Adapun artikel Perjalanan berliku untuk kembali berhari raya: Bermalam di sebelah makam Pengkalan Kempas... telah ditamatkan dengan persinggahan di sebuah kawasan perkuburan di tepian jalan Tampin ke Alor Gajah. Selepas itu saya meneruskan perjalanan, sampai ke jalan besar hendak masuk ke Alor Gajah... Tetapi saya bertukar arah terus ke Taboh Naning.
Sampai di masjid atas ini, saya terus mandi petang. Kemudian pergi ke Alor Gajah untuk berbuka puasa... Sedikit lewat kerana saya meninggalkan Taboh Naning selepas jam 7 petang sedangkan Alor Gajah terletak lebih 9km kembali ke selatan.
Apapun, kelewatan berbuka yang menyebabkan saya cuma minum segelas air itu membuat saya pergi bersolat Maghrib di masjid jamek baru Alor Gajah lalu terserempak dengan seorang kawan lama bapa saya yang sudah hampir 10 tahun tidak bertemu! Dia pula yang terus mengenali saya sedangkan saya terpinga-pinga memikirkan siapakah orang ini... Semasa masuk untuk berwuduk baru saya teringat... Ah... Ini Uncle Yusuf kawan baik Abah semasa di Kementerian dahulu!
Selepas solat, lama juga kami berbual. Kemudian saya meninggalkan Alor Gajah untuk bersolat Tarawih di Masjid Taboh Naning.
Untuk pengetahuan masjid ini terletak berdekatan makam pahlawan Melayu terkenal Dol Said yang pernah berjaya menentang Inggeris sebelum kalah akibat pembelotan orang Melayu juga. Saya pertama kali sampai ke makam itu pada hari kedua bulan Ramadhan ini (kalau tak salah ingatan) lalu menyimpan niat untuk bermalam di masjid ini.
Saya bersolat Tarawih sedikit lewat kerana perut tidak sedap, lama juga harus melepaskan hajat. Kemudian baru tersedar, di sini mereka menunaikan solat Tarawih 10 rakaat!
Pelik juga saya kerana selama ini saya ingat solat Tarawih dibuat 8 rakaat menurut sunnah Nabi Muhammad SAW atau 20 rakaat mengikut ijtihad Saidina Umar al-Khattab. Bila saya teliti balik tulisan pada bunting yang terdapat di dalam masjid, ternyata ia dikeluarkan oleh pejabat Mufti Negeri Sembilan. Tentu mereka lebih tahu ya tak?
Dalam pada itu, saya sedar mereka selalu juga melafazkan kalimah La ila ha illallah Muhammadan Rasulullah fi kulli lamhatin wa nafasin adadama wasi'ahu ilmullah yang merupakan zikir tariqat Ahmadiyah. Memang diketahu Mufti-mufti Negeri Sembilan mengamalkan tariqat ini kerana mengikut susur-galur ilmu nenek-moyang mereka, ulamak besar Sheikh Muhammad Said Linggi yang membawa tariqat ini ke Negeri Sembilan.
Selepas selesai solat Witir dan doa, saya meminta kebenaran kepada Pak Imam untuk bermalam di masjid. Pak Imam membenarkan. Cuma dia bertanya ini: "Berani ke?"
Saya jawab "Insyaallah!". Saya tahu apa yang dimaksudkan. Masjid ini bukan sembarangan tempat... Dan lagi ia dikaitkan dengan seorang pejuang Melayu yang tinggi ilmu kerohanian iaitu Dol Said. Untuk pengetahuan, Pak Imam dan beberapa ahli jemaah adalah anak cucu Dol Said!
Apabila melihat bunting solat Tarawikh yang dikeluarkan oleh Mufti Negeri Sembilan, saya pula bertanya: "Naning ikut Negeri Sembilan ke?". Sebabnya, secara rasmi Naning terletak di dalam negeri Melaka!
Jawab Pak Imam: "Tak... Negeri Sembilan yang ikut Naning!"
Tambahnya, Naning yang mula membawa Adat Perpatih sedangkan Negeri Sembilan mengikut kemudian...
Ya... Negeri Sembilan secara rasminya ditubuhkan cuma 200 tahun lalu sedangkan saya teringat catatan semasa melawat Gunung Datuk tidak jauh (malah mungkin di dalam sempadan lama) Naning bahawa Datuk Perpatih Nan Sebatang yang terkenal sebagai pengasas adat Minang dikatakan telah mengatur masyarakat di Gunung Datuk... Mungkin beliau ini juga pengasas sebenar Naning? Sebab itu Pak Imam mengatakan bahawa Negeri Sembilan yang mengikut Naning? Mungkin...
Apapun, untuk melihat gambar-gambar masjid ini, sila baca artikel Masjid (mosque of) Taboh Naning di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) yang diletakkan tadi. Artikel Makam (tomb of) Dol Said... pula telah diletakkan di sana sebulan lalu...
Pagi itu hari Isnin, saya meninggalkan Naning dengan rasa puas hati yang amat sangat. Sudahlah malam sebelum itu sudah tertunai hajat saya untuk bermalam seorang diri di sebelah makam dan batu hidup di Pengkalan Kempas, kini hajat sama juga tertunai di masjid Naning malah waktu pagi buta juga saya ada keluar untuk duduk dalam kegelapan di makam Dol Said.
Hmm... Baru teringat. Adapun dalam perjalanan dari Tampin ke Alor Gajah petang sebelumnya saya ternampak sebuah kompleks air panas, kalau tak salah ingatan di satu tempat bernama Gadek. Timbul keinginan untuk mandi petang di sana tetapi apabila saya masuk ke sana, terus tak jadi sebab kena bayar RM4 sedangkan saya bercadang untuk mandi paling lama pun sekitar 10 minit sebelum berkejar untuk berbuka puasa!
Malam itu dalam perjalanan dari Alor Gajah kembali ke masjid Naning, saya ternampak pula satu papan-tanda menyebut akan kewujudan kolam air panas Naning di hadapan... Maka selepas berbual-bual dengan Pak Imam (selepas Tarawih dan Withir) kemudian selesai berwirid sedikit, saya keluar pergi mencari air panas tersebut. Alhamdulillah jumpa, dan ia memang elok kerana sedang dibina cantik, cuma belum siap seratus-peratus, jadi taklah kena bayar!
Maka tercapailah hajat saya mandi air panas malam itu, walau keseorangan, walaupun dalam kegelapan, cuma disuluh sedikit cahaya daripada rumah sebelah. Siap pinjam gayung dari orang rumah itu!
Apapun, pagi seterusnya saya pun meninggalkan Naning... Masuk ke jalan menghala ke Brisu/ Lubuk Cina sebelum terjumpa jalan ke Masjid Tanah, singgahlah di masjid yang kelihatan ini...
Kalau nak tahu, masjid inilah yang menjadi penyebab munculnya nama Masjid Tanah. Sila lihat artikel Asal usul nama (Origin of the name) Masjid Tanah di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) .
Cuma satu sahaja yang tak kena. Baru saya sedar bahagian menaranya sudah senget... Mungkin sokongan kayunya sudah runtuh. Yang pasti dalam lawatan sebulan lalu, ia masih elok dan itulah yang kelihatan dalam artikel Asal usul nama (Origin of the name) Masjid Tanah .
Saya keluar dari kawasan masjid lalu tergerak untuk mengambil gambar ini daripada motosikal yang diletakkan di tengah jalan. Terpapar di meter bawah, nombor 999 dan bahagian kecil di sebelah nombor 3 bersamaan 999.3 batu. Sedangkan saya sedar ia mula masuk nombor 999 ketika mula sampai ke Masjid Tanah....
Adapun semasa motosikal ini dihidupkan setelah 5 tahun rosak terbengkalai, meter itu menunjukkan nombor sekitar 750 begitu. Kemudian meter yang tidak boleh diputar-balik kerana pemutarnya sudah tercabut sudah masuk ke nombor 000 apabila saya pertama kali membawa motosikal itu naik ke Janda Baik setelah ia pulih, lebih sebulan lalu... Kini ia sudah melepasi 999 bermakna sejak ia dihidupkan kembali sekitar 2 bulan lalu, ia telah berjalan sekitar 1250 batu bersamaan lebih 2000 kilometer!
Tetapi kebanyakan perjalanan dibuat sekitar Lembah Kelang. Baru ketika Hari Raya hampir menjelma inilah ia dibawa berjalan lebih jauh sehingga ke Raub lebih 100km ke timur-laut Kuala Lumpur. Dan kini, pada tahap penceritaan ini ia sudah masuk ke Masjid Tanah sekitar 140km begitu di selatan KL...
Apapun, saya ke selatan lagi menuju ke bandaraya Melaka. Dari Masjid Tanah masuk ke Sungai Udang lalu ke jalan pantai Melaka, singgah sebentar di Masjid Kampung Keling di mana terletaknya sebuah makam yang dikaitkan dengan Hang Tuah (lihat artikel Makam (Tomb of) Hang Tuah di (in) Tanjung Kling, Melaka... di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) ). Tetapi apabila singgah di Masjid Tengkera untuk ziarah sebentar sambil melawat makam Sultan Hussin Shah di sebelah (lihat Makam (tomb of) Sultan Hussin Shah di (in) Melaka... di blogspot itu juga...), baru saya tergerak kembali mengambil gambar motosikal yang kebetulan diletakkan di hadapan pintu masuk utama.
Kemudian saya pun masuk ke pusat bandaraya Melaka, melawat pula Masjid Kampung Keling. Sila lihat artikel Masjid (mosque of) Kampung Keling, Melaka yang baru diletakkan di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) tadi...
Seterusnya saya menziarahi makam Sheikh Shamsuddin Sumatrani, juga dikenali sebagai Sheikh Shamsuddin Pasai, ulamak besar Aceh, penasihat Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam!
Kali terakhir saya ke makam ini rasanya sekitar setahun lalu. Tak banyak beza kecuali di pintunya ada keratan tulisan almarhum Ustaz Wan Saghir tentang Sheikh ini... Atau Ustaz lebih suka membetulkan... Katanya, nama ulamak ini patut disebut sebagai Sheikh Shamsuddin as-Sumatra'i, bukan Sumatrani.
Apapun, kenapa ulamak besar Aceh ini boleh mangkat di sini ya? Kalau nak tahu, rujuklah dalam blogspots saya... Cuba buat search sendiri gunakan kotak kiri atas... Takkan semua nak makan suap? Dah macam-macam informasi saya bagi percuma kat blogspots saya!
Oh... Selepas itu, saya pergi ke makam Hang Kasturi kemudian makam Hang Jebat. Yang ini saya boleh bagi link kerana baru letak di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) tadi. Sila lihat artikel Makam (tombs of) Hang Kasturi dan (and) Hang Jebat ...
Seterusnya saya ke Muzium Islam Melaka. Sila lihat artikel Lawatan ke Muzium Islam Melaka (A visit to the Melaka Islamic museum) di blogspot itu juga... Banyak wooo saya dah letak kat situ.... Pandai-pandailah memanfaatkannya secara membaca yang tersirat di sebalik yang tersurat.
Di atas ialah replika batu nesan di makam Sultan Malikus Salih seperti yang terpapar dalam artikel selingan Isyarat 3 Hassani? yang dibuat di sini tadi. Dengan ini dapatlah saya masuk ke bahagian terakhir siri cerita "Perjalanan berliku untuk kembali berhari raya".... Cerita terakhir yang akan dibuat sebentar nanti bermula daripada tempat bermalam saya seterusnya. Tetapi sebelum itu, biar dibuat satu artikel dalam blogspot BERPETUALANG KE ACEH pula ya... Alhamdulillah! :]