Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Sabtu, Mac 01, 2008

Di Kuala Kangsar untuk memperbaharui wasilah...

OK... Rasanya semua pembaca sudah dapat menghayati dengan penuh tekun dan kusyuk kumpulan doa munajat Wali besar Sheikh Abul Hassan al-Syadzili yang diletakkan di dalam posting Ambik kau... Terjemahan Hizib Bahr... Maka kita sambung balik cerita pengembaraan di Perak yang akhir sekali dinyatakan dalam posting Taiping dan akibat Perjanjian Pangkor 1874...



Selesai "membuka" apa yang patut di Kota Ngah Ibrahim, saya pun kembali ke Taiping... Terus mendapatkan bas ke bandar diraja Kuala Kangsar... Dalam perjalanan itu, kalau tak salah selepas kawasan Bukit Gantang, saya terlihat bukit di dalam gambar ini yang kelihatan menarik...


Tetapi setelah beberapa kali cuba mencari sudut yang sesuai daripada dalam bas buruk yang selalu terhegeh-hegeh bergerak dengan menggunakan kamera digital murah yang gambarnya selalu blur jika tersilap sedikit pergerakan, saya cuma boleh mendapatkan gambar yang agak elok apabila bas telah betul-betul berhenti... Ketika mengambil atau menurunkan penumpang... Maklumlah, ketika bas sedang bergerak bukan sahaja kedudukan saya selalu bergoncang, seringkali apabila kita sudah mendapat ruang dan sudut yang agak cantik, tiba-tiba bas yang bergerak "membawa" tiang lampu atau pokok masuk mengepung ke dalam fokus kamera pula!

Sampai satu ketika, bas tersebut melalui sebuah kawasan yang latar-belakangnya terbuka menunjukkan keadaan bukit kelihatan tersergam cantik tanpa apa-apa yang menghalang. Tetapi apabila bas betul-betul berhenti, ternyata kedudukannya ketika berhenti seolah-olah telah "diatur" sebegitu rupa dengan sebuah pokok menghalang pandangan pula! Padahal jika ia berhenti cuma 10 meter sahaja ke belakang sedikit, sudah pasti saya akan mendapat gambar yang cantik untuk menunjukkan bukit ini! Alahai...


Akhirnya, inilah gambar terbaik yang saya boleh dapat apabila bas itu berhenti di tempat lain... Kena kepung dengan tiang letrik pun, tiang letrik lah... Sekurang-kurangnya pemandangan ini lebih terang berbanding jika ada pokok dengan dedaunnya di hadapan...


Tidak lama kemudian, saya pun sampai ke stesyen bas Kuala Kangsar... Terus saya melangkah menghala ke Bukit Chandan sambil mencari tempat makan... Maklumlah, perut sudah berkeroncong belum makan sejak pagi...

Suatu ketika, ternampak pula sebuah warung yang agak teratur di belakang barisan kedai. Di belakang warung pula ternyata kelihatan Bukit Chandan dengan sebuah jambatan menyeberangi sungai... Kelihatan seperti ada jalan untuk ke makam diraja Perak dan Masjid Ubudiyah di puncak bukit melalui sebuah sekolah perempuan, kalau tak salah ingatan Sekolah Raja Perempuan Mazwin...


Ternyata, jalan bawah selepas menyeberangi jambatan tadi untuk ke tangga menaiki bukit telah ditutup dan kawasan sekelilingnya dipagar semuanya. Nampaknya, saya tidak ada pilihan... Terpaksa juga ikut jalan biasa yang memerlukan saya berjalan kaki sekitar 2km menaiki bukit... Ingatkan bolehlah shortcut... Kalau ikut kepenatan badan akibat berjalan di Kedah dalam tempoh 3 hari sebelum ke Taiping dan Matang bercampur ini pula, mahu sahaja saya mengalah... Surrender atau give-up... Tetapi saya terpaksa meneruskan juga tak kiralah penat macamana... Bukankah tujuan utama saya turun di Taiping adalah supaya kemudian boleh ke Kuala Kangsar?

Bukankah saya masuk ke Perak untuk menziarahi sekali lagi makam moyang saya Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di kawasan pemakaman diraja Perak di puncak Bukit Chandan? Bukankah saya perlu ke sana untuk merekod kembali gambar makam itu, kerana gambar-gambar yang sempat diambil sebelum masuk ke Kedah dahulu semuanya telah hilang akibat kerosakan kamera seperti diceritakan dalam artikel Kamera short-curcuit di Makam Daeng Parani dan 2 insan bernama Badrul... ?

Kalau nak senang, tak payah langsung saya turun ke Perak. Daripada Kedah hari itu, lebih elok ikut sahaja Bad kembali ke rumahnya di Ipoh kemudian terus ambil bas ataupun keretapi di Kuala Lumpur. Lupakan sahaja tentang mengambil gambar. Di sana, di rumah ibu saudara di Ampang tempat saya menumpang atau sebuah rumah keluarga di Kajang, bolehlah saya berehat puas-puas. Tapi kalau dah kaki kembara tu tetap kembara jua. Apa boleh buat? Nak tak nak, berjalanlah juga saya ke puncak Bukit Chandan dengan menurut jalan jauh...


Kalau ikutkan, semasa itu sekitar jam 2 petang begitu matahari masih terik panas... Nasib baik ada beberapa buah pokok yang memberi perlindungan daripada panas di sepanjang jalan... Walaupun sedikit dan jarang-jarang (teringat pula kata P. Ramlee dalam cerita Nujum Pak Belalang. Jarang-jarang... Heh! :]), ada lah juga daripada tiada langsung. Dan nasib baik juga pemandangan lembah Sungai Perak memang menarik dan cantik... Dapat juga menolong saya cuba untuk melupakan kepenatan dan panas terik lalu terus berjalan...


Pemandangan jambatan baru yang menyambungkan bandar Kuala Kangsar dengan kawasan Kota Lama Kanan dan Sayong di seberang kanan... Setiap kali melihat Sungai Perak, tak kiralah daripada mana, mesti saya akan terpana sekejap... Kerana aliran sungai ini dan sepanjangnya mempunyai kaitan tertentu yang sangat rapat dengan keluarga dan keturunan saya terutama sebelah ayah sejak zaman berzaman...


Akhirnya, kelihatanlah Masjid Ubudiyah. Dalam kepenatan itu, terfikir juga mahu ke sana dahulu dan tidur sebentar untuk mengembalikan sedikit tenaga...


Tetapi apabila difikirkan lebih dalam, lebih elok singgah dahulu di makam diraja Perak dan selesaikan apa yang patut. Kan selepas itu akan lebih senang untuk tidur dan berehat di masjid? Sekurang-kurangnya takda lah terfikir-fikir, ada perkara yang belum selesai. Lagipun dah tentu kena lalu di hadapan kawasan makam dahulu sebelum ke masjid...

Apalagi, selesaikan ini terlebih dahulu... Pertama, ambil gambar makam moyang saya Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin yang kedudukannya sangat hampir dengan sisi masjid. Selesaikan tujuan utama saya perlu menjejakkan kaki ke Perak dan kemudian baru duduk menghadiahkan bacaan Yasin... Lalu disambung kembali atau refresh wasilah kerohanian kepada nenda empunya makam... Talian kerohanian yang membolehkan seseorang itu membuka kembali sedikit cerita dan peristiwa dahulukala yang berkenaan terutama sekitar Perjanjian Pangkor 1874 dan akibatnya kepada bumi Melayu ini.

Itulah yang menyebabkan tercurahnya cerita Taiping dan akibat Perjanjian Pangkor 1874... berkenaan makna Melayu, penjajahan Barat terhadap bumi sebelah sini yang merupakan kesinambungan Perang Salib di Timur tengah untuk memberi jalan puak Yahudi Zionis merampas kembali Baitul Muqaddis lalu menjadikannya pusat untuk menakluki seluruh dunia akhir zaman. Setelah selesai menulis cerita itu, timbul pula rasa untuk menceritakan akan perihal sebenar Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin yang kurang dikenali orang.

Antaranya yang perlu dinyatakan, kenapa pula orang yang menurut catatan rasmi ini "sekadar bangsawan biasa" telah dibawa kembali ke makam diraja di Bukit Chandan? Kenapa tidak di kawasan persendirian keluarga Laksamana di Teluk Intan? Apakah yang tersirat ini adalah satu kes "sirih pulang ke gagang?"... Apakah ini bermakna sudah sepatutnya "bangsawan biasa" ini kembali ke kedudukan sebenarnya di kalangan raja-raja? Untuk mengetahui kisahnya, sila masuk ke blogspot BERPETUALANG KE ACEH dan baca cerita In Perak's royal mausoleum to give justice to Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin ...


Kemudian barulah saya boleh berehat sebentar di masjid sebelum mandi membasuh peluhan dan menghilangkan rasa badan yang berlengas. Barulah selesa bersolat kemudian mengambil sedikit gambar Masjid Ubudiyah yang boleh dikongsi bersama para pembaca sekalian. Ceritanya telah saya siap tuliskan di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) tadi, cerita yang kebetulan adalah posting ke 100 di blogspot itu! Atas tajuk Masjid Ubudiyah di (The Ubudiyah mosque in) Kuala Kangsar, Perak...

Cukup sesuailah keluar cerita tentang masjid ini, masjid diraja Perak lagi... Setelah posting ke 99 di sana bertajuk Senjata lama di Kota Ngah Ibrahim (Old weapons at the fort of Ngah Ibrahim) buat kali pertamanya memaparkan gambar-gambar keris dan pedang dalam mana-mana blogspot saya! Seolah-olah semuanya teratur begitu cantik... Ada makna tersurat dan tersirat yang boleh memberikan akan arah tujuan hidup saya akan datang nanti...

Memang hidup semua manusia telah diatur melalui Qada' dan Qadar Allah yang Maha Bijaksana lagi Maha Mengetahui lagi tahu apakah yang terbaik buat hamba-hambaNya, walaupun yang diberi itu pada mulanya kelihatan seperti musibah belaka... Kerana lemahnya akal kita untuk melihat hikmah di sebalik setiap perbuatanNya... Maka itu, jika kita tidak mampu melihat, belajarlah untuk yakin akan perancanganNya. Insyaallah segala perkara yang kita rasa sia-sia atau berlaku secara kebetulan selama ini rupa-rupanya semuanya mempunyai makna. Kerana tiada perbuatan Allah yang sia-sia... Dia bukan suka membuang masa. Cuma kita sahaja yang perlu belajar meletakkan sesuatu pada tempatnya... Di manakah letaknya kejahatan, di mana kebaikan... Di manakah perkara-perkara neutral yang turut menghias makna hidup. Kalau tak semuanya kita main "boh", main terjah sahaja dengan alasan semuanya sudah diatur Allah!

Jangan cuba-cuba sekali-kali membuat jahat dan maksiat lalu menyalahkannya kepada Allah! Ingat, memang semua yang berlaku hatta kita berak dan kencing sekali pun cuma boleh berlaku dengan izin Allah, dengan Qudrat dan Iradat yang dipinjamkan daripadanya... Begitu juga seorang penjahat boleh membunuh atau merogol perempuan dengan Qudrat dan Iradat yang dipinjamkan daripada Allah. Tetapi apakah Allah menyuruh kita membunuh dan merogol? Di manakah letaknya pilihan yang perlu dibuat oleh kita jika segalanya telah diatur di dalam ilmu Allah? Mengajilah pada yang lebih tahu... Walaupun segalanya datang daripada Allah iaitu dengan izinNya jua, kita perlu beradab dengan mengisbatkan atau menetapkan segala yang baik itu datang daripada Nya, yang jahat itu pula datang daripada diri sendiri...

Berbalik ke Masjid Ubudiyah... Oh, lupa pula nak beritahu... Ubudiyah itu bermakna penghambaan... Rasulullah SAW sering menekankan akan penghambaan kepada Allah. Apabila diberi pilihan samada mahu menjadi Rasul yang bersifat raja atau Rasul yang bersifat hamba, baginda memilih untuk menjadi hamba... Mengapa tidak raja? Mengapa tidak menjadi seperti Nabi Sulaiman dan Nabi Daud yang masing-masing memerintah kerajaan yang luas?

Nabi Muhammad SAW adalah kekasih Allah dan ciptaanNya yang terbaik di kalangan semua makhluk-makhluk baik malaikat, mahupun manusia dan jin. Tetapi baginda tidak memilih untuk menjadi raja sebaliknya tetap mahu menjadi hamba... Kenapa? Dan kenapa juga Rasulullah SAW selalu menekankan jalan syumul Tauhid Ubudiyah yang membawa kepada pengEsaan Allah melalui pemahaman mantap dan makrifat akan betapa kerdilnya kita sehingga sebenarnya tidak memiliki wujud hakiki... Tiada daya dan upaya dalam segala sesuatu. Kenapa baginda tidak menekankan Tauhid Rububiyah yang saya lihat begitu digemari oleh ramai yang kononnya pakar Tasawuf? Jalan Tauhid yang kononnya akan membawa seseorang ke martabat "Kun Fayakun"... Apabila dia berkata sesuatu maka jadilah ia... Satu keadaan yang disebut sebagai mulut masin?

Hmm... Cukuplah bab ini. Mungkin saya sekadar hendak memberi perumpaan...

Jika saya mengamalkan Tauhid Rububiyah, mungkin saya boleh "memakai selendang kebesaran" Allah. Maklumlah mulut masin, kata orang, itulah bukti orang bertaraf wali... Tak payahlah saya susah-susah berjalan jauh mengembara sana-sini mencari kebenaran akan makna Islam dan Melayu sejati yang digelapkan... Kalau nak berjalan, mungkin saya perlu "makrifat" diri sahaja macam cerita wayang Jumper. Sekelip mata sahaja dah sampai ke Bukit Chandan... Apa perlu susah-susah berjalan?

Atau saya ikut sahaja cara mereka-mereka yang kononnya telah mencapai taraf Muntahi atau taraf tertinggi dalam pengajian Tasawuf. Buat apa jalan-jalan jauh sedangkan alam yang terbentang ini malah segala-galanya terletak di dalam diri? Buat apa pergi Mekah dan Madinah seperti orang-orang awam yang belum "sampai"... Kan Mekah dan Madinah itu ada dalam diri sendiri, kata mereka? Maka mengembaralah dalam diri ini sendiri sahaja... Bertawaflah berpusing mengelilingi Ka'abah di dalam kalbu. Tak payah susah-susah cari duit naik kapalterbang pergi ke Mekah... Bukan setakat Mekah dan Madinah boleh pergi, naik ke langit ke tujuh sehingga melepasi syurga dan neraka seterusnya Sidratul Muntaha seperti yang dibuat oleh Nabi Muhammad SAW ketika perjalanan malam Israq dan Mikhraj pun boleh! Malah mahu melihat isi Loh Mahfuz dan apa yang ditulis oleh Qalam, menjangkaui Qursi sehingga ke Arash pun boleh sebab semuanya terletak di dalam "diri". Peh... Dasyat!

Atau satu lagi cara mereka.. Panggil sahaja wali-wali datang bertemu kita. Ya... Tak payah pergi jauh hendak tahu cerita Gunung Ledang.. Panggil sahaja Puteri Gunung Ledang datang ke mari "menghadap" kamu pula... Malah Sultanul Awliya Sheikh Abdullah Qadir al-Jilani juga para Rasul dan Nabi boleh dipanggil begitu sahaja katanya... Inikan lagi setakat hendak memanggil Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin untuk bercerita...

Kononnya mereka boleh buat semua ini sebab manusia itu adalah khalifah... Memanglah Allah jadikan kita sebagai khalifah di mukabumi tetapi itukah kerja khalifah, panggil roh para wali ajak borak-borak minum teh? Inilah bahana belajar ilmu Tasawuf separuh masak yang membawa seseorang itu "perasan" boleh memakai selendang Allah... Adapun mengikut bahasa kiasan Tasawuf, selendang Allah itu bermaksud kesombongan dan kemegahan! Patutlah saya selalu terjumpa malah terlihat dalam Internet di berbagai forum di mana orang-orang yang kononnya mengaji tinggi boleh memaki-hamun orang, sampai ke peringkat mencarut ikut sedap kepala bapak dia pun ada... Maklumlah, sudah pakai selendang kebesaran Allah!

Terus terang cakap, saya tidak ada semua ini... Ilmu saya sangat rendah malah sebenarnya takda langsung. Semasa meninggalkan Masjid Ubudiyah, hendak pergi ke mana seterusnya pun saya tak tahu dan tak pasti. Yang saya tahu, nanti saya perlu pergi lagi ke Ipoh untuk bertemu dengan Bad kerana payung yang saya bawa daripada Kuala Lumpur (ketika itu asyik hujan-hujan di KL sedangkan apabila sampai di Kedah, sudah macam kemarau pula) tertinggal di dalam kereta Bad. Selain itu, saya mungkin mahu memenuhi hajat seorang pembaca daripada Sungai Siput yang teringin sangat untuk berjumpa dengan saya.

Sekali lagi, kalau nak senang saya boleh terus ke Ipoh mengambil payung kemudian menyambung perjalanan atau kembali ke KL. Lagipun bukankah misi mengambil gambar terbaru makam Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin sudah pun selesai? Sebaliknya saya mendapat "arahan" baru supaya pergi singgah ke beberapa tempat lagi di Perak tanpa mendapat lagi gambaran, yang manakah tempat patut pergi dahulu ataupun bila...

Saya meninggalkan masjid dalam keadaan tertanya-tanya... Apakah mungkin saya harus bermalam di Kuala Kangsar dahulu? Biasanya jika perlu bermalam, saya akan berjalan kaki sejauh lebih kurang 3 km ke Masjid Kota Lama Kanan dan tidur di sebelah sebatang batu nesan dalam masjid yang menandakan tempat ghaibnya Sultan kedua Perak, Sultan Mansur Shah semasa bersolat Juma'at hampir 500 tahun lalu. Atau saya boleh menaiki bas/ teksi 7km menghala ke Kati dan turun bermalam di surau Kampung Temong, berdekatan makam Tok Temong, seorang pembesar perempuan yang terlibat di dalam pertabalan Sultan pertama Perak, Sultan Muzaffar Shah tahun 1528.

Tetapi sejak beberapa bulan kebelakangan ini, saya sudah jarang tidur di masjid dan surau kerana sering kepenatan... Saya seringkali lebih selesa tidur di hotel murah di mana saya boleh tidur lebih nyenyak tanpa gangguan nyamuk dan sebagainya... Dan tidak seperti di masjid ataupun surau, saya tidak perlu bangun seawal jam 4.30 pagi demi menghormati tok siak atau orang masjid yang datang awal berkemas untuk solat Subuh berjemaah. Sekarang, ke mana saya harus pergi sebenarnya? Dalam pada itulah, saya mendapat satu gerak hati...


Dalam pada itu, timbul rasa untuk mengambil gambar batu tanda di luar pagar masjid ini dengan informasi yang terpampang di atasnya... Semoga boleh dikongsi dengan pembaca dan ia telah pun diletakkan di dalam blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) , dalam cerita Masjid Ubudiyah di (The Ubudiyah mosque in) Kuala Kangsar, Perak...

Selesai mengambil gambar, kelihatan 2 orang lelaki seperti baru keluar daripada masjid masuk ke dalam sebuah kereta 4x4, satu-satunya kenderaan yang kelihatan ketika itu berada di kawasan letak kereta Masjid Ubudiyah. Saya pun mengejar dan menegur mereka lalu minta untuk menumpang sampai ke kaki Bukit Chandan. Seorang daripada mereka memandang saya sedikit was-was lalu melihat rakan di sebelah. Setelah berfikir sejenak, mereka pun bersetuju...

Dalam kereta, saya bertanya mereka hendak ke mana? Jawab mereka balik ke KL... Tetapi apabila sampai sahaja ke kaki bukit lalu ke bulatan jalan, mereka bukan mengambil jalan untuk ke Lebuhraya Utara-Selatan sebaliknya masuk ke jalan lain.

Terus saya bertanya: "Eh, kata nak balik KL... Ni nak pergi ke mana pula?"...

Jawab mereka: "Kami memang hendak ke KL tetapi suka-suka nak ikut jalan lama..."

Hah, ikut jalan lama fikir saya? Ternyata yang dimaksudkan adalah jalan melalui Ipoh... Malah melalui Sungai Siput sebelum itu... Seketika itu juga teka-teki rancangan perjalanan kali ini terjawab... Maka ditetapkan saya tidak perlu tidur di Kuala Kangsar tetapi harus turun di Sungai Siput demi memenuhi permintaan seorang peminat siri buku "Berpetualang ke Aceh" yang sudah lama ingin bertemu dengan saya...

Oh, lagi satu... Dalam perjalanan itu, apabila ditanya, baru saya memberitahu bahawa saya ke Kuala Kangsar untuk menziarahi makam diraja Perak. Lelaki yang memandu terus membuat pengakuan, dia juga sering menziarahi makam. Dan dia juga sebenarnya sekadar singgah di Kuala Kangsar (sudah lupa dia sedang berjalan daripada mana) supaya dapat berehat dekat di sekitar Masjid Ubudiyah dan makam diraja di sebelah!

Cerita punya cerita, dia mengaku sebagai seorang anak cucu Sultan Abdullah I (yang dibuang ke Pulau Seychelles tahun 1877 selepas disabitkan terlibat dengan pembunuhan J.W.W. Birch tahun 1875)... Katanya daripada nasab Raja Chulan tetapi kaum keluarganya sudah lama terpisah daripada lingkungan istana...

Allah! Tadi selepas menziarahi makam moyang saya Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin, terus sahaja saya menuju ke makam Sultan Abdullah sekitar 10 meter sahaja jaraknya kemudian makam Raja Chulan di sebelah makam ayahandanya Sultan Abdullah. Untuk makluman, semua makam ini terletak di sebelah kanan bangunan utama makam (jika dilihat daripada hadapan) dan paling dekat dengan Masjid Ubudiyah... Adapun yang ditanam di sini adalah kaum kerabat terdekat Sultan Abdullah jua...

Ah... Elok juga pembaca menelaah kembali cerita In Perak's royal mausoleum to give justice to Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin yang dibuat dalam blogspot BERPETUALANG KE ACEH 2 hari lepas. Rasanya cukuplah saya bercerita di sini kali ini ya. Sekian! :]

3 ulasan:

abdul sukor nordin berkata...

TAHNIAH. ANDA SEORANG YG MINAT MENCATAT DAN MENULIS. TERUSKAN USAHA MURNI INI.

Radzi Sapiee berkata...

Terima kasih. :]

Syafie berkata...

saya sering juga ke kuala kangsar..tapi hanya pergi satu tempat sahaja iaitu di lubuk merbau..sampai ada sesetengah tempat tak pernah tengok pun..pemandangan jambatan tu lawa..ada juga pernah lalu atas jambatan ni..terbaik coretan tuan