan permakaman diraja Perak di Bukit Chandan, Kuala Kangsar. 

Penulis pun berlegar-legar di perkarangan rumah OBJ sambil menikmati berbagai juadah yang terhidang, sempat berkenalan dengan beberapa orang waris sambil membuka cerita asal-usul keluarga Laksamana yang berkaitan dengan satu watak terkenal pertengahan abad 18 Masihi, seorang pahlawan Melayu yang dikatakan berketurunan Bugis, sangat digeruni penjajah dan dikenali sebagai Nakhoda Hitam. Dikatakan pernah bermaharajalela seluruh Nusantara menyerang kapal-kapal Belanda lalu digelar mereka sebagai Latata Ambralla (tidak tahulah apa maknanya), sebelum beliau “menumpukan” aktiviti di perairan Pulau Sembilan di Kuala Sungai Perak. 

Walaupun pihak penjajah sibuk mewar-warkan beliau sebagi lanun dan pengganas yang perlu diburu dan dihukum bunuh, Nakhoda Hitam kemudian dijemput Sultan ke 13 Perak, Sultan Muzaffar Shah III (memerintah 1728-1754) untuk menjadi Laksamana yang menjaga perairan negeri, siap memakai gelaran tambahan Raja Mahkota yang mengandungi rahsia yang tersendiri. Mungkin kerana Sultan kenal asal-usul mulia Nakhoda Hitam? Cerita kehebatan beliau menjadi legenda rakyat Perak yang sering dicampur-adukkan dengan satu lagi watak berkaitan yang dikenali sebagai Keramat Kuala Bidor, orang yang diberitakan pernah membela buaya putih Sungai Perak ketika buaya itu masih sebesar tapak-tangan! 

Penulis juga sempat bertukar sedikit maklumat salasilah keluarga dengan waris-waris yang baru dikenali, bagaimanakah bentuk hubungan antara kami, pangkat pakcik ke, makcik, berapa pupu dan sebagainya. Seorang waris pun mengajak penulis ikut sama masuk ke pengkalan TLDM untuk menyambut kedatangan jenazah menaiki keretanya yang ada pelekat VIP. Orang mengantuk disorongkan bantal. Memang penulis teringin menghadiri majlis gilang-gemilang itu tetapi roti-jala serta ayam kari atas pinggan perlulah dihabiskan dahulu sebelum secawan kopi dicari untuk menyempurnakan makan pagi. 

Dalam kemeriahan majlis makan dan perkenalan di rumah OBJ Lumut itu, kedengaranlah pengumuman, majlis di pengkalan akan bermula. Muncul juga satu pengumuman baru membuka halwa telinga, semua waris dijemput masuk! Maknanya, tidak perlu naik kereta dengan pelekat VIP, masuk naik bas kerajaan pun boleh… 

Penulis yang belum selesai sarapan (sebab banyak sangat bercerita!) pun menolak dengan baik jemputan menaiki kereta sebaliknya bergegas menghabiskan juadah yang masih separuh pinggan. Selesai itu, baru minum kopi lalu menghisap rokok sebelum berjalan santai kembali menaiki bas kerajaan. Ketika itu, konvoi kereta-kereta berpelekat VIP sudah selamat masuk ke semuanya ke dalam pengkalan TLDM. 

Lebih kurang 10 minit kemudian, bas kami pun bergerak ke pengkalan. Sampai ke pos pengawal, tiba-tiba pemandu bas diarahkan berpusing balik ke pekan! Entah kenapa, atas arahan siapa, telah berlaku lagi pertukaran rancangan. Balik ke rancangan asal, cuma kereta berpelekat VIP sahaja boleh masuk ke dalam pengkalan. 

Maka terpaksalah penulis menunggu di luar sejam sementara mereka yang selamat lepas ke dalam menyaksikan acara penuh gemilang, dihadiri Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah, Raja di Hilir, Raja Jaafar, pegawai-pegawai tertinggi tentera, agensi-agensi kerajaan dan dif-dif terhormat. Itulah, leka lagi. Tertinggal majlis begini penting kerana sibuk hendak menghabiskan sarapan dan menikmati sebatang rokok! 


DARI LUMUT KE BUKIT CHANDAN 

Rupa-rupanya, ramai juga yang terpaksa menunggu di luar. Di samping dua buah bas kerajaan Perak yang datang dari Teluk Intan, ada sebuah lagi membawa waris-waris dari sekitar Sitiawan, Manjung dan Lumut. Ada pula beberapa kereta lain, sesetengah milik persatuan radio utara dan badan media lain yang akan turut serta dalam konvoi ke Bukit Chandan. Sejam kemudian, kami mendapat berita, acara menyambut jenazah di pengkalan TLDM sudah pun selesai. Kami pun bersedia menaiki kenderaan masing-masing. Tidak lama kemudian, kedengaranlah bunyi siren polis pengiring, diikuti van jenazah, kereta-kereta VVIP (termasuk kereta Raja di Hilir, Raja Muda tidak mengikuti rombongan ini), kereta-kereta berpelekat VIP termasuk kereta yang penulis “terlepas” tadi. Kemudian baru para “penunggu” di pekan Lumut ikut sama di belakang. 

Penulis menaiki bas kerajaan yang paling belakang antara tiga yang disebut tadi. Ingatkan itulah kenderaan terakhir dalam rombongan ini, rupanya ada banyak lagi di belakang. Rombongan yang disertai tidak kurang 30 kenderaan ini (setakat terlihat dek mata kasar) panjangnya hampir sebatu! Nasib baiklah selain ada polis-polis pengiring, pekhidmatan polis trafik telah diatur sepanjang jalan untuk memastikan segalanya bergerak lancar. 

Kami meninggalkan Lumut sekitar jam 10.15 pagi, lalu di Sitiawan kemudian terus ke jalan lama menghala ke Kuala Kangsar. Walaupun ada jalanraya lain lebih elok dan lebih laju dengan menghala ke Ipoh (orang sini panggil highway), konvoi memilih untuk mengambil jalan yang lebih berliku yang akan melalui Kampung Kota di Beruas. 

Walaupun tidak ada sesiapa menceritakan sebabnya, penulis faham rahsia di sebalik pemilihan jalan ini kerana sudah lama mengkaji asal-usul keluarga Laksamana yang mempunyai kaitan dengan keluarga diraja Aceh, Samudera-Pasai dan Perlak, selain keluarga diraja Perak sendiri yang memiliki susur-galur keSultanan Melayu Melaka. Setakat boleh diceritakan, jalan yang dilalui berkait rapat dengan sirah perjalanan hidup Sultan Malikul Mansur, pewaris kerajaan Samudera yang dibuang negeri akibat mengambil perempuan Istana Pasai yang dirajai kekandanya Sultan Malikul Mahmud. Mengikut kitab Hikayat Raja-raja Pasai, Malikul Mansur dan Malikul Mahmud adalah cucu Sultan Malikus Salih, pengasas kerajaan Samudera dan Pasai yang dikatakan mangkat tahun 1297 Masihi, lebih 100 tahun sebelum nama Sultan Iskandar Shah Melaka yang dipanggil Barat sebagai Parameswara dikenali.

Malikul Mahmud murka lalu mencari jalan menangkap dan menghukum adindanya. Ketika dalam buangan itulah, cerita lama menyebut, Sultan Malikul Mansur telah sampai ke daerah Manjung lalu berehat di bawah sebatang pokok. Nama kerajaan Beruas diambil daripada nama pohon itu, sejenis pokok manggis hutan. 

Walaupun cerita lama juga menyebut, lokasi asal pusat pemerintahan Beruas itu terletak lebih jauh ke laut, lebih tepat di sekitar Pengkalan Baru, 40km ke Barat Kampung Kota, kampung itu lebih dikenali ramai sebagi pusat kerajaan Beruas kerana di sana terdapat kawasan permakaman lama dengan kuburannya ditanda batu nesan jenis Aceh dan dikenali sebagi Makam Raja-raja Beruas. 

Setelah melepasi Kampung Kota dan pekan Beruas, rombongan menghala Timur ke Ipoh sebelum menukar haluan ke Utara di Simpang Tiga untuk menuju ke Manong seterusnya Kuala Kangsar. Setengah jam kemudian, kami pun sampai ke kawasan pemakaman diraja di Bukit Chandan. Beratus, mungkin beribu hadirin serta rakyat yang berminat untuk melihat sendiri upacara yang julung-kali diadakan ini telah sedia menunggu di perkarangan makam juga di Masjid Ubudiyah di sebelah.


BERSEMADILAH KEMBALI NENDA DENGAN TENANG, HASRAT NENDA KEMBALI KE TANAH-AIR SUDAH TERCAPAI 

Sebaik sahaja turun dari bas, penulis dapat melihat pelajar-pelajar sekolah berbaju Melayu lengkap beratur sedia sepanjang jalan menyambut kedatangan jenazah dalam keadaan cuaca cantik terang-benderang. Jasad Laksamana Muhammad Amin dalam keranda diselaputi Jalur Gemilang pula telah melepasi pintu masuk kawasan permakaman, diangkat anggota tentera laut Malaysia dan dibawa penuh adat-istiadat pahlawan. 

Dalam pada itu, kedengaran bisik-bisik orang kebanyakan tertanya-tanya, kenapa pula jasad Laksamana disemadikan di makam diraja... Bukankah Laksamana cuma bangsawan biasa sahaja? Mengapa dikebumikan bersama raja-raja? Bukankah keluarga Laksamana memiliki kawasan pemakaman sendiri di Kampung Batak Rabit, Teluk Intan? Mengapa perlu dibawa jauh ke sini? 

Ah… Penulis hanya tersenyum sendirian. Jika sahaja mereka tahu susur-galur sebenar keluarga Laksamana dan asal-usul kami… 

Setakat yang boleh dikaji umum, hubungan darah Laksamana Muhammad Amin dengan keluarga diraja adalah melalui perkahwinan Sultan ke 23 Perak, Sultan Jaafar (memerintah 1857-1865) dengan Wan Mahtra, anak Laksamana Wan Abdul Rahman yang pernah menjadi isteri Laksamana Pandak Ibrahim. Dari perkahwinan ini terbitlah Sultan Abdullah yang turut dibuang ke Pulau Seychelles. 

Wan Mahtra adalah saudara dua pupu bapa Laksamana Muhammad Amin iaitu Abdul Wakap. Maka secara rasminya, Sultan dan Laksamana adalah saudara tiga pupu. Siapa pula yang tahu salasilah rahsia yang digelapkan, salasilah tertentu yang boleh membuktikan Sultan dan Laksamana adalah sepupu di pihak lelaki, malah Laksamana Raja Mahkota dahulukala boleh bertakhta sepertimana adatnya di Aceh? Ah… Biarkan sahaja ia terus menjadi rahsia. Akan ada pihak yang tidak senang dengan kenyataan ini.

Dalam keramaian suasana sambutan jenazah itu, di sebalik rasa sebak berbaur bangga melihat jenazah nenda diusung penuh hormat dan istiadat, penulis cuba mencari sudut paling sesuai dalam setiap gerakan untuk merakamkan upacara dengan kamera digital. Bukan penulis seorang sahaja mencari berita, tidak kurang 20 orang yang boleh dikenali sebagai wartawan atau jurugambar profesyional turut sama berebut sudut menarik. Belum dicampur waris, jemputan atau pengunjung lain yang ingin merakam cerita. Penat! Bukan senang mendapat sudut baik di celah longgokan manusia. 

Penulis juga dibelenggu sedikit dilema, antara tugas sebagai perakam cerita berbanding tanggungjawab dan etika sebagai seorang anak-cucu. Apakah perlu terkejar-kejar mencari sudut di celah keramaian orang atau duduk terpaku di satu sudut, menghayati majlis dengan penuh tawadhuk? Akhirnya ikut sahaja apa yang tercetus di hati pada satu-satu ketika, bila teringat tugas, boleh menyelinap sehingga masuk ke celah ketiak orang, bila teringat diri sebagai anak-cucu terus duduk diam tunduk ke bumi menahan sebak sambil menghadiahkan Al-Fatihah dan Salawat. 

Dalam keadaan itulah penulis berpusing-pusing di kemah VVIP tanpa menghiraukan pandangan orang ramai baik Raja di Hilir Raja Jaafar, Menteri Besar Datuk Tajul Rosli, Laksamana Mohd Amin Shukeri, orang-orang istana dan ramai lagi kenamaan. Akhirnya Alhamdulillah, nenda selamat disemadikan dan cucunda juga sempat menabur bunga di pusara dan menyiram air mawar. Syukur juga wanita kesayangan penulis dapat menghadirkan diri untuk turut memberi penghormatan. Tapi dalam kesibukan melayan orang dan keadaan itulah, penulis tertinggal rombongan, lalu tidak dapat menghadiri majlis pengkebumian Ngah Ibrahim di Matang. 


NAKHODA HITAM DAN KERAMAT KUALA BIDOR 

Sedikit kaitan antara Laksamana Muhammad Amin dengan watak legenda Nakhoda Hitam yang berkuasa di Perak pertengahan abad ke 18 telah disebut awal tadi, begitu juga kaitan mereka dengan watak purba penuh misteri yang dikenali sebagai Keramat Kuala Bidor. 

Sebagai tambahan, biarlah disebut, Laksamana Muhammad Amin adalah generasi ke-5 keturunan Nakhoda Hitam sedangkan Nakhoda Hitam adalah cicit kepada Raja Bugis yang dikenali sebagai La Madu Salat atau La Madu Saleh. La Madu Saleh adalah bapa kepada seorang watak terkenal Bugis, Opu Tanderi Buring Daeng Rilaka dan Daeng Rilaka adalah bapa kepada Opu Lima Bersaudara, anak-anak Raja Bugis yang sangat terkenal dan digeruni di bumi Melayu abad ke 18 iaitu Daeng Parani, Daeng Merewah, Daeng Menambun, Daeng Kemasi dan Daeng Chelak. Daeng Celak adalah bapa kepada Raja Lumu yang menjadi Sultan pertama Selangor. Seorang lagi anaknya ialah Yam Tuan Riau Raja Haji, pahlawan Bugis yang sangat digeruni kawan dan lawan. Maka mengikut salasilah di atas, Raja Haji yang mangkat ketika menyerang Belanda di Teluk Ketapang tahun 1784 dan Nakhoda Hitam adalah saudara dua pupu. 

Darah diraja Nakhoda Hitam mewarnai keturunan raja-raja Perak melalui perkahwinan Sultan Perak ke 18, Sultan Ahmaduddin Shah (memerintah 1792-1806) dengan cucu beliau, Che Pusa Puteh yang menjadi isteri pertama baginda. Perlembagaan negara Perak yang diguna-pakai sekarang menyatakan Sultan yang bertakhta mestilah daripada keturunan Sultan ke 18, maka hampir semua raja-raja Perak sejak itu memiliki titisan darah Nakhoda Hitam. 

Walaupun banyak cerita lisan menyebut Nakhoda Hitam sebagai Keramat Kuala Bidor, kajian peribadi penulis menunjukkan mereka adalah dua watak yang berbeza tetapi memiliki titisan darah yang sama. Nakhoda Hitam hidup sekitar 300 tahun dahulu sedangkan Keramat Kuala Bidor bertapak di bumi Perak sebelum ianya beraja, kemungkinan besar sekitar 1,000 tahun dahulu, sebelum wujud kerajaan Samudera dan Pasai apalagi Melaka! Maka itu, biar diperturunkan cerita mengenai Keramat Kuala Bidor seperti yang telah dinukilkan dalam buku “Berpetualang ke Aceh: Mencari Diri dan Erti”…


Sedutan bab bertajuk “Dari Perlak ke Perak, Kisah Keramat Kuala Bidor”. 

Mereka yang mengkaji sejarah lama Aceh pasti tahu nama Sultan Malikus Salih, pengasas kerajaan berkembar Samudera Pasai yang tersohor dalam sejarah Islam Nusantara. Jauh sebelum keSultanan Melaka wujud dan menerima Islam, baginda telah menjadikan kerajaannya sebagai pusat keilmuan, dakwah dan penyebaran Islam yang terunggul di rantau ini. 

Cerita mengenai Sultan ini pula diabadikan dalam Hikayat Raja-raja Pasai, kitab lama yang dianggap para pengkaji dan ilmuwan sebagai teks tertua dalam sejarah sastera Melayu. Sementara makamnya di Aceh menjadi tumpuan ramai yang ingin menelusuri sejarah kegemilangan Islam dahulukala. Tetapi berapa ramaikah yang tahu baginda dan kerajaannya tidak akan wujud jika tidak kerana seorang hamba Allah yang pernah menetap di Teluk Intan dan dimakamkan di sana? Berapa ramai menyedari hubungan peribadi baginda dengan orang di Perak ini? 

Cuma, makamnya terletak terpencil di sebuah estet, bukan seperti makam Malikus Salih yang terserlah di Sumatera ditandai batu nesan Aceh, melambangkan martabat dan kebesaran pemiliknya. Ia sekadar dihiasi batu-batu sungai, cukup untuk memberitahu di situ bersemadi jasad seorang insan yang pernah wujud di mukabumi ini. 

Apa yang menunjukkan pemilik makam di kuala Sungai Bidor ini bukan sembarangan orang adalah ikatan kain kuning pada batu-batu itu. Maka itu dikenali orang sebagai Keramat Kuala Bidor. 

Tersebutlah kisah, suatu masa dahulu di Sumatera, dua beradik berebut takhta. Si abang yang lebih layak terkilan, sedih dicabar si adik yang berang. Lalu merajuk meninggalkan kerajaan, bersama isteri tersayang sehelai sepinggang. 

Mereka pun bersampan menyeberangi Selat Melaka. Masuk ke Sungai Perak, mendarat di Teluk Intan. Di situlah duduk, mencari makan. Bercucuk-tanam, menjala ikan. 

Nenek kata pada zaman itu keSultanan Perak belum wujud lagi. Tidak tahu pula berapa lamakah dahulu cerita ini berlaku. Nama Teluk Intan pun belum wujud, begitu juga nama Perak dan Sungai Perak. Tetapi sudah ada penduduk di situ, sudah ada kampung kecil nelayan. Tidak pasti pula asal-usul mereka, di bawah kerajaan mana atau naungan siapa. Kalau ikut sejarah rasmi, keSultanan Perak bermula tahun 1528 Masihi. Maka cerita ini mestilah telah berlaku sekurang-kurangnya 500 tahun dahulu. 

Yang peliknya, nenek kata Keramat Kuala Bidor selalu berulang-alik berkebun di Bidor. Pergi selepas Zuhur, balik sebelum Maghrib. Sedangkan kalau naik kereta sekarang inipun memakan masa sejam dari Teluk Intan hendak ke Bidor. Inikan pula pergi-balik meredah hutan, siap berkebun dalam tempoh lima jam. Hendak kata naik kuda, setahu Rasyid Keramat Kuala Bidor tidak memiliki apa-apa bentuk tunggangan. Maklumlah orang miskin hidup sehelai sepinggang, lembu pun tak mampu beli inikan lagi kuda... Eh... Entah-entah hamba Allah ini naik harimau kot? Sebab pernah orang menyebut, beliau ada membela seekor harimau yang tempang satu kakinya dikenali sebagai harimau tepok... 

Keramat Kuala Bidor juga suka menjala ikan awal pagi dan menghadiahkan tangkapannya kepada penduduk kampung tanpa diketahui. Selesai menjala, beliau pun meletakkan ikan di pintu setiap rumah sebelum Subuh. Buka sahaja pintu terus dapat ikan percuma. Tetapi tidak tahu siapa yang beri. Beliau cuma mengambil seekor dua untuk makanannya dan isteri. 

Memang hidup hamba Allah ini ringkas. Kain bersih pun ada sehelai sahaja dikongsi suami isteri. Itulah yang digunakan untuk solat bergilir tetapi hidup mereka tetap berseri... 

Nenek kata kalau beliau mahu hidup senang goyang kaki sudah lama boleh kerana beliau telah dikurniakan banyak kelebihan semulajadi. Tetapi Keramat Kuala Bidor bukan jenis manusia yang cintakan kekayaan dan harta benda malah apa-apa bentuk pun kemewahan dunia. 

Pernah terjadi peristiwa Keramat Kuala Bidor terjumpa sebuah takar penuh emas yang nilainya mahu berjuta-juta Dolar. Selalunya orang kalau terjumpa harta karun sebegini mesti terus lupa diri. Maklumlah, harta percuma... Malah kebanyakan orang sanggup berbunuh-bunuhan untuk mencari harta dan kekayaan. 

Tetapi beliau tahu itu hanyalah dugaan Allah semata-mata untuk menguji hati hambaNya samada terpengaruh dengan harta benda ataupun tidak. Maka Keramat Kuala Bidor buat tidak nampak dan terus meninggalkan takar itu. Tahu tidak apa yang terjadi seterusnya? Takar itu cuba mengekorinya pula! 

“Ya ke ni nenek?” tanya Rasyid meminta kepastian. 

“A’a lah... Kamu tak percaya ke?” nendanya bertanya kembali. 

Pada mulanya, Keramat Kuala Bidor cuma berjalan seperti biasa. Setakat hendak meninggalkan tempat itu dan kembali ke rumahnya. Tetapi takar itu pula boleh mengensot-ensotkan diri mengikutinya. (Macam kerbau pendek tidak berkaki?) Bila Keramat Kuala Bidor melangkah lebih laju, pandai pula ia bergolek mengejar (macam ba alif ba ya golek siap ada apel kat mulut?). Hamba Allah inipun melarikan diri. Takar itu pula memecut sekali! 

Sampai sahaja ke kampung, beliau terus melompat masuk ke dalam masjid. Takar itu cuba melompat sama tetapi jatuh terlanggar tangga. (Yalah, ia bukannya ada kaki...) Bersepah keluarlah kepingan-kepingan emas di dalamnya, terus dikutip orang-orang sekeliling. Tetapi seperti biasa, Keramat Kuala Bidor buat tidak tahu, macam tidak ada apa-apa yang berlaku... 

Nenek kata ada orang-orang dulu menanam takar berisi emas di tempat tertentu. Sampai sekarang masih ada pihak yang cuba mencari takar itu. Tetapi menurut khabarnya ia dijaga jin ganas yang hauskan setempayan darah anak dara. Sebab itu nenek tidak suka bercerita kepada sesiapa. Katanya ada pihak yang cuba mengorek cerita-cerita lama daripadanya tetapi beliau malas hendak menjawab. Cerita pun sedikit sahaja kerana ramai yang ingin tahu untuk mencari harta ataupun bukti demi menagih pangkat. Sedangkan mereka sepatutnya tidak hairan dengan semua ini. Tetapi nenek sanggup bercerita kepada Rasyid kerana tahu cucundanya itu cuma dahagakan jawaban, tidak gilakan pangkat ataupun harta. Tahu anak muda ini mahukan penyelesaian yang dapat memberikannya istirehat setelah bertahun tak henti berkelana... 

Dalam suatu peristiwa pula, seperti biasa Keramat Kuala Bidor pergi menjala ikan di Sungai Perak tetapi apabila beliau menarik jalanya, yang sangkut cuma seekor anak buaya. 

Hamba Allah yang penyayang ini tidak membunuh mahu pun membuang anak buaya yang terluka itu. Malah beliau merawatnya sehingga sembuh. Buaya itupun menjadi binatang peliharaannya. Itulah buaya putih Sungai Perak yang terkenal di kalangan rakyat tempatan sana, buaya legenda yang akan muncul apabila akan berlaku apa-apa peristiwa besar yang boleh mengancam negeri itu, mungkin negara ini juga... 

Kata nenek, buaya itu asalnya sebesar tapak tangan sahaja. Sekarang, ada yang kata panjangnya sampai boleh menyeberang Sungai Perak. Kalau begitu, tidak kurang 100 meter ada! Entah betul entahkan tidak.. Apapun buaya itu sebenarnya adalah buaya jadian, boleh menjelma menjadi orang... Maka itu janganlah hairan jika ia boleh membesar selebar Sungai Perak. 

Dalam banyak-banyak cerita nenek, Rasyid paling suka kisah Keramat Kuala Bidor hendak mengambil wuduk sebelum Subuh di tepi Sungai Perak tetapi air menjadi keras! Ya, keras seperti batu... 

Hamba Allah ini tidak peduli pun dengan peristiwa ajaib itu kerana cuma ingin mengambil wuduk untuk menunaikan solat. Lalu beliau pun menanggalkan serbannya dan meletakkannya di sisi. Kemudian melangkah ke atas air yang keras tadi menuju ke tengah untuk mencari air yang boleh dibuat wuduk. Tetapi air sungai masih lagi keras, tidak ada yang boleh digunakan... 

“Kira air itu beku macam aiskah nenek?” anak muda itu memotong. Bertanya macam budak-budak. Nak manja dengan nenda agaknya... “Tak juga,” jawab nenek. “ Nak kata macam ais, air batukan sejuk? Cakap air keras aje cukuplah, macam simen atau batulah agaknya...” 

Maka terpaksalah Keramat Kuala Bidor berjalan merata di atas sungai demi mencari air yang boleh digunakan untuk dibuat berwuduk. Tidak ada juga air yang cair. (Pelik bunyinya bukan?) Harus melangkah lebih jauh lagi ke tengah Sungai Perak yang luas... 

Entah mengapa, ketika berada di tengah, tiba-tiba air menjadi cair. Keramat Kuala Bidor pun terjatuh ke dalam sungai lalu berenang ke tebing. Naik ke darat membetulkan pakaian kemudian mengambil wuduk seperti biasa, seolah-olah tidak ada perkara pelik yang berlaku. Tak terfikir pun mengapa air sungai boleh menjadi keras, tidak peduli langsung pakaiannya basah. 

Selesai itu, beliau menghulurkan tangan untuk mengambil balik serbannya yang diletakkan di sisi tadi. Tengok-tengok, serban itu pula hilang, ghaib entah ke mana. Aitt? Apa pula ini? Beliau pun mula mencari-cari dalam kegelapan awal pagi... 

“Rupa-rupanya serbannya ada nun jauh di atas pokok kelapa, tersangkut di celah pelepah daun pokok,” beritahu nenek. 

Tidak tahulah bagaimana beliau boleh nampak serban atas pokok dalam kesamaran sebelum Subuh itu. Kira magic juga itu, fikir Rasyid. 

Kata nenek, rupa-rupanya malam itu malam Lailatul Qadar yang penuh keberkatan. Pokok kelapa itu sedang sujud menyembah bumi semasa Keramat Kuala Bidor meletakkan serbannya sebelum ia naik tegak kembali... Tanpa banyak cerita, beliau pun memanjat pokok kelapa itu dan mengambil serbannya. Kemudian balik ke rumah menunaikan solat seperti biasa... 

Banyak perkara pelik dan karamah berlaku kepada hamba Allah ini tetapi beliau tetap tidak hairan terhadap semua ini. Mungkin kerana menganggap segala yang berlaku adalah remeh belaka, cuma ujian Allah SWT untuk melihat samada hambaNya itu terpesona ataupun tidak. Seperti dinyatakan dalam sebuah Hadis Qudsi, firman Allah SWT yang dipaparkan dalam sebuah kitab Tasawuf: 

“Hai hambaku, bila kamu ingin masuk ke Haramil Ku (Haramil Qudsiyah), maka kamu jangan tergoda oleh Mulki, Malakut, Jabarut; kerana alam Mulki adalah syaitan bagi orang Alim, alam Malakut syaitan bagi orang Arif, alam Jabarut syaitan bagi orang-orang yang akan masuk ke alam Qudsiyah.” 

Nenek pun tidak tahu siapakah sebenarnya Keramat Kuala Bidor, siapakah nama sebenar beliau, apakah asal-usulnya secara terperinci... Atau mungkin nenek sengaja tidak mahu beritahu? Sahaja hendak bagi suspense? Suruh Rasyid ambil inisiatif mengkaji sendiri? Nenek setakat memberi satu petunjuk... Katanya beliau keturunan orang baik-baik. 

Awal tahun 2003, selepas lebih setahun mencari dan mengembara lagi, barulah dia faham maksud nenek. Mengapa beliau menyebut Keramat Kuala Bidor berasal dari keturunan orang baik-baik, dan siapakah orang baik-baik yang dimaksudkan... Rasyid juga dapat tahu hamba Allah ini berasal daripada sebuah keSultanan purba yang telah wujud 400 tahun lebih dahulu daripada Samudera Pasai dan 600 tahun sebelum Melaka iaitu Perlak. Pencarian ini telah memperkenalkannya kepada sejarah keSultanan Perlak yang diasaskan tahun 840 Masihi. Lalu terbukalah kaitannya dengan perjuangan Samudera Pasai untuk menegakkan syiar Islam di bumi Timur, perjuangan yang akan diwarisi Melaka seterusnya Aceh nanti. 

Lebih penting lagi, sejarah penubuhan Perlak berkait pula dengan pergolakan empayar Islam di Timur Tengah melibatkan kerajaan-kerajaan Bani Umaiyah dan Bani Abbasiyah. Dari sinilah, Rasyid mula mengenali siapakah itu Imam Ja’afar Al-Sadiq yang sangat diagung-agungkan pengikut Syiah, juga tokoh-tokoh lama Islam seperti Muhammad Nafs Al-Zakiyah yang pernah mewarnai persada politik Islam di Baghdad. 

Lalu anak muda ini dibawa menelusuri perjuangan anak cucu Rasulullah SAW, para Ahlul Bait yang penuh ranjau dan duri, lebih-lebih lagi kisah suka-duka keturunan cucu sulung baginda iaitu Saidina Hassan, kisah perjuangan yang entah mengapa, banyak digelapkan sejarah lalu hilang ditelan zaman. Dan sekarang Rasyid mahu ia didedahkan kerana pemuda ini percaya ia berkaitan dengan kesejahteraan umat Islam juga...

10 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Assalammualaikum Bro.,
Saya tertarik membaca blog tuan yang berkisar dengan Keramat Kuala Bidor. Sememangnya saya sendiri sedang mencari salasilah keturunan keluarga saya. Untuk pengetahuan tuan, saya berasal dr Kg Gunung Mesah Hilir, Gopeng kini stay kat Kota Damansara...Kalau diikutkan belah abah saya orang Mandailing Mak saya pula orang Rawa.....Yang menariknya bila tuan kisahkan mengenainya Keramat Kuala Bidor tentang harimua peliharaannya maka teringat saya tentang kisah nenek saya dimana diceritakna mak saya semasa nenek saya meninggal dunia harimau tepok tue menangis dengan sendu-sendu dibawah tangga dan terpaksa dipujuk.....Masa kini Mak saya ada beritahu kadangkala kalau ada perkhabaran dari seberang maka harimau itu akan datang dan kesan kaki dapat dilihat...
Saya berharap dapat bertemu dengan tuan mungkina saya dapat mengesan salasilah kluarga saya dr tuan. Sebenarnya saya mula nak menjejaki keturunanan saya setelah saya mula "mengkaji" ilmu tasauf dan alhmdulillah setelah lebih 3 tahun saya berguru dengan Haji Ahmad Laksamana maka timbul rasa bahawa keturunan saya ini ada sangkut paut dengan Keramat Kuala Bidor dan Syeikh Abd Qadir al Jilani....

Wassalam...
joefariskhan@yahoo.com

Tanpa Nama berkata...

Syabas satu kajian yg menarik. Adakah kisah Tuan ini susur-galur kenamaan Daeng Selili

Radzi Sapiee berkata...

Ini lebih pada susurgalur Daeng Hanasah @ Laksamana Raja Mahkota Nakhoda Hitam Tok Kuala Bidor, kekanda kepada Daeng Selili.
Apapun mereka adalah adik-beradik lalu sudah tentu memiliki moyang yang sama!

Unknown berkata...

Salam,

Adakah saudara penulis masih menyimpan salasilah keluarga Nakhoda Hitam, dapatkah ianya disiarkan sebagai bahan rujukan?

Iskandar
isk.adr@gmail.com

Radzi Sapiee berkata...

Wassalam.

Saya tidak menyimpan salasilah, namun saudara boleh melihat salasilah umum keluarga Laksamana di dalam buku bertajuk Cempaka Sari juga A History of Perak yang Insyaallah boleh didapati di mana-mana perpustakaan awam. Salasilah ini bermula daripada Laksamana pertama Nakhoda Hitam hingga ke zaman Laksamana Muhammad Amin.

Ada satu salasilah pula meletakkan Daeng Selili dan Daeng Hanasah sebagai adik-beradik yang beribukan Ratu Sidenring, puteri kepada Opu Payung Luwuk. Opu Payung Luwuk pula adalah abang kepada Opu Daeng Rilaga yang dikatakan bapa kepada 5 Daeng bersaudara, Daeng Parani, Daeng Merewah, Daeng Menambon, Daeng Kemasi dan Daeng Chelak. Malah salasilah yang pertama kali saya lihat milik satu keluarga di Taiping 3-4 tahun lalu ini meletakkan Daeng Selili dan Daeng Hanasah adik-beradik dengan 5 Daeng... kerana katanya, Ratu Sidenring berkawin dengan bapa saudara sendiri iaitu Daeng Rilaga. Salasilah serupa saya lihat lagi sebulan lalu milik seorang Datuk berketurunan Bugis yang pernah menjadi ADUN Kuala Selangor.

Namun informasi yang saya dapat dari kerabar diraja Bugis Wajo mengubah segalanya. Rupa-rupanya Nakhoda Hitam adalah anakanda Daeng Selili sedangkan Daeng Selili sendiri sebenarnya seorang raja besar bertaraf Yang diPertuan Agung di Tanah Bugis di mana segala Daeng-daeng lain termasuk Daeng 5 bersaudara adalah orang bawahan mereka. Itu sahaja saya boleh cerita...

Tanpa Nama berkata...

Salam, saya tertarik dengan salasilah keluarga laksamana Mohd Amin. Dimana saya dapat menambah ilmu berkenaan keluarga saya. dimana bapa saya merupakan keturunan ke4 dari Uda Maamor. tapi till skrg tak jumpa dimana kubur dia. banyak surat2 lama jumpa, tapi seem clueless. org2 lama banyak dah takde. ayah sempat jumpa anak bongsu Laksamana Mohd Amin sebelum dia meninggal.

Unknown berkata...

Saya ada salasilah keramat raja tua pasir salak tiang berdarah

Farhan berkata...

Terima kasih atas perkongsian

Unknown berkata...

Assalamualaikum bole Ryan kongsikan susur galur keturunan so puntung

Unknown berkata...

Assalamualaikum,boleh tuan kongsikan susur galur keturunan so putum.